Meniti Kejayaan
Hidup ini adalah satu perjuangan.
Adaketikanya kita berjaya dan adaketikanya kita gagal.
Namun kegagalan bukanlah bererti pengakhiran buat kita. Sebaliknya kita perlu bangkit untuk mencipta kejayaan dan bukannya berputus asa mahupun mengalah dengan mudah.
Kalau kita sentiasa rajin berusaha kejayaan pasti dalam genggaman. Bersama dengan semangat dan keazaman yang tinggi kita pasti akan menuju ke puncak kejayaan. Walaupun terpaksa menempuh pelbagai halangan dan dugaan.
Sebenarnya tidak ada yang mudah dan ringan buat kita dalam hidup ini. Dalam erti kata lain seperti yang disebutkan dalam pepatah yang bulat tak akan datang bergolek dan yang pipih tak akan datang melayang. Kalau nak berjaya kita perlu berusaha dengan bersungguh-sungguh dan bekerja keras.
Kita tidak boleh mudah berasa puas dengan kejayaan yang telah dicapai. Sebaliknya kita perlu terus mencipta kejayaan yang lain. Kejayaan bukan hanya satu tetapi banyak lagi kejayaan yang boleh kita cipta.
Justeru itu, maka kita perlu tanamkan ke dalam diri akan sifat untuk sentiasa berjaya dalam hidup ini.
Dalam pada itu kita juga perlu meneladani dan belajar daripada orang yang telah berjaya mencipta kejayaan yang gemilang dalam hidup ini. Sebab belajar juga adalah antara kunci utama untuk kita berjaya.
Kita tidak akan dapat meraih kejayaan tanpa belajar dan mendapatkan panduan daripada mereka yang telah berjaya meletakkan diri di puncak kegemilangan.
Sememangnya kejayaan itu amat indah dan manis. Berbanding dengan kegagalan yang amat pahit dan menyedihkan.
Kalau diberi pilihan tentu kita akan memilih kejayaan yang penuh dengan kemanisan dan keindahan dan menolak kegagalan yang amat perit dan memilukan.
Kejayaan adakalanya membuatkan kita bangga dan lupa diri. Tak ubah seperti apabila memandang langit yang tinggi maka rumput di bawah tidak lagi kita pandang. Oleh yang demikian maka kita ikutlah resmi padi makin tunduk makin berisi.
Janganlah kita berasa terlalu megah dan bangga dengan kejayaan yang telah berjaya kita capai. Kerana harus kita ingat bahawa hari ini kita berasa amat gembira tetapi esok belum pasti lagi. Ketentuan Tuhan terhadap kita tidak diketahui.
Sememangnya kita berasa amat seronok apabila berjaya menempatkan diri di puncak kejayaan. Sehingga kita menjadi lupa daratan dan lupa segala susah payah termasuk jerih-perih yang kita hadapi dan lalui sebelum berjaya meraih kejayaan.
Ketahuilah bahawa Tuhan bila-bila masa sahaja boleh menarik nikmat yang ada pada kita.
Bayangkanlah kenikmatan yang kita miliki selama ini dengan tiba-tiba sahaja hilang. Maka dengan itu kita tidak seharusnya mendabik dada dan sebaliknya sentiasa berasa bersyukur dengan kurniaan Tuhan.
Kita juga harus merenung semula segala kepayahan dan kesukaran yang mewarnai sepanjang perjalanan menuju kejayaan. Air mata dan derita yang kita alami akan menjadikan kita ingat dan insaf agar meringankan tangan untuk membantu mereka yang tidak bernasib baik dalam hidup ini.
Siapa lagi yang mereka harapkan untuk menghulurkan bantuan kalau bukan kita. Janganlah biarkan mereka berterusan dengan tangisan dan derita. Sebaliknya bantulah mereka dengan rasa penuh persaudaraan dan seagama.
Selain daripada itu, kita juga perlu bersabar dengan mereka yang cemburu dan iri hati dengan kejayaan yang telah kita perolehi.
Sudah menjadi lumrah dalam kehidupan ada yang berasa tidak gembira dan senang apabila melihat orang lain mengecapi kejayaan. Lalu mereka menggunakan berbagai-bagai cara untuk melihat kita jatuh dan hilang segala-galanya.
Kita anggaplah semua itu sebagai dugaan dan ujian daripada Tuhan. Perbanyakkanlah berdoa semoga Tuhan memberikan kita kekuatan dan ketabahan. Biarkanlah mereka berhasad dengki asalkan Tuhan sentiasa bersama-sama dengan kita pada setiap waktu dan ketika.
Apabila kita diuji akan menjadikan kita semakin kuat dan merangsang untuk terus gigih berusaha. Usahlah dihiraukan dan difikirkan mereka yang irihati dan cemburu dengan kejayaan yang telah kita nikmati.
Jangan sesekali menaruh perasaan dendam terhadap mereka sebaliknya berpegang teguhlah bahawa sesuatu yang terjadi dan berlaku itu ada hikmah yang lebih besar menanti kita.
Mungkin kita akan mendapat yang terbaik dan lebih gemilang lagi daripada kejayaan yang telah kita kecapi selama ini. Jadikanlah kesabaran itu sebagai yang paling indah dan cabaran yang mendatang itu sebagai kemanisan di pengakhirannya apabila kita berjaya menghadapinya.
Untuk mencipta kejayaan dan kegemilangan dalam hidup ini kita tidak boleh menumpukan perhatian sepenuhnya kepada satu bidang sahaja. Banyak bidang lain yang boleh kita terokai. Ini kerana orang yang ingin terus berjaya dalam hidup akan meneroka berbagai-bagai bidang termasuk yang baru.
Kepuasan akan tergambar apabila kita berjaya meneroka bidang yang baru. Walaupun pada mulanya amat sukar namun lama-kelamaan akan menjadi mudah buat kita apabila melakukannya dengan penuh minat dan bersungguh-sungguh.
Itu juga adalah satu kejayaan buat kita. Kalau orang lain boleh melakukannya kenapa kita tidak. Sebagai contoh kita tidak mempunyai kemahiran dan kepakaran dalam bidang perniagaan. Namun kita ada menyimpan hasrat dan impian untuk menjadi seorang usahawan yang terkenal.
Tapi kalau kita sentiasa berusaha dan minat yang mendalam terhadap bidang perniagaan maka impian dan cita-cita kita pasti akan tercapai sepenuhnya. Ibarat parang yang tumpul pasti akan tajam kalau sentiasa diasah.
Kejayaan sebenarnya tidak akan datang dengan sekelip mata. Bukannya sekali petik ia akan datang. Bukannya hari ini bercakap besok ia akan menjelma. Atau seperti pokok hari ini kita tanam hari ini besok akan mengeluarkan buah.
Sebenarnya banyak yang boleh diperkatakan tentang kejayaan.
Umpamanya seorang pelajar yang cemerlang dalam pelajaran akan sentiasa belajar bersungguh-sungguh dan mengulang kaji pelajaran. Selain daripada itu, dia juga akan sering bertanya kalau tidak faham dengan mata pelajaran yang diajar oleh gurunya sewaktu di dalam kelas.
Begitu juga dalam melaksanakan tugas atau tanggungjawab yang telah diberikan. Dalam erti kata lain kita tidak boleh memilih tempat atau bidang kerana orang yang berjaya akan sentiasa mencuba sesuatu yang baru.
Kalau tidak kita akan berada di tahap yang lama dan tiada perubahan sehinggalah bersara nanti.
Demikian jugalah halnya dengan seorang penulis yang ingin mencipta nama dalam bidang pengkaryaan. Harus sentiasa rajin berkarya dan tidak mengenal jemu dan lelah. Kalau sentiasa rajin berkarya dan tidak menghiraukan sama ada karya akan tersiar ataupun tidak pasti akhirnya akan membuahkan hasil yang amat membanggakan dan mendapat perhatian.
Sepertimana yang kita ketahui bahawa membaca itu adalah jambatan ilmu. Orang yang sentiasa menjadikan ilmu pengetahuan sebagai pelita dalam kehidupan akan menjadikan buku sebagai teman setia.
Apabila ilmu penuh di dada maka akan dihormati dan dipandang tinggi sebagai cendekiawan yang terbilang. Itulah kejayaan bagi mereka yang mementingkan ilmu pengetahuan untuk dikongsi bersama-sama dengan orang lain.
Sememangnya ilmu pengetahuan amat penting dan perlu dititikberatkan untuk kita mencipta kejayaan dalam hidup ini. Tanpa ilmu yang tinggi dan mantap amat sukar untuk kita meletakkan diri setanding dan setaraf dengan mereka yang telah berjaya menempa kejayaan khususnya dalam bidang akademik.
Oleh yang demikian maka jadikanlah ilmu itu bukan sahaja sebagai pelita untuk menerangi kegelapan tetapi juga sebagai pemangkin dan pencetus dalam memburu kejayaan.
Kesusahan dan kepayahan hidup juga turut menjadi pembakar semangat untuk kita meraih kejayaan dalam hidup ini. Apabila kita menyedari bahawa kesengsaraan dan penderitaan membelenggu kehidupan maka kita akan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mengubah nasib kehidupan dan seterusnya meletakkan diri di puncak kejayaan.
Kejayaan yang dikecapi dan dinikmati akan kita raikan bersama-sama dengan orang yang tersayang atau orang yang sentiasa memberikan semangat dan menjadi sumber inspirasi kepada kita. Bayangkanlah betapa gembira dan seronoknya apabila dapat berkongsi kejayaan bersama-sama dengan mereka.
Sesungguhnya kejayaan adalah menjadi idaman dan impian kita yang hidup di atas dunia ini.
Tiada siapa yang ingin menempuh jalan kegagalan kerana penuh dengan ranjau dan duri-duri yang amat menyakitkan. Sentiasalah berusaha dan bekerja keras di samping memperbanyakkan doa ke hadrat Allah SWT agar dapat meraih kejayaan bukan sahaja di dunia malahan juga di akhirat.
Semoga coretan yang ikhlas dan tidak seberapa ini akan dapat kita manfaatkan bersama-sama dalam usaha untuk meniti kejayaan.
~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~