Kisah Aku Lulus SRP Tingkatan Tiga 1985

Barang Sekolah

Barang Sekolah ( Simisi1 )

Kenangan sewaktu bersekolah
dalam tingkatan tiga pada tahun 1985 adalah
amat indah bagi aku.

Sehingga ke hari ini aku tidak dapat
melupakannya dan sentiasa segar di ingatan aku. Kalau ada yang bertanya dalam banyak-banyak alam persekolahan yang mana paling indah dan meninggalkan kenangan dalam hidup yang tidak dapat dilupakan maka aku akan menjawab semasa di tingkatan tiga.

Aku dapat merasakan perbezaan
dan keindahannya berbanding sewaktu di tingkatan satu, dua, empat dan lima. Maka sebagai tanda aku amat menghargai memori indah itu lalu aku titipkan dalam coretan ini untuk dikongsi bersama. Yang bagi aku kenangan indah yang pernah aku alami pada satu ketika dahulu hanya sekali saja datang dalam hidup aku. Kerana aku menyedari masa silam indah yang pernah aku lalui tak akan datang kembali.

Seperti kata-kata yang pernah aku dengar
yang remaja tak akan menjadi kanak-kanak semula. Begitu juga dengan yang tua tak akan menjadi muda kembali. Begitulah perjalanan hidup yang kita lalui di atas dunia ini. Usia kita akan terus meningkat dari tahun ke tahun dan bukannya menurun. Aku bersekolah di Sekolah Menengah ST. Paul, Seremban. Sekolah ini adalah antara yang paling tua di Negeri Sembilan.

Semua pelajar di sekolah ini
adalah lelaki dan terdiri daripada pelbagai bangsa iaitu Melayu, Cina, India dan lain-lain lagi. Cuma pelajar tingkatan enam saja yang bercampur lelaki dan perempuan. Pada waktu itu pengetua sekolah ini adalah Brother James Macken yang berasal dari Ireland.

Waktu itu sebut saja tingkatan tiga amat penting. Sebab akan menghadapi peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran atau singkatannya SRP. Kalau tak lulus SRP jawabnya tak naiklah tingkatan empat.

“Belajar rajin-rajin. Tahun ni periksa SRP. Tumpukan perhatian waktu cikgu mengajar dalam kelas,” ingat ayah.

“Ingat pesan ayah kau tu. Tak lulus SRP tak dapat naik tingkatan empat,” tambah ibu pula.

Demikianlah pesan ayah dan ibu setiap pagi sebelum aku pergi ke sekolah.

“Baiklah, ayah! mak!” aku membalas pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Saya akan belajar bersungguh-sungguh supaya lulus SRP!” janjiku.

Sewaktu di tingkatan tiga aku bersahabat karib dengan Azman. Sampai sekarang persahabatan kami amat akrab. Bak kata orang macam isi dengan kuku. Kami sentiasa berdua walau ke mana saja. Begitu juga bila mengulangkaji pelajaran dan membuat kerja sekolah yang diberikan cikgu. Kami sentiasa bantu-membantu dan tolong-menolong di antara satu sama lain.

“Rajin dan usaha tangga kejayaan. Kalau kita rajin belajar dan sentiasa bertanya pada guru kita pasti akan lulus dengan cemerlang. Dalam peperiksaan SRP nanti,” kata Azman.

“Kalau orang lain boleh berjaya mengapa kita tidak. Kita jadikan mereka sebagai contoh. Sudah tentu kunci kejayaan mereka adalah belajar dengan bersungguh-sungguh,” aku membalas pula sebaliknya.

Nama kelas aku sewaktu di tingkatan tiga adalah 3 Isidore. Guru kelas aku bernama Cikgu Tham Seng Kow. Dia mengajar matapelajaran Matematik. Cikgu Tham Seng Kow adalah seorang guru yang amat penyabar. Jarang dia marah dan merotan pelajar-pelajarnya.

“Ada apa-apa masalah kerja rumah yang cikgu beri semalam?” tanyanya sebaik-baik saja masuk ke dalam kelas.

Kawan-kawan aku pun lalu mengangkat tangan. Seorang demi seorang memberikan nombor soalan yang tidak dapat dijawab. Cikgu Tham Seng Kow lalu menulis nombor soalan dan menunjukkan cara untuk menjawabnya di papan hitam.

Guru mata pelajaran Bahasa Malaysia adalah Cikgu Kamar Adam. Tapi Cikgu Kamar Adam tidak lama mengajar mata pelajaran tersebut. Dia kemudiannya lalu digantikan dengan Cikgu Noraini.

“Pastikan karangan yang awak tulis menepati tajuk. Mesti ada pengenalan, isi dan tajuk. Ejaan jangan salah. Nanti markah awak kena potong,” pesan Cikgu Noraini pada kami semua.

Aku dan Azman mengambil
mata pelajaran Lukisan dalam peperiksaan SRP. Walaupun tidak mengambil mata pelajaran agama Islam dalam peperiksaan SRP namun aku dan Azman serta kawan-kawan lain tetap mengikuti kelas mata pelajaran tersebut bersama dengan kawan-kawan yang mengambil mata pelajaran agama Islam dalam peperiksaan SRP.

Ustaz Abdullah mengajar
mata pelajaran agama Islam. Kalau tak hafal surah dia akan cubit perut. Semua pelajar beragama Islam juga diwajibkan memakai baju Melayu pada setiap hari Jumaat. Selain daripada itu pada setiap hari Jumaat juga semua pelajar beragama Islam keluar lebih awal bagi membolehkan mereka untuk menunaikan solat Jumaat di masjid. Sebelum bergerak ke masjid Ustaz Abdullah akan menyampaikan tazkirah kepada kami semua.

“Jangan tinggalkan solat lima waktu. Sentiasa berbuat kebaikan dan tidak melakukan apa yang ditegah Tuhan. Sampai di masjid nanti jaga adab. Dengar apa yang disampaikan khatib dalam khutbah. Jangan bercakap kerana kalau bercakap dengan perkataan diam sekalipun maka sia-sialah pahala Jumaat.” Demikianlah tazkirah yang disampaikan Ustaz Abdullah.

Selepas mendengar tazkirah tersebut kami semua pun lalu bergerak ke masjid dengan berbaris mengikut tingkatan.

Bagi memantapkan lagi pelajaran aku mengikuti kelas tambahan atau tuisyen pada setiap petang Isnin, Rabu dan Jumaat. Nama pusat tuisyen itu ialah Mona. Pemilik pusat tuisyen ini adalah Encik Mohan. Seperti biasa ayah dan ibu akan bertanya tentang pelajaran aku di sekolah.

“Saya sentiasa memberikan tumpuan terhadap apa yang cikgu ajar dalam kelas. Saya juga bertanya pada cikgu bila tak faham. Apa yang disampaikannya,” ucapku.

“Alhamdulillah!” angguk ayah.

“Macam tulah kalau nak lulus dengan cemerlang dalam SRP,” sambungnya lagi.

“Mak dan ayah sentiasa berdoa semoga kau mendapat keputusan yang terbaik dalam peperiksaan SRP nanti,” ibu mencelah.

“Insya-Allah! Berkat doa ayah dan mak mudah-mudahan saya akan lulus dengan cemerlang,” aku menyambut.

Setiap kali waktu rehat selepas makan di kantin aku dan Azman akan bercakap tentang harapan ayah dan ibu yang mahu melihat kami lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan SRP nanti.

“Ayah dan ibu mana yang tak mahu melihat anaknya lulus dalam peperiksaan,” aku berkata.

“Tiada apa yang menggembirakan mereka selain daripada melihat anak mereka mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan,” ucap Azman pula sebaliknya.

“Siang malam mereka berdoa agar kita lulus dalam peperiksaan,” tambahku lagi.

“Kita juga haruslah berdoa sama dan gigih berusaha untuk mencapai kejayaan,” Azman bersuara.

“Insya-Allah, Man! Sama-samalah kita berdoa dan belajar dengan bersungguh-sungguh. Agar kita lulus dengan mendapat keputusan yang cemerlang. Dalam peperiksaan SRP yang akan kita hadapi tak lama lagi,” balasku.

Azman sebaliknya hanya mengangguk-angguk diam. Sebagai tanda bersetuju dan menyokong penuh. Dengan apa yang aku katakan itu. Tak lama kemudian kedengaran loceng sekolah berbunyi. Waktu rehat telah pun berakhir. Aku dan Azman serta pelajar-pelajar yang lain lalu mengatur langkah. Untuk masuk ke kelas semula. Selepas ini Cikgu Asmah akan masuk mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris.

Tentang Cikgu Asmah ini yang tak boleh lupa dia selalu soal aku dengan Azman. Kami berdua pun tak tahu kenapa dia selalu sangat ajukan soalan. Ada yang dapat aku dan Azman jawab. Dan ada jugak yang kami berdua tak dapat jawab.

Mata pelajaran Lukisan diajar oleh Cikgu Lee Kok Keong. Selalunya Cikgu Lee Kok Keong akan tayang lukisan yang kami lukis. Kalau lukisan yang dilukis tu tak cantik alamatnya jadi bahan gelak kawan-kawan sekelaslah.

“Siapa yang tak buat kerja lukisan yang saya beri bangun!” Itulah yang akan dikatakannya selepas selesai menayangkan semua lukisan yang kami lukis. Maka kawan-kawan aku yang tak buat kerja lukisan yang disuruhnya lalu bangun.

Dia pun lalu rotanlah kawan-kawan aku itu. Bila nak duduk semula dia rotan lagi. Lalu kawan aku pun bertanya kenapa kena rotan banyak kali ni.

“Sebab awak tak cakap terima kasih,” dia menjawab.

Apabila kawan aku cakap terima kasih dia lalu berhenti merotan. Dan menyuruh kawan aku duduk semula. Dia juga menjual kertas lukisan kepada kami yang tidak membawa kertas tersebut. Jadi kami tak perlu risaulah bila tak ada kertas lukisan.

Guru mata pelajaran Sejarah ialah Cikgu Norliah. Cara dia menyampaikan mata pelajaran tersebut memang menarik minat aku. Selalunya dia akan soal kembali apa yang diajarkannya. Untuk menguji sejauh mana perhatian dan kefahaman kami semua terhadap apa yang disampaikannya.

Kalau tak dapat jawab dia akan denda. Dengan menyuruh kami berdiri. Aku pernah didenda berdiri sebab tak dapat jawab soalannya.

“Itulah awak. Asyik salin aje. Apa yang saya ajar awak tak beri perhatian,” katanya pada aku.

Mungkin disebabkan terlalu ghairah menyalin apa yang ditulisnya di papan hitam maka aku hilang tumpuan dan gagal menjawab soalan yang diajukannya. Semenjak daripada itu aku tumpukan perhatian sepenuhnya terhadap apa yang diajarkan Cikgu Norliah.

Bermula dari situlah aku amat meminati Sejarah sehingga ke hari ini. Hasil daripada cara pengajaran yang disampaikan Cikgu Norliah itu aku dapat skor mata pelajaran Sejarah bukan saja dalam peperiksaan SRP malahan juga dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Guru mata pelajaran Geografi adalah Cikgu Pathma. Sebelum mula mengajar dia akan memeriksa terlebih dahulu kerja rumah yang diberikannya.

“Kenapa tak buat kerja rumah?” dia menyoal salah seorang kawan sekelas dengan aku.

“Lupa, cikgu,” dia lalu menjawab.

“Lupa? Pagi tadi awak lupa sarapan tak?” Cikgu Pathma membalas dan kemudian pantas menarik telinga kawan aku itu.

Mata pelajaran Perdagangan diajar oleh Cikgu Krishnan. Seperti juga Cikgu Pathma sebelum mula mengajar dia akan memeriksa terlebih dahulu kerja rumah yang diberikannya. Kalau tak buat dia akan rotan tapak tangan.

“Kalau awak tak lulus SRP awak ucapkanlah selamat tinggal.” Itulah yang sering diingatkannya kepada kami semua.

Guru yang mengajar mata pelajaran Sains adalah Puan Lam. Selalunya bila mata pelajaran Sains aku dan kawan-kawan akan berada di makmal.

Akhirnya hari yang ditunggu-tunggu dan mendebarkan pun tiba. Aku dan Azman berserta dengan kawan-kawan lain pun lalu menduduki peperiksaan SRP. Syukur alhamdulillah ke hadrat Allah SWT. Aku dan Azman berserta dengan kawan-kawan yang lain telah lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan SRP. Maka kami semua dapat melanjutkan pelajaran ke tingkatan empat pada tahun hadapan.

“Tahniah, Man!” Aku bersalaman dan saling berpelukan dengan Azman.

“Begitu jugak dengan kau,” dia membalas.

“Inilah hasilnya bila kita belajar bersungguh-sungguh,” kataku lagi.

“Alhamdulillah! Segala usaha keras kita selama ini berjaya menghasilkan kejayaan yang cemerlang. Semoga kecemerlangan yang kita capai pada hari ini akan kita teruskan lagi pada masa yang akan datang,” ulas Azman pula.

“Insya-Allah, Man!” aku pantas menjawab dengan mengangguk-anggukkan kepala. Tanda menyatakan sokongan sepenuhnya dengan apa yang dikatakan Azman itu.

“Sama-samalah kita berdoa, Man. Moga selepas ini kita akan lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan SPM pula,” aku menyambung lagi.

Kejayaan aku mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SRP disambut dengan rasa penuh gembira oleh kedua-dua ayah dan ibu aku. Setibanya di rumah selepas mengambil keputusan peperiksaan di sekolah aku lalu mencium tangan dan memeluk mereka berdua.

“Tahniah!” kata ayah.

“Mak berasa sangat gembira bila kau dapat keputusan yang cemerlang. Syukurlah!” ibu bersuara.

“Terima kasih, ayah! Mak!” anggukku pula sambil memandang wajah mereka berdua silih berganti.

“Berkat doa ayah dan mak saya telah berjaya,” ucapku lagi.

Kini kedua-dua ayah dan ibu aku telah tiada. Sebagai tanda kasih dan ingatan aku yang berpanjangan terhadap mereka berdoa aku sentiasa menyedekahkan Al-Fatihah setiap kali selepas solat dan menziarahi pusara kedua-dua mereka. Aku berdoa semoga roh kedua-dua arwah ayah dan arwah ibu aku dicucuri rahmat dan dimasukkan ke dalam syurga jannah. Berkat doa kedua-dua merekalah aku telah berjaya dalam hidup pada hari ini. Aku sekarang bertugas sebagai Penolong Kurator di Lembaga Muzium Negeri Sembilan.

Manakala Azman pula sekarang bertugas
sebagai pegawai pemasaran di salah sebuah syarikat di Selangor. Bila ada kelapangan kami akan bertemu dan bercerita tentang kisah-kisah silam sewaktu zaman persekolahan. Terutamanya sewaktu dalam tingkatan tiga. Kalau tak dapat bertemu pun kami akan bertanya khabar melalui telefon, sms dan whatsapp.

Begitu juga dengan
kawan-kawan aku yang lain. Semuanya berjaya dalam kehidupan. Pada guru-guru yang aku sebutkan namanya tadi yang telah mengajar aku sewaktu di tingkatan tiga aku merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih yang tak terhingga kerana telah berjaya mendidik aku menjadi insan yang berguna pada agama, bangsa dan negara.

Memang amat bertepatan sekali dengan ungkapan yang menyebutkan bahawa guru itu adalah ibarat kerlipan cahaya lilin. Rela membakar diri demi menerangi kegelapan orang lain. Sewajarnyalah jasa dan pengorbanan yang dicurahkan dan ditaburkan guru dikenang sentiasa dan diberikan pengiktirafan yang tinggi.

Demikianlah berakhir coretan zaman persekolahan yang pernah aku lalui pada satu ketika dahulu.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *