Cerpen “Berkat Kesabaran”

Sayuran

Sayur-Sayuran ( SamXCharlie )

Matahari kelihatan
begitu bersinar indah sekali
di kaki langit biru. Angin bertiup
perlahan dan nyaman. Pohon-pohon dan
daun-daun yang bergoyangan
mengeluarkan irama yang sungguh merdu mengusik jiwa.

Bukan hidup namanya kalau tak menghadapi cabaran. Cabaran sentiasa datang dalam hidup ini. Sama ada suka atau tidak mahupun dipinta atau tidak cabaran tak boleh dielakkan. Dan pasti akan datang mengetuk pintu kehidupan ini.

Walaupun amat pedih dan menyakitkan namun cabaran itu sebenarnya ada nikmat yang tersembunyi di sebaliknya. Kekuatan dan ketabahan akan dirasai apabila berdepan dengan apa yang dikatakan sebagai cabaran itu. Indahnya cabaran dapat dirasakan apabila berjaya mengatasinya. Dalam hidup ini kita boleh kalah asalkan jangan mengalah. Tiba-tiba dia teringat akan kata-kata keramat itu.

Dia kemudiannya lalu menarik nafas yang panjang. Hidup ini umpama air laut. Pasang dan surut silih berganti. Penuh dengan warna-warna suka dan duka. Hidup ini juga tak ubah seperti putaran roda. Sekejap berada di atas dan sekejap berada di bawah. Hari ini kita berasa gembira dan bahagia tapi esok belum pasti lagi. Mungkin kita akan berduka dan diselubungi derita. Semua ini bukan kita yang menentukannya tapi adalah ketentuan Tuhan.

+++++++

“Maafkan saya, Adam. Memang amat berat bagi saya untuk membuat keputusan ini. Tapi saya terpaksa …,” Encik Bidin bersuara perlahan. Rasa serba salah juga jelas kelihatan di wajahnya.

Adam sebaliknya lalu menarik nafas yang panjang. Setelah membaca surat yang diberikan Encik Bidin itu. Kesejukan alat penghawa dingin jelas terasa mengepung seluruh ruang bilik. Hawanya termampan pada dinding batu yang dicat dengan warna biru air laut. Melalui jendela kaca jelas kelihatan bangunan-bangunan yang tinggi menjulang. Seakan-akan hampir mencakar langit biru.

“Tidak sewajarnya saya memberhentikan awak. Awak seorang pekerja yang cemerlang. Banyak membantu kejayaan pada syarikat ini. Tapi apa boleh buat. Kedudukan syarikat sekarang ibarat telur di hujung tanduk. Saya tiada jalan lain. Melainkan memberhentikan awak dan beberapa pekerja yang lain,” jelasnya lagi.

Dia lalu menarik nafas yang panjang. Memang benar apa yang dikatakan Encik Bidin itu. Pengurus tempat syarikat dia bekerja dan mencari rezeki. Keadaan kewangan syarikat semakin goyah. Sehingga tidak mampu untuk membayar gaji pekerja yang ramai. Dia kemudiannya lalu memandang Encik Bidin yang memakai kot dan tali leher sambil duduk tersandar di atas kerusi pusing.

“Saya faham, Encik Bidin!” dia bersuara tenang sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Saya terima semua ini dengan hati yang terbuka. Lagipun sudah menjadi ketentuan Tuhan. Sampai di sini sahaja saya bekerja dengan syarikat ini,” sambungnya lagi.

“Terima kasih, Adam. Kerana dapat menerima keputusan yang telah saya buat ini. Saya mendoakan awak dan pekerja-pekerja yang telah diberhentikan akan mendapat tempat kerja yang baru. Dan berjaya mencipta kejayaan sepertimana yang dilakukan sewaktu bersama dengan syarikat ini dulu,” sambut Encik Bidin pula sebaliknya.

“Saya ucapkan terima kasih atas doa Encik Bidin itu. Insya-Allah. Saya dan kawan-kawan yang senasib akan berusaha untuk mencari tempat kerja yang baru dan mencipta kejayaan sepertimana yang Encik Bidin harapkan,” dia membalas.

“Kalau dah rezeki namanya insya-Allah tak ke mana.” Encik Bidin terus memberikan kata-kata semangat padanya.

“Baiklah, Encik Bidin! Kalau tak ada apa-apa lagi saya nak minta diri. Saya nak siapkan kerja yang belum selesai. Sebelum saya meninggalkan syarikat ini!” dia mengangguk-anggukkan kepala sambil bingkas bangun.

“Baiklah!” jawab Encik Bidin pula sambil bangun.

“Saya minta maaf sekiranya saya ada melakukan salah dan silap. Sepanjang bekerja di syarikat ini. Saya mendoakan semoga syarikat ini terus berjaya,” dia berkata sambil bersalaman dengan pengurus syarikat tempat dia bekerja itu.

“Saya pun begitu jugak, Adam!” balasnya dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Kalau ada salah dan silap saya pada awak hanya maaf sajalah yang saya pinta. Sama-samalah kita berdoa. Semoga Allah SWT mengurniakan kita dengan banyak kejayaan dalam hidup ini,” dia menyambung lagi.

Adam kemudiannya lalu mengatur langkah tenang. Meninggalkan bilik pengurus syarikat tempat dia bekerja itu. Sambil membawa surat yang menyatakan dia terpaksa diberhentikan. Akibat daripada kegoyahan kewangan yang dialami syarikat. Sebelum meninggalkan bilik tadi Encik Bidin ada memberitahu yang gaji dia dan pekerja-pekerja yang telah diberhentikan akan dibayar.

“Kau kena berhenti kerja ke?” tanya Kamarul sebaik-baik sahaja melihat Adam keluar daripada bilik Encik Bidin sambil membawa bersama surat.

“Ya, Kamarul!” angguknya.

“Tak patut dia buat macam tu pada kau!” dia menggeleng-gelengkan kepala. Apabila mendengar apa yang dikatakan Adam itu. Rasa tidak puas hati dengan tindakan yang diambil Encik Bidin terhadap Adam itu juga jelas kelihatan di wajahnya.

“Semua ini sudah suratan. Aku redha menerimanya,” dia sebaliknya membalas.

“Tapi kau banyak membantu syarikat ini sehingga berjaya. Bagi aku keputusan yang diambilnya itu pada kau sama sekali tidak adil.” Ternyata dia masih lagi tidak berpuashati dengan keputusan yang diambil pengurus syarikat tempat dia bekerja pada rakan sekerjanya itu.

“Aku hargai kau sebagai seorang rakan sekerja yang ingin membela aku. Tapi kau harus akur dan menerima bahawa apa yang dilakukan oleh Encik Bidin itu adalah demi untuk kebaikan bersama syarikat ini. Dan kau juga harus bersyukur Kamarul. Kerana tidak menerima nasib yang sama seperti aku dan kawan-kawan yang lain. Sebagai seorang kawan sekerja walaupun aku tidak lagi bekerja di syarikat ini aku tetap mendoakan kau dan rakan-rakan yang lain terus berjaya membangunkan syarikat ini,” Adam mengulas dengan penuh panjang lebar.

Dari raut wajahnya itu jelas kelihatan bahawa jauh benar dia mengelamun. Mengenangkan cabaran hidup yang dihadapinya kini. Dia kemudiannya lalu mengalihkan pandangan ke arah bukit-bukau yang subur menghijau yang tidak jauh dari hadapan rumahnya melalui jendela kayu yang terbuka luas.

“Jadi, sekarang kau dah tak kerja lagi ya, Adam,” ibunya bersuara.

Serta-merta lamunannya terhenti apabila mendengar suara ibunya itu. Dia kemudiannya lalu memandang wajah ibunya yang telah tua dan dimamah usia itu. Demikianlah perjalanan usia hidup ini. Seperti sehelai daun hijau dan kemudiannya bertukar warna menjadi keperangan. Dan apabila tiba masanya nanti akan berguguran jatuh ditiup angin dan menimpa tanah. Rumusannya hidup ini sudah ditentukan bermula dengan kelahiran dan pengakhirannya adalah kematian.

“Ya, mak!” dia menjawab pendek dan mengangguk-anggukkan kepala.

“Sabarlah, Adam. Mungkin ada yang lebih baik yang akan kau dapat selepas ini,” kata ibunya pula.

“Memang betul apa yang mak katakan itu. Saya yakin. Rezeki ada di mana-mana. Yang penting kita kena berusaha. Insya-Allah. Kita pasti akan dapat,” ujarnya.

Suara angin yang bertiup kencang jelas kedengaran membelah suasana. Berkelepak-kelepuk bunyi pelepah pisang di belakang rumah ditiup angin. Begitu juga dengan bunyi gemertap ranting patah ditiup angin dan jatuh menimpa tanah.

“Saya dah buat keputusan, mak. Saya akan usahakan tanah peninggalan arwah ayah di hujung kampung tu,” dia memberitahu ibunya.

“Kau nak kerjakan tanah tu?” ulang ibunya pula sebaliknya. Wajah ibunya tiba-tiba berubah. Macam ada sesuatu yang tak kena. Apabila dia menyebut tanah milik arwah ayahnya yang terletak di hujung kampung itu.

“Kenapa, mak? Kenapa mak nampak sedih saya tengok. Bila saya bagitau nak usahakan tanah arwah ayah di hujung kampung tu,” ucapnya.

Ibunya hanya mendiamkan diri sahaja. Semakin jelas kelihatan ada sesuatu yang tak kena. Apabila dia membangkitkan untuk mengusahakan tanah milik arwah ayahnya di hujung kampung itu. Di luar angin yang tadinya bertiup kencang tiba-tiba menjadi perlahan dan tidak berdaya. Seolah-olah turut berkongsi perasaan dengan ibunya.

“Cakaplah, mak. Apa sebenarnya yang telah terjadi pada tanah arwah ayah tu,” dia tak henti-henti mendesak ibunya. Agar memberitahunya apa sebenarnya yang telah berlaku.

Memang berat untuk ibunya memberitahu perkara sebenarnya yang telah terjadi. Tapi dia tidak boleh terus-terusan menyembunyikannya daripada pengetahuan anaknya itu. Lama-kelamaan dia akan mengetahui juga. Lalu dia mengambil keputusan untuk memberitahu perkara sebenarnya yang telah berlaku.

“Sebenarnya tanah itu sekarang dah jadi milik Orang Kaya Tahir …,” jelas ibunya dalam nada suara yang lemah dan tak bermaya. Bersama rasa kepiluan jelas kelihatan menebal di wajahnya yang tua itu.

“Maksud mak arwah ayah telah menjualkannya pada Orang Kaya Tahir?” dia sebaliknya menyoal dengan pantas. Tapi ibunya membalas dengan menggeleng-gelengkan kepala lemah.

“Kalau begitu apa sebenarnya yang telah berlaku pada tanah tu. Sehingga kini menjadi kepunyaan Orang Kaya Tahir.” Tak putus-putus dia mendesak ibunya. Perlahan-lahan ibunya memandang mukanya. Adam kelihatan seperti tidak sabar-sabar lagi. Untuk mendengar apa yang akan diberitahu ibunya.

“Arwah ayah kau berhutang dengan Orang Kaya Tahir. Bila tak dapat menjelaskan hutang tanah itu lalu diambilnya,” ibunya memberitahu.

“Kenapa arwah ayah tak memberitahu perkara ini pada saya,” dia membalas dengan pantas.

“Dia tak nak menyusahkan kau, Adam. Arwah ayah kau memang rasa sedih bila tanah tu menjadi milik Orang Kaya Tahir. Sehingga dia jatuh sakit dan meninggal dunia …,” nyata ibunya dalam nada suara yang penuh sayu dan pilu.

Adam lalu jadi terdiam. Sebaik-baik sahaja mendengar apa yang dikatakan ibunya itu. Nampaknya satu demi satu cabaran yang terpaksa dihadapinya. Namun dia tetap nekad untuk menghadapinya. Tak akan mengalah mahupun berundur. Kalau mengalah bererti dia lemah dalam menghadapi dugaan yang datang dalam hidupnya. Dia perlu kuat untuk berhadapan dengan apa yang dinamakan sebagai cabaran.

“Mak …!” Dia memandang wajah ibunya yang dirundung dengan rasa penuh kesedihan dan kepiluan itu. Ibunya lalu pantas membalas pandangannya itu.

“Saya akan tebus semula tanah tu!” janjinya.

“Tapi mana kau nak cari duit. Nak bayar semula hutang arwah ayah kau tu. Tambah pulak kau dah diberhentikan kerja,” jawab ibunya pula sebaliknya.

“Itu mak jangan bimbang. Tahulah saya macam mana nak buat nanti. Mak doalah. Semoga kita dapat balik tanah tu,” dia membalas.

+++++++

Keesokan harinya dia lalu pergi ke rumah Orang Kaya Tahir. Setibanya di rumah Orang Kaya Tahir dia lalu memberi salam. Orang Kaya Tahir lalu menjawab salam yang diberikannya itu dan menjemput dia masuk ke dalam rumah. Dia lalu menyatakan kepada Orang Kaya Tahir tentang hasratnya untuk membayar hutang dan menebus kembali tanah milik arwah ayahnya.

“Kau tahu berapa hutang arwah ayah kau?” Dengan rasa penuh sombong dan bongkak Orang Kaya Tahir mendongakkan kepala tinggi memandang wajahnya.

“Berapa orang kaya?” sambutnya pula.

“RM 5,000.00,” Orang Kaya Tahir menjawab.

“RM 5,000.00?” Dia berasa amat terperanjat apabila mendengar jumlah hutang arwah ayahnya itu yang begitu banyak.

“Ya! Termasuk bunga!” angguknya dengan pantas.

“Bunga?” ulang Adam lagi dengan rasa terkejut.

“Itu adat orang berhutang, Adam. Kalau lambat bayar lama-kelamaan bunganya akan naik,” tambah Orang Kaya Tahir.

“Orang kaya saya berjanji akan membayar segala hutang arwah saya tu. Dan saya nak tanah tu semula untuk diusahakan,” pintanya.

“Tak semudah itu, Adam!” dia sebaliknya membalas pantas dengan menggeleng-gelengkan kepala.

“Maksud, orang kaya?” sambut Adam pula.

“Kau kena jelaskan semua hutang arwah ayah kau tu dengan cepat. Kalau tak bunganya makin lama makin naik!” tegasnya.

“Tapi mana saya nak cari duit dalam masa terdekat ni. Saya mohon belas ihsan orang kaya. Untuk memberi peluang kepada saya menjelaskan kesemua hutang itu dengan beransur-ansur,” rayunya pada Orang Kaya Tahir.

“Itu bukan urusan aku. Kalau kau tak dapat jelaskan hutang tu dengan segera tanah tu akan aku jualkan. Ada orang nak beli!” Dia menolak dengan sekeras-kerasnya rayuan Adam itu.

“Ada orang nak beli tanah tu?” dia menyoal sambil memandang Orang Kaya Tahir yang duduk berhadapan dengannya.

“Ya! Orang kaya dari bandar!” tegas Orang Kaya Tahir lagi.

“Orang Kaya sekali lagi saya mohon ….” Dia tidak dapat meneruskan kata-kata.

“Sudah! Walau keluar air mata darah sekalipun kau aku tak akan ubah keputusan aku. Faham!” Orang Kaya Tahir pantas memotong sambil meninggikan suara.

Dia kemudiannya lalu mengatur langkah meninggalkan rumah Orang Kaya Tahir dengan penuh rasa sabar dan tenang. Dalam hati kecilnya dia berdoa. Semoga Allah SWT memberikan dia kekuatan dan ketabahan ke dalam dirinya. Menghadapi setiap ujian yang datang silih berganti dalam hidupnya. Serta dapat menjelaskan kesemua hutang dan mendapatkan semula tanah milik arwah ayahnya. Dia juga tidak lupa berdoa ke hadrat Tuhan semoga dibukakan pintu hati Orang Kaya Tahir agar berubah. Dengan membuang sejauh-jauhnya sikap sombong dan tamakkan harta kekayaan.

“Ada apa hal Abang Adam datang kemari, ayah?” soal Faridah anak Orang Kaya Tahir.

“Pasal hutang arwah ayah dia. Dia nak bayar ansur-ansur. Mana boleh. Kenalah jelaskan semua!” jelasnya.

“Tak patut ayah buat pada Abang Adam macam tu. Dia dah diberhentikan kerja. Mana dia nak cari duit nak langsaikan semua hutang ayah tu,” kata Faridah pula.

“Sudah! Kau jangan nak menyebelahi dia. Aku ni ayah kau. Kau jangan nak mengajar aku!” tengkingnya. Faridah hanya tunduk dan mendiamkan diri sahaja. Orang Kaya Tahir kemudiannya lalu beredar meninggalkan ruang tamu rumah. Sambil membawa api kemarahan yang panas menyala.

“Aku nak keluar. Nak jumpa kawan aku orang kaya dari bandar. Kau jangan nak ke mana-mana. Tunggu di rumah,” pesannya sebelum melangkah keluar daripada rumah.

“Baiklah, ayah!” angguk Faridah.

Orang Kaya Tahir kemudiannya lalu masuk ke dalam kereta dan menghidupkan enjin. Menerusi tingkap yang terbuka luas Faridah memerhatikan kereta yang dipandu ayahnya itu meninggalkan halaman rumah dan perlahan-lahan hilang daripada pandangan matanya.

+++++++

Malam kelihatan begitu indah sekali dengan sinaran rembulan dan kerlipan bintang-bintang yang memagari langit hitam. Angin bertiup perlahan dan nyaman. Rasa dingin dan segar jelas terasa apabila angin yang bertiup menembusi celah-celah dinding dan atap zink rumah pusaka milik ibu Adam. Bunyi pelepah nyiur di halaman rumah yang bergeseran antara satu sama lain ditiup angin jelas kedengaran. Iramanya sungguh merdu mengusik jiwa. Begitu juga dengan bunyi cengkerik yang bersahut-sahutan. Jelas kedengaran memecah malam yang hening dan pekat.

“Sampai begitu sekali Orang Kaya Tahir …,” ibunya bersuara lemah dan sedih.

“Sabarlah, mak. Kita berdoalah agar dapat menjelaskan semua hutang arwah ayah dan dapat semula tanah tu.” Dia sebaliknya lalu menenangkan ibunya.

“Dia dulu pun hidup susah macam kita. Tapi nasibnya baik jadi kaya. Sepatutnya dia menolong orang yang tak berkemampuan. Bukannya menggunakan harta kekayaan yang dia ada untuk menindas orang yang macam kita. Banyak tanah orang-orang kampung diambil dan dijualnya bila tak dapat menjelaskan hutang …,” rintih ibunya lagi.

“Kita berdoalah, mak. Semoga Allah SWT menurunkan taufik dan hidayah padanya untuk menjadi insan yang sentiasa membantu orang yang dalam kesusahan dengan harta yang dia ada,” Adam menambah.

“Mudah-mudahan begitulah hendaknya, Adam,” harap ibunya pula.

“Insya-Allah, mak!” ujarnya dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Perkara yang baik akan direstui Allah SWT,” sambungnya lagi.

Adam memberitahu ibunya yang dia akan berusaha keras untuk membayar hutang yang ditinggalkan arwah ayahnya dan menebus kembali tanah di hujung kampung yang kini dimiliki Orang Kaya Tahir. Dia akan menggunakan wang simpanannya yang ada dan mengambil upah menoreh getah dan menebas selain daripada membuat kerja sampingan untuk menjelaskan semua hutang arwah ayahnya. Tanah itu akan dipastikannya tidak akan dijual oleh Orang Kaya Tahir kepada orang kaya dari bandar. Apabila tanah itu dapat ditebus kembali akan diusahakannya dengan hasil titik peluhnya sendiri.

+++++++

Bunyi pohon-pohon dan daun-daun ditiup angin yang datang dari arah bukit-bukau yang subur menghijau jelas kelihatan membelah suasana desa permai. Yang penuh dengan ketenangan dan kedamaian. Di kaki langit biru cahaya matahari kelihatan terang-benderang. Begitu juga dengan gumpalan awan putih yang menebal. Tiada kelihatan langsung tanda-tanda hujan akan turun.

“Idah dah tahu apa yang telah berlaku pada abang. Memang tak wajar sekali ayah buat macam tu pada abang,” Faridah bersuara. Wajahnya semakin cantik dan ayu apabila disapu angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa. Ditambah pulak dengan kain tudung kepala berwarna putih dan baju kurung berwarna biji kundang.

“Idah …,” dia bersuara lembut.
“Tak baik cakap macam tu. Dia kan ayah Idah,” kata Adam lagi.

“Idah simpati dengan abang,” balasnya.

“Terima kasih, Idah. Kerana bersimpati dengan abang. Bagi abang ini adalah ujian yang datang dari Allah SWT. Untuk menguji sejauh mana kesabaran dan kekuatan abang dalam menghadapinya,” nyata Adam.

“Idah benar-benar kagum dengan abang,” kata Faridah pula sebaliknya.

“Kagum?” dia membalas dengan memandang tepat wajah Faridah yang semakin cantik dan jelita. Apabila ditiup angin yang halus dan lembut. Rasa riak dan bangga jelas tidak kelihatan di wajah Adam. Apabila Faridah menghamburkan kata-kata pujian padanya.

“Ya!” angguknya pula dengan pantas.

“Abang seorang yang tabah dan cekal menghadapi ujian yang mendatang,” jelasnya lagi.

“Ini semua sudah ditakdirkan buat abang. Dan abang berasa amat bersyukur kerana dipilih Tuhan untuk merasai nikmatnya apa yang dikatakan sebagai ujian,” Adam menjawab.

“Idah yakin. Abang akan dapat menyelesaikan hutang dan memiliki semula tanah tu.” Dia meniupkan kata-kata semangat pada Adam.

Adam sebaliknya hanya tersenyum dan mengangguk-angguk kecil apabila mendengar kata-kata perangsang daripada Faridah itu.

“Insya-Allah, Idah!” angguknya.

“Sama-samalah kita berdoa. Semoga Allah SWT memberkati dan merestui apa yang kita lakukan dalam hidup ini,” tambahnya lagi.

Sementara itu Orang Kaya Tahir berasa amat marah dan tidak senang sekali apabila mengetahui hubungan anaknya dengan Adam.

“Idah!” dia meninggikan suara.

“Ayah tak suka kau berkawan dengan Adam!” tegasnya.

“Kenapa, ayah?” Faridah inginkan kepastian daripada ayahnya. Mengapa dia dilarang berkawan dengan pemuda yang sekampung dengannya itu.

“Sebab dia tak setaraf dengan kita!” ayahnya bersuara.

“Tapi dia baik, ayah,” kata Faridah pula sebaliknya.

Rasa kemarahan kelihatan semakin memuncak di wajah Orang Kaya Tahir. Dia nyata sama sekali tidak dapat menerima apa yang dikatakan anaknya itu.

“Ah! Itu bagi kau. Tapi bagi aku tidak. Hei, Idah! Kau dengar sini baik-baik. Mulai hari ini kau putuskan hubungan kau dengan Adam. Aku nak kahwinkan kau dengan orang kaya dari bandar tu. Hidup kau akan senang. Dari kau kahwin dengan Adam yang miskin hina tu!” putusnya.

“Ayah …! Janganlah terlalu memandang pada harta kekayaan. Kita manusia semuanya sama di sisi Tuhan. Tanpa mengira darjat. Kaya mahupun miskin …,” dia bersuara perlahan cuba untuk menasihatkan ayahnya.

Kemarahan semakin menebal nampak di wajah Orang Kaya Tahir. Bila mendengar kata-kata yang keluar daripada anaknya itu.

“Sudah, Idah! Kau jangan nak naikkan darah aku lagi. Nahas kau nanti. Aku tak akan terima walau apa pun alasan yang kau berikan. Kau mesti kahwin dengan orang kaya dari bandar tu. Mengerti!” jerkahnya. Sambil membuntangkan mata memandang wajah anaknya. Bersama rasa marah dan geram kerana anak perempuannya itu tidak mahu menurut kemahuannya.

“Tapi, ayah …,” Faridah lalu terhenti.

“Jangan membantah cakap aku. Aku ni ayah kau. Aku tahu apa yang terbaik untuk aku lakukan. Demi untuk masa depan kau. Kau jangan jadi bodoh, Idah. Kau bukan saja dapat duit dan pakai barang kemas yang banyak bila kahwin dengan orang kaya tu. Malahan aku jugak tumpang hidup senang. Tahu tak?” potong ayahnya pantas sambil meninggikan suara. Sehingga terasakan bergegar seluruh ruang tamu rumah. Akibat daripada tempikan suara Orang Kaya Tahir itu.

Faridah kemudiannya lalu menangis dan masuk ke dalam bilik. Orang Kaya Tahir hanya memerhatikan sahaja apa yang ditunjukkan anaknya itu.

“Degil!” ujar Orang Kaya Tahir pula sebaliknya dan kemudiannya lalu melangkah keluar daripada rumah.

Ibu Adam lalu menuju ke muka pintu apabila kedengaran suara orang memanggil namanya dari bawah rumah.

“Orang kaya jemputlah naik,” pelawanya.

“Tak payah! Adam mana?” Orang Kaya Tahir menyoal sambil mengangkat kepala tinggi. Rasa marah menyinga nampak jelas di wajahnya. Ibu Adam telah dapat membaca. Ada sesuatu yang tak kena telah dilakukan Adam. Sehingga Orang Kaya Tahir berwajah sedemikian rupa.

“Dia baru saja keluar sebentar tadi. Ada apa orang kaya cari dia?” tanya ibu Adam.

“Hei, Rokiah! Aku tak suka anak kau Adam berkawan dengan anak aku!” ucap Orang Kaya Tahir dalam nada suara yang keras.

“Kenapa pulak, orang kaya?” balas ibu Adam pula sebaliknya.

“Sebab kedudukan dia tak setaraf dengan anak aku. Orang kaya macam aku ni takkan nak bermenantukan orang yang macam dia. Tak ada duit tak ada harta. Aku nakkan anak aku berkahwin dengan orang yang kaya-raya. Bukannya dengan Adam anak kau yang miskin papa kedana. Kau beritahu anak kau mulai dari hari ini jangan lagi jumpa Idah anak aku. Idah akan aku kahwinkan dengan orang kaya dari bandar yang nak beli tanah kau tu. Aku harap kau fahamlah apa yang aku cakapkan ni. Aku balik dulu!” jelas Orang Kaya Tahir dengan penuh panjang lebar dan dalam nada suara yang tinggi. Dia kemudiannya lalu beredar meninggalkan rumah Adam. Ibu Adam yang berdiri di muka pintu hanya mendiamkan diri sahaja dan melihat kereta yang dipandu Orang Kaya Tahir meninggalkan halaman rumahnya.

+++++++

Suara angin petang yang bertiup sepoi-sepoi bahasa jelas kedengaran membelah suasana. Pohon-pohon kelihatan seperti menari-nari. Sekejap ke kanan dan sekejap ke kiri mengikut rentak tiupan angin. Daun-daun yang bergeseran antara satu sama lain mengeluarkan irama yang sungguh merdu dan menghiburkan jiwa apabila didengar.

“Janganlah kau cuba nak menjolok bulan di langit tinggi, Adam,” kata ibunya.

Dia sebaliknya hanya mendiamkan diri sahaja dan menarik nafas yang panjang.

“Kita dengan dia macam langit dengan bumi. Dah tentu orang yang kaya akan dijadikannya menantu. Bukannya orang yang macam kita. Miskin tak punya apa,” ujar ibunya lagi.

“Tak apalah, mak. Itu sudah menjadi lumrah dalam hidup manusia. Kalau kita kaya kita dipandang mulia. Tapi kalau kita miskin kita dipandang hina. Adam berjanji, mak. Akan bekerja keras untuk mengubah nasib keluarga kita,” dia menambah.

Telefon bimbit Orang Kaya Tahir lalu berbunyi. Dia lantas menjawab panggilan yang diterimanya itu.

“Hello! Ya, orang kaya. RM 200,000.00. Saya setuju dengan harga tu. Bila? Sekarang. Baiklah, orang kaya. Kita jumpa di tempat biasa.” Demikianlah perbualan telefon antara dia dengan orang kaya dari bandar itu.

Dia kemudiannya lalu melangkah keluar daripada rumah dan pantas menghidupkan enjin kereta. Orang kaya dari bandar itu bersetuju untuk membeli tanah milik arwah ayah Adam dengan harga RM 200,000.00. Dalam kepalanya sudah terbayang duit yang banyak akan diperolehinya hasil daripada menjual tanah itu. Dia bagaikan tak sabar-sabar lagi dan memandu kereta dengan laju.

Kereta yang dipandunya dengan laju itu tiba-tiba hilang kawalan dan lalu terbabas. Akibat daripada kemalangan itu dia cedera parah dan keretanya remuk. Adam yang kebetulan lalu di tempat kejadian dengan motosikal lalu berhenti dan pergi ke arah kereta yang mendapat kemalangan itu.

Rasa-rasa macam kenal kereta ni. Baik aku pergi tengok. Detik hati kecilnya sambil menghampiri kereta yang remuk itu.

“Ya, Allah! Orang Kaya Tahir!” katanya apabila melihat mangsa kemalangan itu adalah Orang Kaya Tahir yang berada dalam keadaan berlumuran darah di kepala dan badannya serta tidak sedarkan diri.

Dia kemudiannya menoleh ke kanan dan kiri jalan untuk meminta bantuan. Tiba-tiba lalu sebuah kereta dan dia pantas menahannya.

“Man! Orang Kaya Tahir cedera parah ditimpa kemalangan. Mari kita bawa dia cepat ke hospital,” beritahunya pada Sulaiman pemandu kereta itu.

“Ya, Allah! Macam mana boleh berlaku ni?” ujarnya pula sambil turun daripada kereta.

“Entahlah. Aku sendiri pun tak tahu. Aku lalu aje tengok kereta dia dah remuk. Sudah! Cepat kita bawak dia ke hospital,” balas Adam pula sebaliknya.

“Yalah!” jawab Sulaiman. Mereka berdua kemudiannya lalu membuka pintu kereta yang remuk dan mengangkat Orang Kaya Tahir dan terus membawanya ke hospital.

Faridah menangis teresak-esak apabila Adam memberitahu yang ayahnya ditimpa kemalangan. Dia kemudiannya lalu pergi ke hospital untuk melihat keadaan bapanya.

“Mak cik …. Macam mana boleh jadi macam mana ni ….” Suaranya terputus-putus kerana menangis teresak-esak.

“Sabarlah, Idah. Kita berdoalah pada Tuhan. Semoga dia selamat.” Ibu Adam menenangkan Faridah sambil memeluknya.

“Ya, Idah! Doktor sedang berusaha untuk menyelamatkan dia. Sama-samalah kita berdoa. Insya-Allah. Dia akan selamat,” celah Adam pula.

Tak lama kemudian Dr. Izwan keluar daripada Bilik Unit Rawatan Rapi (ICU). Adam, ibunya dan Faridah lalu bangun dan menghampiri Dr. Izwan.

“Bagaimana dengan keadaannya, Dr.?” Adam lalu bertanya pada Dr. Izwan.

“Syukur alhamdulillah. Dia dah sedar dan keadaannya stabil. Kalau tak ada apa-apa sekejap lagi dia akan dipindahkan ke wad biasa,” beritahu Dr. Izwan.

“Syukur, mak cik. Ayah selamat!” Faridah berasa amat gembira apabila mendengar apa yang dikatakan Dr. Izwan itu.

“Semua ini berkat doa kita, Idah,” ibu Adam sebaliknya membalas.

“Dr. boleh kami semua pergi tengok dia,” pinta Adam.

“Biarkan dia berehat dulu. Nanti bila dia dah pindah ke wad biasa awak semua boleh tengok dia,” kata Dr. Izwan pula.

“Baiklah, Dr.! Terima kasih!” angguk Adam sambil bersalaman dengan Dr. Izwan.

“Sama-sama! Saya pergi dulu!” mohonnya sambil berlalu pergi.

Orang Kaya Tahir benar-benar menyesal dengan apa yang telah berlaku ke atas dirinya.

“Aku benar-benar terhutang budi pada kau, Adam. Kerana telah menyelamatkan aku daripada kemalangan tempoh hari. Aku juga minta maaf. Di atas apa yang telah aku lakukan pada kau …,” ucapnya sambil menangis.

“Sudahlah tu, orang kaya. Tak usahlah dikenangkan semua tu lagi. Yang penting orang kaya selamat,” Adam membalas.

“Ya, ayah. Yang berlalu tu biarkanlah berlalu. Bersyukurlah. Kerana ayah selamat dan besok boleh balik ke rumah,” celah Faridah.

“Siti …,” dia bersuara perlahan dan berpaling ke arah ibu Adam.

“Ya, orang kaya,” balasnya dengan pantas.

“Maafkan sikap buruk aku selama ni. Aku halalkan semua hutang dan akan kembalikan semula tanah arwah suami kau tu. Begitu jugak dengan hutang dan tanah orang-orang kampung yang lain. Aku halalkan dan akan pulangkan semula. Aku ikhlas nak membantu. Aku sedar sekarang. Sepatutnya sebagai orang yang berada aku harus membantu orang yang susah. Dan bukannya menindas sepertimana yang aku lakukan selama ini ….” Dia tak henti-henti melahirkan rasa penyesalan sambil menangis.

Adam, ibunya dan Faridah saling berpandangan. Rasa kesyukuran yang tak terhingga jelas kelihatan di wajah mereka. Orang Kaya Tahir telah insaf dan sedar akan kesilapan yang telah dilakukannya selama ini.

“Syukur alhamdulillah. Orang kaya telah diberikan sinar keinsafan,” kata ibu Adam pula sebaliknya.

“Hah! Asyik berbual lupa pulak. Ni Idah ada bawakkan sup ayam kegemaran ayah. Ayah makan, ya,” sampuk Faridah pula sambil membuka bekas plastik yang berisi sup ayam yang masih panas lagi.

+++++++

Desiran angin yang bertiup dari arah bukit-bukau yang subur menghijau jelas terasa membelah seluruh desa yang tercinta dan permai. Rasa dingin dan segar angin yang berhembus nyaman dan perlahan juga terasa menyapu permukaan kulit. Pohon-pohon yang bergoyangan dan daun-daun hijau yang terbuai-buai bagai benyanyi-nyanyi riang apabila ditiup angin.

“Benar kata orang, bang. Kalau berbudi pada tanah inilah hasilnya,” ucap Faridah sambil memandang tanam-tanaman yang subur yang diusahakan Adam di tanah milik arwah ayahnya.

“Rajin berusaha pasti akan dapat habuannya. Seperti yang kita nikmati bersama sekarang,” sambut Adam pula.

“Semoga anak-anak kita akan meneruskan warisan bertani kita ini,” Faridah bersuara.

“Insya-Allah, Idah!” angguknya dengan pantas.

“Abang sentiasa berdoa. Semoga anak-anak kita akan meneruskan apa yang kita lakukan pada hari ini.” Adam turut menaruh harapan yang sama seperti isterinya.

“Ayah pun dah banyak berubah sekarang. Selalu ke masjid dan membantu orang-orang kampung yang susah. Dia jugak bagitau Idah yang tahun depan dia akan ke Makkah,” nyata Faridah lagi.

“Alhamdulillah! Semoga apa yang dilakukannya akan mendapat rahmat dan berkat hendaknya daripada Allah SWT,” Adam menambah.

“Sebagai seorang isteri Idah tumpang gembira dan bangga apabila abang dianugerahkan sebagai petani cemerlang. Tanam-tanaman sentiasa hidup subur dan membuahkan hasil yang lebat. Rezeki keluarga kita jugak murah bila peraih-peraih dari bandar membeli hasil tanam-tanaman abang,” kata Faridah.

“Itulah berkat kesabaran abang menghadapi ujian yang datang dalam hidup ini,” Adam membalas sebaliknya.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *