Melawat Gua Pelangi Dengan Takut Kena Tampar
Kisah yang ingin aku ceritakan pada kali ini adalah mengenai pengalaman melawat Gua Pelangi bersama-sama dengan rakan-rakan sekerjaku dari Lembaga Muzium Negeri Sembilan.
Sebenarnya aku terpanggil untuk menulis kisah ini setelah diminta oleh Syahril kakitangan Lembaga Muzium Negeri Sembilan yang berkhidmat di Unit Adat Perpatih di mana aku yang menjadi ketuanya.
Dia juga turut serta dalam lawatan ini bersama-sama dengan aku dan rakan-rakan yang lain.
Mungkin kerana berasa terlalu seronok dan teruja sangat maka dia beria-ia meminta aku untuk menulis kisah ini dan seterusnya dijadikan sebagai perkongsian pengalaman.
“Encik Asrul tulislah cerita kita pergi melawat Gua Pelangi,” katanya padaku.
“Nanti bila ada kelapangan saya tulis,” aku membalas.
Disebabkan kekangan tugas dan tiada kelapangan masa maka aku tidak dapat memenuhi permintaannya itu.
Namun akhirnya aku dapat juga menunaikan permintaannya itu apabila dapat menulis kisah ini.
Tapak Prasejarah
Gua Pelangi terletak dalam Hutan Simpan Pasoh 4, Simpang Pertang, Jelebu.
Tujuan sebenar kami mengadakan lawatan kerja ke gua ini adalah bersempena dengan persiapan penganjuran Seminar Arkeologi Negeri Sembilan yang akan diadakan pada 19 Oktober 2017 di Dewan Pendeta Za’ba, Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir, Jempol.
Seminar yang diadakan dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara ini adalah bertujuan untuk mengenalpasti kekuatan Gua Pelangi sebagai tapak prasejarah di negeri ini dan seterusnya diangkat sebagai Warisan.
Sebelum ini pasukan dari Universiti Sains Malaysia yang diketuai oleh Y.Bhg Profesor Dato’ Dr. Mokhtar telah menjalankan kerja-kerja ekskavasi untuk mendapatkan maklumat dan fakta yang kukuh bagi tujuan tersebut.
Aku tak pernah menjejakkan kaki ke Gua Pelangi. Begitu juga dengan rakan-rakanku yang lain. Hanya mendengar cerita sahaja tentang gua ini daripada Nazim, Ketua Unit Monumen dan Tapak Tanah Bersejarah. Jadi, sebagai orang yang tak pernah pergi ke gua tersebut maka aku tertanya-tanya macam mana keadaan dan rupa tempat yang bersejarah ini.
Maka hari yang ditunggu-tunggu pun tiba. Aku dan rakan-rakan yang menyertai lawatan lalu bergerak menuju ke Pasoh 4. Ada yang menaiki kenderaan jabatan dan ada yang menaiki kenderaan sendiri.
Aku memandu kereta sendiri dengan penumpangnya Nazim dan Amir, Penolong Jurutera yang baru berkhidmat di Lembaga Muzium Negeri Sembilan. Memandangkan lawatan ke gua maka kami semua pun berpakaian sukan.
Seperti yang telah ditetapkan maka kami semua pun berkumpul di Balai Raya Pasoh 4.
Sebelum melawat gua kami mengadakan mesyuarat urusetia yang dipengerusikan oleh Encik Aziz, Pemangku Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan bersama dengan Pengerusi JKKK dan pihak yang terlibat bersama-sama dengan Lembaga Muzium Negeri Sembilan dalam penganjuran seminar ini.
Memandangkan hari Jumaat maka mesyuarat diringkaskan dan sebelum bergerak ke gua kami menikmati minum pagi yang disediakan oleh tuan rumah.
Pacuan Empat Roda
Selepas minum pagi kami pun bergerak ke Gua Pelangi. Ada yang menaiki kenderaan jabatan dan ada yang menaiki kenderaan pacuan empat roda. Aku menaiki kenderaan pacuan empat roda bersama-sama dengan Encik Aziz, Nazim, Amir dan beberapa orang rakan yang lain.
Turut bersama-sama menaiki kenderaan pacuan empat roda ialah Puan Azlini yang menjadi jurupandu. Dia memberitahu yang kami semua terpaksa mengikut jalan yang mengambil masa agak lama untuk sampai ke Gua Pelangi.
Ini kerana jalan biasa yang memakan masa singkat untuk sampai ke Gua Pelangi becak dan ditakungi dengan air dan dikhuatiri nanti kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki akan terbenam.
Jadi, kami semua tak kisah terpaksa melalui jalan yang panjang untuk sampai ke gua tersebut. Yang penting kami dapat sampai ke gua yang bersejarah itu dan tidak sabar-sabar untuk melihatnya dengan mata sendiri.
Sepanjang perjalanan Puan Azlini rancak berbual-bual dengan kami. Ternyata dia seorang yang mudah mesra dan ramah.
“Hati-hati. Jangan muka kena tampar dengan pelepah sawit,” ingatnya sambil tersenyum.
Memang benar kata Puan Azlini. Sepanjang perjalanan kami terpaksa menempuh kelapa sawit dan jalan yang bengkang-bengkok. Ternyata pemandu yang memandu kenderaan pacuan yang kami naiki amat cekap.
Mungkin dia dah biasa dan hari-hari melalui jalan ini. Sekali-sekala terasa melambung-lambung jugak tapi kami tetap merasa amat gembira dan seronok dengan pengalaman baru yang dialami.
Kenderaan pacuan empat roda yang kami naiki bergerak perlahan. Bukan kerana keadaan jalan yang berbengkang-bengkok tapi kenderaan jabatan yang dipandu Arshad mengikut dari arah belakang.
Puan Azlini juga memberitahu kami tentang program dan aktiviti yang telah dijalankannya bersama-sama dengan beberapa pihak dari luar sebelum ini di Gua Pelangi. Kami benar-benar terasa kagum dan teruja apabila mendengarnya. Sehinggakan kami bercadang hendak mengadakan program anjuran kelab jabatan di tempat bersejarah ini.
Cuaca cerah mengiringi sepanjang perjalanan kami ke gua tersebut. Kami tak henti-henti ketawa dan berasa amat seronok apabila beramai-ramai menaiki kenderaan pacuan empat roda dan seolah-olah merasa seperti pekerja ladang kelapa sawit.
Kena Tampar
“Aduh!” kata Norita apabila pelepah kelapa sawit hinggap di mukanya.
“Hah! Kan dah kena dah!” kata Syahril sambil tergelak.
Yang lain juga turut tergelak termasuk Norita. Bila tengok pelepah kelapa sawit dah hinggap ke muka Norita aku pun lalu tunduk. Takut lepas ni muka aku yang kena pulak nanti.
Dalam hati aku berkata untung yang naik kenderaan jabatan. Tak kena tampar dengan pelepah sawit. Tapi aku mengambilnya sebagai pengalaman yang amat menyeronokkan bersama-sama dengan rakan-rakan yang lain.
Setelah mengharungi perjalanan yang agak lama akhirnya kami pun sampai ke Gua Pelangi. Kami pun lalu masuk ke dalam gua dan melihat kerja-kerja ekskavasi yang dilakukan sebelum ini oleh Y.Bhg Profesor Dato’ Dr. Mokhtar dan pasukannya.
Aku dan rakan-rakan benar-benar rasa kagum dan teruja. Bukan saja pertama kali dapat menjejakkan kaki ke tapak prasejarah ini tetapi juga dapat menikmati keindahan alam yang terdapat berhampiran dengan gua ini.
Agak lama juga kami mengambil masa melawat gua termasuk kawasan persekitarannya. Macam biasa ada yang mengambil kesempatan untuk bergambar dan berselfie. Maklumlah peluang sebegini memang jarang datang. Tak tahulah selepas ini ada peluang atau tidak lagi datang ke sini.
Selepas melawat kami semua mengadakan perbincangan kecil dengan Puan Azlini. Sambil minum dan menikmati kuih yang dibawa bersama semasa mesyuarat di balai raya tadi.
Perbincangan kami lebih tertumpu kepada lawatan tetamu kehormat dan peserta bersempena dengan seminar tersebut. Persiapan perlu dilakukan dengan baik dan lancar termasuk logistik dan pengangkutan yang membawa mereka ke Gua Pelangi.
Dalam pada itu cuaca yang tadinya cerah tiba-tiba bertukar menjadi gelap. Nampaknya hujan akan turun. Kami pun lalu menamatkan perbincangan setelah mencapai kata sepakat.
Sebelum bergerak meninggalkan Gua Pelangi kami bergambar bersama-sama dengan Puan Azlini. Kemudian kami lalu menaiki kenderaan. Kali ini Encik Aziz duduk di belakang bersama-sama dengan kami. Manakala Norita dan Siti Azmiza duduk di depan.
Langit semakin gelap. Dalam hati kami berharap hujan tidak turun. Kalau tidak sudah tentu basah kuyup. Namun setitik demi setitik hujan turun. Akhirnya hujan pun turun dan seperti yang diduga kami semua basah kuyup.
Sekali lagi hati aku berdetik. Untung mereka yang naik kenderaan jabatan. Tak basah kuyup kena hujan. Namun seperti yang aku katakan tadi aku mengambilnya sebagai pengalaman yang tak pernah aku lalui dan menggembirakan bersama-sama dengan rakan-rakan sekerja.
Tiba-tiba aku terdetik untuk menulis kisah pengalaman yang aku lalui ini. Kerana sepanjang hidupku inilah kali pertama aku merasai pengalaman sebegini.
“Kalau tulis cerita tentang lawatan ke Gua Pelangi, menarik ni,” aku bersuara.
“Hah! Tengok! Encik Asrul dah dapat idea nak tulis tentang lawatan kita hari ni,” celah Mawar Malinda sambil tersenyum.
“Tulislah, Encik Asrul. Nanti boleh kita kongsi dan baca sama-sama,” sampuk Syahril pula.
“Balik nanti dia tulislah,” kata Encik Aziz.
Aku sebaliknya hanya diam dan tersenyum. Akhirnya kami sampai semula di balai raya dan bergerak balik ke Seremban.
Sepanjang perjalanan pulang apa yang dapat aku simpulkan adalah semangat kebersamaan seorang ketua seperti Encik Aziz bersama-sama dengan anak-anak buahnya meredah hujan dan mengharungi jalan yang berbengkang-bengkok.