Cerpen “Tumpas”

Suspek18

Suspek ( OpenClip )

Suara angin yang bertiup
sepoi-sepoi bahasa jelas kedengaran
membelah suasana petang yang tenang dan hening.

Pohon-pohon hijau kelihatan seperti menari-nari.
Sekejap ke kanan. Sekejap ke kiri. Mengikut rentak angin yang bertiup dari arah bukit yang subur lagi menghijau.

Daun-daun yang bergeseran di antara satu sama lain mengeluarkan irama yang sungguh merdu dan menghiburkan jiwa. Daun-daun kering yang berguguran ditiup angin kelihatan bertaburan dan menutupi permukaan tanah.

Bunyi ranting patah jatuh bergemertap ditiup angin juga jelas kedengaran membelah suasana. Di kaki langit biru matahari kelihatan bersinar indah. Bersama gumpalan awan putih yang menebal. Cahaya matahari yang terang-benderang menyinari seluruh kampung yang indah dan permai. Tidak kelihatan langsung tanda-tanda hujan akan turun. Memang cuaca panas terik sekarang. Rumput yang berwarna hijau bertukar menjadi keperangan.

“Kau nak ke mana ni, Helmi?” tanya Salim.

“Keluar, ayah. Ayah. Bagi Helmi RM 50.00,” pintanya.

“Kau lain tak ada. Mintak duit aje yang kau tahu. Kerja tak nak!” dia sebaliknya membalas.

“Alah, bang. Bagi aje la. Takkan dengan anak sendiri pun nak kedekut,” kata isterinya pula.

“Yalah, ayah ni. Takkan nak keluar tak bawak duit. Buat malu aje. Nama aje anak orang kaya. Tapi duit tak ada,” anaknya menambah.

“Nah! Ambik ni RM 50.00!” Dia kemudiannya lalu mengeluarkan wang dari dompet dan menyerahkan kepada anaknya itu.

“Terima kasih, ayah!” dia pantas menyambut wang yang dihulurkan bapanya itu dengan rasa gembira sambil menggangguk-anggukkan kepala.

“Saya pergi dulu ayah, mak!” mohonnya dan kemudian lalu meninggalkan rumah dengan motosikal yang ditunggangnya.

“Itu la kau. Manjakan anak. Habis duit aku!” Dia memarahi isterinya.

“Alah abang ni. Dengan anak pun nak berkira!” balas isterinya pula.

“Buang masa aje bertengkar dengan kau ni!” Salim kemudiannya lalu masuk ke dalam bilik. Meninggalkan isterinya yang duduk di kerusi ruang tamu rumah.

+++++++

Dari jauh kelihatan sebuah rumah banglo yang tidak berpenghuni. Kawasan sekelilingnya dipenuhi dengan semak samun. Di situlah tempat Helmi dan kawan-kawannya menghabiskan masa dengan melakukan kegiatan yang tidak sihat. Lilin, jarum suntikan dan puntung rokok kelihatan bertaburan di atas lantai.

Helmi dan kawan-kawannya kelihatan sedang khayal menghisap rokok. Tak lama kemudian kelihatan sebuah kereta mewah memasuki perkarangan rumah banglo yang telah sekian lama ditinggalkan itu. Seorang lelaki yang berbadan gempal kelihatan turun daripada kereta mewah itu dan kemudian lalu masuk ke dalam rumah itu. Dia memandang Helmi dan kawan-kawannya yang kelihatan sedang khayal dan asyik menghisap rokok sambil tersenyum.

“Kan nikmat macam ni. Tak payah kau orang susah-susah nak kerja. Hidup muda kau orang mesti seronok,” dia berkata.

“Memang nikmat Abang Bob. Kalau Abang Bob tak bagi benda tu sehari kita orang tak boleh hidup …!” Helmi membalas dengan matanya sekejap tertutup dan sekejap terbuka. Kerana merasa kenikmatan yang tak terhingga rokok yang dihisapnya itu.

“Betul tu, Abang Bob. Memang sedap dapat benda ni. Huh! Nikmatnya tak terkata …!” tambah Ajoi. Rasa khayal jelas kelihatan di wajahnya.

“Kita orang sanggup buat apa sahaja. Asalkan dapat benda ni …,” ujar Usin. Dia juga seperti Helmi dan Ajoi. Kelihatan khayal setiap kali menghisap rokok yang diberikan lelaki bernama Bob itu.

“Betul ke ni?” tanya Bob sambil mengeluarkan sebatang rokok daripada kotak.

Dia kemudiannya lalu menjepit rokok itu pada bibir dan menyalakan api padanya. Rokok itu dihisapnya dan asapnya lalu dihembusnya keluar. Berkepul-kepul memutih dan kemudian lalu menghilang. Sambil menghisap rokok dia memandang Helmi dan kawan-kawannya yang kelihatan masih lagi khayal.

“Betul, bang …!” angguk Helmi pula sebaliknya.

“Selama ni ada ke kita orang tipu, abang. Kita bayar benda ni!” katanya lagi.

“Ok! Ok!” angguk Bob sambil menghisap rokok.

“Aku memang percaya dengan kau orang. Kau orang memang bagus. Aku tabik dengan kau orang. Tak pernah kena tipu. Tapi kerja yang aku suruh ni berat. Takut kau orang tak nak buat aje,” dia berterus terang.

“Berat?” ulang Usin pula.

“Berat macam mana ni, bang?” celah Ajoi.

“Yalah! Abang Bob suruh kita orang buat apa sebenarnya ni?” Helmi menyampuk.

Bob sebaliknya tidak menjawab. Puntung rokok kemudian lalu dicampaknya ke lantai dan dipijaknya. Dalam hati mereka bertiga tertanya-tanya. Kerja apakah sebenarnya yang disuruh Abang Bob.

“Begini aku sebenarnya nak bagi benda yang kau orang hisap ni percuma,” jelasnya.

“Percuma?” Helmi pantas memotong.

“Nanti dulu aku tak habis cakap ni,” patah Bob pula sebaliknya.

“Kau jangan menyampuk, Helmi. Abang Bob tak habis lagi cakap tu,” tegur Ajoi.

“Oklah! Hah, cakaplah Abang Bob. Apa dia?” soal Helmi.

“Kau orang tahu kan dalam dunia ni tak ada benda yang percuma. Masuk tandas pun kena bayar. Jadi, untuk mendapatkan benda kegemaran kau orang tu percuma aku nak kau orang bekerja dengan aku. Kerjanya ialah kau orang rompak kedai 7 Eleven dan stesen minyak. Hasil rompakan tu kau orang bagi aku dan sebagai ganjarannya kau orang akan dapat benda tu percuma. Tak payah lagi beli daripada aku. Apa macam? Setuju?” kata Bob dengan penuh panjang lebar sambil memandang wajah Helmi dan kawan-kawannya itu silih berganti.

Helmi, Ajoi dan Usin lalu terdiam. Bob dapat membaca wajah yang ditunjukkan ketiga-tiga mereka itu. Sedang berfikir sama ada menerima atau tidak kerja yang disuruhnya itu. Ternyata Bob mahu mempergunakan mereka bertiga untuk kepentingan dirinya.

“Kau orang fikirlah masak-masak. Kalau kau orang buat kerja yang aku suruh kau orang akan dapat benda tu percuma. Tak payah bayar. Tak payah mintak lagi duit pada ayah dan mak kau orang. Tak payah tipu dia orang lagi. Berapa banyak kau orang nak hisap kau orang hisaplah. Aku boleh bagi. Tapi kalau kau orang tak nak buat kerja yang aku suruh tu kau orang kenalah bayar untuk dapatkan benda tu. Tak ada aku nak bagi percuma,” ujar Bob lagi dengan penuh panjang lebar.

“Saya sanggup, bang!” kata Helmi dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Kau orang macam mana pulak?” Dia kemudiannya lalu memandang kedua-dua kawannya silih berganti.

Mereka berdua kelihatan diam. Memang berat kerja yang disuruh Abang Bob. Melibatkan diri dengan kegiatan jenayah. Merompak! Buatnya kena tangkap dah tentu kena tangkap dengan polis. Itulah yang sedang bersarang dalam fikiran kedua-dua kawan Helmi itu.

“Hei! Kau orang tak nak ke benda percuma. Betul la kata Abang Bob. Kalau nak sesuatu benda tu kenalah buat kerja,” ujar Helmi lagi.

Mendengarkan sahaja kata-kata Helmi itu maka terbayanglah dalam fikiran mereka berdua. Akan kenikmatan benda percuma yang akan diberikan Abang Bob itu. Merompak pun merompaklah. Asalkan dapat benda tu dan tak payah untuk membelinya lagi.

“Aku setuju!” Usin bersuara.

“Aku pun!” ucap Ajoi.

“Bagus! Kau orang memang hebat. Nanti aku bagi barang-barang untuk kau orang buat kerja tu. Sebagai habuannya kau orang terimalah ini!” Dia memberikan benda yang menyebabkan ketiga-tiga sahabat itu menjadi khayal dan ketagih.

Bob kemudiannya lalu beredar meninggalkan tempat yang menjadi sarang Helmi dan kawan-kawannya untuk melepaskan gian. Helmi, Ajoi dan Usin bagaikan berpesta apabila dapat menjamah benda jahanam yang diberikan lelaki yang bernama Bob itu. Sesungguhnya mereka telah mensia-siakan usia muda mereka dengan melibatkan diri dalam kancah penyalahgunaan dadah yang juga adalah merupakan musuh utama dan perosak negara.

+++++++

Malam.

Suasana di Pekan Bahau sunyi dan lengang. Helmi dan kawan-kawannya memerhatikan dari jauh kedai 7 Eleven yang terdapat di pekan itu. Kedai itu akan menjadi sasaran mereka untuk melakukan rompakan. Sepertimana yang telah diarahkan oleh Bob. Kedai 7 Eleven yang akan menjadi mangsa rompakan mereka itu kelihatan lengang tanpa pelanggan. Hanya kelihatan juruwang sahaja. Seorang wanita.

Inilah peluang yang sangat ditunggu-tunggu dan terbaik untuk mereka melakukan rancangan jahat mereka. Helmi memandang ke kiri dan kanan. Manalah tahu dalam diam-diam ada yang memerhatikan gerak geri mereka yang amat mencurigakan itu. Terutamanya polis yang kebetulan meronda di kawasan itu. Setelah yakin yang tiada sesiapa memerhatikan maka Helmi pun mengisyaratkan kepada kedua-kedua kawannya itu supaya bersiap sedia. Bergerak ke kedai 7 Eleven itu.

“Pakai topeng dan keluarkan pisau cepat!” arahnya.

Ajoi dan Usin menurut apa yang telah diarahkan Helmi itu. Setelah menutup muka dengan topeng dan bersenjatakan pisau mereka lalu mengatur langkah pantas ke arah kedai itu. Mereka kemudian lalu menolak pintu dan masuk ke dalam kedai. Juruwang wanita itu lalu terkejut dan ketakutan.

“Serahkan semua wang tu kalau kau nak selamat!” kata Helmi sambil mengacukan pisau.

Dalam ketakutan dan menggigil juruwang wanita itu lalu menyerahkan semua wang kepada Helmi. Dia pantas menyambutnya dan memasukkannya ke dalam bekas yang berbentuk karung. Mereka kemudian lalu meninggalkan kedai 7 Eleven itu.

Wang rompakan itu kemudiannya lalu diserahkan kepada Bob. Dia berasa amat gembira apabila Helmi dan kawan-kawannya berjaya melaksanakan rancangannya. Dalam kepala Helmi, Ajoi dan Usin sudah terbayang habuan yang akan diberikan Abang Bob kepada mereka bertiga.

“Bagus!” pujinya sambil tersenyum dan mengangguk-anggukkan kepala.

“Abang percaya yang kau orang boleh melakukannya. Sebagai tanda terima kasih aku kepada kau orang ni hadiah percuma sepertimana yang aku janjikan!” Dia lalu menghulurkan benda yang memberikan kenikmatan dan kelazatan kepada Helmi dan kawan-kawannya.

Tanpa berlengah lagi Helmi, Ajoi dan Usin lalu menerkam benda yang diberikan Bob itu. Seperti orang yang kelaparan mereka bertiga menikmatinya dengan penuh khayal dan asyik. Tanpa memikirkan dunia di sekeliling mereka. Demikianlah akibatnya apabila menjadikan dadah sebagai teman sejati.

Senyuman tak putus-putus menguntum di wajah Bob. Dia berjaya mempergunakan Helmi dan kawan-kawannya untuk kesenangan hidup melalui wang hasil rompakan. Tak perlu dia melakukannya kerana dia mempunyai 3 orang remaja yang menjadi kuda tunggangannya. Dia kemudian lalu menghidupkan enjin kereta dan meninggalkan tempat yang menjadi sarang Helmi dan kawan-kawannya menghisap dadah.

Sepasukan polis yang diketuai Inspektor Arif lalu bergegas ke tempat kejadian. Setibanya di kedai yang menjadi mangsa rompakan itu mereka lalu mengambil keterangan daripada juruwang wanita yang masih lagi kelihatan trauma. Namun dia masih lagi boleh memberikan keterangan mengenai kejadian rompakan yang berlaku sebentar tadi. Pihak polis juga memeriksa seluruh tempat kejadian. Untuk mendapatkan petunjuk dan bukti yang boleh membantu penyiasatan mereka.

“Dah dapatkan keterangan daripada juruwang?” tanya Inspektor Arif.

“Sudah, tuan!” Sarjan Razali sebaliknya menjawab dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Menurut juruwang rompakan dilakukan oleh tiga orang remaja yang memakai topeng dan bersenjatakan pisau. Mereka berjaya melarikan wang tunai berjumlah RM 2,000.00. Rompakan ini mungkin dilakukan secara terancang. Ketika pelanggan tidak ada di dalam kedai ini,” jelasnya lagi.

“Baiklah, sarjan. Arahkan anggota-anggota kita untuk memburu suspek dan tangkap mereka!” kata Inspektor Arif.

“Baik, tuan!” angguknya sebagai tanda menurut arahan yang telah dikeluarkan ketuanya itu.

+++++++

Bob kelihatan mundar-mandir di lorong yang hanya diterangi cahaya lampu yang samar-samar. Sesekali dia memandang ke kiri dan kanan. Orang yang dinantinya tak kunjung tiba juga. Kemudian dia beralih pula melihat jam di tangan. Orang yang ditunggunya masih lagi tidak sampai sepertimana masa yang telah dijanjikan.

Rasa bosan kerana terlalu lama menunggu jelas kelihatan di wajahnya itu. Bagi menghilangkan rasa bosan dia lalu menghisap rokok. Sedang dia asyik menghisap rokok tiba-tiba kelihatan cahaya lampu kereta menuju ke arahnya. Orang yang ditunggunya setelah sekian lama sejak dari tadi akhirnya muncul.

Pintu kereta lalu dibuka. Orang Kaya Karim lalu turun dan berjalan menghampirinya sambil diiringi Borhan. Pemandunya menunggu di dalam kereta. Melihat sahaja Orang Kaya Karim bersama dengan orang kanannya itu menghampirinya Bob lalu membuangkan puntung rokok yang telah dihisapnya itu ke dalam longkang berhampiran dengan lorong itu.

“Dah lama kau tunggu?” Orang Kaya Karim pantas menyoalnya.

“Lama, boss. Dekat satu jam,” dia sebaliknya menjawab.

“Kau jangan nak pertikaikan aku. Datang tepat pada masanya atau tidak. Aku boss. Faham!” dia mengingatkan Bob.

“Faham, boss!” angguk Bob pula sebagai akur dengan apa yang dikatakan Orang Kaya Karim yang dipanggilnya boss itu.

“Macam mana dengan kerja yang aku suruh buat tu?” tanya Orang Kaya Karim lagi.

“Berjaya, boss!” dia mengangguk-anggukkan kepala.

“Bagus!” angguk Orang Kaya Karim.

“Ini dia, boss!” Dia menyerahkan wang RM 2,000.00 hasil rompakan Helmi dan kawan-kawannya di kedai 7 Eleven tempoh hari kepada Orang Kaya Karim.

“Lumayan!” Orang Kaya Karim sebaliknya menyambut bersama dengan rasa kegembiraan jelas kelihatan di wajahnya itu.

“Ini ganjaran untuk kau!” Dia menghulurkan RM 1,000.00 kepada Bob.

“Terima kasih, bos!” ujar Bob dengan rasa penuh gembira.

“Aku harap kau teruskan lagi. Kali ini dalam jumlah dua kali ganda daripada ni,” pesannya pada Bob.

“Boss jangan risau. Semua kerja ni dilakukan oleh tiga orang remaja yang diberikan dadah secara percuma,” jelasnya pula.

“Kau memang bijak!” balas Orang Kaya Karim sambil tersenyum.

“Boss yang kata. Hidup mesti mesti bijak,” dia sebaliknya membalas.

Mereka kemudian lalu ketawa terbahak-bahak. Demikianlah Orang Kaya Karim. Selain daripada menjadi peminjam wang dia juga terlibat dalam kegiatan jenayah. Mengedar dadah dan merompak. Dalam erti kata lain selain daripada hidup mewah dengan bayaran bunga daripada orang yang berhutang dengannya dia juga hidup kaya-raya dengan hasil rompakan. Yang dijalankan Bob dengan memperalatkan Helmi dan kawan-kawannya.

+++++++

Cuaca kelihatan redup sejak daripada pagi tadi sehinggalah ke petang. Angin yang datang dari arah bukit bertiup kencang dan menyapu seluruh kampung. Pohon-pohon nyiur kelihatan melambai-lambai apabila ditiup angin. Seolah-olah mengajak anak-anak muda yang mencari rezeki di kota agar pulang ke kampung halaman untuk menaburkan bakti.

“Ayah!” Helmi tiba-tiba muncul dan bersuara.

“Apalagi yang kau nak ni?” Dia tidak berasa senang apabila anaknya itu memanggilnya.

“Kalau ya pun cakaplah elok-elok. Ni pantang jumpa aje budak ni nak marah!” bantah isterinya.

“Entahlah mak ayah ni. Cakap sikit pun dah nak marah,” sampuk Helmi pula sebaliknya.

“Ayah kau memang macam tu, Mi. Berangin satu badan,” celah isterinya.

“Yalah! Yalah! Aku ajelah yang salah dalam rumah ni. Hah! Apa kau nak?” Dia mengangkat kepala tinggi sambil bercekak pinggang memandang wajah anaknya itu.

“Helmi nak keluar ni …,” dia berkata.

“Hah! Nak duit la tu, kan. Setiap kali kau keluar aje kau mintak duit. Itulah yang kau tahu!” pantas dia memotong.

“Beri ajelah, bang,” isterinya bersuara.

“Bagi duit! Bagi duit! Itu ajelah yang kau tahu. Kau tak nak pikir ke suruh dia ni cari kerja. Duduk dalam rumah ni pun menghabiskan duit aku aje yang dia tahu!” Dia mengeluarkan nada suara yang tinggi dan keras.

“Habis tu duit yang abang kumpul selama ni untuk siapa. Kalau bukan untuk dia. Lagipun dia masih lagi belum cukup matang dan dewasa. Nanti tahulah dia hidup sendiri macam orang lain,” tegas isterinya pula sebaliknya.

“Itulah kau. Selalu sebelahkan anak kau ni. Sebab itu dia naik lemak!” dia membalas.

“Tak apalah ayah, mak. Tak dapat duit pun tak apalah. Saya pergilah dulu,” celah Helmi dalam nada suara yang merajuk sambil mengatur langkah hendak meninggalkan rumah.

“Helmi! Nanti dulu!” tahan ibunya.

Langkah Helmi lalu terhenti apabila ibunya menahan dia daripada keluar rumah. Rasa berang dan marah jelas kelihatan di wajah Salim. Isterinya selalu sahaja memanjakan anaknya itu. Selalu memaksanya supaya menurut segala kemahuan anaknya itu.

“Apa masalahnya abang tak nak bagi duit pada Helmi ni. Bak kata orang kalau masuk ke hutan bawak parang. Hah! Ni dia pergi ke bandar kenalah bawak duit. Buatnya kalau berlaku sesuatu nanti perlukan duit hah siapa yang susah nanti!” isterinya berkata.

“Ah! Malaslah aku nak bertengkar dengan kau orang ni. Buat rugi dan buang masa aku aje. Yalah! Yalah! Berapa kau nak?” dia menyoal anaknya.

“Macam biasa, ayah. RM 50.00!” ucapnya dengan rasa penuh gembira kerana ayahnya akhirnya mengalah juga dengan menurut kemahuannya.

“Nah! Ambik ni!” Dia kemudian lalu pantas mengeluarkan duit RM 50.00 daripada dalam dompetnya dan menghulurkan kepada anaknya itu.

“Terima kasih, ayah. Sayang, ayah. Saya pergi dulu, ayah, mak!” dia memohon izin.

“Baiklah, Mi! Hati-hati dalam perjalanan!” pesan ibunya pula.

“Yalah, mak!” katanya sewaktu menuruni tangga rumah.

Rasa riang hatinya bukan kepalang. Mudah mendapat duit daripada bapanya apabila ibunya mendesak. Tapi ayahnya berasa amat berang kerana akhirnya tunduk juga dengan desakan ibunya itu.

“Puaslah hati kau, kan. Aku ikut semua kemahuan anak kau tu!” Dia melepaskan rasa marah dan tak puashati pada isterinya sambil beredar meninggalkan ruang tamu rumah dan kemudian lalu masuk ke dalam bilik.

Isterinya yang duduk di kerusi sebaliknya hanya mendiamkan diri sahaja. Dari raut wajahnya jelas kelihatan bahawa dia tidak senang dengan kata-kata keras dan amat pedih yang dilemparkan suaminya itu.

Seperti biasa Helmi dan kawan-kawannya melepaskan gian di rumah banglo dua tingkat yang tidak berpenghuni dan sudah lama ditinggalkan itu. Ternyata usia muda mereka disia-siakan dengan perkara yang tidak bermanfaat dan membinasakan diri mereka sendiri. Bagi mereka bertiga nikmat dan keseronokan hidup yang tak terhingga adalah dengan melayan dadah yang menjadi musuh utama kepada negara.

“Aku bosanlah dengan ayah aku tu,” kata Helmi.

“Kenapa dengan ayah kau?” tanya Usin pula.

“Tengok muka aku aje dia marah,” dia menjawab.

“Pedulikanlah. Yang penting kau dapat enjoy dengan benda ni,” Ajoi berkata sambil menghisap dadah.

“Betul kata Ajoi tu. Buat apa kau nak serabutkan kepala. Lebih baik kau layan aje benda ni. Selesai masalah,” sokong Usin.

Tak lama kemudian Bob muncul. Tersenyum lebar dia memandang Helmi dan kawan-kawannya. Sedang khayal menjamah dadah yang dibekalkannya secara percuma itu. Dengan dadah yang diberikannya itu dia telah merosakkan anak bangsanya sendiri.

Dia seharusnya membimbing dan memberikan semangat kepada Helmi dan kawan-kawannya supaya menjadi insan yang berguna pada agama, bangsa dan negara. Sebaliknya dia mengheret ketiga-tiga remaja itu ke kancah penagihan dadah dan jenayah.

“Aku ada kerja untuk kau orang,” dia berkata sambil menyucuhkan api pada rokok dan menghisapnya.

“Kerja apa, Abang Bob?” Helmi lalu pantas menyoal sambil memandang wajahnya.

“Macam biasa,” dia menjawab.

“Merompak.” Usin sudah dapat meneka apa yang dimaksudkannya itu.

“Apalagi? Itulah kerja kau orang. Kau orang pun dah setuju, kan.” Dia mengingatkan semula ketiga-tiga remaja yang sudah sesat dan jauh terpesong itu.

“Kali ni nak rompak apa pulak?” tanya Ajoi pula sebaliknya.

“Stesen minyak,” dia menjawab.

“Stesen minyak?” ulang Helmi.

“Ya!” dia mengangguk-anggukkan kepala.

“Aku yakin. Kau orang boleh buat. Kalau berjaya kau orang akan dapat bekalan dadah percuma yang dua kali ganda. Daripada yang kau orang terima sekarang,” katanya lagi.

“Dua kali ganda?” Terperanjat Helmi apabila mendengarnya.

“Biar betul!” celah Ajoi pula.

“Abang Bob jangan nak bergurau dengan kita orang!” Usin macam tak percaya dengan apa yang dikatakannya itu.

“Aku tak bergurau!” gelengnya pula.

“Sungguh!” angguknya.

“Kalau kau orang tak percaya, terserahlah!” Dia kemudian lalu mengangkat kedua-dua belah bahunya.

Helmi, Ajoi dan Usin lalu saling berpandangan. Antara percaya dengan tidak. Habuan dadah percuma dua kali ganda yang dijanjikan Abang Bob. Sekiranya berjaya merompak stesen minyak sepertimana yang telah diarahkannya.

Dalam fikiran mereka sudah terbayang. Betapa nikmatnya mendapat bekalan dadah yang dua kali ganda. Percuma. Bukan mudah untuk mendapat bekalan sebanyak itu. Peluang yang bagaikan datang bergolek seperti ini tidak seharusnya dilepaskan dengan begitu sahaja. Dari raut wajah mereka bertiga jelas kelihatan bahawa mereka bersetuju untuk merompak stesen minyak. Demi untuk mendapatkan bekalan dadah yang menimbun banyaknya mereka akan sanggup melakukan apa sahaja.

“Ok, bang! Kita orang akan jalankan kerja yang abang suruh tu!” jawab Helmi bagi pihak kedua-dua kawannya itu.

“Bagus!” dia menyambut dengan rasa penuh gembira.

“Tapi kau orang intai dulu stesen minyak tu. Tengok bila masa yang sesuai untuk kau orang lakukan rompakan. Supaya kau orang tidak tersilap langkah,” dia mengingatkan.

Helmi dan kawan-kawannya lalu mengangguk-angguk diam. Sebagai tanda faham dan mengerti dengan ingatan yang diberikan lelaki yang mereka panggil Abang Bob itu. Bob kemudiannya lalu bergerak meninggalkan tempat Helmi dan kawan-kawannya melakukan kegiatan yang tidak bermoral. Sepanjang perjalanan dia sudah terbayang sejumlah wang yang banyak untuk dikongsi bersama dengan bossnya Orang Kaya Karim. Andainya Helmi dan kawan-kawannya berjaya melaksanakan rancangannya merompak stesen minyak.

+++++++

Malam.

Suasana stesen minyak yang terletak di Pekan Bahau kelihatan lengang tanpa pelanggan. Hanya yang ada juruwang di kaunter bersama dengan 2 orang pekerja lelaki. Inilah peluang yang dinanti-nanti Helmi bersama dengan kawan-kawannya untuk melakukan rompakan. Dia kemudiannya lalu menyuruh kedua-dua kawannya itu agar memakai topeng muka.

Helmi mengangkat kepala memandang Ajoi dan Usin. Sebagai isyarat bertanya kepada mereka berdua sama ada sudah bersedia atau tidak. Mereka mengangguk-anggukkan kepala sebagai isyarat sudah bersedia. Helmi kemudiannya lalu menunjukkan isyarat bagus kepada mereka untuk melakukan rompakan.

Dengan langkah yang pantas seperti kilat mereka lalu menuju ke stesen minyak itu. Juruwang lelaki yang kelihatan sedang mengira wang di kaunter lalu terperanjat apabila didatangi tiga orang remaja lelaki yang bertopeng dan bersenjatakan pisau.

“Ini rompakan. Kalau kau nak selamat lebih baik kau serahkan semua wang tu cepat!” Helmi meninggikan suara sambil mengacukan pisau pada juruwang lelaki itu.

“Baik …!” jawab juruwang lelaki itu pula dalam nada suara yang ketakutan.

“Cepat! Masukkan semua duit tu dalam bekas ni!” Dia kemudiannya lalu mencampakkan beg kepada juruwang lelaki itu.

“Yang lain jangan nak tunjuk hero. Nahas nanti!” kata Ajoi pula sambil mengacukan pisau pada 2 orang pekerja lelaki yang ketika itu bertugas bersama dengan juruwang itu.

“Ikut apa yang kami suruh!” ujar Usin sambil sambil mengacukan pisau pada juruwang lelaki yang kelihatan terketar-ketar itu.

Juruwang lelaki itu lalu menyambutnya dan mengisi kesemua wang ke dalam beg. Kerana takutkan nyawanya terancam maka dia mengikut apa yang disuruh Helmi itu. Setelah semua wang dimasukkan ke dalam beg Helmi dan kawan-kawannya lalu pantas meninggalkan stesen minyak itu.

Beberapa minit kemudian pasukan polis yang diketuai Inspektor Arif tiba di tempat kejadian. Seperti biasa mereka lalu mengambil gambar dan mendapatkan keterangan daripada juruwang lelaki itu. Selain daripada itu, mereka juga cuba untuk mencari bahan bukti yang boleh dikaitkan dalam kes rompakan ini.

“Tuan!” kata Sarjan Razali sebaik-baik sahaja menghampiri Inspektor Arif.

“Modus operandi kes rompakan yang berlaku ini sama seperti di kedai 7 Eleven tempoh hari,” jelasnya.

“Boleh jadi rompakan ini dilakukan oleh suspek yang sama. Rompakan dilakukan pada waktu tengah malam. Ketika keadaan lengang tanpa pelanggan,” Inspektor Arif membalas.

“Saya pun berpendapat macam tu jugak, tuan,” ujarnya.

“Berapa jumlah wang yang berjaya dilarikan suspek?” tanya Inspektor Arif.

“RM 5,000.00, tuan!” dia menjawab sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Nampaknya mereka semakin menjadi-jadi. Sarjan. Arahkan anggota-anggota kita untuk memburu suspek sampai dapat. Sebelum lebih ramai lagi yang menjadi mangsa mereka,” arahnya pada Sarjan Razali.

“Baik, tuan!” dia membalas pantas dengan mengangguk-anggukkan kepala.

Sementara itu Bob berasa amat gembira bukan kepalang. Apabila Helmi dan kawan-kawannya berjaya melarikan wang tunai berjumlah RM 5,000.00 hasil daripada rompakan yang telah dilakukan di stesen minyak yang terletak di Pekan Bahau sebentar tadi.

“Syabas! Syabas!” dia berkata sambil menepuk tangan.

“Kau orang memang hebat. Sebab itu aku yakin kau orang boleh melakukannya,” ujarnya lagi.

“Kita orang dah buat apa yang Abang Bob suruh. Sekarang kita orang nak upah yang Abang Bob janjikan tu,” Helmi bersuara.

“Ya, Abang Bob! Mana dia?” celah Ajoi pula.

“Janji mesti ditunaikan!” ingat Usin.

“Sabar! Sabar!” Bob sebaliknya membalas sambil tersenyum.

“Aku tak mungkir janji. Nah. Terimalah habuan kau orang!” Dia lalu memberikan benda yang menjadi perosak bangsa dan negara itu kepada Helmi dan kawan-kawannya.

Tanpa berlengah lagi Helmi, Ajoi dan Usin lalu menghisap dadah yang dihadiahkan Bob itu. Dia kemudiannya lalu meninggalkan Helmi dan kawan-kawannya sambil membawa beg yang berisi duit berjumlah RM 5,000.00. Rasa gembira bagaikan bersinar-sinar dan berkilau-kilauan di wajahnya kerana berjaya memperolehi wang sebanyak itu. Dengan memperalatkan Helmi dan kawan-kawannya untuk melakukan rompakan di stesen minyak.

+++++++

Pagi.

Matahari masih lagi belum kelihatan di kaki langit. Cuaca kelihatan begitu amat cerah sekali. Suara angin yang bertiup dalam irama yang perlahan jelas kedengaran membelah suasana pagi yang tenang dan damai. Rasa segar angin yang berhembus jelas terasa mengusapi seluruh kampung.

“Helmi mana? Daripada semalam tak nampak-nampak batang hidungnya,” kata Salim sewaktu hendak keluar daripada rumah.

“Alah, abang ni. Dia lelaki bukannya perempuan. Tahulah dia jaga diri. Hah! Abang pergilah cepat jumpa orang kaya tu,” balas isterinya pula.

“Yalah! Yalah! Kau selalu menangkan anak kau tu!” Dia kemudiannya lalu mengatur langkah meninggalkan rumah.

Pihak polis akhirnya dapat mengesan tempat persembunyian Helmi dan kawan-kawannya. Inspektor Arif lalu memanggil Sarjan Razali.

“Arahkan semua anggota kita bersiap. Kita bergerak ke lokasi sekarang!” arahnya.

“Baik, tuan!” Sarjan Razali membalas.

Sebaik-baik sahaja tiba di tempat yang menjadi persembunyian Helmi dan rakan-rakannya, Inspektor Arif lalu mengarahkan anggota-anggotanya agar bergerak perlahan-lahan dan mengepung seluruh kawasan rumah banglo yang telah lama terbiar itu. Kehadiran Inspektor Arif dan anggota-anggotanya tidak disedari oleh Helmi dan rakan-rakannya. Mereka seperti biasa khayal dengan dadah.

Sampai sahaja di pintu masuk rumah banglo itu Inspektor Arif lalu mengarahkan anggota-anggotanya supaya bersedia untuk memberkas Helmi, Ajoi dan Usin. Setelah semua bersiap sedia Inspektor Arif kemudiannya lalu mengisyaratkan kepada anggota-anggotanya agar menyerbu masuk ke dalam rumah untuk menangkap ketiga-tiga remaja yang terlibat dalam kegiatan jenayah itu.

“Polis! Jangan bergerak!” Inspektor Arif bersuara sambil mengacukan pistol ke arah Helmi dan kawan-kawannya.

Mereka lalu terperanjat dan tidak sempat untuk melepaskan diri. Pasukan polis yang diketuai oleh Inspektor Arif lebih pantas bertindak dan memberkas mereka. Tangan mereka lalu digari dan mereka meronta-ronta untuk cuba melarikan diri.

“Diam! Jangan melawan!” tegas Inspektor Arif.

“Apa salah kami ni, encik? Kenapa kami ditangkap?” Helmi berdalih sambil memandang wajah Inspektor Arif.

Ajoi dan Usin sebaliknya hanya mendiamkan diri sahaja. Rasa ketakutan jelas kelihatan di wajah mereka apabila diberkas oleh polis.

“Kamu bertiga bukan sahaja terlibat dengan dadah tetapi juga melakukan rompakan. Sarjan!” dia memandang ke arah Sarjan Razali.

“Tuan!” sambutnya.

“Bawa mereka ke ibu pejabat!” arah Inspektor Arif lagi.

“Baik, tuan!” balasnya pula dan kemudian lalu menjalankan apa yang telah diarahkan ketuanya itu.

Keesokan harinya heboh satu kampung bercerita tentang Helmi dan kawan-kawannya ditangkap polis. Salim berasa amat malu bukan kepalang. Isterinya menangis teresak-esak.

“Saya tak sangka, bang …. Helmi terlibat dengan dadah dan jenayah …. Saya benar-benar rasa menyesal dan bersalah, bang …. Kerana terlalu manjakan dia …. Akibatnya inilah jadinya ….” Nada suara isterinya tersekat-sekat kerana menahan tangisan.

Salim sebaliknya hanya mendiamkan diri sahaja dan menarik nafas yang panjang.

“Sudahlah tu, Mah. Tak guna kita nak kesalkan. Bak kata orang nasi dah jadi bubur.” Hanya itulah yang mampu dikatakannya.

“Habis? Apa kita nak buat sekarang ni, bang?” Isterinya tak henti-henti menangis.

“Kita tunggu saja hari perbicaraan nanti. Apakah hukuman yang bakal diterimanya. Sama-samalah kita berdoa apabila dia sudah selesai menjalani hukuman nanti dia akan berubah. Dan menjadi insan yang berguna pada agama, bangsa dan negara,” ujarnya.

Isterinya lalu mengangguk-angguk diam. Di luar cuaca kelihatan mendung seperti hendak hujan. Angin bertiup lemah dan tidak bermaya. Seolah-olah turut berkongsi perasaan dan simpati terhadap nasib malang yang menimpa ke atas Salim dan isterinya.

Dengan tertangkapnya Helmi dan kawan-kawannya maka pihak polis telah dapat mengesan tempat yang menjadi persembunyian Orang Kaya Karim dan anggota kumpulannya. Inspektor Arif kemudiannya lalu mengarahkan Sarjan Razali bersama dengan anggotanya yang lain agar bertindak segera untuk memberkas Orang Kaya Karim dan anggota kumpulannya. Berita penangkapan Helmi dan kawan-kawannya juga menjadikan Orang Kaya Karim tidak senang duduk.

“Jahanam!” katanya dalam nada suara yang tinggi.

“Saya pun tak sangka yang dia orang bertiga boleh kena cekup dengan polis. Tempat yang menjadi markas mereka tu tersembunyi dan takde siapa yang tahu,” celah Bob pula sebaliknya.

“Kita mesti larikan diri cepat sebelum pihak polis datang. Budak-budak tu dah tentu pecahkan rahsia bila dah kena soal siasat!” ucapnya.

“Betul tu, boss. Kalau dia orang tahu kita ada kat tempat ni susah kita nanti,” sokong Bob pula sebaliknya.

Dia kemudian lalu mengarahkan Bob dan ahli-ahli kumpulannya agar segera berkemas. Tanpa mereka sedari Inspektor Arif dan anggota-anggotanya telah pun mengepung seluruh kawasan rumah.

“Hati-hati. Mereka semua bersenjata. Jangan bertindak terburu-buru. Ikut apa yang saya arahkan,” dia mengingatkan Sarjan Razali dan anggota-anggota yang lain.

Mereka lalu mengangguk-angguk diam. Sebagai tanda faham dengan apa yang diarahkan ketua mereka yang berpangkat inspektor itu. Inspektor Arif dan anggota-anggotanya kemudian lalu bergerak dengan penuh berwaspada menuju ke rumah yang menjadi tempat persembunyian Orang Kaya Karim dan ahli-ahli kumpulannya.

Dia dan anggota-anggotanya yang bersenjatakan pistol di tangan lalu menyerbu masuk ke dalam rumah dan memberkas Orang Kaya Karim dan ahli-ahli kumpulannya termasuk Bob. Dengan kepantasan dan kecekapan anggota-anggotanya maka Orang Kaya Karim dan ahli-ahli kumpulannya telah dapat ditangkap.

Inspektor Arif kemudian lalu mengarahkan Sarjan Razali dan anggota-anggotanya menggeledah seluruh rumah untuk mencari bahan bukti bagi mendakwa Orang Kaya Karim dan ahli-ahli kumpulannya. Sarjan Razali dan beberapa orang anggota lalu melaksanakan arahan Inspektor Arif itu. Manakala yang lain mengawal ketat Orang Kaya Karim dan ahli-ahli kumpulannya agar tidak dapat melepaskan diri.

“Tuan! Kita dah jumpa banyak bungkusan dadah untuk dijadikan sebagai bahan bukti,” ujar Sarjan Razali setelah selesai menggeledah seluruh rumah.

Dia hanya mengangguk-angguk sahaja apabila Sarjan Razali memberitahu bahan bukti yang berjaya ditemui.

“Karim! Akhirnya awak tumpas juga!” kata Inspektor Arif sambil memandang penjenayah bernama Orang Kaya Karim yang hanya mampu tunduk dengan tangan bergari.

Dia kemudian lalu mengarahkan Sarjan Razali dan anggota-anggotanya agar membawa Orang Kaya Karim serta kesemua mereka yang berjaya diberkas ke ibu pejabat. Orang Kaya Karim dan Bob hanya mampu saling berpandangan kerana rancangan mereka untuk melarikan diri tidak berjaya kerana telah dapat diberkas oleh pihak polis.

“Syukur alhamdulillah, tuan. Operasi kita berjaya,” kata Sarjan Razali sewaktu sama-sama melangkah keluar daripada rumah yang menjadi tempat persembunyian Orang Kaya Karim dan ahli-ahli kumpulannya.

“Ya, sarjan!” angguk Inspektor Arif pula sebaliknya sambil berjalan beriringan dengan Sarjan Razali.

“Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Sedih sangat rasanya bila melihat Orang Kaya Karim dan Bob sanggup memperalatkan Helmi dan kawan-kawannya untuk melakukan jenayah. Bukan setakat itu saja malahan mereka di umpan dengan dadah percuma. Sepatutnya Orang Kaya Karim dan Bob membentuk Helmi dan rakan-rakannya menjadi insan yang menyumbangkan tenaga terhadap kesejahteraan dan pembangunan negara,” dia menyambung lagi.

Inspektor Arif dan Sarjan Razali kemudiannya menuju ke kereta dan pulang semula ke ibu pejabat.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *