Cerpen “Antara Rezeki & Amal Ibadat”
Angin pagi bertiup perlahan dan nyaman.
Pohon-pohon yang rendang dan menghijau kelihatan seperti melenggang-lenggok apabila ditiup angin. Matahari yang meninggi di kaki langit kelihatan bersinar dengan begitu indah sekali. Sinaran cahayanya yang terang-benderang menyinari seluruh kampung yang permai dan indah.
“Rezeki ni sebenarnya ada di mana-mana,” ujar Roslan.
“Betul kata kau tu, Lan. Tak semestinya rezeki ada di bandar besar macam di Kuala Lumpur tu. Di kampung ni macam-macam boleh buat. Asalkan rajin dan sentiasa mahu berusaha,” kata Pak Sidin.
“Di mana ada kemahuan di situ pasti ada jalan, Pak Din,” balas Roslan pula.
“Berbudi pada tanah pasti akan dapat hasilnya. Itulah rezeki yang akan menanti kau nanti, Lan,” ucap Pak Sidin.
“Mungkin dah rezeki saya di kampung ni, Pak Din. Sebab itulah saya menolak tawaran untuk bekerja di Kuala Lumpur,” katanya.
Suara angin yang bertiup kencang jelas kedengaran. Rasa segar dan dingin menyapu seluruh kawasan kebun yang diusahakan oleh Roslan. Daun-daun kelihatan seperti menari-nari apabila dibuai angin. Bunyi daun-daun yang bergeseran sungguh merdu dan menghiburkan jiwa.
“Semua tu dah ketentuan, Lan. Rezeki kau kat kampung ni,” tambah Pak Sidin.
“Ya, Pak Din!” dia sebaliknya membalas dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.
“Saya sebenarnya lebih senang hidup di kampung ini untuk mencari rezeki. Berbanding dengan bandar besar seperti di Kuala Lumpur tu,” sambungnya lagi.
“Aku pun macam tu jugak, Lan. Lepas aje bersara daripada tentera aku terus pulang ke kampung ni. Aku sayang kat tempat aku dilahirkan dan dibesarkan. Lagipun siapa lagi yang nak usahakan tanah peninggalan arwah ayah aku tu. Sebab itu aku usahakan selagi aku masih ada kudrat,” ujar Pak Sidin dengan penuh panjang lebar.
“Saya tengok banyak jugak yang Pak Din tanam kat kebun tu,” kata Roslan.
“Alhamdulillah, Lan. Dapat jugak menampung kehidupan keluarga aku selain daripada duit pencen yang aku terima pada setiap bulan,” jelasnya.
Sekali-sekala kedengaran bunyi ranting bergemertap jatuh ditiup angin dan menimpa permukaan tanah yang kering. Angin yang datang daripada arah bukit kedengaran seperti menyanyi-nyanyi riang. Pohon-pohon yang tumbuh di sekitar kawasan kebun Roslan kelihatan bagaikan menari-nari mengikut rentak angin yang bertiup.
“Rezeki ni kita kena cari. Bukannya datang dengan sendiri,” ucap Roslan.
“Macam-macam cara yang boleh kita buat untuk mencari rezeki asalkan halal,” balas Pak Sidin.
“Tanah yang ada kat kampung ni pun boleh jadi rezeki pada kita,” tambah Roslan.
“Sebab itu sayang kalau dibiarkan dengan begitu sahaja tanpa diusahakan,” kata Pak Sidin.
Perbualan mereka yang rancak lalu terhenti. Apabila kedengaran suara Pak Hashim memberi salam. Mereka berdua lalu menjawab salam yang diberikan oleh Pak Hashim. Dia kemudian lalu mengatur langkah menghampiri Pak Sidin dan Roslan.
“Apa khabar Pak Hashim?” tanya Roslan.
“Alhamdulillah baik,” dia menjawab.
“Kau dari mana ni, Shim?” soal Pak Sidin pula.
“Dari pekan. Aku tengok kau ada kat sini jadi aku singgahlah,” balasnya.
“Kau nak jumpa aku ke?” tanya Pak Sidin lagi.
“Tak ada lah. Saja aje. Nak bersembang dengan kau. Lagipun kau dah lama tak datang ke warung aku. Selalunya lepas sembahyang Subuh di masjid kau singgah di warung aku bersarapan pagi,” dia menjawab.
“Aku sibuk. Sebab tulah aku tak dapat datang ke warung kau. Nanti bila aku senang aku datang ke warung kau. Rindu jugak pada air teh dan nasi lemak kat warung kau tu,” kata Pak Sidin.
“Datang ajelah. Termasuk kau, Lan,” pelawanya.
“Terima kasih, Pak Hashim. Insya-Allah. Ada masa nanti saya datang,” balas Roslan pula sebaliknya.
Rasa bahang panas matahari menyelubungi seluruh kawasan kebun Roslan. Angin yang tadinya bertiup dengan kencang dengan tiba-tiba bertukar menjadi perlahan. Pohon-pohon yang menghijau seperti menari-nari apabila ditiup angin. Sekejap beralih ke kanan dan sekejap beralih ke kiri.
Daun-daun yang berwarna keperangan dan kekeringan jatuh berguguran menimpa tanah apabila ditiup angin. Cuaca yang panas terik menjadikan daun-daun tersebut berwarna sedemikian. Memang sudah lama hujan tidak turun di kampung yang penuh dengan ketenangan dan kedamaian ini.
“Aku dan Lan tengah bercakap pasal rezeki,” beritahu Pak Sidin.
“Menarik tu. Yalah. Kau dengan Lan cari rezeki dengan berkebun. Aku pulak cari rezeki dengan berniaga bukak warung,” ulas Pak Hashim.
“Apapun rezeki kita adalah di kampung ni,” tegas Pak Sidin pula sebaliknya.
“Tapi dalam mencari rezeki ni kita jangan lupa pada amal dan ibadat,” ingat Pak Hashim.
“Itu sudah semestinya. Memang kita disuruh untuk mencari rezeki. Dalam pada itu perintah Allah SWT mesti kita utamakan juga,” ujar Pak Sidin pula.
“Inilah yang paling saya takut. Terlalu asyik mencari rezeki sehingga lupa akan tanggungjawab dan kewajipan,” celah Roslan.
Sememangnya kita sebagai manusia mudah lupa dan asyik dalam melakukan sesuatu terutamanya yang berkaitan dengan mencari rezeki. Tambahan pula apabila mendapat rezeki yang melimpah-ruah. Sehingga menjadikan kita tak pernah merasa puas dan bersyukur dengan rezeki yang telah diberikan oleh Allah SWT.
Akibatnya masa dan hidup kita lebih banyak dihabiskan dengan mengejar rezeki. Ini akan menjadi kita lebih seronok dan hanyut dengan keduniaan berbanding untuk mencari bekalan dibawa bersama-sama dibawa ke akhirat nanti.
“Kita perlu seimbang. Masa bekerja kita bekerja. Masa kita beribadat kita beribadat,” kata Pak Sidin.
“Itulah yang sebaik-baiknya. Jangan berat sebelah,” sampuk Pak Hashim pula.
“Bila dah seimbang dunia barulah kita akan mendapat nikmat kehidupan yang sebenarnya,” tambah Pak Sidin.
“Saya sentiasa berdoa. Agar dapat menyeimbangkan antara rezeki dan amal ibadat,” ucap Roslan.
“Sama-samalah kita, Lan. Rezeki yang kita cari di atas dunia ini hanya sementara sahaja. Bukan selama-lamanya milik kita,” kata Pak Sidin.
Memang perlu adanya keseimbangan antara mencari rezeki dan beramal ibadat. Hidup akan bertambah sempurna dan penuh berkat apabila kita dapat menyeimbangi kedua-duanya. Bumi ciptaan Allah SWT amat luas untuk kita mencari rezeki dalam pelbagai cara dan bentuk.
Namun harus kita ingat sebagai hamba kita harus melaksanakan segala perintah dan meninggalkan larangannya. Berbuat kebaikan adalah yang disuruh manakala melakukan kejahatan adalah yang ditegah sama sekali. Mencari rezeki adalah perkara yang amat baik. Begitu juga dengan memperhambakan diri pada Allah SWT adalah satu kewajipan.
“Lama dah aku kat sini. Asyik berbual nanti tak siap pulak kerja kau, Lan,” ucap Pak Sidin pula sebaliknya.
“Tak mengapa, Pak Din. Dah nak siap kerja saya kat kebun ni. Tak mengganggu pun,” balas Roslan.
“Betul jugak kata kau tu, Din. Orang tengah bekerja tak elok diganggu,” celah Pak Hashim.
“Saya tak anggap kedatangan Pak Din dan Pak Hashim ke kebun ni mengganggu saya tengah bekerja. Malah saya seronok apabila dapat bersembang tentang rezeki dan ibadat,” jelas Roslan.
“Nanti ada masa kita sembang lagi. Kau teruslah semula kerja kau tu. Aku balik dulu,” mohon Pak Sidin.
“Aku pun nak balik jugaklah. Senang-senang nanti kau datanglah ke warung aku tu. Sambil minum bolehlah kita bersembang panjang dengan Pak Din,” kata Pak Hashim.
“Baiklah, Pak Din!” angguk Roslan.
Pak Sidin dan Pak Hashim kemudian berlalu pergi daripada kebun yang diusahakan oleh Roslan yang juga anak kepada arwah Pak Majid. Roslan menyambung semula kerja membersihkan kebun peninggalan arwah ayahnya itu sehingga ke tengah hari. Setelah selesai barulah dia pulang ke rumah.
~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~