Cerpen “Jurutulis Negeri Tanjung Pura”

Conteng

Conteng ( TanteTati )

Kisah yang berlaku
di sebuah negeri yang bernama Tanjung Pura.

Dalam negeri ini ada seorang jurutulis. Bahaman namanya.
Tugasnya menulis surat dan pada masa yang sama dia juga mencatat apa yang berlaku di Tanjung Pura.

Pada satu hari dia telah dipanggil untuk mengadap Dato’ Orang Kaya Purba. Pemerintah Negeri Tanjung Pura.

“Ampun, dato’. Hamba datang mengadap,” katanya.

“Tujuan hamba memanggil tuan hamba mengadap adalah untuk meminta tuan hamba menulis surat kepada Dato’ Pahlawan Rimba. Pemerintah Negeri Cendana Sakti. Menyatakan hasrat untuk bersahabat baik dan berdagang. Hamba harap tuan hamba dapat siapkan surat itu dengan segera. Surat itu akan hamba hantar bersama dengan rombongan ke Negeri Cendana Sakti,” jelas Dato’ Orang Kaya Purba.

“Baiklah, dato’. Hamba akan jalankan segala perintah, dato’. Kalau tak ada apalagi hamba mohon diri untuk pulang. Menyiapkan surat,” pintanya.

“Silakan!” jawab Dato’ Orang Kaya Purba pula sebaliknya.

Maka Bahaman pun mengarang surat untuk dihantar ke Negeri Cendana Sakti.

“Surat apa yang kanda karang tu?” tanya isterinya sambil membawa secawan kopi.

Dia kemudiannya lalu meletakkan cawan yang berisi air kopi itu di atas meja.

“Minumlah, kanda,” pelawanya dengan penuh sopan.

“Terima kasih, dinda,” dia membalas. Air kopi yang disediakan isterinya itu lalu dihirupnya perlahan-lahan.

“Dato’ Orang Kaya Purba meminta kanda mengarang surat untuk dihantar ke Negeri Cendana Sakti,” ujarnya setelah selesai menghirup air kopi.

“Negeri Cendana Sakti?” tanya isterinya pula.

“Ya, dinda!” dia mengangguk-anggukkan kepala.

“Apa tujuan Dato’ Orang Kaya Purba menghantar surat ke Negeri Cendana Sakti?” soal isterinya lagi tak henti-henti.

“Untuk menjalinkan hubungan persahabatan dan berdagang,” Bahaman menjawab.

“Begitu! Baguslah!” isterinya mengangguk-anggukkan kepala.

“Kanda. Dinda penatlah. Dinda nak masuk tidur dulu,” mohon isterinya.

“Pergilah, dinda. Kanda belum rasa mengantuk lagi. Lagipun kanda nak siapkan surat ini dulu,” balasnya.

Isterinya lalu bangun dan menuju ke bilik. Bahaman meneruskan kerjanya mengarang surat. Menjelang dinihari barulah siap surat yang dikarangnya itu.

Keesokan paginya dia pergi ke rumah Dato’ Orang Kaya Purba. Untuk menghantar surat yang telah siap dikarangnya itu dan dihantar ke Negeri Cendana Sakti.

“Bagus, Bahaman!” ucap Dato’ Orang Kaya Purba sebaik-baik sahaja selesai membaca surat itu.

“Dato’ Laksamana Ali!” panggilnya.

“Dato’!” jawabnya dengan pantas.

“Pergi ke Negeri Cendana Sakti. Bawa bersama beberapa orang pembesar dan pengiring. Dan hantar surat ini. Sampaikan juga salam hamba pada Dato’ Pahlawan Rimba,” arahnya.

“Baiklah, dato’. Sekarang juga hamba laksanakan perintah dato’,” ucap Dato’ Laksamana Ali.

+++++++

Setelah beberapa hari dalam perjalanan Dato’ Laksamana Ali dan rombongannya pun sampailah di Negeri Cendana Sakti.

“Ampun, dato’. Ada rombongan dari Negeri Tanjung Pura. Ingin mengadap dato’,” kata salah seorang pembesar.

“Negeri Tanjung Pura?” jawab Dato’ Pahlawan Rimba.

“Ya, dato’!” angguk pembesar itu.

“Tentu mereka datang dengan hajat.” Dia seperti sudah dapat menduga.

“Nampaknya begitulah, dato’. Mereka bawa surat,” tambah pembesar itu.

“Surat? Kalau begitu suruh mereka masuk mengadap,” arah Dato’ Pahlawan Rimba pada pembesar itu.

“Baik, dato’!” angguknya dengan penuh hormat.

Dato’ Laksamana Ali dan rombongannya lalu dipersilakan untuk masuk mengadap.

“Ampun, dato’. Hamba Dato’ Laksamana Ali. Bersama dengan rombongan dari Negeri Tanjung Pura. Telah dihantar oleh Dato’ Orang Kaya Purba. Untuk mengadap dato’. Dato’ Orang Kaya Purba juga menyampaikan salam pada dato’,” jelasnya.

“Waalaikumsalam!” dia menjawab sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Silakan!” Dato’ Pahlawan Rimba menjemput Dato’ Laksamana Ali dan rombongannya duduk.

“Apa hajat tuan hamba semua datang kemari. Seperti ada hajat yang besar. Yang nak disampaikan pada hamba,” dia berkata.

“Benar, dato’. Tujuan utama hamba dan rombongan dihantar Dato’ Orang Kaya Purba adalah untuk menyatakan hasrat. Untuk bersahabat baik dan berdagang dengan Negeri Cendana Sakti. Ini suratnya, dato’,” terangnya sambil menghulurkan surat dengan penuh hormat kepada Dato’ Pahlawan Rimba.

Dato’ Pahlawan Rimba lalu menyambut surat itu dan membaca isi kandungannya.

“Sungguh indah bahasa dalam surat ini,” dia bersuara sebaik-baik saja selesai membaca surat itu.

“Kecik tapak tangan nyiru hamba tadahkan. Hamba berasa amat gembira. Apabila Negeri Tanjung Pura ingin bersahabat dan berdagang dengan Negeri Cendana Sakti. Bersamalah kita berdoa. Semoga Allah SWT memberkati dan merahmati apa yang kita lakukan ini. Di samping dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim kita. Sebagai saudara sesama Islam. Hamba akan balas surat ini. Apabila pulang nanti sampaikan salam hamba pada Dato’ Orang Kaya Purba,” tambahnya lagi dengan penuh panjang lebar.

“Terima kasih, dato’. Kerana sudi menerima hajat kami yang datang dari jauh,” Dato’ Laksamana Ali membalas.

“Hamba juga ada hajat, dato’ laksamana,” nyata Dato’ Pahlawan Rimba.

“Apa dia, dato’? Silakan. Hamba dan rombongan sedia menunaikannya.” Jawapan yang diberikan Dato’ Laksamana Ali.

“Sebagai menghormati tetamu hamba mempelawa tuan hamba dan rombongan tinggal di sini dalam sehari dua. Malam ini selepas isyak hamba ingin meraikan tuan hamba dan rombongan dalam majlis makan malam.” Dia menyatakan hasrat pada Dato’ Laksamana Ali dan rombongan.

“Sekali lagi hamba dan rombongan mengucapkan terima kasih pada dato’. Hamba dan rombongan menerima pelawaan dato’ itu,” ujar Dato’ Laksamana Ali pula sebaliknya.

Dato’ Pahlawan Rimba berasa amat gembira apabila mendengar jawapan yang diberikan Dato’ Laksamana Ali. Dari Negeri Tanjung Pura itu. Dato’ Pahlawan Rimba kemudiannya menyuruh salah seorang daripada pembesarnya menyediakan bilik tetamu untuk Dato’ Laksamana Ali dan rombongannya.

+++++++

Sampai sahaja di Negeri Tanjung Pura, Dato’ Laksamana Ali memberitahu Dato’ Orang Kaya Purba yang hasrat untuk bersahabat dan berdagang telah diterima dengan baik oleh Dato’ Pahlawan Rimba. Pemerintah Negeri Cendana Sakti.

“Syukur alhamdulillah!” kata Dato’ Orang Kaya Purba.

“Selepas ini kita harap akan dapat lagi bersahabat dan berdagang. Dengan negeri-negeri yang lain,” dia berkata lagi.

“Insya-Allah, dato’!” Dato’ Laksamana Ali sebaliknya membalas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Perkara yang baik akan direstui Allah SWT,” dia menambah lagi.

“Mudah-mudahan begitulah hendaknya. Kita perlu mencari sahabat. Dan bukannya musuh,” ujar Dato’ Orang Kaya Purba.

Dato’ Seri Putih kemudiannya datang mengadap.

“Ampun, dato’. Bahaman hendak mengadap dato’,” beritahunya.

“Hah! Dah sampai pun dia. Suruh dia masuk mengadap,” arah Dato’ Orang Kaya Purba pada Dato’ Seri Putih.

“Baik, dato’!” jawab Dato’ Seri Putih dengan penuh hormat.

Dato’ Seri Putih lalu mempersilakan Bahaman untuk masuk mengadap Dato’ Orang Kaya Purba.

“Ampun, dato’,” Bahaman bersuara.

“Tujuan hamba memanggil tuan hamba adalah untuk memberitahu Negeri Cendana Sakti telah menerima kita sebagai sahabat dan kawan berdagang,” nyata Dato’ Orang Kaya Purba.

“Ya, Bahaman!” celah Dato’ Laksamana Ali pula dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Dato’ Pahlawan Rimba juga memuji ayat yang tuan hamba tulis dalam surat itu,” dia menambah lagi.

“Pujian itu terlalu tinggi buat hamba, dato’. Mungkin ada orang lain lagi yang lebih hebat tulisannya.” Dia sebaliknya merendah diri.

“Tapi bagi hamba tuan hamba adalah penulis yang paling hebat di negeri ini.” Dato’ Orang Kaya Purba menghamburkan kata-kata pujian pada Bahaman.

“Bukan pujian yang menggunung hamba harapkan. Begitu juga dengan ganjaran yang melimpah-ruah. Seperti air sungai yang mengalir deras. Tapi melaksanakan tugas yang diberikan,” jawabnya.

+++++++

Selain daripada menulis Bahaman juga bertani dan bersawah. Setiap hari selepas membuat kerja-kerja bertani dan bersawah dia menulis apa yang dilihatnya.

“Apa yang tuan hamba tulis hari ni?” Mamat menyoal.

“Tentang kehidupan orang-orang Negeri Tanjung Pura yang bekerja di kebun dan sawah padi,” dia menjawab.

“Negeri kita ni cantik dan aman,” ucap Mamat lagi.

“Itu juga hamba masukkan dalam catatan. Untuk dibaca anak cucu hamba pada masa yang akan datang. Supaya mereka rasa sayang dan tahu keadaan negeri ini. Sebab zaman akan sentiasa berubah. Seperti kata orang sekali air bah sekali pantai berubah,” ulasnya pula sebaliknya.

“Memang betul kata tuan hamba!” angguk Mamat.

“Inilah yang perlu kita tinggalkan pada mereka,” sokongnya lagi.

“Ya, tuan hamba! Bagi hamba catatan ini adalah harta yang paling bernilai buat mereka,” ujar Bahaman.

Dalam pada itu ada sebuah negeri yang bernama Petala Indera. Negeri ini diperintah Dato’ Lela Seman. Satu hari dia memanggil pembesar kanannya Dato’ Perkasa Hitam.

“Ampun dato’. Hamba datang mengadap,” katanya sebaik-baik sahaja masuk mengadap Dato’ Lela Seman.

“Ada tak negeri yang belum kita hantar surat. Supaya membayar ufti,” ujarnya.

“Ada, dato’!” angguk Dato’ Lela Seman pula sebaliknya dengan pantas.

“Negeri mana?” tanyanya.

“Tanjung Pura, dato’,” dia menjawab.

“Tanjung Pura?” Dato’ Lela Seman mengangkat kepala memandang wajah pembesar kanannya itu.

“Benar, dato’. Hanya Tanjung Pura saja yang belum kita utus surat,” jelasnya lagi pada Dato’ Lela Seman.

“Kalau begitu suruh jurutulis karang surat segera ke Tanjung Pura. Beritahu jurutulis dalam surat itu katakan kalau Tanjung Pura tidak mahu membayar ufti kita akan serang mereka!” tegas Dato’ Lela Seman.

“Baik, dato’!” balas Dato’ Perkasa Hitam.

Dia kemudiannya lalu menemui jurutulis dan mengarahkan mengarang surat sepertimana yang diminta Dato’ Lela Seman.

+++++++

Malam semakin larut. Tapi Bahaman masih lagi belum tidur. Seperti biasa menulis apa yang dilihatnya sepanjang hari ini di Negeri Tanjung Pura. Sesekali dia meneguk air kopi yang disediakan isterinya. Untuk menghilangkan rasa mengantuk.

“Kanda tak berasa penat ke. Yalah. Siang bekerja di kebun. Malam menulis pula,” isterinya berkata.

“Menulis dah sebati dengan jiwa kanda,” balasnya pula.

“Tapi kanda kena jugak berehat. Macam orang lain,” ingat isterinya lagi.

Dia lalu berhenti daripada menulis dan tersenyum memandang wajah isterinya.

“Dinda tak usah bimbang tentang tu. Bila kanda berasa penat sangat kanda akan berehat,” katanya.

Isterinya sempat mencuri pandang apa yang ditulisnya. Tapi dia tidak tahu apa isi kandungannya.

“Banyak yang kanda tulis. Kanda tulis tentang apa?” isterinya ingin tahu.

“Tentang Dato’ Orang Kaya Purba. Pemerintah Negeri Tanjung Pura. Memerintah dengan adil dan bijaksana. Berpegang kuat pada ajaran agama. Rakyat di Negeri Tanjung Pura taat dan patuh pada Dato’ Orang Kaya Purba. Mereka juga rajin dan sentiasa bekerja kuat. Untuk mensejahterakan dan memakmurkan Negeri Tanjung Pura yang mereka cintai. Kanda mahu anak cucu kita membacanya nanti,” terang Bahaman pada isterinya dengan penuh panjang lebar.

Isterinya yang duduk bersimpuh dan penuh sopan sebaliknya mengangguk-angguk diam dan tersenyum. Tatkala mendengar apa yang dibicarakannya itu. Dalam hati kecilnya berdoa. Semoga Allah SWT memakbulkan apa yang dihasratkan suaminya itu.

+++++++

Keesokan harinya Dato’ Orang Kaya Purba lalu menerima surat daripada Dato’ Lela Seman. Selesai saja membaca surat itu dia memandang wajah Dato’ Laksamana Ali. Dari raut wajah yang ditunjukkannya itu Dato’ Laksamana Ali sudah dapat membaca. Ada sesuatu yang tak kena. Dalam surat yang dihantar pemerintah Negeri Petala Indera itu.

“Kenapa, dato’? Nampaknya seperti ada berita yang tak menyenangkan,” ucap Dato’ Laksamana Ali.

Dato’ Orang Kaya Purba sebaliknya hanya mendiamkan diri saja. Dia kemudiannya lalu menarik nafas yang panjang. Dato’ Laksamana Ali memerhatikan saja gelagatnya itu.

“Benar dato’ …!” dia mengeluarkan nada suara yang tenang dan mengangguk perlahan.

“Maksud, dato’?” potong Dato’ Laksamana Ali dengan pantas. Dia seperti tidak sabar untuk mengetahui. Apa sebenarnya yang dimahukan Negeri Petala Indera dalam surat itu.

“Mereka mahu kita membayar ufti. Sebagai tanda kita tunduk di bawah kekuasaan mereka. Kalau tidak kita akan diserang,” jelasnya pada Dato’ Laksamana Ali.

Serta-merta Dato’ Laksamana Ali berasa amat marah. Bila mendengar apa yang dikatakan Dato’ Orang Kaya Purba itu.

“Apa? Mereka suruh kita tunduk di bawah kekuasaan mereka. Cis. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan!” Dia cuba untuk menghunus keris di pinggangnya.

“Sabar dulu, dato’!” tahan Dato’ Orang Kaya Purba pula sebaliknya.

“Tapi ini soal maruah negeri kita, dato’. Takkan kita nak berdiam diri. Kalau mereka sudah menjual kita harus sedia untuk membelinya!” Semangatnya semakin berkobar-kobar. Untuk berperang dengan Negeri Petala Indera.

“Jangan ikutkan hati nanti mati. Jangan ikutkan rasa nanti binasa. Ibarat menarik rambut dalam tepung. Rambut tiada putus. Tepung tiada berselerak. Kita harus mengelakkan untuk tunduk di bawah kekuasaan mereka. Dan berperang dengan mereka. Islam melarang kita berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Tambah pulak peperangan tidak akan membawa keuntungan kepada kita mahupun Negeri Petala Indera. Sebaliknya kerugian dengan ramai yang akan terkorban dan kehilangan banyak harta benda,” dia menasihatkan Dato’ Laksamana Ali agar tidak bertindak terburu-buru dengan penuh panjang lebar.

Dato’ Laksamana Ali lalu terdiam. Dato’ Orang Kaya Purba pula sebaliknya berjalan mundar-mandir. Sambil berfikir sesuatu dengan meletakkan kedua-dua belah tangan di belakang. Setelah puas berfikir akhirnya dia menemui jawapan.

Dia kemudiannya lalu memandang Dato’ Laksamana Ali.

“Hanya Bahaman saja yang dapat membantu dalam perkara ini,” dia bersuara.

“Bahaman?” sambut Dato’ Laksamana Ali pula.

“Ya!” dengan pantas Dato’ Orang Kaya Purba menjawab.

“Perkara yang baik tak elok dilengahkan. Takut datang pula perkara yang buruk. Panggil dia mengadap sekarang,” arahnya lagi.

“Baik, dato’. Sekarang juga hamba arahkan orang pergi ke rumahnya,” Dato’ Laksamana Ali membalas.

Kedengaran suara orang memberi salam dari bawah rumah. Bahaman lalu menjawab salam dan menuju ke muka pintu. Orang suruhan Dato’ Laksamana Ali rupanya yang datang.

“Silakan naik, tuan hamba,” jemputnya.

“Terima kasih, tuan hamba. Hamba membawa perintah daripada Dato’ Orang Kaya Purba. Tuan hamba diminta untuk mengadap sekarang juga,” jawab orang suruhan Dato’ Laksamana Ali.

Bahaman akur dengan perintah Dato’ Orang Kaya Purba itu.

“Baiklah!” angguknya dengan pantas.

“Biar hamba bersiap sekejap,” pintanya lagi.

“Silakan, tuan hamba. Hamba tunggu di bawah,” orang suruhan Dato’ Laksamana Ali membalas.

Bahaman lalu beredar dan menuju ke bilik untuk menyalin pakaian.

“Kenapa, kanda? Tergesa-gesa nampaknya. Macam ada perkara yang mustahak,” ujar isterinya.

“Kanda diperintahkan mengadap Dato’ Orang Kaya Purba sekarang juga,” dia memberitahu isterinya.

“Lewat petang begini kanda disuruh mengadap. Tentu ada perkara yang penting. Dan perlukan pertolongan daripada kanda agaknya,” isterinya meneka.

“Boleh jadi juga, dinda!” angguknya.

“Kanda pergi dulu, ya,” katanya lagi.

“Hati-hati dalam perjalanan, dinda,” pesan isterinya.

Dia sebaliknya hanya mengangguk-angguk diam sahaja. Sebagai tanda ingat akan pesanan isterinya itu. Bahaman kemudiannya lalu mengatur langkah menuju ke muka pintu. Dan perlahan-lahan menuruni tangga rumah.

“Mari kita pergi sekarang!” dia mengajak orang suruhan Dato’ Laksamana Ali.

Mereka lalu berjalan menuju ke rumah Dato’ Orang Kaya Purba. Sampai sahaja di sana Dato’ Orang Kaya Purba memberitahu Bahaman tentang isi kandungan surat yang dihantar Dato’ Lela Seman.

“Hamba minta tuan hamba jawab surat ini. Gunakanlah kebijaksanaan tuan hamba. Supaya Dato’ Lela Seman menerima kita sebagai sahabat. Dan bukannya musuh,” mohon Dato’ Orang Kaya Purba pada Bahaman.

Dia mengerti dengan apa yang dimaksudkan pemerintah Negeri Tanjung Pura itu.

“Insya-Allah, dato’. Hamba akan jalankan perintah dato’ dengan segera,” katanya.

+++++++

Maka tersebarlah ke seluruh negeri akan perihal Negeri Petala Indera hendak menyerang sekiranya tidak membayar ufti.

“Hamba dengar tuan hamba telah diberikan tugas oleh Dato’ Orang Kaya Purba. Untuk mengarang surat kepada Negeri Petala Indera. Agar negeri kita tidak diserang.” Mamat inginkan kepastian.

“Benar, tuan hamba!” jawabnya.

“Dengan cara itu sajalah yang dapat mengelakkan kita daripada berperang dengan mereka,” tambahnya lagi.

“Hamba yakin. Tuan hamba akan dapat melakukannya,” kata Mamat pula sebaliknya pada Bahaman.

“Insya-Allah, Mamat. Sama-samalah kita berdoa. Semoga Allah SWT mempermudahkan apa yang ingin kita lakukan ini. Dan mengelakkan negeri kita daripada bermusuhan dengan Negeri Petala Indera,” sambutnya.

Selepas menikmati hidangan makan malam Dato’ Orang Kaya Purba dan isterinya berbual mengenai surat yang dihantar Dato’ Lela Seman.

“Berapa lama mereka memberikan tempoh kepada kita untuk menjawab surat itu?” tanya isterinya.

“Dua minggu, dinda,” dia menjawab.

“Kalau kita tidak menjawab surat mereka dalam tempoh dua minggu maknanya mereka akan menyerang kita,” ujar isterinya lagi.

“Benar, dinda!” dia mengangguk-anggukkan kepala sambil menarik nafas yang panjang.

“Tapi kanda yakin. Hanya dengan surat karangan Bahaman sajalah yang dapat mengelakkan kita daripada diserang mereka,” dia menyambung.

Bahaman kelihatan sedang tekun mengarang surat untuk dihantar ke Negeri Petala Indera.

“Dinda dengar kanda menjadi harapan untuk mengelakkan negeri kita daripada diserang Negeri Petala Indera,” isterinya berkata.

“Ya, dinda!” dia mengangguk-anggukkan kepala dengan pantas.

“Kanda akan gunakan ayat yang menjadikan mereka ingin bersahabat dengan negeri kita dan melupakan hasrat untuk berperang dengan kita,” balasnya.

“Buatlah yang terbaik, kanda. Asalkan negeri kita dan Negeri Petala Indera tidak bersengketa,” isterinya memberikan dorongan.

“Insya-Allah, dinda. Berkat doa dinda dan semua rakyat Tanjung Pura negeri kita dan Negeri Petala Indera akan bersaudara,” ucapnya pula.

+++++++

Dato’ Perkasa Hitam telah diperintahkan oleh Dato’ Lela Seman untuk mengadap.

“Berapa lamakah lagi tempoh yang diberikan kepada Negeri Tanjung Pura untuk menjawab surat kita?” tanyanya pada Dato’ Perkasa Hitam.

“Ampun, dato’. Tinggal tiga hari saja lagi, dato’,” dia menjawab.

“Ingat, dato’. Kalau mereka tidak menjawab surat kita dalam tempoh yang diberikan kita serang mereka!” tegasnya.

“Baik, dato’!” jawab Dato’ Perkasa Hitam pula sebaliknya.

Maka keesokan harinya Dato’ Lela Seman lalu menerima surat daripada Dato’ Orang Kaya Purba. Surat itu lalu dibacanya. Selepas membaca surat itu dia lalu terdiam.

“Dato’ …!” dia bersuara perlahan sambil memandang wajah Dato’ Perkasa Hitam.

“Ampun dato’!” sambutnya.

“Seumur hidup hamba tak pernah hamba membaca surat yang begitu syahdu dan ayat yang menarik seumpama ini. Surat ini menyedarkan hamba bersahabat adalah lebih baik daripada bermusuhan. Tika kita susah pada sahabatlah tempat untuk kita mengadu. Sungguh hebat sekali pengarang surat ini bermain dengan kata-kata,” kata Dato’ Lela Seman lagi.

“Dato’ perintahkan jurutulis kita supaya mengarang surat segera ke Negeri Tanjung Pura. Katakan yang kita ingin bersahabat karib dengan mereka,” perintahnya pada Dato’ Perkasa Hitam.

“Baik, dato’,” dia membalas.

Dato’ Orang Kaya Purba berasa begitu amat gembira sekali apabila menerima surat daripada Dato’ Lela Seman.

“Alhamdulillah. Mereka ingin bersahabat karib dengan kita,” ucapnya.

“Nampaknya kita bersahabat dengan negeri yang berkuasa besar,” celah Dato’ Laksamana Ali.

“Dalam bersahabat kita tidak memilih sama ada kuat atau lemah,” kata Dato’ Orang Kaya Purba.

“Benar, dato’. Hamba sependapat dengan dato’. Yang penting kita bersahabat. Dan bukannya untuk bermusuh,” sokong Dato’ Laksamana Ali pula sebaliknya.

“Apa gunanya kita bermusuh. Bersahabat itu adalah lebih baik. Daripada berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Bukankah itu ditegah oleh agama Islam,” dia menambah.

Perbualan mereka yang rancak lantas terhenti. Apabila Dato’ Kurnia Aman masuk mengadap.

“Ampun, dato’. Ada rombongan dari Negeri Cengkih Wangi ingin mengadap dato’,” beritahunya.

“Persilakan mereka masuk mengadap,” katanya.

“Baik, dato’!” jawab Dato’ Kurnia Aman pula.

Dato’ Kurnia Aman kemudiannya lalu mempersilakan rombongan daripada Negeri Cengkih Wangi itu untuk masuk mengadap.

“Ampun, dato’. Hamba Dato’ Nusa dan rombongan dari Negeri Cengkih Wangi,” jelasnya.

“Silakan duduk dato’-dato’ sekalian,” jemputnya dengan hormat.

“Kedatangan hamba dan rombongan adalah membawa hajat Dato’ Pendekar Limbungan pemerintah Negeri Cengkih Wangi,” terangnya.

“Silakan, dato’. Hamba sedia mendengarnya,” balas Dato’ Orang Kaya Purba pula sebaliknya.

“Hajat itu ada dalam surat ini, dato’.” Dia kemudiannya lalu menyerahkan sepucuk surat kepada Dato’ Orang Kaya Purba.

Dato’ Orang Kaya Purba lalu menyambut surat itu daripada Dato’ Nusa dan membacanya.

“Hamba begitu gembira sekali apabila mendengar Negeri Cengkih Wangi ingin berdagang rempah dan sutera di negeri ini. Hamba akan tulis surat untuk memberi kebenaran kepada Negeri Cengkih Wangi untuk berdagang di negeri ini. Sampaikan juga salam dan ucapan terima kasih hamba pada Dato’ Pendekar Limbungan. Kerana memilih Negeri Tanjung Pura sebagai sahabat untuk berdagang,” katanya.

“Hamba bagi pihak Dato’ Pendekar Limbungan mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kerana dato’ sudi menjadikan kami sebagai rakan dagang,” ujar Dato’ Nusa pula sebaliknya.

Sebelum pulang Dato’ Nusa dan rombongannya diraikan dalam satu majlis makan tengah hari.

+++++++

Selang beberapa hari kemudian Dato’ Orang Kaya Purba telah menerima surat daripada Dato’ Pahlawan Rimba. Dalam surat itu Dato’ Pahlawan Rimba mengundang Dato’ Orang Kaya Purba untuk mengadakan lawatan selama tiga hari ke Negeri Cendana Sakti. Dato’ Orang Kaya Purba berasa amat gembira apabila mendapat undangan daripada Dato’ Pahlawan Rimba.

“Dato’. Buat persiapan segera untuk kita mengadakan lawatan ke Negeri Cendana Sakti. Bawa bersama cenderamata sebagai tanda penghargaan. Untuk kita berikan pada Dato’ Pahlawan Rimba. Beritahu Bahaman agar dia ikut bersama. Membuat catatan sepanjang kita berada di sana,” Dato’ Orang Kaya Purba berkata pada Dato’ Laksamana Ali.

Setelah siap semuanya maka Dato’ Orang Kaya Purba dan rombongan pun pergilah melawat Negeri Cendana Sakti. Setibanya di sana Dato’ Orang Kaya Purba dan rombongan telah diberikan sambutan secara besar-besaran. Sepanjang berada di sana Bahaman mencatat majlis yang dihadiri dan tempat-tempat yang dilawati Dato’ Orang Kaya Purba dan rombongan.

Sebelum pulang Dato’ Orang Kaya Purba telah mengundang Dato’ Pahlawan Rimba untuk mengadakan lawatan balas ke Negeri Tanjung Pura. Dato’ Pahlawan Rimba menyatakan bila ada kelapangan nanti dia dan rombongan akan mengadakan lawatan balas ke Negeri Tanjung Pura. Dato’ Orang Kaya Purba juga mengucapkan terima kasih pada Dato’ Pahlawan Rimba di atas layanan baik yang diberikan sepanjang dia dan rombongan berada di Negeri Cendana Sakti. Dato’ Pahlawan Rimba dan Dato’ Orang Kaya Purba kemudiannya saling bertukar cenderamata sebagai tanda penghargaan dan kenangan.

Selang beberapa hari pulang daripada Negeri Cendana Sakti Dato’ Orang Kaya Purba telah menerima surat daripada Negeri Rimbun Buluh. Selesai saja membaca surat itu dia kemudiannya lalu memanggil Dato’ Laksamana Ali untuk mengadap.

“Dato’. Negeri Rimbun Buluh memerlukan pertolongan daripada kita,” ucapnya pada Dato’ Laksamana Ali.

“Pertolongan apa, dato’?” Dato’ Laksamana Ali sebaliknya menyoal.

“Lanun-lanun mengganas di perairan negeri mereka. Mereka meminta bantuan daripada kita untuk menghapuskan lanun-lanun itu. Kita mesti bantu mereka. Sebab negeri kita berjiran dengan negeri mereka. Dato’. Arahkan tentera kita pergi segera ke Negeri Rimbun Buluh,” arahnya.

“Baik, dato’!” Dato’ Laksamana Ali lalu mengangguk-anggukkan kepala. Sebagai tanda menjalankan apa yang diperintahkan Dato’ Orang Kaya Purba.

+++++++

Maka pasukan tentera yang dipimpin Panglima Abu pun pergilah ke Negeri Rimbun Buluh. Bagi membantu menghapuskan lanun-lanun yang mengganas dan bermaharajalela. Dengan bantuan tentera dari Negeri Tanjung Pura lanun-lanun yang bermaharajalela dan mengganas itu dapat ditumpaskan. Negeri Rimbun Buluh amat berterima kasih di atas bantuan yang telah diberikan Negeri Tanjung Pura itu. Semua ini turut dicatit oleh Bahaman.

“Ia akan menjadi sejarah. Untuk dibaca anak cucu kita. Apabila kita tidak ada nanti. Supaya mereka tahu apabila negeri yang berjiran dengan kita mendapat kesusahan maka kita harus menolong mereka,” dia berkata.

Demikianlah besarnya jasa dan sumbangan Bahaman seorang jurutulis di Negeri Tanjung Pura. Walaupun kini beliau sudah tiada lagi namun surat-surat dan catatannya masih lagi dibaca anak cucunya termasuk generasi hari ini dan dibuat kajian oleh para penyelidik mahupun pelajar institusi pengajian tinggi yang terlibat dalam bidang berkaitan.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *