Cerpen “Kampung Talang”

Penyapu lidi

Penyapu Lidi ( Nuraishah / CC BY )

Pagi.

Matahari kelihatan bersinar indah di kaki langit biru. Bersama gumpalan awan yang tebal memutih.

Cahayanya yang terang benderang menyinari ke seluruh kampung yang indah lagi permai.

Angin yang datang dari arah bukit bertiup sepoi-sepoi bahasa. Rasa nyaman dan segar terasa menyapu seluruh alam semesta.

Pohon-pohon kelihatan bergoyangan apabila ditiup angin. Daun-daun yang bergeseran antara satu sama lain mengeluarkan irama yang sungguh merdu dan mengusik jiwa.

Daun-daun kering yang berguguran ditiup angin kelihatan bertaburan dan menutupi permukaan rumput yang menghijau.

Sekali sekala kedengaran bunyi ranting patah bergemertap jatuh ditiup angin dan menimpa tanah.

Azmi kelihatan sedang membersihkan pangkal pokok pisang. Sesekali dia menyeka peluh yang mengalir di dahi dengan lengan baju.

Tiba-tiba kedengaran suara orang memberi salam.

Dia kemudian lalu menjawab dan memandang ke arah suara yang memberi salam itu.

Tok Ketua rupanya yang datang.

#######

“Apa khabar, tok?” sapanya sambil bersalaman dengan Tok Ketua.

“Alhamdulillah, sihat!” dia membalas sambil tersenyum.

“Tok dari mana?” tanyanya lagi.

“Dari pekan Tanjung Ipoh. Nampak kau kat kebun ni. Jadi, aku pun singgahlah nak jumpa kau,” dia menjawab.

“Kalau macam tu marilah kita ke pondok sana. Kat sini panas. Sana sejuk sikit,” ajak Azmi.

“Yalah!” angguknya pula.

Mereka kemudian lalu bersama-sama mengatur langkah ke arah pondok yang beratapkan zink dan bertiangkan kayu.

“Ada apa tok nak jumpa saya,” ujarnya sebaik sahaja duduk di pondok yang berlantaikan papan itu.

“Rajin kau bercucuk tanam. Tanam tanaman kau semua menjadi,” puji Tok Ketua pula sebaliknya.

“Apalagi yang saya nak buat, tok. Itu ajelah yang saya mampu. Lagipun sayang kalau dibiarkan tanah peninggalan arwah ayah saya ni tanpa diusahakan sesuatu,” ucapnya.

“Eloklah macam tu. Berbudi pada tanah pasti akan mendapat hasilnya nanti,” Tok Ketua menambah.

“Tadi tok kata nak mintak tolong dengan saya. Tolong apa, tok?” Dia memandang Tok Ketua.

“Lupa pulak aku. Begini, Mi. Aku nak mintak kau bersihkan kebun aku. Maklumlah aku ni sibuk dengan tugas aku sebagai ketua kampung. Sampai tak ada masa nak bersihkan kebun aku tu. Berapa upahnya nanti aku beri,” terangnya.

“Boleh, tok!” dia sebaliknya membalas dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Bila tok nak saya bersihkan kebun tok tu?” tanyanya lagi.

“Bila-bila kau senang. Kalau kau ada kerja lain kau buatlah dulu,” jawab Tok Ketua.

“Baiklah, tok!” angguknya dengan pantas.

“Minggu depan saya bersihkan kebun, tok. Saya nak siapkan kebun ni dulu,” katanya lagi.

“Baiklah macam tu!” Tok Ketua membalas dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Aku minta diri dululah,” mohonnya sambil bangun.

“Kejap aje, tok. Kita pun tak habis sembang lagi ni,” ujar Azmi pula sebaliknya.

“Aku ada kerja. Nanti ada masa lapang kita sembang lagi. Aku pergi dulu. Assalamualaikum!” Tok Ketua memberi salam.

“Waalaikumsalam!” jawabnya.

Tok Ketua kemudian berlalu pergi dengan kereta yang dipandunya. Azmi kemudian meneruskan semula kerja-kerjanya yang terhenti sebentar tadi.

Selepas menunaikan solat Zuhur dan menikmati hidangan tengah hari Azmi dan isterinya lalu duduk di anjung rumah sambil mengambil angin yang datang dari arah bukit berhadapan dengan rumahnya.

Pohon-pohon nyiur yang tumbuh di halaman rumahnya kelihatan seperti melambai-lambai apabila ditiup angin.

Seolah-olah mengajak anak-anak muda yang mencari rezeki di bandar agar pulang semula dan menabur bakti di kampung halaman sendiri.

#######

“Petang ni abang turun ke sungai tak?” isterinya menyoal.

“Turun!” angguknya dengan pantas.

“Kalau dapat ikan sembilang bagus jugak. Dah lama tak berlaukkan ikan sembilang,” kata isterinya lagi.

Dia kemudian lalu tersenyum. Apabila mendengar apa yang dikatakan isterinya itu.

“Ishhh abang ni. Saya cakap betul-betul. Abang ketawa pulak,” kata isterinya pula.

“Macam mana saya tak ketawa. Awak ni macam orang yang mengidam pulak,” guraunya.

“Dah! Dah! Jangan nak merepek!” potong isterinya dengan pantas.

“Ala awak ni. Saya bergurau pun takkan tak boleh. Yalah! Yalah! Ada rezeki nanti dapatlah,” dia membalas.

“Makan ikan laut hari-hari ni jemu jugak. Sesekali nak jugak tukar selera makan ikan sungai,” tambah isterinya.

Cuaca nampak cerah.

Tiada kelihatan langsung di kaki langit tanda-tanda hujan akan turun. Pelepah-pelepah nyiur yang bergeseran antara satu sama lain bagaikan bernyanyi-nyanyi riang apabila ditiup angin.

Azmi kemudiannya lalu menukar tajuk perbualan.

“Tadi masa di kebun Tok Ketua datang jumpa abang,” dia memberitahu isterinya.

“Ada apa dia jumpa abang?” dengan pantas isterinya menyoal.

“Dia mintak abang tolong bersihkan kebun dia. Berapa upah dia akan beri,” dia menjawab.

“Alhamdulillah, bang! Rezeki!” isterinya berkata.

“Syukur! Dapat jugak menampung pendapatan keluarga kita. Selain daripada tanam-tanaman di kebun tu,” ucapnya.

“Hidup di kampung ni macam tulah, bang. Macam-macam cara boleh dapat duit. Pokok pangkalnya rajin dan sentiasa bekerja keras,” tambah isterinya.

“Memang betul kata awak tu, Milah. Rezeki ni kita kena cari bukannya datang bergolek. Di samping sentiasa ingat pada Tuhan agar diberikan rezeki yang melimpah-ruah kita jugak kena berusaha,” ulas Azmi pula sebaliknya.

“Yalah! Bak kata orang rezeki secupak tak akan jadi segantang,” kata isterinya.

“Sebab itu selagi kita masih ada kudrat dan tenaga kita dituntut untuk mencari rezeki di muka bumi Allah ini,” tambahnya lagi.

Angin yang tadinya bertiup lemah-gemalai tiba-tiba bertukar menjadi kencang.

Bunyi pohon-pohon bergoyangan ditiup angin jelas kedengaran membelah suasana di desa yang permai dan indah.

#######

Petang.

Deru air sungai mengalir perlahan dan tenang.

Kalau dah rezeki tak ke mana.

Banyak jugak dia dapat ikan sembilang.

Nampaknya malam ini dia dan keluarganya akan berlaukkan ikan sungai. Sepertimana yang dihajatkan isterinya.

Menjelang lewat petang barulah dia pulang ke rumah. Setibanya di rumah dia lalu membersihkan diri dan kemudian lalu ke masjid.

#######

Malam.

Bulan dan bintang kelihatan begitu indah bersinar.

Angin bertiup nyaman dan halus.

Selepas menunaikan solat Isyak Tok Ketua dan Azmi lalu mengatur langkah perlahan-lahan keluar daripada masjid sambil berbual-bual.

“Besok saya akan bersihkan kebun tok,” beritahunya.

“Eloklah tu. Kau buatlah apa yang patut,” balas Tok Ketua.

“Seronok tinggal di kampung ni, tok. Tenang dan damai. Tak macam di Kuala Lumpur,” katanya lagi.

“Itulah bezanya hidup di kampung dengan hidup di Kuala Lumpur,” ujar Tok Ketua.

“Sebab itulah saya ajak keluarga saya tinggal di kampung ni bila saya diberhentikan kerja,” jelasnya.

“Kenapa kau diberhentikan kerja?” tanya Tok Ketua.

“Syarikat tempat saya bekerja tu dah tak mampu nak bayar gaji pekerja. Akibat daripada kegawatan ekonomi yang berlaku,” dia menjawab.

“Tak mengapalah, Mi!” Tok Ketua sebaliknya menepuk-nepuk lembut bahu Azmi.

“Allah menjadikan muka bumi ni luas. Rezeki ada di mana-mana,” tambahnya lagi.

Sekali sekala terasa deruan angin malam yang berhembus nyaman dan perlahan.

Rasa dingin dan segar jelas terasa mengusapi seluruh kawasan masjid.

Bunyi pohon-pohon dan daun-daun dibuai angin jelas kedengaran membelah suasana malam.

“Mungkin dah ditentukan rezeki saya di sini, tok,” ucapnya.

“Bukan tempat lain, Mi. Tempat kau dilahirkan dan dibesarkan. Bak kata orang setinggi-tinggi bangau terbang ke mana lagi hinggap kalau bukan belakang kerbau. Ke mana pulangnya ikan kalau bukan ke lubuk. Jadi memang tepatlah kau balik semula ke sini untuk menabur bakti,” kata Tok Ketua pula dengan penuh panjang lebar.

“Betul kata tok tu!” balas Azmi dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Siapa lagi yang nak memajukan kampung ni kalau bukan kita sendiri,” dia menyambung lagi.

Tok Ketua lalu mengangguk-anggukkan kepala dan tersenyum.

“Teruskanlah usaha kau tu. Aku doakan moga apa yang kau lakukan akan menemui kejayaan,” katanya.

“Terima kasih, tok. Insya Allah. Saya akan lakukan yang terbaik demi kejayaan kampung ini. Kejayaan yang bukan sahaja untuk saya seorang malahan kita semua,” ulas Azmi pula sebaliknya.

“Baguslah kalau macam tu. Aku mintak diri dulu. Assalamualaikum!” Tok Ketua bersalaman dengan Azmi.

“Waalaikumsalam!” dia membalas.

#######

Tok Ketua kemudian lalu mengatur langkah ke arah keretanya. Sebaik-baik sahaja enjin dihidupkan dan lampu dinyalakan kereta yang dipandunya itu lalu meninggalkan kawasan masjid.

Azmi kemudian mengatur langkah ke arah tempat meletak motosikal dan kemudian lalu menyorongkan motosikalnya keluar.

Dia lalu menghidupkan enjin dan menyalakan lampu.

Motosikal yang ditunggangnya kemudian lalu meninggalkan kawasan masjid dan meredah kepekatan malam untuk pulang ke rumah.

Seperti biasa warung Pak Daud akan menjadi tumpuan orang-orang kampung untuk bersarapan pagi.

Cuaca kelihatan amat begitu cerah sekali.

Matahari masih lagi belum kelihatan di kaki langit.

Tok Ketua, Pak Salleh dan Pak Seman kelihatan sedang menikmati sarapan pagi selepas balik daripada menunaikan solat Subuh di masjid.

“Kita ni amat bertuah. Kerana dapat hidup dalam negara yang aman dan damai,” kata Tok Ketua yang bersongkok dan berbaju Melayu warna biru serta berkain pelikat sambil menikmati nasi lemak telur mata dan air teh.

“Tak macam sesetengah negara. Huru-hara. Hidup pun tak senang,” tambah Pak Salleh.

“Sebab itulah kita perlu bersyukur. Nikmat keamanan yang kita kecapi harus kita pertahankan sentiasa,” celah Pak Seman pula sebaliknya.

Demikianlah rancaknya mereka berbual-bual.

Sementara itu warung Pak Daud tak putus-putus dikunjungi orang-orang kampung untuk menikmati sarapan pagi.

Ada juga yang membungkus untuk dibawa pulang ke rumah. Ini menjadikan Pak Daud dan keluarganya sibuk melayan pelanggan yang datang.

“Musuh yang cuba untuk mengganggu gugat keamanan negara kita, kita perlu tentang habis-habisan,” kata Salleh.

“Kalau kita sentiasa bersatu mereka tak akan dapat mengganggu gugat negara kita dengan mudah,” tambah Pak Seman pula sebaliknya.

“Sebab itu pentingnya kita bersatu. Mereka akan menangguk di air yang keruh bila kita berpecah belah,” ucap Tok Ketua.

“Perpecahan bukan sahaja akan menjadikan musuh mudah menguasai negara kita malahan juga merugikan diri kita sendiri,” tegas Pak Seman.

“Seperti kata pepatah bersatu kita teguh bercerai kita roboh,” celah Pak Salleh.

“Kita perlu menjadikan sejarah silam sebagai ikhtibar. Disebabkan perpecahan negara kita telah dijajah oleh penjajah. Jadi, kita perlu memastikan agar perkara yang sama tidak berulang kembali,” ingat Tok Ketua.

Begitu bersemangat sekali mereka berbual betapa pentingnya semangat bersatu.

Supaya nikmat kedamaian dan keamanan yang dimiliki negara terus berkekalan selamanya.

#######

Sementara itu cuaca panas terik tidak menjadi halangan kepada Azmi untuk bekerja di kebun Tok Ketua. Sekali sekala terasa angin bertiup perlahan dan lemah gemalai.

Dia kemudian lalu berhenti seketika untuk melepaskan penat di bawah sebatang pohon yang rendang.

Dia memandang ke arah pokok-pokok yang terdapat di kebun Tok Ketua.

Tika itu juga ingatannya terbayang semula sewaktu diberhentikan kerja.

“Balik kampung?” soal isterinya.

“Ya!” dia mengangguk-anggukkan kepala.

“Abang tak nak cari kerja lain ke?” tanya isterinya lagi.

Dia sebaliknya diam dan menarik nafas yang panjang.

“Abang rasa itulah keputusan yang terbaik,” jawabnya.

Isterinya lalu diam.

Dari raut wajah yang ditunjukkan isterinya itu dia telah pun dapat membaca.

Sedang memikirkan keputusan yang diambilnya itu.

Anak-anaknya yang seramai lima orang itu kelihatan sedang menonton televisyen.

Isterinya kemudian lalu memandang wajahnya.

“Kalau itulah yang abang fikirkan terbaik buat keluarga kita Milah ikut aje,” dia berkata.

Azmi lalu tersenyum apabila mendengar kata-kata isterinya itu. Dia berasa amat bersyukur.

Kerana isterinya mahu menerima keputusannya untuk pulang semula ke kampung.

Dia kemudian lalu memandang ke atas. Matahari kelihatan menegak di kaki langit biru. Bersama awan putih yang menebal.

Jalur-jalur cahaya matahari kelihatan terpantul di atas permukaan daun-daun menghijau.

Azmi kemudian lalu bangun dan menyambung semula kerja-kerjanya.

Angin yang bertiup kencang menyusup masuk menerusi jendela rumah Tok Ketua yang terbuka luas.

Pohon-pohon bagaikan berdendang riang apabila ditiup angin. Cuaca begitu panas sekali.

Bahangnya yang terasa bagaikan api yang membakar menyelubungi seluruh kampung. Sudah berbulan-bulan hujan tidak hujan.

Dalam erti kata lain sekarang ini musim kemarau. Rumput yang menghijau bertukar warna menjadi keperangan.

#######

“Baru balik, bang?” tegur isterinya.

“Ya, Kiah!” angguknya.

“Panas betul sekarang ni ya, bang. Makan pun tak lalu. Haus nak minum air aje,” kata isterinya lagi.

“Panas atau hujan rahmat Allah SWT. Kita harus bersyukur. Taklah sampai ditimpa kemarau yang dahsyat. Sampai kehabisan bekalan air,” ulas Tok Ketua pula sebaliknya.

Di luar kedengaran suara angin yang mendayu-dayu. Bagaikan irama lagu yang sungguh menghiburkan jiwa yang sunyi.

Sekali-sekala kedengaran bunyi kelepak kelepuk pelepah pisang di belakang rumah Tok Ketua disapu angin.

“Memang betul, bang. Kita perlu sentiasa bersyukur. Dalam apa jua keadaan,” isterinya menambah.

“Kalau kita sentiasa bersyukur Allah akan tambah nikmatnya,” ujarnya.

Isterinya kemudian lalu beralih kepada tajuk perbualan yang lain pula.

“Macam mana dengan kebun kita tu, bang?” dia menyoal.

“Abang dah upah Azmi untuk bersihkannya,” jawabnya pula.

“Rajin Azmi tu ya, bang. Tak duduk diam. Macam-macam kerja dia buat,” ucapnya.

“Adat hidup dalam dunia ni macam tulah. Kenalah rajin bekerja. Barulah senang hidup,” Tok Ketua menambah.

“Tak ada yang mudah kita dapat dalam dunia ni, bang. Semuanya kena berusaha.” Isterinya menghangatkan lagi tajuk perbualan.

Desiran angin yang tadinya bertiup perlahan lalu bertukar menjadi kencang.

Pohon rambutan yang tumbuh di halaman rumah Tok Ketua kelihatan seperti mengangguk-angguk. Mengikut rentak irama angin yang bertiup.

Seolah-olah menyatakan sokongan terhadap apa yang dikatakan isteri Tok Ketua itu.

“Sedangkan kita nak kenyang makan nasi pun kena kunyah dulu. Kemudian baru telan. Makan pun kena usaha. Walaupun mudah. Tapi dalam kita mencari kesenangan hidup jangan sesekali kita lupakan amal ibadat kita pada Allah SWT. Itu yang paling utama,” ingat Tok Ketua pula.

#######

Kedengaran suara orang memberi salam dari bawah rumah. Azmi lalu menjawab salam dan pergi ke muka pintu untuk melihat siapa yang datang.

“Hah! Kau rupanya Rahman. Naiklah!” jemputnya.

Dia kemudian lalu naik ke rumah.

“Apa khabar, Mi?” tanyanya sambil bersalaman dengan Azmi.

“Alhamdulillah baik. Hah! Jemputlah duduk!” pelawanya.

Rahman lalu duduk di atas kerusi.

“Aku dengar kau dah tak kerja lagi kat Kuala Lumpur tu,” kata Rahman.

“Ya, Man!” dia pantas membalas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Syarikat tempat aku bekerja tu dah tak mampu nak bayar gaji pekerja,” ujarnya lagi.

“Kenapa pulak?” Terkejut Rahman apabila mendengarnya.

“Masalah kegawatan ekonomi. Aku redha, Man. Jadi, aku dan keluarga ambil keputusan untuk meneruskan kehidupan di kampung ni,” dia menjawab.

Angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa menyusup masuk melalui atap zink dan celah-celah dinding papan.

Pokok mangga yang tumbuh di halaman rumah Azmi kelihatan melenggang-lenggok apabila ditiup angin.

Buah-buah yang masih muda kelihatan terbuai-buai. Daun-daun bagaikan menari-nari. Daun-daun yang kering bertaburan memenuhi permukaan tanah.

Rasa simpati ke atas apa yang terjadi pada Azmi jelas kelihatan di wajah Rahman.

“Sabarlah, Mi. Setiap yang berlaku itu tentu ada hikmah di sebaliknya.” Dia memberikan kata-kata semangat pada kawan sekampungnya itu.

Azmi sebaliknya lalu menarik nafas yang panjang.

“Bukan hidup namanya kalau tak berhadapan dengan cabaran,” dia kemudiannya lalu mengulas.

“Betul tu, Mi!” angguk Rahman pula dengan pantas.

“Selagi kita masih hidup selagi itulah kita akan terus berdepan dengan cabaran,” sambungnya lagi.

“Memang cabaran itu amat perit dan menyakitkan. Namun kemanisan akan terasa apabila kita dapat menghadapinya,” tambahnya.

“Tak seorang pun yang hidup dalam dunia ni tak terlepas daripada menghadapi cabaran. Tak kiralah kecik atau besar,” kata Rahman.

“Cabaran akan menjadikan kita kuat dan tabah dalam menghadapi hidup ini,” dia bersuara tenang.

Rahman sebaliknya hanya mengangguk-angguk diam sahaja. Sebagai tanda bersetuju dengan kata-kata Azmi.

“Kau masih lagi jadi tukang rumah ke, Man?” Dia lalu menukar tajuk perbualan.

“Apalagi yang aku nak buat, Mi. Itu aje la kerja yang mampu aku buat,” balasnya.

“Kerja jugak namanya tu. Dapat jugak menyara kehidupan isteri dan anak-anak kau,” dia menambah.

“Kebetulan aku datang ni aku nak ajak kau buat kerja baiki rumah. Lagipun kau mahir dalam baiki rumah ni,” Rahman menyatakan hasrat.

“Kau tak ada pekerja ke?” soalnya pula.

“Ada!” dia mengangguk-anggukkan kepala.

“Tapi tak ramai. Baru minggu lepas seorang berhenti. Sebab dapat kerja dengan kerajaan. Dah rezeki dia. Takkan aku nak halang dia. Masa depan dia lebih terjamin dengan kerja kerajaan. Berbanding dengan aku yang kerja tukang rumah ni. Sekejap ada kerja. Sekejap tak ada kerja,” sambungnya lagi dengan penuh panjang lebar.

Tak lama kemudian isteri Azmi muncul sambil membawa dulang yang berisi dua cawan air kopi ‘o’ dan sepinggan kuih bingka ubi.

Perlahan-lahan dia meletakkannya di atas meja yang berbentuk empat segi itu. Dan beralaskan dengan kain yang berwarna hijau muda.

Asap nipis yang keluar daripada air kopi ‘o’ kelihatan meliuk-liuk naik ke atas dan kemudian lalu menghilang dibawa angin.

Yang mencuri masuk menerusi jendela kayu yang ternganga luas.

Isteri Azmi kemudian lalu beredar dan masuk semula ke dapur sambil membawa dulang yang telah kosong.

“Minumlah, Man!” pelawanya.

Mereka lalu sama-sama menikmati air kopi ‘o’ dan kuih bingka ubi. Sambil menikmati hidangan mereka terus rancak berbual-bual.

“Rezeki ni semuanya bergantung kepada kita. Kalau kita kerja kuat dan ibadah terhadap Allah SWT pasti kita akan mendapat habuannya,” tegas Azmi.

“Memang betul kata kau, Mi!” sokong Rahman pula sebaliknya dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Tanpa usaha yang keras kita tak akan dapat apa yang kita hajati,” dia menambah lagi.

Desiran angin yang datang dari arah bukit bertiup perlahan.

Batang-batang ubi yang tumbuh di belakang rumah Azmi kelihatan bergoyangan apabila ditiup angin.

Pucuk-pucuk ubi pula seperti dibuai-buai mengikut nyanyian angin yang bertiup.

“Bila kau nak mula kerja baiki rumah tu?” Azmi kemudian lalu beralih kepada tajuk perbualan yang lain pula.

Dia tidak menjawab. Sebaliknya menghirup air kopi ‘o’ yang masih tinggal sedikit itu.

“Minggu depan. Rumah yang nak kita baiki tu di Jempol. Banyak kerja yang nak kena buat. Tambah pulak aku dah kurang pekerja. Sebab itu aku harap sangat kau dapat bantu aku. Macam mana? Kau boleh tak?” dia berkata sebaik-baik sahaja selesai menghirup air kopi ‘o’.

Azmi lalu menarik nafas yang panjang.

Rahman kelihatan sedang menunggu jawapan daripadanya. Dalam hatinya berharap agar Azmi bersetuju dan tidak menolak ajakannya itu.

“Baiklah! Aku setuju!” angguknya dengan pantas.

Rasa kegembiraan pantas kelihatan di wajah Rahman.

“Terima kasih, Mi. Sebab kau nak bantu aku baiki rumah tu. Aku akan bayar gaji kau ikut hari. Pergi kerja nanti aku datang ambik kau di rumah,” dia berkata.

Menjelang tengah hari dia pun lalu beredar meninggalkan rumah Azmi.

Sejak daripada pagi tadi cuaca kelihatan redup sahaja.

Suara angin yang bertiup dalam irama merdu dan riang jelas kedengaran mewarnai suasana petang.

Tok Ketua dan Tok Imam kelihatan berjalan beriringan keluar daripada masjid selepas menunaikan solat Asar.

#######

“Saya cadang nak buat sesi ramah mesra dan minum petang bersama dengan orang-orang kampung di balai raya,” beritahu Tok Ketua.

“Bagus tu, tok. Sekurang-kurangnya dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama kita. Sepertimana yang dituntut dalam agama,” sokong Pak Imam.

“Memang itulah yang saya harapkan. Selain daripada tu saya dapat jugak mendengar permasalahan yang dihadapi mereka. Dan seterusnya dibawa kepada pihak berkenaan untuk diselesaikan. Sebagai ketua sudah menjadi tanggungjawab saya untuk mendengar keluhan dan rintihan anak-anak buah saya. Tak kiralah besar mahupun kecil. Dalam pada tu saya jugak nak mintak pandangan dan buah fikiran orang-orang kampung. Tentang program dan aktiviti yang perlu dijalankan. Serta memberikan manfaat dan faedah kepada kampung ni. Maklumlah tok walaupun saya menjadi ketua di kampung ni saya tak boleh pikir seorang. Bak kata orang duduk seorang sempit duduk ramai jadinya lapang,” nyata Tok Ketua lagi dengan penuh panjang lebar.

“Alhamdulillah, tok. Saya dan orang-orang kampung berasa amat bertuah. Mempunyai seorang ketua seperti tok,” ulas Tok Imam pula.

“Saya tak harapkan pujian mahupun balasan terhadap apa yang telah saya lakukan. Apa yang saya buat adalah semata-mata sebagai amanah Allah yang perlu saya laksanakan dengan sebaik mungkin,” dia sebaliknya merendah diri.

Sesekali terasa angin yang bertiup halus dan lembut membelah seluruh kawasan masjid.

Pohon-pohon yang tumbuh berhampiran dengan kawasan masjid kelihatan seperti menari-nari apabila ditiup angin.

Sekejap beralih ke kanan. Sekejap beralih ke kiri. Mengikut rentak tari angin yang bertiup.

“Bila tok nak buat program tu?” Tok Imam menyoal dengan rasa penuh minat.

“Saya nak buat mesyuarat dan bentuk jawatankuasa dulu. Dalam mesyuarat itu nanti saya akan tetapkan tarikhnya,” jawabnya.

Tok Imam sebaliknya hanya mengangguk-anggukkan kepala sahaja. Amat bersetuju dengan cara yang dilakukan Tok Ketua itu.

Sambil mengatur langkah bersama-sama dengan Tok Ketua menuju ke tempat letak kereta yang terletak di perkarangan masjid.

#######

Malam.

Selepas menunaikan solat Isyak dan menikmati makan malam Azmi dan isteri duduk di ruang tamu rumah sambil menonton televisyen.

Anak-anaknya pula membuat kerja sekolah.

“Apahalnya Rahman datang berjumpa abang siang tadi?” isterinya bertanya.

“Dia nak ajak abang kerja baiki rumah minggu depan,” dia menjawab.

Rasa gembira lalu jelas terpancar di wajah isterinya.

“Alhamdulillah, bang. Dapat jugak kita duit,” kata isterinya lagi.

“Tak salah abang buat keputusan balik semula ke kampung ni. Makin bertambah-tambah rezeki kita. Berbanding dengan kerja di Kuala Lumpur dulu,” dia membalas.

“Ya, bang!” angguk isterinya pula dengan pantas.

“Saya dan anak-anak gembira tinggal di sini. Suasana damai bersama dengan pemandangan yang indah. Taklah sesak macam di bandar Kuala Lumpur tu,” luah isterinya.

Dia kemudian lalu tersenyum apabila mendengar apa yang dikatakan isterinya itu.

“Memanglah bandar besar macam Kuala Lumpur tu menjadi tumpuan orang. Berbanding dengan kampung ni. Bagi mereka di Kuala Lumpur tu serba serbi semuanya ada. Tapi kalau rajin berusaha semua yang mereka inginkan macam di Kuala Lumpur tu pasti akan dapat di kampung ni,” dia berkata.

Suara cengkerik bersahut-sahutan jelas kedengaran membelah suasana malam yang penuh dengan ketenangan dan keheningan.

Angin malam bertiup dalam nada suara yang sepoi-sepoi bahasa.

Rasa dingin dan nyaman angin yang menerobos masuk melalui jendela kayu yang terbuka luas jelas terasa mengepung seluruh ruang tamu rumah.

“Hah! Sementara abang ingat ni. Petang besok abang nak mintak Milah tolong sama petik pucuk ubi, cili api, serai, daun puding, limau kasturi dan keledek kat belakang rumah tu. Ikan sembilang yang abang bawak balik dari sungai petang tadi abang mintak Milah tolong salai jugak. Abang nak jual kat pekan sehari hari Ahad ni,” pintanya.

“Kenapa kita tak petik aje pagi besok, bang?” soal isterinya pula.

“Pagi besok abang nak siapkan kerja kat kebun Tok Ketua tu. Tinggal sikit aje lagi,” jelasnya.

“Baiklah, bang!” isterinya mengangguk-anggukkan kepala dengan pantas.

Menjelang larut malam barulah mereka sekeluarga masuk tidur.

#######

Sampai sahaja di kedai Pak Isa, Tok Ketua lalu meminta kentang, bawang kecil, telur, sardin, cili kering dan garam sepertimana yang dipesan isterinya sebelum keluar daripada rumah tadi.

Pak Isa yang telah lama membuka kedai menjual barang-barang runcit lalu membungkus dan menyerahkan barang-barang yang telah diminta kepada Tok Ketua.

“Ini duitnya.” Tok Ketua menyerahkannya kepada Pak Isa.

“Terima kasih, tok!” sambut Pak Isa.

“Macam mana dengan perniagaan kau, Isa?” tanyanya pula.

“Alhamdulillah, tok. Banyak jugak dapat untung,” dia sebaliknya menjawab.

“Syukurlah! Barang-barang yang kau jual pun dengan harga yang berpatutan. Tambah pulak kau satu-satunya yang membuka kedai runcit di kampung ni,” tambah Tok Ketua lagi.

“Saya berniaga tak mengejar keuntungan, tok. Barang-barang yang saya jual mengikut harga yang telah ditetapkan. Lagipun saya memang minat berniaga. Sebab tu bila saya pencen daripada posmen saya terus bukak kedai runcit,” dia membalas.

“Baguslah macam tu. Taklah kau membebankan orang-orang kampung. Baiklah, Isa. Aku mintak diri dulu. Hari pun dah tengah hari. Nanti leka bersembang dengan kau tak masak pulak isteri aku di rumah,” mohon Tok Ketua.

“Baiklah, tok!” dia mengangguk-anggukkan kepala.

Tok Ketua kemudian lalu beredar meninggalkan kedai Pak Isa dengan kereta yang dipandunya.

Sampai sahaja di rumah dia lalu menyerahkan barang-barang yang dibeli tadi kepada isterinya.

Tak lama kemudian kedengaran suara orang memberi salam daripada luar rumah. Dia kemudian lalu menuju ke muka pintu.

“Hah! Kau, Azmi. Jemputlah naik,” pelawanya sambil tersenyum.

“Tak apalah, tok. Hari pun dah tengah hari ni. Di bawah ni ajelah,” kata Azmi pula.

Tok Ketua kemudian lalu mengatur langkah turun ke bawah rumah.
“Dah siap ke kerja kat kebun tu?” soalnya.

“Dah, tok!” dia menjawab dengan pantas.

“Berapa upahnya?” tanya Tok Ketua lagi.

“Saya ambil RM 100.00 aje, tok,” dia berterus terang.

“RM 100.00?” ulang Tok Ketua.

“Ya, tok!” angguknya pula.

“Tak apalah, Mi. Aku beri kau RM 150.00,” ujarnya sambil tersenyum.

“Banyak tu, tok,” balasnya.

Tok Ketua kemudian lalu mengeluarkan dompet dan menghulurkan wang kepada Azmi.

“Ambillah. Aku ikhlas nak beri kau ni. Lagipun dah rezeki kau anak-beranak,” kata Tok Ketua.

Dia lalu menyambut wang yang dihulurkan Tok Ketua itu.

“Terima kasih, tok!” ucapnya.

“Nanti boleh panggil kau lagi untuk bersihkan kebun tu,” ujar Tok Ketua.

“Boleh, tok. Tok cakap aje bila. Nanti saya bersihkan,” katanya.

“Hah! Baru aku ingat. Aku cadang nak buat mesyuarat. Bincangkan program ramah mesra dan minum petang bersama dengan orang-orang kampung. Aku nak masukkan kau salah seorang dalam jawatankuasa pelaksana program tu. Nanti aku beritahu kau bila tarikh mesyuarat tu,” ucap Tok Ketua.

“Boleh, tok!” dia membalas dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

Azmi kemudian lalu beredar meninggalkan rumah Tok Ketua dengan motosikal yang ditunggangnya.

#######

Masa begitu pantas berlalu.

Hari dah pun masuk petang.

Azmi dan isterinya lalu memetik sayur kampung yang ditanam di belakang rumah.

Untuk dijual esok pagi di Pekan Sehari Tanjung Ipoh yang terletak di simpang masuk ke Kampung Talang.

“Pukul berapa kita nak mula berniaga besok, bang?” tanya isterinya sambil memetik cili api.

“Lepas subuh,” dia menjawab sambil memasukkan ubi yang telah digali ke dalam guni.

“Tentu ramai orang bang, kan!” kata isterinya lagi.

“Yang datang selalunya ramai orang daripada Seremban. Maklumlah nak cari ikan sungai dan sayur kampung,” dia menambah.

“Kat Seremban manalah ada semua tu ya, bang,” ujar isterinya.

Tersenyum Azmi apabila mendengar apa yang dikatakan isterinya itu. Pokok cili api kelihatan seperti terayun-ayun apabila ditiup angin petang.

“Kat sana tak macam kat kampung ni. Ada tanah nak tanam cili api, ubi, keledek, serai dan macam-macam lagi,” ujarnya.

Menjelang lewat senja barulah dia dan isterinya selesai memetik sayur kampung.

Guni yang berisi sayur kampung yang telah dipetik kemudiannya lalu diletakkan di dapur.

#######

Selepas menunaikan solat Subuh dan bersarapan pagi, Azmi dan isterinya lalu meninggalkan rumah dan pergi ke tapak pekan sehari di Tanjung Ipoh untuk menjual sayur kampung dan ikan sembilang salai.

Awal pagi lagi sudah ramai orang datang ke pekan sehari yang amat terkenal untuk mendapatkan sayur kampung dan ikan sungai.

Sayur kampung dan ikan sembilang salai yang dibawa Azmi dan isterinya amat laris sekali jualannya.

Tinggal sedikit sahaja lagi. Tak lama kemudian kelihatan Tok Ketua berjalan menuju ke arah tempat Azmi dan isterinya berniaga.

Mungkin dia sudah nampak dari jauh lagi.

“Rajin kau, Mi,” kata Tok Ketua sebaik-baik sahaja menghampiri Azmi.

“Biasa la, tok. Nak cari rezeki. Beli apa, tok?” dia menyoal sambil memandang Tok Ketua.

“Ada la sikit sayur-sayur kampung. Dalam pada tu nak cari ikan sembilang salai,” Tok Ketua menjawab.

“Ada ni pun, tok. Hah. Tinggal 4 ekor aje lagi. Tok ambillah semua,” ujarnya.

“Yalah!” angguk Tok Ketua pula dengan pantas.

“Kau berilah semua ikan tu,” pintanya lagi.

Dia kemudian lalu membungkus ikan yang dipinta Tok Ketua itu. Manakala isterinya pula sibuk melayan beberapa orang pelanggan.

Tok Ketua lalu membayar harga ikan yang dibelinya daripada Azmi dan kemudian beredar dari situ.

Menjelang tengah hari Azmi dan isterinya pulang semula ke rumah.

“Banyak jugak sayur kita laku ya, bang,” isterinya berkata setibanya di rumah.

“Alhamdulillah. Ikan sembilang salai pun laku jugak,” tambahnya.

“Seronok meniaga ni ya, bang. Dapat jumpa ramai orang. Dapat banyak duit,” ucap isterinya lagi.

“Itulah yang dinamakan rezeki berniaga. Dalam berniaga ni kita bukan sahaja menjual malah perlu ramah. Barulah ramai pelanggan datang membeli apa yang kita jual,” sambutnya.

“Asyik bercerita aje ni, bang. Hari pun dah tengah hari. Hah. Saya nak ke dapur. Karang tak makan pulak kita tengah hari ni,” kata isterinya.

“Hah! Eloklah tu. Saya pun dah lapar ni. Masak sedap-sedap,” usiknya.

Isterinya sebaliknya lalu tersenyum dan menuju ke dapur.

Sementara itu setiba sahaja di rumah Tok Ketua lalu menyerahkan sayur kampung dan ikan sembilang salai yang dibelinya tadi kepada isterinya.

“Beli apa, bang?” isterinya menyoal sambil menyambut bungkusan yang berisi sayur kampung dan ikan sembilang salai itu.

“Pucuk paku, bacang, terung telunjuk, pucuk pegaga dan ikan sembilang salai,” jawabnya.

“Banyak abang beli,” ujar isterinya lagi.

“Sayur kampung ni banyak khasiatnya dan baik untuk kesihatan,” dia mengulas.

Isterinya kemudian lalu meletakkan bungkusan yang berisi sayur kampung dan ikan sembilang salai itu di atas meja.

Angin yang bertiup perlahan dan segar terasa menembusi celah-celah papan dapur.

“Saya jumpa Azmi di pekan sehari tadi. Dia dan isterinya berniaga sayur kampung dan ikan sembilang salai. Ikan sembilang salai tu abang beli daripada dia,” Tok Ketua berkata.

“Rajin betul dia tu ya, bang. Berniaga pun dia buat,” sambut isterinya pula sambil membuka satu persatu bungkusan yang berisi sayur kampung dan ikan sembilang salai itu.

“Nak dapat duit lebih macam tulah. Kenalah buat macam-macam kerja,” ucap Tok Ketua pula.

Isterinya kemudian lalu beralih kepada tajuk perbualan yang lain pula.

“Ikan sembilang salai ni nak gulai dengan apa ni?” tanyanya.

“Bacang yang saya beli tu. Lagipun dah lama tak makan ikan sembilang salai masak lemak cili api campur dengan bacang,” kata Tok Ketua.

“Yalah!” angguk isterinya dengan pantas.

“Hah! Saya naik atas dululah!” ujarnya sambil beredar meninggalkan dapur.

#######

Angin petang bertiup kencang.

Pokok jambu air yang tumbuh di halaman rumah Azmi kelihatan seperti mengangguk-angguk apabila ditiup angin.

Buah-buah jambu dan daun-daun kering yang jatuh ditiup angin kelihatan berselerakan dan menimbus permukaan tanah yang kering.

“Lambat balik, bang?” isterinya menegur.

Dia sebaliknya lalu menarik nafas yang panjang.

“Banyak kerja nak buat kat rumah tu. Tuan rumah tu mintak siap cepat. Dia nak pindah ke rumah tu bulan depan,” dia menjawab.

“Besar ke rumah tu, bang?” isterinya tak henti-henti bertanya.

“Rumah dua tingkat,” balas Azmi lagi.

“Tadi Tok Ketua datang. Dia mintak sampaikan pesan pada abang. Mesyuarat ahli jawatankuasa sesi ramah mesra dan minum petang bersama dengan orang-orang kampung tu akan diadakan pada hari Sabtu ni selepas solat Asar di balai raya. Dia jemput abang datang mesyuarat,” beritahu isterinya.

“Dia nak masukkan abang sebagai ahli jawatankuasa dalam program tu,” dia membalas pula sebaliknya.

“Bagus program tu, bang,” ulas isterinya.

“Bagi abang program seumpama tu bukan sahaja mengeratkan lagi perpaduan sesama kita sebagai penduduk di kampung ni malah sama-sama membantu Tok Ketua menyelesaikan sebarang masalah yang timbul,” Azmi berkata.

Matahari yang tadinya cerah lalu bertukar warna seperti buah pinang masak.

Begitu juga dengan langit.

Juga telah bertukar warna menjadi kelabu.

Tiada kedengaran kicauan burung-burung membelah angkasa nan luas.

Sebaliknya berterbangan pulang semula ke sarang.

Tak lama lagi senja akan melabuhkan tirainya menyambut malam.

Segala suka duka yang dilayari sepanjang perjalanan dalam kehidupan hari ini dihimpunkan menjadi pengalaman.

Untuk mendewasakan kita dalam menempuhi kehidupan pada hari-hari yang mendatang.

Dia kemudian lalu bangun dan menuju ke bilik untuk menyalin pakaian.

Isterinya pula masuk ke dapur untuk menyediakan hidangan makan malam.

Selepas menyalin pakaian dia kemudian lalu membersihkan diri dan mengenakan pakaian untuk ke masjid.

#######

Hari Sabtu.

Selepas solat Asar Tok Ketua lalu mengadakan mesyuarat di balai raya. Untuk membincangkan perjalanan program yang akan diadakan nanti.

“Alhamdulillah! Mesyuarat berjalan dengan lancar. Tarikh untuk mengadakan program pun dah kita putuskan. Semoga apa yang kita rancang akan dapat dilaksanakan dengan jayanya,” Tok Ketua bersuara sebaik-baik sahaja mesyuarat selesai.

“Insya Allah, tok. Kalau kita semua memberikan sokongan dan bekerjasama antara satu sama lain program tu pasti akan berjaya,” ujar Azmi pula sebaliknya.

“Dalam melakukan apa jua pekerjaan kita mesti muafakat, Mi. Bak kata pepatah yang berat sama dipikul yang ringan sama dijinjing. Ke bukit sama kita daki ke lurah sama turuni. Barulah sesuatu pekerjaan itu amat mudah untuk dilakukan,” kata Tok Ketua.

“Saya amat bersetuju sekali dengan apa yang tok katakan tu. Hidup kita ibarat aur dengan tebing. Saling sandar menyandar dan perlu memerlukan setiap waktu dan ketika. Sebab itu perlunya semangat berpasukan dalam kita menjalankan sesuatu pekerjaan itu,” tambahnya lagi.

Tok Ketua sebaliknya lalu mengukir senyuman.

“Memang muafakat ditekankan kepada kita yang hidup di kampung ni. Tanpa muafakat dan sepakat segala yang kita lakukan tak akan berjaya,” kata Tok Ketua.

“Memang cantik hidup muafakat ni, Tok. Tolong-menolong dan bantu-membantu antara satu sama lain. Tanpa mengira usia dan peringkat,” ulasnya pula.

“Ikatan persaudaraan kita sesama Islam juga semakin kukuh dan tidak mudah diganggu gugat apabila kita sentiasa muafakat,” Tok Ketua menambah lagi.

Tok Ketua dan Azmi kemudian lalu bersalaman dan pulang ke rumah masing-masing.

Hujan turun dengan begitu lebat sekali malam tadi.

Dekat nak masuk waktu subuh baru berhenti.

Rasa kedinginan jelas terasa menyelubungi suasana pagi. Mungkin kesan daripada hujan yang lebat malam tadi. Langit kelihatan kelabu.

Matahari juga tidak kelihatan.

Pohon-pohon dan daun-daun hijau kelihatan basah.

Tanah nampak becak dan ditakungi dengan air.

#######

“Dah lama hujan tak turun. Sekali turun lebat mencurah-curah. Dekat nak pagi baru berhenti,” kata Pak Salleh ketika menikmati sarapan pagi di warung Pak Daud.

“Hujan rahmat. Syukurlah! Belum pernah lagi berlaku banjir kat kampung kita ni. Walaupun hujan turun dengan lebat,” sambut Tok Ketua pula sebaliknya sambil menghirup air teh yang masih lagi panas itu.

“Kalau kita sentiasa menjaga alam sekitar dan tidak membuang sampah dengan sesuka hati ke dalam sungai banjir tak akan berlaku,” celah Pak Seman pula sebaliknya.

“Betul kata kau tu, Seman!” Tok Ketua membalas dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Sebab itulah pentingnya kita untuk menjaga alam sekitar. Supaya tidak berlaku kemudaratan kepada kampung kita ini,” sambungnya lagi.

Seperti biasa sambil menikmati sarapan pagi di warung Pak Daud mereka bertiga akan rancak berbual-bual.

“Tanggungjawab untuk menjaga kebersihan dan alam sekitar kampung ni adalah tanggungjawab kita bersama. Macam rumah kita sendiri. Perlu kita jaga dan bersihkan sentiasa,” ucap Pak Salleh.

“Aku setuju sangat dengan apa yang kau cakapkan tu, Leh. Alam sekitar adalah anugerah Allah SWT untuk kita yang hidup di atas muka bumi ini. Jadi, perlulah kita pelihara dan jaga sentiasa,” Tok Ketua bersuara pula sebaliknya.

#######

Tengah hari.

Sampai sahaja di rumah Azmi lalu meletakkan guni yang berisi pisang di dapur.

“Banyak pisang kat kebun kita tu, bang,” isterinya berkata.

“Alhamdulillah, Milah! Bertandan-tandan buahnya,” dia sebaliknya membalas.

“Tak habis kita makan ni, bang,” ujar isterinya pula.

“Separuh kita jual kat pekan sehari nanti. Separuh lagi kita sedekahlah kat jiran-jiran kita. Mudah-mudahan makin lebatlah buah pisang tu nanti,” katanya.

“Elok sangatlah tu, bang. Nanti saya asingkan. Mana yang untuk kita makan. Mana yang untuk kita jual dan beri pada jiran-jiran kita,” ucap isterinya.

#######

Seperti yang dirancang maka sesi ramah mesra dan minum petang bersama dengan orang-orang kampung lalu diadakan di balai raya.

Program ini amat meriah dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan kehadiran ramai orang-orang kampung.

“Syukur alhamdulillah! Tercapai jugak matlamat program ni. Gembira nampaknya orang-orang kampung,” Tok Ketua bersuara dalam nada yang sungguh riang. Sebaik-baik sahaja program pada petang itu berakhir.

“Tahniah, tok! Dapat mengumpulkan dan mengeratkan lagi perpaduan sesama kita sebagai penduduk di kampung ni,” celah Azmi.

“Memang betul kata kau tu, Mi!” sampuk Pak Seman pula sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Itu yang paling utama. Di samping mendengar permasalahan yang dikemukakan mereka dan mencari jalan untuk menyelesaikannya,” dia menyambung lagi.

“Kalau begini perpaduan yang kita bina saya yakin orang-orang kampung tak akan mudah terpengaruh dan terpedaya dengan pihak yang mahu memecahbelahkan dan meruntuhkan perpaduan. Semata-mata untuk kepentingan diri sendiri,” tambah Pak Salleh.

“Program semacam ini harus diteruskan sentiasa. Banyak manfaat dan faedahnya kepada kita semua,” nyata Azmi.

“Aku sependapat dengan kau, Mi. Memang setinggi-tinggi tahniah kita perlu ucapkan pada Tok Ketua kita ni,” sokong Pak Seman.

“Bagi aku kejayaan program ni bukan kejayaan aku seorang. Tapi kejayaan kau orang semua selaku ahli jawatankuasa. Tanpa bantuan dan kerjasama daripada kau orang semua program ni tak akan dapat dilaksanakan dengan jayanya. Aku ucapkan terima kasih banyak-banyak pada kau orang semua.” Tok Ketua sebaliknya merendah diri. Tidak riak dan bangga dengan kata-kata pujian yang dihamburkan anak-anak buahnya itu.

Suara angin yang bertiup kencang jelas kedengaran membelah suasana petang.

Pohon-pohon yang tumbuh berhampiran dengan kawasan balai raya bagaikan berlagu riang apabila ditiup angin.

Seolah-olah turut berkongsi rasa kegembiraan bersama dengan Tok Ketua dan orang-orang kampung.

“Segala permasalahan yang mereka kemukakan tadi aku akan bawa dengan segera kepada pihak yang berkenaan,” kata Tok Ketua.

“Eloklah tu, tok. Mereka harap masalah yang mereka hadapi akan diselesaikan dengan segera,” Pak Salleh bersuara.

“Saya amat tertarik apabila ada yang mencadangkan supaya kita menjemput mereka yang luar daripada kampung ni mengadakan program dan aktiviti di kampung kita ni,” celah Pak Seman.

“Memang baik sekali cadangan tu. Sekurang-kurangnya dapat memperkenalkan kampung kita kepada orang luar,” sokong Azmi.

“Aku akan hantar surat kepada semua universiti. Untuk memberi peluang kepada pelajar dan pensyarah mereka mengenali dengan lebih dekat kampung kita ni,” sambut Tok Ketua pula sebaliknya.

Hari semakin lewat petang.

Mereka kemudian lalu bersurai.

Sebelum bersurai Tok Ketua mengingatkan mereka bertiga berjumpa di masjid maghrib nanti.

#######

Keesokan harinya Tok Ketua mengotakan janji dengan berjumpa pihak yang berkenaan untuk mengajukan permasalahan yang dihadapi orang-orang kampung.

Mereka lalu mengambil tindakan segera.

Orang-orang kampung berasa amat gembira apabila masalah yang mereka hadapi selama ini mendapat perhatian dan diselesaikan dengan segera.

Tok Ketua juga telah menghantar surat kepada semua universiti untuk menjemput mereka mengadakan program.

Selang beberapa bulan kemudian Universiti Islam Antarabangsa telah menyatakan minat untuk mengadakan program yang dinamakan sebagai “Mesra Berkampung” di Kampung Talang.

“Minggu depan mereka akan datang ke sini untuk mengadakan mesyuarat dengan kita,” beritahu Tok Ketua ketika minum petang di warung Pak Daud.

“Bagus tu, tok. Saya yakin melalui program ni mereka akan dapat mengetahui sejarah asal usul kampung kita di samping pengamalan Adat Perpatih yang setelah sekian lama diamalkan di negeri ini,” sokong Azmi pula.

“Kebanyakan mereka dah tentu bukan berasal dari Negeri Sembilan. Jadi, sedikit sebanyak program ini dapat mengetengahkan kepada mereka apa sebenarnya yang dikatakan sebagai Adat Perpatih itu,” tambah Pak Seman.

“Aku setuju sangat dengan apa yang kau katakan tu, Man. Selama ni mungkin mereka hanya mendengar Adat Perpatih diamalkan di negeri kita. Tapi mereka tak tahu apa yang dikatakan sebenarnya Adat Perpatih tu,” tegas Pak Salleh.

“Sebab itulah program sebegini memang peluang yang terbaik untuk mereka mendalami dan mengetahui Adat Perpatih yang setelah sekian lama kita amalkan,” tambah Tok Ketua lagi.

Minggu berikutnya pihak Universiti Islam Antarabangsa telah mengadakan mesyuarat bersama dengan Tok Ketua dan ahli jawatankuasa program yang telah dilantik.

Mesyuarat telah diadakan di balai raya dan tujuan utama ia diadakan adalah untuk membincangkan pengisian program yang akan berlangsung selama 3 hari 2 malam.

Selang beberapa bulan kemudian Program Mesra Berkampung Adat Perpatih anjuran JKKK Kampung Talang dan Universiti Islam Antarabangsa pun diadakan.

Program ini melibatkan seramai 40 orang pelajar termasuk daripada luar negara.

Selain daripada menjadi anak angkat mereka juga telah menyertai berbagai-bagai program dan aktiviti.

Antaranya adalah ceramah Adat Perpatih, masakan tradisional, mengacau penganan, gotong royong membersihkan kawasan masjid, memancing ikan sembilang di sungai, bersawah padi dan permainan tradisional.

Mereka benar-benar berasa seronok dan teruja dengan kesemua aktiviti yang menjadi pengisian utama dalam program tersebut.

Program Mesra Berkampung Adat Perpatih telah mendapat liputan yang meluas di TV dan juga akhbar.

#######

“Terima kasih, tok. Kerana sudi menerima kehadiran kami semua. Segala jasa dan budi baik tok dan orang-orang kampung tetap kami semua ingat dan tak akan kami semua lupakan selamanya,” kata Profesor Madya Firdaus selaku ketua program.

“Sama-sama, profesor. Walaupun hanya 3 hari 2 malam sahaja profesor dan pelajar-pelajar berada di kampung ni namun kami di sini dah anggap profesor dan pelajar-pelajar dah macam keluarga kami sendiri. Walaupun datang daripada pelbagai latar belakang dan budaya,” dia membalas pula sebaliknya.

“Semoga kita akan berjumpa lagi di masa yang akan datang,” ujar Profesor Madya Firdaus lagi.

“Saya begitu jugak, profesor. Semoga hubungan silaturrahim yang kita bina melalui program ini akan berkekalan hendaknya,” harap Tok Ketua.

Sebagai tanda penghargaan dan terima kasih yang tak terhingga maka Profesor Madya Firdaus telah menyampaikan cenderamata kepada Tok Ketua.

Ibarat kata pepatah orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita berbahasa.

Tok Ketua juga telah menyampaikan cenderamata kepada Profesor Madya Firdaus dan rombongan sebagai tanda ingatan mesra.

Para peserta program kemudian lalu bersalaman dan berpelukan dengan keluarga angkat mereka. Memang amat berat hati mereka untuk berpisah.

Namun sudah menjadi adat dalam kehidupan ini setiap pertemuan pasti ada perpisahan.

Mereka kemudian lalu merakamkan gambar beramai-ramai bersama dengan Tok Ketua dan keluarga angkat sebagai kenang-kenangan.

Selepas bergambar mereka kemudian lalu menaiki bas.

Melalui tingkap bas mereka melambai-lambai kepada orang-orang kampung yang menjadi keluarga angkat selama 3 hari 2 malam dalam Program Mesra Berkampung Adat Perpatih.

Lambaian itu sebagai tanda untuk mengucapkan selamat tinggal.

Orang-orang kampung turut membalas lambaian sebagai tanda untuk mengucapkan selamat jalan dan mendoakan semoga mereka selamat sampai ke destinasi.

Bas yang membawa mereka kemudian lalu meninggalkan Kampung Talang yang sungguh indah lagi permai.

“Syukur alhamdulillah, tok. Selesai sudah program kita. Matlamat penganjuran program kita juga telah berjaya dicapai,” Azmi berkata sebaik-baik sahaja bas yang membawa mereka hilang daripada pandangan mata.

“Semoga mereka mendapat manfaat dan pengalaman yang amat berguna hasil daripada program yang telah dijalankan selama 3 hari 2 malam ini. Dan kita akan terus menjalankan tugas serta tanggungjawab untuk mensejahterakan dan memakmurkan lagi kampung ni,” balas Tok Ketua pula sebaliknya.

Demikianlah kisah yang berlaku di sebuah kampung yang bernama Kampung Talang yang terletak di Daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

#######


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *