Cerpen “Meniti Dugaan”

Kebun

Kebun ( Ghulam )

Namaku Mohamad Amri bin Ahmad.
Aku ingin menceritakan tentang kisah hidup
yang aku lalui. Benarlah kata orang.
Berakit-rakit ke hulu berenang-renang ke tepian.
Bersakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian.

Tiada jalan pintas untuk menuju ke puncak kejayaan melainkan usaha keras. Segala-galanya bermula apabila keputusan STPM diumumkan. Tapi aku gagal memperolehi keputusan yang cemerlang. Ini bermakna hasratku untuk melanjutkan pelajaran ke universiti tidak tercapai.

Memang aku bercita-cita hendak masuk universiti.
Sebab aku ingin membela nasib keluarga aku yang miskin. Ayah aku dah lama meninggal dunia semenjak daripada aku masih kecil lagi. Setelah ayah tiada maka ibulah yang menyara kehidupan aku adik-beradik. Dengan mengambil upah menoreh getah di kebun Pak Dollah. Namun aku tidak berputus asa. Bagiku kegagalan bukan pengakhiran dalam hidup ini.

Aku ingin mengambil semula peperiksaan STPM.
Aku akan pastikan kali ini aku akan lulus dengan cemerlang dan masuk universiti sepertimana yang aku cita-citakan selama ini. Hashimah. Anak Pak Hassan. Dia sama sekolah denganku. Cuma bawah setahun saja denganku. Dia berasa amat gembira apabila mendengar aku ingin mengambil semula peperiksaan STPM.

Tambahan pula tahun ini dia juga akan menduduki peperiksaan STPM. Bersama-sama denganku. Cuma bezanya dia mengambil peperiksaan STPM sebagai calon sekolah. Manakala aku pula sebagai calon persendirian. Jadi dia mengajak aku belajar bersama-sama. Aku berasa amat gembira sekali dengan ajakannya. Sebab ada kawan yang sama-sama belajar dengan aku.

Boleh dikatakan setiap hari pada waktu petang aku dan Hashimah menghabiskan masa di Perpustakaan Kuala Pilah dengan membaca buku. Adaketikanya selepas belajar di perpustakaan aku dan Hashimah minum di restoran yang berhampiran dengan perpustakaan. Sambil minum kami akan bersembang. Biasanya kami bercerita tentang peperiksaan STPM yang akan kami hadapi.

Hashimah ada memberitahu yang ayahnya dah tahu yang setiap petang dia belajar di perpustakaan bersama-sama denganku. Kata Hashimah dia lebih gemar berterus terang. Agar ayah dan ibunya tidak risau dan tertanya-tanya apabila dia sering pulang lewat daripada sekolah. Kata Hashimah lagi ayah dan ibunya berasa sangat gembira apabila mendengar yang aku belajar bersama-sama dengannya di perpustakaan. Cuma ayah dan ibunya berpesan supaya menjaga tingkah laku dan tidak pulang lewat.

Selalunya kami pulang sebelum hari lewat petang.
Sepertimana yang diingatkan ayah dan ibu Hashimah. Bagiku adab dan tatasusila dalam berkawan perlu dijaga. Aku lelaki manakala Hashimah pula perempuan. Supaya tidak disalah anggap oleh orang yang melihat keakraban kami. Lagipun Hashimah masih bersekolah lagi. Ibu juga mengetahui keakraban aku dengan Hashimah. Dia menasihatkan aku supaya jangan membuat perkara yang memalukan nama baik keluarga. Aku pegang nasihat ibu itu. Dalam pada itu aku beritahu ibu yang Hashimah adalah kawan yang belajar bersama-sama denganku. Tak lebih daripada itu.

Aku juga membantu ibu menoreh getah di kebun Pak Dollah.
Aku kasihan dengan ibu. Selepas solat Subuh menyediakan sarapan adik-adik untuk ke sekolah. Kemudian pergi ke kebun getah Pak Dollah untuk menoreh. Tengah hari balik sahaja dari menoreh memasak pulak untuk adik-adik makan tengah hari apabila balik dari sekolah. Aku dapat bayangkan betapa penat dan besar pengorbanan ibu demi untuk anak-anaknya.

%%%%%%%

Satu hari aku memberitahu ibu yang aku mahu mengambilalih kerja hariannya menoreh getah di kebun Pak Dollah. Aku beritahu ibu yang dah tiba masanya untuk dia berehat dan tidak perlu bekerja keras disebabkan usianya yang semakin dimamah tua. Aku sebenarnya sangat sayang kepada ibu. Sebab itu aku tak beri dia menoreh lagi di kebun getah Pak Dollah. Biarlah aku yang membuatnya seorang diri.

Pada mulanya dia enggan menurut kemahuanku itu. Dia sebaliknya mahu aku menumpukan sepenuh perhatian terhadap peperiksaan STPM yang bakal aku hadapi nanti. Itu lebih penting katanya.

Katanya lagi dia masih lagi mampu menoreh getah di kebun Pak Dollah itu. Tetapi lama-kelamaan atas nasihatku dia akur dengan kemahuanku. Semenjak daripada hari itu aku mengambilalih kerja harian ibu menoreh getah di kebun Pak Dollah yang terletak di hujung kampung. Ibu menguruskan kerja-kerja di rumah seperti memasak, mengemas, membasuh dan lain-lain lagi.

Pada sebelah petang seperti biasa aku dan Hashimah akan ke perpustakaan untuk belajar. Selepas balik daripada perpustakaan biasanya aku akan ke masjid menunaikan solat Maghrib dan Isyak. Balik sahaja daripada masjid selepas menikmati makan malam aku akan menyambung semula membaca buku sehingga ke larut malam. Sebagai anak yang sulung dan pengganti kepada arwah ayah aku juga menasihatkan adik-adik supaya belajar bersungguh-sungguh demi untuk membela nasib keluarga.

Selain daripada menoreh aku juga mengusahakan tanah pusaka peninggalan arwah nenek sebelah ibuku dengan tanaman pisang. Aku turut mengambil upah menebas dan bercucuk tanam sayur-sayur kampung seperti ubi kayu, serai, limau purut, keledek, cili api dan lain-lain lagi di belakang rumah. Hasilnya aku jual kepada Abang Manan peniaga di Pekan Sehari Tanjung Ipoh. Ia terletak betul-betul di simpang masuk ke kampungku Kampung Talang.

Kalau petang tak ke perpustakaan aku turun ke sungai menjala ikan. Selalunya ikan yang aku dapat adalah ikan sembilang. Kalau ada rezeki banyak aku dapat ikan sembilang. Ikan sembilang yang aku dapat selain daripada menjadi hidangan aku sekeluarga aku juga jual pada Abang Manan.

Hasil daripada upah menoreh, sayur-sayur kampung dan ikan sembilanglah yang menampung kehidupan aku sekeluarga. Keakraban aku dan Hashimah rupanya tidak disenangi Rusdi. Dia anak orang kaya dalam kampungku. Rupa-rupanya dia ada hati dengan Hashimah. Tapi Hashimah tak layan dia. Sebab tingkahlakunya yang suka menghabiskan masa dengan merempit. Apalagi dia pun naik berang. Macam-macam cara dia gunakan untuk memikat hati Hashimah. Namun tetap tak berjaya.

Rupa-rupanya dia selalu mengintai aku dan Hashimah di perpustakaan dari jauh. Dia menganggap yang cintanya tak dibalas kerana Hashimah suka pada aku. Satu hari sedang aku bekerja di kebun pisang dia datang berjumpa dengan aku. Dia bertanya tentang sejauhmana hubungan aku dengan Hashimah. Dengan ikhlas aku menjawab hanya sebagai kawan biasa sahaja. Namun dia tidak percaya dengan kata-kataku itu. Sebelum beredar dia memberikan amaran keras kepada aku. Dia akan berusaha sampai dapat menawan hati Hashimah. Jadi, dia mintak aku lupakan dan jauhkan diri daripada Hashimah.

Lebih memedihkan lagi bagai ditikam sembilu rasanya apabila dia melemparkan kata-kata yang aku tak layak untuk memiliki Hashimah sebab aku miskin dan tak punya apa. Sedangkan yang lebih layak adalah dia kerana dia orang berada dan punya banyak harta. Dia suruh aku cermin muka aku dulu. Kalau miskin tak berharta buat cara miskin tak berharta. Rumah dahlah buruk tunggu masa nak roboh tapi ada hati nak memikat gadis yang paling cantik dalam kampung ni. Demikianlah kata-kata penghinaan yang dilemparkannya kepadaku. Aku sebaliknya hanya mendiamkan diri sahaja.

Petang itu aku tidak pergi belajar di perpustakaan.
Sebab Hashimah ada aktiviti kokurikulum di sekolahnya. Aku asyik termenung memikirkan kata-kata pedas dan penghinaan yang dilemparkan Rusdi kepadaku sewaktu di kebun pisang tadi. Memang benarlah kata orang. Kalau kita miskin tak berharta kita akan sentiasa dihina dan dicerca tak ubah seperti kain buruk. Tapi kalau kita banyak harta dan wang yang melimpah ruah macam air sungai kita akan ditatah tak ubah seperti permata berlian.

Keesokan harinya aku menceritakan hal ini kepada Hashimah. Kata Hashimah pedulikanlah. Dia tu hidung tak mancung pipi tersorong-sorong. Nama aje anak orang kaya tapi miskin budi bahasa. Berbanding dengan aku. Ujar Hashimah lagi dia senang berkawan dengan aku. Rajin dan berbudi bahasa walaupun hidup miskin tak berharta. Kami kemudiannya lalu melupakan hal itu. Sebaliknya membaca buku-buku yang berkaitan dengan matapelajaran yang akan dihadapi dalam peperiksaan STPM nanti.

%%%%%%%

Satu pagi seperti biasa aku pergi ke kebun Pak Dollah untuk mengutip getah sekerap. Alangkah terkejutnya aku apabila mendapati kesemua getah sekerap telah hilang. Seperti dicuri orang. Aku terdiam dan tidak percaya dengan apa yang telah kulihat. Sebelum ini perkara sebegini tidak pernah terjadi. Aku benar-benar berasa hairan dan pelik. Siapakah yang punya angkara ini? Detik hati kecilku. Lebih malang lagi Rusdi telah mereka cerita yang kehilangan getah sekerap di kebun getah itu adalah angkara daripada aku.

Pak Dollah tanpa usul periksa telah termakan dengan kata-kata Rusdi itu. Dia lalu datang ke rumah menemui aku. Dengan rasa marah dia memberitahu dia hendak membawa aku ke balai polis. Aku menjawab yang aku tidak melakukan perkara yang buruk ini.

Ibu menangis-nangis dan merayu kepada Pak Dollah agar tidak membawa perkara ini kepada pihak polis. Ibu sanggup membayar berapa sahaja ganti rugi asalkan Pak Dollah tidak mengheret aku ke balai polis. Disebabkan rayuan ibu itu maka Pak Dollah berasa kasihan dan memberitahu aku bahawa mulai besok aku tidak perlu lagi menoreh getah di kebunnya. Dia akan mencari orang lain sebagai pengganti.

Kini aku sudah hilang mata pencarian menoreh getah di kebun Pak Dollah. Ibu berasa amat kecewa. Aku memberitahu ibu yang aku benar-benar tidak melakukan perkara sepertimana yang didakwa Pak Dollah itu. Saya tak pernah mencuri, mak. Walaupun hidup keluarga kita miskin. Demikian kataku pada ibu. Ibu sebaliknya hanya mendiamkan diri sahaja apabila mendengar kata-kataku itu. Namaku telah busuk. Heboh satu kampung bercerita tentang aku mencuri getah sekerap Pak Dollah.

Mulut tempayan boleh ditutup tapi mulut manusia memang begitu. Biarkanlah. Kataku dalam hati. Sabar ajelah. Lagipun aku memang tak buat kerja yang hina macam tu. Doa orang yang teraniaya akan dimakbulkan Tuhan. Aku yakin. Kebenaran dan keadilan akan datang juga satu hari nanti.

Sementara itu Hashimah benar-benar berasa simpati dengan apa yang telah terjadi ke atas diriku. Dia minta aku bersabar dan tidak patah semangat dalam mengejar impian dan cita-cita untuk melanjutkan pelajaran di universiti. Rasa kedukaan yang aku alami lalu hilang apabila Hashimah memberikan kata-kata perangsang dan semangat kepadaku. Malah aku sangat berasa gembira kerana mempunyai seorang sahabat sepertinya yang sanggup berkongsi rasa duka bersama-sama denganku.

Selalunya dalam dunia ini kawan ketawa memang mudah dan ramai diketemui. Tapi kawan yang sanggup menangis bersama dalam seribu payah satu nak ditemui. Namun aku tetap berasa bersyukur kerana mempunyai seorang sahabat sejati seperti Hashimah yang mahu bukan sahaja ketawa bersama malahan juga menangis.

Memandangkan aku tidak lagi menoreh getah di kebun Pak Dollah maka pada keesokan harinya aku pergi ke kebun pisang. Aku berasa amat terperanjat dan sedih sekali apabila melihat pokok-pokok pisang yang hendak membesar telah musnah. Aku tengok satu persatu pokok-pokok pisang yang telah musnah itu dan mendapati bahawa tiada tanda-tanda angkara binatang. Memandangkan kebun pisangku terletak berhampiran dengan hutan. Sebaliknya aku menemui kesan tapak kasut di tanah.

Selain daripada itu aku juga menjumpai beberapa puntung rokok yang dibuangkan di atas tanah. Sudah pasti ini tentu perbuatan mereka yang sakit hati dan tidak berpuashati denganku. Namun aku tidak mahu menuduh sesiapa kerana tiada bukti.

Sekali lagi aku terpaksa bersabar walaupun dalam hati ini berasa amat kecewa sekali. Aku telah berpenat lelah dan berpanaskan matahari mengusahakan kebun ini tapi mereka senang-senang aje memusnahkannya. Mungkin ini adalah dugaan yang datang bertimpa-timpa daripada Allah SWT. Dan sudah tentu ada hikmah yang tersembunyi di sebalik semua yang terjadi ini. Tapi aku tidak patah semangat. Pokok-pokok pisang telah musnah aku bersihkan dan digantikan dengan yang baru.

%%%%%%%

Tidak lama selepas itu aku sekali lagi diuji dengan dugaan yang amat besar. Kali ini Rusdi telah membuat cerita yang aku dan Hashimah sebenarnya bukan pergi belajar di perpustakaan sebaliknya membuat perkara yang tak senonoh di Taman Bunga Kuala Pilah. Ya, Allah! Sungguh besar dugaan yang kau turunkan kepada aku. Di hati kecilku berkata. Seperti Pak Dollah, Pak Hassan tanpa usul periksa telah meradang dan menemui aku. Dia memberi amaran supaya aku jangan lagi berkawan dengan anaknya. Dia tidak mahu anaknya rosak dan gagal mendapat keputusan peperiksaan STPM kerana aku yang menjadi punca.

Ibu berasa sangat sedih apabila Pak Hassan datang menyerangku. Aku memberitahu ibu yang aku dan Hashimah tidak pernah melakukan perkara yang sumbang. Sebagaimana yang didakwa oleh Pak Hassan. Percayalah, mak. Saya sentiasa ingat pesan mak. Agar jangan memberikan nama buruk pada keluarga kita. Itulah yang aku katakan pada ibu. Dia sebaliknya hanya diam sahaja apabila mendengar apa yang aku katakan itu.

Demikianlah sikap ibu yang aku kenali sejak daripada aku kecil sehinggalah meningkat remaja seperti sekarang. Dia amat sayang pada anak-anaknya. Tak pernah marah jauh sekali memukul anak-anaknya apabila melakukan kesalahan. Sebaliknya mendidik dengan penuh kasih sayang dan memberi nasihat kepada anak-anaknya agar tidak mengulangi lagi kesalahan yang pernah dilakukan.

Aku sebaliknya akur dengan kehendak Pak Hassan itu.
Semenjak daripada hari itu aku tidak lagi berkawan dengan Hashimah. Aku juga tidak lagi pergi ke perpustakaan untuk belajar. Kerana aku tidak mahu terserempak dengan dia. Sebaliknya aku belajar di rumah. Hashimah juga dilarang keras untuk berjumpa dengan aku. Disebabkan takut dia akan berjumpa dengan aku secara senyap-senyap maka setiap hari Pak Hassan akan menghantar dan mengambil Hashimah balik daripada sekolah.

Malang yang datang bertimpa-timpa ke atas diriku menjadikan aku semakin kuat dan tabah. Setiap kali selepas sembahyang aku tak henti-henti berdoa ke hadrat Tuhan. Semoga aku lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan STPM dan seterusnya masuk ke universiti. Dengan ini aku dapat membuktikan kepada mereka bahawa tohmahan dan fitnah yang dilemparkan ke atasku selama ini adalah salah belaka.

Nak dijadikan cerita kejadian kecurian juga selalu berlaku di kampungku. Apalagi orang-orang kampung mula memandang serong padaku. Seolah-olah aku dituduh yang menyebabkan terjadinya kejadian kecurian. Tapi mereka tak ada bukti untuk mengaitkan aku dengan kejadian tersebut.

Kesedihan ibu semakin menebal.
Bila satu kampung hangat bercerita yang aku menjadi pencuri. Aku yakinkan ibu yang aku tidak melakukan perbuatan yang tidak sihat itu. Dalam pada itu peperiksaan STPM semakin hampir. Aku tumpukan sepenuh perhatian dengan belajar bersungguh-sungguh untuk menghadapi peperiksaan yang kali kedua aku ambil dan menjadi penentu sama ada cita-cita aku untuk masuk ke universiti akan tercapai atau tidak.

Hari yang dinanti pun tiba.
Aku menduduki peperiksaan di pusat yang sama dengan Hashimah. Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Abd. Samad, Tanjung Ipoh. Walaupun aku atas nama calon persendirian. Hashimah ada juga cuba nak bertemu dengan aku selepas tamat menduduki kertas peperiksaan. Namun aku mengelak. Kerana tidak mahu menambahkan lagi api kemarahan Pak Hassan.

Seperti biasa Pak Hassan akan menghantar dan mengambil Hashimah pergi dan pulang daripada menduduki peperiksaan. Selepas tamat peperiksaan aku mengusahakan kebun pisang di samping bercucuk tanam sayur-sayur kampung dan menjala ikan di sungai. Hashimah pula dihantar bapanya ke rumah kakaknya di Kuala Lumpur. Mungkin dengan cara itu sahajalah yang dapat memisahkan kami berdua. Aku juga dengar yang kakaknya juga telah mencarikannya pekerjaan di salah sebuah syarikat swasta.

Beberapa bulan kemudian seluruh kampung menjadi gempar. Rusdi dan kawan-kawannya telah ditangkap ketika berlumba motosikal di Jalan Kuala Pilah Lama. Dia dan kawan-kawannya juga telah menjalani ujian air kencing dan didapati positif dadah. Bukan setakat itu sahaja dia dan kawan-kawannya turut terlibat dalam kejadian kecurian yang berlaku di kampung selama ini termasuk getah sekerap Pak Dollah.

Rupa-rupanya pokok-pokok pisang aku yang musnah juga berpunca daripada angkara dia dan kawan-kawannya kerana sakit hati dan cemburu apabila aku berkawan rapat dengan Hashimah.

Semenjak daripada hari itu Pak Dollah berasa amat malu dengan aku. Kerana menerima bulat-bulat tuduhan Rusdi terhadap aku tanpa usul periksa. Dia datang menemui aku dan meminta maaf. Aku menerima maaf Pak Dollah itu dengan baik dan tanpa menyimpan rasa dendam terhadap dirinya. Barulah ibu tahu akan kedudukan perkara yang sebenarnya. Orang-orang kampung tidak menyangka yang Rusdi berniat jahat untuk memburukkan nama aku. Semata-mata kerana berasa tidak senang apabila aku berkawan dengan Hashimah. Sedangkan kami hanyalah kawan belajar sahaja untuk menduduki peperiksaan STPM.

Seperti juga Pak Dollah, Pak Hassan berasa amat malu denganku. Kerana termakan dengan hasutan Rusdi maka aku diserang dan dilarang keras daripada berjumpa dengan anaknya Hashimah. Dia turut datang menemuiku dan meminta maaf di atas apa yang telah terjadi. Aku memberitahu Pak Hassan supaya melupakan semua itu dan aku memberitahu dia yang dia tak ada salah dengan aku cuma salah faham aje.

Sekarang barulah ibu tahu bahawa segala tuduhan dan fitnah yang dilemparkan kepada aku selama ini adalah tidak benar belaka dan direka oleh Rusdi. Akibat rasa cemburu yang melangit tinggi apabila Hashimah amat rapat berkawan dengan aku.

%%%%%%%

Dalam pada itu pisang yang aku tanam mengeluarkan hasil yang bertandan-tandan. Ini yang dinamakan kalau dah rezeki tak ke mana. Ramai pemborong yang datang termasuk dari luar Kuala Pilah datang membeli pisang yang aku tanam. Begitu juga dengan sayur-sayur kampung yang aku tanam mendapat jualan yang laris di Pekan Sehari Tanjung Ipoh pada setiap hari Ahad. Syukur alhamdulillah. Aku tak henti-henti melafazkannya. Dengan rezeki yang telah Tuhan kurniakan kepada aku sekeluarga.

Selang beberapa bulan kemudian hari dan saat yang dinantikan pun tiba. Keputusan STPM pun diumumkan. Aku mendapat keputusan yang cemerlang. Sekali aku bersyukur ke hadrat Allah SWT. Kerana impianku selama ini telah terlaksana. Begitu juga dengan Hashimah. Tanpa disedari airmataku mengalir membasahi pipi. Segala penat lelah dan pahit getir yang aku harungi selama ini akhirnya terbalas. Aku dan Hashimah saling mengucapkan tahniah antara satu sama lain.

Setibanya di rumah aku lalu memberitahu dan memeluk ibu dengan seerat-eratnya. Ibu dan aku saling menitiskan air mata gembira. Aku kemudiannya diterima memasuki Universiti Malaya. Bidang yang aku ambil adalah Pengajian Melayu. Manakala Hashimah pula melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia. Dia mengambil bidang yang berkaitan dengan Antropologi dan Sosiologi.

Kini aku tersenyum gembira.
Aku telah pun berjaya dalam hidup dengan menjadi pensyarah dalam bidang Pengajian Melayu di Universiti Malaya. Tak lama lagi aku akan dinaikkan pangkat sebagai Profesor Madya. Adik-adik aku yang lain juga telah berjaya mengikut jejak langkah aku dengan melanjutkan pelajaran ke universiti. Ibu berasa amat gembira sekali apabila melihat anak-anaknya telah membalas pengorbanan yang telah dicurahkannya selama ini.

Rumah ibu di kampung juga telah kugantikan dengan yang baru. Tidak lagi menjadi rumah buruk sepertimana yang dikatakan Rusdi sebelum ini. Aku juga telah berkahwin dan dikurniakan dengan 5 orang anak. Tiga daripadanya lelaki manakala yang dua lagi perempuan. Tiga orang anakku telah pun melanjutkan pelajaran ke universiti manakala dua lagi masih lagi bersekolah menengah. Isteriku berasal dari Selangor dan bekerja sebagai guru sekolah menengah di Keramat. Aku kenal dia sewaktu sama-sama belajar di universiti.

Hashimah pula telah menjadi guru di salah sebuah sekolah menengah di Pahang. Dia juga telah berkahwin dan dikurniakan dengan 3 orang anak. Kesemua anaknya adalah perempuan. Suaminya juga berasal dari Pahang dan bekerja sebagai pegawai di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang. Aku benar-benar berasa bersyukur ke hadrat Tuhan dengan apa yang telah dikurniakannya kepada aku.

Setelah meniti pelbagai dugaan yang amat perit dan menyakitkan. Mungkin inilah hikmah yang aku perolehi setelah dengan penuh sabar dan tabah mengharungi segala dugaan dan cabaran yang didatangkannya. Demikianlah kisah yang pernah aku lalui dan akan terus terpahat selamanya dalam hidupku.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

1 Response

  1. Avatar Roslina says:

    Sy dh baca..👍👍

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *