Cerpen “Sembang Pagi”

Secawan kopi

Secawan Kopi ( Skitterphoto )

Pagi masih muda lagi.

Matahari masih lagi belum kelihatan di kaki langit biru.

Angin bertiup perlahan dan nyaman. Pohon-pohon yang menghijau kelihatan seperti menari-nari apabila ditiup angin.

Sekejap beralih ke kanan dan sekejap beralih ke kiri. Mengikut rentak angin yang bertiup.

Daun-daun hijau yang bergeseran antara satu sama lain mengeluarkan irama yang sungguh merdu dan menghiburkan jiwa. Daun-daun kering yang berguguran ditiup angin berselerakan di atas tanah yang kering.

Sekali-sekala kedengaran suara ranting patah jatuh bergemertap ditiup angin dan menimpa permukaan tanah.

>>>>>>#<<<<<<

“Hidup ni kenalah bekerja. Barulah dapat duit.” Demikian kata Pak Salleh ketika menikmati nasi lemak telur rebus dan air teh panas di warung Pak Sudin.

“Duit tak akan datang bergolek. Kenalah cari,” ujar Pak Ibrahim.

“Macam yang kau katakan tadi, Leh. Kalau tak bekerja macam mana nak dapat duit,” celah Pak Rahman pula sebaliknya.

Angin yang datang daripada arah bukit berhampiran dengan warung Pak Sudin tiba-tiba bertiup kencang. Menembusi atap zink dan kemudian lalu menyusup masuk ke dalam warung Pak Sudin. Rasa segar dan dingin angin yang bertiup kencang jelas terasa mewarnai seluruh kampung pada pagi yang masih lagi muda itu.

“Macam-macam kerja yang boleh kita buat. Asalkan halal duit yang kita terima tu,” tambah Pak Salleh.

“Memang itulah yang dituntut oleh agama dalam kita bekerja!” angguk Pak Rahman dengan pantas sebagai tanda bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Pak Salleh itu.

“Setiap kerja yang kita lakukan itu hendaklah sebagai ibadah dan dengan rasa penuh tanggungjawab,” ucap Pak Ibrahim pula.

“Kerja ni di mana-mana pun sama. Kat kampung ni pun macam-macam kerja kita boleh buat. Pokok pangkalnya rajin,” celah Pak Rahman.

“Memang betul kata kau tu, Man. Di kampung ni banyak tanah terbiar yang boleh diusahakan dengan pelbagai tanaman dan hasil lumayan yang boleh dinikmati. Tapi anak-anak muda tak pandang semua tu. Mereka lebih tertarik untuk bekerja di bandar besar seperti di Kuala Lumpur tu. Maklumlah di sana gaji besar. Boleh menjadikan hidup mereka mewah. Berbanding dengan di kampung ni,” ulas Pak Ibrahim dengan penuh panjang lebar.

>>>>>>#<<<<<<

Pohon-pohon yang tumbuh berhampiran dengan warung Pak Sudin kelihatan bergoyangan apabila ditiup angin.

Begitu juga dengan pohon nyiur yang tumbuh di halaman rumah Pak Samad yang terletak tidak jauh daripada warung Pak Sudin kelihatan seperti melambai-lambai apabila ditiup angin.

Lambaian itu seolah-olah mengajak anak muda yang merantau di kota besar Kuala Lumpur untuk mencari rezeki agar pulang semula ke kampung. Untuk menabur khidmat dan bakti di tempat mereka dilahirkan dan dibesarkan menyahut saranan Pak Ibrahim. Seperti yang dibualkannya dengan Pak Salleh dan Pak Rahman ketika menikmati sarapan di warung Pak Sudin pada pagi ini.

Sementara itu matahari semakin perlahan-lahan meninggi di kaki langit biru bersama dengan awan putih yang menebal. Orang-orang kampung semakin ramai memenuhi warung Pak Sudin untuk bersarapan.

Memang warung Pak Sudin yang juga bekas tentera itu menjadi pilihan orang-orang kampung untuk menikmati sarapan pada setiap pagi.

Nasi lemak, pulut dan kuih-muih memang memikat selera orang-orang kampung. Tak putus-putus warung Pak Sudin dikunjungi orang-orang kampung. Ada juga yang membungkus makanan dan minuman untuk dibawa pulang ke rumah.

Memang tak menang tangan Pak Sudin dan pekerjanya melayan pelanggan yang datang.

Selain daripada itu, sifat ramah dan selalu tersenyum Pak Sudin juga menjadi antara daya tarikan utama pelanggan selalu datang ke warungnya.

>>>>>>#<<<<<<

“Memang aku tak nafikan dengan apa yang kau katakan tu, Brahim. Siapa yang tak nak gaji besar. Siapa yang tak nak hidup senang. Sebab itulah mereka lebih senang untuk memilih bekerja di bandar besar seperti di Kuala Lumpur tu,” sokong Pak Salleh pula sebaliknya.

“Kalau aku jadi mereka aku tak akan tinggalkan kampung ni. Aku akan curahkan segala tenaga dan keringat aku di kampung ni!” kata Pak Rahman pula sebaliknya dengan penuh semangat.

“Itu bagi kita, Man. Tapi bagi mereka lain. Yalah. Seperti yang dikatakan Ibrahim tadi. Kampung ni tak menjanjikan apa-apa kemewahan dan kesenangan hidup pada mereka,” ujar Pak Salleh lagi.

“Bagi aku kalau itu sudah pilihan mereka biarkanlah. Asalkan mereka tak terlibat dengan kerja-kerja yang boleh meruntuhkan dan merosakkan diri mereka sendiri,” celah Pak Ibrahim.

“Aku amat bersetuju sekali dengan apa yang kau katakan tu, Brahim!” sambut Pak Salleh sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Hidup di kota besar macam Kuala Lumpur tu macam-macam dugaan dan cabaran yang perlu dihadapi. Apabila hidup dah terdesak mulalah buat kerja yang tidak sepatutnya dan bertentangan dengan agama,” dia menyambung lagi.

Demikianlah rancaknya perbualan Pak Salleh, Pak Rahman dan Pak Ibrahim sambil menikmati sarapan pagi di warung Pak Sudin.

Matahari yang meninggi di kaki langit kelihatan memancarkan cahayanya yang terang-benderang ke seluruh kampung yang indah dan permai.

Angin yang tadinya bertiup kencang tiba-tiba bertukar menjadi lemah-gemalai. Daun-daun dan rumput-rumput yang menghijau kelihatan seperti terbuai-buai apabila ditiup angin.

Pohon-pohon hijau seperti mengangguk-angguk lemah dan tak berdaya mengikut rentak tiupan angin.

>>>>>>#<<<<<<

“Dalam pada itu kita jangan lupa. Mereka adalah harapan negara untuk memacu pembangunan dan kemakmuran di masa depan,” ingat Pak Rahman.

“Sebab itu dari sekarang kita perlu tekankan ke dalam diri mereka betapa pentingnya usaha dan kerja keras untuk mencapai cita-cita tersebut,” celah Pak Ibrahim pula.

“Bak kata orang kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kalau dah dari peringkat akar umbi lagi kita dah tanamkan ke dalam diri mereka agar faham dan menghayati apa yang dikatakan sebagai bekerja itu semuanya akan jadi mudah. Dan mereka akan dapat memikul amanah yang diberikan dengan rasa penuh tanggungjawab,” kata Pak Salleh dengan penuh panjang lebar.

“Mereka juga perlu diingatkan bahawa setiap pekerjaan itu perlu dilakukan secara bersama. Dalam erti kata lain dalam satu pasukan. Tak boleh dibuat seorang. Jawabnya tak menjadilah kerja tu,” ucap Pak Rahman.

“Itu memang penting, Man. Barulah yang dikatakan berat sama kita pikul dan ringan sama kita jinjing,” tambah Pak Ibrahim.

“Ke bukit sama kita daki. Ke lurah sama kita turuni. Bagai aur dengan tebing. Saling sandar-menyandar. Perlu-memerlukan. Demikiankanlah diperumpamakan apabila kita bekerja dalam satu pasukan.” Pak Salleh merancakkan lagi tajuk perbualan di pagi yang penuh hening dan tenang.

“Itulah cantiknya apabila kita bekerja dalam satu pasukan. Tapi kita harus ingat kerja mesti kita sudahkan sampai siap. Kerja bertangguh tak menjadi. Datang kerja yang baru, kerja yang lama tak siap, kerja yang baru jadi beban pada kita pulak nanti,” tambah Pak Rahman pula sebaliknya.

“Sebab itu kita perlu ada ilmu dalam bekerja ni. Bila ada ilmu tak jadi beban pada kita untuk menyiapkan kerja yang telah diberikan,” sampuk Pak Ibrahim.

“Memang betul kata kau tu, Brahim!” angguk Pak Salleh dengan pantas.

“Ilmu yang ada bukan sahaja akan menjadikan kita mahir dalam bekerja bahkan hasil kerja yang kita lakukan akan membuahkan hasil yang baik dan membanggakan,” tambahnya lagi.

“Memang itulah matlamat utama kita apabila bekerja. Bukan sekadar dapat disiapkan malahan di pengakhirannya memberikan kepuasan dan keseronokan kepada kita,” kata Pak Rahman.

“Satu lagi yang perlu kita ingat bahawa kerja ni tak habis sampai bila-bila,” ucap Pak Ibrahim pula.

“Jadi, kita akan bekerja dan terus bekerja selagi masih ada kudrat dan tenaga,” ulas Pak Salleh.

>>>>>>#<<<<<<

Pohon-pohon hijau kelihatan mengangguk-angguk apabila ditiup angin.

Seolah-olah turut menyatakan sokongan dengan apa yang disembangkan oleh Pak Salleh, Pak Rahman dan Pak Ibrahim pada pagi ini.

Rumusan daripada perbualan mereka pagi ini adalah bekerja amat penting untuk menyara kehidupan keluarga dan menjadi punca utama rezeki.

Selepas membayar harga makanan dan minuman mereka bertiga lalu bergerak menuju ke rumah masing-masing.

>>>>>>#<<<<<<


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *