Untuk Kita Renungkan Bersama
Bukan hidup namanya kalau tanpa cabaran.
Suka atau tidak manis mahupun pahit harus ditelan.
Terimalah dengan hati yang terbuka dan berlapang dada. Bukannya mudah mengalah mahupun menyerah.
Kalah dalam hidup ini tidak mengapa. Jangan sesekali berundur walaupun setapak. Sesungguhnya hidup ini adalah satu perjuangan.
Hidup ini juga adalah satu pengembaraan. Berjuang dan terus berjuang sehingga sampai ke puncak kejayaan. Mengembara dan terus mengembara sehingga sampai ke destinasi yang dituju.
Kehidupan yang kita lalui selagi masih bernafas di atas dunia ini adalah ibarat air laut nan membiru. Pasang dan surut silih berganti penuh dengan warna-warna suka dan duka.
Hidup ini juga tak ubah seperti putaran roda.
Adakalanya di atas dan adakalanya di bawah. Pabila memandang langit yang tinggi jangan lupakan rumput di bawah. Ingat asal usul dan susah payah yang dilalui sebelum berada di puncak kejayaan.
Hari ini kita hidup dengan penuh kemewahan dan kesenangan. Tapi besok belum pasti lagi kerana semuanya adalah ditentukan Tuhan Yang Esa dan bukannya kita yang bernama manusia.
Sudah menjadi lumrah dalam kehidupan yang kita lalui. Kawan ketawa memang ramai di sekeliling tapi apabila menangis seorang diri.
Memang kita menjadi sanjungan ketika berada di puncak namun apabila berada di bawah dilupakan dan tidak mendapat perhatian.
Waktu itu barulah kita menyedari bahawa hidup ini adalah tidak seindah sebagaimana yang kita impikan selama ini.
Jangan kita berasa angkuh dan meninggi dengan apa yang kita miliki di atas dunia ini. Walau segagah mana dan sekuat sekalipun kita tak akan dapat mengatasi Tuhan yang berkuasa ke atas segala-galanya.
Pada yang hidupnya serba kekurangan dan tak punya apa jangan dihina.
Sebaliknya ringankanlah tangan untuk membantu mereka dan barulah terasa akan betapa eratnya kasih sayang sesama insan tanpa ada jurang perbezaan yang amat mendalam.
Kita sebagai manusia yang hidup sebagai khalifah di atas muka bumi ini adalah sama di sisi Tuhan Yang Esa tanpa mengira kaya atau miskin kuat mahupun lemah.
Cuma yang membezakan adalah iman dan takwa.
Dalam melakukan sesuatu pekerjaan itu kita mesti muafakat. Barulah terasa kerja yang berat akan menjadi ringan. Kalau kita duduk seorang jadinya sempit dan kalau kita duduk ramai jadinya lapang.
Demikianlah halnya dalam kita mengamalkan semangat kerja berpasukan.
Tak lemak dek santan dan tak kuning dek kunyit. Itulah yang dikatakan sebagai adat dan tak akan berubah serta perlu kita pertahankan selamanya.
Sejarah menjadikan kita mengenal akan asal usul dan tamadun milik bangsa kita sendiri. Di sebalik apa yang dikatakan sebagai sejarah itu juga mempunyai banyak teladan dan pengajaran yang perlu kita hayati dan pelajari supaya peristiwa yang tidak kita ingini berulang kembali.
Kaya orang dipandang pada harta kekayaan yang melimpah ruah macam air sungai yang mengalir. Namun kaya akan lebih dipandang lagi pada budi bahasa. Berkilauan belum tentunya intan permata.
Jadi berhati-hatilah supaya kita tidak silap dengan memilih kaca.
Tiada jalan mudah dan pintas untuk kita meraih kejayaan dalam hidup ini. Perlu dengan usaha keras dan rajin tanpa mengenal jemu mahupun penat lelah.
Segala yang baik kita jadikan sebagai teladan. Manakala yang buruk kita jadikan sebagai sempadan dan barulah hidup mendapat keberkatan. Jadilah seperti ikan di laut walaupun airnya masin namun isinya tetap manis.
Hidup perlu ada pendirian dan bukannya seperti lalang yang mudah melayang-layang apabila ditiup angin.
Ilmu adalah ibarat pelita dalam hidup ini.
Tanpanya kita akan kegelapan dan teraba-raba. Dalam membuat sesuatu keputusan itu perlu difikirkan dengan sedalam-dalamnya dan bukan terburu-buru.
Seperti yang disebut dalam pepatah sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tiada gunanya.
Hidup berkampung kampung dipertahankan. Begitu juga dengan hidup berketua maka perlu patuh dan taat pada segala perintahnya.
Pada yang alim kita pinta doanya. Manakala yang cerdik pandai pula kita tuntut ilmunya. Anak adalah ibarat sehelai kain putih. Sudah menjadi tanggungjawab kita sebagai ibu bapa untuk mencorakkannya.
Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga.
Jagalah tingkah laku agar tidak memalukan diri sendiri.
Daun hijau apabila tiba masanya akan bertukar menjadi perang kekeringan dan jatuh di atas tanah apabila ditiup angin. Itulah yang diibaratkan usia kita yang hidup di atas dunia yang sementara ini.
Jangan kita kecewa kerana tidak merasa bahagia pada hari ini.
Mungkin Tuhan sudah sediakan esok hari bahagia buat kita.
Sebarang bentuk perpecahan perlu kita hindarkan. Semangat kebersatuan perlu ditanamkan dengan sekukuh-kukuhnya supaya hidup dalam suasana yang aman dan damai dapat dinikmati selamanya.
Cinta tidak mengenal usia baik muda mahupun tua. Namun ketahuilah bahawa cinta yang mulia adalah pada agama, bangsa dan negara.
Generasi muda adalah harapan negara pada masa depan.
Oleh itu maka bentuk dan bimbinglah mereka untuk meneraju dan memacu kejayaan negara.
Solat lima waktu yang diperintahkan Allah SWT adalah tiang agama.
Maka kerjakanlah ia dan jangan sesekali ditinggalkan untuk mendapat kesempurnaan dan keberkatan hidup di dunia dan akhirat.
~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~