Rezeki Di Mana-Mana
Rezeki tak akan datang
bergolek kalau kita tidak mencarinya sendiri.
Ada orang rezekinya melimpah-ruah macam air sungai yang mengalir.
Tak kurang juga yang mendapat rezeki yang tak seberapa.
Dalam erti kata lain rezeki ditentukan oleh Allah SWT.
Selain daripada memperhambakan diri kepada Allah dengan beribadah kita juga perlu mencari rezeki untuk menampung kehidupan. Sebab itu tak hairanlah ada di kalangan kita yang terpaksa bekerja keras siang dan malam untuk mencari rezeki.
Sebut pasal rezeki ni ada di mana-mana sahaja. Ini kerana Allah SWT menjadikan bumi ini luas untuk kita mencari rezeki. Macam-macam yang boleh kita buat untuk mendapatkan rezeki. Asalkan dengan cara yang halal dan tidak bertentangan dengan ajaran agama.
Rezeki yang halal akan menjadikan hidup kita penuh dengan berkat. Bukan sahaja pada diri kita sendiri malahan juga pada isteri dan anak-anak. Tapi kalau kita mencari rezeki dengan cara yang haram maka hidup kita menjadi tidak menentu dan ada sahaja masalah yang terpaksa kita hadapi.
Setiap pagi apabila kita melangkah keluar daripada rumah dan menuju ke pejabat pernah tak kita bertanya pada diri. Apakah sebenarnya tujuan kita pergi ke pejabat? Jawapannya adalah untuk bekerja dan mencari rezeki yang halal.
Hujung bulan kita pun dibayar dengan gaji. Sebagai ganjaran dan habuan hasil daripada kerja yang kita lakukan pada setiap hari. Itu juga adalah rezeki untuk kita. Di samping dapat menyara perbelanjaan bulanan seperti bayaran ansuran kereta, rumah, bil elektrik dan air, barang keperluan dapur, belanja sekolah anak-anak dan sebagainya.
Dapat naik pangkat juga adalah rezeki. Ada yang cepat naik pangkat dan ada yang lambat naik pangkat. Semua ini adalah ketentuan Allah SWT. Kalau kawan sekerja kita dapat naik pangkat kita janganlah menaruh perasaan cemburu dan irihati padanya.
Sebab itu adalah rezeki dia. Mungkin ada sebab kita tak dapat naik pangkat. Sebab itu adalah rahsia Allah SWT yang tidak kita ketahui. Boleh jadi kita akan mendapat rezeki yang lain dan lebih baik. Jadi bersangka baiklah terhadap sesuatu yang diberikan kepada kita itu.
Kalau tempat kerja kita jauh terimalah dengan berlapang dada dan anggap itulah rezeki yang dikurniakan oleh Allah kepada kita. Daripada tidak bekerja langsung dan tidak ada rezeki untuk kita. Oleh itu janganlah kita merungut dan memberontak sebab terpaksa setiap hari berulang-alik dan menempuh perjalanan yang jauh daripada rumah ke tempat kerja kita.
Mungkin ada di antara kita yang banyak kali menghadiri temu duga tetapi masih lagi gagal untuk mendapat kerja. Itu namanya rezeki masih lagi belum sampai. Jangan berputus asa dan teruslah berikhtiar. Insya Allah. Ada rezeki nanti pasti dapat. Berdoalah. Sebagai senjata yang paling mustajab.
Kalau berniaga rezeki datang daripada pelanggan. Tak kiralah apa yang diniagakan. Berniaga adatnya kadangkala untung dan kadangkala rugi. Dapat untung yang banyak itulah namanya rezeki. Jika rugi banyakkanlah bersabar. Kerana dalam dunia perniagaan tidak dapat lari daripada menempuhi cabaran.
Mencari rezeki umpama memancing ikan. Adaketikanya dapat ikan yang besar dan adaketikanya tidak dapat ikan langsung. Bayangkanlah kalau dapat ikan yang besar. Begitulah diperumpamakan dalam kita mendapat rezeki.
Pemandu teksi rezekinya datang daripada penumpang. Kalau ramai penumpang banyaklah rezeki yang mereka dapat. Tapi kalau tak ada penumpang tak adalah nampaknya rezeki mereka. Ragam dan karenah pelanggan juga terpaksa mereka hadapi. Namun demi mencari rezeki untuk keluarga mereka mahu atau tidak harus diterima juga sebagai asam garam dalam kerjaya sebagai seorang pemandu teksi.
Apabila harga getah naik rezeki penoreh getah akan berlipat ganda. Tapi bila harga getah turun dan musim hujan menjadi ujian kepada penoreh getah. Bagaimana hendak menyara kehidupan keluarga apabila harga getah tidak melambung naik dan tidak dapat menoreh ketika musim hujan berterusan.
Sebab itulah perlunya melakukan kerja sampingan untuk menambahkan rezeki. Misalnya dengan bercucuk tanam sayur kampung seperti ubi kayu, keledek, serai, pisang, cili api dan lain-lain lagi. Hasil tanaman ini selain daripada dapat dimakan dapat juga dijual sebagai rezeki tambahan untuk menyara kehidupan keluarga apabila harga getah menurun atau tidak dapat pergi menoreh ketika musim hujan.
Bagi nelayan rezeki adalah di laut. Daripada hasil ikan yang ditangkap menjadi rezeki untuk menyara kehidupan keluarga. Mereka juga menghadapi cabaran dalam mencari rezeki di laut. Terpaksa menyambung nyawa melawan ombak dan gelombang ganas.
Bukan setakat itu sahaja. Apabila tiba musim tengkujuh mereka tidak dapat turun ke laut. Bila tak dapat turun ke laut alamatnya tak berasaplah dapur di rumah. Bayangkanlah kalau kita mengalami nasib sama seperti mereka.
Namun semua itu harus diterima dengan hati yang penuh tabah dan cekal. Dah rezeki mereka di laut. Berbanding dengan rezeki kita di darat. Apa pun sama ada di darat atau di laut rezeki dikurniakan oleh Allah SWT. Cuma dibezakan dengan tempat dan cara kita mencarinya.
Jadi kaya dengan tiba-tiba rezeki jugak. Daripada hidup susah bertukar menjadi senang. Rumah yang buruk bertukar menjadi rumah yang mewah dengan sekelip mata. Demikianlah besarnya kuasa Allah SWT. Mampu mengubah dengan segala-galanya dan kita tidak terfikir yang semua itu boleh berlaku tanpa diduga.
Kita ingatkan akan selama-lamanya hidup dalam kemiskinan dan kesusahan. Namun rezeki di tangan Allah SWT. Kita lalu diberikan hidup dengan kesenangan dan kemewahan. Dalam pada itu jangan sesekali kita lupa bahawa rezeki yang kita dapat itu bila-bila masa Allah SWT boleh menariknya semula.
Sebab itu kita jangan lupa daratan apabila hidup ditimbuni dengan wang dan harta yang banyak. Jangan bersikap sombong dan bongkak kerana kita berasakan bahawa kita adalah yang paling berkuasa. Apabila kita boleh membeli segala-galanya dengan wang dan harta yang kita ada.
Kita juga janganlah bersikap tamak. Tidak merasa puas dengan kemewahan dan kesenangan hidup yang kita ada selama ini. Sentiasa mencari jalan untuk memenuhi tuntutan nafsu kekayaan. Sehingga tanggungjawab kita sebagai manusia yang hidup di atas dunia ini kita abaikan.
Sebaliknya kongsilah rezeki yang Allah SWT kurniakan kepada kita bersama-sama dengan orang lain. Lebih-lebih lagi dengan mereka yang tidak berkemampuan dan memerlukan pertolongan untuk meneruskan kehidupan.
Mereka juga mahu menikmati kesenangan dan kesempurnaan hidup yang sama seperti kita. Janganlah hendaknya kita memandang hina dan mengabaikan mereka yang tidak bernasib baik. Hulurkanlah bantuan dan ringankanlah tangan dengan bersedekah untuk mereka yang tidak berkeupayaan.
Kongsilah rezeki yang kita dapat bersama-sama dengan mereka. Janganlah merasa takut dan rugi kerana terlalu banyak bersedekah. Banyak kelebihan dan manfaat yang akan kita perolehi apabila banyak bersedekah. Selain daripada menjadi saham kita di akhirat dengan bersedekah juga akan mendatangkan rezeki yang murah kepada kita. Itulah janji Allah SWT.
Mendapat kenaikan gaji juga adalah rezeki kita dalam bekerja. Tentu kita akan berasa gembira dan dalam kita bergembira sama-samalah kita kongsi rezeki yang Allah SWT berikan kepada kita dengan belanja makan kawan-kawan sekerja kita. Mungkin dengan berkat doa daripada mereka maka kita dapat menikmati kenaikan gaji.
Sudah ditentukan oleh Allah SWT kita terpilih untuk mendapat kenaikan gaji. Berbanding dengan rakan-rakan kita yang lain. Dalam pada itu janganlah hendaknya kita boros berbelanja. Apabila berasakan sudah mempunyai banyak duit. Sedangkan duit juga perlu disimpan untuk kegunaan pada masa hadapan.
Janganlah hendaknya kita menutup rezeki orang lain. Itulah adalah satu penganiayaan. Ingatlah orang yang kita tutup pintu rezeki itu mempunyai keluarga untuk ditanggung. Sama macam kita juga. Agama melarang kita melakukan sedemikian rupa. Apa rasanya kalau rezeki kita ditutup oleh orang lain. Rezeki yang ada kita rasai dan kongsi bersama-sama dengan orang lain yang turut mahukan hidup serupa seperti kita.
Ada yang setiap hari terpaksa melakukan kerja berat demi untuk mendapatkan rezeki. Mereka yang dimaksudkan tidak lain tidak bukan adalah buruh binaan. Tanpa mengerah kudrat tulang empat kerat mereka tidak akan dapat menanggung keluarga. Tambahan pula kalau mempunyai anak yang ramai dan masih bersekolah lagi.
Rezeki mereka bergantung semata-mata kepada kerja-kerja pembinaan. Bayangkanlah kalau dengan tiba-tiba sahaja mereka diberhentikan kerja. Apa yang akan terjadi pada nasib isteri dan anak-anak mereka. Apabila sumber pendapatan mereka yang selama ini bergantung harap pada kerja-kerja membina rumah dan bangunan hilang dengan tiba-tiba. Berbanding dengan kita yang bekerja dalam bilik yang berhawa dingin dan tidak berpanas terik yang sentiasa mendapat gaji pada setiap bulan. Tanpa mengira sama ada mempunyai kerja atau tidak gaji kita tetap akan dibayar apabila tiba waktunya.
Ketika kita sedang lena dan diulit mimpi indah di malam hari ada yang terpaksa mencari rezeki dengan berjaga dan bersengkang mata demi untuk menjaga keselamatan. Inilah tugas dan tanggungjawab yang dipikul oleh mereka yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.
Sesungguhnya rezeki tidak dapat dipisahkan dan amat rapat dengan kita selagi mata masih lagi terbuka dan dapat bernafas di atas dunia ini. Rezeki juga boleh diibaratkan seperti nyawa dalam kita untuk terus hidup dan menikmati keselesaan. Carilah rezeki dengan sebanyak yang boleh dan termampu asalkan diredhai oleh Allah SWT. Terimalah dengan rasa penuh kesyukuran rezeki yang telah dikurniakan kepada kita.
~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~