Cerpen “Pak Mat Tukang Rumah”
Sebut sahaja Pak Mat Tukang Rumah
semua orang kampung kenal.
Sejak dari dahulu sehinggalah sekarang itulah kerja yang dilakukannya. Sebenarnya Pak Mat mewarisi pekerjaan sebagai tukang membuat rumah daripada arwah ayahnya.
“Ayah dah tua. Kan lebih baik ayah berhenti daripada kerja membuat rumah tu,” kata anaknya Amri.
“Sepatutnya kau mewarisi kerja yang aku buat selama ini. Sekurang-kurangnya ada yang menggantikan tempat aku bila aku dah tak ada nanti,” dia membalas.
“Ayah …. Kan saya dah bagitau, ayah. Saya tak minat nak buat kerja-kerja tu semua,” ucap Amri.
“Setiap kali kau balik kau akan cakap perkara yang sama. Suruh aku berhenti daripada menjadi tukang rumah. Agaknya kau malu dengan apa yang aku buat,” tegasnya.
“Ayah …. Saya tak bermaksud begitu …,” dia sebaliknya terhenti dan tidak dapat untuk meneruskan kata-kata.
“Sudah! Aku tak nak bertekak dengan kau. Aku nak keluar. Nak siapkan rumah Haji Nasir,” potong Pak Mat dengan pantas sambil bingkas bangun daripada kerusi yang terletak di tamu rumah.
Amri sebaliknya hanya mendiamkan diri sahaja. Dia tidak bermaksud hendak menyakiti hati ayahnya. Sebenarnya dia berasa kasihan apabila melihat ayahnya mengerah kudrat tua untuk membuat rumah. Sepatutnya dia berehat dan memberikan laluan kepada orang lain untuk membuat kerja itu.
“Mana ayah kau, Amri?” tanya ibunya Mak Kiah.
“Dia dah keluar mak,” dia menjawab sambil memandang wajah ibunya.
“Ke mana?” tanya ibunya lagi tak henti-henti.
“Katanya nak siapakan rumah Haji Nasir,” balas Amri.
“Amri …,” ibunya bersuara perlahan.
Dia memandang wajah ibunya yang duduk di atas kerusi.
“Kau janganlah asyik cakap perkara yang sama pada ayah kau tu.”
“Mak …. Ayah dah tua. Ayah sepatutnya duduk di rumah. Saya mampu beri ayah dan mak duit pada setiap bulan.”
“Itu mak tahu, Amri. Mak pun dah cakap pada dia supaya berhenti daripada menjadi tukang rumah. Tapi sikit pun dia tak dengar.”
“Saya sayang ayah, mak. Saya tak nak dengar ada orang cakap saya gaji besar. Tapi tak nak menyara ayah dan mak.”
Pagi itu setibanya di pejabat. Munirah wartawan akhbar Minda Ilmu telah diberitahu yang Encik Khalid nak berjumpa dengannya. Dia kemudian lalu pergi ke bilik ketuanya itu. Pintu bilik lalu diketuknya dan kedengaran suara ketuanya mengarahkan dia supaya masuk ke dalam.
“Encik Khalid nak jumpa saya?” tanyanya sebaik-baik sahaja menarik daun pintu dan masuk ke dalam bilik ketua editor akhbar Minda Ilmu itu.
“Ya!” angguknya dengan pantas.
“Duduklah!” sambungnya lagi.
“Terima kasih!” balasnya sambil duduk di atas kerusi.
“Ada apa, Encik Khalid nak jumpa saya?”
“Begini, Munirah. Saya tengok awak menulis dengan begitu baik sekali rencana yang berkaitan dengan warisan dan budaya. Jadi, saya nak bagi awak satu tugasan. Saya harap awak dapat melakukannya dengan baik.”
“Tugasan apa tu, Encik Khalid?”
“Saya dapat maklumat ada seorang tukang kayu. Namanya Pak Mat yang tinggal di Kampung Talang, Kuala Pilah. Dia membuat rumah dengan menggunakan alat pertukangan tradisi. Cerita ini amat menarik apabila diketengahkan. Saya yakin awak dapat membuat cerita ini,” katanya dengan penuh panjang lebar.
“Pak Mat Tukang Rumah?” ulangnya sambil memandang wajah ketuanya yang sedang duduk di atas kerusi berwarna hitam itu.
“Ya! Awak kenal dia?” tanya Encik Khalid pula.
Dia lalu teringatkan Amri apabila ketuanya menyebutkan nama itu.
“Taklah!” gelengnya.
“Baiklah, Encik Khalid. Terima kasih kerana memberikan kepercayaan kepada saya. Insya-Allah. Saya akan lakukan tugasan yang diberikan sebaik mungkin,” janjinya pada ketuanya itu.
“Sama-sama!” angguk Encik Khalid sebaliknya dengan pantas.
“Semoga awak berjaya. Awak boleh pergi sekarang,” dia menyambung lagi.
Munirah lalu bangun dan meninggalkan bilik Encik Khalid. Tengah hari itu dia keluar makan bersama-sama dengan Amri. Dia memberitahu tentang tugasan yang diberikan oleh Encik Khalid kepadanya. Amri berasa amat terkejut apabila mendengarnya.
“Betul ke ni?” tanyanya pada Munirah.
“Betul! Takkan aku nak bohong pulak,” jawab Munirah pula.
Amri sebaliknya hanya mendiamkan diri sahaja.
“Kenapa kau diam? Aku tengok kau macam berat aje bila aku nak tulis tentang kisah ayah kau,” ujar Munirah.
Dia lalu menarik nafas yang panjang apabila mendengar apa yang dikatakan oleh Munirah itu.
“Kan aku pernah bagitau kau yang aku mintak ayah aku supaya berhenti daripada menjadi tukang membuat rumah.”
“Aku ingat, Amri! Tapi aku peliklah. Kenapa kau tak bagi ayah kau buat kerja tu. Sedangkan semua orang kampung kenal dia. Tambah pulak bila cerita dia dah masuk suratkhabar nanti dia akan menjadi lebih terkenal.”
“Dia dah tua, Munirah. Tak sesuai dia buat kerja tu.”
“Kau harus faham, Amri. Dah itu kerja yang dia buat sejak dia masih muda lagi.”
“Itu betul. Tapi sekarang masa dia untuk duduk rumah dan berehat saja.”
Dengan kemahiran dan kepakaran yang dimiliki rumah Haji Nasir dapat disiapkan oleh Pak Mat mengikut tempoh masa yang diberikan dengan bantuan Rosli. Sebaik-baik sahaja kerja selesai Haji Nasir lalu membayar upah kepada mereka berdua.
“Alhamdulillah. Rezeki kita, Li. Haji Nasir bagi lebih pada kita. Sebab dia puashati dengan kerja yang kita buat,” katanya.
“Siapa yang tak kenal dengan Pak Mat Tukang Rumah. Kerjanya kemas dan cantik,” tambah Rosli.
“Sejak dari dahulu lagi arwah ayah aku dah ajar supaya buat macam tu. Rumah ni kan tempat orang tinggal. Kenalah buat betul-betul,” ucapnya lagi.
“Betul tu, Pak Mat. Saya pun nak ucapkan terima kasih banyak-banyak pada Pak Mat. Sebab banyak turunkan ilmu bertukang untuk membuat rumah pada saya,” nyata Rosli.
“Aku sekadar hanya menurunkan ilmu apa yang ada. Dari segi cara kau bekerja aku nampak yang kau boleh menggantikan aku satu hari nanti.”
“Saya rasa saya tak sampai lagi ke tahap tu. Lagipun banyak yang saya perlu belajar daripada Pak Mat.”
“Kau tak macam Amri?”
“Amri? Kenapa dengan dia Pak Mat?”
“Entahlah …!” dia menggeleng-gelengkan kepala dengan lemah.
“Dia tak nak mengikut jejak langkah aku,” sambungnya lagi.
“Agaknya dia lebih senang bekerja di Kuala Lumpur tu,” ujar Rosli pula.
“Aku tak kisah kalau itu dah pilihan dia. Tapi setiap kali dia balik dia suruh aku berhenti daripada menjadi tukang rumah. Sedangkan itu sudah menjadi darah daging aku. Dia membesar dan belanja sekolah dia pun hasil daripada kerja tukang rumah yang aku buat,” jelasnya dengan penuh panjang lebar.
“Sabarlah, Pak Mat. Mungkin sekarang dia tak nampak lagi apa yang ada dalam jiwa Pak Mat. Satu hari nanti dia akan faham juga akhirnya nanti,” balas Rosli.
Dia sebaliknya hanya mendiamkan diri sahaja apabila mendengar kata-kata Rosli itu.
Sementara itu Munirah meminta Amri agar membantunya untuk melaksanakan tugasan yang diberikan ketuanya. Dia memberitahu Amri yang besok dia akan ke Kampung Talang untuk menemu bual ayahnya. Amri sebaliknya seperti amat berat untuk memenuhi permintaan kekasihnya itu.
“Kau sayang kat aku kan!” kata Munirah sambil mengangguk-anggukkan kepala.
“Sayang!” jawabnya dengan mengangguk-anggukkan kepala dengan pantas.
“Kalau kau betul-betul sayang pada aku besok kau mesti bawa aku jumpa ayah kau,” pinta Munirah.
“Munirah …. Aku …,” dia terhenti.
“Jangan begitu, Amri. Sebagai seorang anak kau seharusnya menyokong apa yang ayah kau buat dan bukan menyakiti hatinya. Kau sepatutnya berasa bangga kerana ayah kau dikenali sebagai seorang tukang rumah. Hasil daripada titik peluh ayah kau jugak yang memberi makan dan pakai kau selama ini. Kau seharusnya menyokong apa yang telah ayah kau buat selama dia masih ada kudrat dan bukannya menghalang pekerjaan dan minat yang ada dalam dirinya,” nasihat Munirah pula sebaliknya dengan penuh panjang lebar.
Kata-kata kekasihnya itu benar-benar meninggalkan kesan yang mendalam ke dalam dirinya. Dia lalu terdiam. Mulutnya seperti amat berat untuk berkata-kata. Baginya memang ada benarnya apa yang dikatakan oleh kekasihnya yang bekerja sebagai wartawan Minda Ilmu itu.
“Maafkan aku, Amri. Aku sama sekali tak berniat hendak menyakitkan hati kau. Tapi ini adalah hakikat dan kenyataan yang harus kau terima,” ucapnya lagi.
Amri sebaliknya terus mendiamkan diri. Rasa bersalah dengan apa yang dilakukan terhadap ayahnya selama ini benar-benar terbenam dalam jiwa. Dia sendiri pun tidak tahu. Mengapa dia jadi begitu. Mungkin kerana dia terlalu sayang dan bimbang akan keselamatan ayahnya semasa membuat kerja sebagai tukang rumah.
Dia kemudian lalu memandang wajah Munirah sambil menarik nafas yang panjang.
“Kau tak perlu minta maaf pada aku. Apa yang kau cakap tu memang betul. Aku memang selama ini tak menghargai apa yang ayah aku buat. Besok aku akan bawak kau jumpa ayah aku. Terima kasih Munirah kerana kau menyedarkan aku,” katanya.
“Alhamdulillah!” ucap Munirah pula sambil tersenyum gembira.
Keesokan harinya dia lalu membawa Munirah untuk berjumpa dengan bapanya. Kedatangannya bersama-sama dengan Munirah disambut dengan rasa penuh gembira oleh ibu dan ayahnya. Bagi Pak Mat kepulangan Amri pada kali ini tidak seperti sebelum ini.
“Saya minta maaf ayah. Kerana membuat ayah berasa terluka dengan sikap saya selama ini,” ujarnya.
Ayah dan ibunya lalu saling berpandangan.
“Sudahlah tu, Amri. Ayah dah lama maafkan kau. Lagipun kau tak ada buat salah dengan ayah,” jawab ayahnya pula.
Ibunya lantas tersenyum apabila mendengarnya.
“Mulai hari ini saya akan sokong kerja ayah sebagai tukang membuat rumah. Saya juga berjanji akan mengambil cuti panjang hujung tahun ini untuk memenuhi hasrat ayah belajar menjadi tukang membuat rumah. Mungkin satu hari nanti saya akan mengambil tempat ayah,” dia berkata dengan penuh panjang lebar.
Mendengarkan kata-katanya itu lalu membuatkan Pak Mat, Mak Kiah dan Munirah tersenyum riang.
“Baguslah kalau kau dah ada keinginan macam tu, Amri. Mak doakan semoga apa yang kau hajatkan akan tercapai,” ibunya bersuara.
“Ayah pun begitu jugak. Hari ini ayah berasa sungguh gembira sekali. Kerana doa ayah telah dimakbulkan oleh Allah SWT,” ucap ayahnya pula.
“Terima kasih, ayah. Terima kasih, mak kerana mendoakan saya,” dia membalas.
Ayahnya kemudian lalu memandang Munirah.
“Anak ni dah lama berkawan dengan Amri?”
“Ya, Pak Mat! Sebab itulah saya minta Amri bawa saya jumpa Pak Mat. Saya harap Pak Mat tak keberatan untuk berkongsi pengamalan sebagai seorang tukang membuat rumah.”
“Boleh! Sekurang-kurangnya orang tahu apa sebenarnya kerja sebagai seorang tukang rumah.”
“Memang itulah yang saya nak tulis dalam rencana saya nanti.”
“Munirah. Duduklah dulu, ya. Berbual-bual dengan Pak Mat. Mak Kiah nak ke dapur. Tengah hari nanti kita makan sama-sama.”
“Baiklah, Mak Kiah. Dah selesai temu ramah Pak Mat nanti saya tolong Mak Kiah.”
“Tak apa. Munirah selesaikanlah kerja tu dulu. Mak Kiah masuk ke dapur dulu, ya.”
Mak Kiah lalu bangun dan beredar menuju ke dapur.
Selang beberapa minggu kemudian telah tersiar kisah Pak Mat dari Kampung Talang sebagai tukang membuat rumah. Kisah beliau telah berjaya mendapat perhatian ramai pihak termasuk para penyelidik dan pelajar institusi pengajian tinggi yang mengambil bidang senibina rumah tradisional.
Munirah juga telah dinaikkan pangkat sebagai penolong ketua editor akhbar Minda Ilmu kerana berjaya menyiapkan tugasan yang diberikan dengan penuh cemerlang. Baginya ini adalah hadiah untuk majlis perkahwinannya yang akan diadakan pada hujung bulan nanti bersama-sama pemuda pilihan hatinya yang bernama Amri yang juga merupakan anak Pak Mat Tukang Rumah.
~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~