Cerpen “Seorang Kawan Sejati”

Tepi Pantai

Laut Pantai ( Foundry )

Dari jauh kelihatan laut biru
yang terbentang luas. Ombak tak putus-putus
menghempas pantai. Buih-buih memutih berapungan
membasahi gigian pantai. Sekejap timbul dan sekejap hilang.
Apabila ditolak dan ditarik ombak yang membelah pantai.

Bayu yang datang dari arah laut bertiup sepoi-sepoi bahasa. Rasa nyaman dan dingin jelas terasa membelah suasana pagi yang penuh tenang dan hening.

“Jadilah seperti pantai itu. Walau sekuat mana ombak sekali pun tetap tak akan musnah,” kata Khaidil.

“Kau tak mengalaminya, Dil,” Azlina sebaliknya membalas.

“Kau perlu kuat dan tabah, Lina,” ujarnya lagi.

“Aku merasakan seperti berpaut di dahan yang rapuh. Mudah jatuh apabila ditiup angin,” ulas Azlina pula sebaliknya.

Khaidil lalu diam dan menarik nafas yang panjang. Memang enak rasanya apabila dapat menghirup udara pantai yang nyaman dan bersih. Matahari di kaki langit kelihatan bersinar indah. Cahayanya kelihatan menyinari seluruh alam semesta. Butiran pasir yang halus kelihatan berkilau-kilauan seperti mutiara di dasar lautan apabila disinari cahaya matahari.

“Bukan hidup namanya kalau tak meniti dugaan,” ucap Khaidil.

“Entahlah …. Mungkin dah nasib aku …,” dia merengus.

“Semua ini adalah ketentuan, Lina. Kau harus menerimanya dengan penuh redha. Tentu ada hikmah yang tersembunyi di sebalik apa yang kau hadapi,” balas Khaidil.

Azlina sebaliknya lalu diam. Dia kemudian lalu memandang ke arah laut yang membiru. Sesungguhnya kehidupan yang dilalui di atas dunia ini tak ubah seperti air laut. Pasang dan surut silih berganti. Penuh dengan warna-warna suka dan duka. Tak semua keindahan yang diimpikan dalam hidup ini akan menjadi kenyataan.

Angin yang datang dari arah laut tiba-tiba bertiup kencang. Pohon-pohon hijau yang tumbuh di tepi pantai kelihatan seperti menari-menari apabila ditiup angin. Sekejap beralih ke kanan dan sekejap beralih ke kiri. Mengikut rentak angin yang bertiup.

Daun-daun yang terbuai-buai apabila disapu angin kedengaran bernyanyi-nyanyi riang. Mengeluarkan irama yang sungguh merdu dan mendamaikan jiwa. Daun-daun kering kelihatan melayang-layang apabila ditiup angin dan jatuh menimpa permukaan butiran pasir yang halus lagi memutih. Sesekali kedengaran gemertap bunyi ranting patah jatuh ditiup angin.

Dia memandang semula wajah Khaidil.

“Aku dah kalah …!” dia bersuara lemah dan tak bermaya.

“Kalah tak mengapa, Lina. Asalkan jangan sesekali mengalah,” ujar Khaidil.

“Kegagalan itu amat memeritkan,” tambahnya.

“Tiada siapa yang mahukan kegagalan dalam hidup ini,” Khaidil berkata.

“Kalau kau berada di tempat aku kau akan merasakan keperitan itu,” dia mengulas.

“Sekali gagal bukanlah bererti gagal buat selama-lamanya,” jelas Khaidil.

Azlina diam. Suara desiran ombak menghempas pantai jelas kedengaran membelah suasana. Jalur-jalur cahaya matahari yang lurus kelihatan menembusi celah-celah dedaunan yang menghijau. Angin yang tadinya bertiup kencang lalu bertukar menjadi perlahan. Rasa dingin dan nyaman angin yang bertiup jelas terasa menyapu permukaan kulit Khaidil dan Azlina.

“Aku tak sangka …. Orang yang amat aku percayai telah mengkhianati aku …,” dia bersuara perlahan.

Rasa kecewa dan sedih jelas kelihatan menebal di wajahnya. Angin yang bertiup lemah-gemalai mengerbangkan sedikit kain tudung yang menutupi kepalanya itu. Dia kemudian lalu membetulkannya.

“Aku benar-benar bersimpati dengan kau, Lina!” dia mengangguk-anggukkan kepala.

“Terima kasih, Dil. Kerana mahu berkongsi perasaan bersama dengan aku,” balas Azlina pula.

“Sahabat yang sejati bukan sahaja mahu ketawa bersama. Malahan juga menangis bersama,” katanya.

“Dulu semasa aku berada di puncak ramai kawan-kawan di sekeliling aku. Tapi bila aku dah tak punya apa tak seorang pun berada di sekeliling aku. Sedangkan aku amat memerlukan mereka. Sekurang-kurangnya memberikan aku semangat dan sokongan untuk menghadapi detik yang amat pahit lagi sukar ini,” luah Azlina.

“Itu sudah menjadi lumrah dalam kehidupan manusia. Hanya inginkan kemanisan dan tidak mahu kepahitan,” dia menambah.

“Memang benar kata orang. Hidup ini tak ubah seperti putaran roda. Sekejap kita berada di atas. Dan sekejap kita berada di bawah,” Azlina bersuara lagi.

Dia sebaliknya lalu mengangguk-angguk diam. Matahari kelihatan semakin meninggi di kaki langit biru. Bersama awan tebal yang memutih. Bahang panas cahaya matahari sudah mula terasa menyelubungi seluruh kawasan pantai yang indah dan bersih. Namun kehangatannya tidak terasa kerana ditepis pohon-pohon rendang yang tumbuh di tepi pantai.

“Siapa yang telah mengkhianati kau?” Dia membetulkan duduk sambil memandang wajah Azlina.

“Sherry!” jawabnya pendek.

“Sherry?” ulang Khaidil pula sebaliknya.

“Ya!” angguknya dengan pantas.

“Rakan bisnes kau?” soal Khaidil sambil mengangguk dan mengangkat kepala memandang Azlina.

“Siapa lagi,” jawabnya.

“Oh, begitu!” Khaidil mengangguk-anggukkan kepala.

“Aku benar-benar sedih dan kecewa …,” dia berkata dalam nada suara yang lemah dan tenggelam bersama desiran ombak yang menghempas pantai.

“Sabarlah, Lina,” tenang Khaidil pula sebaliknya.

“Aku tak sangka. Dia sanggup buat aku jadi begini,” ucapnya lagi.

“Kau yang bawak dia jadi rakan kongsi, bukan?” Khaidil memandang wajah Azlina yang dibalut dengan rasa kesedihan dan kekecewaan itu.

Dia sebaliknya hanya mendiamkan diri sahaja. Tidak menjawab pertanyaan Khaidil itu. Dia kemudiannya lalu melemparkan pandangan dengan sejauh-jauhnya ke arah laut yang membiru. Dari raut wajahnya itu jelas kelihatan rasa sedih dan kecewa terhadap Sherry. Rakan kongsi perniagaan yang telah melakukan khianat padanya.

Setelah melihat lama laut yang membiru dia kemudian memandang semula Khaidil.

“Dia singkirkan aku daripada syarikat …,” jelasnya dalam nada suara yang amat lemah.

“Sampai begitu sekali?” potong Khaidil pula dengan pantas sambil berasa amat terkejut. Apabila mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut Azlina itu.

“Ya …!” angguknya lemah dan tunduk ke bawah memandang butiran pasir pantai yang halus dan putih.

Khaidil lalu diam. Angin laut bertiup lemah dan tak berdaya. Pohon-pohon dan daun-daun hijau kelihatan bergoyangan dan terbuai-buai seperti tidak bermaya. Seolah-olah turut sama menghulurkan rasa simpati pada Azlina. Dia kemudian lalu perlahan-lahan mengangkat muka semula dan menarik nafas yang panjang.

“Aku jadikan dia sebagai rakan kongsi sebab aku kasihan pada dia. Dahlah syarikat dia bankrap. Suami dia tinggalkan dia. Sebab berkahwin dengan perempuan lain,” jelasnya.

“Di sebalik cabaran itu kau akan merasai kemanisannya. Apabila kau berjaya menghadapinya nanti,” sambut Khaidil.

Kata-kata Khaidil itu lalu membuatkan Azlina jadi terdiam. Sambil memandang buih-buih memutih yang berapungan membelai gigian pantai. Sememangnya cabaran itu amat berat untuk ditanggung. Umpama memikul seketul batu yang besar. Namun keindahan akan dirasai apabila berjaya mengharunginya.

“Bangkitlah, Lina. Dan keluar menjadi pemenang dalam hidup ini. Tak usahlah terus-terusan merintih nasib dan apa yang telah terjadi ke atas kau. Berdoalah sentiasa. Semoga Allah SWT akan memberikan kau kekuatan dan seterusnya menuju ke puncak kejayaan. Lupakanlah apa yang telah berlaku. Jadikanlah ia sebagai pengalaman dan pengajaran yang paling berguna dalam kehidupan yang kau lalui.” Nasihat Khaidil dengan penuh panjang lebar.

Ternyata ia memberikan semangat dan kekuatan kepada Azlina.

“Terima kasih, Khaidil!” dia lalu membalas pantas dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Atas kata-kata semangat yang kau berikan itu,” dia menyambung lagi.

Khaidil kemudian lalu tersenyum. Apabila melihat kawannya itu mendapat suntikan semangat. Untuk meneruskan perjuangan dalam hidup ini setelah mengalami kegagalan.

“Sebagai kawan aku sentiasa mendoakan yang terbaik buat kau, Lina. Aku akan bantu kau. Percayalah!” ujar Khaidil.

Semenjak daripada hari itu Azlina lalu bangkit dengan membuka semula syarikat perniagaan. Khaidil juga sentiasa memberikan bantuan apa yang diperlukan. Berkat daripada ketabahan dan kesabarannya menghadapi dugaan syarikat telah berkembang dengan maju. Mungkin inilah kemanisan yang dikatakan Khaidil. Berkat daripada sabar dan tabah mengharungi dugaan dan rintangan yang datang dalam hidup ini.

Manakala Sherry pula telah menerima balasan akibat daripada menganiaya orang yang telah menolongnya ketika susah. Syarikat telah jatuh bangkrap dan akhirnya dia menjadi gila. Azlina tidak pernah menyimpan perasaan dendam terhadap Sherry. Sebaliknya dia benar-benar berasa simpati dengan apa yang telah terjadi terhadap kawannya itu.

Sambil tersandar di atas kerusi pusing dia terbayang wajah Khaidil. Dia benar-benar seorang kawan yang sejati. Bersama-sama merasai rasa duka dan memberikan semangat kepada dia untuk segera bangun semula setelah mengalami kegagalan dalam hidup ini.

Khaidil! Sesungguhnya kau adalah seorang kawan sejati. Kerana dalam seribu di dunia ini payah satu nak ditemui. Namun aku bersyukur. Kerana mendapat seorang kawan yang benar-benar sejati seperti kau! Demikianlah bisik hati kecilnya sambil tersenyum sendiri.

Kesejukan alat penghawa dingin terasa mengepung seluruh ruang biliknya itu.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *