Cerpen “Pokok Perbualan Orang Kampung”

Daun Hijau

Daun Hijau ( Beba )

Dari jauh kelihatan
bukit-bukau yang subur lagi menghijau.
Matahari bersinar indah. Dengan langit biru
yang nampak bersih dan awan putih yang menebal.

Sinaran matahari yang terang-benderang menyinari seluruh kampung yang indah dan permai. Angin yang datang dari arah bukit bertiup nyaman dan perlahan. Suara pohon-pohon hijau bergoyangan dan daun-daun bergeseran apabila ditiup angin jelas kedengaran membelah suasana.

“Dalam apa jua pekerjaan yang kita lakukan kita mesti muafakat. Barulah kerja yang berat itu ringan dan mudah untuk dilaksanakan,” kata Pak Sudin ketika menikmati sarapan pagi di warung Pak Hussein.

“Muafakat ni penting. Tambahan pulak kita yang hidup di kampung ni. Perlu seia sekata dan seiring sejalan,” tambah Pak Ahmad.

“Demikianlah cantiknya muafakat. Bila kita sentiasa bersatu kita tak akan berpecah-belah dan bersengketa sesama sendiri,” kata Pak Jalal pula sebaliknya.

Rasa nyaman dan dingin angin yang bertiup jelas terasa menyapu seluruh warung Pak Hussein yang menjadi tumpuan orang-orang kampung untuk menikmati dan membeli juadah sarapan pada setiap pagi. Pohon-pohon yang tumbuh berhampiran dengan warung Pak Hussein kelihatan seperti melambai-lambai apabila ditiup angin.

“Tiada gunanya kita berpecah-belah dan bersengketa sesama sendiri. Kerana kita bukan sahaja akan menjadi lemah tetapi juga akan merugikan diri kita sendiri.” Pak Ahmad merancakkan lagi tajuk perbualan.

“Memang betul kata kau tu, Mad!” Pak Sudin sebaliknya membalas dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Sebab itu kita perlu kembali semula kepada sejarah silam. Akibat daripada perpecahan dan kelemahan diri kita sendiri maka kita mudah dijajah,” dia menyambung lagi.

“Itulah teladan dan pengajaran yang kita perlu belajar daripada sejarah. Supaya kita tidak dijajah semula,” sokong Pak Jalal pula sebaliknya.

“Kita tidak mahu anak cucu kita merempat dan mengemis di tanah air sendiri satu hari nanti. Nikmat kemerdekaan dan keamanan yang dikecapi sekarang perlu mereka pertahankan!” Pak Sudin berkata dengan penuh semangat.

“Dalam hal ini mereka harus mempunyai semangat kesetiaan dan cintakan tanah air yang tinggi. Supaya mereka tidak mudah terpedaya dan terpengaruh dengan dakyah yang merosakkan dan menyebabkan mereka dijajah. Sepertimana yang pernah kita alami dahulu,” ujar Pak Ahmad.

Angin yang tadinya bertiup perlahan tiba-tiba lalu bertukar menjadi kencang. Seolah-olah turut mengiringi tajuk perbualan mereka yang begitu bersemangat sekali. Sekali-sekala kedengaran bunyi ranting patah jatuh bergemertap ditiup angin dan menimpa permukaan tanah. Pohon-pohon kelihatan bagai menari-nari inang apabila ditiup angin yang datang dari arah bukit yang tidak jauh daripada warung Pak Hussein.

“Mereka tidak mengalami kepahitan dan kegetiran hidup dalam zaman penjajah. Begitu jugak dengan keganasan komunis yang menyebabkan ramai orang yang tidak berdosa menjadi korban,” ucap Pak Jalal.

“Mereka seharusnya berasa bersyukur. Dapat hidup dalam suasana yang aman dan damai. Bebas daripada sebarang gangguan dan kacau-bilau. Tak seperti zaman darurat yang pernah kita lalui. Sehingga menggugat kestabilan dan keharmonian negara,” ulas Pak Ahmad.

“Sebab itu kita harus menghargai jasa dan pengorbanan anggota pasukan keselamatan. Mereka sanggup menggadai nyawa demi untuk mempertahankan negara ini daripada jatuh ke tangan musuh,” Pak Jalal menambah.

Matahari kelihatan semakin meninggi di kaki langit. Bahang matahari sudah perlahan-lahan mula terasa. Walaupun hari masih awal pagi lagi. Cuaca cerah tidak menampakkan langsung tanda-tanda hujan akan turun. Sekarang ini musim kemarau sedang melanda. Sudah berbulan-bulan lamanya hujan tidak turun. Rumput yang menghijau telah bertukar warna menjadi keperangan.

“Tanpa pengorbanan dan darah mereka yang mengalir kita tak akan dapat menikmati suasana hidup yang sejahtera dan aman seperti hari ini,” kata Pak Ahmad.

“Walaupun kita sekarang hidup dengan aman dan sejahtera tapi kita juga harus berwaspada dengan ancaman yang boleh menjadikan negara kita tidak harmoni dan huru-hara,” tegas Pak Sudin.

“Kita perlu bersatu dalam menangani ancaman pengganas. Jangan biarkan mereka bertapak walau seinci pun di negara kita,” tambah Pak Jalal.

“Mereka ni ibarat penyakit yang merbahaya. Perlu dicegah sebelum parah. Disebabkan mereka negara kita tidak selamat untuk didiami,” ujar Pak Ahmad pula sebaliknya.

“Yang aku sedih sangat bila ada yang bersengkongkol dengan pengganas. Sanggup mereka hendak memusnahkan negara tanah tumpah darah mereka sendiri. Tapi mujurlah dengan kepantasan dan kecekapan pihak berkuasa mereka dapat diberkas,” celah Pak Sudin.

“Itulah akibatnya bila tidak mempunyai semangat rasa cintakan negara. Mudah terpengaruh dengan fahaman yang bukan sahaja memusnahkan negara malahan juga diri sendiri,” ujar Pak Ahmad.

“Sebagai rakyat di negara ini kita harus bersandarkan kepada pegangan bahawa di sini kita hidup dan di sini juga kita berani mati. Lebih baik mati bergalang tanah daripada hidup bercerminkan bangkai. Namanya untuk melihat negara yang dicintai ini jatuh ke pihak luar tidak sekali-kali!” ucap Pak Jalal pula dengan penuh begitu bersemangat sekali.

Demikianlah hangatnya perbualan Pak Sudin, Pak Ahmad dan Pak Jalal. Sehangat bahang matahari yang bersinar menyinari seluruh kampung yang permai dan indah. Daun-daun hijau kelihatan terbuai-buai apabila disapu angin. Bunyi daun-daun kering berguguran ditiup angin dan menimpa tanah jelas kedengaran membelah suasana.

“Perpaduan adalah amat penting dan ia adalah ibarat tembok yang menahan daripada berlakunya kemusnahan dan keruntuhan di kalangan kita,” Pak Ahmad berkata.

“Memang tidak dapat dinafikan dengan apa yang kau katakan tu, Mad. Kalau kita sentiasa bersatu dan tidak mementingkan diri sendiri kita tak akan mudah goyah dan tumbang kepada pihak yang mahu menjatuhkan kita,” tambah Pak Sudin.

“Kita perlu berpegang teguh pada pepatah hidup bagaikan aur dengan tebing. Saling sandar-menyandar dan perlu-memerlukan pada setiap waktu dan ketika. Jangan jadi seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing,” tegas Pak Jalal.

“Bak kata orang yang berat sama kita pikul. Yang ringan sama kita jinjing. Susah senang kita harungi bersama. Pahit manis sama kita rasa. Barulah terasa semangat perpaduan dan kerjasama yang sebenarnya,” ujar Pak Ahmad pula.

“Dalam pada itu kita harus berwaspada dengan golongan yang menangguk di air keruh. Di atas kelekaan dan kelemahan kita. Mereka sanggup melakukan apa saja. Termasuk memecahbelahkan di kalangan kita asalkan cita-cita mereka tercapai,” ingat Pak Sudin.

“Sebab itu kita harus mengelakkan daripada berlakunya perpecahan. Setiap perselisihan mahupun persengketaan yang timbul harus kita selesaikan dengan segera melalui rundingan dan muafakat. Bukannya dengan tuduh-menuduh dan salah-menyalah antara satu sama lain. Masalah tak akan selesai malah bertambah berat lagi jadinya,” celah Pak Jalal.

“Aku setuju sangat dengan apa yang kau cakapkan tu, Lal. Ibarat menarik rambut dalam tepung. Rambut tidak putus tepung tidak berselerak. Kita harus bijak dalam menyelesaikan setiap masalah yang berlaku,” sokong Pak Ahmad.

Bahang matahari yang terik semakin jelas terasa menyelubungi seluruh kampung. Daun-daun hijau kelihatan seakan-akan bersinar apabila terkena sinaran cahaya matahari. Desiran angin yang bertiup lemah-gemalai jelas kedengaran membelah suasana. Irama riang daun-daun yang bergeseran antara satu sama lain apabila ditiup angin sungguh menghiburkan jiwa apabila didengar.

“Tanpa mengira besar mahupun kecil. Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Air yang keruh boleh dijernihkan semula. Jalan yang bengkok boleh diluruskan. Seperti yang kau katakan tadi, Mad. Dengan kebijaksanaan yang ada pada kita semuanya itu dapat diatasi,” Pak Jalal berkata pula sebaliknya.

“Aku rasa sangat bersyukur. Kita yang hidup di kampung ini sangat berpegang teguh pada kesepakatan dan saling bantu-membantu di antara satu sama lain. Bila ada masalah sama-sama kita selesaikan. Bila nampak kekusutan sama-sama kita leraikan,” ucap Pak Sudin.

“Aku pun begitu jugak, Din!” Pak Ahmad pantas mencelah sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Semoga kampung kita terus kekal harmoni dan sejahtera serta terhindar daripada sebarang bentuk yang membawa kepada perpecahan,” sambungnya lagi.

“Ini perlu kita terapkan pada anak-anak muda di kampung ni. Bak kata pepatah kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya. Bermula dari sekaranglah kita perlu terapkan nilai-nilai murni ini ke dalam diri mereka. Sebagai pewaris yang akan menggantikan kita pada satu hari nanti,” tegas Pak Jalal.

“Aku yakin, Lal. Ibarat menanam sebatang pokok. Kalau hari-hari disiram dan dibubuh baja pasti satu hari nanti akan mengeluarkan buah yang lebat. Kalau sentiasa ditanam dengan semangat permuafakatan pasti mereka akan meneruskan tradisi yang kita amalkan,” kata Pak Ahmad.

“Siapa lagi yang akan meneruskan tradisi ini kalau bukan mereka. Generasi silih berganti. Kalau dulu datuk moyang yang menurunkannya kepada kita. Tiba ketika dan saatnya nanti kita akan menurunkannya pula kepada mereka,” ujar Pak Sudin.

“Itulah yang dinamakan sebagai tradisi turun-temurun. Setiap yang lama tak akan kekal buat selama-lamanya. Akan digantikan dengan yang baru. Sudah menjadi tanggungjawab yang baru untuk meneruskan kesinambungan yang ditinggalkan generasi terdahulu. Seperti yang disebut dalam pepatah patah tumbuh hilang berganti,” ulas Pak Ahmad pula sebaliknya.

“Sama-samalah kita berdoa. Semoga mereka akan menjadikan muafakat sebagai kunci utama kepada keharmonian dan kesejahteraan hidup di kampung ini. Dan seterusnya mereka menurunkan pula kepada generasi yang seterusnya. Agar tidak mudah hanyut dan tenggelam ditelan arus zaman yang silih berganti,” celah Pak Jalal.

Demikianlah berakhirnya sembang Pak Sudin, Pak Ahmad dan Pak Jalal pada pagi itu. Selepas membayar harga makanan dan minuman mereka kemudiannya lalu pulang ke rumah.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *