Cerpen “Rahsia Pondok Di Bukit Ketapang”

Bayangan

Bayangan ( MaxPixel )

Suara angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa
jelas kedengaran membelah suasana kampung
yang penuh tenang dan damai.

Pohon-pohon hijau yang tumbuh di halaman Tok Ketua seperti
menari-nari. Sekejap melenggok ke kiri dan sekejap melenggok ke kanan mengikut rentak tiupan angin. Daun-daun yang bergeseran antara satu sama lain mengeluarkan irama yang sungguh merdu dan menghiburkan jiwa pabila didengar.

Angin yang datang dari bukit-bukau yang subur menghijau berhadapan rumah Tok Ketua menyusup masuk melalui atap zink dan celah-celah papan. Rasa nyaman dan segar angin yang menerpa jelas terasa menghinggapi permukaan kulit. Bunyi ranting patah yang bergemertap jatuh menimpa tanah akibat ditiup angin juga jelas kedengaran menyelubungi suasana petang.

“Jadi, kedatangan kamu bertiga ni nak tahu sejarah Bukit Ketapang la, ya?” tanya Tok Ketua sambil memandang wajah Azlan, Badli dan Kamal.

“Ya, tok!” angguk Azlan pula sebaliknya dengan pantas.

“Sebagai generasi muda di kampung ni kami nak tahu juga sejarah bukit yang terletak di hujung kampung tu,” sambungnya lagi.

“Eloklah tu. Memang kamu bertiga patut tahu apa yang ada di kampung ni. Selain daripada sejarah kampung ni sendiri sebagai ilmu pengetahuan yang amat berguna kepada kamu bertiga. Menurut cerita yang tok dengar daripada orang-orang tua di kampung ni bukit tu dinamakan sebagai Bukit Ketapang kerana banyak pokok ketapang yang tumbuh di atas bukit tu,” jelas Tok Ketua pula sebaliknya.

“Kami dengar macam-macam cerita tentang bukit tu,” Badli menyampuk.

“Macam-macam cerita?” Tok Ketua berasa amat hairan apabila mendengar apa yang dikatakan Azlan itu.

“Benar, tok! Ada sebuah pondok di bukit tu. Pondok tu ada penunggu!” celah Kamal dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

Tok Ketua sebaliknya lalu tersenyum apabila mendengar Kamal mengatakan bahawa pondok di Bukit Ketapang yang terletak di hujung kampung itu berpenunggu.

“Kamu ni, Kamal. Mana kamu dapat cerita yang pondok di bukit tu ada penunggu,” balas Tok Ketua sambil mengangkat kepala tinggi sedikit dan memandang wajahnya.

“Dari orang-orang kampung, tok,” kata Kamal.

“Betul kata Kamal tu, tok. Saya pun dengar cerita yang sama dari orang-orang kampung,” tambah Badli.

“Ya, tok!” angguk Azlan pula.

“Saya juga ada mendengar cerita dari orang-orang kampung yang mengatakan ada lembaga yang menakutkan menghuni di pondok yang terdapat di bukit tu. Sebab itulah orang-orang kampung tidak berani menghampiri bukit tu,” ujarnya lagi.

“Kamu bertiga jangan percaya dengan perkara-perkara yang tahyul dan karut. Kita sebagai manusia harus percaya dan yakin bahawa Allah SWT saja yang berkuasa ke atas segala-galanya dalam dunia ni,” nasihat Tok Ketua pada ketiga-tiga sahabat itu.

Mereka kemudiannya lalu diam dan saling berpandangan antara satu sama lain. Tak lama kemudian Mak Tijah isteri Tok Ketua muncul dari arah dapur sambil membawa dulang yang berisi empat biji cawan air kopi ‘o’ dan sepinggan pisang goreng yang masih panas lagi. Asap nipis yang keluar daripada air kopi ‘o’ dan pisang goreng kelihatan teroleng-oleng naik ke atas dan kemudian lalu menghilang. Mak Tijah kemudiannya lalu perlahan-lahan meletakkan empat biji cawan air kopi ‘o’ dan pinggan yang berisi pisang goreng itu di atas meja.

“Hah, Azlan, Badli, Kamal. Jemputlah minum,” pelawa Mak Tijah sebaik-baik sahaja selesai meletakkan empat biji cawan air kopi ‘o’ dan pinggan yang berisi pisang goreng di atas meja yang berbentuk empat segi dan beralaskan dengan kain berwarna biru muda.

“Terima kasih, Mak Tijah. Buat susah-susah aje Mak Tijah ni,” Azlan membalas.

“Tak ada susah-susah, Azlan. Lagipun adat tetamu datang ke rumah kenalah kita jamu. Tak banyak sikit,” jawab Mak Tijah pula.

“Betul kata Mak Tijah kamu tu. Hah, ini yang dinamakan rezeki untuk kamu bertiga,” Tok Ketua menambah.

“Jemputlah minum sama, Mak Tijah,” Azlan berkata.

“Kamu bertiga minumlah dengan tok. Mak Tijah nak ke dapur,” ujarnya kemudian lalu beredar sambil membawa dulang yang telah kosong.

“Hah, Azlan, Badli, Kamal marilah kita minum!” ajak Tok Ketua pula.

Sebelum menikmati hidangan mereka membaca doa terlebih dahulu yang dipimpin Kamal. Selepas selesai membaca doa mereka lalu menikmati hidangan yang disediakan Mak Tijah sambil rancak berbual-bual. Tajuk perbualan mereka masih lagi berkisar tentang pondok di Bukit Ketapang yang dikatakan berpenunggu.

Namun Tok Ketua menasihatkan mereka supaya tidak mudah terpengaruh dengan cerita karut yang disebarkan oleh orang-orang kampung itu. Mendengarkan apa yang dikatakan Tok Ketua itu lalu membuatkan mereka berasa yakin dan percaya cerita yang digembar-gemburkan orang-orang kampung yang pondok di Bukit Ketapang itu didiami makhluk yang amat menakutkan adalah tidak benar semata-mata.

Menjelang lewat petang ketiga-tiga sahabat itu lalu beredar meninggalkan rumah Tok Ketua.

+++++++

Matahari yang tadinya cerah telah bertukar warna seperti buah pinang masak. Begitu juga dengan langit yang biru telah berubah menjadi kelabu. Kicauan burung-burung yang tadinya bebas berterbangan di angkasa luas tidak lagi kedengaran. Sebaliknya berterbangan pulang semula ke sarang. Tak lama lagi senja akan melabuhkan tirainya menyambut malam.

Tanpa disedari masa begitu pantas berlalu. Baru sebentar tadi pagi menjelma sebagai pembuka tirai hari baru yang dilalui. Namun terasa begitu amat sekejap sekali. Kerana malam akan menjelma sebentar lagi sebagai penutup tirai kepada hari yang dilalui pada hari ini. Apabila esok menjelma kita akan melalui hari yang baru pula dan kita akan melangkah serta terus melangkah.

Mengimbas kembali kata-kata pujangga bahawa segala suka dan duka yang kita lalui hari ini kita himpunkan menjadi pengalaman yang mendewasakan kita dalam mengharungi kehidupan yang kita lalui. Sesungguhnya pengalaman itu adalah guru yang paling berharga dalam kehidupan kita. Melalui pengalaman kita belajar untuk memperbaiki kelemahan yang ada dalam diri kita dan menjadi yang terbaik.

Sepanjang perjalanan pulang ke rumah tajuk perbualan Azlan, Badli dan Kamal adalah mengenai pondok yang terdapat di Bukit Ketapang. Angin yang bertiup halus dan perlahan juga mengiringi sepanjang perjalanan mereka menuju ke rumah. Pohon-pohon dan daun-daun hijau seakan-akan bergoyangan lemah-gemalai apabila ditiup angin.

“Kita mesti pergi jugak ke Bukit Ketapang. Aku rasa macam ada sesuatu yang tak kena di pondok yang ada di bukit tu,” kata Azlan.

“Betul kata kau, Lan. Aku pun sependapat dengan kau. Tentu ada rahsia yang tersembunyi selama ni di pondok yang terdapat di bukit tu,” sokong Kamal.

“Sebab itu agaknya ada yang mengatakan pondok yang ada di bukit tu berhantu,” ujar Badli pula sebaliknya.

“Bila kita nak pergi ke bukit tu?” Kamal menyoal sambil mengangkat kepala tinggi sedikit dan memandang wajah kedua-dua sahabat karibnya itu dengan silih berganti.

“Apa kata kita pergi petang besok,” cadang Azlan.

“Aku ikut aje. Kau pulak, Mal?” Badli sebaliknya mengangkat muka dan memandang Kamal.

“Eloklah tu!” jawabnya dengan pantas.

“Hah, kalau macam tu petang besok lepas solat Asar kita pergi ke bukit tu,” putus Azlan.

Dia kemudiannya lalu mengajak kedua-dua sahabatnya itu meneruskan semula perjalanan. Sampai sahaja di halaman rumah Azlan mereka lalu bersalaman dan pecah. Azlan lalu menuju ke tangga rumah manakala Badli dan Kamal pula meneruskan langkah menuju ke rumah masing-masing. Setibanya di tangga rumah dia lalu membongkokkan badan untuk membuka kasut. Dia kemudiannya lalu meletakkan kasut di tepi tangga dan mengatur langkah setapak demi setapak menaiki anak tangga rumah.

“Baru balik, Lan?” tegur ibunya yang tiba-tiba muncul di muka pintu.

“Ya, mak!” angguknya pula dengan pantas dan berhenti daripada mengatur langkah menaiki anak tangga apabila melihat ibunya berdiri tercegat di muka pintu. Suara adik-adiknya yang riuh-rendah bermain di ruang tamu rumah juga jelas kedengaran.

“Saya dengan Badli dan Kamal ke rumah Tok Ketua tadi,” jelasnya lagi.

“Ada apa kau bertiga jumpa Tok Ketua?” ibunya pantas memotong.

“Cikgu sekolah beri kerja rumah suruh cari sejarah kampung ni. Sebab itulah saya dengan Kamal dan Badli pergi jumpa dia,” jawab Azlan.

“Patutlah dah nak masuk waktu maghrib baru kau balik,” ucap ibunya lagi.

“Ayah mana, mak?” dia menyoal.

“Dia tengah bersiap nak ke masjid. Hah! Lebih baik kau mandi cepat boleh ikut ayah kau sekali sembahyang Maghrib di masjid,” ibunya berkata dan kemudiannya lalu beredar dari muka pintu untuk memberi laluan kepada Azlan masuk ke dalam rumah.

“Baiklah, mak!” dia lalu mengangguk-anggukkan kepala sebagai menurut sahaja apa yang telah diarahkan ibunya itu dan kemudiannya meneruskan semula langkah menaiki anak tangga dan masuk ke dalam rumah. Sebaik-baik sahaja melangkah masuk ke dalam bilik tanpa berlengah lagi dia lalu mandi dan bersiap mengikut bapanya ke masjid.

+++++++

Malam kelihatan begitu indah sekali dengan disinari cahaya bulan dan kerlipan bintang-bintang yang menghiasi dada awan hitam yang pekat. Bunyi cengkerik yang bersahut-sahutan juga jelas kedengaran memecah keheningan suasana malam. Suara angin yang bertiup merdu juga sungguh mendamaikan jiwa pabila didengar. Pelepah-pelepah nyiur yang bersentuhan antara satu sama lain apabila disapu angin yang bertiup bagaikan bernyanyi-nyanyi riang buat penghibur jiwa di malam yang penuh dengan kedamaian. Angin yang menerobos masuk menerusi celah-celah papan rumah terasa begitu amat nyaman dan dingin mengepung seluruh ruang tamu rumah.

“Macam mana dengan pelajaran kau di sekolah, Lan?” tanya ayahnya yang bersongkok dan berbaju Melayu berwarna merah serta berkain pelikat ketika duduk di kerusi ruang tamu rumah selepas balik dari masjid.

“Alhamdulillah, ayah. Lan sentiasa memberikan tumpuan sewaktu guru mengajar dalam kelas dan mengulangkaji pelajaran,” dia menjawab.

“Baguslah kalau macam tu. Kalau kau sentiasa memberikan tumpuan dengan apa yang diajarkan guru dalam kelas dan rajin membuat ulang kaji pelajaran ayah yakin kau pasti lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan nanti!” ayahnya mengangguk-anggukkan kepala dan tersenyum sebagai tanda berasa amat gembira dengan apa yang dikatakannya itu.

“Insya-Allah, ayah. Lan berjanji akan belajar bersungguh-sungguh untuk mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan nanti,” ujar Azlan pula sebaliknya.

“Ayah dan mak sentiasa berdoa agar kau dan adik-adik berjaya dalam pelajaran,” ayahnya berkata.

“Terima kasih, ayah. Mudah-mudahan dengan berkat doa ayah dan ibu Lan dan adik-adik akan berjaya sepertimana yang ayah dan mak harapkan,” dia membalas.

Bunyi pohon-pohon yang tumbuh di halaman rumah ditiup angin jelas kedengaran membelah suasana malam yang diwarnai dengan penuh ketenangan dan kedamaian. Pohon-pohon yang mengangguk-angguk ditiup angin turut memberikan semangat dan perangsang kepada Azlan dan adik-adiknya untuk memburu cita-cita sebagaimana yang diimpikan kedua-dua ayah dan ibunya.

“Ayah, Lan nak tanyalah,” dia bersuara.

“Tanya apa?” ayahnya menyoal kembali.

“Pasal sebuah pondok yang ada di Bukit Ketapang tu,” jawabnya pula.

“Pondok di Bukit Ketapang?” ulang ayahnya.

“Ya, ayah!” dia mengangguk-anggukkan kepala.

“Kenapa Lan nak tahu pasal pondok yang ada di bukit tu?” Ayahnya mengangkat kepala tinggi sedikit sambil memandang wajahnya.

“Lan dengar orang-orang kampung bagitau yang pondok tu berpenunggu,” jelasnya.

“Lan …! Lan …!” ayahnya lalu menggeleng-gelengkan kepala sambil tersenyum apabila mendengar apa yang dikatakannya itu.

“Mana ada penunggu di pondok yang ada di bukit tu. Berdosa kita kalau menidakkan kuasa Tuhan dan percaya pada perkara-perkara yang bersifat tahyul,” nasihat ayahnya pula.

“Lan taklah bermaksud begitu, ayah. Tapi orang-orang kampung ni percaya pada perkara yang bukan-bukan. Bagi Lan kita hanya takutkan Allah sahaja dan bukannya pada hantu mahupun jembalang,” ulas Azlan lagi.

“Baguslah kalau kau berfikiran macam tu. Tak mudah percaya akan perkara-perkara yang mengarut dan bukan-bukan. Sudahlah tu. Hari pun dah nak larut malam. Pergilah tidur. Nanti susah pulak kau nak bangun dan lewat ke sekolah,” ayahnya bersuara.

“Baiklah, ayah. Saya masuk tidur dulu,” mohonnya.

“Yalah!” balas ayahnya pula dengan mengangguk-anggukkan kepala. Azlan kemudiannya lalu bangun daripada kerusi dan mengatur langkah menuju ke bilik.

+++++++

Cuaca kelihatan begitu amat cerah sekali. Awan tebal memutih dan langit biru nampak bersih dan terang-benderang. Sinaran matahari yang terik memancar begitu panas sekali rasanya. Namun bahang panasnya dapat ditepis dan kehangatannya tidak terasa apabila pohon-pohon rimbun yang banyak tumbuh di Bukit Ketapang menjadi pelindung.

Jalur-jalur cahaya yang lurus kelihatan terpantul di atas permukaan dan menembusi celah-celah dedaunan. Sekali-sekala kedengaran jelas suara angin yang bertiup. Melalui puncak Bukit Ketapang jelas kelihatan pemandangan seluruh kampung termasuk kebun getah dan dusun buah-buahan.

“Jangan bimbang. Tempat ni selamat. Tak ada siapa yang berani datang ke tempat ni. Lebih-lebih lagi apabila mereka percaya yang tempat ni ada penunggu,” kata Toba.

“Bagus!” puji Rico sambil tersenyum gembira dan menepuk-nepuk bahu Toba.

“Hanya dengan cara itu sajalah yang dapat mengaburi mata orang-orang kampung daripada mengetahui kegiatan yang kita jalankan,” dia menyambung lagi.

“Sebab itu aku bina sebuah pondok di bukit ini. Sebagai tempat untuk kita menyimpan senjata dan dadah,” Toba menambah.

“Ya! Kau memang bijak Toba!” Rico membalas dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Tempat yang sukar untuk dikesan polis macam ni amat sesuai untuk kita menyimpan dadah dan senjata!” tegasnya.

Cuaca cerah sejak dari awal pagi tadi masih lagi berlanjutan hingga ke tengah hari. Tidak kelihatan langsung di kaki langit tanda-tanda hujan akan turun. Sewaktu dalam perjalanan pulang dari sekolah ke rumah Azlan, Badli dan Kamal asyik membincangkan tentang misteri yang menyelubungi pondok yang terdapat di Bukit Ketapang.

“Aku tanya jugak ayah aku pasal orang-orang kampung heboh bercakap pasal pondok di Bukit Ketapang tu berhantu. Jawapan yang dia berikan sama macam Tok Ketua. Semua tu karut dan bohong,” Azlan berkata.

“Tapi yang aku pelik ramai yang kata pondok di bukit tu berpuaka. Sedangkan semua tu tak betul belaka,” Kamal mencelah.

“Petang ni mungkin kita akan mendapat jawapannya yang sebenar,” nyata Badli pula sebaliknya.

“Memang betul apa yang kau katakan tu, Badli. Semuanya akan terjawab petang nanti bila kita pergi ke bukit tu,” sokong Azlan.

Dalam hati mereka berdoa agar cuaca pada petang ini cerah dan baik. Kalau hujan maka akan menjejaskan rancangan mereka untuk menyiasat misteri yang selama ini menyelubungi pondok yang ada di Bukit Ketapang itu. Seperti biasa sampai sahaja di halaman rumah Azlan mereka lalu berpecah. Sebelum berpecah Azlan mengingatkan kedua-dua sahabatnya itu agar datang ke rumahnya selepas solat Asar dan kemudian bersama-sama bergerak menuju ke Bukit Ketapang.

Sampai sahaja di bilik Azlan lalu menyalin pakaian dan mandi. Selepas mandi dia lalu menunaikan solat Zuhur dan kemudiannya menikmati hidangan tengah hari. Selesai sahaja makan tengah hari dia lalu membuat kerja sekolah dan mengulangkaji pelajaran sehingga masuk waktu solat Asar. Sepertimana yang telah dirancang selepas menunaikan solat Asar dia bersama dengan Badli dan Kamal lalu bergerak menuju ke Bukit Ketapang yang terletak di hujung kampung. Sepanjang perjalanan ketiga-tiga sahabat itu rancak berbual-bual sambil menghirup angin petang yang bertiup nyaman dan lembut. Tajuk perbualan mereka tidak lain tidak bukan adalah mengenai orang-orang kampung percaya yang bukit mereka tuju itu adalah berpuaka.

“Aku hairanlah. Kenapalah orang-orang kampung percaya sangat yang pondok di bukit tu ada penunggu,” Azlan berkata.

“Itulah akibatnya kalau percaya sangat pada perkara yang bukan-bukan. Sampaikan lupa yang Tuhan saja berkuasa ke atas segala-galanya di atas dunia ini,” celah Kamal.

“Aku tetap yakin bahawa pondok di bukit itu berhantu sepertimana yang digembar-gemburkan oleh orang-orang kampung adalah tidak benar sama sekali,” tambah Badli pula sebaliknya.

“Aku pun sependapat dengan kau, Li. Tentu ada rahsia yang tersimpan di pondok yang terdapat di bukit tu,” sokong Azlan.

“Nampaknya kita ni dah jadi penyiasat,” ujar Kamal.

“Memang kita kena jadi penyiasat, Mal!” angguk Azlan pula dengan pantas sambil memandang tepat muka Kamal yang berada di sebelah kirinya.

“Kita harus buktikan kepada orang-orang kampung sepertimana yang dikatakan Badli bahawa pondok di Bukit Ketapang tu yang disangka berhantu selama ini adalah karut dan rekaan semata-mata!” tegasnya lagi.

“Ya! Kalau tidak selama-lamanya mereka akan percaya yang pondok di bukit itu berhantu,” Badli bersuara.

+++++++

Demikianlah hangatnya perbualan ketiga-tiga sahabat itu. Sehangat mentari petang yang bersinar indah di kaki langit biru bersama gumpalan awan putih yang menebal. Cuaca cerah juga mengiringi sepanjang perjalanan mereka menuju ke Bukit Ketapang. Mereka berasa amat bersyukur perancangan mereka tidak terjejas apabila cuaca pada petang ini kelihatan amat begitu cerah dan baik sekali. Perjalanan mereka ke bukit itu bukan sahaja begitu mencabar dengan mendaki bukit yang tinggi untuk sampai ke puncak malahan terpaksa juga meredah belukar dan semak samun yang tebal.

Namun semua ini tidak mematahkan semangat mereka untuk melihat dan menyelongkar apa sebenarnya yang tersembunyi di bukit itu. Sekali-sekala mereka berhenti untuk melepaskan penat dan lelah. Setelah penat dan lelah hilang mereka meneruskan semula perjalanan dan akhirnya mereka sampai di Bukit Ketapang.

Mereka tidak terus menuju ke puncak bukit tetapi sebaliknya bersembunyi di celah-celah semak samun untuk melihat apakah misteri yang selama ini terdapat di bukit itu sehingga ia dikatakan berpuaka. Sekejap kepala mereka ke atas sedikit dan sekejap turun ke bawah melihat kawasan persekitaran Bukit Ketapang. Apa yang mereka lihat adalah Rico bersama-sama dengan beberapa orang lelaki berada di luar pondok yang hangat diperkatakan orang-orang kampung mempunyai penunggu itu.

“Siapa pulak dia orang ni …,” Azlan bersuara perlahan agar tidak didengar mereka yang berada di atas puncak bukit itu.

“Yalah, Lan …. Mereka semua tu bukan dari kampung ni. Apa yang dia orang buat di pondok tu …,” Badli menambah juga dalam nada suara yang perlahan seperti berbisik. Namun jelas dapat didengar Azlan yang berada di sebelahnya.

“Kau orang tengok tu. Ada van datang …!” ucap Kamal perlahan apabila kelihatan sebuah van menuju ke puncak bukit itu. Mereka lalu sama-sama menundukkan kepala ke bawah supaya pemandu yang memandu van itu tidak dapat mengesan akan kehadiran mereka bertiga yang sedang bersembunyi di celah-celah semak samun yang terdapat di bukit itu.

Sampai sahaja di atas puncak bukit pemandu lalu mematikan enjin van. Pintu lalu terbuka dan pemandu itu kemudiannya lalu turun daripada van dan membuka bonet. Rico kemudian lalu membuka kotak yang berukuran panjang. Dia mengangkat dan memeriksa senjata api berupa senapang automatik yang dikeluarkannya daripada kotak itu. Rico kemudian lalu memasukkannya semula ke dalam kotak.

Dia kemudiannya lalu membuka kotak yang berukuran kecil pula dan mengeluarkan bungkusan yang berisi dadah. Setelah berpuas hati dia kemudian lalu memasukkan semula ke dalam kotak. Rico kemudiannya lantas memanggil kesemua lelaki yang berada di atas puncak bukit itu dan mengarahkan mereka mengangkat kotak-kotak yang berada dalam bonet van dan membawanya masuk ke dalam pondok.

“Kau orang tengok tak apa isi kotak-kotak yang dia orang bawak masuk ke dalam pondok tu,” ujar Badli sambil memandang kedua-dua sahabatnya itu.

“Senjata api,” balas Azlan.

“Dadah,” tambah Kamal pula.

“Eh! Kau orang tengok tu. Abang Toba! Apa dia buat kat sini, hah?” kata Azlan.

“Ada sesuatu yang mencurigakan dia orang ni,” Kamal mencelah.

“Betul kata kau tu, Mal. Aku pun rasa macam tu jugak,” Badli menambah.

“Kita mesti laporkan segera pada pihak polis!” ujar Azlan.

“Betul kata kau, Lan. Mereka nampaknya merbahaya. Mereka ni penjenayah,” tambah Badli.

“Kalau macam tu kita pergi ke balai polis sekarang jugak!” kata Kamal pula sebaliknya.

“Mari!” ajak Azlan.

+++++++

Ketiga-tiga sahabat itu kemudian lalu meninggalkan Bukit Ketapang dan pergi ke balai polis. Inspektor Hamdan kemudian lalu memanggil Sarjan Omar apabila mendapat maklumat daripada Azlan dan dua orang kawannya itu.

“Kita mesti bertindak sekarang juga. Kumpulkan semua anggota kita. Mereka mesti diberkas. Kerana amat merbahaya dan memang dikehendaki kerana terlibat dengan banyak kegiatan jenayah!” tegas Inspektor Hamdan.

“Baik, tuan!” balas Sarjan Omar dan kemudian lalu meninggalkan bilik Inspektor dan menjalankan apa yang telah diarahkan ketuanya itu.

Sebaik-baik sahaja turun daripada kenderaan Inspektor Hamdan lalu mengarahkan anggota-anggotanya supaya mengatur langkah dengan penuh berhati-hati menuju ke tempat persembunyian Rico dan ahli-ahli kumpulannya.

“Ingat! Mereka semua tu merbahaya dan bersenjata. Jangan bertindak terburu-buru. Ikut arahan saya!” pesan Inspektor Hamdan pada anggota-anggotanya sambil memegang pistol di tangan.

“Baik, tuan!” angguk Sarjan Omar pula dengan pantas.

Manakala anggota-anggotanya yang lain pula hanya mengangguk-angguk diam sahaja. Sebagai tanda mengerti dan faham dengan apa yang telah diarahkan Inspektor Hamdan itu. Setelah semuanya siap sedia Inspektor Hamdan dan anggota-anggotanya kemudian lalu mengatur langkah perlahan dan penuh berhati-hati menuju ke tempat yang menjadi persembunyian Rico dan ahli-ahli kumpulannya.

Inspektor Hamdan turut mengarahkan sebahagian daripada anggotanya supaya mengepung seluruh kawasan Bukit Ketapang. Rico dan ahli-ahli kumpulannya begitu asyik membincangkan mengenai rancangan yang akan dijalankan esok. Melakukan samun bersenjata terhadap salah sebuah kedai emas. Tanpa menyedari bahawa polis telah mengepung seluruh kawasan puncak bukit yang menjadi tempat mereka bersembunyi dan menyimpan dadah serta senjata api.

Sampai sahaja ke tempat yang menjadi persembunyian kumpulan penjenayah yang amat merbahaya dan dikehendaki itu, Inspektor Hamdan kemudiannya lalu mengisyaratkan semua anggotanya agar bersiap sedia untuk bertindak. Setelah semuanya siap sedia dengan pistol di tangan dia bersama dengan anggota-anggotanya kemudian lalu menyerbu ke arah pondok yang menjadi tempat persembunyian Rico dan ahli-ahli kumpulannya.

“Polis! Jangan bergerak!” katanya Inspektor Hamdan sambil mengacukan pistol ke arah Rico dan ahli-ahli kumpulannya. Mereka lantas terkejut dan tidak dapat berbuat apa-apa kerana tangan mereka pantas digari oleh anggota-anggota polis.

“Apahal ni? Apa salah aku?” Rico sebaliknya meronta-ronta untuk cuba melepaskan diri. Namun tidak berjaya kerana tangannya bergari dan badannya dipegang kuat oleh salah seorang daripada anggota polis. Dua orang kawannya hanya mendiamkan diri sahaja dengan tangan bergari dan badan mereka juga dipegang kuat oleh anggota polis.

“Diam! Jangan cuba melawan. Sarjan. Periksa seluruh pondok ni. Dapatkan bahan bukti!” arah Inspektor Hamdan.

“Baik, tuan!” balasnya dengan pantas dan kemudian lalu mengajak beberapa orang anggota yang lain untuk melaksanakan tugas yang telah diarahkan ketuanya itu.

Inspektor Hamdan kemudian memandang ke seluruh pondok yang selama ini menjadi tempat persembunyian kumpulan penjenayah yang telah banyak melakukan kegiatan merompak termasuk pengedaran dadah. Rico dan ahli-ahli kumpulannya itu hanya mampu mendiamkan diri sahaja. Apabila anggota polis menggeledah seluruh pondok di puncak bukit itu untuk mendapatkan bahan bukti yang mengaitkan mereka dengan kegiatan jenayah. Tak lama kemudian Sarjan Omar bersama dengan beberapa anggota lain yang membuat penggeledahan muncul sambil membawa kotak-kotak yang berisi dengan senjata api dan dadah.

“Tuan. Kita dah jumpa bahan bukti!,” ucap Sarjan Omar sambil menunjukkannya kepada ketuanya yang berpangkat inspektor itu.

“Bagus, sarjan!” angguknya dan kemudian memandang Rico dan ahli-ahli kumpulannya.

“Awak semua akan didakwa kerana terlibat dengan kegiatan jenayah. Bawa mereka semua!” dia berkata pada Sarjan Omar dan anggota-anggotanya yang lain.

Sarjan Omar dan anggota-anggota yang lain kemudian lalu membawa Rico dan ahli-ahli kumpulannya yang seramai 5 orang itu keluar daripada Bukit Ketapang dengan tangan bergari sambil dikawal ketat dan dibawa ke ibu pejabat polis. Rasa kegembiraan dan kepuasan jelas terbayang di wajah Inspektor Hamdan apabila dia dan anggota-anggotanya berjaya menumpaskan cubaan kumpulan penjenayah yang amat dikehendaki dan merbahaya selama ini.

+++++++

Berita kejayaan polis menumpaskan kumpulan penjenayah yang diketuai oleh Rico telah mendapat liputan yang meluas dalam akhbar dan televisyen. Toba juga telah ditangkap kerana terlibat sama dalam kegiatan jenayah. Inspektor Hamdan telah berjumpa dengan ketiga-tiga sahabat itu.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih di atas kerjasama dan bantuan yang telah kamu bertiga berikan sehingga tertangkapnya Rico dan ahli-ahli kumpulannya,” katanya.

“Jadi, selama ni mereka bersembunyi di pondok yang ada di bukit tu?” Azlan lalu berasa amat terperanjat apabila mendengar apa yang dikatakan pegawai polis itu.

“Benar!” Inspektor Hamdan sebaliknya membalas dengan mengangguk-anggukkan.

“Mereka adalah kumpulan penjenayah yang amat pihak kami kehendaki. Sebenarnya esok mereka merancang untuk merompak salah sebuah kedai emas,” jelasnya lagi.

“Mujurlah rancangan mereka yang jahat itu dapat dipatahkan dengan segera,” celah Badli.

“Kumpulan ini juga mempunyai kaitan dengan pengedaran senjata api dan dadah. Ketua kumpulan ini bernama Rico yang sangat licik dan sering dapat meloloskan diri apabila diberkas polis. Tapi kali ni dia tumpas juga akhirnya di tangan polis. Bak kata orang sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga,” ujar Inspektor Hamdan dengan penuh panjang lebar.

“Apa pula kaitan Abang Toba dengan mereka, tuan?” tanya Badli pula.

“Daripada soal siasat yang pihak kami jalankan Toba memberitahu bahawa dia ditugaskan oleh Rico untuk menjaga pondok yang terdapat di bukit itu yang bukan sahaja menjadi tempat persembunyian Rico bersama dengan rakan-rakannya malahan juga menjadi tempat bagi mereka untuk menyimpan dadah dan senjata api,” jawab Inspektor Hamdan pula sebaliknya.

“Jadi, cerita selama ini yang mengatakan bukit itu berpenunggu adalah tidak benar dan hanya rekaan semata-mata,” ujar Azlan.

“Memang benar sekali!” angguk Inspektor Hamdan pula dengan pantas.

“Semua itu dilakukan Toba untuk mengaburi mata dan menutup rahsia daripada diketahui orang-orang kampung,” dia menyambung lagi.

Inspektor Hamdan kemudian lalu bersalaman dan memohon diri untuk pulang semula ke ibu pejabat polis kerana masih banyak lagi kerja yang perlu diselesaikan. Kereta yang dinaiki Inspektor Hamdan bersama dengan pemandunya kemudian lalu bergerak meninggalkan ketiga-tiga sahabat itu. Rasa keriangan jelas terpancar di wajah ketiga-tiga sahabat itu kerana berjaya membongkar rahsia yang selama ini menyelubungi pondok di Bukit Ketapang.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *