Cerpen “Anak Muda Bersemangat Waja”

Hutan

Hutan ( Marty Arts )

Matahari semakin meninggi di kaki langit biru.
Cahayanya kelihatan terang-benderang menerangi seluruh kampung.

Angin bertiup lemah-gemalai. Pohon-pohon yang menghijau kelihatan
seperti melenggang-lengguk apabila ditiup angin.

“Apa benar perkhabaran yang tuan hamba bawa ini?” Anjang memandang muka Taruna.

Di luar suara angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Jelas kedengaran membelah suasana.

“Benar tuan, hamba!” dia sebaliknya mengangguk-anggukkan kepala.

“Siam akan menyerang Melaka!” sambungnya lagi.

Semangat yang berkobar-kobar lalu kelihatan di wajah Anjang apabila mendengar khabar yang disampaikan kawannya itu.

“Kalau sudah demikian khabar yang tuan hamba bawa kita mesti berjuang bersama dengan Tun Perak. Mempertahankan bumi Melaka ini. Daripada jatuh ke tangan Siam!” Anjang mengangkat tangan kanan. Dan menggenggamnya erat.

“Benar tuan hamba!” sokong Taruna pula sebaliknya dengan pantas.

“Biar putih tulang. Jangan putih mata!” Dia juga bersemangat seperti Anjang.

“Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Lebih baik mati bergalang tanah. Daripada hidup bercerminkan bangkai. Namanya untuk melihat Melaka. Jatuh ke tangan Siam. Tidak sekali-kali!” Anjang menambah.

Pohon-pohon kelihatan seperti menari-nari. Ditiup angin yang datang dari arah bukit. Sekejap ke kanan. Sekejap ke kiri. Mengikut rentak tiupan angin.

“Tak lama lagi Siam akan menyerang Melaka,” kata Galak.

“Apa benar khabar yang tuan hamba katakan ini?” Jelutung menyoal pantas. Sambil mengangkat kepala tinggi. Memandang muka Galak. Bengis dan bermisai tebal.

Dia sebaliknya hanya diam. Tidak menjawab pertanyaan Jelutung itu. Bahu Jelutung kemudian lalu ditepuknya.

“Baru sebentar tadi lima orang askar Siam datang berjumpa dengan hamba,” jelasnya.

“Tidakkah kedatangan mereka diketahui sesiapa?” tanya Jelutung lagi.

“Tidak!” cepat dia memotong sambil menggeleng-gelengkan kepala.

“Mereka menyamar sebagai pedagang. Kita mesti bantu mereka!” tegas Galak lagi.

“Dengan cara apa tuan hamba?” Jelutung tak putus-putus bertanya. Di wajahnya itu jelas nampak. Dia ingin mencari apa sebenarnya. Maksud Galak itu.

“Kita mesti beritahu rahsia kekuatan tentera Melaka. Siam dah berjanji. Kalau Melaka dapat ditawan mereka akan melantik hamba sebagai raja yang baru,” dia menjelaskan pada Jelutung.

“Apa benar kata tuan hamba ini?” soal Jelutung pula dengan pantas.

“Sungguh tuan hamba!” angguk Galak.

“Dan tuan hamba akan hamba lantik sebagai bendahara!” dia menyambung lagi.

“Ya!” Jelutung mengangguk. Sekarang baru dia faham. Dengan apa yang dimaksudkan Galak itu.

“Galak akan menjadi raja Melaka!” katanya.

“Tuan hamba sebagai Dato’ Bendahara juga akan menumpang senang!” balas Galak sambil menepuk bahu Jelutung.

Mereka lalu ketawa terbahak-bahak. Dalam fikiran mereka sudah terbayang. Akan kuasa yang mereka miliki. Apabila menjadi raja dan bendahara nanti.

#+#+#+#

Cuaca kelihatan cerah. Tiada tanda-tanda hujan akan turun. Bahang panas daripada sinaran terik matahari jelas terasa. Menyelubungi seluruh kampung.

Angin yang datang dari arah bukit bertiup sepoi-sepoi bahasa. Pohon-pohon hijau bagai menari-nari. Mengikut rentak tiupan angin.

Tok Penghulu, Anjang dan Taruna duduk bersila di atas tikar.

“Tun Perak telah meminta setiap kampung agar menghantar pemuda-pemuda yang gagah untuk bersama dengan tentera Melaka. Berperang dengan Siam,” ujar Tok Penghulu. Sambil menghisap rokok daun. Perlahan-lahan dihembusnya asap keluar. Berkepul-kepul memutih. Kemudian lalu menghilang. Dibawa angin yang menyusup masuk. Melalui celah-celah dinding papan. Rumah Tok Penghulu.

“Tok telah memutuskan untuk menghantar tuan hamba berdua. Bersama dengan beberapa orang pemuda,” dia bersuara lagi.

“Di sini hamba hidup. Di sini juga hamba berani mati, dato’. Demi tanah air yang bernama Melaka ini. Hamba akan berjuang habis-habisan. Biarpun ramai askar Siam yang datang. Hamba tak akan gentar untuk menghadapinya,” ikrar Anjang pula dengan penuh panjang lebar. Dan begitu penuh bersemangat sekali.

“Begitu jugak dengan hamba, dato’!” celah Taruna.

“Hamba lebih rela bermandikan darah. Asalkan Siam tidak bertakhta. Di bumi Melaka ini!” dia menambah lagi.

Di luar suara angin yang tadinya bertiup sepoi-sepoi bahasa lalu bertukar menjadi kencang. Mengiringi semangat membara Anjang dan Taruna.

“Baguslah bila ada semangat begitu. Dalam diri tuan hamba berdua!” Tok Penghulu mengangguk-anggukkan kepala. Dia kemudiannya lalu membuang habuk rokok daun ke dalam bekas.

“Hamba yakin. Dengan adanya semangat untuk mempertahankan bumi Melaka. Dalam diri tuan hamba berdua dan tentera Melaka di bawah pimpinan Tun Perak. Siam tak akan dapat menawan Melaka,” sambungnya lagi.

Tak lama kemudian Mak Kemboja pun muncul. Sambil membawa dulang. Yang berisi tiga cawan air kopi panas.

Mak Kemboja kemudiannya lalu perlahan-lahan meletakkannya di atas tikar. Setelah meletakkan minuman itu di atas tikar dia kemudiannya lalu masuk semula ke dapur. Sambil membawa dulang kosong.

Tok Penghulu kemudiannya lalu mempersilakan Anjang dan Taruna. Untuk menikmati minuman yang disediakan oleh Mak Kemboja.

#+#+#+#

Dari jauh jelas kelihatan laut yang membiru. Suara desiran ombak membelah pantai jelas kedengaran. Buih-buih memutih yang berapungan di gigian pantai kelihatan sekejap timbul dan sekejap hilang dihempas pantai.

“Abang Anjang ….” Suara Melati tenggelam bersama deruan ombak yang menghempas pantai.

“Melati …,” Anjang membalas lembut sambil menarik nafas yang panjang.

Udara laut yang segar dan nyaman jelas terasa. Mengusapi permukaan kulit Anjang dan Melati. Wajah Melati semakin cantik dan jelita. Apabila disapu bayu halus yang datang dari arah laut.

Beberapa ekor unggas kelihatan bebas berterbangan di angkasa. Sambil berkicau riang menghiburkan alam. Sekali-sekala hinggap di atas dahan. Dan terbang semula.

“Melati bimbangkan keselamatan Abang Anjang.”

Anjang lalu memandang wajah Melati. Mata mereka bagaikan saling bertikaman.

“Bimbang?” soal Anjang pula sebaliknya. Dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Kenapa Melati berbicara begitu?” tanya Anjang lagi.

“Ayah memberi khabar yang Abang Anjang akan berjuang. Bersama dengan tentera Melaka. Yang diketuai Tuan Perak. Menghadapi tentera Siam,” jelas Melati pula sebaliknya.

Anjang pantas mengangguk-angguk diam. Apabila mendengar kata-kata Melati itu. Baru dia mengerti kini. Dengan apa yang dimaksudkan Melati itu.

Pohon-pohon cemara yang tumbuh di tepi pantai seperti melambai-lambai. Disapu bayu laut. Daun-daun yang bergeseran di antara satu sama lain. Mengeluarkan irama yang sungguh merdu. Menawan jiwa pabila didengar.

“Tak usahlah Melati bimbang. Demi tanah air yang tercinta ini abang sanggup berkorban apa saja. Melati doakanlah. Moga abang dan rakan-rakan berjaya mematahkan serangan Siam,” pinta Anjang.

Melati lalu membetulkan tudung yang menutupi rambutnya yang kelihatan mengerbang ditiup angin laut.

“Melati sentiasa mendoakan keselamatan dan kejayaan abang,” ujarnya.

“Terima kasih, Melati!” Anjang membalas pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Doa Melati akan abang jadikan sebagai azimat dan pembakar semangat. Dalam medan perjuangan nanti,” dia menambah lagi.

“Melati juga berdoa, bang. Moga satu hari nanti kita akan disatukan,” dia berkata.

“Insya-Allah, Melati! Abang jugak begitu. Semoga Allah SWT akan menyatukan kita. Sebagai suami isteri.” Demikianlah jawapan yang diberikan Anjang.

Tanpa disedari melalui celah pohon cemara Jelutung memerhatikan Anjang dan Melati. Yang sedang memadu kasih di tepian pantai yang indah. Dia kemudiannya lalu menyampaikan apa yang dilihatnya kepada Galak. Yang telah sekian lama menaruh hati pada Melati.

“Cis, Anjang! Berani tuan hamba nak merampas Melati dari tangan hamba!” dia bersuara. Dengan rasa marah bercampur geram.

Api kemarahan yang meluap-luap dan sukar untuk dibendung lagi jelas kelihatan. Di mukanya yang sentiasa garang itu.

“Melati mesti menjadi milik hamba. Mari kita pergi ke rumah Tok Penghulu. Sekarang juga!” dia mengajak kawan-kawannya.

Pinangannya telah ditolak oleh Tok Penghulu.

“Cara tuan hamba menyampaikan hajat tidak beradat. Lagipun belum tiba masanya lagi. Untuk Melati anak hamba. Menjadi isteri tuan hamba,” dia bersuara dengan penuh sopan pada Galak.

Mendengarkan saja kata-kata Tok Penghulu itu lalu membuatkan Galak naik melenting.

“Dato’! Ini adalah satu penghinaan kepada hamba!” Galak bersuara keras sambil bingkas bangun.

“Hamba nasihatkan tuan hamba agar belajar cara beradat,” Tok Penghulu membalas tenang.

“Baiklah!” potong Galak dengan rasa marah. Jelas nampak di wajahnya.

“Hamba peringatkan dato’. Dato’ akan menerima akibatnya. Menolak pinangan hamba!” dia memberikan amaran. Sambil menudingkan jari telunjuk ke arah Tok Penghulu. Yang duduk bersila di atas tikar mengkuang.

“Sudah! Mari kita pergi!” dia melambaikan tangan ke arah kawan-kawannya. Dan pantas meninggalkan rumah Tok Penghulu. Dengan perasaan marah yang memuncak. Yang sukar untuk dipadamkan. Serta rasa penuh kekecewaan. Kerana gagal memiliki Melati. Idaman hatinya.

“Bang …. Saya bimbang. Galak akan membalas dendam pada kita …,” ucap isteri Tok Penghulu. Sebaik-baik sahaja Galak dan kawan-kawannya meninggalkan rumah. Rasa kerisauan jelas nampak. Di wajahnya yang telah dimamah usia itu.

Tok Penghulu sebaliknya kelihatan tenang. Bila mendengar apa yang dikatakan isterinya itu. Sedikit pun rasa risau tidak nampak. Di wajah tuanya itu.

“Setiap perbuatan jahat akan menerima balasan daripada Tuhan,” kata Tok Penghulu.

Memang benar sekali seperti apa yang diduga isteri Tok Penghulu. Tidak berapa lama selepas itu Galak telah membalas dendam. Dengan menculik Melati.

“Ini semua adalah perbuatan Galak,” nyata Tok Penghulu.

“Galak?” Anjang berasa sungguh terperanjat. Dan memandang muka Tok Penghulu. Apabila Tok Penghulu menyebut nama itu.

“Benar, Anjang!” angguk Tok Penghulu.

“Kerana pinangannya ditolak!” terangnya lagi.

“Melati tu satu-satunya anak kita, bang …. Saya risau, bang …. Sesuatu yang buruk akan terjadi pada dia ….” Teresak-esak Mak Kemboja menangis.

Berguguran air matanya mengalir di pipi. Umpama hujan lebat yang turun membasahi cucuran atap. Begitu sedih mengenangkan nasib anaknya. Yang diculik Galak.

“Izinkan hamba, dato’. Untuk menyelamatkan Melati,” mohon Anjang pula sebaliknya.

“Baiklah, Anjang!” balas Tok Penghulu sambil mengangguk.

“Berwaspada, Anjang. Galak bukan mudah untuk ditewaskan,” dia menyambung lagi sambil memegang bahu Anjang. Sebagai tanda memberi peringatan.

“Dato’ doakanlah. Moga Melati dapat diselamatkan,” pinta Anjang.

“Insya-Allah, Anjang!” angguk Tok Penghulu lagi.

Anjang dan kawan-kawannya lalu beredar. Meninggalkan rumah Tok Penghulu.

“Bersabarlah, Kemboja. Marilah kita sama-sama berdoa. Moga Melati akan kembali semula ke pangkuan kita.” Tok Penghulu menenangkan isterinya. Yang masih lagi menangis teresak-esak.

#+#+#+#

Suasana gelap dalam gua diterangi dengan cahaya api jamung.

Kedua-dua belah tangan dan kaki Melati diikat dengan tali. Dia benar-benar berasa ketakutan. Galak dan kawan-kawannya ketawa terbahak-bahak. Sehingga bergegar seluruh ruang gua. Dengan bunyi kuat ketawa mereka.

“Melati! Kau akan menjadi milik hamba. Sudah lama hamba idamkan kau!” kata Galak sambil ketawa terbahak-bahak. Dengan rasa penuh ghairah perlahan-lahan dia mengatur langkah. Menuju ke arah Melati. Yang kelihatan terketar-ketar ketakutan. Apabila melihat Galak semakin menghampirinya.

“Tolong …. Jangan apa-apakan, hamba …,” rayunya sambil menggeleng-gelengkan kepala. Dalam nada suara yang penuh terketar-ketar ketakutan.

“Tak akan ada siapa yang akan datang untuk menolong …!” Galak terus ketawa terbahak-bahak dan semakin dekat untuk menerkam Melati.

Tiba-tiba satu tendangan yang kuat telah hinggap di tubuh Galak. Dia lalu jatuh tersungkur.

“Tuan hamba ni nama aje manusia. Tapi sebenarnya berhati binatang!” tegas Anjang.

“Kalau kail panjang sejengkal jangan lautan hendak tuan hamba duga!” ingat Galak pula dengan rasa penuh angkuh.

Rasa sakit yang amat sangat akibat daripada tendangan yang dilepaskan Anjang menyelinap ke seluruh tubuhnya.

“Kalau sudah demikian rupa maka bertemulah buku dengan ruas!” Anjang sebaliknya membalas.

“Kalau tuan hamba sudah menjual hamba sedia untuk membelinya. Bersedialah tuan hamba. Hamba akan tamatkan riwayat tuan hamba. Dan kau, Melati. Kau akan lihat nanti. Anjang yang kau kasihi selama ini akan mati di tangan aku!” ujar Galak lagi dengan rasa penuh bongkak dan panjang lebar.

Dia kemudiannya lalu bingkas bangun. Dan menghunuskan senjata di tangan. Dia juga mengarahkan kawan-kawannya. Agar membunuh kawan-kawan Anjang.

Maka seluruh ruang gua gegak-gempita. Dengan bunyi suara pertarungan Anjang dan Galak. Begitu juga dengan bunyi suara pertarungan kawan-kawan Anjang dengan kawan-kawan Galak.

Memang benar seperti yang dikatakan Tok Penghulu. Galak amat sukar untuk dtumpaskan. Ilmu persilatannya cukup tinggi. Namun Anjang sedikit pun tidak berasa gentar.

Anjang juga tangkas menepis setiap pukulan dan serangan Galak. Setelah sekian lama bertarung akhirnya Galak menemui ajal di tangan Anjang. Apabila dia tersilap langkah. Kesempatan ini digunakan dengan sebaik-baiknya oleh Anjang. Untuk membenamkan senjata di tangannya ke tubuh Galak.

Sebaik-baik sahaja senjata itu terbenam ke dalam tubuhnya maka Galak lalu mengerang menahan kesakitan. Dia kemudiannya lalu rebah tidak bernyawa lagi dan berlumuran darah.

Begitu juga dengan kawan-kawannya. Turut menemui maut di tangan kawan-kawan Anjang.

Alangkah gembiranya hati Mak Kemboja. Bila melihat Melati anaknya. Berlari menuju ke arahnya.

“Syukur alhamdulillah. Kau selamat nak.” Mak Kemboja memeluk erat anaknya.

Suasana cerah turut berkongsi rasa kegembiraan dengan Tok Penghulu dan Mak Kemboja.

“Hamba telah terhutang budi pada tuan hamba. Terima kasih, Anjang. Kerana telah menyelamatkan anak hamba,” lafaz Tok Penghulu. Dengan rasa penuh kegembiraan jelas terpancar di wajahnya.

“Mak Kemboja pun begitu jugak, Anjang. Kalau tak ada Anjang. Tak tahulah apa yang akan terjadi pada Melati,” sampuk isteri Tok Penghulu pula sebaliknya.

“Sama-sama!” Anjang mengangguk-anggukkan kepala. Dan memandang wajah Tok Penghulu dan Mak Kemboja silih berganti.

“Hamba telah mendapat khabar. Galak juga adalah seorang pengkhianat. Dia cuba untuk memecahkan rahsia kekuatan tentera Melaka kepada Siam. Supaya Siam dapat menawan Melaka. Semua ini terbongkar apabila lima orang tentera Siam yang menyamar sebagai pedagang telah dapat ditangkap oleh tentera Melaka,” Tok Penghulu memberitahu.

“Cis! Memang patutlah dia mendapat balasan sedemikian rupa!” sambut Anjang.

“Pengkhianat seperti dia memang tidak boleh dibiarkan hidup di bumi Melaka ini,” sokong Tok Penghulu.

“Dato’! Besok hamba dan kawan-kawan akan pergi berjuang bersama dengan tentera Melaka di bawah pimpinan Tun Perak melawan Siam,” ujar Anjang lagi.

“Pergilah wahai anak-anakku sekalian yang bersemangat waja. Hamba doakan. Moga kalian semua akan pulang dengan membawa kejayaan.” Kata-kata semangat yang diucapkan Tok Penghulu. Pada Anjang dan kawan-kawannya.

Anjang dan kawan-kawannya kemudian lalu bersalaman dan berpelukan dengan Tok Penghulu. Dan beredar pergi meninggalkan rumah Tok Penghulu.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *