Cerpen “Catatan Seorang Penduduk Kampung”
CATATAN 1
Matahari kelihatan bersinar indah di kaki langit biru.
Angin yang datang daripada arah bukit bertiup perlahan dan nyaman. Rasa segar dan dingin angin yang bertiup menyelubungi seluruh kampung yang indah dan permai. Pohon-pohon yang rendang dan menghijau kelihatan seperti melenggang-lenggok apabila ditiup angin.
Nama aku Arif. Aku tinggal di kampung. Ketika dalam perjalanan menuju ke kebun aku bertemu dengan Tok Ketua. Sifatnya yang ramah dan suka mengambil berat terhadap anak buah menjadikan dia amat disenangi oleh penduduk kampung. Dengan menaiki motosikal dia akan meronda ke seluruh kampung untuk bertanya khabar dan mendengar permasalahan yang dihadapi oleh anak buahnya. Setiap permasalahan yang dihadapi oleh anak buahnya akan diselesaikannya dengan segera.
Dia sentiasa ingin memastikan penduduk kampung menikmati taraf kehidupan yang baik dan sempurna. Sememangnya Tok Ketua seorang yang bertanggungjawab dan amanah dalam menjalankan tugas. Seperti biasa dia akan menasihatkan aku termasuk dirinya agar rajin berusaha dan sentiasa taat serta patuh pada perintah Tuhan. Selepas berbual-bual dengan Tok Ketua aku pun meneruskan semula perjalanan menuju ke kebun.
Seperti biasa aku akan bekerja di kebun sehingga ke tengah hari. Tanah kebun peninggalan arwah ayah aku inilah yang menyara kehidupan aku dan keluarga. Syukur Alhamdulillah arwah ayah aku telah meninggalkan sebidang tanah untuk aku usahakan. Sebelum meninggal dunia arwah ayah telah berwasiat padaku agar jangan dibiarkan tanah yang ditinggalkannya tanpa diusahakan.
Wasiat arwah ayah telah aku tunaikan. Hasilnya juga aku dapat nikmati pada setiap bulan. Benarlah kata orang. Berbudi pada tanah pasti akan menuai hasilnya. Bersebelahan dengan kebun aku ialah kebun Pak Deris. Seorang bekas tentera yang mengusahakan tanaman pisang.
Aku benar-benar kagum dengan Pak Deris. Walaupun telah dimamah usia tua namun masih gagah dan bersemangat untuk mengusahakan kebun pisang yang agak luas. Mungkin kerana seamangat tentera masih lagi menebal dalam jiwanya.
Pak Deris selalu bercerita mengenai pengalamannya sewaktu berkhidmat dengan tentera. Terutamanya ketika bertempur dengan pengganas komunis. Memang seronok apabila mendengar cerita Pak Deris itu. Kerana terlalu asyik bekerja tak sedar yang hari dah pun masuk tengah hari. Matahari terasa seakan-akan terpacak tepat di atas kepala. Aku pun lalu berhenti daripada bekerja. Motosikal yang menjadi teman setiaku walau ke mana sahaja lalu bergerak menuju ke rumah.
CATATAN 2
Setibanya di rumah isteriku menyambut dengan senyuman. Segala rasa penat dan lelah lalu hilang apabila melihat senyuman di wajahnya itu. Selepas menghilangkan penat setelah mengerah sepenuh kudrat dan tenaga aku pun lalu menuju ke bilik untuk menyalin pakaian dan mandi.
Selesai sahaja membersihkan diri aku pun lalu menunaikan solat Zuhur. Aku kemudian lalu menikmati makan tengah hari bersama-sama dengan isteri dan anak-anakku yang baru pulang daripada sekolah. Sambil menikmati hidangan aku akan bertanya mengenai pelajaran mereka di sekolah.
Aku juga menasihatkan mereka agar belajar dengan bersungguh-sungguh demi untuk menjadi insan yang cemerlang dan berjaya dalam hidup. Dalam pada itu aku turut menekankan didikan agama ke dalam diri mereka. Selepas makan tengah hari aku biasanya akan duduk di anjung rumah sambil menikmati angin petang.
Cuaca masih lagi kelihatan cerah dan sedikit pun tidak kelihatan tanda hujan akan turun. Selalunya di tanganku ada sebuah buku dan sebatang pen apabila duduk di anjung rumah sambil menikmati angin petang. Sememangnya aku gemar mencatat.
Aku akan catat apa sahaja yang aku lihat di kampung ini termasuk cerita yang aku dengar daripada orang-orang kampung. Seronok rasanya apabila aku dapat mencatat semua itu. Bagi aku ia adalah bahan bersejarah yang amat berharga di masa hadapan untuk tatapan generasi muda di kampung ini.
Sekurang-kurangnya mereka tahu akan sejarah dan peristiwa yang pernah berlaku di tempat mereka dilahirkan dan dibesarkan. Aku berharap agar catatan yang aku tulis ini bukan sahaja dibaca oleh anak-anak muda sebagai pewaris masa depan di kampung ini malahan juga termasuk anak-anak aku.
Semenjak daripada bangku sekolah lagi aku memang minat menulis. Macam-macam yang aku tulis dan antaranya termasuklah cerpen dan puisi. Cuma aku tidak menghantarnya ke akhbar dan majalah untuk disiarkan. Aku simpan semua yang aku tulis.
Apabila ada masa terluang aku akan membaca semula puisi dan cerpen yang telah aku karang. Tema yang aku ketengahkan adalah mengenai ketuhanan, kemanusiaan dan kedamaian. Tapi kini tulisanku telah beralih arah kepada catatan kehidupan di kampung.
CATATAN 3
Masjid di kampungku adalah merupakan bangunan yang bersejarah. Usianya telah mencecah 100 tahun. Senibinanya begitu amat menarik sekali terutamanya ukiran yang terdapat pada tiang dan dinding. Sehingga ke hari ini ia masih lagi kelihatan teguh dan digunakan oleh penduduk kampung untuk beribadat.
Sementara menunggu masuknya solat fardhu Isyak aku dan beberapa jemaah yang lain berbual-bual dengan Tok Ketua. Dia memberitahu yang dia nak membuat permohonan untuk memperbesarkan lagi masjid ini. Ini adalah untuk memberikan keselesaan kepada para jemaah menunaikan solat.
Jemaah yang ramai akan memenuhi masjid ini apabila menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha. Maklumlah mereka yang mencari rezeki di bandar akan pulang ke kampung untuk bersama-sama dengan keluarga untuk meraikan kedua-dua hari kebesaran ini.
Tok Ketua juga bercerita mengenai sejarah pembinaan masjid ini yang didengarnya daripada orang tua-tua. Masjid ini dibina secara gotong-royong.
Kayu yang digunakan untuk membina masjid ini diambil daripada hutan. Seni pertukangan tangan masjid ini begitu amat halus sekali.
Masjid ini juga sering menjadi tumpuan pelajar institusi pengajian tinggi untuk menjalankan kajian mengenai senibina. Tok Imam selalu ditemuramah oleh mereka untuk mendapatkan maklumat berkaitan dengan masjid ini.
Selain daripada itu, ia juga pernah disiarkan dalam akhbar sebagai warisan senibina masjid bersejarah. Banyak pengetahuan yang aku perolehi daripada Tok Ketua mengenai masjid bersejarah di kampung ini. Sebagai salah seorang penduduk di kampung ini aku berasa sungguh bangga sekali kerana mempunyai sebuah masjid yang begitu amat bersejarah sekali. Maka dengan itu sewajarnyalah ia dipulihara dan dikekalkan sebagai khazanah warisan yang tinggi nilainya. Tak lama kemudian kedengaran suara Bilal Yahaya melaungkan azan Isyak.
CATATAN 4
Air sungai di kampungku begitu amat bersih dan jernih sekali. Ikan yang banyak terdapat di sungai ini ialah keli dan baung. Sememangnya sungai ini menjadi lubuk rezeki kepada kaki pancing dan mereka yang menjadikan hasil jualan ikan baung dan keli sebagai mata pencarian.
Sungai ini menjadi tempat aku bermain dan mandi-manda bersama-sama dengan rakan-rakan sebaya ketika zaman kanak-kanak. Aku dan kawan-kawan terjun ke dalam sungai sambil ketawa dan menjerit gembira. Keseronokan dan kegembiraan sewaktu mandi sungai masih lagi jelas terbayang di ingatanku.
Adaketikanya hatiku bagaikan meronta-ronta mahu kembali semula ke zaman itu. Namun ia tidak akan berulang kembali dan tinggal menjadi kenangan yang terpahat dalam dinding kehidupan. Sudah menjadi lumrah dalam kehidupan bahawa perjalanan usia yang kita lalui dari sehari ke sehari terus menuju ke hadapan dan bukannya berundur semula ke belakang.
Pemandangan bukan sahaja diindahkan dengan airnya yang bersih dan jernih malahan juga dengan pohon-pohon rendang yang banyak tumbuh di tepi tebing sungai ini. Deruan air sungai yang mengalir tenang sungguh menghiburkan dan mendamaikan jiwa apabila di dengari.
Kami penduduk kampung sentiasa menjaga sungai ini dengan baik. Alhamdulillah. Sungai ini tidak pernah tercemar dengan pembuangan sampah-sarah mahupun sebarang bahan-bahan yang boleh menodai kesucian dan kebersihannya.
Tok Ketua turut mengingatkan kami semua agar menghargai alam sekitar, sungai, hutan dan lain-lain yang dianugerahkan oleh Allah SWT untuk hambanya di muka bumi. Ternyata Tok Ketua bukan sahaja seorang pemimpin yang mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan hidup malahan juga kepentingan menjaga alam sekitar terutamanya sungai.
CATATAN 5
Di kampungku juga banyak terdapat rumah-rumah lama. Ada yang masih lagi didiami dan ada yang terbiar dengan begitu sahaja apabila penghuninya meninggal dunia. Tukang rumah yang terkenal di kampungku ialah Pak Harun.
Kehalusan seni pertukangan tangannya tiada siapa yang boleh menandinginya. Tapi sekarang dia dah tua dan uzur. Tak larat lagi nak buat kerja tukang rumah macam dulu. Kalau arwah ayah aku masih hidup tentu usianya sebaya dengan Pak Harun.
Rumah arwah ayah yang aku diami bersama-sama dengan isteri dan anak-anak sekarang dia yang buat. Anak-anaknya juga tidak mewarisi kemahirannya sebagai tukang rumah. Aku dengan Pak Harun bukannya orang lain ada pertalian saudara di sebelah arwah ayah.
Waktu kecik-kecik dulu arwah ayah dan arwah emak selalu membawa aku ke rumahnya terutamanya apabila hari raya. Arwah ayah dan arwah emak memang rapat dengan Pak Harun. Pernah arwah ayah dan arwah emak hendak menjodohkan aku dengan anak perempuannya Noraini untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan. Namun begitu hasrat arwah ayah dan arwah emak tidak kesampaian kerana jodoh aku bukan dengan anaknya. Bagi aku sebagai manusia kita hanya mampu merancang tapi yang menentukan segala-galanya adalah Tuhan.
CATATAN 6
Angin petang bertiup dengan kencang. Pohon-pohon yang menghijau kelihatan seperti menari-nari riang. Sekejap beralih ke kanan dan sekejap beralih ke kiri. Mengikut rentak angin yang bertiup. Awan putih kelihatan menebal bersama-sama dengan langit yang membiru.
Selepas solat Asar aku dan penduduk kampung termasuk Tok Ketua berkumpul rumah Pak Seman. Tujuan utama kami semua berkumpul ialah untuk membincangkan mengenai persiapan majlis perkahwinan anak perempuannya yang akan diadakan pada Sabtu depan.
Tok Ketua membahagikan tugas kepada kami semua. Adat berkampung sebelum majlis perkahwinan berlangsung memang kuat diamalkan di kampung kami semenjak daripada dahulu lagi. Majlis perkahwinan akan berjalan dengan baik dan lancar apabila ada pengagihan tugas di kalangan penduduk kampung.
Pada masa yang sama ia dapat membentuk semangat permuafakatan dan gotong-royong. Inilah yang diterapkan oleh Tok Ketua ke dalam diri kami sebagai penduduk di kampung ini. Pekerjaan yang berat sama dipikul. Pekerjaan yang ringan sama dijinjing.
Apabila ke bukit sama didaki dan ke lurah sama dituruni. Tok Ketua juga sering mengingatkan kami agar tidak berpecah-belah. Sebaliknya hendaklah hidup dalam suasana yang bersatu padu dan hormat-menghormati di antara satu sama lain.
Apabila berlaku perselisihan maka hendaklah diselesaikan dengan cepat sebelum menjadi lebih teruk lagi. Begitu juga dengan setiap permasalahan yang timbul hendaklah diselesaikan melalui perbincangan. Apabila duduk beramai-ramai semeja maka akan berasa lapang jadinya berbanding dengan duduk seorang diri maka akan sempit jadinya.
Tiada kekusutan yang tidak dapat diselesaikan. Tiada masalah yang tidak dapat diatasi. Asalkan muafakat dijadikan sebagai panduan dan pegangan utama. Muafakat yang menjadi teras dan amalan utama datuk nenek moyang kami sememangnya indah dan cantik.
Kini kami sebagai generasi seterusnya meneruskan apa yang telah ditinggalkan oleh mereka sebelum ini. Selepas selesai adat berkampung Pak Seman menjamu kami semua dengan minum petang. Dia mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir dan berharap dengan bantuan serta kerjasama daripada orang-orang kampung majlis perkahwinan anaknya nanti akan berjalan dengan sempurna dan lancar sepertimana yang telah dirancang.
Ketika sampai di rumah matahari kelihatan perlahan-lahan terbenam di kaki langit yang berwarna kelabu. Aku pun lalu mandi dan bersiap untuk pergi ke masjid. Sekembalinya daripada masjid nanti aku akan mencatat tentang muafakat yang menjadi budaya kehidupan di kampungku.
CATATAN 7
Cuaca kelihatan mendung pagi ini. Matahari tidak kelihatan. Langit nampak kelabu. Hujan seperti akan turun. Angin bertiup lemah. Pohon-pohon yang menghijau dan rendang kelihatan mengangguk-angguk lemah. Mengikut rentak angin yang datang daripada arah bukit yang terletak di belakang kebunku.
Cuaca yang mendung dan redup tidak menjadi halangan buatku untuk bekerja di kebun seperti biasa. Sememangnya bekerja tidak dapat dipisahkan dalam hidup ini. Setiap pekerjaan perlu dilakukan dengan penuh rasa tanggungjawab dan amanah.
Bekerja juga adalah merupakan satu ibadah. Oleh yang demikian maka ia perlu dilakukan dengan penuh tekun dan bersungguh-sungguh. Jadikanlah bekerja sebagai satu keseronokan dan kepuasan diri. Lakukanlah dengan penuh keikhlasan dan sebagai punca rezeki untuk menampung kehidupan keluarga.
Itulah yang menjadi peganganku dalam bekerja. Sementara itu angin bertiup lemah dan longlai. Pohon-pohon kelihatan seperti menari-nari lemah dan tak berdaya. Aku kemudiannya lalu mendongakkan kepala memandang langit.
Awan yang tadinya kelabu lalu bertukar warna menjadi hitam kegelapan. Tanda hujan akan turun semakin jelas kelihatan. Aku pun lalu mengatur langkah menuju ke pondok yang terdapat di kebunku. Sampai sahaja di pondok hujan lalu turun. Berpanas dan berhujan sudah menjadi lumrah dalam kehidupan aku sebagai seorang pekebun. Menjelang tengah hari hujan pun berhenti. Aku pun lalu pulang ke rumah.
CATATAN 8
Warung Pak Usop. Setiap pagi menjadi tumpuan orang-orang kampung untuk bersarapan pagi. Di warung ini juga menjadi tempat Tok Ketua dan orang-orang kampung berkumpul sambil bercerita mengenai hal ehwal dan isu semasa.
Memang menarik dan terhibur apabila mendengar Tok Ketua dan orang-orang kampung membincangkan tajuk yang dianggap hangat serta mendapat perhatian masyarakat. Terasa kemeriahan dengan kehadiran orang-orang kampung di warung Pak Usop.
Sebelum bersara Pak Usop berkhidmat sebagai anggota polis yang berpangkat sarjan. Selepas bersara dia pulang ke kampung dan mengusahakan warung yang menjual makanan dan minuman. Makanan yang memikat selera di Warung Pak Usop ialah nasi lemak, roti canai dan pulut cicah dengan sambal tumis ikan bilis campur petai.
Isterinya Mak Bedah memang pandai memasak. Sebab itulah maka warungnya sentiasa menjadi tumpuan orang-orang kampung untuk menjamu selera terutamanya pada waktu pagi. Kuih-muih yang dijual di warungnya juga sedap terutamanya koci.
Pak Usop juga seorang yang rajin bersedekah. Apabila ada majlis bacaan Yassin dan tahlil di masjid terutamanya pada hari Khamis malam Jumaat dia akan bersedekah kuih-muih kepada jemaah yang hadir. Dia juga banyak menerima tempahan kuih-muih apabila ada majlis kenduri.
Setiap kali tibanya bulan Ramadan warungnya akan menjadi tumpuan orang-orang kampung membeli juadah untuk berbuka puasa. Pak Usop melayan pelanggannya dengan begitu ramah dan mesra sekali. Dia sentiasa menghulurkan senyuman walaupun penat dan letih kerana melayan ragam dan karenah pelanggannya yang bermacam-macam.
Memang sudah menjadi adat orang yang berniaga. Sebab itulah dia amat disenangi oleh para pelanggannya. Demikianlah yang dapat aku kongsikan mengenai Pak Usop yang berniaga warung makanan dan minuman di kampungku.
CATATAN 9
Maka orang-orang kampung pun datang beramai-ramai dan berkumpul di rumah Pak Seman. Suasana di rumahnya seperti pesta. Walaupun suasana kelihatan macam berpesta namun masing-masing tetap sibuk dengan tugas yang telah diberikan oleh Tok Ketua untuk memastikan majlis perkahwinan anak Pak Seman berjalan dengan teratur dan lancar sepertimana yang dirancang.
Ternyata orang-orang kampung menjaga muafakat dan gotong-royong dengan baik. Mereka bekerja dengan penuh semangat dan gembira tanpa sedikit pun menghiraukan penat serta letih. Baik lelaki mahupun wanita semuanya bertungkus-lumus dari mula sehinggalah majlis berakhir.
Aku turut membantu orang-orang kampung memasak. Pak Seman dan isterinya pula sibuk menyambut tetamu yang datang. Wajah riang dan gembira jelas kelihatan di wajah tua Pak Seman dan isterinya kerana menerima menantu.
Tok Ketua pula sentiasa memastikan anak-anak buahnya menjalankan tugas dengan baik dan tiada cacat cela mahupun kekurangan dalam perjalanan majlis perkahwinan anak Pak Seman. Alhamdulillah. Majlis perkahwinan anak perempuan Pak Seman berjalan dengan penuh lancar dan teratur.
Semua ini adalah hasil daripada muafakat dan kerjasama yang dibina di kalangan orang-orang kampung. Selepas majlis berakhir, orang-orang kampung akan membantu pula berkemas sehingga selesai. Pak Seman dan ahli keluarganya amat menghargai bantuan serta pertolongan yang diberikan oleh orang-orang kampung dalam menjayakan majlis perkahwinan anak perempuannya.
Aku dan orang-orang kampung tidak pulang ke rumah dengan tangan kosong. Sebaliknya kami semua dibekalkan dengan nasi dan lauk-pauk yang berlebihan sebagai tanda penghargaan dan terima kasih daripada Pak Seman dan keluarganya.
Sampai sahaja di rumah walaupun dalam keadaan penat dan letih kerana bersama-sama dengan orang-orang kampung membantu melaksanakan majlis perkahwinan yang diadakan di rumah Pak Seman namun aku tetap berasa seronok dan gembira.
Semoga semangat permuafakatan dan kerjasama yang terjalin serta terbina sejak sekian lama di kalangan orang-orang kampung akan terus berkekalan dan seterusnya disambung oleh anak cucu kami sebagai generasi seterusnya. Seperti biasa sebelum melelapkan mata malam itu aku menulis catatan mengenai muafakat dan kerjasama orang-orang kampung dalam membantu menjayakan majlis perkahwinan anak Pak Seman.
CATATAN 10
Tok Ketua sering mengadakan mesyuarat dengan orang-orang kampung. Tujuan utama mesyuarat ini diadakan adalah untuk membincangkan masalah dan kegiatan yang boleh mendatangkan manfaat dan faedah kepada penduduk kampung.
Mesyuarat selalunya diadakan di balai raya. Semua penduduk kampung hadir dalam mesyuarat ini termasuk aku. Tok Ketua mendengar masalah yang dikemukakan oleh penduduk kampung. Manakala minit mesyuarat pula dibuat oleh Pak Rahim selaku setiausaha.
Tok Ketua berjanji akan menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh penduduk kampung. Selalunya apa yang dikatakan oleh Tok Ketua akan dikotakannya. Masalah yang kecil sekalipun tetap akan diselesaikannya atas dasar dia sebagai ketua di kampung ini. Sebab itulah dia amat disayangi dan dihormati oleh penduduk kampung.
Mesyuarat kemudiannya diteruskan lagi dengan perbincangan mengenai kegiatan yang boleh mendatangkan faedah kepada penduduk kampung. Aku lalu mencadangkan agar kegiatan juga turut melibatkan anak-anak muda agar mereka tidak membuang masa dengan melakukan perkara yang boleh meruntuhkan akhlak dan masa depan.
Cadangan aku itu disambut baik oleh Tok Ketua dan orang-orang kampung. Anak-anak muda juga perlu mendapat perhatian. Mereka mudah terdedah dengan perkara-perkara yang boleh membawa kepada keburukan dan kemusnahan kepada diri mereka sendiri.
Antara kegiatan yang aku cadangkan ialah adat, sukan, pertanian, pertukangan dan kesenian. Tok Ketua dan orang-orang kampung bersetuju dengan semua kegiatan yang aku cadangkan itu. Dia juga meminta aku agar membantu untuk menyediakan kertas kerja bagi memohon peruntukan untuk menjalankan program dan aktiviti yang dirancang.
Aku berjanji akan membantu Tok Ketua menyediakan kertas kerja dengan secepat mungkin. Perkara yang baik perlu segera dan tidak boleh dilengahkan. Dalam pada itu, Pak Deris juga turut mencadangkan agar tanah-tanah terbiar yang banyak terdapat di kampung ini diusahakan dengan tanaman semula seperti sayur-sayuran dan kelapa sawit.
Tok Ketua lalu menyambut cadangan yang dikemukakan oleh Pak Deris itu sebagai satu usaha murni yang sangat baik. Daripada tanah-tanah itu terbiar dengan begitu sahaja adalah lebih baik diusahakan dan hasilnya nanti dapat dinikmati bersama-sama oleh penduduk kampung.
Selain daripada itu, ia juga dapat memberikan peluang pekerjaan kepada penduduk kampung dan membantu mengurangkan kadar pengangguran. Macam nilah bila dah berkumpul beramai-ramai. Di samping bermesyuarat ada cadangan-cadangan baru yang membawa banyak manfaat dan keuntungan kepada kami semua sebagai penduduk di kampung ini.
Seronok dan amat gembira rasanya apabila mendengar cadangan-cadangan yang amat bernas itu. Tok Ketua turut mengingatkan kami agar bersama-sama melaksanakan kegiatan yang telah diatur dan dirancang demi untuk kesejahteraan dan kemakmuran kampung.
Di sini pentingnya mengamalkan semangat kerja berpasukan. Kejayaan akan diraih dan dinikmati bersama-sama nanti. Itulah antara pesanan Tok ketua kepada kami semua sebagai penduduk di kampung ini. Kami mengambil pesanan Tok Ketua itu sebagai semangat yang berkobar-kobar dan azimat untuk menuju ke puncak kejayaan.
Menjelang tengah hari mesyuarat pun berakhir. Dalam perjalanan pulang ke rumah aku singgah sebentar di kedai Pak Mat untuk membeli bawang, garam, gula, tepung dan ubi kentang yang dipesan oleh isteriku. Sampai sahaja di rumah aku lalu menyerahkan barang-barang yang dibeli kepada isteriku.
CATATAN 11
Kalau dah rezeki namanya tak akan pergi ke mana. Syukur alhamdulillah. Pisang di kebunku mengeluarkan hasil yang bertandan-tandan. Separuh aku jual manakala separuh lagi aku makan. Selalunya yang memborong pisang di kebunku ialah Abang Shahrom.
Harga yang dibelinya daripadaku juga berpatutan. Menurut Abang Shahrom dia menjual pisang yang diborongnya daripadaku di pasar dan pengusaha kerepek. Pisang yang dibelinya di kebunku dibayar secara tunai. Dunia perniagaan ibarat air laut. Sekejap pasang dan sekejap surut. Adakalanya untung dan adaketikanya rugi. Itulah yang sering diceritakannya kepadaku.
Begitulah adat dalam berniaga.
Selepas menolong Abang Shahrom memunggah pisang ke dalam lori aku pun pulang ke rumah. Dalam perjalanan aku singgah sebentar di Warung Pak Usop untuk membasahkan tekak. Cuaca panas sungguh hari ini. Ketika sampai di Warung Pak Usop, Tok Ketua, Pak Deris dan Pak Seman kelihatan sedang duduk semeja dan rancak berbual-bual.
Mereka lalu memanggil aku duduk semeja. Aku memesan teh ‘o’ ais limau daripada Pak Usop. Tok Ketua memberitahu aku yang dia bersama-sama dengan Pak Seman dan Pak Deris sedang berbincang mengenai perkara yang dibangkitkan dalam mesyuarat tempoh hari.
Menurut Tok Ketua lagi ialah perkara yang perlu dilakukan dalam tempoh terdekat ini ialah membaiki rumah Mak Tipah isteri arwah Pak Mustapha yang dibangkitkan oleh anaknya Fatimah dalam mesyuarat yang lalu. Tok Ketua telah pun mengemukakan permohonan untuk mendapatkan bantuan daripada pihak yang berkaitan.
Apabila permohonan itu diluluskan nanti dia akan mengajak orang-orang kampung untuk bergotong-royong membaiki rumah Mak Tipah yang telah uzur dan mengalami kerosakan yang teruk. Aku juga memberitahu Tok Ketua yang aku telah pun mula menyiapkan kertas kerja program dan aktiviti yang melibatkan orang-orang kampung dan anak-anak muda.
Kertas kerja yang lengkap dengan perbelanjaan itu akan kuserahkan kepada Tok Ketua apabila siap nanti. Dia berasa amat gembira apabila mendengarnya. Menjelang tengah hari kami pun bergerak meninggalkan Warung Pak Usop.
CATATAN 12
Selang beberapa minggu kemudian Tok Ketua mengadakan pertemuan bersama dengan orang-orang kampung di balai raya. Tujuan dia memanggil orang-orang kampung ialah untuk memberitahu tentang permohonan yang dihantarnya kepada pihak berkaitan bagi mendapatkan bantuan memulihara dan membaiki semula rumah Mak Tipah telah pun diluluskan.
Jadi, kerja-kerja tersebut secara gotong-royong sudah boleh dilakukan apabila peruntukan diperolehi nanti. Selain daripada itu, turut dibincangkan mengenai tugasan dan pembahagian kumpulan agar gerak kerja yang dirancang dan disusun berjalan dengan teratur serta lancar.
Setelah semua perkara yang dibincangkan mendapat persetujuan daripada orang-orang kampung maka tarikh untuk menjalankan kerja-kerja tersebut lalu ditetapkan. Selepas perjumpaan itu berakhir aku pun pulang ke rumah. Pada sebelah petangnya aku lebih banyak menghabiskan masa dengan menyiapkan kertas kerja program dan aktiviti sepertimana yang diminta oleh Tok Ketua. Aku menyiapkan kertas kerja sehingga masuk waktu asar. Selesai sahaja menunaikan solat Asar dan minum petang aku berkebun pula di belakang rumah sehingga ke senja.
Hasil daripada kebun adalah sayur-sayur kampung seperti serai, limau nipis, daun kunyit, daun puding, cili api dan bermacam-macam lagi. Biasanya aku jual pada Abang Hassan yang berniaga di pasar minggu yang tapaknya terletak di jalan simpang masuk ke kampungku. Pasar minggu dibuka pada setiap hari Ahad.
Ramai yang datang ke pasar minggu untuk mencari sayur-sayur kampung dan ikan-ikan sungai yang segar. Selain daripada itu, ada juga yang datang ke pasar minggu untuk mencari ayam kampung, daging dan telur itik. Kebiasaannya seawal pagi lagi sudah ramai yang memenuhi pasar minggu sehinggalah ke tengah hari. Memang meriah suasana dengan kehadiran orang ramai di pasar minggu. Seingat aku pasar minggu ini sudah lama wujud sejak daripada aku masih kecil lagi.
Aku selalu jugak mengikut arwah ayah dan arwah ibu ke pasar minggu pada waktu itu. Biasanya apabila ke pasar minggu aku akan mencari daging dan telur itik. Selalunya bila ada kelapangan selepas membeli telur itik dan daging aku akan singgah di kedai kopi yang terletak berhampiran dengan tapak pasar minggu.
Kedai kopi ini milik Badrul kawan sekolahku. Kawan-kawan sekolahku yang lain juga selalu datang ke kedai kopinya. Apabila dah bertemu maka keluarlah bermacam-macam kisah yang lucu dan menarik ketika kami di zaman persekolahan dulu. Kedai kopi yang di usahakan Badrul ini menjadi tempat kami mengadakan pertemuan.
Ayahnya adalah peniaga kantin tempat sekolah kami belajar. Selepas tamat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dia membantu ayahnya berniaga di kantin sekolah. Dari situlah minatnya berniaga mula bercambah sehinggalah dia berjaya membuka kedai kopi sendiri. Setiap hari ramai pelanggan yang datang ke kedai kopinya. Roti bakar dan air kopi di kedainya yang sedap menjadi antara daya tarikan utama pelanggan.
Itulah antara catatan yang dapat aku kongsikan. Selepas mandi aku lalu bersiap untuk pergi ke masjid untuk menunaikan solat Maghrib. Malam ini ada ceramah agama selepas solat Maghrib. Penceramah yang diundang khas adalah daripada jabatan agama. Selalunya ceramah agama akan diakhiri dengan solat Isyak dan jamuan makan malam. Ramai jemaah yang hadir apabila ada program keagamaan.
Tidak kurang juga yang menyumbangkan makanan dan minuman. Melalui aktiviti keagamaan dapat mengimarahkan lagi masjid di kampung kami. Pada masa yang sama dapat menarik kehadiran ramai jemaah dan menanamkan rasa kecintaan yang mendalam terhadap rumah ibadat Allah SWT. Semua ini kujadikan sebagai catatan kampung tempat aku dilahirkan dan dibesarkan.
CATATAN 13
Setelah peruntukan diterima maka kerja-kerja membaik pulih rumah Mak Tipah lalu dilakukan secara gotong-royong oleh penduduk kampung. Aku turut sama membantu orang-orang kampung membaiki atap, dinding dan rantai rumah Mak Tipah yang mengalami kerosakan terus.
Rumah yang didiami Mak Tipah adalah harta pusaka peninggalan ibunya. Usianya sudah mencecah ratusan tahun. Tanpa menghiraukan panas yang terik kami bekerja dengan penuh keriangan dan seronok. Cuaca yang cerah dan baik menjadikan kerja yang kami lakukan berjalan dengan baik dan lancar tanpa halangan.
Apabila penat kami berhenti seketika sambil menikmati makanan dan minuman yang disediakan. Selepas hilang penat dan lelah kami menyambung semula kerja. Tok Ketua turut bekerja bersama-sama dengan kami.
Kerja perlu dilakukan bersama-sama. Mana yang kurang sama-sama ditampung. Tiada kerja yang tak boleh diselesaikan asalkan dilakukan secara bersama-sama. Jalan yang semak akan menjadi terang apabila bersama-sama menebasnya. Demikianlah kata-kata yang diucapkan oleh Tok Ketua kepada kami sebagai pesanan dan perangsang dalam melakukan pekerjaan secara bergotong-royong serta berpasukan.
Setiap kata-kata Tok Ketua aku jadikan sebagai catatan. Harapan aku semoga generasi muda sebagai pewaris masa depan di kampung ini akan menjadikan kata-katanya sebagai pemangkin dan semangat dalam meneruskan tradisi bermuafakat dan bergotong-royong yang setelah sekian lama diamalkan.
Ini sebenarnya adalah ilmu pengetahuan buat mereka yang tidak perlu dicari dengan bersusah payah. Sebaliknya ada dalam catatanku ini dan bacalah untuk dijadikan sebagai rujukan dan panduan dalam membina serta mengekalkan kesejahteraan dan keharmonian di kampung ini.
Kami rancak bekerja sehingga tidak sedar hari dah pun masuk tengah hari. Lalu kami berhenti untuk makan tengah hari. Makan beramai-ramai memang amat menyelerakan walaupun dengan hidangan yang ringkas. Selesai sahaja menjamu selera kami ke masjid yang tidak jauh daripada rumah Mak Tipah untuk menunaikan solat Zuhur.
Selepas menunaikan solat Zuhur kami menyambung semula kerja. Sehinggalah ke petang kerja-kerja yang kami lakukan telah pun selesai. Tok Ketua mengucapkan syabas dan tahniah kepada kami yang telah berjaya membaiki kerosakan rumah Mak Tipah.
Dia berharap agar semangat permuafakatan dan gotong-royong yang telah kami bina akan terus berkekalan buat selama-lamanya. Ini jelas menunjukkan bahawa kami penduduk kampung mempunyai semangat perpaduan yang kukuh dan sukar untuk dirobohkan mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan peribadi.
Mak Tipah turut mengucapkan terima kasih kepada kami yang telah membantu membaiki kerosakan rumahnya. Dengan keadaan rumahnya yang telah dibaiki dia dapat menikmati kehidupan yang sempurna seperti penduduk kampung yang lain.
Memang menjadi hasrat Tok Ketua untuk memastikan semua anak buahnya tanpa mengira peringkat tua mahupun muda menikmati taraf kehidupan yang sempurna dan menggembirakan. Sebelum bersurai kami semua dijemput untuk menikmati minum petang.
CATATAN 14
Kertas kerja program dan aktiviti penduduk kampung termasuk anak-anak muda telah pun siap. Petang itu selepas menunaikan solat Asar aku pun pergi ke rumah Tok Ketua untuk menunaikan janji menyerahkan kertas kerja tersebut.
Sampai sahaja di rumahnya, dia menyambutku dengan senyuman dan menjemput aku duduk di kerusi ruang tamu rumahnya. Tok Ketua meneliti kertas cadanganku itu. Aku turut memberikan penerangan mengenai bentuk program dan aktiviti yang akan dijalankan nanti.
Tak lama kemudian isterinya Mak Nab muncul sambil membawa dulang yang berisi minuman dan kuih-muih. Tok Ketua kemudiannya lalu menjemput aku untuk menikmati hidangan yang disediakan oleh isterinya itu.
Sambil menikmati hidangan kami rancak berbual-bual. Tumpuan utama tajuk perbualan kami ialah berkenaan kertas kerja program dan aktiviti penduduk serta anak-anak muda di kampung ini. Tok Ketua amat bersetuju dan menyokong penuh kertas kerja yang aku sediakan.
Dia akan menghantarnya kepada pihak yang berkaitan untuk mendapatkan peruntukan. Memang peruntukan amat diperlukan untuk menjalankan sesuatu program dan aktiviti. Tanpa ada peruntukan ia tidak akan dapat dijalankan dan matlamatnya tidak akan tercapai sepenuhnya.
Tambah Tok Ketua lagi apabila peruntukan dah diluluskan nanti dia akan mengadakan mesyuarat bersama-sama dengan orang-orang kampung untuk mendapatkan pandangan serta persetujuan daripada mereka.
Setiap program dan aktiviti yang dijalankan perlu melibatkan semua penduduk kampung termasuk golongan muda. Barulah terasa ikatan silaturrahim dan semangat muhibbah di kalangan penduduk kampung. Aku amat bersetuju sekali dengan apa yang dikatakan Tok Ketua itu.
Pada masa yang sama dia menyuarakan keyakinan penuh bahawa kertas kerja yang aku sediakan ini akan mendapat perhatian daripada pihak yang berkaitan kerana mempunyai asas yang kukuh. Dia juga meminta aku sama-sama berdoa agar Allah SWT memakbulkannya.
Disebabkan terlalu begitu rancak berbual-bual tanpa disedari hari telah pun memasuki lewat petang. Aku lalu meminta diri dan bergerak meninggalkan rumah Tok Ketua. Sepanjang perjalanan pulang menuju ke rumah sudah tergambar dalam fikiranku catatan yang akan aku tulis malam nanti.
CATATAN 15
Beberapa bulan kemudian Tok Ketua menyampaikan berita gembira kepadaku. Kertas kerja program dan aktiviti yang aku sediakan telah diluluskan berserta dengan perbelanjaan yang dipohon. Aku dan Tok Ketua lalu memanjatkan rasa kesyukuran yang tidak terhingga.
Minggu berikutnya Tok Ketua lalu mengadakan mesyuarat bersama-sama dengan orang-orang kampung untuk membincangkan program dan aktiviti yang akan dijalankan. Anak-anak muda turut dipanggil untuk bersama-sama menghadiri mesyuarat.
Penduduk kampung dan anak-anak muda merasa begitu amat gembira dan bersetuju dengan program dan aktiviti yang telah dirangka dan dirancang. Mereka bagaikan teruja dan tidak sabar-sabar untuk menyertai pelbagai aktiviti dan program yang menarik serta penuh dengan ilmu pengetahuan.
Aku sudah membayangkan akan keseronokan yang akan mereka nikmati apabila menyertai program dan aktiviti itu nanti. Tok Ketua telah melantik aku sebagai ketua program dan aktiviti. Sebuah jawatankuasa khas juga akan dibentuk untuk membantu aku mengendalikan program dan aktiviti.
Perlantikan aku telah mendapat sokongan penuh daripada penduduk kampung. Rasa terharu bercampur dengan gembira lalu menyelubungi diriku. Terima kasih kepada Tok Ketua kerana telah memberikan aku sepenuh kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab dan amanah yang besar ini.
Aku berjanji akan menggalas tugas yang diberikan ini dengan memberikan yang terbaik dan bersungguh-sungguh. Program dan aktiviti akan bermula mengikut jadual yang telah disusun. Tok Ketua juga menjemput YB ADUN sebagai tetamu dalam setiap program dan aktiviti dan seterusnya merasmikannya.
Selepas mesyuarat berakhir petang itu sepanjang dalam perjalanan pulang ke rumah aku tak henti-henti melafazkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT. Cadanganku demi untuk mengukuhkan lagi persaudaraan dan perpaduan penduduk di kampung ini melalui penggerakan program dan aktiviti telah diterima dengan baik. Alhamdulillah!
Di sudut hati kecilku menaruh harapan agar kampung kami akan menjadi contoh sebagai kampung yang aktif menjalankan pelbagai program dan aktiviti yang memberikan banyak faedah dan manfaat kepada semua tanpa mengira peringkat usia.
Catatan ini tertera dalam buku yang menjadi teman setiaku. Sudah banyak yang aku tulis di dalamnya. Aku akan terus membuat catatan agar menjadi sejarah untuk tatapan generasi muda di kampung ini. Jauh sekali di sudut hatiku untuk menempah nama dan menjadi buah mulut di kalangan orang-orang kampung melalui catatan yang telah kubuat.
Cukuplah hanya dengan catatan yang aku buat ini akan dapat membentuk keperibadian diri dan menanamkan rasa bangga ke dalam diri anak-anak muda agar menyayangi dan mencintai kampung halaman mereka sendiri serta meneruskan amalan muafakat dan gotong-royong dalam melakukan pekerjaan sepertimana yang telah dibentuk dan dibina oleh datuk serta nenek moyang mereka sebagai generasi yang terdahulu.
Demikianlah berakhirnya catatan seorang penduduk kampung untuk dijadikan sebagai perkongsian bersama-sama.
~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~