Cerpen “Laut, Ombak & Pantai”

Pantai

Pantai ( Diego )

Pagi.
Suara desiran ombak menghempas pantai
jelas kedengaran sayup-sayup membelah
suasana yang tenang dan hening.

Buih-buih memutih yang kelihatan berapungan setiap kali ombak menghempas dan membasahi gigian pantai. Sekejap timbul dan sekejap hilang ditolak dan ditarik ombak. Cuaca kelihatan cerah. Matahari kelihatan meninggi di kaki langit biru bersama awan putih yang menebal.

Angin yang datang dari arah laut bertiup sepoi-sepoi bahasa. Rasa nyaman dan dingin jelas terasa membungkus suasana. Sinaran matahari jelas kelihatan terang-benderang menyinari seluruh alam. Butiran pasir halus berkilauan umpama mutiara di dasar lautan apabila terkena pancaran terik matahari.

Jalur-jalur cahaya lurus kelihatan menembusi celah-celah daun hijau apabila disinari matahari. Pohon-pohon yang tumbuh di tepi pantai bagai menari-nari apabila ditiup angin laut. Sekejap ke kanan dan sekejap ke kiri. Mengikut rentak tiupan angin. Daun-daun mengeluarkan irama yang sungguh merdu apabila bergeseran antara satu sama lain.

Azam dan Aida lalu memilih salah sebuah warung yang terletak di tepi pantai untuk menikmati sarapan pagi. Sebaik-baik sahaja mereka duduk di atas kerusi pelayan lelaki yang berusia dalam lingkungan awal 20-an lalu menghampiri mereka.

“Pesanan, cik?” dia bertanya dengan ramah sambil memandang wajah Azam dan Aida silih berganti.

Azam sebaliknya menarik nafas yang panjang sambil memandang Aida yang duduk berhadapan dengannya. Sungguh nyaman dan segar rasanya apabila dapat menghirup udara laut.

“Aida nak makan apa?” Azam menyoal.

Aida tidak menjawab. Dia sebaliknya lalu membetulkan kain tudung berwarna ungu yang menutupi rambutnya. Wajahnya kelihatan sungguh ayu dan jelita. Apabila mengenakan kain tudung yang berwarna ungu itu. Sesuai dengan kulitnya yang putih dan halus itu.

“Bagi saya nasi lemak ayam goreng,” pintanya pada pelayan.

“Minum?” tanya pelayan pada Aida sambil mencatit pesanan.

“Teh ‘o’ nipis,” jawabnya lagi.

“Encik pulak?” Dia beralih pula ke arah Azam.

“Serupa!” angguknya pula dengan pantas.

“Air bagi saya kopi ‘o’,” katanya lagi.

Pelayan pantas berlalu pergi setelah mengambil pesanan daripada Azam dan Aida.

“Laut banyak mengajar saya dan keluarga akan erti ketabahan dan kesabaran dalam hidup ini. Bila musim tengkujuh datang ayah saya tak dapat turun ke laut. Hanya ikan kering saja pada waktu itu yang mengisi perut saya dan adik-beradik. Saya juga tidak dapat melupakan satu pengalaman yang amat menakutkan. Sehingga ke hari ini saya masih lagi terbayang-bayang,” katanya sambil menarik nafas yang panjang.

“Pengalaman apa tu?” Aida bagaikan tidak sabar-sabar lagi pantas memotong kerana amat tertarik untuk mengetahuinya.

Dia sebaliknya hanya mendiamkan diri saja sambil mendongakkan kepala ke atas. Peristiwa yang amat menakutkan pernah dialaminya itu seperti terpapar jelas di ruang mata.

“Saya selalu mengikut ayah turun ke laut. Pada satu hari motobot yang kami naiki dipukul ribut di tengah lautan lalu terbalik. Saya dan ayah lalu jatuh ke dalam laut yang bergelora. Saya terkapai-kapai kelemasan dan pada ketika itu apa yang saya bayangkan hanyalah akan mati lemas dibawa arus laut yang deras. Tapi umur ayah dan saya masih panjang. Kami sempat berpaut pada motobot sebelum diselamatkan oleh nelayan yang nampak kami terkapai-kapai berpaut pada motobot,” katanya dengan penuh panjang lebar.

Perbualan mereka yang rancak lantas terhenti. Apabila pelayan muncul semula sambil membawa dulang yang berisi makanan dan minuman yang dipesan Azam dan Aida. Perlahan-lahan dia meletakkannya di atas meja yang berbentuk empat segi itu.

“Terima kasih!” ujar Azam sambil memandang muka pelayan.

“Sama-sama!” dia membalas sambil mengangguk-anggukkan kepala dan pantas berlalu pergi sambil membawa dulang yang kosong.

Sebelum menjamah hidangan yang dipesan mereka membaca doa makan terlebih dahulu yang dipimpin Azam.

“Silakan!” pelawa Azam sebaik-baik sahaja selesai membaca doa makan.

Mereka menikmati sarapan pagi dengan penuh berselera sekali. Memang enak menikmati hidangan sambil menghirup udara pantai yang segar dan nyaman. Azam dan Aida rancak berbual-bual sambil menikmati sarapan pagi.

“Saya dapat merasakan apa yang Azam rasa melalui peristiwa yang amat menakutkan yang pernah Azam alami itu …,” dia bersuara dengan begitu amat perlahan sehingga tidak berapa jelas dan kedengaran. Sebagai tanda dia turut berkongsi perasaan dengan Azam bila terkenangkan peristiwa hitam dan penuh ngeri itu.

Hati Aida benar-benar tersentuh apabila mendengar kisah silam yang terpahat kuat dan sehingga kini sukar untuk dilupakan Azam.

Suara ombak menghempas pantai tak putus-putus kedengaran membelah suasana. Suara camar putih yang riang bernyanyi-nyanyi sambil berterbangan ke sana dan ke sini membelah angkasa nan luas juga kedengaran membelah suasana. Sekali-sekala hinggap di atas dahan dan membuat sarang. Dan kemudiannya berterbangan semula meredah awan putih dan langit biru yang tinggi.

Dari jauh kelihatan sebuah kapal kelihatan sedang berlayar mengharungi lautan biru yang luas. Destinasi yang ditujunya sudah pasti sebuah pelabuhan sambil membawa bekalan yang cukup.

Demikianlah ibaratnya perjalanan hidup kita di atas dunia ini. Harus membawa bekalan yang secukupnya. Dengan amalan dan pahala di akhirat nanti.

“Tapi semangat ayah dan saya tidak pernah patah malah jauh sekali luntur semenjak dari peristiwa itu. Bagi kami semua itu adalah ujian Tuhan yang harus kami terima. Sewaktu turun ke laut untuk mencari rezeki. Kami amat bersyukur kerana Tuhan masih lagi memanjangkan umur kami. Kalau tidak sudah tentu kami akan hilang di laut dan tidak berpusara,” tambahnya lagi.

Laut tak semestinya tenang selalu dan ada waktunya bergelora dengan ganas. Demikian jugalah dengan kehidupan yang dilalui kita yang bernama manusia di atas dunia yang fana ini. Tak semestinya indah dan gembira ada ketikanya kita merasa duka dan pahit walaupun itu bukan yang kita pinta.

Aida dapat merasakan jauh ke sudut hatinya peristiwa ngeri yang pernah dialami dalam hidup Azam itu. Bagi Aida cintanya yang terputus di tengah jalan sama seperti yang dialami Azam dipukul ribut ganas ketika turun ke laut mencari rezeki. Seperti juga Azam dia terlalu sukar untuk melupakan peristiwa pahit itu. Cintanya tenggelam di lautan duka dan lemas bersama rindu.

Angin laut dengan tiba-tiba bertiup lemah dan pilu. Seolah-olah turut menghulurkan rasa simpati dengan apa yang menusuk di hati Aida pada ketika ini. Seperti matahari yang kelihatan bersinar indah di kaki langit dia mengharapkan satu hari nanti kegelapan yang selama ini menerangi hidup ini akan hilang dan diterangi dengan sinar cahaya.

Kesenyapan mengambil tempat buat seketika tanpa kedengaran bicara daripada mereka berdua. Tidak seperti pada awalnya tadi mereka rancak berbual sambil dengan penuh berselera menikmati hidangan sarapan pagi yang dipesan daripada pelayan warung. Tapi kini dari wajah yang mereka tunjukkan jelas kelihatan bahawa mereka kini sedang melayan perasaan masing-masing.

Namun Azam tidak mahu keadaan ini terus berlarutan lalu memecah kesenyapan yang melanda.

“Apa kata kita bersiar-siar di pantai. Dapat juga kita mencari ketenangan. Lagipun kita dah lama duduk di warung ini. Perut kita pun dah terasa kenyang,” cadangnya pada Aida.

“Satu cadangan yang amat baik. Jom kita pergi!” Dengan pantas dia bersetuju menerima cadangan Azam itu.

Azam lalu memanggil semula pelayan warung agar mengira jumlah harga makanan dan minuman. Pelayan lalu datang dan memberitahu jumlah harga makanan dan minuman sepertimana yang dipinta Azam. Setelah diberitahu jumlah harga makanan dan minuman Azam kemudiannya lalu menghulurkan wang kepada pelayan.

“Terima kasih!” pelayan berkata sambil tersenyum menyambut wang yang dihulurkan Azam itu.

“Sama-sama!” dia mengangguk-anggukkan kepala sambil membalas senyuman yang dihulurkan pelanggan kepadanya itu.

“Terima kasih, Azam. Kerana belanja saya. Lain kali saya kenalah pulak belanja Azam,” ujarnya sambil bingkas bangun dari kerusi.

“Sama-sama!” dia menjawab.

“Saya memang ikhlas nak belanja Aida. Tak usahlah nak balas-membalas pulak,” dia menyambung lagi.

Mereka kemudiannya lalu berjalan beriringan menyusuri pantai yang indah dan menikmati udara laut yang begitu nyaman dan enak sekali. Rasa keenakannya jelas terasa apabila angin laut yang segar menyapu permukaan kulit.

“Mari kita duduk di bangku dekat bawah pokok tu!” Aida menudingkan jari telunjuknya dengan penuh sopan ke arah bangku yang terletak di bawah sebatang pokok yang amat rendang.

“Elok sangatlah tu, Aida. Lagipun kita dah penat berjalan,” sokong Azam pula sebaliknya.

Mereka kemudiannya lalu mengatur langkah ke arah bangku di bawah pokok itu. Setibanya di bangku itu mereka lalu duduk bersebelahan namun bahu mereka tidak bersentuhan antara satu sama lain. Kerana mereka sedar mereka bukan muhrim dan tidak mempunyai ikatan yang sah. Agama dan adat sebagai seorang Islam perlu dijaga di tempat yang terbuka seperti ini. Supaya tidak timbul prasangka yang tidak baik kepada orang yang melihat mereka duduk di atas kerusi di bawah pokok yang rendang.

Azam dan Aida sama-sama menghadap ke arah laut yang berada di hadapan. Bahang panas matahari tidak terasa bila berteduh di bawah pohon rendang. Jalur-jalur cahaya matahari yang lurus kelihatan terpantul di atas permukaan daun-daun hijau. Daun-daun kering yang berguguran tidak kelihatan bertaburan di atas permukaan pasir yang memutih kerana telah disapu pekerja yang ditugaskan untuk membersihkan pantai daripada kotoran dan sampah-sarap.

Pantai semakin dipenuhi dengan orang ramai. Maklumlah hari ini hari Ahad hari untuk mereka bersantai dan meluangkan masa bersama keluarga tersayang. Setelah seminggu suntuk mereka penat bekerja dengan memerah otak dan tenaga. Kini tibalah masanya untuk mereka melupakan sementara tugas di pejabat. Esok mereka akan menyambung semula tugas dengan harapan penuh segar dan semangat apabila menghirup udara laut yang dingin dan bersih sehingga terasa ke tulang hitam.

Suasana di pantai gamat dan riuh-rendah dengan bunyi suara orang ramai yang berkelah dan mandi-manda di pantai. Tak kurang juga yang menjamu selera bersama keluarga di tepi pantai dengan membawa makanan dan minuman dari rumah sambil menikmati angin laut yang terasa begitu nyaman sekali.

“Saya sayang pada laut. Hidup saya berkait rapat dengan laut. Sebab itulah agaknya saya sentiasa memasukkan laut dan pantai dalam puisi, cerpen dan novel yang saya tulis,” Azam bersuara sambil menarik dengan sedalam-dalamnya nafas yang panjang.

“Memang laut tak dapat dipisahkan dalam kehidupan, Azam,” sambutnya pula sambil membetulkan duduk.

“Laut juga mengingatkan saya pada ikan. Isinya tetap manis. Walaupun air masin. Demikianlah hidup kita. Perlu ada pendirian. Jangan jadi seperti lalang. Mudah berpaling ke kanan dan ke kiri. Apabila ditiup angin,” tambah Azam lagi.

“Menarik apa yang Azam katakan itu!” angguk Aida pula sebaliknya dengan pantas.

“Hidup kita juga macam air laut. Pasang surut silih berganti. Adakalanya kita suka. Ada masanya kita berduka. Ada waktunya kita berada di atas. Ada ketikanya kita berada di bawah. Macam putaran roda,” dia menyambung lagi.

“Bila berada di atas kita ramai kawan. Tapi bila berada di bawah tak ada kawan yang nak bersama dengan kita.” Nada suara Azam tenggelam bersama deruan ombak yang menghempas pantai.

Serta-merta Aida lalu jadi terdiam apabila mendengar kata-kata Azam itu. Begitu dalam menusuk ke hatinya. Di raut wajahnya yang semakin jelita dan cantik itu apabila disapu bayu laut yang bertiup nyaman dan perlahan juga kelihatan dia sedang memikirkan sesuatu. Tentang kata-kata yang diungkapkan Azam itu yang baginya begitu berhikmah sekali.

Aida kemudiannya lalu mengalihkan pandangan ke arah laut yang membiru. Yang berada di depannya. Agak lama juga dia memandang laut yang membiru itu. Azam yang berada di sebelahnya hanya sekadar memerhatikan sahaja gelagatnya itu.

Setelah lama memandang laut yang membiru itu dia kemudiannya lalu memalingkan muka semula ke arah Azam.

“Itu sudah menjadi lumrah dalam kehidupan. Kawan ketawa memang ramai. Kawan menangis seorang diri,” Aida bersuara.

Azam sebaliknya hanya menarik nafas yang panjang apabila mendengar apa yang dikatakan oleh Aida itu.

“Tak siapa yang mahu berduka dalam hidup ini. Semuanya mahu merasa gembira. Tapi bagi saya setiap yang pahit kita alami dalam hidup ini adalah cabaran. Sama ada suka atau tidak kita harus menerima cabaran yang datang dalam hidup ini dengan hati yang terbuka. Bukan hidup namanya kalau kita tidak menghadapi cabaran. Cabaran akan menjadikan kita kuat dalam hidup ini,” ujarnya dengan penuh panjang lebar.

Sekali lagi Aida terdiam apabila mendengar kata-kata yang diucapkan Azam itu. Dan mengangguk-angguk diam. Sebagai tanda faham dengan apa yang dimaksudkan Azam itu. Rasa kagum dengan apa yang dikatakan Azam itu juga jelas terpancar di wajahnya.

Aida terus melihatkan rasa minat untuk mendengar apa seterusnya yang akan diperkatakan Azam. Wajah Azam dipandangnya dalam-dalam. Seperti lautan biru yang luas.

“Dalam hidup ini biar kita kalah asalkan jangan mengalah.” Satu lagi mutiara kata yang keluar daripada mulut Azam.

“Satu kata-kata yang amat menarik sekali!” Aida bagaikan tidak sabar-sabar lagi pantas mencelah.

“Apabila jatuh kita harus segera bangun dan menjadi pemenang,” jelas Azam pula.

Aida lalu menarik nafas yang panjang. Suara ombak menghempas pantai tak putus-putus kedengaran menyelubungi suasana. Angin yang tadinya bertiup perlahan tiba-tiba bertukar rentak menjadi kencang. Suara pohon-pohon dan daun-daun bergoyangan dan bergeseran ditiup angin jelas kedengaran kuat membelah suasana. Mengikut rentak tari angin yang datang dari arah laut.

“Dalam hidup ini tidak ramai orang yang akan bergembira apabila kita berjaya. Tapi sebaliknya ramai yang akan merasa gembira bila kita gagal,” kata Azam lagi.

“Bukan itu saja. Bila kita buat baik belum tentu orang akan buat baik pada kita semula. Apatah lagi kita tidak berbuat baik,” Aida membalas pula sebaliknya.

“Seperti yang Aida katakan tadi. Itulah yang dikatakan lumrah dalam kehidupan. Tapi bagi saya setiap ujian yang didatangkan Tuhan kepada kita harus diterima dengan rasa penuh sabar dan redha. Kerana di sebaliknya ada hikmah yang tersembunyi,” ulas Azam.

Suara desiran ombak menghempas pantai terus kedengaran membelah suasana.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *