Mencari Keberkatan Hidup
Biarlah kita dipandang..
..Miskin harta asalkan kaya dengan budi bahasa.
Tiada gunanya kita berharta tapi miskin budi bahasa. Bila memandang langit yang tinggi rumput di bawah jangan sesekali kita lupakan.
Jangan jadi seperti si kudung mendapat cincin. Lupa segala-galanya. Sentiasalah ingat pada asal-usul kita.
Kejayaan tidak akan mudah datang bergolek. Melainkan dengan usaha keras dan kegigihan. Sekali kita gagal bukan bererti kita akan gagal buat selama-lamanya. Kita perlu segera bangkit dan melupakan kegagalan. Kuatkan tekad bersama semangat yang membara. Pasti kejayaan akan berada dalam genggaman.
Sudah menjadi lumrah dalam kehidupan kita sebagai manusia di dunia ini. Memang ramai kawan apabila kita berada di puncak kejayaan.
Menjadi sanjungan setiap masa dan ketika. Namun apabila kita menghadapi kegagalan tiada seorang pun yang bernama kawan berada di sekeliling kita. Sebaliknya kita menangis dan merintih sendirian.
Ketika itu barulah kita sedar siapa kawan kita yang sebenarnya. Hanya mahu ketawa dan bergembira bersama-sama dengan kita. Tetapi tidak mahu menangis dan berduka bersama-sama dengan kita.
Itu sudah menjadi adat dalam berkawan. Hanya mahu berkongsi rasa kegembiraan dan bukannya kesedihan bersama-sama dengan kita.
*#*#*#*#*#*#*
Ketentuan hidup bukan di tangan kita.
Tetapi sebaliknya di tangan Tuhan Yang Esa. Hari ini kita berasa terlalu suka dan selesa. Namun esok belum pasti lagi.
Boleh jadi kita akan berasa kesedihan dan hilang segala-galanya. Oleh itu kita harus ingat bahawa putaran hidup ini tak ubah seperti roda yang berpusing. Sekejap berada di atas dan sekejap berada di bawah.
Ilmu adalah ibarat pelita yang menerangi kegelapan. Tanpanya hidup kita akan teraba-raba. Oleh itu tuntutlah ilmu janganlah jemu sehingga penuh di dada.
Tidak rugi menuntut ilmu walaupun uban telah memutih rambut yang hitam. Sesungguhnya orang yang berilmu itu sentiasa dihormati dan dipandang tinggi.
Pada yang hidupnya daif dan tak punya apa jangan dipandang hina. Bantulah mereka dengan seadanya agar mereka sama-sama dapat menikmati kesenangan dan kemewahan hidup seperti kita. Barulah terasa kasih sayang sesama insan.
Tiada siapa yang inginkan hidup dalam penderitaan. Namun sudah menjadi ketentuan Tuhan mereka jadi begitu.
Oleh yang demikian maka kita ringankanlah tangan untuk membantu mereka. Agar dapat meringankan penderitaan yang mereka tanggung dan sebagai tanda bersyukur kepada Tuhan kerana kita tidak menerima nasib seperti mereka.
*#*#*#*#*#*#*
Kerja adalah satu ibadah.
Maka kita lakukanlah dengan penuh amanah dan ikhlas.
Jadilah kerja sebagai satu keseronokan dan penuh dengan kejujuran. Tanpa mengharapkan untuk mendapat nama dan pujian. Pasti akan mendapat ganjaran daripada Tuhan akhirnya.
Jauhkanlah sifat dengki dan irihati apabila melihat orang lain berjaya mencipta kejayaan dalam hidup ini. Sebaliknya sama-samalah tumpang gembira apabila melihat mereka berjaya. Itu sudah rezeki yang diberikan Tuhan kepada mereka.
Kita harus akur dan redha bahawa kejayaan dan rezeki untuk kita adalah di tangan Tuhan. Terimalah dengan berlapang dada dan hati yang penuh terbuka. Apabila kita telah berusaha keras namun kejayaan dan rezeki bukan milik kita. Mungkin kita akan mendapat yang paling terbaik daripada Tuhan.
Kebahagiaan adalah harta yang paling berharga dalam hidup ini. Namun tak semua yang kita impikan akan menjadi kenyataan. Begitu juga dengan kebahagiaan.
Seperti yang disebut orang “disangka panas hingga ke petang tapi rupanya hujan di tengah hari”.
Andainya kita merasa tidak dapat menikmati kebahagiaan hari ini usah kecewa. Mungkin Tuhan sudah sediakan esok hari bahagia buat kita.
*#*#*#*#*#*#*
Anak adalah anugerah Tuhan untuk kita.
Oleh yang demikian maka kita curahkanlah dengan penuh kasih sayang dan didikan agama sepenuhnya. Mereka adalah ibarat sehelai kain putih. Maka kita perlu mencorakkan mereka menjadi insan yang berguna pada agama, bangsa dan negara.
Jadilah seperti ikan di laut. Walaupun air laut masin namun isinya tetap manis apabila dimakan. Demikianlah perumpamaan hidup kita perlu ada pendirian walau dalam apa jua keadaan. Jangan jadi seperti lalang yang mudah melayang-layang apabila ditiup angin.
Setiap kerja yang berat dan sukar akan menjadi ringan dan mudah apabila dilaksanakan dengan muafakat. Duduk seorang akan menjadikan kita berasa sempit.
Duduk ramai akan menjadikan kita berasa lapang. Dalam erti kata lain kita tak boleh kerja seorang. Sebaliknya perlu ada semangat kerja berpasukan. Barulah kejayaan sama dapat dirasa.
*#*#*#*#*#*#*
Ukurlah baju di badan sendiri.
Kalau periuk kita kecil maka kecillah keraknya. Memang amat bertepatan sekali akan peribahasa itu.
Jangan terlalu mengikut rentak orang lain dalam berbelanja. Melihat orang lain berumah besar maka kita pun hendak berumah besar.
Melihat orang lain berkereta besar maka kita pun hendak berkereta besar. Ikutlah kemampuan kita dalam berbelanja supaya tidak menyesal dan menjadi beban di kemudian hari.
Pada generasi muda hindarkanlah diri daripada sebarang perkara yang membawa kepada keruntuhan moral dan akhlak. Isilah masa muda yang ibarat sehelai daun hijau dengan perkara yang membawa kepada penuh manfaat dan faedah.
Kalian harus sedar bahawa kalian adalah harapan negara di masa depan. Kalianlah yang akan menggerakkan jentera pembangunan dan kemakmuran negara. Justeru itu maka kalian perlu bersedia dari sekarang untuk memikul dan menggalas tanggungjawab tersebut.
*#*#*#*#*#*#*
Umpama makan nasi tidak berselera kalau tanpa sambal belacan. Demikianlah halnya dengan dugaan dan cabaran. Tidak dinamakan sebagai hidup kalau kita tidak menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan yang datang.
Sama ada suka atau tidak, manis mahupun pahit kita harus menerima dugaan dan cabaran sebagai rencah kehidupan.
Ibarat masak gulai tanpa garam akan tawar rasanya.
Demikianlah halnya dengan cabaran dan dugaan. Sayugia harus kita ingat bahawa di sebalik semua dugaan dan cabaran yang dihadapi itu ada hikmah yang tersembunyi di sebaliknya.
Bahkan cabaran dan dugaan yang dilalui akan menjadikan kita kuat dan tabah dalam mengharungi hidup ini. Kemanisan akan terasa apabila kita berjaya menghadapi dugaan dan cabaran yang datang.
Pepatah ada menyebutkan bahawa yang baik jadikan teladan dan yang buruk jadikan sempadan. Apabila melihat sesuatu perkara yang baik di depan mata kita maka kita perlu jadikannya sebagai ikutan.
Manakala apabila melihat sesuatu perkara yang tidak baik terjadi di depan mata kita maka perlu kita tinggalkan dengan segera.
Manis belum tentu madu.
Boleh jadi racun yang bisa. Berkilauan belum tentu intan. Boleh jadi kaca. Kulit buah nampaknya cantik tapi isinya belum tentu lagi.
Jangan mudah terpengaruh dan tergoda dengan keindahan. Kadangkala membawa kepada kemusnahan.
Demikianlah halnya dalam kita membuat sesuatu keputusan.
Timbang dan fikir dengan sedalam-dalamnya terlebih dahulu. Bukannya dengan tergesa-gesa dan terburu-buru. Sesal dahulu sebelum pendapatan sesal kemudian tiada gunanya. Kelak nanti menyesal diri.
*#*#*#*#*#*#*
Hindarkan diri daripada sikap tamak haloba.
Ketamakan tidak membawa keuntungan. Sebaliknya membawa kerugian kepada diri sendiri.
Bersyukurlah dengan apa yang ada. Kalau kita sentiasa bersyukur maka Tuhan akan menambahkan nikmat kepada kita. Namun kalau kita kufur Tuhan akan menarik semula nikmat yang ada.
Dalam bersedekah lakukanlah dengan penuh keikhlasan dan bukannya untuk mendapat pujian. Kita memang dituntut agar sentiasa bersedekah.
Kalau kita tidak punya wang maka kita sedekahkanlah tenaga. Senyuman juga adalah sedekah. Jangan takut nak bersedekah. Belum ada lagi yang jatuh miskin kerana selalu bersedekah. Sebaliknya rezeki akan menjadi murah apabila selalu bersedekah.
Di sini kita hidup, di sini juga kita berani mati. Biar putih tulang jangan putih mata. Tanamkanlah ke dalam diri rasa taat setia terhadap negara. Sebarang anasir yang mahu meruntuhkan dan merosakkan negara yang kita cintai ini perlu ditentang habis-habisan.
Nikmat keamanan dan kedamaian yang dikecapi negara perlu dipertahankan sentiasa. Jadilah rakyat yang rela berkorban seluruh jiwa dan tenaga demi negara yang tercinta. Bukannya menjadi pengkhianat pada bangsa dan negara sendiri.
*#*#*#*#*#*#*
Jangan jadi seperti tong kosong.
Bunyi saja kuat tapi tidak berguna langsung. Jangan hanya sekadar bercakap saja tapi hasilnya tiada. Kalau dah berjanji hendaklah ditunaikan. Menunaikan janji yang telah dibuat adalah satu sifat yang terpuji.
Ibarat resmi padi makin berisi makin tunduk. Pepatah yang sering kita dengar. Janganlah kita merasa bangga dan megah apabila dipuji. Takut nanti akan timbul rasa riak dan sombong dalam diri.
Harus kita ingat bahawa pujian itu akan menjadikan kita leka dan lalai. Oleh yang demikian maka eloklah kita memilih untuk merendah diri dan menganggap diri yang kita miliki masih lagi kekurangan bersama dengan kelemahan yang harus diperbaiki.
Dalam sehari hidup kita pernahkah kita bertanya atau memikirkan tentang arah tuju perjalanan hidup kita di atas dunia yang sementara ini. Termasuk diri aku juga sebagai penulis coretan ini.
Maka dengan itu marilah kita sama-sama dan saling ingat-mengingati serta pesan-memesan antara satu sama lain.
Agar sentiasa meningkatkan iman dan takwa agar mendapat keberkatan hidup di dunia mahupun di akhirat jua.
*#*#*#*#*#*#*
~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~