Ada Hikmah Tersembunyi Di Sebalik Ujian-Nya
Sudah menjadi lumrah dalam
kehidupan kita sebagai manusia tidak dapat lari
atau mengelakkan diri daripada menghadapi ujian.
Sama ada ujian yang datang itu dalam bentuk yang besar mahupun kecil harus kita terima dengan penuh redha sebagai ketentuan dan suratan takdir daripada Tuhan Yang Esa.
Hidup kita tidak akan menjadi lengkap dan sempurna tanpa melalui dan berdepan dengan ujian. Oleh itu maka bersabar dan bertabahlah dalam mengharungi ujian yang datang dalam hidup kita tanpa diduga ataupun dipinta. Sentiasalah memandang bahawa di sebalik ujian yang datang itu sebenarnya mempunyai hikmah dan kemanisan untuk kita nikmati.
Itulah sebenarnya rahsia Tuhan Yang Maha Esa yang tidak kita ketahui apabila memberikan sesuatu ujian itu dengan penuh keperitan dan kesengsaraan untuk kita tanggung. Mahu atau tidak sama ada suka ataupun tidak kita harus menerima ujian dengan penuh ketabahan dan kesabaran.
π΄ π΅π΄ π΅π΄ π΅π΄
Tiada siapa yang mahu hidup dalam penderitaan dan kepayahan. Begitu juga tiada siapa yang mahu hidup dengan sentiasa berendam air mata ataupun menanggung kesakitan. Namun itulah hakikat dan kenyataan yang harus kita hadapi apabila diuji sedemikian rupa. Seharusnya kita berasa bersyukur apabila diberikan ujian oleh Tuhan Yang Maha Esa.
Ini kerana itulah tandanya Allah SWT sayang kepada kita dan mengajar kita agar sentiasa bermuhasabah diri. Ujian juga menjadikan kita supaya menjadi kuat dan cekal dalam melayari warna-warna yang melatari kehidupan ini. Selain daripada itu, kita juga dapat mengenali dan memahami erti sebenar perjalanan hidup ini.
Jangan sesekali menjadikan ujian yang datang itu sebagai satu bebanan mahupun melemahkan semangat dan kekuatan untuk kita terus menempuh kehidupan. Sebaliknya kita harus meletakkan diri kita sebagai insan terpilih untuk menghadapi ujian yang diberikan oleh Allah SWT.
Dengan menghadapi ujian yang datang dengan tiba-tiba dalam hidup kita mungkin akan menjadikan kita untuk semakin mendekatkan diri dengan Tuhan Yang Maha Esa. Melalui doa yang kita pohon siang dan malam agar diberikan kekuatan dan jalan untuk keluar daripada masalah yang dihadapi.
Kita juga mendapat petunjuk dan hidayah daripada Allah SWT apabila menghadapi ujian yang akan menguatkan lagi keimanan dan ketakwaan kita sebagai hamba. Jadi itulah nikmat dan keindahan yang akan kita perolehi apabila diuji. Oleh yang demikian maka jadikanlah ujian sebagai keseronokan dalam hidup ini walaupun zahirnya adalah satu beban yang amat berat untuk digalas mahupun dipikul.
π΄ π΅π΄ π΅π΄ π΅π΄
Ujian ada di mana-mana sahaja dalam hidup ini. Dalam erti kata lain selagi kita masih bernafas dan selagi masih dapat melihat mentari bersinar di siang hari dan selagi masih dapat melihat sinaran rembulan di malam hari maka selagi itulah kita akan terus berdepan dengan ujian.
Hari ini hidup kita diwarnai dengan suka namun esok belum pasti lagi. Mungkin sudah tiba giliran kita pula dilanda duka dalam kehidupan. Sesungguhnya perjalanan hidup kita ini tak ubah seperti roda yang berputar. Sekejap kita berada di atas dan sekejap kita berada di bawah. Tidak selama-lamanya kita akan berada di atas. Satu hari kita akan berada di bawah juga akhirnya. Itulah yang dinamakan sebagai ujian Allah SWT ke atas kita sebagai makhluknya yang hidup di dunia ini.
Begitu juga dengan kesenangan dan kemewahan hidup yang kita nikmati melimpah-ruah seperti air sungai yang mengalir. Tidak semua kemewahan dan kesenangan hidup akan kita nikmati dan kecapi buat selama-lamanya. Akan tiba juga masanya nanti kita diuji apabila kesemua kelazatan dan kenikmatan hidup yang kita alami selama ini hilang dengan sekelip mata kerana ditarik oleh Allah SWT.
Sesungguhnya ujian menjadi rencah dan asam garam dalam kehidupan yang kita lalui di dunia ini. Ia bukan sahaja datang sekali dalam hidup kita malahan ada waktu dan ketikanya mengikut apa yang telah tertulis dan ditentukan oleh Tuhan Yang Maha Esa. Maka kita hendaklah bersedia untuk menghadapi setiap ujian yang datang dalam hidup ini tanpa mengira waktu dan ketika.
π΄ π΅π΄ π΅π΄ π΅π΄
Hidup kita sebagai manusia juga umpama graf. Adaketikanya graf kita naik dan adamasanya graf kita turun. Ketika graf kita berada di puncak kita merasa begitu bersemangat sekali dalam hidup ini. Tapi apabila graf kita jatuh menurun kita berasakan seperti tidak lagi bersemangat dan hilang segala-galanya dalam hidup ini.
Semua ini adalah ujian yang diturunkan oleh Allah SWT kepada kita. Apabila jatuh kita perlu bangun semula untuk meletakkan diri kita kembali semula ke puncak. Dalam pada itu kita harus menilai dan mencari kelemahan yang ada dalam diri kita. Inilah yang menjadi proses pembelajaran dan pengalaman yang amat berguna dalam hidup kita. Seharusnyalah kita merasa bersyukur apabila diberikan ujian oleh Tuhan Yang Maha Esa kerana dapat membentuk dan menjadikan kehidupan yang kita tempuhi dengan lebih teratur dan sempurna.
Sering kita mendengar bahawa kawan ketawa memang ramai berada di sekeliling kita. Tapi kawan menangis hanya kita seorang sahaja. Ketika kita berada di puncak kegemilangan ramai kawan yang setia bersama-sama dengan kita. Namun apabila kita jatuh tersungkur mereka lalu meninggalkan kita seorang diri.
Apabila ini berlaku anggaplah ia sebagai ujian daripada Allah SWT. Kita juga dapat mengenali siapa kawan-kawan kita selama ini. Ternyata mereka hanya mahu berkongsi kegembiraan bersama-sama dengan kita dan bukannya kedukaan. Dalam pada itu kita juga dapat mengetahui yang mana dikatakan sebagai kawan dan yang mana dikatakan sebagai kawan yang setia.
π΄ π΅π΄ π΅π΄ π΅π΄
Kesetiaan seorang kawan adalah bukan sahaja mahu bergembira bersama-sama dengan kita malahan juga menangis. Kawan yang setia juga akan membantu kita ketika diuji dengan kesusahan ataupun musibah. Untuk mencari kawan yang setia amat sukar dan payah ditemui berbanding dengan kawan yang ketawa yang begitu mudah untuk ditemui dan sentiasa berada di mana-mana sahaja kita pergi. Inilah sebenarnya ujian kepada kita dalam mencari kawan.
Perjalanan hidup ini seperti lautan biru yang terbentang luas. Pasang dan surut silih berganti walaupun ombak sentiasa menghempas pantai. Ujian sentiasa datang dan pergi meniti setiap detik dan waktu dalam kehidupan kita. Di kala suka terasa manis umpama menelan madu namun ketika duka terasa begitu amat pahit sekali seperti menelan hempedu.
Tidak semestinya ujian yang berlaku itu amat pahit untuk ditelan. Namun tetap juga ada kemanisan untuk dirasai apabila kita berjaya menghadapinya. Jadi, janganlah kita mudah tewas atau kalah apabila menghadapi ujian. Ini kerana dalam hidup ini kekalahan boleh kita terima namun mengalah jangan sesekali. Demikianlah cantik dan indahnya ujian apabila datang ke dalam hidup kita.
Pandanglah ujian itu sebagai sesuatu yang membawa kebaikan buat kita. Cubalah bayangkan apabila ujian tidak datang dalam hidup kita maka kita akan berasa begitu amat kerugian kerana tidak dapat merasai keindahan dan kenikmatan hasil daripada kejayaan kita menghadapinya dengan begitu tenang dan sabar.
π΄ π΅π΄ π΅π΄ π΅π΄
Dalam bekerja untuk mencari rezeki kita juga tidak dapat mengelakkan diri untuk berdepan dengan ujian. Prestasi kerja kita kadangkala tidak menentu iaitu adamasanya naik dan adaketikanya turun. Apabila menurun ini akan menjejaskan prestasi kerja kita terutama dari segi kenaikan gaji bagi mereka yang bekerja di sektor swasta.
Namun begitu kita harus mengambilnya sebagai sesuatu yang membawa kebaikan dan keburukan. Mungkin ini adalah peluang dan jalan terbaik untuk kita sentiasa meningkatkan prestasi kerja dan seterusnya menjadi pekerja yang cemerlang. Oleh itu maka kita hendaklah sentiasa bekerja dengan keras dan penuh komitmen untuk meletakkan diri kita sentiasa berada dalam tahap yang terbaik dan meletakkan syarikat di tempat kita bekerja berada di puncak kejayaan.
Kesesakan lalu-lintas yang sering kita alami pada setiap hari sewaktu keluar daripada rumah menuju ke tempat kerja juga adalah merupakan ujian yang perlu kita hadapi. Adaketikanya kita terpaksa mengalami kesesakan lalu-lintas yang teruk terutamanya apabila berlaku kemalangan.
Ini menjadikan kita sampai lewat ke tempat kerja. Namun begitu sedar atau tidak ada rahmat dan hikmah yang tersembunyi di sebalik kesesakan lalu-lintas yang kita alami iaitu mendidik dan mengingatkan kita agar keluar rumah dengan cepat. Kita tidak akan dapat menduga apa yang berlaku dalam perjalanan menuju ke tempat kerja sehingga kita lambat sampai untuk memulakan tugas dan tidak mengikut waktu yang telah ditetapkan.
Justeru itu maka kita hendaklah sentiasa mendisiplinkan diri kita dengan menepati waktu bekerja. Kalau kita tidak berdisiplin bagaimana kita hendak berjaya dalam pekerjaan yang menjadi sumber pendapatan dan rezeki kepada isteri serta anak-anak kita. Maka kita perlulah berterima kasih dengan ujian menghadapi kesesakan lalu-lintas kerana telah mendidik kita agar menepati masa dan membentuk kita menjadi orang yang berjaya dalam hidup.
π΄ π΅π΄ π΅π΄ π΅π΄
Kegawatan ekonomi yang berlaku adalah juga merupakan ujian yang perlu kita lalui dan tempuhi. Memang tidak dapat dinafikan bahawa kegawatan ekonomi menyebabkan berlakunya perubahan dalam kehidupan kita seharian terutamanya perbelanjaan keluarga. Namun begitu ia sebenarnya bukanlah menjadi suatu beban mahupun kesusahan yang perlu kita tanggung.
Sebaliknya ia mendidik kita agar berjimat cermat dan berbelanja dengan lebih berhemah serta mengelakkan daripada berlakunya pembaziran yang membawa banyak kerugian dalam perbelanjaan seharian kita. Pada masa yang sama ia juga mendorong dan merangsang kita supaya bekerja dengan lebih keras untuk memulihkan semula ekonomi yang mengalami kemerosotan.
Sebenarnya banyak teladan dan pengajaran yang boleh kita perolehi apabila Allah SWT menurunkan ujian kepada kita. Janganlah kita hendak mengeluh mahupun merintih apabila diberikan ujian dalam hidup ini. Sebaliknya kita hendaklah menjadikan ujian itu sebagai suatu keindahan dan menjadikan kita sentiasa ingat pada Tuhan Yang Maha Esa yang telah menciptakan kita sebagai manusia dan alam semesta di atas muka bumi ini.
π΄ π΅π΄ π΅π΄ π΅π΄
Wabak penyakit merbahaya yang menular dengan berleluasa adalah merupakan ujian yang paling besar yang harus kita hadapi. Tetapi di sebaliknya ada hikmah dan membawa kebaikan kepada kita iaitu sentiasa menjaga kebersihan diri termasuk keluarga. Ini akan meningkatkan kesedaran yang tinggi kepada kita dan keluarga agar sentiasa menjaga kesihatan. Apabila ini menjadi amalan kita dan keluarga maka bukan sahaja dapat menghindari wabak penyakit merbahaya daripada berjangkit malahan juga dapat membendungnya habis-habisan.
Banjir besar yang berlaku mengakibatkan kehilangan banyak harta benda termasuk nyawa. Kita sering menganggap banjir besar sebagai bencana alam dan melumpuhkan kehidupan kita. Sebagai hamba yang lemah dan hanya mampu berserah kita harus menerima banjir sebagai ujian yang paling besar yang harus kita hadapi dengan penuh sabar dan redha.
Dalam pada itu kita juga harus menjadikan punca banjir besar yang berlaku kerana sikap kita yang suka membuang sampah ke dalam longkang dan sungai termasuk melakukan penebangan pokok di hutan secara haram. Ini menyebabkan sungai dan longkang lalu menjadi tersumbat manakala hutan tidak lagi mempunyai kawasan tadahan air.
Apabila hujan lebat turun maka berlakulah banjir besar dan kita seharusnya mengambil iktibar dan pengajaran daripada sikap dan perbuatan kita yang tidak menghargai alam sekitar. Banjir besar tidak akan berlaku apabila kita sentiasa memastikan kebersihan longkang dan sungai daripada tercemar dengan sampah-sarap. Begitu juga menjaga keindahan hutan semulajadi dan bersama-sama membanteras kegiatan pembalakan secara haram daripada berleluasa.
Musim panas dan kemarau yang berpanjangan juga turut menjadi ujian yang harus kita lalui. Ketiadaan air akibat daripada musim kemarau dan panas yang terik menambahkan lagi dugaan yang harus kita tempuhi. Namun di sebalik ujian itu sebenarnya mengingatkan kita agar sentiasa berjimat cermat dalam menggunakan air dan tidak melakukan pembaziran akibat daripada masalah bekalan air yang berpunca daripada musim panas dan kemarau yang berpanjangan.
π΄ π΅π΄ π΅π΄ π΅π΄
Kehilangan pekerjaan disebabkan faktor ekonomi yang merudum juga harus diterima sebagai ujian. Tiada siapa yang mahu hilang pekerjaan ketika ekonomi mengalami zaman kemalapan. Tetapi kita harus memandang ia sebagai suatu hikmah yang tersembunyi dan rahsia yang telah diaturkan oleh Tuhan Yang Maha Esa buat kita.
Mungkin dengan usaha serta doa yang berterusan dan tanpa mengenal penat lelah mahupun jemu kita akhirnya akan menemui pekerjaan yang baik dan dapat melipatgandakan lagi rezeki kita berbanding dengan pekerjaan sebelum ini. Oleh yang demikian maka jadikanlah ujian apabila kehilangan pekerjaan sebagai permulaan dan satu usaha untuk kita mengorak langkah ke arah kehidupan yang lebih baik lagi.
Janganlah menganggap ujian itu adalah suatu yang amat membebankan seperti memikul seketul batu yang amat besar dan berat. Juga janganlah jadikan ujian itu sebagai punca kita hilang arah dan hanyut dalam hidup ini. Tak ubah seperti bahtera yang tenggelam di lautan akibat dipukul gelombang ganas. Sebaliknya kehidupan mesti diteruskan walau dalam apa jua keadaan termasuk ketika menerima ujian daripada Allah SWT.
π΄ π΅π΄ π΅π΄ π΅π΄
Bagi mereka yang menjadikan perniagaan sebagai sumber pendapatan utama akan berdepan dengan ujian yang paling besar apabila mengalami kerugian sehingga tidak dapat membayar gaji pekerja dan hutang. Namun begitu ini bukanlah bermakna pengakhiran dalam rezeki sebaliknya menjadi pencetus semangat dan kekuatan kepada mereka untuk bangkit memajukan lagi perniagaan sehingga berjaya mencapai taraf sebagai usahawan yang terkenal.
Apabila majikan lambat membayar gaji maka anggaplah ia sebagai satu ujian yang telah ditentukan oleh Tuhan Yang Maha Esa kepada kita. Memang gaji yang kita perolehi pada setiap bulan adalah hak kita setelah menghabiskan seluruh tenaga dan masa dengan bekerja. Dengan gaji yang diterima dapat menyara keluarga kita terutamanya persekolahan anak-anak termasuk membayar pinjaman seperti rumah dan kereta.
Siapa yang tidak tertekan apabila gaji tidak dibayar mengikut tarikh yang telah ditetapkan. Jangan mengambil keputusan dengan mengikut kata hati sehingga akhirnya membawa kerugian kepada diri kita sendiri. Setiap penyakit ada ubatnya dan begitu juga dengan setiap masalah yang dialami boleh diatasi.
Begitu juga dengan setiap kekusutan yang berlaku itu boleh dileraikan. Oleh yang demikian maka berdiplomasilah dengan pihak majikan di samping berdoa dan bersabar menghadapi ujian yang telah diberikan oleh Allah SWT kepada kita sebagai pekerja. Dalam pada itu kita bersama-sama dengan rakan-rakan sekerja yang lain hendaklah membantu pihak majikan menyelesaikan masalah kelewatan pembayaran gaji.
π΄ π΅π΄ π΅π΄ π΅π΄
Menghadapi karenah anak-anak yang semakin meningkat dewasa juga adalah merupakan ujian kepada kepada kita sebagai ayah dan ibu. Di sinilah pentingnya peranan kita untuk mendidik dan membentuk mereka mempunyai akhlak dan keperibadian yang tinggi dan sempurna.
Mereka adalah ibarat sehelai kain putih dan terpulanglah kepada kita sebagai ayah dan ibu untuk mencorakkannya. Sudah tentu kita mahu mereka mempunyai corak yang menarik dan indah untuk dilihat di mata. Dalam hal ini maka perlu kita memberikan didikan agama yang sepenuhnya kepada mereka terutamanya kepentingan menjaga solat lima waktu yang menjadi tiang kepada agama yang menjadi pegangan kita.
Apabila anak-anak dibentuk dengan didikan agama yang kuat maka mereka akan sentiasa menjadikan perkara yang baik sebagai amalan dan meninggalkan segala perkara yang buruk. Sesungguhnya mereka bukan sahaja penyeri dalam kehidupan kita setelah berkahwin dan sah sebagai suami isteri malahan juga anugerah dan amanah daripada Allah SWT yang harus kita laksanakan dengan mendidik mereka patuh dan taat pada ajaran agama.
π΄ π΅π΄ π΅π΄ π΅π΄
Sesungguhnya ujian bukan sahaja bertujuan untuk menjadikan seorang insan yang sabar dan tabah dalam mengharungi perjalanan hidup ini. Tetapi ia juga mempunyai hikmah yang tersembunyi walaupun terpaksa menelan kepedihan dan kesengsaraan. Justeru itu maka marilah kita bersama-sama menghayati coretan ini agar kita memperolehi manfaat daripada Allah SWT sebagai insan yang menumpang hidup di dunia yang sementara ini.
~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~