Cerpen “Sepakat Muakafat”
Kaca ( Tim Mossholder )
Matahari yang meninggi di kaki langit kelihatan
bersinar dengan begitu indah sekali.
Angin yang datang daripada arah bukit bertiup kencang. Pohon-pohon yang menghijau menari-nari apabila ditiup angin. Sekejap beralih ke kanan dan sekejap beralih ke kiri mengikut rentak angin yang bertiup.
“Seronok rasanya bila tengok orang-orang kampung hidup dalam suasana bermuafakat. Saling tolong-menolong. Bantu-membantu dan bekerjasama di antara satu sama lain,” kata Tok Ketua.
“Saya pun begitu jugak, tok. Kita hidup di kampung ni dengan penuh semangat kebersatuan dan perpaduan. Tanpa berlaku perpecahan mahupun persengketaan,” tambah Pak Darus.
“Hendaknya semangat yang kita bina bersama-sama ini berkekalan sehingga ke anak cucu kita nanti,” celah Pak Latiff pula sebaliknya.
Tak lama kemudian Mak Tipah isteri Tok Ketua muncul sambil membawa dulang yang berisi minuman iaitu tiga cawan air teh yang masih panas dan sepinggan kuih lepat pisang. Dia kemudiannya lalu meletakkan perlahan-lahan di atas meja yang berbentuk empat segi dan beralaskan dengan kain yang berwarna biru muda. Selesai sahaja meletakkan ketiga-tiga cawan dan pinggan yang berisi dengan air teh dan lepat pisang itu Mak Tipah kemudiannya lalu beredar masuk semula ke dapur sambil membawa dulang.
“Darus! Latiff! Jemput minum. Rezeki kau orang dapat makan lepat pisang. Pisang ni aku baru tebang semalam dari kebun,” ujar Tok Ketua.
“Alhamdulillah!” balas Pak Latiff.
Mereka bertiga lalu menikmati hidangan yang disediakan oleh Mak Tipah. Asap nipis yang keluar daripada air teh yang masih lagi panas kelihatan seperti melenggang-lenggok naik ke atas. Angin yang tadinya bertiup kencang lalu bertukar menjadi perlahan dan menyusup masuk melalui celah-celah dinding pandang rumah Tok Ketua yang dicat dengan warna merah hati.
“Kalau tak silap saya hari Isnin depan ada mesyuarat bulanan,” ucap Pak Darus.
“Ya, Darus!” angguk Tok Ketua pula.
“Pukul 2.30 petang di balai raya,” sambungnya lagi.
“Tentu banyak perkara yang tok nak ketengahkan dalam mesyuarat tu nanti,” sampuk Pak Latiff.
“Itu sudah semestinya, Pak Latiff. Perkara utama yang aku nak tekankan adalah sentiasa hidup bermuafakat dan tidak bepecah-belah,” dia membalas.
“Memang itu yang tok selalu tekankan setiap kali dalam mesyuarat bulanan,” kata Pak Latiff.
“Ternyata orang-orang kampung sentiasa ingat dan berpesan teguh pada pesan tok tu,” ucap Pak Darus pula sebaliknya.
“Alhamdulillah! Memang itu yang aku harapkan sebagai seorang ketua di kampung ni. Mahu melihat anak-anak buah aku sentiasa bermuafakat dalam melakukan apa jua perkara. Baik yang besar mahupun yang kecik. Sentiasa mengeratkan hubungan silaturrahim dan menganggap persengketaan adalah sesuatu yang amat merugikan. Sebaliknya muafakat membawa banyak keuntungan kepada kita semua,” kata Tok Ketua dengan penuh panjang lebar.
Pokok rambutan yang tumbuh di halaman rumah Tok Ketua bagaikan terbuai-buai ditiup angin. Daun-daun kering yang berguguran akibat ditiup angin kelihatan bertaburan menutupi permukaan tanah yang kering. Sekali-sekala kedengaran bunyi bergemeratapan ranting patah jatuh ditiup angin yang bertiup daripada arah bukit yang terletak tidak jauh daripada rumah Tok Ketua.
“Sememangnya muafakat membawa banyak keuntungan kepada kita semua. Saya yakin, tok. Kita semua akan terus hidup di kampung ni dengan penuh semangat muafakat dan menjauhi daripada sebarang perkara yang membawa kepada persengketaan,” ujar Pak Latiff.
“Sama-samalah kita berdoa. Semoga Allah SWT memakbulkan apa yang kita hajati,” kata Tok Ketua.
“Amin!” ucap Pak Darus.
“Selain daripada itu, apalagi yang tok nak tekankan?” soalnya pula.
“Ya, tok! Saya nak juga dengar apa yang tok rancangkan untuk kami semua di kampung ni,” celah Pak Latiff pula sebaliknya dengan pantas.
“Benar, tok. Perkara yang baik memang elok kita kongsi bersama,” sokong Pak Darus.
Tok Ketua sebaliknya membalas dengan tersenyum kecil sahaja. Angin yang masuk menerusi jendela kayu yang terbuka luas terasa nyaman dan segar mengepung seluruh ruang tamu rumah Tok Ketua. Begitu bersemangat nampaknya Pak Darus dan Pak Latiff untuk mengetahui perancangan yang telah disusun oleh Tok Ketua.
“Kita usahakan tanah-tanah yang terbiar di kampung ni dengan tanaman sayur,” dia berkata.
“Bagus tu, tok! Dapat juga kita semua menikmati hasilnya nanti,” sambut Pak Latiff dengan pantas.
“Berbudi pada tanah pasti kita akan dapat menuai hasilnya nanti,” tambah Pak Darus pula.
“Pokok pangkalnya rajin berusaha. Dapatlah kita menikmati imbuhannya,” ujar Tok Ketua.
“Kita usahakan secara muafakat,” cadang Pak Darus.
“Memang itulah tujuan sebenarnya aku mahu tanah-tanah terbiar yang terdapat di kampung ni diusahakan dengan cara sedemikian. Supaya dapat memperkukuhkan lagi semangat muafakat di kalangan orang-orang kampung,” beritahu Tok Ketua.
“Saya amat setuju sekali, tok. Kita cantikkan lagi semangat permuafakatan yang telah sekian lama kita bina,” celah Pak Latiff pula.
Suara angin yang bertiup jelas kedengaran mewarnai seluruh kampung. Memang dapat dirasakan ketenangan dan kedamaian apabila mendengar angin yang bertiup dan pohon-pohon menghijau yang bergoyangan. Bersama-sama dengan geseran daun-daun yang merdu dan sungguh menghiburkan jiwa.
Bagi Tok Ketua dia perlu menyusun berbagai-bagai kegiatan yang bukan sahaja dapat membentuk dan mengukuhkan semangat permuafakatan malahan juga memberikan banyak manfaat dan faedah kepada anak-anak buahnya. Sudah menjadi tanggungjawabnya sebagai seorang ketua untuk memastikan anak-anak buahnya sentiasa sejahtera dan menjadikan kampung ini sebagai yang terbaik dan menjadi contoh kepada yang lain.
Demikianlah tingginya impian dan cita-cita Tok Ketua. Namun begitu dia sedar bahawa tidak semudah itu apa yang dihajati dan diimpikannya itu akan menjadi kenyataan. Tanpa sokongan dan kerjasama yang penuh dan padu daripada anak-anak buahnya. Di sudut hatinya dia menanamkan rasa keyakinan bahawa segala perancangannya akan disambut baik dan mendapat sokongan daripada anak-anak buahnya dan kejayaan yang bakal dinikmati nanti bukan hanya untuknya sebagai sebagai seorang ketua. Tetapi juga anak-anak buahnya yang telah berusaha keras bersama-sama dengannya.
“Dalam pada tu kita juga jangan lupakan kegiatan yang berkaitan dengan keagamaan,” katanya lagi.
“Betul tu, tok!” sampuk Pak Latiff pula sebaliknya dengan pantas.
“Dalam kita sibuk mengejar kesejahteraan hidup di dunia akhirat jangan sesekali kita lupakan,” dia menambah lagi.
“Kita perbanyakkan ceramah agama. Tajuk kita tekankan tentang tanggungjawab kita sebagai hamba yang hidup di dunia ini terhadap Allah SWT. Di samping itu jugak aku nak tarik anak-anak muda di kampung agar sentiasa datang untuk menunaikan solat berjemaah di masjid. Caranya adalah dengan mengadakan kegiatan yang khas buat mereka. Kita cari ustaz-ustaz yang muda sebaya dengan mereka untuk membimbing dan menarik minat mereka untuk datang ke masjid,” beritahu Tok Ketua dengan penuh panjang lebar.
“Bagus sekali cadangan tok tu. Sekurang-kurangnya mereka tak terlibat dalam melakukan perkara yang tidak baik dan tidak sihat. Maklumlah mereka mudah terdedah dengan perkara-perkara yang boleh merosakkan diri mereka sendiri,” balas Pak Darus pula.
“Insya-Allah!” angguk Tok Ketua.
“Semoga mereka akan sentiasa berlumba-lumba untuk menjadi insan yang sentiasa mengejar pahala dan kebaikan,” sambungnya lagi.
Sinaran matahari yang terang-benderang menyinari seluruh kampung. Awan putih yang menebal dan langit yang membiru kelihatan begitu amat bersih sekali. Pohon nyiur yang tumbuh di halaman rumah Tok Ketua melambai-lambai apabila ditiup angin.
Pelepah yang bergeseran apabila ditiup angin kedengaran seperti bernyanyi-nyanyi riang mendendangkan hati dan perasaan yang dilanda duka. Lambaian nyiur yang disapu angin apabila dilihat mempunyai makna yang penuh tersirat. Seolah-olah mengajak anak-anak muda yang mencari rezeki di bandar besar iaitu Kuala Lumpur supaya pulang ke kampung halaman untuk menaburkan khidmat dan bakti di tempat mereka dilahirkan dan dibesarkan. Tok Ketua terus merancakkan lagi tajuk perbualan.
“Kat kampung kita ni banyak rumah-rumah lama yang tinggal dan terbiar yang mempunyai senibina yang menarik. Apabila pemiliknya meninggal dunia maka rumah-rumah ni ditinggalkan dengan begitu sahaja dan tidak dijaga. Anak-anak mereka pulak tinggal di bandar dan tidak pulang apabila ayah dan ibu mereka telah tiada. Jadi, aku bercadang nak jumpa waris-waris untuk mendapatkan persetujuan. Bagi rumah-rumah ini dipulihara melalui jabatan yang berkaitan untuk dijadikan sebagai tempat mereka yang datang daripada luar untuk tinggal. Selain daripada melihat adat dan cara kehidupan yang kita amalkan di kampung ni dapat jugak memberikan pendapatan tambahan kepada kita semua,” jelas Tok Ketua dengan penuh panjang lebar.
“Elok sangat cadangan tok tu. Saya sokong. Dengan cara ni bukan sahaja menarik orang daripada luar datang ke kampung kita tapi dapat juga mengetengahkan kampung kita yang mempunyai rumah yang kaya dengan sejarah dan nilai warisan yang tinggi,” celah Pak Latiff.
“Saya pun sependapat dengan Latiff, tok!” balas Pak Darus pula sebaliknya dengan mengangguk-anggukkan kepala.
“Anak-anak muda juga dapat melihat sejarah dan warisan yang ada di kampung mereka,” sambungnya lagi.
“Siapa lagi yang harus memulihara warisan dan sejarah peninggalan datuk nenek moyang kita kalau bukan kita sendiri sebagai penduduk di kampung ni,” ulas Tok Ketua.
Sebenarnya sudah lama dia memikirkan untuk menjadikan rumah-rumah tradisional yang terdapat di kampung ini sebagai daya tarikan pelancong untuk datang. Melalui cara ini juga dapat membantu kerajaan dalam menjana pendapatan khususnya di bidang pelancongan.
Amat sayang kalau dibiarkan ia terus terbiar dan musnah dengan begitu sahaja. Hilang sukar untuk dicari manakala cicir sukar untuk dipungut kembali. Oleh itu rumah-rumah yang amat berharga dan bernilai dari segi sejarah dan warisan ini perlu diselamatkan segera. Dengan mengemukakan kertas kerja bersama-sama dengan peruntukan kepada pihak yang berkaitan.
“Aku juga bercadang nak wujudkan sebuah perpustakaan kecil di masjid kita tu. Dapatlah anak-anak cucu kita menambah ilmu dengan membaca buku,” katanya lagi.
“Semoga akan lahir ramai cerdik pandai daripada kalangan anak-anak cucu kita nanti,” balas Pak Latiff pula.
“Mudah-mudahan begitulah!” angguk Tok Ketua pula sebaliknya.
“Ilmu yang penuh di dada amat penting kepada mereka. Jadi, dah tanggungjawab kita semua untuk bantu dan beri semangat pada mereka,” katanya lagi.
“Insya-Allah, tok!” celah Pak Darus dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.
“Kita akan menuai hasilnya nanti daripada semua usaha yang telah kita lakukan bersama,” dia menyambung lagi.
“Yalah!” kata Tok Ketua sambil menarik nafas yang panjang.
“Moga semua benih yang kita semai ini akan menghasilkan benih yang baik nanti,” harapnya lagi.
Desiran angin yang bertiup menerobos masuk menerusi atap zink rumah Tok Ketua. Pokok cili api, serai, ubi kayu, keledek dan puding yang ditanam Tok Ketua di belakang rumah bergoyangan ditiup angin. Setiap petang selepas menunaikan solat Asar dia akan mengerjakan kebun yang ditanam dengan sayur-sayur kampung di belakang ruamhnya itu.
“Majlis dan acara yang berkaitan dengan adat juga perlu kita banyakkan. Dengan ini kita dapat memelihara dan mengekalkan adat yang telah dipusakai sekian lama daripada datuk nenek moyang kita yang terdahulu. Malahan dapat mengetengahkan dan menanamkan rasa sayang dan kasih kepada anak-anak cucu kita terhadap adat dan sebagai persediaan kepada mereka sebagai pewaris pada masa depan. Apabila kita sudah tiada nanti. Sepertimana yang disebut dalam pepatah kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya.” Demikian kata Tok Ketua dengan penuh panjang lebar pada Pak Darus dan Pak Latiff.
“Memang itulah cara yang terbaik, tok. Untuk memastikan adat yang kita pegang sejak sekian lamanya tidak hilang dan lenyap. Sebaliknya diteruskan dan diwarisi oleh anak-anak cucu kita pada satu nanti.” Pak Latiff menyatakan sokongan yang penuh terhadap usaha yang akan dilakukan oleh Tok Ketua itu.
“Adat akan tetap menjadi adat buat selama-lamanya. Tak akan berubah jauh sekali akan bertukar. Sememangnyalah apa yang tok lakukan itu di sokong oleh kita semua yang hidup berpegang kepada adat di kampung ni!” sambut Pak Darus pula dengan begitu bersemangat sekali.
Tok Ketua lalu mengukir senyuman apabila mendengar kata-kata Pak Latiff dan Pak Darus itu. Semakin rancak dan bersemangat ketiga-tiga mereka berbual-bual mengenai perancangan dan kegiatan yang akan dibentangkan dalam mesyuarat bulanan nanti.
“Anak-anak cucu kita juga perlu diketengahkan dengan kegiatan seni dan budaya. Supaya mereka mengetahui dan mempunyai perasaan kasih terhadap khazanah dan warisan seperti permainan senapang buluh, gasing, congkak, galah panjang, batu seremban, kompang dan rebana. Aku akan cadangkan dalam mesyuarat nanti agar kegiatan-kegiatan ini memenuhi masa lapang mereka dan akan lahir di kalangan mereka yang mempunyai kepakaran dan ilmu pengetahuan dalam bidang budaya dan seni.” Tok Ketua menyatakan lagi hasratnya.
“Menarik sungguh cadangan tok tu. Anak-anak cucu kita pasti akan merasa seronok dan gembira. Dalam pada itu mereka akan dapat mengenali dengan lebih mendalam lagi akan kekayaan seni dan budaya yang menjadi kebanggaan kita semua,” ujar Pak Darus.
“Saya dah dapatkan bayangkan, tok. Betapa meriahnya nanti kampung kita menjalankan kegiatan yang telah dirancang. Baik daripada peringkat yang tua sehinggalah ke yang muda,” tambah Pak Latiff.
“Terima kasih atas sokongan kau orang berdua. Segala yang telah dirancang bersama ini akan dilakukan secara bertahap dan mengikut kemampuan,” balas Tok Ketua pula sebaliknya.
Pak Darus dan Pak Latiff sebaliknya hanya mengangguk diam sahaja. Apabila mendengar apa yang dikatakan oleh Tok Ketua itu. Mereka kemudiannya lalu meminta diri untuk pulang menjelang tengah hari. Demikianlah kisah seorang Tok Ketua yang sentiasa ingin memastikan anak-anak buahnya sentiasa hidup dalam sebuah keluarga yang penuh dengan semangat permuafakatan dan kesejahteraan dengan berbagai-bagai kegiatan yang membawa kepada banyak manfaat dan faedah dalam suasana kampung yang penuh harmoni dan damai.
~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~