Cerpen “Kisah Sebidang Tanah”
Kisah sebidang tanah.
Inilah kisah yang ingin aku kongsikan bersama.
Tanah ini adalah milik Pak Wahab.
Selepas dia meninggal dunia tanah tersebut menjadi milik anak lelakinya, Mazlan yang menetap di Kuala Lumpur.
“Kan lebih baik kau jualkan saja tanah tu,” kata Kamal.
“Jual?” balas Mazlan pula sebaliknya.
“Ya!” angguk Kamal dengan pantas.
“Tanah tu tak akan dapat mengeluarkan hasil. Hah! Sebab itulah aku suruh kau jual aje. Lagipun dah ada orang yang nak beli tanah kau tu,” sambung Kamal lagi.
“Siapa yang nak beli tanah tu?” tanyanya.
“Orang Kaya Ludin. Dia sanggup bayar berapa saja pada kau,” jawab Kamal.
Dia sebaliknya hanya mendiamkan diri sahaja.
“Hah! Macam mana? Kau setuju tak?” desak Kamal.
Dia lalu menarik nafas yang panjang dan kemudian memandang wajah Kamal.
“Nantilah aku fikirkan,” ujarnya.
Angin petang bertiup perlahan dan nyaman. Cuaca kelihatan begitu cerah sekali. Setibanya di rumah Mazlan duduk tersandar di atas kerusi di ruang tamu rumah. Tak lama kemudian isterinya muncul sambil membawa minuman.
“Minum, bang …!” pelawa isterinya.
Dia lalu mengangguk-angguk diam dan memandang wajah isterinya. Kemudian perlahan-lahan dia mencapai cawan yang berisi dengan air Nescafe itu dan meneguknya perlahan-lahan. Rasa penat yang dialaminya setelah seharian bekerja lantas hilang apabila dia dapat meneguk air yang dihidangkan oleh isterinya itu.
“Jadi ke abang nak jual tanah tu?” soal isterinya.
“Abang dah fikir masak-masak dan buat keputusan. Tanah tu tak akan abang jual. Arwah ayah dah berpesan pada abang supaya tanah itu diusahakan. Kerana itulah satu-satunya harta yang ditinggalkannya kepada abang. Kalau abang jual tanah tu bererti abang melanggar amanah arwah ayah.” Demikian katanya dengan penuh panjang lebar.
Tengah hari. Seperti biasa Restoran Damai yang menyajikan makanan tradisional Negeri Sembilan menjadi tumpuan pelanggan untuk menjamu selera. Pemilik restoran yang terkenal dengan gulai daging salai masak lemak cili api campur dengan bacang ini adalah Encik Dollah yang berasal daripada Kuala Pilah.
“Aku nak usahakan tanah peninggalan arwah ayah aku tu dengan tanaman sawit,” ucap Mazlan.
“Bagus tu, Lan!” sokong Ramli pula sambil mengangguk-anggukkan kepala.
“Daripada tanah tu terbiar dengan begitu saja elok jugak kau usahakan dengan tanaman sawit,” ujarnya lagi.
“Selain daripada dapat menikmati hasilnya, sekurang-kurangnya dapat memberikan peluang pekerjaan kepada orang-orang kampung untuk mengusahakan tanaman sawit tu nanti,” tambah Mazlan.
“Aku setuju sangat dengan cadangan kau tu, Lan. Ini adalah salah satu cara untuk kau menaburkan khidmat dan bakti di kampung kelahiran kau,” kata Ramli lagi.
“Memang itulah yang menjadi impian dan cita-cita aku selama ini!” angguknya pula dengan pantas.
“Sebab itulah aku pertahankan tanah peninggalan arwah ayah aku itu daripada dijual. Walaupun ditawarkan dengan harga yang tinggi,” dia memberitahu Ramli.
“Maksud kau dah ada orang yang nak beli tanah kau tu?” soal Ramli pula sebaliknya.
“Ya!” dia menjawab sambil mengangguk-anggukkan kepala.
“Alasan dia nak beli tanah tu sebab tak akan dapat mendatangkan hasil. Tapi bagi aku itu bukan satu halangan mahupun untuk melemahkan semangat. Sebaliknya berbudi pada tanah pasti akan mendapat hasilnya nanti,” dia menyambung.
Cuaca cerah jelas kelihatan menyinari seluruh bandar raya Kuala Lumpur yang dipenuhi dengan bangunan-bangunan yang tinggi menjulang sehingga mencakar langit. Jalan raya penuh sesak dengan kenderaan. Sudah menjadi rutin kehidupan penghuni yang hidup di kota besar seperti Kuala Lumpur menghadapi kesesakan lalu-lintas pada setiap hari. Ibarat makan nasi tak akan berselera tanpa ulam-ulaman dan sambal belacan.
“Macam mana, Lan? Kau setuju tak nak jual tanah tu?” soal Kamal.
“Aku dah buat keputusan. Aku tak akan jual tanah tu. Aku akan usahakan tanah tu dengan tanaman sawit,” tegasnya.
“Kau jangan tolak tuah, Lan. Tadi aku baru saja jumpa Orang Kaya Ludin. Dia bersungguh-sungguh nakkan tanah tu. Dia sanggup membeli dengan harga dua kali ganda. Asalkan kau nak menjual tanah tu,” jelas Kamal.
“Aku tak memandang pada semua tu, Mal. Bagi aku duit boleh dicari. Asalkan rajin dan gigih berusaha. Tapi aku tak boleh mengkhianati amanah yang telah ditinggalkan oleh arwah ayah aku,” ujarnya.
Rasa kekecewaan jelas kelihatan di wajah Kamal apabila mendengar apa yang dikatakan oleh Kamal itu. Dia sebenarnya telah dijanjikan dengan habuan yang lumayan oleh Orang Kaya Ludin. Sekiranya berjaya memujuk Mazlan supaya menjualkan tanah itu.
Pohon-pohon yang menghijau dan merendang kelihatan seperti mengangguk-angguk apabila ditiup angin kencang yang datang daripada arah bukit. Sinaran matahari di kaki langit kelihatan memancarkan cahaya yang terang-benderang menyinari seluruh kampung yang indah dan damai.
“Kau dari mana, Lan?” tanya Tok Ketua.
“Saya tengok tanah arwah ayah saya kat hujung kampung tu,” dia menjawab.
“Aku dengar kau nak usahakan tanah tu dengan tanaman sawit,” ucap Tok Ketua pula sebaliknya.
“Ya, tok!” angguknya pula dengan pantas.
“Baguslah tu. Tak ada la tanah tu terbiar dengan begitu saja,” kata Tok Ketua.
“Sayang, tok. Kalau tanah tu tak diusahakan,” balasnya.
Tak lama kemudian Pak Sidek muncul sambil membawa dulang yang berisi minuman dan lalu meletakkan di atas meja yang berbentuk empat segi itu. Tok Ketua memesan air teh ‘o’ nipis manakala Mazlan pula memesan air kopi susu.
Pak Sidek kemudiannya lalu beredar sambil membawa dulang yang telah kosong.
“Betul ke Kamal beria-ia suruh kau jual tanah tu?” soal Tok Ketua sambil menghirup perlahan-lahan air teh ‘o’ nipis yang masih lagi panas itu.
“Memang betul, tok!” angguknya pula.
“Ada orang kaya nak beli tanah saya tu. Ludin namanya. Dia sanggup beli berapa saja harga yang saya mahu. Tapi saya bukanlah jenis yang terlalu mengejar kemewahan dan kesenangan hidup. Amanah arwah ayah saya supaya tanah itu jangan dijual itu yang lebih utama dan penting bagi saya,” sambungnya lagi dengan penuh panjang lebar.
“Alhamdulillah! Kerana kau tak mengabaikan amanah yang telah ditinggalkan oleh arwah ayah kau!” balas Tok Ketua pula sebaliknya sambil mengangguk-anggukkan kepala.
“Itulah satu-satunya harta yang ditinggalkan oleh arwah untuk saya. Sudah menjadi tanggungjawab saya untuk menjaganya dengan baik,” ujarnya.
Boleh dikatakan setiap minggu dia akan pulang ke kampung untuk melihat tanah peninggalan arwah ayahnya itu. Ketika dia sedang asyik memandang seluruh kawasan tanah yang ditinggalkan oleh arwah ayahnya itu tiba-tiba kedengaran suara memanggil namanya.
“Hah! Kau rupanya, Mal. Aku ingatkan siapa tadi,” dia berkata.
“Kau tentu tahu kan tujuan aku datang ni,” jelas Kamal.
“Aku tak akan jual tanah ni!” dia sebaliknya menggeleng-gelengkan kepala dengan pantas.
“Lan! Kau dengar sini …!”
Tiba-tiba kedengaran bunyi kereta berhenti. Mereka lalu berpaling ke arah kereta tersebut. Kelihatan dua orang lelaki turun dari kereta dan berjalan menuju ke arah Mazlan dan Kamal.
“Siapa dia orang ni? Kau kenal ke?” soal Kamal sambil memandang Mazlan.
“Entahlah!” gelengnya pula.
“Bukan orang kampung kita ni,” katanya lagi.
“Assalamualaikum!” Salah seorang daripada mereka lalu memberi salam.
“Waalaikumsalam!” jawab Mazlan sambil mengangguk-anggukkan kepala.
Kamal sebaliknya hanya mendiamkan diri sahaja. Dengan tiba-tiba sahaja hatinya berasa tidak sedap. Apabila melihat kehadiran kedua-dua lelaki itu.
“Boleh saya tahu yang mana satu Encik Kamal?” tanyanya.
“Ya, saya!” angguknya dengan pantas.
“Kami polis,” dia berkata sambil menunjukkan kad kuasa.
“Sila ikut kami ke balai untuk membantu siasatan berhubung dengan kes penipuan menjual tanah,” jelasnya lagi.
“Apa …. Encik ….”
“Encik Kamal! Sila beri kerjasama!”
Tanah yang dahulunya terbiar kini telah pun diusahakan dengan tanaman sawit. Mazlan tersenyum memandang deretan kelapa sawit yang memenuhi tanah peninggalan arwah ayahnya. Tak lama kemudian dia lalu mengambil keputusan berhenti kerja dan pulang ke kampung untuk mengusahakan kebun kelapa sawit.
Tugasnya itu kemudian telah diambil alih pula oleh anaknya. Demikianlah secebis kisah mengenai sebidang tanah yang diharap akan dapat mencetuskan semangat kepada kita agar mengusahakannya dan hasil daripada titik peluh yang keluar pasti akan dirasai dengan penuh kegembiraan. Semoga kita yang mempunyai tanah pusaka di kampung dapat menjadikan kisah ini sebagai contoh yang terbaik untuk diikuti.
~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~