Cerpen “Di Sini Selamanya”
Angin pagi bertiup perlahan dan nyaman.
Rasa segar dan dingin jelas terasa menyelubungi seluruh kampung yang indah dan permai.
Pohon-pohon yang menghijau bagaikan menari-nari apabila ditiup angin. Sekejap ke kanan dan sekejap ke kiri mengikut irama dan rentak angin yang bertiup.
Daun-daun yang bergeseran antara satu sama lain apabila ditiup angin mengeluarkan irama yang sungguh merdu dan mengusik jiwa. Daun-daun kering yang berguguran ditiup angin kelihatan bertaburan dan menutupi permukaan tanah.
Sekali-sekala kedengaran bunyi gemertap ranting patah jatuh ditiup angin dan menimpa permukaan tanah. Langit kelihatan cerah bersama awan putih yang menebal. Matahari kelihatan bersinar indah. Cahayanya yang terang-benderang menyinari seluruh kampung.
Seperti biasa aku lalu menaiki motosikal menuju ke kebun. Mengusahakan tanah peninggalan arwah ayah aku.
Nasib baik ada tanah peninggalan arwah ayah. Hasilnya dapat juga menyara kehidupan aku berdua dengan mak. Cuaca kelihatan cerah. Dapatlah aku membersihkan dan membubuh baja pada pokok-pokok yang ditanam.
Selalunya aku bekerja di kebun sehingga ke tengah hari. Dalam perjalanan pulang ke rumah aku singgah sebentar di warung Pak Musa seorang bekas tentera untuk membasahkan tekak. Cuaca panas sangat hari ini.
Aku memesan air teh ais. Tok Ketua, Pak Karim dan Pak Dollah kelihatan sedang rancak berbual-bual sambil minum.
Aku sempat juga mencuri dengar tajuk perbualan mereka. Hidup muafakat. Itulah tajuk perbualan mereka bertiga.
# # # # # # # # # # # # #
Selepas membayar harga minuman aku pun pulang ke rumah. Sampai sahaja di rumah aku lalu membersihkan diri. Emak pulak sibuk memasak di dapur. Selepas mandi dan menunaikan solat Zuhur, aku dan mak kemudian lalu menikmati hidangan tengah hari.
Sambil mengambil angin petang di anjung rumah aku memikirkan mengenai pentingnya hidup muafakat seperti yang dibualkan oleh Tok Ketua, Pak Karim dan Pak Dollah sewaktu di warung Pak Musa tadi. Tambah pulak hidup di kampung. Semangat muafakat perlu sentiasa ada.
Bagi aku semangat hidup bermuafakat sememangnya cantik. Mengajar erti kerjasama dan bantu-membantu antara satu sama lain. Dengan bermuafakat kerja yang berat akan menjadi ringan dan kerja yang sukar akan menjadi mudah.
Aku teringat kata-kata Tok Ketua sewaktu berbual-bual dengan Pak Karim dan Pak Dollah di warung Pak Musa tengah hari tadi. Berat sama kita pikul dan ringan sama kita jinjing. Ke bukit sama kita daki dan ke lurah sama kita turuni. Bagai aur dengan tebing saling sandar-menyandar. Saling perlu-memerlukan tiap waktu dan ketika. Duduk seorang rasa sempit dan duduk ramai rasa lapang.
Dalam erti kata lain muafakat bukan sahaja dalam hidup berkampung tetapi juga dalam melakukan sesuatu pekerjaan itu. Kerja tak boleh dibuat seorang sebaliknya perlu dibuat secara bersama.
“Jauh kau mengelamun, Man!” tegur ibu dengan tiba-tiba.
Lamunanku lantas terhenti. Aku memandang wajah ibu yang telah dimamah usia itu.
“Apa yang kau fikirkan tu? Berat nampaknya,” kata ibu lagi.
Aku kemudian lalu menarik nafas yang panjang.
“Tak ada apa, mak!” gelengku pula sebaliknya.
“Sudahlah tu. Waktu asar dah pun masuk. Pergilah solat,” ujar ibu.
“Baiklah, mak!” aku membalas sambil mengangguk-anggukkan kepala dan bingkas bangun.
# # # # # # # # # # # # #
Malam.
Aku menunaikan solat Maghrib dan Isyak di masjid. Selepas menunaikan solat Maghrib dan sementara menunggu masuknya waktu Isyak, aku berbual-bual dengan Tok Ketua di anjung masjid.
“Kawan-kawan kau semua ke Kuala Lumpur cari kerja. Kau tak nak ikut sama ke, Man?” tanya Tok Ketua yang berketayap putih, berbaju Melayu warna biru dan berkain pelekat.
“Kelulusan saya tak tinggi, tok. Kerja apa yang boleh saya dapat kat Kuala Lumpur tu. Lagipun saya sayang nak tinggalkan mak dan kampung ni,” aku menjawab.
Tok Ketua sebaliknya tersenyum dan mengangguk-anggukkan kepala. Dia kemudian lalu memegang lembut bahuku.
“Baguslah kalau kau berfikiran begitu. Kat kampung ni macam-macam kerja boleh buat. Dan kita boleh berjaya. Asalkan rajin berusaha,” katanya lagi.
“Betul tu, tok. Sebab itulah saya tak terfikir nak berhijrah ke Kuala Lumpur. Walaupun kawan-kawan saya beria-ia mengajak. Lebih-lebih lagi kawan rapat saya Azmi,” ulasku pula sebaliknya.
Tak lama kemudian kedengaran suara Bilal Osman melaungkan azan Isyak. Aku dan Tok Ketua lalu menunaikan solat bersama dengan para jemaah lain.
# # # # # # # # # # # # #
Cuaca begitu amat cerah sekali. Panas bahang matahari terasa begitu amat memijar seperti menggigit-gigit permukaan kulit. Aku kemudian lalu mendongak ke langit. Memandang matahari yang meninggi di kaki langit biru.
Kemudian aku lalu menyeka peluh yang mengalir di dahi. Tekakku terasa dahaga dan badanku terasa penat. Maklumlah bekerja di bawah matahari yang panas terik memang cepat akan merasa dahaga dan letih. Aku lalu berhenti dan menuju ke sebatang pokok yang rendang. Untuk menghilangkan dahaga dan berehat seketika.
Terasa begitu nyaman dan dingin sekali apabila air membasahi tekakku yang kering. Aku kemudian lalu memandang ke arah pokok-pokok yang subur dan menghijau. Tiba-tiba aku teringatkan perbualan dengan Tok Ketua sewaktu di masjid malam tadi. Ketika itu juga wajah Azmi sahabat karibku sejak dari kecil lagi menjelma di ingatanku.
“Apa yang ada kat kampung ni, Man? Kat Kuala Lumpur tu lubuk emas tau tak. Kita boleh hidup mewah dan senang,” dia berkata.
Aku hanya diam dan menarik nafas yang panjang.
“Sudahlah tu. Tak usahlah kau nak fikir sangat. Hah! Besok kita pergi kat Kuala Lumpur. Kat sana nanti Badrul kawan sekolah kita akan tunggu kita. Dia akan carikan kerja untuk kita,” dia menambah lagi.
“Aku tak sampai hatilah nak tinggalkan mak aku seorang diri. Lagipun kelulusan kita bukannya tinggi. Kerja sekarang semuanya perlukan kelulusan tinggi. Tambah pulak kerja kat bandar besar macam Kuala Lumpur tu. Mana dia orang nak terima kita,” ulasku pula.
Ternyata Azmi tidak berasa senang dengan kata-kataku itu.
“Hei! Kenapalah kau berfikiran singkat sangat, hah. Hei! Kau tengok kawan kita Si Badrul tu. Sejak kerja di Kuala Lumpur tu hidup senang. Gaji besar. Kereta besar. Kita patut jadi macam dia. Bukannya duduk kat kampung ni. Miskin sampai ke tua! Lagipun takkan selama-lamanya kau nak hidup bawah ketiak mak kau. Hei! Kita ni dah besarlah. Bukan budak-budak lagi!” Kata-katanya itu menjadi satu tamparan yang hebat kepadaku.
Namun aku tetap bersabar. Tambah pulak dia berkawan rapat dengan aku semenjak daripada kecil sehinggalah sekarang. Macam isi dengan kuku. Kalau tidak sudah tentu aku bergaduh dengannya. Disebabkan kata-katanya yang pedas bagaikan cili api itu.
“Maafkan aku, Mi. Aku tak dapat nak terima ajakan kau pergi ke Kuala Lumpur. Sampai sana nanti sampaikan salam aku pada Badrul. Aku doakan moga kau dapat kerja di sana nanti,” ucapku pula sebaliknya.
“Baiklah!” dia membalas pantas dengan mengangguk-anggukkan kepala.
“Kalau itu yang kau dah pilih apa boleh aku buat. Tapi kau jangan pulak menyesal nanti. Aku dah ajak kau ke Kuala Lumpur untuk cari kerja tapi kau tak nak. Nanti kalau aku pulang bawak kereta yang lebih besar daripada kereta Badrul dan begitu jugak dengan kawan-kawan sekampung kita yang lain jangan pulak kau terperanjat,” sindirnya.
Sekali lagi aku menahan sabar apabila mendengar kata-katanya itu. Aku kemudian lalu menarik nafas yang panjang sambil memandang ke arah pokok-pokok yang mengangguk-angguk apabila ditiup angin yang datang daripada arah bukit berhampiran dengan kebunku.
Pokok-pokok yang mengangguk-angguk ditiup angin seolah-olah memberikan semangat kepadaku. Agar terus menaburkan bakti dan keringat di tempat aku dilahirkan dan dibesarkan untuk selama-lamanya.
Aku kemudian lalu bingkas bangun untuk menyambung kerja-kerja yang terhenti seketika tadi.
~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~