Cerpen “Kejayaan”

Bangunan

Bangunan ( Meiying Ng )

Matahari kelihatan
bersinar indah di kaki langit biru.
Bangunan-bangunan tinggi hingga mencakar langit
kelihatan memenuhi seluruh bandar raya Kuala Lumpur.
Jalan raya penuh sesak dengan kenderaan.

Sesungguhnya hidup ini adalah satu perjuangan. Apabila fajar menyingsing di kaki langit di pagi hari maka kita akan melangkah dan terus melangkah meneruskan kehidupan. Dia menghayati sepenuhnya kata-kata itu.

Sambil menarik nafas yang panjang dia melemparkan pandangan ke arah bangunan-bangunan tinggi melalui jendela kaca. Kisah silam yang pernah dialaminya pada suatu ketika dahulu masih segar mengais-ngais di ingatannya. Seperti kata pepatah rajin dan usaha itu adalah tangga kejayaan. Kalau orang lain boleh berjaya dalam hidup mengapa kita tidak boleh. Kerana mereka juga sama macam kita manusia. Dikurniakan akal dan kudrat.

Pokok pangkalnya terletak pada diri kita sendiri. Nak berjaya dalam hidup kita kena gigih berusaha. Kejayaan tak akan datang sekelip mata. Malahan jauh sekali kejayaan akan datang bergolek. Dalam mencapai kejayaan sudah pasti ada pelbagai halangan dan rintangan yang terpaksa dihadapi. Semua itu sudah menjadi lumrah dan asam garam dalam mencapai kejayaan yang diimpikan.

“Apa? Kau nak belajar lagi?” Terkejut Razali apabila Sulaiman memberitahu yang dia hendak belajar lagi.

“Ya!” dia menjawab sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Dengan belajar sajalah yang akan meningkatkan kerjaya aku pada masa yang akan datang,” dia menyambung lagi.

Tergelak Razali apabila mendengar apa yang dikatakannya itu. Dia lalu berasa pelik. Dengan gelagat yang ditunjukkan Razali itu. Apakah satu kelucuan apabila dia menyatakan hasrat untuk belajar lagi.

“Kau ingat belajar ni senang. Hah! Mana nak bagi masa baca buku. Mana nak bagi masa kerja lagi,” kata Razali.

“Bagi aku itu bukan satu halangan. Yang penting aku kena bijak bagikan masa. Antara kerja dan belajar,” dia membalas.

“Cakap memanglah senang, Sulaiman. Aku bukannya apa. Takut kau sekerat jalan aje nanti. Sibuk dengan kerja kesudahannya belajar kau tinggalkan,” ujar Razali.

Ternyata Razali tidak memberikan semangat dan perangsang kepadanya. Sebaliknya seperti mahu mematahkan semangatnya. Tak mengapalah Razali bersikap sedemikian. Sudah menjadi lumrah manusia. Perkara yang baik tidak semestinya mereka memberikan sokongan. Manusia memang bermacam-macam ragam dijadikan Tuhan. Bagi Sulaiman dia menjadikan apa yang dikatakan Razali itu sebagai pembakar semangat untuk mencapai cita-citanya.

“Baguslah kau nak belajar lagi,” Johan berkata.

“Aku dah daftar online pengajian luar kampus,” jelasnya.

“Kau ambil bidang apa?” tanyanya lagi pada Sulaiman.

“Aku ambil Ijazah Pengurusan dan Sumber Manusia,” jawabnya.

“Universiti mana?” Johan tak putus-putus menyoal.

“Universiti Putra Malaysia. Pengajian aku selama 4 tahun,” dia membalas.

“Aku doakan semoga kau berjaya, Sulaiman,” ujarnya.

“Insya-Allah! Terima kasih, Johan!” dia mengangguk-anggukkan kepala.

Lamunannya yang jauh melayang itu lantas terhenti. Apabila kedengaran bunyi pintu biliknya diketuk. Dia yang berdiri di tepi jendela kaca kemudiannya lalu berpaling ke arah pintu.

“Masuk!” arahnya. Dia kemudiannya mengatur langkah ke arah kerusi dan lalu duduk.

Pintu biliknya lalu terbuka. Munirah setiausahanya muncul sambil membawa surat-surat untuk diminitkan.

“Ini surat-surat untuk Encik Sulaiman minitkannya,” katanya.

“Letakkan atas meja. Nanti saya minitkan,” ujarnya.

Dia lalu meletakkan semua surat itu di atas meja.

“Ada apalagi, Encik Sulaiman?” soalnya dengan hormat.

“Tak ada!” dia sebaliknya menggeleng-gelengkan kepala.

“Awak boleh pergi,” sambungnya lagi.

Munirah lalu beredar meninggalkan biliknya. Sambil tersandar di kerusi pusing dia menyambung semula lamunannya yang terhenti buat seketika.

“Syukur alhamdulillah, Mah. Permohonan abang untuk belajar telah diterima,” dia memberitahu isterinya.

“Ya ke, bang? Alhamdulillah. Syukur pada Tuhan,” sambut isterinya pula dengan rasa penuh gembira.

“Abang akan mula mendaftar sebagai pelajar di Universiti Putra Malaysia pada awal bulan depan,” jelasnya.

“Mah rasa gembira sangat. Bila abang dapat melanjutkan pelajaran di universiti. Mah doakan semoga abang akan mendapat kejayaan yang cemerlang.” Rasa kegembiraan semakin jelas kelihatan menebal di wajah isterinya.

“Insya-Allah, Mah!” angguknya pula dengan pantas.

“Abang akan jadikan kata-kata dan doa Mah itu sebagai azimat untuk abang berjaya,” katanya lagi.

Memang banyak cabaran yang terpaksa dihadapinya apabila dia mengambil pengajian luar kampus. Namun dia bukanlah seorang yang mudah mengalah apabila berdepan dengan apa yang dinamakan sebagai cabaran dalam hidup ini. Dia berpegang teguh kepada prinsip sekali dia melangkah ke depan dia tak akan berundur ke belakang semula.

“Malam tadi sampai pagi aku tak tidur,” dia memberitahu Johan.

“Kenapa pulak?” dia sebaliknya menyoal.

“Nak siapkan tugasan yang diberikan pensyarah. Minggu depan dah nak kena hantar,” balasnya.

“Banyak ke?” tanya Johan dengan rasa penuh minat.

“Banyak!” angguknya.

“5 tugasan aku kena buat,” terangnya lagi pada Johan.

Perbualan mereka yang rancak lantas terhenti. Apabila pelayan muncul sambil membawa dulang yang berisi makanan dan minuman. Sulaiman memesan roti kosong dan air teh tarik. Manakala Johan pula memesan roti telur dan air kopi ‘o’. Pelayan lelaki yang berusia dalam lingkungan awal 30-an itu kemudiannya lalu perlahan-lahan meletakkan makanan dan minuman yang dipesan di atas meja.

“Terima kasih!” Johan bersuara sambil memandang wajah pelayan.

“Sama-sama, encik! Silakan!” jemputnya sambil memandang wajah Johan dan Sulaiman silih berganti.

Johan dan Sulaiman sebaliknya lalu membalas dengan mengangguk-angguk diam.

Pelayan kemudiannya lalu beredar pergi sambil membawa dulang yang telah kosong.

Sebelum menikmati hidangan mereka membaca doa terlebih dahulu. Johan memimpin bacaan doa. Sebagai tanda melafazkan kesyukuran pada rezeki yang telah dikurniakan Allah SWT.

“Hah, makanlah! Aku belanja. Sebagai meraikan kejayaan kau dapat sambung belajar di universiti,” ucap Johan sebaik-baik saja selesai membaca doa.

Sementara itu pelanggan semakin ramai memenuhi restoran untuk bersarapan pagi. Restoran ini memang terkenal dengan kesedapan roti canainya. Lembut dan garing apabila dimakan. Pelayan sibuk ke sana dan ke sini. Mengambil pesanan pelanggan dan menghantar makanan serta minuman.

Suara pelanggan berbual sambil menikmati hidangan bersama bunyi tingkah sudu dan garpu berlaga serta cawan diletakkan di atas piring jelas kedengaran memecah seluruh ruang restoran. Johan dan Sulaiman rancak berbual sambil menikmati hidangan yang dipesan.

“Macam tulah belajar. Aku dulu pun macam tu jugak. Memanglah ada cabaran dalam pengajian jarak jauh ni. Sebab kita bukannya sepenuh masa. Tambah pulak kita terikat dengan kerja. Yang penting kita komited. Insya-Allah! Kita pasti berjaya,” Johan berkata. Sambil mencucuk garpu pada kepingan roti telur yang telah dipotong. Kemudian lalu mencicahnya ke dalam kuah kari ikan di dalam pinggan dan menyuapkannya ke dalam mulut.

Sulaiman sebaliknya hanya mendiamkan diri saja. Apabila mendengar kata-kata kawannya itu. Dia kemudiannya lalu menghirup air teh tarik yang masih lagi panas itu. Asap nipis kelihatan teroleng-oleng naik ke atas dan kemudian lalu hilang. Setelah menghirup air teh perlahan-lahan dia meletakkan semula cawan di atas piring yang menjadi alas.

“Memang benar apa yang kau katakan tu, Johan. Dalam hal ni kita kena bijak. Waktu kerja kita kerja. Waktu belajar kita belajar. Jangan di campur aduk. Baru kita dapat fokus kedua-duanya,” dia berkata.

“Eloklah macam tu. Tapi dalam kau berjaga untuk menyiapkan semua tugasan tu kesihatan kau pun kena jaga jugak. Sebab bila kita kurang rehat secukupnya kita mudah dapat sakit. Hah! Kau ingat pesan aku tu,” ingat Johan padanya.

“Insya-Allah, Johan. Aku ingat pesan kau tu. Dalam sibuk bekerja dan belajar aku tak lupa untuk bersenam. Bila badan kita sihat otak kita pun cergas,” dia membalas.

Baginya untuk mendapat keputusan yang cemerlang perlu rajin membaca dan bertanya pensyarah apabila tidak faham apa yang diajarkannya. Dia berasa begitu amat seronok apabila mengikuti pengajian jarak jauh. Banyak ilmu dan penemuan terbaru ditemuinya melalui pembelajaran yang diikutinya. Demikianlah seronoknya bagi dia apabila dapat belajar melalui pengajian jarak jauh.

“Keputusan awak dalam peperiksaan sangat baik. Tahniah. Saya harap awak terus kekalkan prestasi ini. Saya yakin. Awak akan menjadi pelajar yang cemerlang apabila tamat belajar nanti,” puji Dr. Kamil pensyarahnya.

Namun dia sedikit pun tidak berasa bangga dan riak dengan pujian yang diberikan Dr. Kamil itu. Ini baru permulaan dan masih banyak lagi ilmu yang perlu ditimbanya. Sifat bangga diri dan riak tidak disukai Allah SWT. Kerana sifat itu akan menjadikan seseorang itu mudah lupa diri dan bongkak. Dia sebaliknya lebih senang memilih untuk merendah diri. Umpama padi makin tunduk makin berisi.

“Semua ni pun hasil tunjuk ajar Dr. Terima kasih, Dr. Saya akan terus berusaha untuk mencapai kejayaan yang lebih banyak lagi. Pada masa yang akan datang,” janjinya.

Sekali lagi lamunannya yang jauh melayang itu lantas terhenti. Bila kedengaran pintu biliknya diketuk.

“Masuk!” arahnya dengan pantas.

Sebaik-baik sahaja pintu terbuka Rosli melangkah masuk ke dalam bilik sambil tangannya memegang borang yang dimasukkan dalam envelop saiz A4 berwarna perang.

“Hah, awak Rosli duduklah,” pelawanya.

“Terima kasih, Encik Sulaiman,” dia membalas sambil menarik perlahan kerusi dan kemudiannya lalu duduk.

Kesejukan alat penghawa dingin jelas terasa mengepung seluruh ruang bilik. Hawa yang dikeluarkan alat penghawa dingin termampan pada dinding batu yang dicat dengan warna biru air laut.

“Saya sebenarnya nak sambung belajar di peringkat master, Encik Sulaiman. Jadi sebagai ketua jabatan saya nak dapatkan kelulusan daripada Encik Sulaiman untuk cuti belajar,” jelasnya.

Dia berasa amat gembira apabila mendengar apa yang dikatakan Rosli itu.

“Alhamdulillah! Bagus! Inilah peluang yang sangat baik untuk awak meningkatkan lagi kerjaya awak pada masa depan. Saya luluskan permohonan awak ini,” balasnya. Nada suaranya jelas kedengaran tenggelam bersama bunyi deruan alat penghawa dingin yang tergantung pada dinding di biliknya.

“Terima kasih, Encik Sulaiman. Ini dia borang yang perlu Encik Sulaiman tandatangan sebagai menyokong permohonan saya,” sambut Rosli pula sebaliknya sambil membuka envelop saiz A4 dan mengeluarkan borang dan seterusnya menghulurkan dengan penuh sopan kepada Sulaiman. Dia lalu menyambut borang yang dihulurkan Rosli itu dan membaca isi kandungannya.

Setelah membaca isi kandungannya dia kemudiannya lalu menurunkan tandatangan pada borang itu dan menyerahkannya semula kepada Rosli.

“Bila ada master peluang kenaikan pangkat awak amat cerah. Saya harap semua kakitangan di jabatan ini akan mengikut jejak langkah awak mengambil pengajian luar kampus. Demi untuk meningkatkan diri dan kerjaya,” dia berkata pada Rosli.

“Insya-Allah, Encik Sulaiman. Terima kasih kerana meluluskan permohonan saya. Saya tak akan sia-siakan peluang ini. Saya yakin. Kakitangan yang lain pasti akan menyahut saranan Encik Sulaiman. Dengan menjadikan ilmu sebagai kunci utama untuk berjaya di masa depan,” Rosli membalas pula sebaliknya.

“Baguslah kalau macam tu!” angguknya dengan pantas. Bila mendengar apa yang dikatakan Rosli itu.

“Satu hari nanti saya akan bersara. Kalau diizinkan Tuhan awaklah yang akan menggantikan tempat saya. Memang sewajarnyalah saya memberi kelulusan kepada awak untuk belajar lagi. Sebagai ketua kita perlu ada ilmu penuh di dada. Untuk membawa jabatan ke arah kecemerlangan,” dia menyambung lagi.

“Terima kasih, Encik Sulaiman. Kerana telah memberikan suntikan semangat kepada saya. Insya-Allah. Kalau satu hari nanti Allah SWT mengizinkan saya untuk menggantikan tempat Encik Sulaiman saya akan berusaha untuk membawa jabatan ini ke arah kecemerlangan dan penuh visi berbekalkan dengan ilmu yang saya ada,” ikrar Rosli.

“Saya dulu pun macam awak jugak, Rosli. Bermula daripada bawah. Kemudian saya ambil keputusan untuk belajar lagi. Sebab bagi saya tak akan selama-lamanya saya akan menjadi pembantu tadbir. Lepas dapat ijazah saya kembangkan lagi ilmu yang saya dapat dengan ambil master selama 2 tahun. Alhamdulillah. Dengan master yang ada saya berjaya menjadi ketua jabatan,” dia memberitahu Rosli.

“Saya akan jadikan Encik Sulaiman sebagai contoh penjawat awam yang berilmu dan cemerlang,” janjinya.

“Saya doakan awak berjaya menjadi seorang pelajar yang cemerlang,” ucapnya.

“Terima kasih, Encik Sulaiman. Kalau tak ada apalagi saya mohon pergi. Sebab banyak kerja lagi yang perlu saya selesaikan. Sebelum saya mula bercuti,” nyata Rosli.

“Baguslah macam tu, Rosli. Sekurang-kurangnya orang yang akan mengambil alih tempat awak nanti tidaklah menanggung beban kerja yang awak tinggalkan,” dia bersuara.

Rosli kemudiannya lalu pergi dan meninggalkan bilik sambil membawa borang yang telah ditandatangan ketua jabatannya. Rasa kegembiraan jelas terpancar di wajah Sulaiman. Rosli mengikut jejak langkahnya mengambil cuti untuk menyambung pelajaran dalam peringkat master. Semasa mengambil master dulu pun dia mengambil cuti. Bagi dia dengan mengambil cuti sajalah dia dapat menumpukan sepenuh perhatian untuk menyiapkan master agar tidak mengganggu waktu kerja.

Berbanding dengan sewaktu dia mengambil ijazah dulu. Dia masih lagi dapat menumpukan perhatian terhadap kerja walaupun dalam masa yang sama mengikuti pengajian luar kampus di Universiti Putra Malaysia. Tapi master lain kerana komitmen seratus peratus ditagih untuk menyiapkannya sehingga selesai.

“Macam mana dengan pelajaran kau setakat ni?” Razali menyoal.

“Alhamdulillah. Semuanya baik dan tak ada masalah. Aku juga dapat memberikan komitmen pada kerja dan belajar dalam satu masa.” Jawapan yang diberikannya pada Razali.

Razali sebaliknya lalu tersenyum apabila mendengar jawapan yang diberikannya itu. Dari raut wajah yang ditunjukkan Razali itu dia telah pun dapat membaca. Bahawa itu bukanlah jawapan sebenar yang diinginkan Razali daripada soalan yang diajukan kepadanya.

“Sekarang bolehlah kau cakap sebab kerja tak banyak lagi. Bila kerja dah banyak nanti dan kena siap cepat tambah pulak waktu tu peperiksaan dah nak dekat barulah kau pening kepala. Fikir pasal kerja fikir lagi pasal baca buku,” ulas Razali pula sebaliknya.

Seperti biasa dia mengambil apa yang dikatakan Razali itu sebagai cabaran dan pencetus semangat. Untuk membuktikan yang dia mampu menjadi pelajar cemerlang dengan mengambil pengajian luar kampus. Apa yang dikatakan Razali itu memang tidak dapat dinafikan. Macam-macam kerja baru yang datang. Kerja yang lama belum siap lagi.

Namun semua itu tak boleh menjadi halangan baginya untuk mengejar cita-cita. Mahupun menjadikannya sebagai tekanan antara kerja dan belajar. Segala kerja disiapkannya cepat tanpa bertangguh. Dia mengorbankan masa bersama keluarga dengan mengambil kerja lebih masa sehingga ke lewat malam dan hari cuti. Dalam masa yang sama dia tidak mengabaikan pelajaran. Mujurlah isterinya memahami apa yang dilakukannya itu adalah untuk kebaikan dalam dia bekerja dan belajar.

Hari demi hari bulan demi bulan tahun demi tahun. Pejam celik pejam celik sedar-sedar dia telah berjaya menamatkan pengajian dengan memperolehi Ijazah Kelas Pertama dan menerima anugerah sebagai pelajar cemerlang.

“Syukur alhamdulillah, Mah. Abang dah pun dapat ijazah. Sepertimana yang abang impikan selama ini,” dia bersuara dalam nada suara yang penuh gembira. Setelah menerima ijazah dan anugerah sebagai pelajar cemerlang dalam majlis konvokesyen yang diadakan di Universiti Putra Malaysia.

“Mah pun tumpang gembira dengan kejayaan abang. Inilah hasil yang abang dapat daripada penat lelah dan pengorbanan abang selama ini,” balas isterinya pula.

“Abang juga berterima kasih pada Mah. Kerana dengan berkat doa dan semangat yang sentiasa Mah berikan abang telah berjaya pada hari ini. Kejayaan ini juga adalah rezeki untuk anak-anak kita,” tambahnya lagi.

Selain daripada isterinya Dr. Kamil juga turut tumpang gembira dengan kejayaan yang telah diperolehinya itu.

“Tahniah, Sulaiman!” dia berkata sambil mengangguk-anggukkan kepala dan berjabat tangan dengannya.

“Memang saya dah duga. Sejak dari awal semester lagi awak telah menunjukkan prestasi yang cemerlang. Anugerah ini sewajarnyalah menjadi milik awak. Inilah habuan yang awak dapat. Hasil daripada usaha keras awak selama ini,” dia menyambung lagi.

“Terima kasih, Dr. Dengan segala nasihat dan tunjuk ajar yang Dr. berikan saya telah berjaya mendapat kejayaan sepertimana pada hari ini. Saya tak tahu macam mana hendak membalas segala budi baik dan jasa Dr. Hanya Allah SWT sajalah yang akan membalas segala kebaikan yang telah Dr. lakukan pada saya,” dia membalas.

“Itu sudah menjadi tanggungjawab saya sebagai pensyarah. Untuk memastikan pelajaran pelajar saya di universiti berjaya. Memandangkan awak begitu cemerlang dalam pelajaran saya cadangan supaya awak menyambung dalam peringkat master pula,” kata Dr. Kamil.

“Master?” ulang Sulaiman pula sebaliknya sambil memandang Dr. Kamil yang bercermin mata dan berambut lurus serta berbadan gempal.

“Ya! Ini untuk meningkatkan lagi kecemerlangan dan menambahkan lagi ilmu pengetahuan awak,” tegasnya lagi.

“Saya nak ambil tajuk apa, Dr?” dia menyoal dengan rasa penuh minat.

“Awak ambil tajuk tentang komunikasi. Saya akan jadi penyelia. Saya yakin. Dengan keputusan cemerlang yang awak dapat dalam pengajian luar kampus awak mampu untuk menyudahkan pengajian dalam peringkat master pula,” Dr. Kamil menambah.

Dengan perangsang dan dorongan daripada Dr. Kamil dia menyambung pula pengajian di peringkat master sehingga selesai. Sementara itu Razali berasa malu kerana selama ini merendah-rendahkan kemampuannya untuk menyambung belajar lagi.

“Maafkan aku, Sulaiman. Kerana selama ini memperkecilkan kau. Dengan ijazah yang ada kau dah naik pangkat. Sekarang kau buat master pulak. Tentu kau naik pangkat lagi …,” luahnya dalam nada suara yang perlahan.

Sulaiman sebaliknya tersenyum dan memegang lembut bahu kawan sekerjanya itu yang tunduk ke bawah. Kerana benar-benar berasa amat malu dengan apa yang telah dilakukannya selama ini.

“Sudahlah tu, Razali. Kau tak ada salah apa pun dengan aku. Insya-Allah. Satu hari nanti kau akan naik pangkat juga. Rezeki naik pangkat ni Tuhan yang menentukan,” Sulaiman membalas.

Perlahan-lahan Razali mengangkat semula muka dan mengangguk-angguk diam sambil memandang wajah Sulaiman. Sebagai tanda bersetuju dengan apa yang dikatakan kawan sekerjanya itu. Mereka sama-sama masuk bekerja sebagai pembantu tadbir di jabatan ini. Cuma Sulaiman saja sekarang yang naik pangkat sebagai pegawai tadbir. Dia masih lagi pembantu tadbir walaupun sudah bekerja hampir 10 tahun.

“Aku dah ambil keputusan. Nak ikut macam kau sambung belajar lagi. Bila ada ijazah nanti dapatlah aku naik pangkat. Itu pun kalau ada rezeki,” dia memberitahu Sulaiman.

Sulaiman berasa amat gembira sekali apabila mendengar apa yang dikatakan Razali itu.

“Aku sokong, Razali!” Dia menepuk bahu kawan sekerjanya itu beberapa kali.

“Aku doakan semoga cita-cita kau itu akan tercapai. Lagi satu walaupun sekarang aku dah naik pangkat kau jangan bimbang. Aku tak akan berubah. Kau tetap kawan aku. Sama-samalah kita bekerja dalam semangat satu pasukan. Demi untuk jabatan ini,” tambah Sulaiman lagi.

Dia masih lagi tersandar di kerusi sambil menengadah ke siling. Mengimbau kisah silam yang baginya terlalu indah. Yang pernah dilaluinya pada suatu ketika dahulu. Seperti yang dikatakan Dr. Kamil ilmu ini perlu terus digali. Setelah memperolehi ijazah dan master dia menyimpan hasrat untuk menyambung pengajian di peringkat PHD pula.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *