Cerpen “Tanggungjawab Seorang Tok Ketua”
Pagi.
Matahari kelihatan bersinar dengan begitu indah sekali.
Angin yang datang daripada arah bukit bertiup kencang.
Pohon-pohon yang menghijau kelihatan seperti menari-nari apabila ditiup angin. Sekejap beralih ke kanan dan sekejap beralih ke kiri mengikut rentak angin yang bertiup.
“Minggu depan aku nak buat mesyuarat. Nak panggil semua orang kampung. Sekurang-kurangnya aku dapat mendengar pandangan dan buah fikiran mereka. Dalam usaha untuk memajukan kampung ni,” kata Tok Ketua.
“Eloklah tu, tok!” balas Pak Ali sambil mengangguk-anggukkan kepala.
“Mesyuarat ni penting untuk kita mencapai kata sepakat. Lebih-lebih lagi dalam kita melaksanakan sesuatu pekerjaan dan mencapai matlamat yang kita inginkan,” sambungnya lagi.
“Bukan itu sahaja. Dengan mesyuarat juga kita dapat mendengar segala permasalahan yang dihadapi oleh orang-orang kampung dan mencari jalan penyelesaian untuk mengatasinya,” celah Pak Sudin pula sebaliknya.
“Sebagai seorang ketua aku harus mendengar masalah dan beban yang ditanggung oleh anak-anak buah aku dan sudah menjadi tanggungjawab aku membantu mereka untuk menyelesaikannya,” tambah Tok Ketua.
Tak lama kemudian Pak Hamid muncul sambil membawa dulang yang berisi makanan dan minuman. Dia kemudiannya lalu meletakkan dengan perlahan-lahan di atas meja. Selesai sahaja meletakkannya di atas meja dia kemudiannya lalu berlalu pergi sambil membawa bersama-sama dulang yang telah kosong.
Tok Ketua memesan air kopi ‘o’ dan nasi lemak telur rebus. Pak Ali memesan air teh dan pulut putih cicah dengan sambal tumis ikan bilis. Manakala Pak Sudin pula memesan air teh ‘o’ dan mi goreng. Sebelum menikmati hidangan mereka membaca doa terlebih dahulu yang dipimpin oleh Tok Ketua.
“Ketua menjadi tempat anak-anak buah untuk mengadu apabila ada masalah,” ujar Tok Ketua sambil menikmati hidangan yang dipesan.
“Bak kata orang tak ada kekusutan yang tak dapat dileraikan. Begitu juga dengan setiap masalah yang kita hadapi. Pasti akan dapat diselesaikan. Asalkan kita duduk semeja dan bersama-sama untuk membincangkannya dan seterusnya mencari jalan yang terbaik bagi menyelesaikannya,” ujar Pak Sudin pula.
“Memang betul kata kau tu, Din!” sampuk Pak Ali dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.
“Sebesar dan seberat batu sekalipun masalah yang kita hadapi pasti akan dapat diselesaikan juga akhirnya. Bila kita bermuafakat dan bersatu hati apabila menghadapinya,” dia menyambung lagi.
Angin yang tadinya bertiup kencang lalu bertukar rentak menjadi perlahan dan nyaman. Rasa segar dan dingin angin yang bertiup jelas terasa menyusup menerusi atap zink warung Pak Hamid. Daun-daun kelihatan seperti terbuai-buai apabila ditiup angin dan mengeluarkan irama yang sungguh merdu dan menghiburkan jiwa apabila bergeseran antara satu sama lain.
“Sebab itulah kita perlu berpegang teguh pada pepatah yang menyebutkan bahawa hidup ibarat aur dengan tebing, saling sandar-menyandar, perlu-memerlukan setiap waktu dan ketika,” kata Tok Ketua sambil menghirup perlahan-lahan air kopi ‘o’ yang masih lagi panas.
“Ke bukit sama kita daki, ke lurah sama kita turuni. Berat sama kita pikul, ringan sama kita jinjing,” tambah Pak Ali.
“Susah dan senang sama dirasa. Begitu juga dengan berjaya dan gagal. Sama-sama juga kita merasanya,” ucap Pak Sudin.
“Itulah yang menjadi pegangan utama kita yang hidup berkampung. Sejak dari dahulu sehinggalah sekarang. Kebulatan menjadi kunci utama untuk kita mengekalkan perpaduan dan kesejahteraan di kampung ni,” sambut Tok Ketua pula sebaliknya.
“Semua ini adalah hasil daripada kebijaksanaan tok sebagai ketua di kampung ni,” ulas Pak Sudin.
“Ya, tok!” sokong Pak Ali.
“Sepanjang tok menjadi ketua di kampung ni kami dapat merasakan hidup dalam suasana muafakat dan persaudaraan. Tok telah menunjukkan contoh dan teladan yang baik di samping menerapkan perpaduan yang kukuh di kalangan kami semua yang tinggal di kampung ini,” sambungnya lagi dengan penuh panjang lebar.
“Terlalu tinggi pujian yang kau orang berikan itu. Bagi aku menjadi ketua di kampung ini adalah satu amanah daripada Allah SWT yang perlu aku tunaikan dengan sebaik mungkin,” ucap Tok Ketua.
Pohon-pohon yang terdapat berhampiran dengan warung Pak Hamid kelihatan seperti mengangguk-angguk apabila ditiup angin. Seolah-olah menyatakan sokongan terhadap apa yang dikatakan oleh Tok Ketua itu.
Sementara itu matahari kelihatan perlahan-lahan meninggi di kaki langit biru. Awan putih kelihatan menebal. Sinaran matahari yang terang-benderang menerangi seluruh kampung yang penuh dengan keindahan dan kedamaian.
Pohon nyiur di halaman rumah Pak Hussein kelihatan seperti melambai-lambai apabila ditiup angin. Seperti mengajak anak-anak muda yang sedang mencari rezeki di bandar agar pulang semula ke kampung halaman tempat mereka dilahirkan dan dibesarkan bagi mencurahkan keringat dan bakti.
Daun-daun kering yang berguguran ditiup angin kelihatan bertaburan dan menutupi permukaan tanah. Demikianlah perjalanan usia dalam kehidupan yang kita lalui di atas dunia ini. Tidak selama-lamanya akan berwarna hijau. Apabila tiba waktunya nanti pasti akan bertukar warna menjadi keperangan dan kekeringan. Sepertimana yang kini dialami oleh Tok Ketua, Pak Ali dan Pak Sudin.
“Selagi diberi kepercayaan aku akan terus memikul amanah ini.” Tok Ketua merancakkan lagi tajuk perbualan.
“Kami sentiasa berdiri teguh dan menyokong kepimpinan tok,” balas Pak Sudin pula sebaliknya.
“Tok banyak memberikan kejayaan dan kemajuan kepada kampung ni. Kami menaruh harapan agar tok terus menjadi ketua kami di kampung ni,” kata Pak Ali.
“Kejayaan dan kemajuan yang kita nikmati di kampung ini adalah hasil usaha kita bersama. Tanpa kerjasama yang erat kita tak akan dapat mencapainya,” ujar Tok Ketua sambil memandang Pak Ali dan Pak Sudin.
Dalam pada itu warung Pak Hamid semakin sibuk dipenuhi dengan orang-orang kampung yang datang untuk bersarapan dan membeli makanan dan minuman untuk dibawa pulang ke rumah. Sudah hampir 10 tahun Pak Hamid membuka warung yang menjual makanan dan minuman di kampung ini. Semenjak bersara daripada menjadi posmen.
Dia mengusahakan warung ini bersama-sama dengan isterinya dan 3 orang pembantu. Sememangnya warung Pak Hamid menjadi tumpuan orang-orang kampung untuk menikmati sarapan pada setiap pagi. Makanan yang dihidangkan di warung Pak Hamid terutamanya nasi lemak, mi goreng dan pulut tanak cicah dengan sambal tumis ikan bilis di samping kuih-muih Melayu tradisional Negeri Sembilan amat memikat selera orang-orang kampung.
“Semangat kerja berpasukan amat penting dalam kita untuk mencapai sesuatu kejayaan,” ucap Pak Sudin.
“Bila bekerja dengan penuh semangat berpasukan kita tak terasa sempit apabila duduk seorang. Sebaliknya akan terasa lapang apabila kita duduk ramai,” sokong Pak Ali pula.
“Memang seronok apabila kita bekerja dalam satu pasukan. Aku bercadang nak buat banyak kegiatan yang melibatkan gotong-royong di kalangan orang-orang kampung. Perkara yang baik seumpama ini mesti diteruskan selalu. Hubungan silaturrahim dan semangat ingin tolong-menolong antara sesama sendiri di kalangan kita semua di kampung ini dapat dieratkan lagi,” balas Tok Ketua pula sebaliknya dengan penuh panjang lebar.
“Memang bagus cadangan tok tu!” angguk Pak Sudin dengan pantas.
“Saya sokong. Saya yakin. Orang-orang kampung akan menyambut baik cadangan tok ini,” sambungnya lagi.
“Inilah antara usul yang akan aku kemukakan dalam mesyuarat tu nanti,” kata Tok Ketua lagi.
“Perkara yang baik pasti akan diterima tanpa bangkangan!” celah Pak Ali sambil mengangguk-anggukkan kepala.
“Kita juga jangan lupa dalam hal-hal yang berkaitan dengan agama. Aku juga bercadang untuk memperbanyakkan kegiatan yang bercorak keagamaan terutamanya ceramah. Dalam usaha menjadikan kita semua termasuk anak-anak muda menjadi insan yang bertakwa dan mendapat keredhaan daripada Allah SWT di dunia mahupun akhirat,” tambah Tok Ketua.
“Insya-Allah, tok. Sama-samalah kita berdoa. Semoga kita yang hidup di kampung ini sentiasa dirahmati dan diberkati Allah SWT,” balas Pak Ali.
“Dalam kita mengekalkan perpaduan dan kesejahteraan hidup di kampung ini soal agama juga perlu kita utama seiring dengan matlamat yang kita tuju,” sokong Pak Sudin.
“Itu sudah menjadi tanggungjawab dan peranan aku sebagai ketua di kampung ini. Aku harus memimpin anak-anak buah aku ke arah jalan yang diredhai Allah SWT. Dalam mencari kesejahteraan dan kemakmuran hidup di kampung ini kita juga perlu seimbang dengan akhirat. Semoga kita semua tergolong sebagai hamba yang sentiasa bertakwa dan mengikut perintah Allah SWT dan meninggalkan segala yang ditegah dan dilarang-Nya.” Demikianlah kata Tok Ketua dengan penuh panjang lebar.
Mereka kemudiannya lalu bingkas bangun dan bersalaman antara satu sama lain. Tok Ketua kemudian lalu membayar harga makanan dan minuman termasuk yang dipesan oleh Pak Ali dan Pak Sudin. Dia bersama-sama dengan Pak Ali dan Pak Sudin juga berbual seketika dengan Pak Hamid. Sebelum mengatur langkah menuju pulang ke rumah masing-masing.
~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~