Sepucuk Surat Buat Sahabat Handaiku

Kertas Terbang

Surat ( Pxhere )

Kutuliskan sepucuk surat..

Buat sahabat-sahabat yang sentiasa berada dalam ingatan setiap waktu dan ketika.

Sebelum surat ini dilebarkan dengan lebih jauh lagi aku mendoakan semoga kalian berada dalam keadaan sihat sejahtera dan dilindungi Allah SWT jua hendaknya.

Semoga kita sama-sama menghayati apa yang tersirat dalam surat yang tidak seberapa ini. Ketahuilah sahabat-sahabatku bahawa masa itu adalah ibarat emas. Alangkah ruginya kita kalau mempersia-siakan masa yang ada dengan perkara yang tidak mendatangkan manfaat dan faedah.

Isilah sepenuhnya masa yang diberikan kepada kita dengan perkara yang membawa kepada keuntungan dan faedah yang berlipat ganda. Dalam pada itu kita juga jangan lupa bahawa hidup ini perlu dipenuhi dengan amal ibadat.

Lakukanlah dengan rasa penuh ketakwaan terhadap Allah SWT dan tanpa mengharapkan balasan. Pesanan ini juga kutujukan buat diriku dan sama-samalah kita berdoa agar mendapat keberkatan dan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Sesuatu perkara yang dilakukan hendaklah dengan rasa penuh keikhlasan dan bukannya untuk menunjuk-nunjuk atau mendapat nama. Sembunyikanlah segala kebaikan yang telah kita lakukan dan biarlah Allah SWT yang menilainya.

Janganlah kita berasa sombong dan angkuh dengan harta kekayaan dan kemewahan hidup yang dimiliki. Sayugia harus kita ingat bahawa semua itu adalah pinjaman semata-mata sama seperti hayat kita di atas dunia ini. Bila-bila masa sahaja boleh ditarik balik oleh Allah SWT atas kehendaknya.

Oleh yang demikian maka gunakanlah segala kemewahan dan harta kekayaan yang ada ke jalan Allah SWT dengan membantu mereka yang hidup daif dan tidak punya apa. Apabila ini dilakukan maka barulah terasa akan tebal kasih sesama agama dan saudara.

Hidup berketua maka ketua dipertahankan dan begitu juga apabila hidup berkampung maka kampung dipertahankan. Begitu dengan hidup beradat maka adat perlu dipertahankan selama-lamanya walaupun zaman sentiasa berubah tanpa hentinya.

Usah menjadi seperti si kudung mendapat cincin atau kacang lupakan kulit. Janganlah mudah lupa pada asal usul apabila sudah berjaya dalam hidup ini. Ingatlah segala susah payah dan perit getir sebelum menuju ke puncak kejayaan.

Sentiasalah menjaga nama baik keluarga dan jangan sesekali menjadi nila yang setitik merosakkan susu sebelanga. Jangan memberi aib atau menconteng arang di muka keluarga dengan melakukan perkara yang tidak baik.

Sekali kita mengalami kegagalan bukan bererti kita akan gagal buat selama-lamanya dalam hidup ini. Sebaliknya kita perlu kuat dan bangkit daripada kegagalan untuk mencipta kejayaan. Belajar daripada kegagalan lalu adalah sesuatu yang paling berguna dan bermanfaat dalam hidup yang kita lalui.

Setiap yang berlaku mahupun yang terjadi itu ada hikmah yang tersembunyi di sebaliknya. Walaupun perit seperti hempedu namun harus kita terima dengan rasa penuh redha dan tabah. Jangan sesekali mengeluh dengan apa yang telah ditentukan Tuhan terhadap diri kita.

Kehidupan kita di atas dunia ini penuh dengan warna-warna suka dan duka atau dalam erti kata lain tak ubah seperti air laut yang membiru. Adaketikanya kita melihat air laut pasang dan adawaktunya kita melihat air laut surut. Tak semestinya kita merasai keindahan dalam hidup ini dan adaketikanya kita mengalami kedukaan.

Dalam mengharungi perjalanan hidup ini kita tak ubah seperti kapal yang berlayar di tengah lautan sambil membawa bekalan menuju ke pelabuhan. Demikianlah diibaratkan perjalanan hidup kita di atas dunia yang sementara ini. Perlu diisi dengan bekalan yang secukupnya untuk dibawa ke dunia akhirat yang kekal lagi abadi.

Tak usah menjadi seperti tin kosong yang hanya berbunyi kuat tapi dalamnya tak punya apa. Jangan hanya pandai berkata dan berjanji tapi tidak mengotakan dan menunaikannya. Kelak akan menjadi buah mulut orang kerana hanya pandai bercakap saja tapi tak terlaksana.

Sudah menjadi lumrah dalam hidup ini ramai kawan di sekeliling kita yang mahu ketawa bersama-sama dengan kita. Namun tiada seorang pun daripada kawan kita yang mahu menangis bersama-sama apabila kita dilanda kedukaan.

Kawan sejati adalah kawan yang bukan saja mahu bergembira bersama-sama dengan kita tetapi juga menangis sama. Namun kawan yang sejati payah nak ditemui berbanding dengan kawan yang hanya mahu berkongsi rasa suka bersama-sama dengan kita.

Dalam mencari kawan carilah kawan yang sentiasa mengajak kita berbuat kebaikan. Kawan yang mengajak kita membuat kejahatan akan membawa kebinasaan kepada diri kita sendiri. Justeru itu maka berhati-hatilah dalam memilih kawan supaya kita tidak menyesal di kemudian hari.

Ilmu adalah ibarat cahaya yang menerangi kegelapan supaya hidup kita tidak teraba-raba. Penuhkanlah ilmu di dada sentiasa tanpa jemu agar kita dipandang tinggi dan dihormati. Jadikanlah ilmu sebagai teman sejati dalam hidup kita sehingga ke akhir hayat.

Tanpa yang tua tak akan ada yang muda dan oleh itu pada yang tua kita hormatkan. Mereka mempunyai banyak pengalaman dalam hidup ini kerana mereka terlebih dahulu makan garam daripada kita. Maka dengan itu belajarlah tentang erti dan makna hidup ini daripada mereka.

Andainya hilang maka sukar untuk dicari ganti dan andainya cicir maka sukar untuk dipungut kembali. Demikianlah tingginya nilai khazanah warisan sejarah dan budaya. Oleh yang demikian maka kita perlu pulihara dan pertahankan buat selama-lamanya demi untuk tatapan anak cucu cicit kita pada masa yang akan datang.

Adat yang diwarisi semenjak daripada datuk nenek moyang kita perlu dijaga dan dipertahankan walaupun zaman sentiasa mengalami perubahan. Tak lemak dek santan dan tak kuning dek kunyit. Itulah yang dinamakan sebagai adat dan tetap akan kekal dalam kehidupan yang kita lalui. Sesungguhnya adat mengajar kita mengenali peraturan hidup dan nilai-nilai murni.

Ketahuilah bahawa masa itu adalah ibarat kilauan emas dan terlalu amat berharga. Alangkah ruginya kita kalau tidak mengisi masa yang telah diberikan dengan perkara yang mendatangkan manfaat dan faedah. Jadilah orang yang memperolehi keuntungan dan bukannya mendapat kerugian dalam hidup ini.

Kita hidup perlu ada pendirian dan bukannya seperti lalang yang mudah melayang-layang apabila ditiup angin. Setiap keputusan yang dibuat adalah di tangan sendiri dan bukannya di tangan orang lain. Bijaklah dalam membuat keputusan supaya tidak timbul rasa penyesalan di kemudian hari.

Kalau duduk seorang akan berasa sempit berbanding dengan duduk ramai akan berasa lapang. Kita tidak boleh berseorangan dalam mencari buah fikiran mahupun pandangan. Sebaliknya perlu duduk berbincang dan mencari kata sepakat bersama-sama dengan kawan-kawan dan rakan taulan.

Anak adalah anugerah Allah SWT dan perlu kita jaga dengan rasa penuh kasih sayang. Didiklah anak dengan ajaran agama dan berilah pendidikan secukupnya agar menjadi insan yang berguna pada bangsa dan negara. Ingatlah bahawa anak adalah ibarat sehelai kain putih dan terpulang kepada kita sebagai ibu bapa untuk mencorakkannya.

Kejayaan tidak akan mudah datang bergolek tanpa usaha dan kerja keras yang berterusan. Malas berusaha akan menjadikan kita tidak ke mana dan tidak ada peningkatan. Akibatnya kita ketinggalan dan tidak dapat bersaing dengan rakan-rakan sekerja yang lain. Harus kita ingat bahawa habuan sentiasa menanti mereka yang sentiasa rajin dan berusaha untuk meningkatkan diri ke tahap yang terbaik.

Janganlah menjadikan siang dan malam dengan asyik memburu mimpi yang tak pasti. Bangunlah dengan terus belajar dan berusaha demi untuk mencapai impian dan cita-cita. Jadilah seperti seorang pendaki gunung yang memiliki semangat yang waja dan kental untuk sampai ke puncak walaupun terpaksa menghadapi pelbagai halangan dan rintangan.

Tanamkanlah ke dalam diri sifat dan rasa sabar apabila kita dikhianati oleh mereka yang cemburu dan berhasad dengki dengan apa yang kita miliki. Mereka yang berhasad dengki kita hadapi dengan senjata sabar. Kerana mereka yang memiliki iri hati dan hasad dengki adalah ibarat api yang lama-kelamaan akan membakar diri mereka sendiri. Berbanding dengan mereka yang sabar akan mendapat ganjaran dan nikmat yang tak terhingga daripada Allah SWT.

Bulat air kerana ada pembentung dan bulat kata kerana ada muafakat yang dicapai. Tidak ada kekusutan dan tidak ada kerja yang tidak dapat diselesaikan asalkan kita membentuk semangat perpaduan dan kebersatuan. Apabila sentiasa bersatu padu maka tidak akan berlaku perpecahan dan keruntuhan yang akhirnya akan merugikan kita semua.

Jadikanlah kerja dan tugas yang telah diberikan sebagai ibadah terhadap Allah SWT. Selain daripada itu, kerja dan tugas perlu dijadikan sebagai amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul dan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh. Buatlah yang terbaik dan tidak mengharapkan balasan hasil daripada tugas dan kerja yang telah kita lakukan. Biarlah Allah yang membuat penilaian terhadap kerja dan tugas yang telah kita sempurnakan.

Seperkara lagi yang perlu kita ingat bahawa dalam melakukan sesuatu pekerjaan itu perlu dilakukan sehingga selesai. Kerja yang bertangguh tak akan menjadi dan apabila datang kerja yang baru akan menjadikan kita terkejar-kejar dan hasilnya tidak sempurna dan tidak dapat memuaskan kehendak hati kita termasuk mereka yang menagih sentuhan buah tangan kerja kita.

Setiap yang baik kita perlu menjadikannya sebagai sempadan dan setiap yang buruk kita perlu menjadikannya sebagai sempadan. Penuhilah hidup ini dengan kebaikan dan hindarilah daripada sebarang kejahatan. Apabila ini menjadi pegangan mahupun amalan maka kita akan mendapat keberkatan dan kesejahteraan hidup di dunia mahupun akhirat. Pesanan ini juga aku tujukan termasuk diri aku sendiri.

Sahabat-sahabatku sebelum mengundur diri aku memohon ampun dan maaf sekiranya terdapat kata-kata yang menyinggung dan mengguris perasaan kalian. Semoga surat yang aku tulis ini akan sama-sama kita jadikan sebagai peringatan dalam mengharungi kehidupan ini.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *