Bekerja Tidak Boleh Dipisahkan Dari Hidup Kita

Awas Kerja

Awas Kerja ( Fiq / CC BY-SA )

Bekerja tidak dapat dipisahkan
dalam hidup kita. Sepertimana yang kita ketahui
bahawa wang adalah keperluan utama
dalam kehidupan kita. Jadi, kita perlu bekerja untuk
mendapatkan wang. Kalau tidak bekerja maka kita
tidak akan dapat wang.

Seperti kata pepatah yang bulat tak akan datang bergolek dan yang pipih tak akan datang melayang. Kerja tak akan datang kepada kita. Sebaliknya kita sendiri yang kena cari kerja. Lainlah kalau kita ni jenis malas. Selama-lamanya kita tidak akan mendapat kerja.

Sebenarnya macam-macam kerja yang boleh kita buat. Asalkan mendapat rezeki yang halal. Untuk menyara kehidupan isteri dan anak-anak. Sekiranya kerja yang kita lakukan itu menyalahi dan ditegah oleh agama maka rezeki yang diberikan kepada isteri dan anak-anak adalah tidak berkat.

Seperkara lagi yang perlu kita ingat bahawa kerja itu adalah satu ibadah di samping amanah dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Selagi kita mempunyai tenaga dan kudrat serta kemampuan maka selagi itulah kita akan terus bekerja.

Dalam bekerja kita perlu melakukannya dengan terbaik dan penuh komited di samping memiliki ilmu pengetahuan dan kemahiran yang tinggi. Tidak kurang juga dalam bekerja kita terpaksa menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan. Namun anggaplah semua itu sebagai pengalaman dan sesuatu yang amat menyeronokkan.

Manis umpama madu.
Pahit bagaikan hempedu. Suka dan duka memang ada malah sudah menjadi adat dalam bekerja. Tapi yang penting dalam bekerja kita perlu seronok dan mendapat kepuasan. Setimpal dengan gaji yang kita perolehi pada setiap bulan.

Rajin bekerja pasti akan mendapat habuan. Naik pangkat dan gaji. Tapi kalau malas bekerja dan sentiasa curi tulang maka tak akan dapat ganjaran. Oleh yang demikian jangan salahkan dan marahkan ketua apabila tidak dapat naik pangkat dan gaji.

Kita perlu rasa bersyukur apabila mendapat kerja yang tetap dan terjamin masa depan. Berbanding orang lain walaupun dapat kerja namun tidak menjamin masa depan. Sesungguhnya kita adalah antara yang bertuah dan dipilih Allah SWT untuk mendapat pekerjaan yang tetap dan dapat menjamin masa depan.

Selain daripada itu, kita juga dianggap beruntung dan bernasib baik. Ini kerana sebelum mendapat sesuatu pekerjaan itu kita perlu memohonnya terlebih dahulu. Dengan sekali membuat permohonan maka kita mendapat pekerjaan. Berbanding dengan orang lain yang telah berkali-kali membuat permohonan tetapi masih lagi belum mendapat pekerjaan.

Dapat kerja juga dianggap sebagai rezeki.
Bayangkanlah ramai yang memohon dan mempunyai kelayakan. Mungkin kita tidak mempunyai kelayakan dan terpaksa bersaing dengan mereka yang lebih layak. Seperti kata orang kalau dah rezeki kita ditentukan Allah SWT maka kita tetap juga akan dapat. Bersyukurlah!

Kepada yang masih lagi belum mendapat pekerjaan bersabarlah dan jangan berputus asa. Mungkin rezeki belum sampai lagi. Perancangan Allah SWT tiada siapa tahu. Boleh jadi akan mendapat yang terbaik. Jadi, sentiasalah berdoa dan berusaha.

Dalam bekerja ada peraturan dan undang-undang yang perlu dipatuhi. Jangan sesekali membuat perlanggaran dan melakukan kesalahan. Prestasi bukan sahaja dinilai dari segi kerja malahan juga disiplin terutamanya kedatangan termasuk keberadaan pada waktu bekerja. Datang perlu mengikut waktu yang telah ditetapkan. Begitu juga dengan waktu balik.

Umpama laut yang membiru.
Pasang dan surut silih berganti. Demikianlah halnya dalam kita bekerja. Adaketikanya kita bersemangat untuk bekerja. Adawaktunya kita hilang semangat untuk bekerja. Kita bersemangat apabila kerja yang kita lakukan itu kena dengan minat yang ada dalam diri kita. Tapi kita hilang semangat untuk bekerja terutamanya apabila menghadapi masalah.

Bersemangat atau tidak itu tidak penting. Yang penting kita kena bekerja. Tidak boleh terlalu mengikutkan hati dan perasaan. Bak kata pepatah ikutkan hati mati, ikutkan rasa binasa. Siapa yang rugi? Kita juga akhirnya. Oleh yang demikian maka tumpukanlah sepenuh perhatian terhadap tanggungjawab dan tugas yang telah diberikan.

Perkara yang penting dalam kita bekerja adalah menurut segala arahan yang dikeluarkan oleh ketua. Lakukanlah dengan rasa penuh amanah dan tanggungjawab. Buangkanlah jauh-jauh rasa sama ada suka atau tidak untuk melakukannya. Sebaliknya ambillah pendekatan bahawa arahan ketua adalah wajib dan mesti dilaksanakan.

Sebenarnya kita harus bersyukur.
Kerana bukan sahaja dapat bekerja. Malahan juga ketua amat percaya dan memberikan tugas kepada kita untuk dilaksanakan. Maka dengan itu janganlah dihampakan kepercayaan dan tanggungjawab yang telah diberikan oleh ketua kepada kita.

Kita juga perlu merasa bersyukur kerana menjadi orang kepercayaan ketua. Ia adalah satu penghormatan dan pengiktirafan buat kita. Oleh yang demikian maka kita perlu menjaga pengiktirafan dan penghormatan yang telah diberikan itu dengan sebaik mungkin.

Dalam bekerja kita ibarat sebuah kapal.
Ketua adalah nakhoda manakala kita bersama-sama dengan rakan-rakan yang lain pula adalah kelasi. Ketua bertanggungjawab untuk memastikan kapal sampai ke tempat yang dituju. Sementara kita dan rakan-rakan yang lain pula mempunyai tugas untuk membantu ketua demi untuk memastikan kapal selamat dalam pelayaran.

Di sinilah pentingnya kita mengamalkan semangat kerja berpasukan. Kalau tidak kapal akan mudah tenggelam apabila dihempas gelombang ganas. Dalam erti kata lain kita tidak boleh mementingkan diri sendiri dan membawa haluan masing-masing apabila bekerja.

Dengan semangat kerja berpasukan yang kuat dan kukuh bukan sahaja kita dapat mencapai kejayaan yang cemerlang bersama-sama dengan rakan-rakan yang lain. Tetapi dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim di samping menaikkan imej tempat kita mencari rezeki.

Kembali semula kepada ketua tempat kita bekerja. Adakalanya kita tidak sehaluan dan sependapat dengan orang yang menjadi tonggak dan dihormati itu. Itu sudah menjadi lumrah dalam kehidupan kita sebagai manusia di atas muka bumi ini.

Masing-masing mempunyai cara dan pendekatan yang berbeza dalam bekerja. Bak kata orang lain padang maka lain belalangnya. Lain lubuk maka lain ikannya. Tak semua buah manis rasanya. Ada juga yang masam. Ini sebenarnya bukanlah satu halangan mahupun rintangan kepada kita dalam bekerja.

Berpeganglah kepada kata-kata bahawa tiada kekusutan yang tidak dapat dileraikan. Tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan. Tiada penyakit yang tidak dapat diubati. Duduklah berbincang bersama-sama dengan ketua untuk menyelesaikan masalah ini. Kerana muafakat dan sepakat itu adalah ibu kepada segala jalan penyelesaian masalah yang dihadapi.

Seperkara lagi yang perlu kita ingat bahawa kita perlu sentiasa menjaga nama baik tempat kita bekerja. Jangan sesekali menconteng arang ataupun kerana nila setitik maka habis rosak susu sebelanga. Bukan sahaja kita mendapat malu akibat daripada perbuatan buruk yang telah kita lakukan. Malahan juga ketua dan rakan-rakan yang lain juga akan mendapat tempiasnya. Seperti yang disebut dalam pepatah kerana seekor kerbau membawa lumpur maka habis semua terpalit.

Tempat kita mencari rezeki perlu kita pertahankan. Bukannya untuk diburuk-burukkan. Kita seharusnya terhutang budi kepada tempat yang memberikan rezeki kepada kita dan keluarga selama ini. Kalau bukan kerana tempat kita bekerja itu sudah tentu kita tidak dapat menikmati kemewahan dan kesenangan dalam hidup.

Jika tidak berasa puas hati sekalipun janganlah diburuk-burukkan tempat yang selama ini memberikan rezeki kepada orang lain. Ibarat menepuk air di dalam dulang akhirnya terkena muka sendiri juga. Akibat daripada perbuatan kita yang tidak baik itu maka orang lain bukan sahaja mengetahui sikap buruk yang ada pada diri kita tetapi juga kelemahan yang terdapat di tempat kita bekerja.

Kalau kita mendapat kerja
di tempat yang baru janganlah sesekali kita memburuk-burukkan tempat lama kita bekerja. Janganlah wujudkan jurang perbezaan umpama langit dan bumi. Antara tempat baru kita bekerja dengan tempat yang lama.

Sebenarnya di mana sahaja kita bekerja semuanya adalah sama. Cuma yang berbeza adalah suasana dan cara bekerja. Jadi, apabila kita meninggalkan tempat kerja yang lama untuk berpindah ke tempat kerja yang baru maka bawalah perkara yang baik dan janganlah dibawa perkara yang buruk.

Kerana ini secara tidak langsung menggambarkan dan mencerminkan keperibadian dan watak yang kita pegang dalam bekerja. Dari situ ketua dan rakan-rakan di tempat kerja kita yang baru sudah dapat mengenali dan mengetahui kita siapa sebenarnya.

Dalam bekerja kita perlu bersaing dengan cara yang sihat. Persaingan yang sihat akan menjadikan kerja yang kita lakukan itu mendapat berkat dan ganjaran daripada Allah SWT. Insya-Allah. Hindari daripada sifat yang tidak baik terhadap rakan-rakan sekerja yang lain. Kerana apabila sama-sama bekerja di bawah satu bumbung maka kita semua dianggap seperti dalam satu keluarga.

Demikianlah berakhirnya coretan mengenai pentingnya bekerja dalam kehidupan kita sebagai manusia di dunia ini untuk dikongsi bersama. Semoga coretan yang ditulis pada kali ini akan memberi banyak manfaat mahupun faedah kepada kita semua. Akhir kata, berkhidmat dan berbaktilah demi agama, bangsa dan negara yang tercinta. Sayangilah pekerjaan kita!


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *