Jauh Berjalan Luas Pandangan

Kacamata

Kacamata ( Nikhiel )

Seperti kata pepatah jauh berjalan luas pandangan.
Sesekali kita perlu menjejakkan kaki di negara asing. Sambil berjalan banyak manfaat dan faedah yang akan kita perolehi. Terutamanya apabila dapat melihat suasana dan keadaan di negara yang kita lawati.

Seperkara yang menarik apabila kaki kita melangkah ke negara asing kita dapat melihat adat dan budaya yang diamalkan oleh mereka. Bak kata orang lain padang lain belalang. Mungkin tak sama dan berbeza dengan adat dan budaya yang kita amalkan.

Namun ia menjadi ilmu pengetahuan yang amat berguna kepada kita. Kerana kita dapat melihat dengan sendiri adat dan budaya yang menjadi amalan mereka. Semenjak daripada zaman datuk nenek moyang mereka lagi. Dalam pada itu kita dapat melihat tempat yang bersejarah dan menarik di negara yang kita kunjungi.

Tempat yang bersejarah dan menarik di negara yang kita lawati itu mungkin menjadi daya tarikan utama pelancong. Tak kiralah sama ada muzium, bangunan lama, kota, masjid, pantai peranginan dan lain-lain lagi. Daripada situ kita dapat belajar dan ilham bagaimana hendak memajukan produk pelancongan di negara pula.

Sememangnya kita belajar sesuatu apabila bertandang ke negara yang asing buat kita. Oleh kerana kita pertama kalinya datang ke negara yang tak pernah kita lawati seumur hidup maka jadilah kita terpinga-pinga atau tak ubah seperti rusa yang masuk kampung.

Namun sebenarnya itulah pengalaman yang paling berharga dalam kehidupan kita. Orang lain tidak mendapat pengalaman sepertimana yang kita miliki. Tetapi kita amat bertuah umpama mendapat permata yang amat bernilai.

Tak kiralah sama ada lama atau sekejap kita berada di negara yang kita kunjungi namun ia dianggap sebagai sesuatu yang amat berguna. Ini kerana pengalaman tidak boleh kita beli dengan wang ringgit. Sebaliknya kita sendiri yang perlu mencarinya.

Apabila tiba di sebuah negara yang asing buat kita maka sudah tentu kita memerlukan hotel sebagai tempat penginapan. Ini memberikan peluang kepada kita untuk menilai taraf hotel yang menjadi tempat penginapan sepanjang kita berada di negara tersebut.

Sama ada memberikan penilaian taraf 5 bintang atau sebaliknya bergantung kepada keselesaan dan perkhidmatan yang diberikan oleh hotel yang kita sewa. Kemudian kita boleh membuat persamaan dan perbezaan dengan hotel yang terdapat di negara kita.

Selain daripada itu, kita juga memerlukan khidmat pemandu pelancong untuk membawa kita ke tempat untuk dilawati. Ini memberikan peluang kepada kita untuk menilai kemesraan dan pengetahuan yang mereka miliki berkenaan tempat yang menarik di negara tersebut.

Sememangnya pemandu pelancong perlu mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi di samping dapat menguasai bahasa antarabangsa iaitu English dengan baik. Untuk memudahkan mereka berkomunikasi dengan pelancong asing.

Kita juga dapat menilai tentang pengangkutan yang membawa kita ke setiap destinasi yang kita lawati. Terutamanya cara pemanduan yang selamat. Satu lagi peluang untuk kita membuat persamaan dan perbezaan dengan pengangkutan yang membawa pelancong di negara kita.

Berkunjung ke negara lain juga memberi peluang kepada kita untuk merasa makanan yang tidak terdapat di negara kita. Mungkin makanan yang kita rasa itu adalah yang paling sedap yang pernah kita rasa seumur hidup kita. Tambahan pula ia tidak terdapat di negara kita.

Namun dalam pada itu kita harus ingat. Bahawa sebagai seorang Islam sepertimana yang telah diajarkan dalam agama kita harus memakan makanan yang halal dan bersih walau di mana juga kita berada. Begitu juga dengan solat. Tak boleh kita tinggalkan walaupun berada di luar negara.

Mengenai solat sebagaimana yang dituntut dalam agama berjemaahlah di masjid. Lebih-lebih kalau negara itu agama rasminya adalah agama Islam sama seperti negara kita. Dengan berjemaah di masjid bukan sahaja dapat meningkatkan pahala malahan juga kita dapat melihat berapa ramai jemaah yang datang ke masjid yang terdapat di negara tersebut. Pada setiapkali masuknya waktu solat.

Kita juga akan mengalami perubahan masa dan suasana. Itu sudah menjadi kebiasaan. Kerana masa dan suasana di negara yang lain tak sama dengan negara kita. Ada negara yang masanya cepat atau lewat sejam. Tidak kurang juga ada negara yang siangnya pendek. Berbanding dengan malamnya yang pendek.

Sudah tentu ini akan menjadi satu kejutan kepada kita. Terutamanya waktu tidur dan waktu bangun pagi. Namun jadikanlah ia sebagai pengalaman yang amat berharga. Sekurang-kurangnya kita tahu bahawa peredaran bumi ini tidak sama. Dalam erti kata lain semua ini adalah ciptaan Tuhan.

Kesesakan lalu-lintas memang berlaku di mana-mana negara di dunia ini. Ini disebabkan berlakunya pertambahan bilangan penduduk dan kenderaan. Sekali lagi kita dapat membuat persamaan dan perbezaan antara negara kita dengan negara yang kita kunjungi.

Dalam sesebuah negara yang pesat dengan pembangunan kemudahan insfrastruktur menjadi keutamaan kepada rakyat. Cuba kita lihat kemudahan insfrastruktur yang terdapat di negara yang kita kunjungi. Apakah mempunyai persamaan atau sebaliknya dengan negara yang kita cintai.

Kebersihan adalah faktor utama yang menjadi buah mulut di kalangan pelancong. Apabila mendapat peluang datang ke sesebuah negara yang menjadi peta pelancongan dunia. Kita tidak perlu mengambil kira sama ada negara itu besar mahupun kecil. Tetapi yang paling utama adalah persekitaran yang bersih dan udara yang segar.

Sememangnya banyak yang boleh kita perkatakan mengenai pengalaman berkunjung ke sebuah negara yang asing dan baru buat kita. Sekalipun negara itu terletak di hujung dunia pengalaman yang kita miliki semasa berada di sesebuah negara itu tetap dianggap satu dalam seribu dan payah untuk kita ketemui dalam hidup ini.

Seperkara lagi yang kita perlu ingat dan penting bahawa apabila kita tidak keluar dan melapangkan masa melawat ke negara lain maka pemikiran kita tidak bercambah dan ilmu pengetahuan kita amat terbatas. Maksud di sini ialah kita hanya bergantung kepada media massa seperti televisyen dan akhbar untuk mengetahui perkembangan semasa yang berlaku di negara lain.

Sedangkan apabila kita menjejakkan kaki ke negara lain kita dapat melihat dengan mata sendiri akan perkembangan semasa yang berlaku di negara yang kita kunjungi itu. Ini dianggap sebagai satu ilmu pengetahuan dan amat bermanfaat sekali kepada kita.

Budaya kerja yang diamalkan oleh sesebuah negara itu bukan sahaja membawa kepada kejayaan dan kemajuan malahan juga imej. Sudah tentu ini adalah peluang yang amat baik yang tidak harus dilepaskan dengan begitu sahaja. Apabila berkesempatan melawat ke negara lain kita dapat melihat bagaimana budaya kerja yang diamalkan di negara tersebut dan adakah ia memiliki ciri-ciri persamaan mahupun perbezaan dengan budaya kerja yang dimiliki oleh negara kita.

Pendidikan amat penting dalam membina keperibadian dan melahirkan insan yang berguna pada agama, bangsa dan negara. Mari kita lihat sistem pendidikan yang diamalkan di negara lain. Dalam pada itu kajilah dari segi persamaan dan perbezaan. Sama ada negara tersebut mencorakkan sistem pendidikan yang terbaik seperti di negara kita.

Dengan melancong kita sebenarnya dapat melapangkan minda. Setelah penat bekerja keras. Sebab itulah kita digalakkan untuk mengambil cuti dan melancong ke luar negara jika berkemampuan. Dengan melihat telatah dan ragam orang di negara yang kita lawati hati kita akan menjadi gembira dan terhibur.

Mungkin telatah dan ragam mereka tidak pernah kita lihat selama ini. Kerana berlainan bangsa dan agama yang menjadi jurang pemisah antara kita dengan mereka. Namun ambillah itu sebagai satu keseronokan dan untuk menghilangkan beban tugas dan tanggungjawab yang kita tanggung. Apabila pulang semula ke tanah air dengan rasa seronok dan gembira maka kita akan berasa segar dan bersemangat untuk meneruskan tugas yang telah diamanahkan.

Itulah antara kelebihan dan keistimewaan apabila kita pergi melancong. Sambil berehat dan menenangkan fikiran kita beroleh keseronokan dan kegembiraan. Jadi, kepada mereka yang tidak pernah mengambil cuti yang panjang maka bercutilah dan pergilah melancong bersama-sama dengan keluarga.

Inilah peluang yang terbaik untuk kita merapatkan lagi hubungan kekeluargaan dan kasih sayang. Walaupun di negara orang. Kerana apa yang tidak kita temui malahan ketahui ada di negara yang kita lawati bersama-sama dengan keluarga yang tersayang.

Bak kata orang berkasih biar satu tapi dalam berkawan biar beribu di sekeliling. Mungkin dengan melancong kita akan mendapat kawan baru dan mengeratkan lagi hubungan silaturrahim andainya negara yang kita kunjungi semasa percutian majoriti penduduknya adalah beragama Islam.

Sesungguhnya Allah SWT menjadikan bumi ini bukan sahaja bulat malahan juga luas. Ia bukan sahaja untuk kita mencari rezeki tetapi untuk mengembara mencari sesuatu yang baru dan amat bermakna. Oleh itu bila ada kelapangan terutamanya pada hujung tahun maka bercutilah dan lawatilah negara yang menjadi pilihan untuk menimba pengalaman dan pengetahuan.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *