Pesan Buat Anak-Anakku

Masa

Masa ( Comfreak )

Buat Anak-anakku ….

Ketahuilah bahawa masa itu adalah ibarat emas. Oleh itu janganlah menjadi seperti orang yang hidup dalam kerugian. Kerana tidak menghargai masa yang telah diberikan. Isilah masa dengan melakukan perkara yang membawa kepada banyak manfaat dan faedah.

Hidup ini umpama lautan biru yang luas terbentang. Pasang dan surut silih berganti tanpa hentinya. Hidup ini penuh dengan lukisan rasa suka dan duka. Hidup ini tak ubah seperti putaran roda. Adakalanya kita berada di atas. Adakalanya kita berada di bawah.

Sudah menjadi lumrah dalam kehidupan yang kita lalui. Kawan ketawa memang ramai di sekeliling kita. Tapi kawan menangis seorang diri. Carilah kawan yang benar-benar sejati. Bukan sahaja mahu ketawa bersama-sama. Bahkan juga mahu menangis bersama-sama.

Biarlah kita dipandang miskin kerana tidak berharta. Asalkan kaya dengan budi bahasa. Tiada gunanya kita hidup dengan harta yang banyak. Malangnya miskin daripada segi budi bahasa. Kita dipandang mulia apabila mempunyai budi bahasa yang tinggi.

Buat Anak-anakku ….

Janganlah menjadi seperti kacang lupakan kulit. Atau tak ubah seperti si kudung yang mendapat cincin. Usahlah sombong dan bongkak apabila sudah berjaya dalam hidup. Ingatlah apabila memandang langit yang tinggi rumput di bawah jangan sesekali dilupakan.

Ilmu adalah ibarat pelita. Tanpanya kita akan kegelapan dan meraba-raba dalam hidup. Justeru itu, maka penuhkanlah usia muda dengan menuntut ilmu tanpa jemu. Hidup akan berseri dan bercahaya apabila ilmu penuh di dada.

Sejauh mana kita pergi mahupun melangkah jangan sesekali kita lupa pada keluarga dan asal usul. Bak kata pepatah setinggi-tinggi bangau terbang akhirnya hinggap di belakang kerbau juga. Ke mana pulangnya ikan kalau tidak ke lubuk.

Sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tiada gunanya. Dalam membuat sesuatu keputusan itu maka buatlah dengan bijak. Jangan dibuat secara tergesa-gesa dan menurut kata hati. Fikirlah dengan semasak-masaknya dan penuh dengan pertimbangan.

Buat Anak-anakku ….

Melihat setiap yang baik di depan mata maka jadikanlah ia sebagai ikutan. Manakala melihat setiap yang buruk di depan mata maka jadikanlah ia sebagai sempadan. Penuhkanlah hidup dengan banyak melakukan kebaikan dan menjauhi kejahatan.

Tidak sempurna hidup ini tanpa menempuhi dugaan dan cabaran. Memang cabaran itu amat pahit dan memeritkan. Namun ketahuilah bahawa pada setiap dugaan dan cabaran yang dilalui itu sebenarnya tersembunyi hikmah bersama-sama dengan kemanisan.

Berkilauan tidak semestinya intan. Tetapi adaketikanya adalah kaca. Manis tidak semestinya madu. Tetapi adakalanya adalah racun. Jangan mudah terpengaruh dan tergoda pada setiap kecantikan yang dilihat. Maka berhati-hatilah dalam membuat pilihan dalam hidup ini.

Daun tidak akan selama-lamanya berwarna hijau. Satu hari akan bertukar juga menjadi warna keperangan dan kekeringan. Kemudian akan jatuh berguguran apabila ditiup angin dan menimpa tanah. Demikianlah diibaratkan perjalanan usia kita dalam kehidupan ini.

Buat Anak-anakku ….

Kegagalan bukan bererti segala-galanya telah berakhir dalam hidup ini. Jangan mudah patah semangat dan berputus asa apabila mengalami kekalahan dalam hidup ini. Sebaliknya segeralah bangkit untuk menjadi pemenang.

Ringanlah tangan untuk membantu mereka yang tidak berupaya dan bernasib baik dalam hidup ini. Hulurkanlah bantuan dalam apa jua bentuk supaya mereka dapat menikmati hidup yang sempurna dan kesenangan sepertimana yang kita nikmati.

Tenaga dan kudrat muda yang ada janganlah hendaknya dipersiakan. Curahkanlah sepenuhnya khidmat dan bakti pada agama, bangsa dan negara. Tanamkanlah sepenuhnya rasa kesetiaan dan kecintaan ke dalam diri tanpa sedikit pun ada rasa berbelah bahagi.

Carilah rezeki dengan cara yang halal. Rezeki yang halal akan mendatangkan keberkatan dalam hidup. Jauhilah daripada mencari rezeki dengan cara yang haram. Ikutlah sebagaimana yang telah disuruh dalam agama.

Buat Anak-anakku ….

Walaupun berisi namun tetap juga menunduk. Itulah resmi padi. Sehingga dijadikan orang sebagai pepatah. Sungguhpun mendapat pujian kerana telah berjaya dalam hidup ini namun janganlah leka dan berasa bangga diri. Kerana banyak lagi kejayaan yang perlu diterokai.

Andainya hilang maka sukar untuk dicari ganti. Ketahuilah bahawa adat dan budaya yang diwarisi semenjak daripada datuk nenek moyang dahulu adalah harta yang paling berharga yang ditinggalkan kepada kita. Maka pelihara dan pertahankanlah adat buat selama-lamanya.

Sekiranya berciciran maka payah untuk dipungut kembali. Sejarah mempunyai banyak pengajaran dan teladan yang terkandung di dalamnya. Sebab itulah sejarah tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan kita sebagai manusia.

Jangan kerana nila setitik habis rosak susu sebelanga. Janganlah melakukan perkara yang boleh merosakkan nama baik ibu bapa. Kasihanilah mereka yang terpaksa menanggung aib akibat daripada perbuatan kita yang tidak baik itu.

Buat Anak-anakku ….

Melakukan sesuatu pekerjaan itu adalah satu ibadah. Lakukanlah dengan bersungguh-sungguh dan jangan sambil lewa. Ikutlah segala peraturan dan undang-undang termasuk arahan dalam bekerja. Jangan sesekali ingkar mahupun membuat perlanggaran.

Apabila orang meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada kita maka kita balaslah kepercayaan yang telah diberikan itu dengan sebaik mungkin. Tanpa mengira sama ada kepercayaan yang diberikan kepada kita itu berat mahupun ringan untuk dipikul.

Setiap janji yang dibuat mesti ditepati dan bukannya untuk dimungkiri. Menepati janji menjadikan kita memiliki sifat yang terbaik dalam kehidupan kita. Maka janganlah memandang ringan atau mudah terhadap janji yang telah kita taburkan pada orang lain.

Walaupun air laut masin namun isi ikan tetap manis. Tidak pernah kita merasa isi ikan yang ditangkap di laut masin. Kecuali dikeringkan dan dibubuh garam untuk dijadikan sebagai ikan masin. Hidup kita perlu ada pendirian dan bukannya mudah dipengaruhi oleh orang lain.

Buat Anak-anakku ….

Kita terhutang budi pada insan yang bernama guru. Mereka telah mendidik kita sehingga menjadi insan yang berjaya dalam hidup ini. Sungguh besar jasa dan sumbangan yang telah diberikan oleh guru dalam mendidik kita. Oleh itu hargailah segala sumbangan dan jasa para guru.

Alam sekitar adalah anugerah Tuhan untuk kita yang hidup di atas dunia yang fana ini. Sayangi dan cintailah alam sekitar yang diberikan Tuhan secara percuma kepada kita. Janganlah dicemari sehingga alam sekitar menjadi rosak dan binasa angkara daripada perbuatan kita sendiri.

Dalam melakukan sesuatu hendaklah dengan rasa penuh keikhlasan. Janganlah melakukan sesuatu itu semata-mata untuk mendapat ganjaran dan nama. Biarlah Allah SWT yang menilai terhadap apa yang telah kita lakukan itu.

Sungguhpun sentiasa dilanda ombak pantai tetap teguh. Tidak musnah mahupun roboh. Perjalanan hidup ini harus dilalui dengan penuh cekal dan ketabahan. Biarpun terpaksa menghadapi pelbagai halangan dan rintangan yang mendatang.

Buat Anak-anakku ….

Setiap yang baik kita lakukan akan dibalas syurga yang penuh dengan kenikmatan. Manakala setiap yang buruk kita lakukan akan dibalas neraka yang penuh dengan azab yang pedih. Maka carilah jalan kebaikan yang akan membawa ke syurga dan jauhkanlah jalan yang menuju ke neraka.

Sebagai hamba kita harus taat dan patuh terhadap segala perintah dan suruhan Allah SWT. Agar mendapat kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Maka penuhkanlah kehidupan dengan beramal dan ibadat untuk meningkatkan lagi ketakwaan dan keimanan.

Sentiasa berpegang teguhlah pada ajaran agama. Kerana ia menjadi pedoman dan panduan dalam kehidupan kita. Supaya tidak terumbang-ambing seperti kapal yang dipukul gelombang di tengah lautan. Penuhkanlah hidup dengan mencari pahala dan bukannya dosa.

Sebelum mengundurkan diri aku ingin berpesan termasuk diriku sendiri. Ingatlah bahawa solat lima waktu adalah tiang agama. Oleh yang demikian janganlah sesekali hendaknya ditinggalkan. Kerana solat lima waktu itu adalah perintah Allah SWT yang utama dan perlu dilaksanakan.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *