Cerpen “Menikmati Kemakmuran Hidup”
Sudah menjadi kebiasaan
Tok Ketua akan mengadakan mesyuarat
sebulan sekali bersama-sama dengan orang-orang kampung.
Tujuan dia mengadakan mesyuarat ialah untuk mendengar permasalahan yang dihadapi oleh anak-anak buahnya dan seterusnya mencari jalan penyelesaian untuk mengatasinya.
Selain daripada itu, program dan aktiviti yang akan dijalankan juga turut dibincangkan dalam mesyuarat. Selepas mesyuarat berakhir, orang-orang kampung pun lalu meninggalkan balai raya dan pulang ke rumah masing-masing.
“Kita mesti ambil tindakan segera terhadap masalah yang dibangkitkan oleh orang-orang kampung dalam mesyuarat tadi,” kata Tok Ketua.
“Saya dah catit, tok. Minit mesyuarat akan saya siapkan dengan segera,” balas Adnan yang menjadi setiausaha mesyuarat.
“Masalah yang dibangkitkan nampaknya pada kerosakan rumah dan banjir di beberapa kawasan rumah apabila berlaku hujan lebat,” celah Suhaimi.
“Aku akan hantar surat kepada pihak yang berkenaan untuk mengatasi masalah ini,” balas Tok Ketua pula sebaliknya.
“Nanti saya bantu siapkan surat tu, tok,” ujar Adnan.
“Baguslah kalau macam tu. Sudah menjadi tanggungjawab aku sebagai ketua di kampung ini untuk membantu anak-anak buah apabila ada masalah,” nyata Tok Ketua.
“Bantuan kepada mereka yang tidak berkemampuan juga perlu kita ambil perhatian, tok,” sampuk Suhaimi.
Tok Ketua lalu mengangguk-anggukkan kepala dengan pantas.
“Ya, Mi!”
“Itu kita tidak boleh biarkan berlaku. Mereka juga ingin menikmati taraf hidup yang sejahtera dan baik seperti yang lain. Aku akan hantar surat kepada pihak yang berkenaan dengan segera,” sambungnya lagi.
“Baiklah, tok. Semua surat yang berkaitan akan saya siapkan,” sambut Adnan.
Sememangnya Tok Ketua amat mengambil berat tentang anak-anak buahnya. Dia juga sering berjumpa dengan orang-orang kampung untuk bertanya khabar dan mengetahui permasalahan yang dihadapi oleh mereka. Baginya dengan turun padang akan mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dan beramah mesra.
Tok Ketua menganggap anak-anak buahnya seperti keluarganya sendiri. Dia selalu meminta pandangan dan buah fikiran daripada orang-orang kampung untuk menjadikan kampung yang dipimpinnya mencapai kemajuan dan kejayaan.
Berfikir seorang tidak akan menjadi kerana sempit. Sebaliknya berfikir dengan beramai-ramai akan menjadi kerana lapang. Tok Ketua sentiasa menerima pandangan dan cadangan yang dikemukakan oleh anak-anak buahnya demi kebaikan bersama kampung ini.
Dia turut mengingatkan orang-orang kampung agar sentiasa mengutamakan perpaduan dan mengelakkan daripada berlakunya persengketaan yang membawa kepada kerugian. Sebarang masalah yang timbul hendaklah diselesaikan dengan duduk semeja berbincang untuk mencari jalan yang terbaik agar dapat keluar daripadanya.
“Mereka dah tak ada tempat lagi hendak mengadu melainkan hanya pada kita saja. Sebab itulah pentingnya kita buat mesyuarat supaya tahu masalah yang mereka hadapi,” tegas Tok Ketua.
“Kita mesti buat mereka berasa gembira dan tidak membiarkan mereka terus hidup dalam kesusahan,” tambah Suhaimi pula.
“Ini mesti kita utamakan di samping perkara lain yang dibangkitkan dalam mesyuarat,” ulas Adnan.
“Aku amat bersetuju sekali dengan apa yang kau katakan tu, Nan. Kesejahteraan dan kesempurnaan taraf hidup penduduk di kampung ini mesti diutamakan,” sokong Tok Ketua.
“Isu banyak tanah yang terbiar tanpa diusahakan juga perlu diberikan perhatian,” sampuk Suhaimi.
“Aku cadangkan kita usahakan dengan sayur-sayuran dan buah-buahan,” kata Adnan.
“Bagus jugak cadangan kau tu, Nan. Hasilnya nanti akan dapat menjana pendapatan kepada penduduk di kampung ni,” ujar Suhaimi.
“Pada masa yang sama dapat memberikan peluang pekerjaan kepada anak-anak muda yang menganggur di kampung ni,” nyata Adnan lagi.
“Memang itulah yang aku harapkan. Sekurang-kurangnya mereka taklah membuang masa dengan melakukan perkara yang tak berfaedah dan terjebak dengan kegiatan yang boleh meruntuhkan akhlak dan mencemarkan nama baik keluarga,” celah Tok Ketua.
“Saya akan buat kertas kerja untuk dipanjangkan kepada jabatan pertanian,” cadang Suhaimi.
“Eloklah tu, Mi. Kau buatlah mana yang kau fikirkan baik pada tanah yang terbiar tu. Aku juga nak ucapkan terima kasih pada kau, Nan. Sebab bagi cadangan untuk mengusahakan tanah tu dengan sayur-sayuran dan buah-buahan. Aku yakin. Orang-orang kampung akan bersetuju dengan cadangan yang kau kemukakan ini,” ulas Tok Ketua.
“Sebenarnya saya dah lama fikir tentang perkara ni, tok. Alangkah ruginya kalau tanah tu tidak diusahakan dengan sesuatu yang akan membawa keuntungan kepada kita semua di kampung ni,” jelas Adnan.
“Aku akan buat kertas kerja tu dengan segera. Maklumlah perkara yang membawa kepada kebaikan tak boleh dilengahkan,” tambah Suhaimi.
“Itu kau jangan bimbang, Mi. Aku akan bantu kau buat kertas kerja tu. Lagipun aku ada kawan yang bekerja di jabatan pertanian. Nanti aku bawak kau dengan tok sekali jumpa dia,” kata Adnan.
Rasa kegembiraan jelas kelihatan di wajah Tok Ketua apabila melihat semangat yang ditunjukkan oleh Adnan dan Suhaimi untuk memajukan dan memakmurkan kampung ini. Sememangnya pandangan dan cadangan amat diperlukan dalam memastikan setiap program dan aktiviti yang dirancang tercapai matlamat yang telah ditetapkan.
Perancangan yang amat rapi dan kerjasama daripada semua peringkat amat diperlukan untuk menggerakkan aktiviti dan program yang telah diatur dan disusun. Tanpanya ia amat sukar untuk dilaksanakan kerana tidak bergerak sebagai satu pasukan yang penuh dengan kejituan dan mantap.
“Paling menarik ada yang membangkitkan mengenai rumah-rumah lama yang ada di kampung ini memiliki ciri-ciri keunikan senibina yang menarik. Tapi sayangnya telah mengalami kerosakan dan terbiar dengan begitu saja,” ujar Suhaimi.
“Memang menarik isu ini dan sewajarnyalah dibangkitkan dalam mesyuarat tadi. Seharusnyalah ia dikekalkan dan dipelihara sebagai warisan bersejarah yang terdapat di kampung ini,” ulas Tok Ketua.
“Ia juga berpotensi sebagai antara daya tarikan utama produk pelancongan di peringkat negeri. Selain itu, ia boleh dijadikan homestay untuk menarik kehadiran ramai pengunjung terutamanya daripada luar ke kampung ini. Ini merupakan satu lagi cara untuk menjana sumber ekonomi penduduk kampung,” sambut Adnan.
“Bagus sekali idea kau tu, Nan. Aku sokong. Tok macam mana pulak?” tanya Suhaimi sambil memandang Tok Ketua.
“Mana yang baik aku ikut aje. Tapi, kertas kerja kena ada jugak untuk mohon peruntukan. Kalau tak projek ini tak akan dapat dilaksanakan. Tambahan pulak memerlukan belanja yang besar,” jawab Tok Ketua.
“Tentang itu tok jangan bimbang. Serahkan saja pada saya dan Suhaimi,” balas Adnan.
“Betul kata Nan tu, tok. Serahkan saja kepada saya dan Nan. Tahulah apa kami nak buat nanti,” ucap Suhaimi.
“Baguslah kalau macam tu. Apabila dah dipulihara dan dibaiki nanti bukan sahaja boleh menarik kehadiran ramai pelancong malahan juga memberi peluang kepada generasi muda di kampung ini untuk melihat peninggalan sejarah daripada datuk nenek moyang mereka,” sokong Tok Ketua.
“Cadangan untuk membersihkan sungai kampung kita yang telah tercemar juga perlu diberikan perhatian. Bagi saya melalui usaha murni yang kita lakukan ini akan menanamkan rasa kesedaran kepada penduduk kampung betapa pentingnya menjaga alam sekitar yang dianugerahkan oleh Tuhan secara percuma,” kata Adnan.
“Nanti kita aturkan tarikh dan masa yang sesuai untuk mengadakan gotong-royong sebagai antara aktiviti utama penduduk di kampung ini. Kita panggil Yang Berhormat ADUN Kawasan untuk bersama dengan kita dalam program tu nanti,” tambah Tok Ketua.
“Saya setuju dengan cadangan tu, tok. Kita jumpa Yang Berhormat untuk dapatkan peruntukan,” sambut Suhaimi.
“Aku pun pikir macam tu jugak, Mi. Nanti kita pergi dengan Nan sekali jumpa dia,” balas Tok Ketua.
“Saya amat menyokong penuh cadangan penubuhan perpustakaan sebagai kemudahan anak-anak kita untuk belajar selepas waktu sekolah,” ujar Adnan.
“Memang sepatutnya kita menyokong dan menyambut baik cadangan itu. Aku cadangkan perpustakaan ditubuhkan di salah satu ruang yang terdapat di masjid. Sambil membaca buku dapatlah mereka nanti menunaikan solat berjemaah bersama dengan kita,” balas Tok Ketua.
“Besar manfaatnya kepada anak-anak kita apabila perpustakaan itu ditubuhkan nanti. Semoga minat membaca untuk menimba ilmu pengetahuan akan dapat disemai ke dalam diri mereka,” ulas Suhaimi pula.
“Aku pun berpendapat begitu jugak, Mi. Membaca adalah jambatan ilmu. Kalau kita hendak melahirkan tokoh cendekiawan daripada kampung ini maka tempat khas yang khas perlu disediakan buat mereka sebagai tambahan selain daripada belajar di sekolah,” nyata Tok Ketua.
“Program dan aktiviti keagamaan yang dibangkitkan dalam mesyuarat tadi perlu kita gerakkan pada setiap bulan. Bukan hanya sekadar ceramah sahaja tetapi pengisian yang lain juga perlu diperbanyakkan demi untuk mengimarahkan masjid kita sepanjang masa,” kata Adnan.
“Aku berharap dengan pengisian pelbagai program dan aktiviti yang dirancang akan menyemarakkan lagi kedatangan ramai jemaah termasuk golongan muda,” ujar Tok Ketua.
“Itulah cara yang perlu kita lakukan tok untuk memastikan masjid kita tidak sunyi dengan kehadiran para jemaah,” sokong Suhaimi.
“Paling penting ialah kita perlu menarik ramai anak-anak muda sentiasa datang ke masjid untuk mendalami ilmu agama bersama dengan kita,” tambah Suhaimi.
Demikianlah rancaknya mereka berbual membincangkan mengenai perkara yang diusulkan oleh orang-orang kampung yang hadir dalam mesyuarat yang diadakan pada pagi tadi. Tok Ketua tetap menunjukkan wajah yang tenang walaupun menyedari banyak tindakan yang perlu dilakukannya.
Sudah tentu anak-anak buahnya mengharapkan segala isu dan permasalahan yang dibangkitkan akan dapat diselesaikan dengan segera. Baginya kegembiraan hanya akan dapat dirasai apabila dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh orang-orang kampung.
Setinggi gunung setinggi itulah harapan yang disandarkan oleh semua penduduk kampung kepadanya. Dia mengambil semua itu sebagai suatu keseronokan dalam menjalankan tugas dan amanah sebagai ketua yang memimpin anak-anak buah di kampung tempat dia dilahirkan dan dibesarkan.
Sebagai ketua dia juga sentiasa bersikap adil terhadap anak-anak buahnya. Dia mengutamakan rundingan dan muafakat sebelum melakukan sesuatu pekerjaan. Orang-orang kampung amat menghormati Tok Ketua sebagai seorang pemimpin yang berwibawa mempunyai pandangan yang jauh untuk memajukan kampung ini.
Dalam pada itu kaum wanita turut membangkitkan perlunya aktiviti dan program yang bertujuan untuk mengetengahkan keunikan masakan tradisi di kampung ini sebagai satu kebanggaan dan warisan untuk diketengahkan kepada masyarakat khususnya kepada luar.
“Aku menyambut baik program masakan tradisi yang dikemukakan oleh kaum wanita. Kita masukkan program ini sebagai pengisian utama kepada pengunjung yang menginap di homestay kampung kita,” sokong Tok Ketua.
“Program sebegini seharusnya kita berikan sokongan kerana dapat memperkenalkan kampung kita melalui masakan tradisi yang begitu amat menyelerakan dan enak,” nyata Suhaimi.
“Melalui program yang diadakan ini jugak adalah diharapkan dapat mengangkat masakan tradisi yang ada di kampung ini sebagai warisan satu hari nanti,” tambah Adnan.
“Itulah peringkat permulaan yang perlu kita lakukan, Nan. Sebelum menuju ke peringkat yang lebih besar lagi,” kata Suhaimi.
“Selain daripada itu, inilah usaha murni yang perlu kita lakukan untuk memastikan masakan tradisi yang telah sekian lama diwarisi daripada nenek moyang kita dulu kekal dan terpelihara buat selamanya,” ulas Tok Ketua.
“Program untuk mengetengahkan permainan tradisional di kalangan anak-anak muda di kampung ini seharusnya kita sambut dengan baik,” ucap Adnan.
“Ya, Nan!” angguk Tok Ketua dengan pantas.
“Kita tak boleh biarkan permainan ini semakin hari semakin pupus. Generasi muda harus mengetahui bahawa inilah permainan masa lapang yang dimainkan oleh generasi sebelum mereka pada satu ketika dahulu,” Tok Ketua menyambung.
“Disebabkan arus dunia moden yang pesat saban hari menyebabkan mereka tidak kenal pada permainan tradisional yang menjadi antara warisan dan kemegahan di kampung kita ini. Jadi, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk menarik minat mereka mengenali dengan lebih dekat lagi permainan ini. Caranya ialah dengan mengadakan pertandingan yang menawarkan hadiah yang lumayan. Sudah tentu mereka akan berminat untuk menyertainya,” celah Suhaimi pula sebaliknya dengan penuh panjang lebar.
“Memang cantik sekali apa yang kau cadangkan tu, Mi. Di samping menarik minat mereka ini juga merupakan satu usaha untuk memelihara dan mengekalkan satu lagi warisan tradisi selain daripada masakan,” ucap Tok Ketua.
“Sama-samalah kita berdoa, tok. Agar segala tindakan yang perlu diambil dan program yang kita rancang akan dipermudahkan serta berjayanya hendaknya,” ujar Adnan.
“Insya-Allah, Nan!” balas Tok Ketua pula sambil mengangguk-anggukkan kepala.
“Setiap perkara yang baik kita lakukan pasti akan diberkati dan dirahmati Allah SWT. Dalam pada itu kita harus bergerak sebagai satu keluarga dan berganding bahu untuk memastikan segala program dan aktiviti yang dirancang akan mencapai kejayaan dan tercapai matlamatnya,” sambung Tok Ketua.
Masa berlalu dengan begitu pantas sekali. Tanpa disedari waktu sudah pun tengah hari dan tak lama lagi akan masuk waktu zuhur. Mereka lalu bergerak meninggalkan balai raya dan pulang membawa bersama semangat untuk memastikan penduduk kampung ini sentiasa hidup dalam gembira serta menikmati kemakmuran dan kesejahteraan.
~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~