Cerpen “Benih Disemai Hasil Dituai”

Buah kelapa sawit

Buah kelapa sawit ( Tristantan )

Benar kata orang.
Setinggi-tinggi bangau terbang
akhirnya hinggap di belakang kerbau juga.

Ke mana lagi pulangnya ikan kalau bukan ke lubuk. Sebebas mana sekali pun burung terbang membelah langit kesudahannya pulang juga ke sarang. Demikianlah yang terjadi kepadaku. Setelah sekian lama berada di Kuala Lumpur untuk mencari rezeki aku akhirnya pulang semula ke kampung halaman. Kampung Lonek, Batu Kikir, Jempol. Tempat aku dibesarkan dan dilahirkan.

Semuanya berpunca apabila aku terpaksa diberhentikan kerja. Akibat daripada kegawatan ekonomi yang berlaku. Syarikat tempat aku bekerja tidak mampu lagi untuk membayar gaji pekerja. Jadi sebagai langkah yang terbaik maka pihak pengurusan terpaksa mengambil keputusan untuk memberhentikan beberapa orang pekerja. Dan antaranya termasuk aku yang telah bekerja di syarikat ini hampir sepuluh tahun lamanya.

Pada satu pagi setiba sahaja di pejabat aku dipanggil oleh Encik Junaidi. Pengurus syarikat aku bekerja. Aku telah pun dapat menduga sebaik-baik sahaja melangkah masuk ke dalam biliknya. Di tangan Encik Junaidi kelihatan sepucuk surat yang dimasukkan dalam sampul. Wajahnya nampak sedih dan serba salah. Jelas ada sesuatu yang amat berat seperti memikul seketul batu besar yang hendak dikatakannya padaku. Namun aku tetap tenang dan memberi salam.

“Assalamualaikum, Encik Junaidi!”

“Waalaikumsalam, Amir! Sila duduk!” dia menjawab sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Terima kasih!” aku membalas sambil menarik kerusi dan duduk.

Kesejukan alat penghawa dingin jelas terasa mengepung seluruh ruang bilik. Hawanya termampan pada dinding batu yang dicat dengan warna biru muda. Melalui jendela kaca jelas kelihatan bangunan-bangunan yang tinggi hingga mencecah langit. Matahari kelihatan bersinar indah. Menjadikan seluruh bandar raya Kuala Lumpur terang-benderang. Dengan cahaya matahari yang terik.

“Amir …,” dia bersuara perlahan dan menarik nafas yang panjang.

Aku sebaliknya hanya mendiamkan diri sahaja. Dan menunggu dengan penuh tenang apa yang ingin dikatakannya padaku.

“Amat berat untuk saya mengambil keputusan. Tambahan pulak awak adalah seorang pekerja yang cemerlang dan banyak menyumbang kepada kejayaan syarikat ini selama ini. Tapi awak sedia maklumkan. Syarikat kita ibarat telur di hujung tanduk. Awak terpaksa saya berhentikan. Saya harap awak dapat menerima keputusan ini dengan hati yang terbuka. Ini surat yang memberhentikan awak daripada bekerja di syarikat ini,” katanya dengan penuh panjang lebar dan kemudian lalu menghulurkan sampul surat yang berwarna putih itu kepadaku.

Aku lalu menyambut sampul surat yang tertera namaku di atasnya. Aku tidak membukanya. Kerana telah diberitahu oleh Encik Junaidi. Walaupun tidak membukanya namun aku sudah dapat menduga. Isi kandungan surat ini sama seperti yang dikatakan Encik Junaidi tadi.

Aku kemudian lalu menarik nafas dan panjang. Dan memandang Encik Junaidi yang duduk di atas kerusi pusing.

“Saya faham, Encik Junaidi. Saya terima keputusan ini dengan hati yang penuh terbuka. Dah menjadi ketentuan sampai di sini sahaja rezeki saya bekerja dengan syarikat ni,” aku berkata.

“Terima kasih, Amir. Kerana memahami dan menerima keputusan yang saya buat ini dengan hati yang penuh terbuka. Saya tetap berdoa. Semoga awak akan mendapat kerja yang baru. Gaji awak tetap saya bayar sebulan,” balasnya.

“Saya jugak minta maaf kalau ada salah dan silap sepanjang saya bekerja dengan Encik Junaidi. Saya seronok bekerja dengan Encik Junaidi. Secara jujur saya katakan Encik Junaidi seorang ketua yang sangat baik dan sentiasa mengambil berat kebajikan pekerja,” ujarku.

“Saya pun begitu jugak, Amir!” jawabnya pula sebaliknya dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Kalau ada salah dan silap saya pada awak saya mintak maaf. Saya benar-benar berasa kerugian apabila awak tidak lagi bekerja dengan syarikat ini,” sambungnya lagi.

Aku bersalaman dengan Encik Junaidi dan kemudian lalu meninggalkan biliknya. Semua ini adalah ujian daripada Tuhan Yang Maha Esa. Harus aku terima dengan tabah dan sabar. Aku kemudian lalu mengemaskan barang-barangku.

Helmi. Rakan sekerja yang sangat rapat denganku lalu bertanya. Apa yang aku nak buat selepas ini. Jawapan aku adalah pulang ke kampung. Jawapan yang aku berikan itu amat memeranjatkannya.

“Kau nak kerja apa kat kampung?” soalnya sambil memandang aku yang sedang memasukkan barang-barang ke dalam kotak.

“Ada la aku nak buat nanti,” aku sebaliknya menjawab.

“Kau tak nak cari kerja lain?” tanyanya lagi sambil menggeleng-gelengkan kepala dan memandangku.

“Tak!” gelengku.

“Aku dah ambil keputusan. Kalau aku diberhentikan, aku akan balik ke kampung,” ucapku lagi.

Dia sebaliknya diam apabila mendengar apa yang aku katakan itu dan menarik nafas yang panjang. Bahu aku kemudiannya lalu ditepuk-tepuknya.

“Aku hormati keputusan kau tu, Mir. Aku doakan kau akan berjaya dengan apa yang kau lakukan di kampung nanti,” dia berkata.

“Terima kasih, Mi. Aku juga mendoakan agar kau terus bersama dengan syarikat ni,” aku membalas.

Aku kemudiannya lalu pulang ke kampung. Di kampung aku mengerjakan tanah peninggalan arwah aku yang telah lama terbiar. Selain daripada itu, aku juga mengambil upah menoreh getah dan menebas. Dapat jugak menampung pendapatan aku. Syukur alhamdulillah. Dengan rezeki yang dikurniakan Tuhan padaku.

Aku perhatikan banyak tanah terbiar di kampung ni. Sayang kalau tak diusahakan. Timbul di fikiran aku. Alangkah baiknya kalau diusahakan dengan tanaman semula kelapa sawit. Dapat jugak orang-orang kampung menikmati hasilnya.

Satu malam ketika di masjid selepas menunaikan solat Isyak aku memberitahu Tok Ketua tentang cadanganku supaya diusahakan tanaman semula kelapa sawit di tanah terbiar yang terdapat di kampung ni. Tok Ketua menyambut baik cadanganku itu.

“Bagus cadangan kau tu!” balasnya yang bersongkok serta memakai baju Melayu yang berwarna hijau daun pisang dan berkain pelikat.

“Saya setuju sangat, tok. Dapat jugak kita nikmati hasilnya,” sokong Pak Leman pula.

“Kita boleh dapatkan bantuan daripada jabatan pertanian. Saya yakin. Mereka pasti bantu kita untuk menjalankan projek ni,” aku menambah.

“Sama-samalah kita berdoa. Semoga apa yang ingin kita usahakan ini akan berjaya,” kata Tok Ketua pula sebaliknya.

“Insya-Allah, tok!” celah Pak Leman dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Pokok pangkalnya rajin. Pasti akan mendapat habuan,” tambahnya lagi.

“Baiklah! Aku akan adakan mesyuarat dengan orang-orang kampung untuk bincangkan perkara ni,” ulas Tok Ketua pula sebaliknya.

“Memang itulah yang sebaik-baiknya, tok. Sebelum melakukan sesuatu pekerjaan itu eloklah kita muafakat. Pasti akan membawa berkat,” Pak Leman menambah.

Keesokan harinya Tok Ketua lalu mengadakan mesyuarat dengan orang-orang kampung. Untuk membincangkan projek tanaman semula sawit di tanah yang terbiar. Orang-orang kampung bersetuju dan menyatakan sokongan penuh terhadap projek tersebut.

“Syukur alhamdulillah. Besok bolehlah kita pergi ke jabatan pertanian. Untuk dapatkan bantuan,” kata Tok Ketua sebaik-baik sahaja mesyuarat selesai.

“Perkara yang baik harus kita segerakan, tok,” aku membalas pula sebaliknya.

“Memang betul kata Amir tu. Perkara yang baik kalau tak disegerakan takut datang perkara yang buruk pulak nanti,” sokong Pak Leman.

“Kalau macam tu eloklah kita bersurai. Hari pun dah nak lewat petang ni,” ujar Tok Ketua.

+++++++

Kedengaran suara orang memberi salam daripada bawah rumah. Aku lalu menjawab dan menuju ke muka pintu.

“Hah, tok. Jemputlah naik!” ujarku sambil menuruni tangga rumah dan bersalaman dengannya.

“Tak apalah, Mir. Kat bawah ni ajelah,” Tok Ketua menjawab pula sebaliknya.

“Tok dari mana ni?” tanyanya lagi.

“Dari Pekan Batu Kikir. Terlanjur tu aku singgah nak jumpa kau. Nak beritahu berita baik,” dia membalas.

“Berita baik apa, tok?” dia menyoal.

“Jabatan pertanian dah pun meluluskan permohonan kita untuk mengusahakan tanaman sawit di tanah yang terbiar tu.” Berita gembira yang disampaikan Tok Ketua kepadanya.

“Syukur alhamdulillah, tok!” sambutku pula dengan rasa penuh gembira.

“Dah bolehlah kita mulakan projek tu,” dia menyambung lagi.

“Memang itulah yang sebaik-baiknya, Mir. Kita ajak orang-orang kampung bergotong-royong membersihkan kawasan tu dulu. Lepas tu barulah kita tanam dengan sawit,” cadang Tok Ketua.

“Elok sangatlah tu, tok!” sokongku.

“Nanti aku tetapkan harinya untuk kita semua bergotong-royong. Kalau macam tu biar aku mintak diri dulu. Assalamualaikum!” dia memberi salam dan bersalaman denganku.

“Waalaikumsalam!” jawabku sambil mengangguk-anggukkan kepala.

Bak kata orang yang berat sama dipikul yang ringan sama dijinjing. Ke bukit sama kita daki ke lurah sama kita turuni. Hidup bagaikan aur dengan tebing. Saling sandar-menyandar dan perlu memerlukan antara satu sama lain. Setiap waktu dan ketika. Duduk seorang sempit dan duduk ramai lapang. Demikianlah perlunya semangat permuafakatan dan saling bekerjasama.

Kerja yang berat akan menjadi ringan dan mudah diselesaikan. Seperti yang dirancang orang-orang kampung lalu bergotong-royong membersihkan tanah terbiar. Sebelum memulakan projek tanaman semula kelapa sawit. Cuaca panas yang terik bukanlah halangan kepada mereka. Sebaliknya mereka melakukannya dengan penuh semangat dan saling-bantu membantu. Membersihkan semak samun yang selama ini memenuhi kawasan tanah terbiar itu.

“Semangat macam nilah yang kita hendak selalu. Dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dan permuafakatan yang erat sesama penduduk kampung,” Tok Ketua bersuara ketika berhenti rehat sambil menikmati air teh dan nasi lemak telur mata.

“Bila dah ada semangat macam ni dapat mengelakkan daripada berlakunya perpecahan,” sokong Pak Leman pula sebaliknya.

“Betul kata Pak Leman tu. Kita hidup berkampung hendaklah tolong-menolong dan bantu-membantu. Barulah terasa macam satu keluarga,” celahku.

“Aku gembira bila tengok anak-anak buah aku hidup bersatu padu dan sentiasa bersama dalam melakukan apa jua pekerjaan. Sebagai ketua di kampung ni aku akan memastikan keharmonian dan kesejahteraan yang telah terbina erat akan terus berkekalan buat selamanya. Aku harap apabila tiba masanya nanti aku berundur aku berharap pengganti aku akan terus menerapkan apa yang telah aku tanamkan selama ini,” harap Tok Ketua.

“Insya-Allah, tok. Semoga apa yang tok hasratkan itu akan dimakbulkan Allah SWT,” ucap Pak Leman.

Suara angin yang bertiup kencang jelas kedengaran membelah suasana. Pohon-pohon yang menghijau kelihatan mengangguk-angguk apabila ditiup angin. Daun-daun yang bergoyangan disapu angin bagaikan bernyanyi-nyanyi riang dan mengeluarkan irama yang sungguh merdu dan menawan jiwa pabila dihayati dan didengar.

“Saya yakin, tok. Orang-orang kampung sentiasa memberikan sokongan terhadap kepimpinan tok,” tambahku pula.

“Saya sependapat dengan apa yang dikatakan Amir tu. Tok menjalankan tugas dengan baik dan sentiasa mengambil berat terhadap anak-anak buah,” sokong Pak Leman.

“Itu sudah menjadi tugas dan tanggungjawab aku sebagai seorang ketua. Aku harus melaksanakannya dengan sebaik mungkin,” dia membalas.

“Saya sentiasa berdoa, tok. Semoga kampung kita sentiasa makmur dan sejahtera,” kata Pak Leman pula.

“Mudah-mudahan begitulah, Leman!” ujar Tok Ketua dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Semoga Allah SWT merahmati dan memberkati kita semua. Kita dah lama berhenti rehat ni. Marilah kita sambung semula kerja. Cepat kita siap cepat kita balik,” ajak Tok Ketua.

“Yalah, tok. Kata orang kerja bertangguh tak menjadi. Takut datang pulak kerja yang baru nanti. Marilah tok, Mir!” balas Pak Leman pula.

Tok Ketua, Pak Leman dan aku lalu bingkas bangun dan meneruskan semula kerja. Walaupun telah lanjut usia namun Tok Ketua dan Pak Leman tetap bersemangat bersama dengan orang-orang kampung membersihkan kawasan tanah terbiar itu. Sedikit pun tidak kelihatan rasa kepenatan dan keletihan di wajah mereka. Ternyata semangat sebagai seorang bekas tentera masih lagi kuat dan menebal dalam jiwa Tok Ketua dan Pak Leman.

Ketika dalam tentera Tok Ketua berpangkat pegawai waran manakala Pak Leman pula berpangkat sarjan. Menjelang tengah hari gotong-royong pun selesai. Sebelum bersurai Tok Ketua telah memberikan ucapan ringkas kepada orang-orang kampung yang menjayakan gotong-royong.

Dalam ucapannya Tok Ketua mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih dan berharap projek tanaman semula sawit yang akan diusahakan nanti akan berjaya dilaksanakan dengan jayanya. Selesai sahaja ucapan Tok Ketua dan orang-orang kampung saling bersalaman dan lalu bersurai pulang ke rumah masing-masing.

Kabus kelihatan menutupi puncak bukit. Rasa dingin jelas terasa membelah suasana pagi. Mungkin kesan daripada hujan yang turun lebat mencurah-curah tengah malam tadi. Dekat nak masuk waktu subuh baru hujan berhenti. Matahari tidak kelihatan. Langit kelabu.

Pohon-pohon dan daun-daun kelihatan basah. Begitu juga dengan rumput-rumput yang menghijau. Tanah nampak becak dan ditakungi dengan lopak air. Setelah sekian lama dilanda kemarau akhirnya hujan turun juga tengah malam tadi. Menerusi jendela yang terbuka luas aku melemparkan pandangan yang jauh ke arah bukit yang hampir tidak kelihatan kerana ditutupi kabus tebal.

Sedang aku jauh mengelamun tiba-tiba kedengaran suara orang memberi salam daripada bawah rumah. Aku lalu menjawab dan kenal suara orang yang memberi salam itu. Tok Ketua rupanya yang datang.

Aku kemudiannya lalu mengatur langkah menuju ke muka pintu untuk menyambut kedatangan Tok Ketua. Dan mempersilakannya naik ke rumah.

“Apa khabar, tok?” aku bersalaman dengan Tok Ketua.

“Alhamdulillah sihat,” dia membalas.

“Jemput duduk, tok,” kataku lagi pada Tok Ketua.

Perlahan-lahan Tok Ketua duduk di atas kerusi. Titis-titis air yang membasahi daun-daun hijau kelihatan jatuh membasahi tanah apabila ditiup angin.

“Aku ni sebenarnya nak ke Pekan Bahau. Jadi, aku singgahlah kejap nak jumpa kau,” beritahu Tok Ketua.

“Macam ada perkara penting aje yang tok nak bagitau saya.” Aku sudah dapat menduga akan maksud kedatangan Tok Ketua ke rumah pada pagi ini.

“Aku dapat panggilan telefon daripada jabatan pertanian. Minggu depan benih kelapa sawit akan sampai,” jelasnya padaku.

“Alhamdulillah, tok. Nampaknya dah bolehlah kita mulakan projek tu,” aku membalas.

“Macam tulah nampaknya, Mir!” angguk Tok Ketua.

“Mudah-mudahan membuahkan hasil, tok,” aku menambah lagi.

“Insya-Allah! Rajin bekerja pasti akan mendapat ganjarannya,” kata Tok Ketua.

Seperti yang dijanjikan jabatan pertanian pun lalu menghantar benih kelapa sawit. Sekali lagi orang-orang kampung bergotong-royong menggali lubang dan menanam benih kelapa sawit yang dibekalkan jabatan pertanian itu. Cuaca cerah menyinari seluruh kawasan yang dijadikan sebagai projek tanaman semula sawit itu.

Desiran angin yang bertiup dari arah bukit yang terletak berhampiran dengan kawasan projek tanaman semula sawit itu seolah-olah turut mencetuskan semangat kepada orang-orang kampung. Supaya terus berusaha dan bekerja keras demi untuk kejayaan dan kesejahteraan kampung.

Sama seperti gotong-royong membersihkan kawasan tanah terbiar yang diadakan sebelum ini rasa penat dan letih tidak kelihatan langsung di wajah mereka. Bahang cahaya matahari yang panas terik bagaikan api yang membakar tidak menjadi halangan kepada mereka untuk melaksanakan projek yang telah dirancang.

Keringat mereka yang mengalir adalah bukti kesetiaan dan bakti yang telah dicurahkan pada bumi yang tercinta ini. Tanah yang dahulunya terbiar telah pun diusahakan dengan projek tanaman semula sawit yang diharapkan hasilnya akan memberikan pulangan yang amat menguntungkan kepada mereka sebagai anak jati di kampung ini.

“Alhamdulillah! Apa yang kita rancangkan akhirnya terlaksana juga,” kata Tok Ketua ketika melepaskan penat di bawah sebatang pohon yang rendang yang terdapat di kawasan yang dijadikan projek tanaman semula sawit.

“Benih dah disemai. Tunggu ajelah hasilnya nanti,” Pak Leman membalas.

“Insya-Allah, tok, Pak Leman. Kalau kita rajin menjaga dan membajanya pasti kita akan mendapat hasilnya,” yakinku pula sebaliknya.

“Betul kata kau tu, Mir!” sokong Tok Ketua dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Tunggu ajelah masanya nanti. Untuk kita nikmati hasilnya bersama,” dia menambah lagi.

“Pokok kalau kita tanam hari ni takkan berbuah esok. Makan masa juga. Begitu jugak dengan hidup kita. Lahir aje tak akan terus membesar,” ujar Pak Leman.

“Hah! Penat pun dah hilang. Marilah kita sambung balik kerja tu,” ajak Tok Ketua sambil bingkas bangun.

Tok Ketua, Pak Leman dan aku kemudiannya lalu bingkas bangun. Kami bertiga bersama dengan orang-orang kampung meneruskan semula kerja menanam benih kelapa sawit. Menjelang tengah hari kerja yang mereka lakukan pun selesai.

Penat dan letih tidak kelihatan langsung di wajah mereka. Sebaliknya rasa gembira dan puas jelas terpancar di setiap wajah orang-orang kampung yang terlibat dalam gotong-royong. Benih kelapa sawit telah pun ditanam dan kini menunggu hasilnya untuk dinikmati.

Kejayaan tak akan datang bergolek tanpa usaha dan kerja keras. Rajin berusaha pasti akan mendapat ganjarannya. Berbudi pada tanah pasti akan mendapat hasilnya. Itulah yang dinikmati orang-orang kampung hasil daripada kejayaan projek tanaman semula sawit.

Sinaran suria yang memancar indah di pagi hari turut berkongsi rasa kegembiraan dengan orang-orang kampung. Bersama dengan langit yang cerah dan angin yang bertiup dalam irama sepoi-sepoi bahasa. Pohon-pohon sawit yang melambai-lambai apabila ditiup angin turut melahirkan rasa gembira yang tak terhingga.

“Alhamdulillah! Berjaya projek kita ni,” Tok Ketua melafazkan rasa kesyukuran yang tak terhingga.

“Terima kasih, Mir. Kau telah membawa sinaran kejayaan kepada kampung ini,” celah Pak Leman.

“Betul kata Pak Leman tu. Kaulah yang telah mencadangkan projek ni. Hasilnya sekarang dinikmati orang-orang kampung,” sokong Tok Ketua pula.

“Saya sebenarnya takut pada pujian. Kerana pujian itu akan menjadikan saya berasa riak. Apa yang saya lakukan semua ini adalah untuk kemajuan dan kejayaan bersama kita sebagai penduduk di kampung ni.” Aku sebaliknya merendah diri.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *