Aku Menulis Bukan Kerana Nama
Aku menulis bukan kerana nama.
Ya! Memang amat bertepatan sekali dengan lagu nyanyian Ramli Sarip dan A Romzi itu.
Aku memang minat menulis. Minat aku ini bercambah semenjak aku daripada bangku sekolah lagi. Tambah pulak ayah aku jugak seorang penulis tersohor di tanahair ini.
Jadi, darah itu mengalir segar dalam tubuhku.
Dalam erti kata lain seperti yang disebut pepatah ke mana lagi tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi.
Aku masih ingat lagi.
Semasa aku kecik-kecik dulu aku minat melukis. Apa saja yang terlintas dalam fikiran aku waktu itu akan kulukis. Sehinggakan aku memberitahu ayahku yang aku mahu menjadi seorang pelukis yang terkenal kepada arwah ayahku.
Tetapi cita-cita aku untuk menjadi seorang pelukis sebaliknya telah bertukar sebagai seorang penulis. Bak kata orang lain yang dihajati lain pulak yang dapat.
Namun aku menerima ini sebagai ketentuan daripada Tuhan dan berasa amat bersyukur. Bahawa aku dilahirkan ke dunia ini sebagai seorang penulis dengan bakat yang telah sedia ada.
Mengungkap kembali bagaimana aku boleh terjun ke bidang penulisan pada mulanya hanya secara suka-suka saja. Aku tulis puisi dalam buku dan kemudian aku baca sendiri.
Waktu itu aku berada di Tingkatan Empat pada tahun 1986. Tidak kuhantar ke mana-mana akhbar mahupun majalah untuk disiarkan.
Namun apabila meningkat remaja aku mula serius menulis. Tak lagi tulis kemudian aku baca apa yang aku tulis. Aku sebaliknya sudah mula memberanikan diri menghantar tulisanku ke akhbar dan majalah.
Puisi yang aku hantar kebanyakan mengenai kisah cinta yang luka dan tak kesampaian. Entah mengapa. Aku sendiri pun tak tahu kenapa aku terpanggil untuk menulis puisi-puisi cinta yang sedemikian rupa.
Mungkin disebabkan usia remajaku tika itu yang mudah dilambung dengan perasaan cinta terhadap seorang wanita. Padahal pada waktu itu aku tidak pun mempunyai seorang teman istimewa. Atau boleh jadi aku terpengaruh dengan lagu-lagu jiwang yang berkumandang di corong radio pada waktu itu.
Aku menggunakan nama pena Azaika SR. Gabungan nama aku, arwah ibu dan arwah ayah. SR bermakna Suara Rasa. Apa yang ingin aku suarakan dan mahu pembaca di luar sana berkongsi sama rasa yang aku luahkan.
Satu hari puisi aku yang bertajuk Sekuntum Mawar Merah telah disiarkan dalam akhbar Bacaria pada tahun 1991. Aku berasa amat gembira sekali. Mungkin kerana kerap kali menghantar dan di atas kerajinan aku berkarya tanpa jemu maka mereka telah menyiarkan puisiku itu.
Itulah yang menjadi titik tolak dan pencetus semangat kepada aku untuk berkarya dan terus berkarya. Hasil usahaku itu akhirnya membuahkan hasil dan menajamkan lagi bakatku dalam penulisan.
Puisi-puisiku yang bercorak cinta semakin banyak tersiar dalam akhbar dan majalah tempatan. Aku berasa semakin seronok dan berasa amat kepuasan apabila karyaku itu disiarkan. Antara sajak-sajakku yang telah tersiar adalah Sekuntum Mawar Merah, Gadisku, Kekasih, Kuhimpunkan Janji Mewangi, Bila Tiba Detik Itu, Bila Kasih Menyepi, Sayap Cinta Luka dan bermacam-macam lagi.
Bakat penulisan aku semakin berkembang pada tahun 1992 apabila aku bekerja sebagai Pembantu Editor di Masa Enterprise yang kemudiannya dikenali sebagai Makruf Publisher & Distributors Sdn. Bhd., Kajang. Tugas aku adalah untuk membantu mengedit manuskrip sebelum diterbitkan menjadi sebuah buku.
Melalui kerja-kerja yang aku buat ini menjadikan aku semakin terdedah dan belajar untuk menjadi seorang penulis yang menghasilkan karya yang baik. Bermula dari situ aku mula berjinak-jinak untuk menulis cerpen. Tema yang aku tulis sama seperti karya puisi yang aku hasilkan. Percintaan.
Nampaknya pemikiran aku masih lagi tidak berubah. Cinta! Cinta! Cinta! Mungkin masih lagi dibayangi dengan alam remaja yang khayal dengan percintaan menjadikan aku begitu. Untuk diluahkan dalam setiap cerpen yang aku tulis.
Pada awalnya cerpen yang aku hantar tidak mendapat perhatian daripada akhbar dan majalah. Namun aku bukanlah jenis yang mudah berputus asa dan mengalah. Aku terus berkarya tanpa hentinya. Tanpa mengira sama ada tersiar mahupun tidak.
Segala usahaku ini akhirnya membuahkan hasil apabila cerpenku yang bertajuk Terhalang telah disiarkan dalam akhbar Bacaria. Dengan tersiarnya cerpen yang tersiar itu menjadikan aku bertambah semangat dan berkobar-kobar untuk menulis dan terus menulis.
Hasilnya cerpen-cerpen yang kutulis antaranya seperti Aku Bukan Milikmu, Suratan Takdir, Sepucuk Warkah Biru, Catatan Buat ‘S’, Jodoh dan lain-lain lagi.
Bakat aku dalam penulisan cerpen dan puisi telah dikesan oleh Allahyarham Ma’arof bin Saad pengurus tempat syarikat aku bekerja yang juga sahabat akrab kepada arwah ayah aku. Dia juga adalah antara penulis yang terkenal di tanah air ini.
Dia banyak memberikan galakan dan menasihatkan aku supaya banyak membaca sebagai kunci utama untuk menjadi seorang penulis yang karyanya sentiasa dinanti-nantikan akhbar dan majalah tempatan.
Berkat daripada dorongan dan nasihatnya yang amat berguna itu menjadikan aku semakin banyak menulis. Baik puisi mahupun cerpen.
Satu hari dia meminta aku agar menulis novel. Dalam fikiranku sudah terbayang permintaannya ini amat berat untuk ditunaikan. Maklumlah menulis novel ini bukannya mudah umpama merebus sebiji telur atau memasak mi segera. Memakan masa yang agak lama. Berbulan-bulan. Boleh jadi bertahun-tahun.
Dia meminta aku menulis kisah moral yang banyak memberikan teladan dan nilai-nilai yang murni kepada kanak-kanak.
Memandangkan mahu mencuba sesuatu yang baru maka aku pun menulis novel sepertimana tema yang dimintanya itu.
Setelah berusaha dan bertungkus-lumus memerah fikiran dan ilham akhirnya aku dapat juga menyiapkan novel yang bertajuk Meniti Ke Puncak dan telah diterbitkan oleh Makruf Publisher & Distributors Sdn. Bhd. Dengan lahirnya novel sulungku itu membuatkan aku semakin teruja dan penuh bersemangat untuk menulis novel.
Namun pada masa yang sama aku tidak melupakan untuk menulis puisi dan cerpen. Pada tahun 1996 aku tidak lagi bekerja di Makruf Publisher & Distributors Sdn. Bhd. Kerana mendapat tawaran kerja sebagai Pembantu Muzium di Jabatan Muzium dan Antikuiti, Kuala Lumpur.
Walaupun aku telah bekerja di tempat yang baru namun tidak menghalang untuk aku terus menulis. Semasa di Jabatan Muzium dan Antikuiti novel kedua aku yang bertajuk Surat Cinta telah diterbitkan oleh Puncak Kreatif.
Kemudian pada tahun 1999 aku telah bertukar ke Muzium Lukut, Port Dickson atas permintaanku sendiri untuk berkhidmat di negeri kelahiranku sendiri. Aku masih lagi berpegang pada prinsip di mana aku berkhidmat mahupun ditempatkan aku tetap akan menulis. Tanpa mengira keadaan dan suasana yang berlainan.
Tradisi penulisan puisi dan cerpen aku masih lagi tak berubah. Apalagi kalau bukan kisah cinta yang penghujungnya berakhir dengan kedukaan.
Pada tahun 2000 aku menempuh alam kehidupan yang baru iaitu berumahtangga dengan gadis pilihan ayah dan ibuku yang berasal dari Kelantan.
Penulisan aku juga telah berubah. Kalau sebelum ini tema yang aku bawa dalam kebanyakan puisi dan cerpen yang aku tulis adalah mengenai percintaan. Tapi kali ini aku telah mengubahnya kepada tema yang lebih berkisarkan kepada ketuhanan, kemanusiaan dan kedamaian. Mungkin kerana aku telah berkahwin maka aku perlu tinggalkan dunia yang berkisar tentang cinta yang terputus di tengah jalan.
Antara puisi yang aku hasilkan adalah Coretan Buat Isteri, Senja Di Pelabuhan, Catatan Buat Kawan, Tragedi Mereka Yang Tidak Berdosa, Memori Yang Tak Pernah Padam, Si Pengukir Bahasa dan banyak lagi.
Manakala karya cerpen yang telah aku hasilkan adalah Kisah Seorang Isteri, Gerila Hijau, Operasi Bukit Merah, Seorang Tua dan Falsafahnya, Setelah Hujan Berhenti, Pendekar Sungai Deli, Jalan Pulang, Tumbangnya Sang Ditaktor, Bicara Petang dan berbagai-bagai lagi. Kesemua puisi dan cerpen ini telah disiarkan dalam akhbar dan majalah tempatan.
Selain daripada itu, puisi aku yang bertajuk Batu-batu Kecil dan Pasir telah disiarkan dalam Buletin Jabatan Muzium Malaysia. Puisiku yang bertajuk Amanat Buat Warga Muzium pula telah memenangi Hadiah Saguhati Pertandingan Mencipta Puisi Hari Q anjuran Jabatan Muzium dan Antikuiti.
Pada tahun 2002 hingga 2006 aku telah menyambung semula pelajaran di peringkat ijazah di Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan mengambil Pengajian Jarak Jauh (PJJ) dalam bidang Bahasa Melayu dan Linguistik. Dengan mengambil bidang tersebut maka dapat menajamkan dan mematangkan lagi penulisanku.
Pada tahun 2002 cerpen aku yang bertajuk Pahlawan Seri Menanti telah mendapat hadiah tempat ketiga dalam Sayembara Penulisan Cerpen dan Sajak PEN 2003. Manakala puisi aku yang bertajuk Catatan Buat Perwira Bukit Putus dan Puisi Buat Kota Lukut pula telah mendapat hadiah saguhati.
Kemuncak karier aku dalam bidang penulisan adalah pada tahun 2005 apabila memenangi Anugerah Sastera Negeri Sembilan Darul Khusus 2005 anjuran Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus dengan kerjasama Jawatankuasa Gerakan Membaca Negeri Sembilan Darul Khusus bagi genre karya remaja bertajuk Batu-batu Kecil dan Pasir.
Aku berasa amat bersyukur sekali di atas kejayaanku itu. Sebagai tanda pengiktirafan dan penghargaan terhadap bidang penulisan yang aku ceburi selama ini.
Pada tahun 2007 aku tidak lagi berkhidmat di Muzium Lukut, Port Dickson kerana telah menerima tawaran sebagai Penolong Kurator di Lembaga Muzium Negeri Sembilan. Selain daripada rancak menulis cerpen dan puisi aku juga giat menghasilkan beberapa buah novel.
Antaranya adalah Hero Kampung Talang terbitan JS Adiwarna, Bandar Baru Bangi, Selangor (2011), Aku Budak Kampung dan Rumah Banglo Lama Di Atas Bukit terbitan SR Publication, Rawang, Selangor (2015) dan Rumah Api terbitan SR Publication, Rawang, Selangor (2016).
Novel aku yang bertajuk Aku Budak Kampung dan Rumah Banglo Lama Di Atas Bukit telah dilancarkan bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2015.
Aku dikategorikan sebagai penulis cerita seram. Maklumlah tengok tajuk pun dah nampak. Rumah Banglo Lama Di Atas Bukit. Sedangkan novel yang aku tulis itu berkisahkan tentang penyiasatan yang dilakukan oleh 3 orang remaja yang membongkar kegiatan jenayah di rumah yang dikatakan bermisteri itu.
Dua buah lagi novel yang bakal menyusul adalah Cahaya Suci dan Aku Petani Moden yang diterbitkan oleh SR Publication. Dalam diam tak diam dah masuk 7 buah novel aku hasilkan.
Tahun lepas 2016 cerpen aku yang bertajuk Pejuang telah mendapat tempat pertama dalam Anugerah Cerpen Alam Siber E-Sastera Malaysia. Syukur alhamdulillah. Satu lagi kejayaan yang amat besar dan bermakna bagiku.
Baru-baru ini novel aku yang bertajuk Rumah Api telah dilancarkan bersempena dengan Pesta Buku Negeri Sembilan 2017. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih yang tak terhingga kepada Puan Jamilah binti Haji Katis, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan. Kerana telah memberikan aku ruang dan peluang untuk mempromosikan novel terbaru aku itu.
Seperkara lagi walaupun arwah ayah aku seorang penulis yang terkenal namun dia tidak pernah memberikan bimbingan dan tunjuk ajar kepadaku. Paling tidak pun dia hanya memberikan nasihat dan pandangan apabila membaca puisi, cerpen dan novel yang aku tulis.
Aku mengambil segala nasihat dan pandangan yang diberikannya itu sebagai sesuatu yang membina. Dalam untuk menjadikan karya yang aku tulis mantap dan terbaik. Aku juga tak pernah mengikuti bengkel mahupun kursus yang berkaitan dengan penulisan puisi, cerpen dan novel.
Selalunya aku menulis pada hari tidak bekerja. Aku tidak mencampuradukkan antara waktu bekerja dengan menulis. Kalau kerja mesti tumpukan sepenuh perhatian dengan kerja. Sebab itu adalah amanah dan tanggungjawab.
Lagipun kita dibayar gaji untuk bekerja. Jadi, perlu melaksanakannya dengan penuh komitmen. Aku berpegang kepada prinsip kalau ilham untuk menulis datang ketika tengah bekerja maka simpan dahulu.
Takut mengganggu pula jadinya dan lalu hilang tumpuan serta perhatian terhadap kerja yang telah diberikan.
Dalam menulis juga perlu ada disiplin ilmu. Maknanya kalau ilham tengah rancak dan mencurah-curah datang macam air hujan yang turun lebat dari langit maka kita perlu sudahkan apa yang telah kita tulis sehingga selesai.
Kalau bertangguh alamatnya tak jadilah dan sebab itulah kita berasakan bahawa menulis ini adalah sesuatu yang amat berat.
Umpama memikul seketul batu yang besar. Aku juga merasakan bahawa aku ini masih lagi kerdil dan belum lagi standing dengan penulis-penulis lain yang telah menempa nama besar. Oleh yang demikian aku perlu belajar lagi dan menerima setiap kritikan dengan hati yang terbuka.
Aku pernah mendengar bahawa kalau apa yang kita buat itu ditegur oleh seseorang itu tandanya dia sayang pada kita dan mahu melihat kita terus berjaya.
Aku tidak memikirkan sangat tentang soal bayaran. Berapa yang aku dapat aku syukuri sebagai rezeki yang telah dikurniakan Allah SWT. Begitu juga dengan karya yang aku tulis. Sama ada akan disiarkan atau tidak oleh mereka yang berkenaan. Bagi aku itu adalah hak mereka untuk membuat penilaian.
Aku hanya mampu melakukan yang terbaik. Dalam pada itu aku akur ada lagi yang karyanya lebih baik dan menarik berbanding dengan aku.
Sepertimana yang telah aku katakan awal tadi bukan nama yang aku kejar.
Tapi oleh kerana minat yang mendalam dan kepuasan apabila karya disiarkan maka aku menulis dan terus menulis tanpa hentinya.
~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~