Lukisan Kehidupan
Kehidupan adalah umpama air laut
yang membiru. Pasang dan surut sentiasa
silih berganti. Dalam erti kata lain kehidupan yang
kita lalui diwarnai dengan rasa suka dan duka.
Hari ini kita berasa gembira tapi esok belum pasti lagi.
Mungkin duka akan menyapa hidup kita.
Itulah sebenarnya yang dinamakan sebagai kehidupan. Adaketikanya kita berada di atas dan adaketikanya kita berada di bawah. Sesungguhnya hidup ini tak ubah seperti putaran roda. Sentiasa berubah setiap waktu dan ketika.
Ramai yang akan berada di sekeliling kita ketika kita berada di puncak. Namun ramai yang akan menjauhkan diri sewaktu kita jatuh. Waktu itu barulah kita mengenali. Siapa sebenarnya kawan-kawan kita selama ini yang hanya mahu ketawa bersama-sama dan bukannya menangis bersama-sama.
Marilah kita bersama-sama merenung akan apa yang dikatakan sebagai kehidupan. Tak semua keindahan yang kita impikan akan menjadi kenyataan. Sebaliknya kepahitan yang tidak kita pinta akan datang menyelubungi hidup kita tanpa diduga.
Manis umpama madu dan pahit seperti hempedu. Itulah hakikat sebenarnya dalam kehidupan ini. Terasa begitu amat manis apabila kita berjaya dalam hidup ini. Tapi amat pahit apabila kita menemui kegagalan dalam kehidupan ini.
Sebenarnya kita harus redha dan menerima ketentuan Tuhan. Setiap yang terjadi dan berlaku itu ada hikmah bersama-sama dengan nikmat yang tersembunyi di sebaliknya. Kita menangis kerana mengalami kegagalan dalam hidup pada hari ini. Tapi esok kita akan gembira dengan kejayaan yang kita kecapi.
Tiada jalan mudah untuk kita mencapai kejayaan dalam hidup. Melainkan dengan usaha dan kegigihan. Tapi ingatlah. Apabila sudah berjaya janganlah mudah lupa diri. Seperti kacang yang lupakan kulit. Sentiasalah bersyukur dan bukannya dengan berlagak sombong dan bangga diri.
Dalam memburu kejayaan pelbagai dugaan dan cabaran yang perlu kita tempuhi. Hadapilah dengan penuh ketabahan dan kesabaran. Bukannya mudah mengalah. Ketahuilah bahawa cabaran dan dugaan yang datang itu sebenarnya akan menguatkan lagi semangat dan azam kita untuk mencipta kejayaan.
Sesungguhnya hidup yang kita lalui ini adalah seperti satu perjuangan. Selagi kita masih diberikan kesempatan untuk hidup dan bernafas maka selagi itulah kita akan terus berjuang. Kita juga harus menerima hakikat dan kenyataan yang dalam perjuangan yang kita hadapi adakalanya kita menang dan adawaktunya kita kalah.
Oleh itu apabila kita mengalami kekalahan maka kita harus segera bangkit. Lupakanlah segala kekalahan yang telah dialami. Usahlah dikenang hari semalam yang amat pedih dan menyakitkan bila kita tewas dalam perjuangan. Sebaliknya mulakanlah hari ini yang kita lalui untuk memburu kemenangan.
Jadikanlah kekalahan sebagai pengalaman dan pengajaran untuk kita memperbaiki kelemahan diri. Tanamkanlah dalam diri untuk menang dalam perjuangan bersama-sama dengan semangat yang membara dan doa. Itulah azimat dan kunci utama untuk menang dan menebus semula kekalahan yang telah dialami.
Hidup ini juga umpama satu pengembaraan. Berjalan dari satu destinasi ke satu destinasi tanpa hentinya. Perhentian kita yang terakhir adalah di alam akhirat yang kekal lagi abadi yang tidak kita ketahui akan masa dan ketikanya.
Hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui. Bilakah kita akan menutup mata buat selama-lamanya dan tidak dapat lagi untuk merasai kenikmatan dunia. Justeru itu maka marilah kita penuhkanlah kehidupan yang sementara ini dengan amal dan ibadat. Sebagai bekalan untuk dibawa ke alam akhirat nanti.
Tidak mengapa kita tidak punya harta seperti orang lain. Biar kita hidup susah dan miskin kerana tidak punya wang yang banyak. Itu tidak menjadi ukuran dalam hidup. Sebaliknya penuhkanlah kehidupan ini dengan budi dan jasa.
Usahlah memandang rendah dan hina pada mereka yang tidak bernasib baik dan hidup diselubungi dengan penderitaan. Ingatlah bahawa mereka juga manusia seperti kita. Cuma dipisahkan oleh Tuhan Yang Esa dengan nasib yang berbeza. Maka sudah menjadi kewajipan kita yang berupaya untuk membantu mereka yang lemah dan daif. Supaya mereka dapat bersama-sama dengan kita mengenali erti sebenar akan nikmat kehidupan yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada makhluk ciptaan-Nya di atas dunia ini.
Sentiasalah berbuat kebaikan dalam hidup ini. Lakukanlah dengan penuh keikhlasan dan bukannya mengharapkan ganjaran mahupun balasan. Rahsiakanlah setiap kebaikan yang telah dilakukan. Biarlah Allah SWT sahaja yang memandang dan menilainya.
Sudah menjadi lumrah kita sebagai seorang yang bernama manusia tidak boleh lari daripada melakukan kesalahan mahupun kesilapan. Maka kembalilah semula ke pangkal jalan sebelum terlambat. Bersyukurlah kerana Allah SWT telah memberikan hidayah dan petunjuk untuk kita tidak menjadi lebih sesat lagi.
Dalam membuat keputusan jangan terburu-buru atau terlalu mengikutkan kata hati. Fikirlah dengan semasak-masaknya. Agar keputusan yang kita buat itu tepat dan tidak merugikan diri sendiri. Sepertimana yang disebut dalam pepatah sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tiada gunanya.
Kerja yang payah akan menjadi mudah apabila kita melakukannya secara bersama-sama. Begitu juga dengan kerja yang berat akan menjadi ringan apabila kita membuatnya secara berpasukan. Batu yang besar dan berat pun dapat kita pecahkan andainya kita bersatu hati dan mempunyai semangat kebersamaan yang tinggi.
Mencari rezeki tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan kita. Oleh yang demikian maka carilah rezeki dengan cara yang halal. Hindarilah daripada mencari rezeki dengan cara yang haram dan bertentangan dengan ajaran agama. Rezeki yang halal akan mendatangkan keberkatan hidup buat kita dan keluarga.
Masa itu adalah ibarat emas yang amat berharga dan bernilai. Janganlah hendaknya kita mempersiakan masa yang telah diberikan kepada kita. Hiasilah dan penuhilah kehidupan ini dengan perkara yang amat bermanfaat dan faedah.
Kita sering leka dan asyik dengan keseronokan dunia. Sehingga kita lupa tanggungjawab sebagai hamba dengan mentaati segala perintah dan bertakwa kepada Allah SWT. Maka tinggalkanlah kegembiraan dan keseronokan yang membelenggu kehidupan selama ini. Sebaliknya jadilah insan yang sentiasa memperhambakan diri terhadap Allah SWT demi untuk mendapat kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.
Jadikanlah bersedekah sebagai amalan dalam hidup ini. Sesungguhnya dengan bersedekah itu membawa banyak keberkatan. Walaupun dalam jumlah yang kecil namun tetap tinggi nilainya di sisi Allah SWT. Hulurkanlah dengan rasa penuh keikhlasan agar dapat menggembirakan mereka yang memerlukannya.
Anak-anak adalah anugerah daripada Allah SWT dan ibarat permata yang amat bernilai buat kita. Maka didiklah mereka dengan penuh ajaran agama dan keperibadian yang mulia. Mereka adalah ibarat sehelai kain putih. Justeru itu maka kitalah yang mencorakkan warnanya agar menarik dan indah.
Ketahuilah bahawa amanah yang telah diberikan kepada kita perlu dilaksanakan. Biarpun amat besar dan berat untuk dipikul. Tidak boleh dikhianati. Bersyukurlah kerana kita diberikan kepercayaan untuk melaksanakan amanah.
Apabila berjanji perlu ditunaikan. Jangan hanya pandai berjanji di mulut sahaja tetapi sebaliknya kosong belaka. Ibarat tong yang kosong hanya berbunyi dengan kuat sahaja bila diketuk. Itulah cerminan yang dimiliki oleh diri kita apabila gagal dalam menunaikan janji.
Hidup kita akan teraba-raba apabila berada dalam kegelapan. Demikianlah diperumpamakan apabila kita tidak mempunyai ilmu pengetahuan. Oleh yang demikian maka carilah ilmu sentiasa dalam kehidupan ini agar disinari cahaya yang bersinar.
Bersahabat dengan orang yang berperibadi mulia maka kita juga akan mengikut mereka mempunyai kemuliaan peribadi. Tetapi kalau kita bersahabat dengan orang yang berakhlak buruk maka kita juga akan menjadi seperti mereka. Jadi bersahabatlah dengan orang yang membawa kita ke arah kebaikan hidup di dunia mahupun akhirat.
Hidup dengan berketua maka ketua kita pertahankan. Dalam hidup berkampung dan bermuafakat maka kampung dan muafakat yang dibina maka perlu kita amalkan. Jika hidup dengan beradat maka adat perlu kita pelihara dan kekalkan.
Demikianlah perjalanan hidup yang kita lalui di atas dunia yang penuh dengan kefanaan ini. Indah bagaikan warna pelangi dan hitam seperti awan mendung. Namun semua itu adalah ketentuan daripada Allah SWT. Dalam kehidupan kita sendiri yang melukis dan mencorakkan warna yang indah dan menarik.
~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~
Penceritaan dan lukisan dapat menggambarkan kisah kehidupan. Sangat baik.