Rona-Rona Kehidupan

Bangunan Warna

Bangunan Warna ( Engin Akyurt )

Apabila memandang laut yang membiru
aku teringat akan perjalanan hidup ini.

Sepertimana air laut pasang dan surut silih berganti penuh dengan warna-warna suka dan duka. Sambil menarik nafas yang panjang dan memeluk erat tubuh aku melemparkan pandangan ke arah desiran ombak yang menghempas pantai.

Setiap kali sang ombak menghempas pantai akan kelihatan buih-buih memutih yang berapungan membasahi gigian. Sekejap timbul apabila ditolak ombak dan sekejap hilang apabila ditarik ombak. Bayu laut yang berhembus nyaman dan perlahan terasa segar dan dingin menyapu seluruh tubuhku.

Sedang aku asyik mengelamun jauh sambil menghirup udara pantai yang segar tiba-tiba aku teringat akan kata-kata yang menyebut bahawa hari ini hidup kita penuh dengan hilai tawa dan keriangan. Tapi esok belum pasti lagi kerana kehidupan kita mungkin akan bertukar menjadi kesedihan dan kedukaan.

Aku tidak pasti dari mana datangnya kata-kata itu. Namun itulah hakikat dan kenyataan yang harus dihadapi dalam hidup ini. Hari-hari yang kita lalui tak semestinya penuh dengan keindahan. Ada juga hari yang terpaksa kita lalui dengan kepedihan.

Aku kemudian lalu mendongakkan kepala
memandang ke langit. Matahari yang meninggi kelihatan bersinar dengan begitu indah sekali. Butiran pasir yang halus dan putih seakan-akan berkilauan bagaikan mutiara di dasar lautan apabila disinari cahaya matahari yang terik.

Kemudian aku memandang semula ke arah ombak yang tak putus-putus menghempas pantai. Dalam melayari kehidupan perlu kuat dan tabah. Jangan sesekali menjadi lemah atau mudah mengalah menghadapi dugaan yang datang.

Ada yang berkata bahawa bukan hidup namanya kalau tidak berdepan dengan cabaran. Tidak kurang juga yang berkata bahawa tidak sempurna hidup ini kalau tidak menghadapi ujian. Kerana semua itu sudah menjadi asam garam dalam kehidupan ini.

Pandanganku seakan-akan melekat ke arah desiran ombak yang menghempas pantai. Angin laut yang tadinya bertiup dengan perlahan dan nyaman tiba-tiba bertukar menjadi kencang. Pohon-pohon menghijau yang tumbuh di tepi pantai kelihatan seperti menari-nari mengikut rentak angin yang bertiup. Sekejap beralih ke kanan dan sekejap beralih pula ke kiri.

Tak semua kemanisan umpama madu yang dapat kita telan dalam hidup ini. Adawaktunya kita terpaksa menelan kepahitan yang bagaikan hempedu. Tak semestinya hari-hari yang kita lalui disinari dengan cahaya. Adaketikanya kita terpaksa melaluinya tanpa cahaya dan kegelapan.

Aku lalu menarik nafas yang panjang.
Sinaran matahari yang terang-benderang di kaki langit menyinari seluruh kawasan pantai yang indah dan bersih. Suara ombak yang melanda pantai jelas kedengaran bergema membelah suasana yang penuh dengan ketenangan dan kedamaian.

Entah mengapa dengan tiba-tiba sahaja aku teringatkan kata-kata bahawa dalam hidup ini ramai orang yang bergembira yang akan berada di sekeliling kita pada setiap waktu dan ketika. Namun tidak seorang pun yang akan berada di sekeliling kita di kala menangis.

Sudah menjadi lumrah dalam kehidupan manusia. Hanya mahu bergembira sahaja dan tidak ingin sesekali merasa duka. Aku kemudian lalu mengalihkan pandangan ke arah pohon-pohon yang kelihatan seperti mengangguk-angguk apabila ditiup angin. Seolah-olah bersetuju dan mengakui akan kebenaran kata-kata itu.

Teringat juga aku akan kata-kata yang menyebut bahawa hidup ini adalah satu perjuangan. Selagi masih hidup dan bernafas selagi itulah kita akan terus berjuang. Dalam perjuangan adakalanya kita menang dan adaketikanya kita tewas. Itulah adat dalam perjuangan.

Tidak kurang juga yang mengatakan bahawa hidup ini tak ubah seperti satu perhentian. Berjalan dari satu destinasi ke satu destinasi untuk mencari perhentian. Adawaktunya kita sampai ke perhentian yang dituju. Namun adaketikanya kita jatuh tersungkur dalam perjalanan menuju ke perhentian.

Daun-daun yang menghijau kelihatan seperti terbuai-buai apabila disapu angin yang datang daripada arah laut. Daun-daun yang berwarna keperangan dan kekeringan yang berguguran ditiup angin kelihatan bertaburan memenuhi permukaan pasir pantai yang halus dan memutih.

Kadangkala aku teringatkan masa silam yang dilalui yang penuh dengan warna-warna keindahan. Hatiku meronta-ronta untuk kembali semula ke masa yang penuh dengan kegembiraan itu. Tapi apakan daya ia akan terus berlalu pergi dan tidak akan lagi mengetuk pintu kehidupanku.

Begitu juga dengan perjalanan usia yang kita lalui sebagai manusia di dunia yang fana ini. Dari sehari ke sehari usia kita semakin meningkat dan bukannya mengundur semula ke belakang. Rambut yang dahulunya hitam lalu bertukar menjadi uban yang memutih. Itulah tandanya kita telah memasuki usia tua.

Rasa segar dan dingin angin laut yang bertiup jelas terasa menyapu seluruh tubuhku. Aku terus memandang laut membiru yang luas terbentang. Dalam fikiranku asyik memikirkan tentang pentingnya masa dalam kehidupan ini. Sesungguhnya masa itu adalah ibarat emas yang begitu amat bernilai dan berharga sekali. Oleh itu ia perlu direbut dan bukannya kerugian kerana tidak memanfaatkan sepenuhnya masa yang telah diberikan.

Dengan tiba-tiba aku teringatkan kata-kata yang menyebutkan bahawa janganlah terlalu mendabik dada apabila sudah berjaya mencipta kejayaan. Sebaliknya jadilah seperti padi yang semakin tunduk apabila semakin berisi.

Dalam hidup ini adakalanya kita diuji dalam membuat sesuatu keputusan itu. Sehingga kita menjadi dilema dan serba salah untuk mendapatkan keputusan yang terbaik. Namun aku teringatkan kata-kata yang menyebutkan bahawa dalam membuat sesuatu keputusan itu fikirkanlah dengan sepenuh pertimbangan serta bijaksana dan bukannya secara terburu-buru sehingga merugikan diri sendiri.

Sambil berdiri memeluk tubuh aku memerhatikan ombak yang tak henti-henti melanda pantai. Cuaca cerah dan terang-benderang masih lagi menyinari seluruh kawasan pantai. Aku pernah mendengar ungkapan yang menyatakan bahawa janganlah hendaknya sesekali kita lupa pada asal usul.

Janganlah apabila kita sudah berjaya meletakkan diri di puncak kejayaan kita malu mengaku dari mana kita datang. Oleh itu janganlah kita lupa pada kampung halaman yang menjadi tempat kita dilahirkan dan dibesarkan.

Sentiasalah merasa bersyukur dengan segala yang telah kita miliki dalam hidup ini. Janganlah sesekali kita mengeluh mahupun merintih dengan kekurangan yang kita hadapi dalam melalui kehidupan ini. Kerana semua itu adalah ketentuan daripada Tuhan Yang Maha Esa untuk kita.

Aku kemudian lalu mengalihkan pandangan ke seluruh kawasan pantai yang cantik dan bersih. Suara sang ombak yang tak putus-putus melanda pantai terus kedengaran membelah suasana. Lalu aku melafazkan rasa kesyukuran yang tak terhingga ke hadrat Allah SWT kerana dapat menikmati keindahan alam.

Teringat aku akan kata-kata yang menyebutkan bahawa kita tidak pernah memikirkan akan apakah tujuan dan matlamat sebenarnya perjalanan hidup kita ini. Aku tidak pasti daripada mana datangnya kata-kata yang mempunyai maksud yang begitu amat mendalam sekali. Umpama lautan biru yang terbentang luas apabila dihayati.

Jawapannya adalah kita jangan terlalu asyik untuk memburu keseronokan dan kegembiraan dalam hidup ini. Sebaliknya sebagai hamba maka jalankanlah tanggungjawab kita untuk beriman dan bertakwa terhadap Allah SWT untuk mendapat kesejahteraan dan kebahagiaan hidup di dunia mahupun akhirat.

Kata-kata itu benar-benar menjadikan aku tertanya-tanya dalam diri. Apakah aku telah sempurna dalam kehidupan seorang yang bernama manusia? Atau aku lebih banyak menghabiskan masa dan lalai dengan kemewahan serta kelazatan hidup di dunia. Ya, Allah! Jadikanlah aku insan yang sentiasa taat dan patuh pada perintah-MU dengan berbuat segala kebaikan dan menjauhkan daripada melakukan kemungkaran serta kemaksiatan. Demikian doa di hati kecilku ini.

Lalu aku teringatkan kata-kata bahawa cawan mana yang tak pecah. Pinggan mana yang tak retak. Lidah mana yang tak tergigit. Gading mana yang tak retak. Bumi mana yang tak ditimpa hujan. Sesungguhnya aku adalah seorang manusia yang lemah. Tidak dapat lari daripada melakukan salah dan silap. Baik yang kecil mahupun yang besar. Sama ada disedari ataupun tidak.

Pada Tuhan Yang Esa aku memunajatkan doa. Agar diberikan keampunan ke atas segala dosa-dosa yang telah aku lakukan. Sebagai insan yang serba kekurangan diri kuakui bahawa tidak dapat mengelak dan lari daripada melakukan sebarang kesilapan mahupun kekhilafan. Sesungguhnya aku amat takut dengan azab seksa-MU yang pedih dan amat menyakitkan atas kesalahan dan kesilapan yang telah aku lakukan itu. Jadikanlah aku insan yang sentiasa mendapat rahmat dan perlindungan-MU sentiasa. Doa di hati kecilku.

Suara desiran ombak terus kedengaran menghempas pantai. Aku menarik nafas dengan sedalam-dalamnya. Rasa dingin dan nyaman angin yang datang daripada arah laut jelas terasa mengusapi seluruh tubuhku. Inilah yang dinamakan sebagai warna-warna dalam kehidupan! Demikianlah bisikku dalam hati kecil.

Pelbagai warna termasuk corak yang menghiasi perjalanan dalam hidup ini. Ada warna dan corak yang begitu indah dan cantik apabila dipandang mata. Tidak kurang juga warna dan corak yang amat pedih dan perit menghiasi lukisan perjalanan hidup ini. Namun itulah hakikat dan kenyataan yang harus aku hadapi sebagai seorang yang bernama manusia. Dalam meneruskan perjalanan hidup ini selagi mata masih lagi terbuka dan nafas masih lagi belum terhenti. Aku kemudiannya lalu mengatur langkah meninggalkan pantai dan membiarkan sang ombak terus menghempas gigian pantai.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *