Cerpen “Suara Desiran Ombak”

Ombak2

Ombak ( Earano )

Sayup-sayup kedengaran
suara ombak menghempas pantai.
Buih-buih memutih kelihatan berapungan
membasahi gigian pantai.

Sekejap timbul dan sekejap hilang. Apabila ditolak dan ditarik ombak. Matahari kelihatan bersinar indah di kaki langit biru. Bersama gumpalan awan putih yang menebal.

Cahaya matahari yang terang-benderang menyinari seluruh alam semesta. Bayu laut bertiup sepoi-sepoi bahasa. Rasa nyaman dan dingin jelas terasa membelah suasana. Pohon-pohon hijau yang tumbuh di tepi pantai seperti menari-nari apabila ditiup angin yang datang daripada arah laut. Adakalanya ke kanan dan adakalanya ke kiri. Mengikut irama angin yang bertiup.

Daun-daun hijau yang bergeseran antara satu sama lain jelas kedengaran menyanyikan lagu merdu. Jiwa yang dilanda duka lalu jadi terhibur apabila mendengarnya. Daun-daun kering yang berguguran ditiup angin jelas kelihatan bertaburan di atas permukaan pasir yang memutih dan halus.

Sesekali kedengaran bunyi gemertap ranting patah jatuh ditiup angin dan menimpa permukaan pasir. Jalur-jalur cahaya matahari yang lurus kelihatan menembusi celah-celah dedaunan hijau dan terpantul di atas permukaannya. Butiran pasir yang halus dan memutih kelihatan berkilau-kilauan umpama mutiara di dasar lautan apabila disinari cahaya matahari yang semakin menerik.

“Hidup kita tak ubah seperti air laut yang membiru. Pasang dan surut silih berganti. Dalam erti kata lain penuh dengan warna-warna suka dan duka,” Adnan bersuara sambil menarik nafas yang panjang.

“Aku memang tak nafikan apa yang kau katakan tu, Nan. Hidup kita ni tak ubah seperti putaran roda. Adaketikanya kita berada di atas. Dan adaketikanya kita berada di bawah,” balas Nora.

“Sebab itu aku banyak menulis tentang kisah suka duka kehidupan manusia,” dia menambah lagi.

“Aku dah baca karya-karya kau. Menarik dan hebat. Bukan saja kau tulis tentang kisah kehidupan manusia. Malahan aku dapati kau jugak menulis tentang manusia yang rindukan Tuhan dan kedamaian,” ulas Nora pula sebaliknya.

Angin laut yang tadinya bertiup sepoi-sepoi bahasa tiba-tiba bertukar menjadi kencang. Bunyi pohon-pohon bergoyangan dan daun-daun hijau terbuai-buai ditiup angin jelas kedengaran membelah suasana. Rasa nyaman dan segar jelas terasa menyapu seluruh kawasan Pantai Teluk Kemang, Port Dickson. Sebuah kawasan peranginan yang masyhur dan menjadi tumpuan utama pelancong tempatan dan luar.

Tudung yang menutupi kepala Nora kelihatan mengerbang apabila ditiup angin. Dia kemudian lalu membetulkannya.

“Aku tidak merasakan karya-karya yang aku hasilkan hebat dan menarik. Ada lagi yang lebih hebat daripada aku. Tambah pulak aku belum lagi setanding dengan penulis-penulis yang telah terkenal dan menempa nama dalam dunia penulisan di tanah air ini.” Dia sebaliknya merendah diri apabila mendengar kata-kata Nora itu.

“Aku berkata dengan ikhlas, Nan!” angguk Nora pula dengan pantas.

“Aku gemar membaca puisi-puisi yang kau tulis,” katanya lagi.

“Aku ucapkan terima kasih di atas penghargaan dan pengiktirafan yang telah kau berikan itu. Amat besar ertinya buat aku sebagai seorang penulis,” sambut Adnan.

“Kenapa kau memilih tema ketuhanan, kemanusiaan dan kedamaian dalam puisi yang kau tulis?” Nora semakin merancakkan lagi tajuk perbualan.

“Aku mahu pembaca bukan sekadar membaca apa yang aku tulis tapi berkongsi sama apa yang ingin aku luahkan,” dia menjawab.

Nora sebaliknya hanya mengangguk-angguk diam sahaja. Sebagai tanda faham dan mengerti dengan jawapan yang diberikan Adnan itu. Dia kemudian lalu mengalihkan pandangan ke arah laut yang membiru. Kelihatan sebuah kapal sedang berlayar mengharungi lautan yang luas. Destinasi yang ditujunya sudah pasti pelabuhan bersama dengan bekalan yang dibawa. Dia kemudian lalu memandang semula wajah Adnan.

“Kapal yang sedang berlayar itu mengingatkan aku tentang perjalanan hidup kita di atas dunia. Perlu membawa bekalan yang secukupnya untuk dibawa ke pelabuhan yang kekal lagi abadi,” dia berkata.

“Sebagai manusia kita dituntut agar sentiasa bertakwa dan beriman terhadap Allah SWT. Dengan mengikuti segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya. Agar kita mendapat keberkatan hidup di dunia dan akhirat,” balas Adnan pula.

“Tapi kita sebagai manusia terlalu mengejar dunia. Sehingga lupa pada Tuhan dan amal ibadat,” ujarnya.

“Sebab itulah kita tidak boleh lari daripada hakikat bahawa yang baik itu datang daripada Allah SWT. Dan yang lemah serta khilaf itu datang daripada diri kita sendiri,” Adnan menambah.

Dia lalu diam. Dari raut wajahnya itu jelas kelihatan bahawa dia sedang memikirkan sesuatu. Angin yang tadinya kencang lalu bertukar menjadi lemah-gemalai. Rasa dingin dan nyaman jelas terasa menyapu permukaan kulit mereka berdua.

“Maafkan aku bertanya,” ucap Nora.

“Apa dia?” dia mengangkat kepala tinggi sedikit sambil memandang wajah Nora yang semakin jelita dan ayu itu apabila dihembus bayu laut yang bertiup.

“Adakah kau menulis kerana wang?” tanya Nora.

Dia sebaliknya lalu tersenyum.

“Soalan yang amat menarik,” jawabnya.

“Jawapannya sudah tentu amat menarik, bukan?” Dia memandang wajah Nazri.

“Aku tidak menulis kerana wang. Jauh sekali mengejar nama,” Nazri membalas.

“Menarik!” dia lalu mengangguk-anggukkan kepala dengan pantas. Sambil matanya tepat dan tidak berkelip-kelip sedikit pun memandang wajah Adnan.

“Aku menulis demi untuk mencari kepuasan diri sendiri,” dia bersuara tenang.

“Dalam sekali kata-kata kau tu dan penuh dengan makna. Baiklah. Teruskan. Aku nak dengar apa yang kau maksudkan tu!” Nora mengangguk-anggukkan kepala.

“Bagi aku kepuasan apabila karya aku disiarkan dan dibaca oleh pembaca. Terutamanya kau,” dia berkata sambil tersenyum memandang Nora.

“Oh, begitu!” angguk Nora pula sebaliknya.

“Bila masanya kau menulis?” dia menyoal tak henti-henti.

“Malam. Kesunyian dan kedinginan malam memberikan aku ilham untuk menulis. Tapi ilham ni tak menentu. Sekejap ada. Sekejap tak ada. Kadang-kadang langsung tak ada,” jawab Adnan pula sebaliknya.

“Nampaknya ilham ni macam air laut juga, ya. Adaketikanya pasang. Adaketikanya surut,” dia mengulas.

“Demikianlah perjalanan hidup yang kita lalui di atas dunia ni. Hari ni kita berasa gembira. Tapi esok belum pasti. Mungkin kita akan berasa duka. Semuanya bukan di tangan kita untuk menentukannya. Tapi ditentukan oleh Tuhan Yang Maha Esa,” kata Adnan dalam nada suara yang penuh tenang.

Dia sebaliknya lalu mengangguk-angguk diam. Desiran suara ombak menghempas pantai jelas kedengaran membelah suasana. Buih-buih memutih tak putus-putus membasahi gigian pantai. Memang enak rasanya apabila dapat menghirup udara pantai yang segar dan dingin. Inilah yang menjadikan Pantai Teluk Kemang sering mendapat tempat di hati pelancong tempatan mahupun luar.

“Dalam hidup ini kita perlu sentiasa bersyukur,” ucap Nora pula sebaliknya.

“Bila kita sentiasa bersyukur dalam hidup ni nikmat kehidupan akan berganda. Tapi kalau kita kufur maka nikmat yang ada pada kita pada bila-bila masa akan ditarik Tuhan. Sama-samalah kita saling ingat-mengingatkan. Termasuk diri aku sendiri,” dia berkata.

“Aku teringat sebuah puisi yang pernah kau tulis di mana di dalamnya menyebutkan bahawa apabila memandang ke langit tinggi rumput yang menghijau di bawah jangan sesekali dilupakan.” Nora nampaknya menghangatkan lagi tajuk perbualan.

“Hebat kau. Ingat setiap patah perkataan yang aku tulis dalam puisi yang aku hasilkan,” dia menyambut sambil tersenyum.

“Mesti la aku ingat. Aku kan peminat karya kau,” ucap Nora pula sebaliknya sambil membalas senyuman yang diberikan Adnan itu.

“Tak sangka aku. Dalam diam-diam aku ada peminat tegar rupanya,” katanya.

“Kau seharusnya berasa bangga kerana ada yang meminati karya kau,” tambah Nora lagi.

“Itu bagi kau. Tapi bagi aku tidak. Aku merasakan aku seorang penulis yang baru menapak. Seperti yang aku katakan pada kau. Aku bukanlah seorang penulis yang tersohor. Banyak lagi yang aku perlu belajar. Untuk menjadikan karya aku yang terbaik dan sentiasa mendapat tempat di hati pembaca,” balasnya.

“Kau nampaknya sentiasa merendah diri,” ucap Nora.

“Aku lebih senang begitu, Nora. Daripada berasa riak dan bangga apabila mendapat pujian,” tegasnya pula.

“Jelas kau berpegang kepada pepatah ikut resmi padi makin tunduk makin berisi,” kata Nora.

“Itu yang lebih baik daripada hidup menongkah langit,” dia menambah.

“Penulis memang pandai bermain dengan kata-kata,” ujar Nora lagi.

“Sebagai seorang penulis bukan saja perlu banyak karya tetapi juga perlu banyak membaca untuk menambahkan lagi ilmu di dada,” dia berkata.

“Aku harap kau akan terus berkarya, Nan. Untuk terus memperkasa dan memartabatkan lagi dunia penulisan di tanah air ini,” balas Nora pula sebaliknya.

“Terima kasih, Nora!” angguknya dengan pantas.

“Atas dorongan dan semangat yang kau berikan itu,” sambungnya lagi.

Suara desiran ombak yang menghempas pantai terus kedengaran membelah suasana.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *