Rencah Dalam Kehidupan
Tak semua yang kita impikan
dalam hidup ini akan menjadi kenyataan.
Segala-galanya ditentukan oleh Tuhan.
Sama ada manis mahupun pahit harus kita terima dengan penuh redha. Kerana itu sudah menjadi lumrah dalam kehidupan yang kita lalui.
Hidup ini sering dikaitkan dengan laut yang membiru. Pasang dan surut silih berganti tanpa hentinya. Hidup ini diwarnai dengan rasa suka dan duka. Hari ini kita diulit dengan rasa kegembiraan. Tapi esok belum pasti lagi. Mungkin akan tiba giliran duka pula menghiasi kehidupan kita.
Seperti roda yang berputar. Sekejap berada di atas. Sekejap berada di bawah. Demikianlah diibaratkan perjalanan hidup ini. Tidak sentiasa kita akan tersenyum gembira. Adaketikanya kita akan menangis hiba. Marilah kita bersama-sama merenungkan tafsiran kehidupan ini.
Sewaktu berada di puncak kegemilangan kita menjadi sanjungan. Namun apabila jatuh tiada siapa pun yang berasa simpati dengan kita. Waktu itu barulah kita kenal siapa sahabat mahupun kawan yang berada di sekeliling kita selama ini.
Sudah menjadi lumrah dalam kehidupan. Inginkan yang baik sahaja dan bukannya yang buruk. Mahukan cahaya yang indah bersinar dan bukannya kegelapan. Suka pada kecantikan dan bukannya pada keburukan. Cinta pada emas permata dan bukannya pada kaca yang berderai.
Kehidupan tidak akan terhenti mahupun putus. Selagi Tuhan mengizinkan dan memberikan kesempatan kepada kita untuk terus bernafas di atas dunia yang fana ini. Maka kita umpama kapal yang berlayar di tengah lautan sambil membawa bekalan menuju ke pelabuhan yang abadi.
Peluang yang diberikan ini tidak seharusnya kita sia-siakan dengan begitu sahaja. Hiasilah hidup ini dengan amal dan ibadat. Bukannya dengan perkara yang membawa kepada kemungkaran. Andainya hidup dipenuhi dengan perkara yang baik sepertimana yang disuruh oleh Tuhan maka syurga yang penuh dengan kenikmatan tempat buat kita.
Tetapi kalau kita lebih condong kepada melakukan dosa dan kejahatan maka neraka yang penuh dengan seksaan dan azab yang pedih sebagai kifarah untuk kita. Oleh itu jadilah insan yang benar-benar bertakwa dan beriman.
Sebagai hamba kita harus menurut dan mengerjakan segala yang telah diperintahkan Allah SWT dan meninggalkan serta menjauhkan segala larangan-Nya agar mendapat keberkatan hidup di dunia mahupun di akhirat.
Hidup harus dilalui dengan penuh ketabahan dan kesabaran. Pelbagai dugaan serta cabaran harus diterima dengan penuh redha dan hati yang terbuka. Walaupun amat perit dan menyakitkan namun itulah hakikat yang mesti diterima selagi kita masih diberikan peluang dan ruang untuk hidup di dunia yang fana ini.
Dugaan dan cabaran akan menjadikan kita kuat untuk melayari perjalanan hidup ini. Kuat seperti pantai yang tidak musnah mahupun roboh apabila dilanda ombak. Berputus asa atau mengalah jangan sesekali. Sebaliknya hidup mesti diteruskan walaupun terpaksa menghadapi liku-liku dan ranjau yang amat memedihkan.
Sekali kita mengalami kegagalan bukan bererti kita akan gagal buat selama-lamanya dalam hidup ini. Tewas buat kali pertama bukan bermakna kita telah menempa kekalahan dalam hidup ini. Apabila jatuh tidak bererti kita tidak akan bangun lagi.
Maka segeralah kita bangkit untuk menjadi pemenang dalam hidup ini. Lupakanlah kegagalan yang telah dialami. Bangunlah bersama-sama dengan semangat yang membara bagaikan api yang membakar. Untuk menebus kekecewaan dan kegagalan yang telah dialami.
Berlapang dadalah menerima setiap kegagalan mahupun kekecewaan yang dialami. Jangan sesekali merintih ataupun menangis tetapi sebaliknya jadikanlah ia sebagai hikmah yang tersembunyi. Bersangka baiklah terhadap apa yang telah didatangkan Tuhan buat kita.
Kemanisan akan terasa apabila kita berjaya dalam hidup. Hasil daripada berkat kesabaran bersama-sama dengan kegigihan dalam mengharungi cabaran yang mendatang. Sesungguhnya dugaan membentuk diri kita agar menjadi kuat.
Andainya hari semalam yang kita lalui bukanlah hari yang terbaik maka jadikanlah hari ini yang kita lalui sebagai yang paling baik. Semalam yang berlalu biarkanlah berlalu pergi dan tak usahlah diingat mahupun dikenang apa yang telah terjadi.
Jadikanlah semalam yang dilewati sama ada suka ataupun duka sebagai pengalaman dalam kita mengenal erti kehidupan ini. Perbaikilah segala yang lemah dan kekurangan. Agar kita menjadi insan yang sempurna dan terbaik pada hari-hari yang mendatang.
Sifat lemah dan kekhilafan sentiasa ada dalam diri kita yang bernama manusia. Tidak dapat lari daripada melakukan salah dan silap. Sama ada disedari ataupun tidak. Maka jadikanlah ia sebagai satu pengajaran yang paling berguna dalam hidup kita. Supaya kita tidak mengulanginya pada masa yang akan datang.
Dalam melakukan sesuatu itu biarlah dengan penuh keikhlasan. Janganlah suka menunjuk-nunjuk mahupun untuk mendapat nama. Hanya Tuhan sahaja yang dapat menilai terhadap apa yang telah kita lakukan. Bukannya diri kita sendiri mahupun orang lain.
Bila kita sesat maka segeralah kembali semula ke pangkal jalan. Bersyukurlah kerana Allah SWT telah membukakan pintu hati kita sebelum menjadi lebih sesat lagi. Kalau sebelum ini hidup kita dalam kegelapan maka carilah sinar cahaya untuk menerangi semula kegelapan yang selama ini membelenggu kehidupan kita.
Jangan mudah terpengaruh dengan kilauan intan permata. Usah muda tergoda dengan kulit buah yang nampak cantik. Berkilauan belum tentu intan permata. Kulit buah yang cantik belum tentu isi di dalamnya elok untuk dimakan.
Berhatilah-hatilah dalam memilih sahabat dan kawan. Pilihlah kawan atau sahabat yang membawa kita kepada arah kebaikan. Bukannya yang membawa kita kepada kehancuran mahupun keburukan. Seperti disebut orang kalau kita berkawan dengan orang yang kuat beragama maka kita akan kuat beragama jadinya. Tetapi sebaliknya kalau kita bersahabat dengan orang yang suka membuat kejahatan maka kita pun akan turut sama membuat kejahatan.
Bukan harta atau wang ringgit yang menjadi ukuran. Tidak dipandang pada rumah mahupun kereta yang besar. Kejujuran di hati dan budi bahasa yang lebih dipandang. Tiada gunanya kita terkenal dengan kekayaan tapi miskin dari segi kejujuran dan akhlak.
Seperti kata pepatah ke mana pulangnya ikan kalau tak ke lubuk. Setinggi mana sekalipun kita belajar jangan kita lupakan dari mana asal usul kita. Sejauh mana sekalipun kaki kita melangkah jangan malu mengaku berasal dari kampung.
Hidup kita sentiasa mengikut peredaran masa. Bermula daripada bayi kemudian kepada kanak-kanak. Daripada kanak-kanak menjadi remaja. Seterusnya daripada remaja kita menjadi berumur dan berakhir dengan menjadi tua.
Tak ubah seperti sehelai daun yang hijau. Apabila tiba ketikanya akan bertukar warna menjadi keperangan dan kekeringan. Kemudian lalu jatuh berguguran ditiup angin dan menimpa tanah. Itulah perjalanan usia yang kita lalui dalam hidup ini.
Ambillah contoh padi. Semakin tunduk semakin berisi. Janganlah mudah bangga diri apabila dipuji. Bersikaplah rendah diri kerana takut nanti pujian akan menjadikan kita riak dan sombong. Anggaplah diri masih lagi serba kekurangan dan masih lagi banyak yang perlu dipelajari. Walaupun telah berjaya menempatkan diri di puncak kejayaan.
Kalau berjanji hendaklah ditepati dan bukannya dimungkiri. Jadilah orang yang sentiasa berpegang pada janji. Bukannya hanya pandai bercakap sahaja tetapi tidak mengotakannya. Ingatlah bahawa menunaikan janji adalah antara sifat yang paling mulia.
Ukurlah baju di badan sendiri mengikut kemampuan. Masaklah nasi mengikut besar periuk yang kita ada. Kalau baju kita kecil maka pakailah baju yang kecil. Begitu kalau periuk kita kecil masaklah nasi mengikut besar mana periuk kita.
Berbelanjalah mengikut kemampuan dan bukannya mengikut rentak orang lain. Jangan diturut cara orang lain berbelanja kerana pendapatan mereka tak sama dengan kita. Jadi, berbelanjalah dengan sekadar wang yang ada pada kita dan bersyukurlah dengan rezeki yang telah dikurniakan Tuhan.
Beranilah untuk membuat perubahan dalam hidup kita. Kalau tidak selama-lamanya kita akan hidup di tempat yang sama dan tidak berganjak sampai bila-bila. Sedangkan orang lain dah semakin berjaya dalam hidup. Sambutlah ini sebagai satu cabaran demi untuk kebaikan diri. Kalau orang lain boleh melakukannya maka yakinlah kita juga boleh melakukannya sepertimana mereka.
Demikianlah perkongsian untuk kita renungkan bersama-sama mengenai perjalanan dan pengembaraan hidup kita sebagai seorang manusia. Jadikanlah apa yang berlaku ataupun tertulis sama ada menggembirakan atau mendukacitakan sebagai rencah dalam kehidupan. Sama-samalah kita menadah tangan dan memunajatkan doa semoga Allah SWT memberkati dan merahmati perjalanan hidup kita.
~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~