Titipan Buat Seorang Kawan
Perjalanan hidup ini tak ubah seperti air laut yang membiru.
Pasang dan surut silih berganti. Penuh dengan warna-warna suka dan duka. Adakalanya kita dibuai dengan tawa gembira. Adaketikanya kita diulit dengan tangis air mata.
Itulah yang dinamakan sebagai kehidupan. Tatkala mengharungi kehidupan kita terpaksa mengharungi pelbagai ujian dan dugaan. Walaupun pedih dan amat menyakitkan namun kita harus menerimanya dengan hati yang penuh terbuka.
Tiada siapa yang inginkan hidup dalam kepedihan dan keperitan. Namun itulah hakikat sebenar kehidupan.
Teringat aku akan kata-kata bukan hidup namanya kalau tidak berdepan dengan yang dikatakan sebagai dugaan dan ujian.
Sesungguhnya ujian dan dugaan yang datang akan menjadikan kita kuat dan tabah. Jadilah seperti pantai yang tidak mudah runtuh dan musnah walaupun ombak tak henti-henti melanda siang dan malam. Tetap cekal dan kuat.
Kawan ….
Masihkah kau ingat. Ketika kita sama-sama berjalan menyusuri pantai yang indah. Bertemankan bayu yang nyaman dan dingin. Dipayungi matahari yang bersinar indah di kaki langit biru. Bersaksikan kilauan butiran pasir yang halus bagaikan mutiara di dasar lautan.
Alangkah indahnya ciptaan Tuhan Yang Esa. Lalu kita sama-sama melafazkan rasa kesyukuran. Di atas kurniaan nikmat dan anugerahnya yang tidak terhingga itu.
Sememangnya kita harus mensyukuri dengan apa yang telah diberikan Tuhan Yang Esa kepada kita di atas dunia.
Dalam pada itu kita jangan lupa pada mereka yang nasibnya tidak sebaik kita. Maka dengan itu ringankanlah tangan untuk membantu mereka. Agar mereka dapat merasa nikmat kehidupan bersama-sama dengan kita. Bila mereka dibantu barulah terasa saudara dan kasih sayang sesama insan.
Jangan dihina malah dikeji pada mereka yang hidupnya daif dan tak punya apa. Harus kita ingat bahawa hidup ini tak ubah seperti putaran roda. Ada waktunya kita di atas dan ada waktunya kita di bawah. Mungkin esok atau lusa kita senasib dengan mereka.
Kawan ….
Apabila memandang langit yang tinggi jangan lupakan rumput di bawah. Jangan lupa diri apabila kita sudah berjaya dalam hidup ini. Ingatlah selalu pada asal usul kita.
Renungkanlah susah payah dan pahit getir yang kita alami sebelum berada di puncak kejayaan.
Tak usahlah memandang pada paras rupa yang cantik dan menawan. Janganlah menjadikannya sebagai paras ukuran. Sebaliknya pandanglah pada kejujuran dan keikhlasan di hati. Kerana itulah sebenarnya yang paling cantik dan menawan.
Kita sama-sama menyaksikan pohon-pohon cemara yang tumbuh di tepi pantai bagaikan menari-nari apabila ditiup angin yang datang daripada arah laut.
Sekejap beralih ke kiri dan sekejap beralih ke kanan. Dengan diiringi bunyi gemersik daun-daun menghijau yang bergeseran.
Irama daun-daun yang bergeseran dibuai angin sungguh merdu dan menghiburkan jiwa sehingga kita dibangkitkan dengan rasa keasyikan. Daun-daun kering kelihatan sehelai demi sehelai jatuh berguguran ditiup angin dan menimpa permukaan pasir yang putih dan menghalus.
Kawan ….
Keindahan masa lalu memang tidak akan dapat kita lupakan sampai bila-bila. Sentiasa segar dan mekar mewangi di ingatan kita.
Indahnya seperti sebuah lukisan cantik yang menghiasi dinding. Namun semua itu tinggal menjadi kenangan dan tak akan berulang kembali.
Waktu yang berlalu tak akan berulang kembali. Ibarat kapal yang berlalu pergi meninggalkan pelabuhan. Kita tidak bisa untuk menoleh ke belakang semula dalam hidup ini. Sebaliknya perjalanan hidup kita terus melangkah ke depan dan terus ke depan.
Demikianlah perjalanan usia kita di atas dunia yang sementara ini. Bermula dengan kelahiran dan berakhir dengan kematian.
Penuhkanlah diri dengan iman dan takwa sebagai bekalan untuk dibawa ke negeri abadi dan bukannya leka dan lalai dengan keseronokan dunia.
Kita hendaklah saling pesan-berpesan dan ingat-mengingat antara satu sama lain. Hidup kita di atas dunia yang fana ini adalah sebagai hamba kepada Tuhan Yang Esa. Oleh yang demikian maka jalankanlah segala perintah-Nya dan tinggalkanlah segala larangan-Nya.
Kawan ….
Carilah keberkatan dan kesejahteraan hidup di dunia mahupun di akhirat. Sentiasalah mengejar akan kebaikan dan meninggalkan segala keburukan. Syurga merindukan mereka yang berbuat kebaikan dan neraka dahagakan mereka yang berbuat kejahatan.
Kulihat kau merenung jauh laut yang membiru.
Bayu laut yang bertiup kencang terasa nyaman dan dingin membelah suasana. Bersama suara desiran ombak yang menghempas gigian pantai. Rasa ketenangan dan keheningan benar-benar terasa menari-nari di jiwa.
Buih-buih memutih yang berapungan sekejap timbul dan sekejap hilang. Ditolak dan ditarik ombak. Kau kemudian kulihat menarik nafas yang panjang.
Dari raut wajahmu itu aku telah pun dapat membaca. Bahawa kau sedang mengelamun jauh memikirkan sesuatu.
Kemudian kau lalu memandang padaku.
Kau bertanya tentang apakah yang dikatakan sebagai seorang yang bernama kawan sejati dalam hidup ini. Aku lalu menjawab bahawa kawan sejati amat payah ditemui dalam hidup ini. Dalam ramai kawan payah seorang hendak ditemui.
Kawan ….
Ternyata kau tidak mengerti dengan apa yang ku maksudkan itu. Kerana dari raut wajah yang kau pamerkan itu jelas kau inginkan penjelasan dengan lebih mendalam lagi. Tentang apa yang aku katakan itu. Lalu aku menjelaskan bahawa kawan sejati sanggup menangis bersama-sama kita.
Kau berasa agak terperanjat apabila mendengar apa yang aku katakan itu. Bersama dengan tidak mengerti dengan pencerahan yang kuberikan itu kelihatan semakin menebal di wajahmu. Kawan sejati adalah kawan yang bukan saja sanggup berkongsi rasa suka malahan juga rasa duka.
Mendengarkan sahaja pencerahan itu kau lalu mengangguk-anggukkan kepala. Sebagai tanda mengerti dan faham dengan apa yang aku maksudkan itu. Sudah menjadi lumrah dalam hidup ini memang ramai kawan yang sama-sama ketawa dengan kita.
Tapi tidak seorang pun daripada kawan kita yang ramai itu ingin menangis bersama-sama dengan kita. Apabila kita menghadapi kegagalan dalam hidup ini. Kerana mereka hanya inginkan kegembiraan bersama-sama dengan kita dan bukannya kedukaan.
Kawan ….
Tiada jalan mudah dan pintas untuk kita beroleh kejayaan dalam hidup ini. Semuanya perlu usaha dan kerja keras.
Begitu juga dengan rezeki tak akan mudah datang bergolek tanpa dicari. Rezeki perlu dicari dengan cara yang halal dan diredhai Tuhan Yang Esa.
Apalah gunanya kita punya harta yang bertimbun-timbun dan melimpah-ruah macam air sungai yang mengalir. Tapi sayangnya miskin budi bahasa. Kerana kaya dengan budi bahasa itulah dipandang orang dan bukannya dengan wang ringgit.
Gunakanlah harta kekayaan yang ada untuk jalan kebaikan. Bukannya dengan jalan yang membawa kepada kemungkaran. Pandanglah pada mereka yang tak berada dan tak punya apa.
Bantulah mereka agar ringan segala beban dan penderitaan yang ditanggung mereka.
Janganlah berasa takut kerana banyak bersedekah akan membawa kepada kemiskinan. Belum ada yang jatuh miskin kerana terlalu banyak bersedekah. Sebaliknya selalu bersedekah akan menjadikan rezeki menjadi murah.
Kawan ….
Ibarat hidup dalam kegelapan teraba-raba. Demikianlah ibaratnya bila kita tak punya ilmu di dada. Oleh yang demikian jadilah ilmu sebagai pelita yang menerangi kehidupan.
Tuntutlah ilmu sentiasa agar penuh di dada dan menjadi insan yang berilmu pengetahuan tinggi.
Umpama kita memilih buah kulit nampak cantik tapi isinya tidak elok untuk dimakan. Itulah yang diperumpamakan apabila kita memandang sesuatu itu nampak baik tapi sebenarnya belum tentu lagi ia benar-benar baik sepertimana yang kita harapkan.
Pada yang tua kita hormatkan. Kerana tanpa yang tua tak akan ada yang baru. Begitu juga tanpa yang lama tak akan ada yang baru.
Oleh itu yang dahulu kita dahulukan dan yang kemudian kita kemudiankan. Demikianlah cantik bila kita mengikut tertib dan aturan dalam hidup ini.
Coretan ini khas kutitipkan buatmu.
Aku sentiasa berdoa semoga semangat kekawanan yang kita bina akan berkekalan buat selama-lamanya. Tidak lupa juga akan mendoakan yang terbaik dan kebahagiaan buat dirimu yang bernama seorang kawan.
~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~