Cerpen “Di Sini Kucurahkan Keringat & Bakti Selamanya”

Motosikal

Motosikal ( Fancycrave )

Matahari kelihatan meninggi di kaki langit biru.
Awan putih kelihatan menebal. Sinaran cahaya matahari
yang terang-benderang menerangi seluruh kampung yang
penuh dengan keindahan dan kedamaian.

Pohon-pohon yang menghijau kelihatan seperti mengangguk-angguk apabila ditiup angin yang datang daripada arah bukit. Begitu juga dengan daun-daun yang menghijau menampakkan irama tarian dan terbuai-buai disapu angin yang membangkitkan rasa nyaman dan dingin.

“Aku tetap jugak nak ke Kuala Lumpur. Cari kerja. Kat sana macam-macam kerja ada. Gaji pun besar. Hidup senang. Kalau nak dibandingkan dengan kampung ni. Apa yang ada, Halim,” kata Buhari.

“Kat kampung ni pun kita boleh kerja. Pokok pangkalnya rajin aje. Dapatlah kita nikmati hasilnya nanti,” balas Halim.

Buhari sebaliknya menyanggah apa yang dikatakan Halim itu.

“Cuba kau beritahu aku, Halim. Apa yang ada di kampung ni. Kita kena berubah. Takkan selamanya kita nak hidup macam ni. Besok aku nak ke Kuala Lumpur. Mulakan hidup baru. Kau nak ikut tak? Kawan kita Faizal akan tunggu kita di sana nanti. Dia jugak janji. Akan tolong carikan kerja untuk kita,” ujar Buhari.

Dia sebaliknya menolak ajakan Buhari itu.

“Aku tak naklah, Buhari!” dia menggeleng-gelengkan kepala.

“Lagipun aku sayang nak tinggalkan kampung ni. Mak aku dah tua. Tambah pulak ayah aku dah tak ada. Adik-beradik aku yang lain tinggal jauh. Siapa nak jaga dia,” jelasnya lagi pada Buhari.

Suara angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa jelas kedengaran. Membelah suasana indah desa permai.

“Aku ajak kau ni ke sana bukannya apa Halim macam yang aku cakap tadi. Untuk kesenangan masa depan kita jugak. Kau tengok kawan kita Faizal tu. Sejak kerja di Kuala Lumpur hidup dia mewah betul. Duit banyak. Kereta besar. Rumah besar.” Buhari terus mempengaruhi Halim. Agar mengikutnya berhijrah ke Kuala Lumpur.

Namun Halim tetap dengan pendiriannya. Mahu terus kekal hidup di kampung.

“Kau pergilah, Buhari. Sebagai seorang sahabat aku mendoakan hidup kau akan berjaya di sana. Macam Faizal kawan kita tu,” ulas Halim.

+=+=+=+

Dari jauh kelihatan bukit-bukau yang subur menghijau.

“Tak lama lagi pelajaran Noni di universiti tu akan tamat, bang,” beritahu Noni pada Halim.

“Habis belajar nanti Noni nak buat apa?” Halim sebaliknya menyoal. Sambil memandang wajah Noni yang ayu dan bertudung menutupi rambutnya.

“Noni ingat nak sambung belajar peringkat ijazah pulak,” dia menjawab.

“Baguslah macam tu, Noni. Noni pun masih muda lagi. Abang doakan. Semoga cita-cita Noni untuk mendapatkan segulung ijazah akan tercapai.” Halim menyatakan sokongan dengan memberi kata-kata perangsang dan semangat pada Noni.

“Terima kasih, bang!” ujar Noni pula sambil mengangguk-anggukkan kepala.

Halim yang sedang bekerja di kebun pisang lalu berhenti. Apabila mendengar suara orang memberi salam. Dia lalu menjawab salam dan berpaling ke arah suara yang memberi salam itu. Tok Ketua rupanya. Dalam hati kecilnya berkata.

“Apa khabar, tok?” sapanya sambil bersalaman dengan Tok Ketua.

“Alhamdulillah, baik!” dia membalas dengan menganggukkan kepala.

“Bertandan-tandan nampaknya buah pisang kau, Halim,” katanya pula.

“Alhamdulillah, tok!” dengan pantas Halim mengangguk.

“Kalau berbudi pada tanah inilah hasilnya,” dia menambah lagi.

“Memang betul apa yang kau katakan tu, Halim!” sambut Tok Ketua pula sebaliknya. Apabila mendengar apa yang dikatakan Halim itu.

Bunyi pelepah pisang berkelepak-kelepuk ditiup angin jelas kedengaran.

“Aku betul-betul kagum dengan kau ni. Yalah. Kawan-kawan sebaya dengan kau semuanya pergi ke Kuala Lumpur untuk cari kerja. Tapi kau masih di kampung ni. Berkebun dan bercucuk tanam,” kata Tok Ketua lagi.

“Biarlah mereka dengan cara mereka, tok. Bagi saya mungkin telah ditentukan Tuhan. Saya menabur bakti di tempat saya dilahirkan dan dibesarkan,” dia membalas.

“Aku amat bersetuju sekali dengan apa yang kau cakapkan tu, Halim. Sebenarnya di mana-mana kita boleh mencari rezeki. Tak kira di kampung mahupun bandar besar. Asalkan rezeki yang kita cari tu halal,” Tok Ketua bersuara.

Tok Ketua dan Halim terus rancak berbual. Menjelang tengah hari barulah mereka pulang ke rumah masing-masing.

Setibanya di rumah Halim lalu meletakkan pisang yang dibawanya dari kebun di dapur.

“Buah pisang di kebun kita tu bertandan-tandan, mak,” dia memberitahu ibunya.

“Tak habis kita makan ni, Halim,” kata ibunya.

“Separuh kita jual di pasar minggu nanti. Separuh lagi kita sedekah pada jiran-jiran,” Halim membalas.

“Hah, elok sangatlah tu. Oh, ya. Sebelum mak terlupa. Malam ni lepas isyak Lebai Deraman ajak ke rumah dia. Dia buat kenduri kesyukuran. Menyambut kepulangan anaknya yang tamat belajar di luar negeri tu,” ujar ibunya.

“Insya-Allah, mak!” angguknya dengan pantas.

“Lepas isyak nanti kita pergi ke rumah. Saya mandi dululah, mak. Waktu zuhur pun dah nak masuk,” sambungnya lagi sambil bangun dari kerusi.

“Pergilah. Lepas sembahyang nanti kita makan. Nasi dan gulai pun dah masak,” nyata ibunya pula.

Angin petang yang bertiup perlahan menyusup masuk ke celah-celah dinding papan rumah Tok Ketua.

“Tadi abang ke kebun pisang budak Halim anak Sipah tu,” Tok Ketua berkata sambil menghirup air teh yang masih lagi panas itu perlahan-lahan.

“Rajin betul budak tu. Bertandan-tandan buah pisang di kebunnya tu,” pujinya lagi.

“Susah nak cari budak macam Halim tu, bang. Yalah. Budak-budak muda yang sebaya dengan dia mana nak berkebun pisang. Semuanya nak bekerja di Kuala Lumpur. Nak cari gaji yang besar,” isterinya membalas.

“Kalau nak gaji besar di Kuala Lumpur tu mesti ada kelulusan. Tapi terus terang abang katakan. Abang betul-betul suka dengan cara yang dilakukan Halim itu. Menjadikan pertanian sebagai satu pekerjaan. Untuk menabur khidmat bakti di kampung ni,” tambah Tok Ketua lagi.

+=+=+=+

Pohon-pohon nyiur kelihatan melambai-lambai apabila ditiup angin.

“Abang ni peliklah,” Noni bersuara.

“Pelik?” ulangnya pula sambil mengangguk-anggukkan kepala dan memandang wajah Noni. Sungguh ayu dan jelita bila disapu angin yang berhembus. Perlahan dan nyaman.

“Yalah. Kawan-kawan yang sebaya dengan abang semuanya pergi ke Kuala Lumpur. Cari kerja. Tapi abang masih lagi tinggal di kampung ni. Abang tak rasa bosan ke? Bila tak ada kawan-kawan!” dia mengangkat kepala tinggi sedikit melihat muka Halim dan menggeleng-gelengkan kepala.

Halim sebaliknya lalu tersenyum kecil.

“Apa yang nak dibosankan, Noni. Abang benar-benar sayangkan kampung ni. Bagi abang biarlah abang membina kejayaan dalam hidup di kampung ni,” ulasnya.

“Dengan menjadi petani?” pantas Noni memotong.

“Ya!” angguknya pula.

“Apa Noni malu berkawan dengan abang yang bekerja sebagai petani?” dia menyoal.

“Abang ni ke situ pulak perginya,” jawab Noni pula sebaliknya.

“Habis? Kenapa itu yang Noni bangkitkan?” tanyanya lagi tak henti-henti.

“Bukannya apa, bang. Abang kan lulus dengan cemerlang dalam STPM. Layak masuk universiti,” ucap Noni.

“Memang benar apa yang Noni cakapkan tu. Tapi bagi abang warisan bertani peninggalan arwah datuk dan arwah ayah abang perlu abang teruskan,” jelasnya.

Sampai sahaja di rumah Halim lalu duduk di atas kerusi ruang tamu rumah untuk melepaskan penat.

“Macam mana dengan jualan sayur kampung kita di pasar minggu tu, Halim?” tanya ibunya yang muncul dari dalam rumah.

“Alhamdulillah, mak. Habis laku sayur kampung kita,” dia menjawab.

“Syukur rezeki kita,” ibunya bersuara dengan rasa penuh gembira.

“Malam ni ada ceramah agama di masjid, mak. Lepas maghrib,” katanya.

“Mak pun nak pergi dengar ceramah tu. Nanti kau tolong petik buah nyiur muda. Mak nak buat kuih. Nak sedekah pada orang-orang kampung yang datang dengar ceramah tu,” pinta ibunya.

“Yalah, mak! Nanti saya petikkan buah nyiur muda yang mak mintak tu,” balasnya pula.

Ibunya masuk semula ke dalam. Untuk menyelesaikan kerja-kerja di dapur.

Di luar angin bertiup lemah-gemalai. Daun-daun dan pohon-pohon bergoyangan mengikut rentak tiupan angin. Cuaca masih lagi kelihatan cerah. Sejak dari awal pagi tadi. Sehingga ke tengah hari ini. Tiada kelihatan tanda-tanda hujan akan turun. Cahaya matahari bersinar terang-benderang. Mewarnai seluruh kampung.

+=+=+=+

Selang beberapa bulan kemudian Buhari pulang ke kampung. Sungguh bergaya dengan kereta mewah.

“Kau tengok, Halim. Inilah hasilnya bila kerja di Kuala Lumpur. Bukan macam kau. Duduk di kampung pakai motor buruk je!” Kata-kata yang pedih dilemparkan Buhari padanya. Namun dia tetap tenang dan sabar.

“Baguslah, Buhari. Aku pun tumpang gembira. Bila melihat kau pulang ke kampung dengan kereta besar,” dia menjawab.

“Itulah, kau. Aku ajak kau ke Kuala Lumpur kau tak nak. Agaknya kalau kau ikut aku entah-entah kereta kau lagi besar daripada kereta aku!” perlinya lagi.

“Dah rezeki aku di kampung ni. Rezeki kau di Kuala Lumpur …,” dia terhenti.

“Kau tahu tak, Halim. Aku dan Faizal kerja meniaga di Kuala Lumpur. Perniagaan kita orang besar. Setiap bulan banyak duit masuk,” Buhari memotong dengan angkuh.

Dia mengangkat kepala tinggi sedikit dan memandang muka Buhari.

“Kau dan Faizal meniaga apa di Kuala Lumpur tu?” dia bertanya.

“Hah, kalau kau nak tahu aku dan Faizal meniaga apa, besok kau ikut aku ke Kuala Lumpur. Nak?” dia menjawab dengan mengangguk-anggukkan kepala dan memandang Halim.

“Tak apalah, Halim. Aku doakan kau dan Faizal terus berjaya dalam perniagaan di Kuala Lumpur. Nanti kau sampaikan salam aku pada Faizal,” balasnya pula.

“Yalah!” Buhari mengangguk dengan pantas.

“Hah, mari aku belanja kau makan di warung Pak Yassin. Kau cakap. Nak makan apa aku belanja,” pelawanya.

“Terima kasih ajelah, Buhari. Lain kali ajelah. Aku minta diri dulu. Ada kerja nak buat,” dia menolak pelawaan Buhari itu dengan penuh sopan.

Sayup-sayup kedengaran bunyi pohon-pohon dan daun-daun ditiup angin kencang yang datang dari arah bukit-bukau yang memanjang dan berdiri megah.

“Besok Noni akan balik semula ke universiti. Lepas peperiksaan akhir semester nanti tamatlah pengajian Noni di universiti tu,” ujarnya pada Halim.

“Abang harap Noni belajarlah bersungguh-sungguh. Abang doakan moga Noni akan beroleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan universiti tu nanti,” sambut Halim pula sebaliknya.

“Insya-Allah, bang!” dia membalas.

“Abang tak nak belajar lagi?” soalnya lagi.

“Teringin jugak di hati abang nak belajar lagi. Tapi Noni faham ajelah keadaan abang ni. Mana ada duit nak belajar. Sebab itulah abang membuat keputusan tidak masuk ke universiti. Walaupun dapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan STPM,” dia menjelaskan pada Noni.

Selepas menunaikan solat Asar Halim dan ibunya menikmati minum petang di dapur. Juadah minum petang mereka berdua adalah air kopi ‘o’ dan ubi rebus.

“Lepas minum ni nanti saya nak ke sungai, mak. Nak cari ikan. Nak bawa ke pasar minggu besok,” dia berkata sambil menghirup perlahan-lahan air kopi ‘o’ dan ubi rebus yang masih lagi panas itu.

Asap nipis yang keluar daripada air kopi ‘o’ dan ubi rebus kelihatan teroleng-oleng naik ke atas dan kemudian lalu hilang. Begitu berselera sekali Halim dan ibunya menikmati juadah minum petang.

“Kalau ada sembilang nanti bolehlah dibuat gulai salai masak lemak cili api,” ucap ibunya pula.

“Insya-Allah, mak! Ada rezeki nanti dapatlah,” dia sebaliknya membalas.

Suara angin yang bertiup perlahan jelas kedengaran membelah suasana. Pokok-pokok ubi di belakang rumahnya bagai menari-nari apabila ditiup angin. Begitu juga dengan pelepah-pelepah nyiur di halaman rumahnya. Mengeluarkan bunyi suara yang sungguh gemersik apabila disapu angin. Sungguh mendamaikan jiwa apabila didengar.

“Mak dengar heboh satu kampung. Buhari anak Pak Nasir tu baru kerja di Kuala Lumpur dah pakai kereta besar.” Ibunya tiba-tiba menukar tajuk perbualan yang lain pula.

“Dah rezeki dia, mak. Dia tu sama sekolah dengan saya. Sejak dari sekolah rendah lagi. Sampailah ke sekolah menengah. Saya pun tumpang gembira. Bila lihat dia pulang ke kampung ni dengan kereta besar,” ulas Halim.

“Kau ada jumpa dia ke masa dia balik hari tu?” ibunya bertanya.

“Ada, mak!” angguknya.

“Apa kerja dia di Kuala Lumpur tu?” soal ibunya lagi.

“Berniaga dengan Faizal,” jawabnya.

“Faizal?” tanya ibunya pendek.

“Faizal anak Pak Ibrahim. Dia pun sama sekolah dengan saya,” balasnya.

“Meniaga apa dia orang berdua di Kuala Lumpur tu?” Tak henti-henti ibunya ingin mengetahui.

“Entahlah, mak. Buhari tak cakap pun meniaga apa dia dengan Faizal di Kuala Lumpur tu,” katanya sambil menghabiskan air kopi ‘o’.

“Baiklah, mak. Saya pergi dulu. Nanti lewat pulak balik.” Dia meminta izin daripada ibunya.

“Yalah! Hati-hati masa kat sungai tu,” pesan ibunya sewaktu dia melangkah keluar daripada rumah.

Tok Ketua dan Halim kelihatan melangkah keluar daripada masjid.

“Apa yang kau bawa besok ke pasar minggu?” Tok Ketua menyoal.

“Macam biasa, tok. Sayur kampung. Ikan sembilang jugak saya bawa besok,” jawabnya.

“Bila kau ke sungai?” tanya Tok Ketua lagi.

“Petang tadi, tok,” balasnya.

“Aku nak beli ikan sembilang tu. Nanti kau simpankan sikit untuk aku,” Tok Ketua berpesan padanya.

“Yalah, tok!” dia mengangguk.

Bulan dan bintang kelihatan bersinar indah di kaki langit hitam.

“Tadi masa di masjid jumpa dengan Tok Ketua. Dia nak beli ikan sembilang. Yang saya jala di sungai siang tadi,” dia memberitahu ibunya sebaik-baik sahaja sampai di rumah.

“Itu rezeki namanya, Halim. Belum jual dah ada orang nak beli,” ibunya bersuara.

Di luar bunyi cengkerik jelas kedengaran bersahut-sahutan. Memecah kesunyian malam. Bersama deruan angin yang bertiup perlahan. Rasa nyaman dan dingin jelas terasa. Menyelubungi suasana malam yang pekat.

“Mak dah mengantuk ni. Mak nak masuk tidur,” kata ibunya.

“Yalah, mak. Mak tidurlah. Saya belum rasa mengantuk,” dia membalas.

Ibunya lalu mengatur langkah masuk ke dalam bilik. Tinggal Halim seorang diri di ruang tamu rumah.

+=+=+=+

Tok Ketua dan isterinya begitu berselera sekali menikmati hidangan tengah hari.

“Memang rajin betul si Halim tu. Ikan sembilang ni abang beli daripada dia,” Tok Ketua berkata sambil menjamah gulai ikan sembilang sungai masak lemak cili api campur dengan rebung.

“Bila dia pergi ke sungai menjala, bang?” soal isterinya sambil mencedok kuah gulai ikan sembilang masak lemak cili api campur dengan rebung ke dalam nasi dan menggaulkannya.

“Petang semalam kata dia. Dalam sibuk dia berkebun pisang dan bercucuk tanam sayur kampung sempat juga dia turun ke sungai. Mencari rezeki,” dia menjawab.

“Orang rajin macam tulah, bang. Tak boleh duduk diam. Ada aje kerja yang nak dibuatnya,” isterinya membalas.

“Anak-anak muda di kampung ni sepatutnya mengikut apa yang dilakukan Halim tu. Yalah. Mungkin bagi mereka kampung ni tak ada apa yang boleh dibuat. Sedangkan macam-macam boleh dilakukan. Yang pentingnya rajin. Dapatlah hasilnya nanti,” ujarnya.

Cuaca kelihatan redup. Langit kelabu. Matahari tidak bersinar. Angin bertiup lemah bagaikan tidak bermaya. Tak lama kemudian hujan turun lebat mencurah-curah.

“Saya dah bersihkan separuh dusun buah-buahan kita tu, mak. Separuh lagi saya akan sambung besok. Tak lama lagi dapatlah kita makan buah durian, rambutan, manggis, langsat dan duku,” dia memberitahu ibunya.

“Nanti bagitau abang dan kakak kau. Suruh dia orang bawak anak-anak dia orang balik. Dapatlah dia orang makan buah,” sambut ibunya pula. Bila mendengar kata-katanya itu.

“Baiklah, mak! Nanti saya bagitau abang dan kakak,” balasnya.

Keesokan harinya gempar seluruh kampung. Faizal dan Buhari telah ditangkap polis. Kerana terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah. Berita penangkapan mereka berdua juga telah tersiar dalam televisyen dan suratkhabar.

Halim berasa amat bersyukur. Tidak terpengaruh dengan kegiatan yang mereka berdua lakukan itu.

Dia memandang ke seluruh kawasan dusun buah-buahan peninggalan arwah ayahnya itu. Dalam hatinya berbisik. Di sini kucurahkan keringat dan bakti selamanya.

Setelah penatnya hilang dia menyambung semula membersihkan dusun buah-buahan.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *