Sentiasalah Bersyukur Dengan Apa Yang Kita Ada

Lampu jalan

Lampu jalan ( 422737 )

Bersyukur. Itulah tajuk coretan yang ingin aku kongsikan bersama pada kali ini. Sesungguhnya kita harus sentiasa berasa bersyukur pada setiap waktu dan ketika.

Semoga dengan coretan yang aku tulis ini akan menjadikan kita sama-sama menghargai dan tidak begitu mudah melupakan rasa bersyukur terhadap Allah SWT dalam hidup ini.

Kita harus berasa bersyukur kerana masih lagi diberi kesempatan untuk menghirup udara dan bernafas. Itulah nikmat kehidupan yang diberikan Allah SWT kepada kita semua.

Namun kerana leka dengan kenikmatan dan kelazatan hidup di dunia maka menjadikan kita lupa untuk melafazkan rasa kesyukuran.

Dapat hidup dalam negara yang aman dan damai adalah satu kesyukuran. Tidak seperti rakyat di sesetengah negara di mana hidup dalam penindasan dan terlibat dalam kancah peperangan. Bayangkan keadaan huru-hara dan kacau-bilau yang terpaksa dialami oleh mereka pada setiap hari.

Berbanding dengan kita yang dapat merasai suasana gembira dan dapat melakukan apa sahaja tanpa halangan mahupun sekatan.

Hidup dalam sebuah negara yang tidak ditimpa bencana alam seperti gempa bumi dan banjir yang mengorbankan ramai nyawa harus disambut dengan rasa penuh kesyukuran.

Akibat daripada gempa bumi dan banjir besar yang berlaku bukan sahaja membawa kepada kehilangan ramai nyawa malahan juga membawa kepada kemusnahan harta benda.

Sehingga kini kita tidak pernah sekalipun dilanda kebuluran dan kekurangan makanan. Kita mewah dengan pelbagai makanan yang enak dan lazat. Boleh dikatakan kita sentiasa makan bermula dari pagi, petang sehingga ke malam.

Tetapi disebabkan kita terlalu asyik menjamu selera tanpa hentinya maka kita tidak mengucapkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana tidak kelaparan.

Kita harus melafazkan rasa kesyukuran kerana mendapat kerja yang tetap dan mendapat gaji pada setiap bulan.

Berbanding dengan rakan-rakan kita yang lain yang bekerja sendiri yang terpaksa bekerja keras dan bertungkus-lumus siang dan malam untuk mencari wang bagi menyara keluarga dan kehidupan.

Bayangkanlah macam mana mereka nak bayar duit rumah, kereta, sekolah anak dan bermacam-macam lagi apabila tak ada duit. Tak macam kita apabila hujung bulan sahaja duit dah ada dalam akaun.

Sihat tubuh badan harus kita sambut dengan rasa kesyukuran yang tidak terhingga ke hadrat Allah SWT. Bila sihat tubuh badan kita dapat beribadat dan bekerja pada setiap hari. Itulah nikmat yang diberikan Allah SWT dan harus kita syukuri.

Andainya kita tidak diberikan kesihatan yang baik maka sudah tentu kita tidak dapat beribadat dan bekerja seperti orang lain.

Hidup dengan penuh kesenangan dan kemewahan adalah satu kesyukuran buat kita. Namun sebagai manusia kita adakalanya lalai dan hanyut dengan kekayaan dan kesenangan hidup yang telah dikurniakan oleh Allah SWT. Kalau kita sentiasa rasa bersyukur Allah SWT akan menambahkan lagi nikmat tetapi kalau kita kufur maka Allah SWT akan menarik semula nikmat dan kemewahan yang ada pada kita sebelum ini.

Kita seharusnya rasa bersyukur apabila kita berada dalam kesusahan atau ditimpa masalah ada orang datang untuk memberikan pertolongan dan bantuan. Tanpa mereka sudah tentu kita tidak akan dapat menyelesaikan dan terus dihimpit dengan penderitaan dan masalah yang kita alami.

Jangan sesekali kita lupakan pertolongan dan bantuan yang telah mereka hulurkan itu dan bantulah mereka apabila tiba giliran mereka ditimpa masalah mahupun kesusahan.

Anak adalah harta yang paling berharga buat kita dan bersyukurlah apabila kita dikurniakan anak yang soleh. Mereka akan sentiasa taat dan patuh pada ibu bapa dan tidak sesekali menderhaka. Sentiasa berbuat kebaikan dan menurut segala yang diperintahkan oleh Tuhan.

Anak yang soleh tidak akan mencemarkan nama baik dan menconteng arang di muka kedua-dua ibu bapanya. Malah akan sentiasa mendoakan kedua-dua ibu bapanya apabila telah tiada lagi di dunia ini.

Bersyukurlah apabila ketua memberi kepercayaan sepenuhnya kepada kita untuk menjalankan tugas. Kita mempunyai ramai rakan sekerja tetapi kita antara yang dipilih oleh ketua kerana percaya dengan kebolehan dan kemahiran yang kita ada. Seharusnya kita berasa bersyukur kerana sentiasa ada kerja yang diberikan ketua dan taklah kita dikatakan hanya makan gaji buta sahaja.

Tida apa yang indah dalam hidup ini selain daripada menikmati hidup yang bahagia. Sudah menjadi lumrah dan naluri hidup kita sebagai manusia inginkan kebahagiaan dalam hidup ini. Bersyukurlah apabila kita dapat hidup bahagia bersama-sama dengan isteri dan anak-anak.

Dalam melaksanakan sesuatu kerja dan tugas kita adaketikanya berhadapan dengan bermacam-macam dugaan dan cabaran. Sama ada suka atau tidak kita harus melaksanakan setiap tugas dan kerja yang telah diberikan dengan rasa penuh tanggungjawab dan amanah yang perlu ditunaikan.

Namun bersyukurlah apabila Tuhan mempermudahkan dan melapangkan segala tugas dan kerja yang telah diberikan sehingga kita dapat menyelesaikannya dengan berjaya dan cemerlang.

Kawan yang sejati memang payah dan sukar untuk kita temui dalam hidup ini. Berbanding dengan kawan-kawan yang berada di sekeliling dan di mana jua kita berada.

Kawan sejati bukan sahaja mahu dan rela ketawa bersama-sama dengan kita ketika senang malahan juga menangis bersama-sama dengan kita sewaktu dilanda kesusahan. Kawan-kawan yang berada di sekeliling kita hanya ketawa bersama-sama dengan kita ketika kita sedang di puncak kejayaan.

Oleh yang demikian maka bersyukurlah apabila kita mendapat seorang yang bernama kawan sejati.

Sebagai manusia kita tidak dapat lari daripada melakukan salah dan dosa. Maka bersyukurlah kita apabila Tuhan memberikan petunjuk dan hidayah supaya kita kembali semula ke pangkal jalan.

Andainya tidak mendapat hidayah dan petunjuk daripada Tuhan sudah tentu kita akan bergelumang dengan noda dan dosa dan tempat buat kita sudah tentulah neraka yang penuh dengan seksa dan azab yang pedih.

Bersyukurlah apabila segala yang kita inginkan dalam hidup ini tercapai. Tidak seperti orang lain yang tidak dapat mencapai yang dihajatinya.

Maka kita harus membantu mereka dengan apa yang kita terdaya dan mampu sebagai tanda berasa amat bersyukur terhadap Allah SWT. Dengan ini dapat meringankan segala kesusahan dan penderitaan yang ditanggung mereka.

Rezeki adalah kurniaan Allah SWT buat kita dan bersyukurlah apabila diberikan rezeki yang melimpah-ruah macam air sungai yang mengalir. Sebagai tanda bersyukur maka sentiasalah bersedekah dengan rasa penuh keikhlasan terhadap Allah SWT tanpa mengharapkan sebarang ganjaran dan balasan.

Demikianlah yang ingin aku kongsikan bersama betapa perlunya kita bersyukur dalam hidup ini. Segala nikmat dan peluang yang diberikan Allah SWT harus kita gunakan dengan sebaik-baiknya agar mendapat rahmat dan keberkatan hidup di dunia mahupun akhirat.

Bersyukurlah dengan apa yang kita ada dan tidak lupa tanggungjawab kita sebagai hamba Allah di atas muka bumi ini.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *