Bermula Dengan Kepahitan Berakhir Dengan Kemanisan

Kemiskinan dan kesusahan…

Bukanlah halangan dan rintangan untuk kita mencipta kejayaan dalam hidup ini.

Tiada jalan mudah dan pintas untuk kita menuju ke puncak kejayaan melainkan usaha dan kegigihan di samping tidak mengenal erti mengalah dan berputus asa.

Segala-galanya bermula apabila aku memperolehi keputusan yang cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Walaupun mendapat keputusan yang cemerlang tetapi aku tidak mahu melanjutkan pelajaran ke universiti.

Keluarga aku susah. Aku anak yang sulung dan mempunyai adik-beradik aku ramai dan masih bersekolah lagi. Ayah aku hanya seorang penoreh getah. Manakan mampu untuk menyara perbelanjaan aku di universiti. Jadi, aku lalu mengambil keputusan untuk membantu ayah menoreh getah.

Sekurang-kurangnya dapat jugak menyara keluarga dan persekolahan adik-adik aku. Ayah dan emak aku tidak bersetuju dengan keputusan yang aku ambil itu. Mereka berdua nak sangat melihat aku masuk universiti.

Mungkin bagi ayah dan emak apabila aku masuk universiti dan keluar nanti akan mendapat pekerjaan yang setaraf dengan ijazah yang aku miliki dan seterusnya membela nasib keluarga.

Pengorbanan

Aku sebenarnya tidak mahu menghampakan harapan ayah dan emak. Tetapi apa yang aku lakukan adalah sebagai satu pengorbanan. Bagi aku biarlah aku tak masuk universiti asalkan adik-beradik aku yang lain berjaya dalam pelajaran.

Nak dijadikan cerita aku berkawan rapat dengan Hamidah. Kami satu sekolah. Cuma bezanya sewaktu aku menuntut di Tingkatan 6 Atas dia menuntut di Tingkatan 6 Bawah. Dia juga tidak bersetuju dengan keputusan yang telah aku ambil. Seperti juga ayah dan emak dia mahu melihat aku melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti.

Keluarga Hamidah orang yang berada. Sebagai orang yang berada ayah dan ibunya tidak suka apabila aku berkawan rapat dengan Hamidah. Maklumlah aku daripada keluarga yang miskin. Sudah tentu ayah dan ibunya mahu dia berkawan dengan orang yang setaraf dengan kedudukan keluarganya.

Tapi Hamidah tidak mengendahkan semua itu. Dia sebaliknya senang berkawan dengan aku. Sebagai seorang kawan yang rapat dia sentiasa menasihatkan aku agar melanjutkan pelajaran ke universiti. Namun segala nasihatnya itu tidak dapat mengubah pendirianku.

Ketika kawan-kawan aku yang mendapat keputusan yang cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di universiti aku sebaliknya membantu ayah menoreh getah di kebun peninggalan arwah datuk sebelah emak.

Dalam pada itu, Hamidah tak henti-henti menasihatkan aku agar menyambung semula pelajaran di universiti. Antara kata-katanya yang aku masih ingat adalah ilmu itu adalah penting dan peluang yang ada jangan dipersiakan demi untuk masa depan.

Aku amat menghargai nasihat yang diberikannya itu. Namun tetap tidak dapat mengubah keputusan yang telah aku ambil demi untuk pengorbanan keluarga dan adik-beradik aku. Dia berasa amat kecewa dengan aku yang tidak mahu mendengar nasihatnya itu.

Sementara itu kemarahan ayahnya semakin memuncak apabila mengetahui yang dia masih lagi berkawan rapat dengan aku. Hamidah lalu diberi amaran keras agar melupakan aku dan sebaliknya menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran.

Tambahan pula tahun ini amat penting bagi Hamidah. Kerana dia akan menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Dia perlu mendapat keputusan yang cemerlang supaya dapat masuk universiti. Demikianlah tingginya harapan kedua-dua ayah dan ibunya.

Tidak cukup dengan melarang dia berkawan rapat dengan aku ayahnya juga datang ke rumah menyerang dan memberi amaran keras supaya aku tidak lagi berkawan dengan Hamidah. Kata-kata ayahnya amat pedih dan mengguris hati aku termasuk kedua-dua ayah dan emak aku.

Kedudukan aku tak setaraf dengan Hamidah.

Dia suruh aku cerminkan muka aku dulu. Kalau nak berkawan rapat dengan Hamidah.

Hanya Tuhan sahaja yang tahu. Bagaimana pedihnya hati aku dan juga kedua-dua ayah dan emak aku apabila dihina dan dikeji dengan sedemikian rupa.

Wajah ayah dan emak kelihatan tenang apabila dilemparkan dengan kata-kata yang penuh dengan penghinaan dan cacian. Aku merasa tak ubah seperti sampah dan kain buruk diperlakukan oleh ayah Hamidah.

Namun aku tetap mendiamkan diri dan bersabar.

Bagi aku ini adalah ujian yang harus aku lalui dengan penuh ketabahan dan kesabaran. Di sebalik ujian yang amat pahit dan perit itu ada hikmah yang tersembunyi di sebaliknya pada satu hari nanti.

Tuhan sedang menguji dan aku harus menerimanya dengan penuh redha dan berlapang dada.

Macam Langit & Bumi

Teringat aku akan kata-kata bahawa bukan hidup namanya kalau tanpa menempuhi dugaan dan cabaran yang mendatang. Sama ada suka atau tidak kita harus menerimanya dengan hati yang penuh terbuka. Dalam hidup ini biar kita kalah asalkan jangan sesekali mengalah.

Sesungguhnya cabaran dan dugaan itu mengajar kita erti tabah dan semangat untuk mencipta kejayaan dalam hidup ini.

Berbalik semula kepada kisah ayah Hamidah datang menyerang aku di rumah. Setelah puas melepaskan kemarahan dan kata-kata yang penuh dengan penghinaan kepada aku dia kemudiannya lalu meninggalkan rumah aku.

Aku sempat memandang raut wajahnya. Masih jelas lagi kelihatan rasa marah yang menyala seperti api yang panas membakar. Ayah kemudiannya lalu meminta aku supaya menurut kehendak ayah Hamidah supaya jangan lagi berkawan rapat dengan anaknya.

Kata ayah antara aku dengan Hamidah mempunyai jurang yang amat dalam macam langit dan bumi. Bulan di langit yang tinggi tak akan dapat aku petik kerana tangan tak sampai. Hamidah hidup dengan berharta sedangkan aku tak punya apa. Manakan boleh aku berkawan dengannya. Itulah antara kata-kata ayah yang aku ingat.

Aku hanya mampu mendiamkan diri sahaja. Kemudian aku memandang emak. Dia juga kelihatan diam dan bersedih. Aku dapat melihat kedua-dua matanya digenangi dengan air. Ibu mana yang tak rasa pilu dan sayu apabila anaknya dihina dan dikeji di depan matanya sendiri.

Semenjak daripada hari itu aku lalu menjauhkan diri daripada Hamidah.

Pada satu hari aku terserempak dengan Hamidah di pekan. Aku lalu melarikan diri dan mengelak untuk berbual dengannya seperti biasa.

Aku tidak mahu menambahkan lagi kemarahan ayahnya.

Cukuplah sekali aku termasuk ayah dan emak dihina dan dikeji. Dari sehari ke sehari aku asyik memikirkan tentang masa depan aku dan keluarga. Sudah menjadi lumrah dalam hidup ini. Terlalu memandang pada kekayaan dan kebendaan.

Dengan punya wang dan harta yang banyak kita akan disanjung dan dimuliakan. Berbanding dengan miskin harta dan wang akan dihina dan dicemuh. Aku benar-benar berasa sedih kerana keluarga aku dihina kerana miskin dan tidak berharta.

Masuk Universiti

Aku teringat semula kata-kata Hamidah. Hanya dengan masuk universiti dan ijazah yang aku perolehi sahaja yang dapat membela keluarga aku daripada berterusan dihimpit kemiskinan dan pendirian.

Memang benar kata Hamidah itu. Aku seharusnya menggunakan peluang yang ada dan bukan untuk mempersiakannya.

Kalau aku berterusan membantu ayah menoreh getah tak akan ke mana. Sedangkan aku mendapat keputusan yang cemerlang dan seharusnya menyambung pelajaran di peringkat universiti. Aku kemudiannya lalu menyatakan hasrat untuk masuk universiti kepada kedua-dua ayah dan emak aku.

Mereka berdua berasa amat gembira apabila mendengar hasratku itu. Aku pun lalu mengemukakan permohonan untuk masuk universiti dan syukur alhamdulillah permohonan aku telah diterima. Ayah dan emak berpesan supaya aku belajar dengan bersungguh-sungguh dan jangan sesekali tinggalkan solat.

Aku selalu ingat pesan ayah dan emak itu. Dalam pada itu, aku dah tak ingat lagi pada Hamidah. Aku sibuk dengan pelajaranku di universiti dan dia pula sibuk untuk menghadapi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Setiap kali cuti semester aku akan pulang ke kampung. Seperti biasa aku akan membantu ayah menoreh getah dan berkebun di belakang.

Ayah aku memang gemar bercucuk tanam sayur-sayur kampung seperti terung, ubi kayu, kunyit, serai, keledek, cili api dan bermacam-macam lagi.

Sayur-sayur ini ayah akan jual di pasar minggu di simpang masuk ke kampung pada setiap hari Ahad. Hasil jualan sayur-sayur ini dapatlah menampung perbelanjaan kami sekeluarga. Sememangnya aku kagum dengan kegigihan ayah menyara kami sekeluarga termasuk persekolahan adik-adik aku.

Ayah bukan sahaja setakat bercucuk tanam sayur-sayur kampung tetapi juga menjala ikan di sungai dan masuk ke hutan untuk mencari madu lebah. Ikan sungai seperti sembilang dan baung termasuk madu lebah juga dijual oleh ayah di pasar minggu.

Kata ayah tak boleh terlalu bergantung kepada menoreh getah. Harga getah tidak menentu. Sekejap naik dan sekejap turun. Bila musim hujan langsung tidak dapat menoreh. Jadi, kenalah cari sumber pendapatan yang lain kata ayah.

Aku selalu juga mengikut ayah menjala ikan di sungai dan masuk ke hutan untuk mencari madu lebah. Seronok juga rasanya bila dapat banyak ikan dan madu lebah. Masa begitu pantas berlalu dan aku akhirnya berjaya menamatkan pengajian di universiti.

Bebas Dari Kemiskinan

Kini aku telah pun berkhidmat sebagai pegawai di salah sebuah jabatan kerajaan. Begitu juga dengan adik-beradik aku yang lain berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti. Kemiskinan hidup telah menyedarkan kami adik-beradik agar belajar bersungguh-sungguh untuk membebaskan keluarga keluar dari kepompong kemiskinan.

Bagi aku kejayaan yang diraih oleh kami adik-beradik adalah dengan air mata dan ketabahan. Rumah kami yang dahulunya buruk telah pun bertukar kepada baru dan besar. Ayah dan emak sempat melihat kejayaan kami adik-beradik sebelum kedua-duanya menutup mata buat selama-lamanya.

Tentang Hamidah dia juga berjaya masuk universiti dan menjadi seorang guru. Dia telah pun berkahwin dengan pemuda pilihan ayah dan emaknya. Suaminya adalah Adnan anak Tok Ketua yang satu kelas dengan aku sewaktu menuntut di Tingkatan Enam Atas. Adnan mengusahakan perniagaan sendiri.

Tak lama kemudian Hamidah mengikut suaminya berpindah ke Kedah. Suaminya membuka cawangan perniagaan di sana. Aku juga telah berkahwin. Isteri aku juga adalah seorang guru. Sama macam Hamidah. Kami berkenalan sewaktu sama-sama menuntut di universiti.

Demikianlah kisah hidup aku untuk dikongsi bersama. Semoga kisah aku ini akan menjadi contoh dan teladan kepada mereka yang daripada golongan yang tidak berada agar tidak menjadikan alasan untuk tidak berjaya dalam hidup ini.

Biar kita dipandang miskin hina asalkan kita dapat membuktikan bahawa kita mampu duduk setanding dengan mereka yang berada.

Asalkan cekal dan gigih serta sabar dan tabah mengharungi pelbagai dugaan dan ujian yang mendatang.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *