Cerpen “Kerana Terlalu Memilih Menantu”

tingkap langsir

Tingkap ( triyugo )

Suara angin..

.. yang bertiup lemah-gemalai jelas kedengaran membelah suasana kampung yang indah dan permai.

Pohon-pohon yang menghijau kelihatan seperti menari-nari mengikut rentak angin yang datang daripada arah bukit.

Matahari kelihatan bersinar indah di kaki langit biru.

Cahayanya yang terang-benderang menyinari seluruh kampung. Daun-daun yang bergeseran antara satu sama lain mengeluarkan irama yang sungguh merdu dan menghiburkan jiwa.

{$}{$}{$}{$}{$}{$}{$}

“Apa kau datang nak meminang anak aku Salmah?” tanya Pak Majid.

“Ya, bang Majid …!” angguk Mak Limah pula dengan perlahan.

“Anak saya Hazlan dah berkenan pada Salmah,” jelasnya lagi.

Pak Majid kemudian lalu membalas dengan ketawa.

“Berkenan?” ulang Pak Majid.

“Ya, bang Majid!” angguk Mak Limah.

“Dia betul-betul sukakan Si Salmah tu,” dia menyambung lagi.

“Hai …! Limah …! Limah …!” geleng Pak Majid pula sebaliknya beberapa kali.

“Kenapa, bang Majid? Bang Majid tak nak ke menerima dia sebagai menantu.” Mak Limah seakan-akan dapat membaca yang Pak Majid menolak pinangan anaknya itu.

“Kau tahu kan yang aku orang paling berada dalam kampung ni. Tak akan aku nak terima Hazlan sebagai menantu aku. Tentulah aku cari orang yang setaraf dengan kedudukan aku!” Demikianlah jawapan yang diberikan oleh Pak Majid pada Mak Limah.

“Hish! Abang ni. Kalau ya pun janganlah cakap macam tu,” sampuk Mak Yam isterinya.

“Itulah awak! Bila saya cakap ada aje yang tak kena. Awak tak malu ke bila orang cakap anak kita kahwin dengan orang miskin. Sedangkan kita kaya-raya. Ada banyak duit, ladang dan kebun!” kata Pak Majid lagi dengan rasa penuh sombong dan bongkak.

“Kalau macam tu tak apalah Bang Majid, Kak Yam. Saya balik dulu. Apa nak buat dah bukan jodoh anak saya Hazlan dengan Si Salmah tu,” balas Mak Limah pula dengan rasa penuh kecewa.

“Kalau ya pun minumlah dulu, Limah,” ujar Mak Yam.

“Tak apalah, Kak Yam. Saya balik dulu. Assalamualaikum!” dia menjawab sambil bingkas bangun daripada kerusi dan meninggalkan rumah Pak Majid.

“Hah! Eloklah tu. Suruh anak kau Hazlan kumpul duit banyak-banyak. Jadi kaya-raya macam aku ni. Barulah aku terima sebagai menantu!” Pak Majid terus melemparkan kata-kata yang pedas pada Mak Limah.

“Abang ni tak baik tau menghina orang,” tegur isterinya.

“Menghina apanya? Si Hazlan tu penoreh getah aje kerjanya. Itu yang awak nak suruh kahwin dengan anak kita Salmah yang cantik tu!” bidasnya.

“Entahlah, bang. Saya tak faham dengan sikap abang. Kalau macam nilah sikap abang nampaknya jadi anak dara tualah anak kita Salmah tu,” kata isterinya pula.

“Awak ni masih tak paham-paham jugaklah. Saya buat semua ni untuk kesenangan dan kemewahan hidup Salmah dan kita jugak. Sebab itu saya nakkan orang yang kaya dan punya banyak harta menjadi menantu kita!” tegas Pak Majid.

Mak Yam sebaliknya hanya menggeleng-geleng diam sahaja dan kemudian lalu bingkas bangun daripada kerusi.

{$}{$}{$}{$}{$}{$}{$}

Malam. Bulan dan bintang kelihatan bersinar indah di kaki langit hitam.

Bunyi cengkerik yang bersahut-sahutan jelas kedengaran membelah suasana malam yang pekat. Angin malam bertiup sepoi-sepoi bahasa.

Rasa dingin dan segar jelas terasa menyelubungi seluruh kampung.

“Kenapa ni, Salmah? Ayah tengok kau tak berselera aje makan. Kau tak sihat ke?” soal Pak Majid apabila menyedari yang anak gadisnya itu seperti tidak berselera untuk menjamah hidangan makan malam.

Salmah sebaliknya hanya mendiamkan diri sahaja.

“Dia sedih, bang!” celah Mak Yam pula sebaliknya.

“Sedih? Sedih kenapa pulak?” balas Pak Majid.

“Tadi Salmah jumpa Ani. Dia beritahu yang dia nak kahwin minggu depan,” dia memberitahu ayahnya.

“Dia kahwin dengan siapa?” tanya Pak Majid lagi.

“Bakal suami dia tu kerja pemandu lori aje,” jawabnya.

“Pemandu lori?” kata Pak Majid sambil tergelak.

“Dah jodoh dia ayah dapat pemandu lori. Sekurang-kurangnya bakal suami dia tu ada kerja jugak. Salmah aje yang tak kahwin-kahwin. Sebab ayah terlalu memilih sangat,” ucapnya.

“Memang betul kata kau tu, Salmah. Ayah kau ni nak kau kahwin dengan orang yang banyak duit, banyak harta. Hidup kau senang. Hidup ayah kau pun senang,” ujar ibunya pula.

“Amboi! Bukan main lagi awak menyindir saya!” Pak Majid berasa amat tidak senang apabila mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut isterinya itu.

“Kenyataan, bang. Abang tu terlalu memilih menantu. Semua kawan-kawan Salmah dah kahwin. Tinggal dia seorang aje yang masih tak kahwin lagi,” Mak Yam mengingatkan suaminya.

“Sudah! Awak jangan nak membebel. Saya tahu apa yang saya nak buat untuk kesenangan hidup anak saya. Kau Salmah ikut cakap ayah. Satu hari nanti ayah akan buktikan kepada semua orang apa yang ayah lakukan selama ini adalah untuk kebaikan hidup kau dan keluarga kita,” potong Pak Majid pula dengan pantas dan penuh panjang lebar.

“Tapi, ayah …,” Salmah cuba untuk bersuara.

“Sudah! Kau dengar aje cakap ayah. Jangan nak membantah!” balas Pak Majid dalam nada suara yang keras.

Salmah sebaliknya hanya diam.

Memang begitulah sikap ayahnya sejak dari dahulu. Cakapnya tidak boleh dibantah langsung. Hitam katanya maka hitamlah. Putih katanya maka putihlah.

Dia sudah masak benar dengan perangai ayahnya itu.

“Entahlah, Salmah. Mak sendiri pun tak faham dengan perangai ayah kau ni,” celah Mak Yam pula seolah-olah merasa bosan dengan perangai suaminya itu.

“Awak jangan nak melawan cakap saya. Saya ni suami awak,” ingatnya.

“Betul abang suami saya. Tapi saya takut menyesal aje nanti,” isterinya membalas.

“Kenapa pulak menyesal?” Rasa marah jelas kelihatan di wajah Pak Majid apabila mendengar kata-kata isterinya itu.

“Sebab terlalu memilih menantu dapat yang tak berguna dan memalukan kita sendiri,” jawab isterinya.

“Sudah! Jangan nak bagi saya naik darah. Ikut aje cakap saya. Faham!” dia menengking sambil menghentak meja makan dengan kuat.

Mak Yam dan anaknya Salmah lalu terdiam. Pak Majid kemudian lalu membasuh tangan dan bingkas bangun sambil membawa kemarahan yang membara seperti api yang membakar panas. Mak Yam dan Salmah kemudian lalu saling berpandangan.

{$}{$}{$}{$}{$}{$}{$}

Selang beberapa bulan kemudian Pak Ali dan isterinya Mak Ton datang meminang Salmah untuk anak mereka Ahmad.

Jawapan yang diberikan Pak Majid sama seperti yang diberikannya kepada Mak Limah.

Kedudukan Pak Ali dan isterinya Mak Ton tidak setaraf dengannya.

“Apa kerja anak kau Si Ahmad tu, Ali?” tanya Pak Majid.

“Pembantu pejabat,” dia menjawab.

“Pembantu pejabat?” ulang Pak Majid pula sebaliknya.

“Ya!” angguk Mak Ton isterinya dengan pantas.

“Di salah sebuah jabatan kerajaan di Kuala Lumpur,” tambahnya lagi.

“Macam ni ajelah ya. Aku mintak maaf. Pinangan kau orang berdua aku tolak. Sebab aku nakkan orang yang boleh memberikan kesenangan dan kebahagiaan hidup pada Salmah anak aku tu,” jelasnya.

“Ahmad anak aku tu kerja kerajaan. Terjamin masa depan Salmah kalau kahwin dengan dia,” balas Pak Ali pula sebaliknya.

“Aku nak cari orang yang sama taraf dengan aku. Ramai anak-anak gadis dalam kampung ni. Begitu jugak di Kuala Lumpur tu. Kau pergi ajelah pinang untuk Ahmad anak kau tu,” kata Pak Majid lagi.

Pak Ali dan isterinya Mak Ton lalu saling berpandangan. Mereka kemudian lalu beredar pergi dengan rasa penuh kecewa dan hati yang terluka dengan kata-kata penghinaan yang dilemparkan Pak Majid. Seperti biasa Mak Yam merungut dengan sikap suaminya itu.

“Semua orang yang datang meminang awak tolak!” ujar isterinya.

“Awak ni tak habis-habis nak naikkan darah saya!” bantahnya.

“Awak tak kesian ke dengan Salmah tu.”

“Kesian apanya?”

“Dia nak jugak merasa hidup berumahtangga macam orang lain.”

“Sebab nak bagi dia berumahtanggalah saya buat semua ni.”

“Tapi cara awak yang terlalu memilih tu jadi susah dia nak berumahtangga.”

“Berapa kali saya dah cakap. Saya lakukan semua ini untuk kesenangan hidup dia dan kita jugak Cik Yam, oi!”

Mak Yam sebaliknya hanya diam. Dia malas hendak bertekak dengan suaminya yang degil dan tidak mahu mendengar nasihat itu. Baginya hanya membuang masa sahaja.

Dia kemudian lalu mengutip semua cawan di atas meja dan membawanya ke dapur.

{$}{$}{$}{$}{$}{$}{$}

Satu hari Pak Majid pergi ke bank yang terletak di bandar. Tanpa disedari 2 orang lelaki kelihatan sedang memerhatikannya dari jauh.

“Kau tengok orang tua yang masuk ke bank tu. Tentu dia orang kaya.”

“Ya! Memang betul cakap kau. Dia akan jadi mangsa kita seterusnya. Buat macam yang kita rancang.”

Tak lama kemudian Pak Majid keluar daripada bank sambil membawa wang yang banyak yang dimasukkan dalam beg. Tiba-tiba seorang lelaki lalu menghampirinya dan merampas beg yang berada di tangannya.

“Pencuri tolong!” jerit Pak Majid.

Lelaki itu terus melarikan beg milik Pak Majid sambil dikejar oleh rakannya yang pura-pura berlagak baik.

“Habis la duit aku …! Habis la …!” kata Pak Majid dalam nada suara yang cemas dan tidak tentu arah.

Seperti yang dirancangkan lelaki yang melarikan beg itu berjaya ditangkap rakannya. Beg kepunyaan Pak Majid yang berada di tangan lelaki itu kemudian lalu dilepaskannya. Dia kemudian lalu pura-pura menumbuk rakannya itu dan kemudian melarikan diri.

Lelaki itu kemudiannya lalu bangun dan membawa beg yang berisi wang itu dan menyerahkannya kepada Pak Majid.

“Terima kasih, nak!” ucap Pak Majid dengan rasa penuh gembira dan lega.

“Sama-sama, pak cik!” lelaki itu membalas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Kalau tak ada anak tadi tak tahulah apa yang akan terjadi pada pak cik. Oh ya! Lupa pulak pak cik. Anak ni siapa nama?”

“Nama saya Bidin, pak cik.”

“Pak cik, Majid. Panggil aje Pak Majid. Anak ni kerja apa?”

“Saya ni seorang ahli perniagaan, pak cik.”

“O, ahli perniagaan!” ulang Pak Majid pula sebaliknya sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Pak Majid tinggal di mana?” dia bertanya.

“Kampung Permatang,” jawab Pak Majid.
“Jauh jugak dari sini. Pak Majid datang tadi naik apa?” dia tak henti-henti menyoal.

“Kereta,” balas Pak Majid.

“Pak Majid pandu sendiri ke?” dia bertanya lagi.

“Ya!” angguknya dengan pantas.

“Saya rasa lebih elok saya ikut Pak Majid sampai ke rumah. Manalah tahu dalam perjalanan nanti Pak Majid kena rompak lagi. Maklumlah Pak Majid bawak duit banyak,” kata Bidin.

“Betul jugak kata Bidin tu!” Pak Majid membalas pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Kereta Bidin kat mana?” dia mengangkat dan mengangguk-anggukkan kepala memandang Bidin.

“Kereta saya kat sana, Pak Majid. Kereta Pak Majid pulak kat mana?” tanya Bidin pula.

“Samalah!” angguknya.

“Kat sana jugak!” katanya lagi.

“Kalau macam tu marilah kita ke sana!” ajak Bidin.

Mereka berdua pun lalu mengatur langkah menuju ke tempat letak kereta. Terbeliak biji mata Pak Majid apabila melihat kereta Bidin yang besar dan mewah itu.

Wah! Kaya betul dia ni. Hah! Orang macam dia nilah yang layak jadi menantu aku. Bisik hati kecilnya.

{$}{$}{$}{$}{$}{$}{$}

Setiba sahaja di rumah dia lalu mengajak Bidin masuk ke dalam.

Pak Majid kemudian lalu memperkenalkan Bidin kepada isteri dan anaknya.

Dia juga menceritakan apa yang telah berlaku ke atas dirinya sewaktu di bank tadi dan pertolongan yang telah diberikan oleh Bidin.

Apabila terpandang wajah Salmah yang cantik dan jelita lalu membuatkan Bidin jatuh hati. Tambahan pulak ayahnya kaya-raya dan mempunyai banyak harta.

Semenjak daripada hari itu Bidin selalu pergi ke rumah Pak Majid.

Sehinggalah pada satu hari Bidin menyatakan hasratnya kepada Pak Majid untuk melamar Salmah. Apalagi Pak Majid bak kata pepatah pucuk yang dicita ulam yang mendatang. Pak Majid lalu menerima lamaran Bidin kerana dia mempunyai ciri-ciri menantu yang dicarinya selama ini.

“Kecik tapak tangan nyiru Pak Majid tadahkan,” dia berkata.

“Terima kasih, Pak Majid,” balas Bidin pula sebaliknya dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Saya berjanji! Akan memberikan kesenangan dan kemewahan hidup kepada Salmah, Pak Majid dan Mak Yam!” ujarnya lagi.

Pak Majid berasa amat gembira apabila mendengar kata-kata Bidin itu. Dalam fikirannya sudah terbayang akan kemewahan dan kesenangan hidup yang akan dinikmatinya apabila bermenantukan Bidin. Tapi dia tidak tahu yang Bidin sebenarnya ada muslihat mengahwini Salmah.

Mak Yam sebaliknya tidak bersetuju dan menentang keras cara Pak Majid yang menerima terus lamaran Bidin dan tanpa usul periksa tentang latar belakang dirinya.

Namun seperti biasa Pak Majid tetap berdegil dan langsung tidak mengendahkan nasihat isterinya itu.

“Awak sepatutnya tengok dulu siapa Bidin tu. Baru aje kenal awak terus aje terima pinangan dia.”

“Nak tengok apalagi. Dah memang dia calon menantu yang saya cari selama ni. Kaya-raya. Banyak duit.”

“Memang la dia banyak duit sebab ahli perniagaan. Tapi sekarang ni macam-macam orang boleh buat. Entah-entah dia menyamar. Mana kita tahu.”

“Jadi, awak tak percaya la dengan Si Bidin tu. Sudah! Jangan nak merepek. Ini namanya rezeki. Bodohlah kita kalau tolak!” tegasnya pula dalam nada suara yang keras.

“Betul kata mak tu, ayah. Salmah tak nak kahwin dengan Si Bidin tu. Lagipun Salmah tak kenal hati budinya,” celah Salmah pula.

Kata-kata Salmah itu menaikkan lagi api kemarahan Pak Bidin.

“Kau diam, Salmah! Jangan nak melawan cakap ayah. Kau mesti kahwin jugak dengan Bidin!” tengkingnya.

“Sampai hati, ayah ….” Dia hanya mampu menangis teresak-esak.

“Ayah kata sudah, sudah! Jangan nak jadi anak yang derhaka. Ayah tak kira. Walau kau menangis air mata darah sekalipun kau tetap kena ikut cakap ayah!” Pak Majid meninggikan suara sehingga hampir bergegar seluruh ruang rumah.

Dia pun lalu memukul canang ke seluruh kampung. Akan bermenantukan orang kaya tidak lama lagi.

{$}{$}{$}{$}{$}{$}{$}

Maka hari yang ditunggu pun tiba dan Pak Majid mengadakan majlis perkahwinan anaknya Salmah dengan Bidin secara besar-besaran.

Bidin berasa begitu amat gembira sekali apabila dapat bersanding dengan Salmah. Tapi Salmah wajahnya muram dan sedih kerana dipaksa ayahnya berkahwin dengan Bidin.

Pak Majid juga berasa amat gembira apabila orang-orang kampung memuji yang dia pandai memilih menantu.

Selang beberapa bulan kemudian kedengaran berita yang Bidin dan kawannya telah ditangkap polis. Rupanya mereka melakukan sindiket penipuan dengan menjadikan orang kaya sebagai mangsa.

Pihak polis telah beberapa kali cuba untuk memberkas mereka namun gagal.

“Mereka sangat licik, pak cik. Mereka bukan sahaja menipu dan memperdayakan mangsa tetapi juga berkahwin dengan anak mangsa untuk mengaut segala duit dan harta kepunyaan mangsa,” jelas Inspektor Azman.

“Jadi, mereka akan lari setelah dapat mengaut semua wang dan harta mangsa?” Pak Majid berasa sungguh terkejut apabila mendengar apa yang dikatakan Inspektor Azman itu.

“Benar, pak cik!” dia menjawab dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Ramai yang telah menjadi mangsa mereka. Termasuk pak cik,” kata Inspektor Azman lagi.

Serta-merta tubuh Pak Majid menjadi lemah dan tak bermaya.

Mulutnya seperti terkunci rapat dan tidak dapat berkata-kata.

Dalam fikirannya sudah terbayang akan nasib malang yang akan menimpa diri anaknya Salmah dan rasa malu pada orang-orang kampung.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *