Cerpen “Pesta Sawah”

Kerbau

( Archie )

Angin pagi bertiup perlahan dan nyaman.
Pohon-pohon kelihatan
seperti menari-nari apabila ditiup angin.

Sekejap beralih ke kanan dan sekejap beralih ke kiri mengikut rentak angin yang bertiup. Kedengaran suara orang memberi salam dari bawah rumah. Tok Ketua lalu menjawab salam dan menuju ke muka pintu untuk melihat siapa yang datang.

“Kau rupanya, Razlan. Ingatkan siapa yang datang. Hah, jemputlah masuk,” pelawanya.

“Apa khabar, tok?” dia bersalaman dengan Tok Ketua.

“Alhamdulillah, baik. Hah, duduklah!” jemput Tok Ketua lagi.

Razlan lalu duduk di atas kerusi. Berhadapan dengan Tok Ketua. Suara daun-daun bergeseran dan pohon-pohon bergoyangan ditiup angin jelas kedengaran. Membelah suasana di desa yang penuh tenang dan damai.

“Saya datang ni ada perkara nak bincang dengan tok,” dia memberitahu.

Tok Ketua lalu mengangkat kepala tinggi sedikit apabila mendengar apa yang dikatakan Razlan itu.

“Apa dia, Razlan?” dia bertanya.

“Saya bercadang nak buat pesta sawah. Untuk anak-anak muda di kampung ni melihat tradisi bertani yang pernah diamalkan datuk nenek moyang mereka dulu,” jawab Razlan.

Tok Ketua menyambut baik cadangan Razlan itu.

“Bagus tu, Razlan!” dia membalas dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Tapi bila namanya pesta dah tentu memerlukan belanja yang besar. Di mana kita nak cari duit, Razman?” dia menyambung lagi sambil memandang tepat muka Razman.

“Itu tok jangan bimbang. Saya akan buat kertas kerja berserta dengan belanjanya sekali. Saya yakin. Bila kita ada kertas kerja yang kukuh nanti dapatlah kita peruntukan. Bagi mengadakan pesta ini,” ujarnya pada Tok Ketua.

“Baiklah, Razman!” angguk Tok Ketua lagi.

“Kau buatlah kertas kerja tu. Sama-samalah kita berdoa. Agar kita dapat mengadakan pesta sawah. Seperti yang kau cadangkan.” Dia memberikan sokongan penuh.

“Insya-Allah, tok!” sambut Razlan pula sebaliknya.

Tak lama kemudian Mak Limah muncul. Sambil membawa dulang yang berisi minuman dan makanan. Dua cawan air teh panas dan sepinggan kuih seri muka.

Perlahan-lahan dia meletakkannya di atas meja. Kemudian dia berlalu pergi semula ke dapur. Dengan membawa dulang kosong.

“Razlan! Jemputlah minum!” pelawa Tok Ketua.

+=+=+=+

Malam. Bulan dan bintang kelihatan bersinar indah. Di kaki langit hitam. Suara cengkerik jelas kedengaran bersahut-sahutan membelah suasana malam yang dingin.

Angin malam bertiup sepoi-sepoi bahasa. Razlan memberitahu ibunya. Tentang cadangan untuk mengadakan pesta sawah.

“Tadi saya pergi ke rumah tok ketua, mak.”

“Ada apa kau jumpa dengan dia?” ibunya bertanya sambil duduk di atas tikar dan melipatkan kain.

“Pasal nak buat pesta sawah,” terangnya.

“Pesta sawah?” ibunya menyoal kembali.

Dia sebaliknya lalu mengangguk-anggukkan kepala.

“Ya, mak!”

“Untuk membangkitkan semula kenangan sewaktu kita menyambut tibanya musim menuai,” katanya lagi.

“Yalah. Mak juga dapat bayangkan waktu itu. Betapa seronoknya mak bersama dengan arwah ayah bersama dengan orang-orang kampung bekerja di sawah padi,” ucap ibunya pula.

“Bagi saya mak semua ini adalah warisan yang perlu dilihat dan dihargai anak-anak muda di kampung ni,” dia berkata.

“Apa kata tok ketua bila kau cadangkan nak buat pesta bersawah?” tanya ibunya lagi.

“Dia menyambut baik dan menyokong cadangan saya tu,” balas Razlan.

“Bila nak buat?” ibunya tak putus-putus menyoal.

“Saya nak buat kertas kerja dulu, mak. Supaya mudah dapat peruntukan. Maklumlah bila namanya pesta dah tentu memerlukan belanja yang besar.”

+=+=+=+

Seperti biasa warung Pak Sulaiman akan dipenuhi dengan orang-orang kampung untuk bersarapan pagi.

“Bagus jugak cadangan Razlan tu. Sekurang-kurangnya anak muda di kampung ni bukan saja dapat melihat kemeriahan setiap kali tibanya musim menuai. Bahkan jugak menarik minat mereka untuk bersawah padi,” kata Pak Hashim.

“Kita mesti berikan sokongan penuh terhadap apa yang ingin dilakukan Razlan tu. Ini perkara yang baik. Melalui pesta ini kita dapat menghidupkan semula warisan yang sekian lama telah pupus di kampung kita ni,” Pak Saad menambah pula sebaliknya.

“Perkara yang baik insya-Allah akan direstui Allah SWT,” Tok Imam bersuara.

“Aku pun sependapat dengan kau orang semua!” Tok Ketua mencelah.

“Banyak manfaatnya yang akan kita perolehi nanti bila mengadakan pesta sawah. Terutamanya anak-anak muda di kampung ni. Tapi kita kena juga berbelanja besar,” sambungnya lagi.

“Betul jugak kata tok tu. Yalah. Dalam kita bersemangat nak mengadakan pesta ni kita terlupa pulak soal duit. Kita perlu ada duit yang banyak. Kalau tak macam mana kita nak buat pesta sawah tu,” ulas Pak Saad.

“Mana kita nak cari duit, tok?” soal Pak Hussein pula sambil memandang wajah Tok Ketua.

“Kata Razlan dia akan buat kertas kerja untuk mendapatkan peruntukan,” jawab Tok Ketua sambil menghirup perlahan-lahan air teh yang masih lagi panas itu.

“Memang itulah yang sebaik-baiknya. Saya yakin, tok. Razlan tu lulusan universiti. Dah tentu kertas kerja yang dibuatnya itu akan mudah diterima dan mendapat peruntukan. Untuk kita mengadakan pesta sawah di kampung kita ni,” nyata Pak Saad.

“Mudah-mudahan begitulah hendaknya, Saad,” kata Tok Ketua.

“Marilah kita sama-sama berdoa. Semoga kita dapat mengadakan pesta sawah,” Tok Imam bersuara.

Mereka terus rancak berbual. Sambil menikmati sarapan pagi di warung Pak Sulaiman.

+=+=+=+

Setelah siap kertas kerja Razlan lalu pergi ke pejabat lembaga pelancongan negeri yang terletak di bandar. Dia berjumpa dengan Encik Hamdan. Pengurus besar lembaga pelancongan negeri.

Encik Hamdan meneliti kertas kerja yang dibuat Razlan itu.

“Sungguh menarik kertas kerja yang Encik Razlan buat ini!” pujinya yang memakai baju kemeja lengan panjang berwarna biru air laut dan bertali leher warna hitam.

“Terima kasih, Encik Hamdan!” dia menyambut dengan anggukkan kepala.

“Program seumpama ini bukan saja dapat memperkasa dan memartabatkan warisan. Bahkan juga menjadi daya tarikan utama kedatangan pelancong,” kata Encik Hamdan lagi yang duduk di atas kerusi pusing.

Kesejukan alat penghawa dingin terasa mengepung seluruh ruang bilik. Hawanya termampan pada dinding yang dicat dengan warna merah jambu.

“Memang itulah yang saya harapkan, Encik Hamdan. Warisan bersawah perlu sentiasa dijaga dan dikekalkan. Supaya menjadi khazanah yang tinggi nilainya. Dan dapat ditatap generasi hari ini dan seterusnya,” dia sebaliknya berkata.

Mendengarkan kata-kata Razlan itu Encik Hamdan lalu pantas mengangguk-anggukkan kepala. Sebagai tanda amat bersetuju sekali. Dengan apa yang dikatakannya itu.

“Memang benar apa yang Encik Razlan katakan itu!”

“Kita tidak boleh menolak arus kepesatan dunia yang hebat melanda pada hari ini. Namun kita tidak boleh melupakan warisan. Yang setelah sekian lama kita pusakai. Sejak dari turun-temurun lagi,” tegasnya.

“Saya harap pihak lembaga pelancongan negeri akan menyokong program ini. Dengan menyalurkan peruntukan kewangan,” harap Razlan.

Sekali lagi Encik Hamdan mengangguk-anggukkan kepala dengan pantas. Bila mendengar apa yang dikatakan Razlan itu.

“Insya-Allah, Encik Razlan!”

“Saya akan pertimbangkan. Saya akan hubungi Encik Razlan nanti,” janjinya pada Razlan.

“Baiklah, Encik Hamdan!” angguknya pula.

“Kalau macam tu saya minta diri dulu.” Dia kemudiannya bangun dan bersalaman dengan Encik Hamdan.

+=+=+=+

Suara angin petang sayup-sayup kedengaran membelah seluruh desa permai yang indah.

“Ayah kata abang bercadang nak buat pesta sawah di kampung kita ni.” Rosnah anak gadis Tok Ketua inginkan kepastian daripada Razlan.

Dia sebaliknya lalu menarik nafas yang panjang. Rasa nyaman dan segar jelas terasa. Bila dapat menghirup angin petang.

“Benar, Rosnah. Abang dah buat kertas kerja. Pagi tadi abang dah bawa kertas kerja tu ke pejabat lembaga pelancongan negeri. Abang dah berbincang dengan pengurus besar lembaga pelancongan negeri. Untuk mendapatkan peruntukan,” dia menerangkan pada Rosnah.

“Apa katanya, bang?” dia bertanya dengan rasa penuh minat.

Wajahnya yang putih dan halus itu bersama dengan tudung yang menutupi rambutnya semakin cantik dan ayu. Apabila disapu angin petang yang bertiup lemah-gemalai. Dari arah bukit-bukau yang subur menghijau.

“Insya-Allah! Dia akan pertimbangkan! Kita berdoalah. Semoga dapat peruntukan daripada lembaga pelancongan negeri. Untuk menjayakan program itu,” nyatanya.

“Rosnah masih ingat lagi, bang. Masa kecik-kecik dulu selalu dengan kawan-kawan bermain di sawah tu. Rasa seronok sangat waktu tu,” luahnya pada Razlan.

Wajah Razlan dipandangnya dalam-dalam. Razlan juga membalas pandangannya itu.

“Abang pun begitu jugak, Rosnah. Masih ingat lagi sampai ke hari ini. Bermain layang-layang dengan kawan-kawan di tengah sawah tu,” katanya pula.

+=+=+=+

Tok Ketua kelihatan sedang asyik membaca suratkhabar di ruang tamu rumah. Tak lama kemudian isterinya muncul sambil membawa dulang yang berisi secawan air teh dan sepinggan kuih buah melaka.

“Minum, bang!” Mak Limah mempelawa. Sambil meletakkan perlahan-lahan cawan yang berisi air teh dan pinggan yang berisi kuih buah melaka di atas meja. Dulang yang telah kosong itu diletakkannya di atas meja.

Tok Ketua lalu berhenti membaca suratkhabar. Dia kemudiannya lalu melipat suratkhabar dan meletakkannya di atas meja. Air teh yang masih lagi panas dengan asap nipis kelihatan melengguk-lengguk naik ke atas dan hilang lalu dihirupnya perlahan-lahan.

“Bang ….!” Mak limah bersuara perlahan sambil memerhatikan suaminya yang begitu amat berselera sekali menikmati kuih buah melaka yang dibuatnya itu.

“Saya dengar kampung kita nak mengadakan pesta sawah,” katanya lagi.

“Ya, Limah!” Tok Ketua sebaliknya pantas membalas dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Razlan yang cadangkan pesta itu diadakan di kampung kita. Katanya untuk memberi peluang kepada anak-anak muda di kampung ini melihat warisan bersawah padi. Terutamanya bila tiba musim menuai. Yang kita pernah rasai masa muda-muda dulu,” terangnya lagi.

“Kita suruh cucu-cucu kita balik. Tengok pesta sawah tu. Maklumlah dia orang tu tinggal di Kuala Lumpur. Di bandar besar tu mana ada sawah padi. Sawah padi pun dia orang tak pernah tengok. Tiap-tiap hari asyik tengok bangunan-bangunan tinggi aje,” isterinya menambah.

“Memang itulah yang abang fikirkan, Limah. Razlan dah pun buat kertas kerja untuk minta duit mengadakan pesta ini. Kalaulah dapat duit tu nanti abang cadangkan pesta ini diadakan masa cuti sekolah,” kata Tok Ketua.

“Itulah yang sebaik-baiknya, bang. Biar semua anak-anak kampung yang ada di Kuala Lumpur tu balik. Baru nampak meriah pesta tu,” Mak Limah menambah.

“Kita doakanlah, Limah. Semoga Allah SWT memberkati usaha murni yang kita lakukan ini,” balasnya.

Tok Ketua kemudiannya lalu menukar tajuk perbualan yang lain pula.

“Hah! Malam ni jangan lupa. Ada ceramah agama di masjid. Lepas sembahyang masjid. Awak pergi tak?”

“Mesti la pergi, bang. Rugi kalau tak dengar majlis ilmu tu.”

“Baguslah kalau macam tu!” angguk Tok Ketua pula.

“Saya nak bawak kuih ke masjid. Untuk jamu orang-orang kampung yang datang dengar ceramah tu. Nanti abang tolong gaitkan nyiur muda, ya,” pinta isterinya.

“Yalah!” Tok Ketua pantas menjawab dengan menganggukkan kepala.

Dia kemudiannya lalu melihat jam di tangan.

“Waktu asar dah pun nak masuk ni. Abang nak ke masjid. Balik nanti abang gaitkan nyiur muda yang Limah minta tu,” ucapnya sambil bangun dari kerusi.

“Baiklah, bang!” angguk Mak Limah pula.

+=+=+=+

Permohonan peruntukan untuk mengadakan pesta sawah telah diluluskan lembaga pelancongan negeri. Razlan lalu menyampaikan berita gembira ini kepada Tok Ketua.

“Syukur alhamdulillah!” ucap Tok Ketua. Rasa kegembiraan jelas kelihatan di wajahnya yang telah tua itu. Begitu juga dengan Razlan. Kegembiraan jelas terpancar di wajahnya yang masih muda itu.

“Tertunai juga hajat kita, tok. Nak mengadakan pesta sawah. Yang buat pertama kalinya di kampung kita ni,” dia menambah.

“Kita dah boleh panggil orang-orang kampung untuk bermesyuarat. Bagi memastikan pesta yang kita rancang ini berjalan dengan baik dan teratur,” Tok Ketua bersuara.

“Itulah yang sebaik-baiknya, tok!” Razlan menyokong dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Dalam menjalankan sesuatu pekerjaan kita mesti muafakat. Berat sama dipikul. Ringan sama dijinjing. Ke bukit sama didaki. Ke lurah sama dituruni. Bagai aur dengan tebing. Saling sandar-menyandar. Begitu jugaklah dengan kita dalam menjayakan pesta ni,” dia menyambung lagi.

“Itulah yang perlu kita tunjukkan dalam pesta sawah tu nanti. Hidup berkampung yang kaya dengan semangat gotong-royong dan saling bantu-membantu ketika musim menuai padi tiba,” ulas Tok Ketua.

“Saya bersetuju sangat dengan apa yang tok nak tunjukkan kepada anak-anak muda dan orang-orang dari luar apabila datang melihat pesta sawah tu nanti,” balasnya.

Bunyi pohon-pohon ditiup angin jelas kedengaran menyelubungi suasana. Cuaca cerah yang kelihatan sejak dari awal pagi tadi masih lagi kelihatan sehingga ke petang.

Tiada tanda-tanda hujan akan turun. Awan putih menebal. Matahari bersinar indah di kaki langit biru. Cahayanya terang-benderang. Menyimbah ke seluruh kampung.

“Aku cadangkan kita buat pesta ni musim cuti sekolah. Dapat jugak anak cucu aku dan anak cucu orang-orang kampung yang lain tengok pesta tu,” jelasnya pada Razlan.

“Memang elok sekali cadangan tok tu. Kita buat pesta ni pun untuk generasi muda melihat warisan yang pernah diamalkan orang-orang di kampung ni pada satu ketika dulu. Lembaga pelancongan negeri juga akan membawa pelancong luar datang ke kampung kita untuk bersama-sama dengan anak-anak muda melihat pesta tu,” dia membalas.

“Kalau macam tu kita kena buat persiapan yang rapi. Untuk menyambut kedatangan mereka. Maklumlah pelancong luar nak datang tengok kampung kita.” Tok Ketua semakin bersemangat apabila mendengar apa yang dijelaskan Razlan itu.

“Hah! Baru saya teringat. Lembaga pelancongan negeri bukan saja memberi bantuan kewangan kepada kita untuk menjayakan pesta ini tetapi juga akan bersama-sama dengan kita untuk mengendalikan pesta ini sepanjang ia berlangsung,” terangnya lagi pada Tok Ketua.

“Baguslah macam tu, Razlan!” dia menyambut dengan pantas.

“Petang besok lepas sembahyang asar kita kumpulkan semua orang kampung di balai raya. Untuk kita bincang dan bahagi-bahagikan tugas dalam pesta ni,” katanya lagi.

Menjelang senja Razlan lalu meninggalkan rumah Tok Ketua.

+=+=+=+

Seperti yang dirancang maka pesta sawah lalu berlangsung. Begitu meriah sekali. Dengan kehadiran orang-orang kampung, anak-anak muda dan pelancong-pelancong dari luar yang dibawa lembaga pelancongan negeri.

“Tahniah,tok! Tahniah, Encik Razlan!” Encik Hamdan bersalaman dengan Tok Ketua dan Razlan. Sambil memandang muka mereka berdua silih berganti.

“Kejayaan penganjuran program ini juga bagi saya perlu dikongsi bersama dengan lembaga pelancongan negeri. Tanpa bantuan dan kerjasama daripada Encik Hamdan program ini tidak akan dapat dilaksanakan dengan jayanya. Sepertimana yang kita dapat lihat sekarang. Betapa gembira dan seronok penduduk kampung bersama dengan para pelancong melihat acara-acara yang terdapat dalam pesta ini,” Razlan sebaliknya membalas dengan penuh panjang lebar.

“Memang betul apa yang Razlan katakan tu, Encik Hamdan!” celah Tok Ketua pula dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Saya juga nak mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada lembaga pelancongan negeri. Yang telah memberikan peruntukan untuk menjayakan pesta sawah di kampung ni,” tambahnya lagi.

“Sama-sama, tok!” dia membalas.

“Pihak lembaga pelancongan negeri sentiasa menyokong dan memberikan bantuan terhadap program yang memulihara dan mengekalkan warisan lampau serta menarik kedatangan pelancong seperti pesta sawah yang diadakan di kampung ini,” ujar Encik Hamdan.

“Saya berharap lembaga pelancongan negeri akan terus menyalurkan peruntukan bagi membolehkan program ini diadakan pada setiap tahun,” kata Razlan dengan penuh harapan.

“Insya-Allah, Razlan!” angguk Encik Hamdan dengan pantas.

“Saya akan memohon peruntukan khas dan menjadikan program ini sebagai acara pelancongan tahunan kerajaan negeri,” janjinya pada Razlan.

“Terima kasih banyak, Encik Hamdan. Semoga warisan bersawah akan terus kekal sebagai khazanah yang tinggi nilainya. Tidak luput walaupun zaman sentiasa berubah tanpa hentinya,” Tok Ketua menyambut.

Pesta sawah akan terus kekal menjadi warisan bertani yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *