Cerpen “Semangat Permuafakatan”

Tolong menolong..

Bantu Membantu ( Sasint )

Pagi.

Seperti biasa selepas menunaikan solat Subuh dan bersarapan Pak Atan lalu menghidupkan enjin motosikal menuju ke kebun.

Selalunya menjelang tengah hari baru dia pulang ke rumah. Dalam perjalanan pulang dia singgah sebentar di warung Pak Hamid untuk membasahkan tekak.

∇Δ∇Δ∇Δ∇

“Dari kebun ke, Atan?” soal Tok Ketua.

“Ya, tok!” angguknya.

Tak lama kemudian Pak Hamid muncul sambil membawa cawan yang berisi kopi ‘o’ panas yang dipesan Pak Atan. Perlahan-lahan dia meletakkannya di atas dan kemudian beredar pergi.

Air kopi ‘o’ yang masih lagi panas itu lalu perlahan-lahan dihirup Pak Atan.

“Berbudi pada tanah pasti akan mendapat hasilnya,” kata Tok Ketua.

“Apalagi nak buat, tok. Daripada duduk aje kat rumah kan elok dikerjakan tanah tu. Macam yang tok katakan tadi. Dapat juga merasa hasilnya,” balas Pak Atan.

“Pokok pangkalnya rajin. Hasilnya nanti akan dapat dinikmati,” tambah Pak Hussein pula.

Sekali-sekala kedengaran suara angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa. Pohon-pohon yang tumbuh berhampiran dengan warung Pak Hamid kelihatan mengangguk-angguk apabila ditiup angin.

Daun-daun yang terbuai-buai ditiup angin mengeluarkan irama yang sungguh merdu dan menghiburkan jiwa.

∇Δ∇Δ∇Δ∇

“Orang yang dah biasa bekerja macam kau ni, Atan selama-lamanya akan bekerja. Tak akan duduk diam,” ujar Tok Ketua.

“Selagi dikurniakan Allah SWT kudrat selagi itulah saya akan mengusahakan kebun tu,” balas Pak Atan pula sebaliknya.

“Aku tengok pisang kat kebun kau tu bertandan-tandan buahnya,” ucap Pak Hussein.

“Alhamdulillah, Sin. Rezeki Allah SWT. Minggu depan ada pemborong dari bandar nak borong semua pisang aku tu,” kata Pak Atan.

“Anak-anak muda tak nak buat kerja-kerja berkebun macam kita ni. Mereka lebih suka bekerja di bandar. Maklumlah kerja di bandar tu gajinya tinggi. Berbanding dengan di kampung ni. Apalah yang ada,” ujar Tok Ketua.

Angin yang tadinya bertiup perlahan tiba-tiba bertukar menjadi kencang. Pohon nyiur yang tumbuh di halaman rumah Pak Ismail kelihatan melambai-lambai apabila ditiup angin.

Seolah-olah mengajak anak-anak muda yang mencari rezeki di bandar agar pulang semula ke kampung halaman untuk menaburkan khidmat dan bakti. Di tempat mereka dilahirkan dan dibesarkan.

Matahari kelihatan bersinar indah. Sinaran cahayanya yang terang-benderang menerangi seluruh kampung yang indah dan permai.

Jalur-jalur cahaya matahari yang lurus kelihatan terpantul dan menembusi celah-celah daun yang menghijau.

∇Δ∇Δ∇Δ∇

“Dalam mencari rezeki ni di mana-mana sama sahaja. Di kampung ni sebenarnya macam-macam boleh dibuat. Macam yang kau katakan tadi, Sin. Asalkan rajin dan berusaha apa yang kita buat semuanya akan menjadi,” tambah Pak Atan pula.

“Memang rajin dan usaha itu tangga kejayaan. Tiada jalan mudah dan pintas untuk mencapai kejayaan. Melainkan dengan usaha dan gigih sahaja,” ulas Tok Ketua.

“Dalam menuju ke puncak kejayaan adakalanya kita terpaksa menghadapi pelbagai ujian dan cabaran,” celah Pak Hussein.

“Itu sudah menjadi lumrah, Sin. Dengan menghadapi bermacam dugaan dan cabaran akan menjadikan kita kuat dan bersemangat untuk berjaya dalam hidup ini,” ucap Tok Ketua.

“Tapi adaketikanya kita lupa diri dan berlagak sombong apabila sudah berjaya dalam hidup.” Pak Atan merancakkan lagi tajuk perbualan.

Angin yang datang dari arah bukit yang subur dan menghijau berhampiran dengan warung Pak Hamid semakin bertiup kencang.

Daun-daun kering yang berguguran ditiup angin kelihatan bertaburan di atas tanah.

Bunyi ranting patah yang jatuh bergemertap ditiup angin dan menimpa permukaan tanah juga jelas kedengaran membelah suasana.

∇Δ∇Δ∇Δ∇

“Seperti yang aku katakan tadi. Itu sudah menjadi lumrah, Atan. Kita jadi leka dan lupa diri dengan kejayaan yang ada. Sedangkan kita harus bersyukur dan ingat segala susah payah dan pahit getir yang terpaksa kita tempuhi sebelum sampai ke puncak kejayaan,” ulas Tok Ketua pula sebaliknya.

“Saya amat bersetuju sekali dengan apa yang tok katakan tu. Bak kata orang bila dah memandang langit tinggi rumput di bawah jangan dilupakan,” balas Pak Hussein.

“Dari kata-kata kau tu Sin mengingatkan aku pada harta kekayaan yang kita miliki. Janganlah terlalu megah dan bangga dengan harta yang kita ada. Kerana semua itu adalah milik Allah SWT. Bila-bila masa saja boleh ditarik balik,” ujar Tok Ketua.

“Seharusnya kita yang berada membantu yang lemah dan tak berupaya sebagai tanda kita bersaudara,” celah Pak Atan sambil menghabiskan sisa-sisa air kopi ‘o’.

“Itu memang tidak dinafikan, Atan. Dalam hidup ini kita harus tolong-menolong dan bantu-membantu antara satu sama lain. Barulah terasa ringan penderitaan dan kesusahan yang ditanggung oleh mereka yang tidak berkemampuan,” tambah Tok Ketua.

“Seperkara lagi tok kita juga harus ingat bahawa muafakat amat penting dalam kehidupan kita sebagai sebuah masyarakat,” kata Pak Hussein.

“Dalam apa jua pekerjaan yang kita lakukan mesti muafakat. Bila kita muafakat kerja yang berat dan susah akan menjadi ringan dan mudah. Bak kata orang kalau berat sama-sama kita pikul, kalau ringan sama-sama kita jinjing,” balas Tok Ketua.

“Lebih-lebih lagi kita yang hidup di kampung ni muafakat menjadi keutamaan,” sokong Pak Atan pula sebaliknya.

“Semenjak dari dahulu lagi kita dididik dan diasuh untuk hidup bermuafakat. Saling tolong-menolong dan bantu-membantu antara satu sama lain,” tambah Pak Hussein.

“Bila sentiasa muafakat dan bersatu bukan sahaja membawa berkat malahan menjadikan perpaduan kita kuat dan kukuh dan tidak mudah berpecah-belah,” kata Pak Atan.

∇Δ∇Δ∇Δ∇

Tok Ketua sebaliknya hanya mendiamkan diri sahaja sambil memandang cawan dan pinggan di atas meja.

Angin yang tadinya bertiup kencang dengan tiba-tiba bertukar rentak menjadi perlahan. Menyusup masuk melalui atap zink dan terus ke dalam warung Pak Hamid.

Rasa nyaman dan dingin angin yang menerobos masuk jelas terasa.

“Kita jangan jadi seperti enau dalam belukar yang hanya tahu melepaskan pucuk masing-masing sahaja. Akibatnya membawa kepada kerugian pada diri sendiri,” ujar Pak Hussein.

“Memang betul kata kau tu, Sin!” Pak Atan membalas dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Orang macam tu lebih pentingkan diri sendiri daripada hidup masyarakat. Sedangkan masyarakat di sekeliling adalah tempat untuk mengadu bila sakit pening dan ditimpa kesusahan,” dia menyambung lagi.

“Sebab itu kita dituntut supaya sentiasa mengeratkan hubungan silaturrahim dan tidak menjadikan jiran tetangga dan sekeliling sebagai musuh dan tidak bertegur sapa,” Tok Ketua yang selama ini berdiam diri lalu mencelah.

Nampaknya tajuk perbualan mereka semakin rancak tengah hari ini.

Sementara itu pelanggan semakin berkurangan mengunjungi warung Pak Hamid. Berbanding dengan pagi tadi.

Memang warung pesara polis itu menjadi tumpuan dan pilihan orang-orang kampung untuk bersarapan pada setiap pagi.

∇Δ∇Δ∇Δ∇

“Kita digalakkan untuk mempunyai ramai kawan dan bukannya lawan. Bila kita mempunyai ramai kawan untungnya adalah apabila kita mempunyai masalah tak kira sama ada besar mahupun kecil akan mudah diatasi. Kerana ramai yang menghulurkan tangan untuk membantu. Tapi kalau kita mempunyai ramai musuh sebaliknya akan mendatangkan kesulitan dan kesusahan kepada kita apabila dilanda masalah. Sebab tak seorang pun yang datang membantu. Waktu tu barulah kita sedar dan tahu langit itu tinggi rendah. Sambil menyesali dengan apa yang telah kita lakukan selama ini,” Pak Hussein berkata dengan penuh panjang lebar.

“Memang benar apa yang kau katakan tu, Sin!” angguk Tok Ketua pula dengan pantas.

“Tapi orang macam tu kita kena bantu jugak. Atas nama persaudaraan. Mungkin dengan bantuan kita itu akan menjadikan dia insaf dan sedar. Dan merasakan betapa pentingnya hidup bermasyarakat dan membuang jauh sikap yang sepatutnya tidak perlu ada dalam diri selama ini,” sambungnya lagi.

“Hendaknya janganlah ada orang yang sebegitu dalam kampung ni,” celah Pak Atan pula sebaliknya.

“Alhamdulillah, Atan. Setakat ni aku tak nampak lagi orang yang bersikap sedemikian dalam kampung ni. Kau, Hussein dan orang-orang kampung yang lain sentiasa tolong-menolong dan bekerjasama dalam apa jua pekerjaan mahupun majlis kenduri yang diadakan di kampung ini. Aku lihat semangat perpaduan dan hormat-menghormati antara satu sama lain di kampung ini amat kukuh. Semoga semangat permuafakatan yang kita bina bersama akan terus berkekalan dan disambung oleh generasi kita yang seterusnya,” ucap Tok Ketua dengan penuh panjang lebar.

Menjelang masuk waktu Zuhur berakhirlah tajuk perbualan mereka mengenai pentingnya semangat permuafakatan dalam hidup ini.

Selepas membayar harga minuman pada Pak Hamid mereka pun lalu pulang ke rumah.

∇Δ∇Δ∇Δ∇


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *