Mengenai Perjuangan Dalam Hidup Ini

Titian

Titian ( Moteoo )

Hidup ini adalah satu perjuangan.
Dalam perjuangan sudah pasti ada yang menang
dan sudah pasti ada yang kalah.

Itu sudah menjadi lumrah dalam dunia yang bernama perjuangan. Kalau ditanya yang mana satu menjadi pilihan kita. Sudah tentu jawabnya adalah kemenangan kerana kita tidak mahu menempuh kegagalan.

Setiap kali bangun daripada tidur pada waktu pagi pernahkah kita bertanya pada diri kita sendiri. Apakah yang akan kita lakukan sepanjang yang dilalui pada hari ini? Apakah semalam yang kita lalui adalah yang paling tebaik dan menjadikan kita berasa sudah berjaya dalam hidup ini.

Sebenarnya perjuangan dalam kehidupan kita tidak akan terhenti. Selagi kita masih lagi dapat bernafas. Dapat melihat sinaran matahari yang terik di siang hari dan dapat melihat sang rembulan yang cantik dan indah berseri di malam hari.

Hakikatnya selagi mata kita masih terbuka dan dapat melihat keindahan alam ciptaan Tuhan ini maka selagi itulah kita akan terus berjuang. Harus kita ingat bahawa kehidupan kita tidak akan lengkap dan sempurna tanpa mengharungi perjuangan.

Kerana itu sudah menjadi ketentuan dalam kehidupan yang kita lalui sebagai seorang yang bernama manusia di dunia ini. Harus kita ingat bahawa tanpa perjuangan kita seolah-olah tidak mempunyai tujuan dan matlamat dalam kehidupan kita.

Dalam perjuangan pelbagai pahit getir dan rintangan yang terpaksa kita hadapi. Begitu juga dengan rasa suka duka mahupun manis dan pahit. Kita berasa gembira apabila kita berjaya dan tercapai cita-cita sepertimana yang kita inginkan dalam hidup ini. Kita berasa duka apabila mengalami kegagalan dalam hidup ini dan kecewa apabila apa yang kita hajati tidak dapat dipenuhi.

Kalau kita sentiasa gigih dan berusaha keras maka sudah pasti kejayaan akan berada dalam genggaman. Tiada yang mudah untuk kita perolehi dan capai dalam hidup ini. Melainkan hanya dengan kerja keras bersama-sama dengan semangat yang membara. Itulah yang menjadi kunci utama untuk kita menuju ke puncak kejayaan.

Tapi kalau kita malas berusaha dan mengharapkan kejayaan datang menggolek maka kita tidak akan pergi ke mana selama-lamanya. Orang lain dah berganjak ke tempat baru. Sedangkan kita masih lagi duduk di tempat yang lama.

Apabila sudah berjaya dalam kehidupan hasil daripada perjuangan selama ini maka usahlah mudah lupa diri. Bak kata pepatah tak ubah seperti kacang yang lupakan kulit. Ingatlah susah payah dan derita air mata yang kita tangisi sebelum kita berjaya dalam hidup ini.

Usahlah mendabik dada. Dengan menganggap diri hebat. Kerana berjaya mencipta kejayaan dalam hidup ini. Sebaliknya jadilah seperti padi yang makin tunduk makin berisi. Walaupun dilimpahi dengan pujian orang lain di atas kejayaan yang telah kita perolehi itu.

Teringat kata-kata yang menyebutkan bahawa apabila memandang langit yang tinggi rumput di bawah jangan dilupakan. Biarpun sudah berada di puncak kejayaan namun ringankanlah tangan untuk membantu mereka yang mengalami kegagalan dalam perjuangan hidup ini.

Sekurang-kurangnya tiupkanlah semangat dan berkongsi rahsia kejayaan kita bersama-sama dengan mereka. Semoga menjadi contoh dan teladan yang terbaik buat mereka untuk mengikuti jejak langkah kita. Dalam erti kata lain usahlah kita kedekut mahupun lokek dengan ilmu yang kita ada untuk membina kejayaan dalam kehidupan ini.

Kongsilah kejayaan yang kita perolehi bersama-sama dengan orang lain. Barulah terasa kasih dan sayang sesama insan mahupun saudara. Selalulah bersikap terbuka mendengar pandangan dan nasihat mereka. Mengenai kejayaan yang telah kita capai melalui perjuangan selama ini. Mungkin ada cara yang kita gunakan adalah mengikut sebagaimana yang dituntut oleh agama. Tidak kurang juga ada cara yang kita gunakan adalah menyimpang daripada ajaran agama.

Kita harus berlapang dada. Sebagai manusia kita tidak dapat lari daripada melakukan salah dan silap. Disebabkan kita terlalu asyik dan ghairah memburu kejayaan maka adaketikanya kita terlupa yang mana satu halal dan yang mana satu haram.

Berjuanglah untuk memburu kejayaan dalam hidup melalui cara yang penuh dengan keberkatan dan diredhai Allah SWT. Sudah pasti kita akan mendapat berkat dan mendakap nikmat yang melimpah-ruah hasil daripada perjuangan kita itu. Kerana perkara yang baik yang kita lakukan maka yang baik juga yang akan datang dalam hidup ini. Lebih-lebih lagi dalam perjuangan yang kita tempuhi selama Tuhan mengizinkan kita untuk terus menghirup udara yang nyaman dan segar di alam fana ini.

Bersyukurlah sentiasa dengan nikmat kejayaan yang mewarnai kehidupan kita. Sentiasa bersyukur maka Allah SWT akan menambahkan lagi nikmat kejayaan buat kita. Sayugia harus kita ingat bahawa perjuangan tidak boleh terhenti. Walaupun sinar kejayaan telah berjaya kita gapai.

Banyak lagi perjuangan yang menanti kita. Janganlah mudah berpuas hati dengan kejayaan yang telah kita capai buat pertama kalinya. Bukan perjuangan dalam hidup namanya kalau kita berhenti apabila sudah berada di puncak yang tinggi. Sedangkan banyak lagi puncak yang perlu kita daki.

Oleh yang demikian dengan kudrat dan tenaga yang ada kurniaan Tuhan maka kita teruskanlah perjuangan. Biarpun terpaksa berpanas dan berhujan. Mahupun terpaksa menelan hempedu yang pahit. Atau terpaksa memijak batu-batu kerikil yang tajam dan melukakan. Janganlah jadikan beban dan kesakitan yang ditanggung sebagai halangan untuk kita tidak meneruskan perjuangan dalam kehidupan ini.

Sekali mengalami kegagalan dalam perjuangan hidup ini bukannya bererti kita akan mengalami kegagalan buat selama-lamanya. Dalam erti kata lain maka setakat di sini sahajalah perjuangan kita. Kerana tewas dan tersungkur dalam perjuangan. Namun berpeganglah pada kata-kata bahawa apabila jatuh maka segeralah bangkit dan menjadi pemenang.

Ingatlah bahawa kegagalan bukan pengakhiran dalam kehidupan ini. Malah jadikanlah kegagalan sebagai pembina kekuatan untuk mencetus kejayaan yang cemerlang dalam hidup ini. Setiap yang pahit ditelan pasti akan dapat dirasai kemanisannya apabila kita berjaya menawan puncak kejayaan yang umpama gunung yang tinggi.

Sudah menjadi asam garam dalam kehidupan yang kita lalui selama masih lagi diberikan peluang dan kesempatan untuk terus hidup di atas muka bumi ini. Apa yang dimaksudkan adalah sebagai manusia kita tidak dapat lari malah mengelakkan diri daripada yang bernama dugaan dan cabaran.

Sememangnya kita tidak dapat lari atau menyembunyikan diri daripada berhadapan dengan cabaran dan dugaan yang datang dalam hidup kita. Sama ada suka atau tidak mahupun rela atau terpaksa malah mahu atau tidak kita terpaksa menelan dugaan dan cabaran yang penuh dengan keperitan dan dianggap sebagai amat menyeksakan.

Namun begitu anggaplah semua itu sebagai ujian daripada Allah SWT. Supaya kita menjadi lebih tabah dan kuat dalam perjuangan. Bukannya mudah mengalah mahupun berputus asa. Bersangka baiklah terhadap sesuatu yang datang itu walaupun amat menyakitkan. Kerana di sebalik semua yang berlaku itu sebenarnya ada hikmah yang indah buat kita.

Mungkin Allah SWT hendak memberikan yang terbaik dan kejayaan yang lebih gilang-gemilang buat kita. Jadikanlah sabar sebagai senjata yang utama untuk menghadapinya bersama-sama dengan doa agar diberikan kekuatan dan semangat untuk menghadapinya.

Dalam perjuangan binalah semangat dalam diri bahawa apabila mara ke depan dan teruslah mara ke depan. Bukannya memilih jalan untuk berundur ke belakang. Apabila terpaksa berhadapan dengan halangan dan memikul seketul batu yang besar lagi berat.

Dengan memilih jalan untuk terus mara ke depan walaupun dalam apa jua keadaan sekalipun pasti kejayaan akan terus menyinari perjuangan kita. Yakin dan berpeganglah pada kata-kata bahawa kalau orang lain boleh terus ke hadapan biarpun yang menanti adalah duri-duri yang menyakitkan apatah kita yang juga bernama manusia sama seperti mereka pasti akan boleh melakukannya demi untuk menggapai kejayaan dan kecemerlangan dalam hidup ini.

Dalam kita menghabiskan masa dan tenaga dengan perjuangan jangan kita lupa untuk mengerjakan segala yang telah diperintahkan oleh Allah SWT. Harus kita bersama-sama bahawa itu jugalah adalah antara perjuangan yang utama dalam kehidupan kita di atas dunia ini.

Binalah keseimbangan antara perjuangan di dunia dan di akhirat. Perjuangan kita akan menjadi lebih indah dan cantik apabila kita dapat mengimbangi kedua-duanya. Tiada maknanya kalau kita lebih menumpukan kepada perjuangan di dunia sehingga menjadi berat sebelah.

Sedangkan perjuangan di akhirat kita abaikan. Marilah kita bersama-sama membina di dalam diri insan yang sentiasa mengimbangkan antara perjuangan keduniaan dan akhirat. Supaya mendapat kesejahteraan hidup yang berkekalan buat selama-lamanya dan bekalan apabila kita melangkah ke alam akhirat nanti.

Demikianlah sedikit sebanyak yang ingin aku kongsikan bersama-sama mengenai perjuangan dalam hidup ini. Semoga kita akan mengisi kehidupan kita dengan perjuangan yang banyak membawa kepada manfaat dan faedah dalam kehidupan kita seharian.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *