Cerpen “Teraniaya”

Orang

Orang ( Darkness )

Sesungguhnya hidup ini
umpama air laut yang membiru.
Pasang dan surut silih berganti.
Penuh dengan warna-warna suka dan duka.

Hidup ini penuh dengan pelbagai dugaan dan cabaran. Kerana bukan hidup namanya kalau tidak menempuhi cabaran dan dugaan yang telah ditentukan buat kita.

“Kau teraniaya,” kata Rosli.

“Sabar …,” balas Azhar pula sebaliknya dalam nada suara yang penuh tenang.

“Dalam keadaan macam ni pun kau masih nak bersabar lagi!” tegas Rosli.

“Semua ni dah ketentuan Allah buat aku. Aku redha menerimanya,” ujar Azhar.

Dia kemudiannya lalu menarik nafas yang panjang. Tak semua yang indah sepertimana yang kita impikan akan datang dalam hidup kita. Sebaliknya yang pahit juga akan datang dan harus ditelan. Itulah hakikat dan kenyataan dalam kita mengharungi perjalanan hidup ini.

Masih lagi segar dan jelas terbayang di ingatannya. Pada satu pagi sebaik-baik sahaja tiba di pejabat dia telah dipanggil oleh Encik Borhan pengurus syarikat tempat dia bekerja.

“Masuk!” kata Encik Borhan apabila mendengar bunyi pintu bilik diketuk.

Pintu bilik lalu terbuka.

“Encik Borhan nak jumpa saya,” ucapnya.

“Ya!” jawab Encik Borhan dalam nada suara yang keras.

Dia sudah dapat mengagak. Daripada raut wajah yang ditunjukkan oleh pengurus syarikat tempat dia bekerja itu ada sesuatu yang tak kena. Macam ada perasaan marah. Namun dia tetap tenang dan sabar. Menanti apa yang ingin dikatakan oleh Encik Borhan padanya.

Perlahan-lahan dia duduk di atas kerusi.

“Awak tak perlu lagi bekerja di syarikat ni!” tegas Encik Borhan.

Dia lantas terkejut apabila mendengar apa yang dikatakan oleh pengurus syarikat tempat dia bekerja itu. Tapi dia menyambutnya dengan sabar dan tenang.

“Kenapa, Encik Borhan?”

“Macam-macam saya dengar tentang awak!”

“Saya minta maaf. Kalau saya ada membuat kesalahan. Saya minta sangat-sangat ….”

“Sudah! Saya tak mahu dengar apa pun alasan awak. Saya tak mahu orang macam awak bekerja di syarikat ini. Awak cari kerja di tempat lain!”

Rasa sedih hanya Tuhan sahaja yang tahu. Siapa pun akan sedih apabila dengan tiba-tiba sahaja diberhentikan kerja. Sekarang bukan senang nak dapat kerja. Tertanya-tanya juga dalam hatinya. Kenapa dengan tiba-tiba sahaja Encik Borhan bertindak sedemikian. Dengan memberhentikan dia kerja.

Sedangkan dia sentiasa patuh dan penuh komitmen dalam melaksanakan setiap kerja yang telah diarahkan. Mungkin dah nasib dia agaknya kena diberhentikan kerja dan sampai di sini sahaja rezeki dia bersama-sama dengan syarikat ini.

Hari ini adalah hari terakhir dia bekerja. Petang itu sebelum pulang dia ingin bertemu dengan Encik Borhan. Untuk mengucapkan terima kasih kerana mengambil dia bekerja dengan syarikat ini dan memohon maaf sekiranya terdapat salah dan silap mahupun terkasar bahasa.

Tapi Encik Borhan tidak mahu berjumpa dengannya. Marah betul Encik Borhan dengannya. Apa boleh buat. Takkan nak paksa dia pulak. Tapi sebagai pekerja aku tetap menghormati dia sebagai pengurus. Demikianlah detik hati kecilnya.

Dia kemudiannya lalu mencari kerja di tempat lain. Tapi tak dapat. Namun dia tetap bersabar. Mungkin rezeki dia belum sampai lagi. Dia berpegang kepada kata-kata bahawa kalau dah rezeki tak ke mana. Cuma cepat atau lambat sahaja. Semua itu adalah ketentuan daripada Tuhan.

+++++++

“Aku tahu siapa yang punya angkara sehingga kau diberhentikan kerja,” ujar Rosli.

Dia sebaliknya hanya tenang dan diam sahaja.

“Ini dah tentu kerja Salleh!” kata Rosli lagi.

“Tak baik tuduh macam tu, Li,” dia membalas.

“Betul!” angguk Rosli pula sebaliknya dengan pantas.

“Dia memang cemburu apabila melihat kau sentiasa dipuji dan mendapat kepercayaan daripada Encik Borhan. Sebab itulah dia hasut Encik Borhan sehingga kau dibuang kerja,” dia menyambung lagi.

Tenang dan sabar itulah yang kelihatan di wajahnya. Sedikit pun tidak kelihatan rasa marah. Apabila mendengar apa yang dikatakan oleh bekas rakan sekerjanya itu.

Sebenarnya apa yang diberitahu oleh Rosli itu memang benar. Salleh memang irihati dan cemburu dengannya. Tambah pula Encik Borhan memang bercadang untuk menaikkannya pangkat. Sebab itulah Salleh tergamak untuk menabur fitnah dan memburuk-burukkannya pada Encik Borhan. Sehingga Encik Borhan terpengaruh dengan cakap Salleh.

“Betul ke apa yang awak cakapkan ni, Salleh?” soal Encik Borhan dengan rasa penuh terkejut.

“Betul!” angguknya dengan pantas.

“Saya tak bohong!” gelengnya.

“Tak sangka saya. Dia nak menikam saya dari belakang!” balas Encik Borhan dalam nada suara yang berbunyi marah.

“Itu la. Azhar tu nampak aje baik di depan. Tapi di belakang rupanya lain. Dia memang nak mengambilalih syarikat ni daripada Encik Borhan,” kata Salleh lagi.

Rasa kemarahan yang memuncak semakin jelas kelihatan di wajah Encik Borhan.

“Dia memang pandai berpura-pura baik. Rupanya ada udang di sebalik batu. Dia pergunakan semua pelanggan kita. Untuk mencapai cita-cita dia!” Salleh terus mengapi-apikan Encik Borhan.

“Patutlah semua pelanggan kita berurusan terus dengan dia. Bukannya dengan saya,” ucap Encik Borhan pula.

“Encik Borhan bersusah payah hendak membina syarikat ini. Dia pulak senang-senang aje nak ambilalih. Takkan Encik Borhan nak biarkan!” Dia tak henti-henti menaikkan api kemarahan Encik Borhan.

Encik Borhan sebaliknya hanya mendiamkan diri sahaja sambil berfikir sesuatu. Dalam hati Salleh berasa begitu amat gembira sekali. Kerana jarumnya telah berjalan. Rancangan jahatnya telah berjaya mempengaruhi Encik Borhan.

Dia merasa tidak sabar-sabar lagi untuk melihat Azhar diberhentikan kerja. Apabila Azhar diberhentikan nanti sudah tentu peluangnya untuk dinaikkan pangkat adalah cerah. Selain daripada itu, dia juga akan mengambilalih tempat Azhar sebagai orang kanan dan kepercayaan Encik Borhan.

“Betul kata awak!” angguk Encik Borhan.

“Saya tak boleh berdiam diri. Saya mesti keluarkan Azhar daripada syarikat ni. Sebelum terlambat!” putusnya pula.

“Saya setuju sangat tu, Encik Borhan!” ucap Salleh dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Nasi kalau dah menjadi bubur tak berguna lagi,” sambungnya lagi.

+++++++

Sementara itu Azhar tidak berputus asa untuk mencari kerja yang baru. Tapi masih juga tidak dapat. Dalam fikirannya sentiasa terbayang nasib isteri dan anak-anaknya. Mujurlah ada duit dalam simpanan. Dapat jugalah menampung belanja dapur dan persekolahan anak-anaknya. Tapi tak akan bertahan selama mana. Tambahan pulak kehidupan hari ini memerlukan banyak duit yang perlu dikeluarkan. Bukan sahaja pada hujung bulan malahan juga pada setiap hari.

“Macam mana, bang? Dapat kerja?” tanya isterinya ketika dia sampai di rumah.

Dia sebaliknya hanya mampu untuk mendiamkan diri sahaja sambil memandang wajah isterinya itu yang penuh dengan pengharapan. Agar mengkhabarkan berita yang penuh menggembirakan. Bukannya khabar yang menghampakan.

Dari raut wajah yang ditunjukkannya itu isterinya telah pun dapat membaca. Seperti biasa sudah tentu berita yang mendukacitakan. Namun begitu isterinya tetap bersabar untuk mendengarnya.

“Tak dapat …!” gelengnya perlahan.

“Sabarlah, bang. Mungkin ada hikmah di sebalik semua yang berlaku ini.” Isterinya memberikan kata-kata semangat.

“Terima kasih, Mah …. Kerana sentiasa bersama-sama dengan abang. Lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang …,” dia membalas sambil memegang erat tangan isterinya itu.

Isterinya lalu tersenyum apabila mendengar kata-katanya itu.

“Mah kan isteri abang. Senang dan susah mesti dirasa bersama,” kata isterinya.

Senyuman yang berbunga jelas kelihatan di wajahnya. Walaupun di hatinya tersembunyi rasa kecewa dan hampa yang amat sangat. Kerana sudah hampir sebulan berlalu namun dia masih lagi tidak mendapat kerja. Semenjak diberhentikan oleh Encik Borhan.

Namun dia tetap berasa bersyukur kepada Tuhan. Kerana mempunyai seorang isteri yang memahami dan mengerti dengan keadaan yang dialaminya sekarang.

“Sudahlah tu. Sama-samalah kita berdoa. Semoga akan datang yang terbaik buat kita dan anak-anak.” Isterinya terus memberikan sokongan dan dorongan.

“Insya-Allah!” balasnya dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Abang tentu penat dan dahaga. Abang berehatlah. Biar Mah buat air,” kata isterinya.

Dia lalu mengangguk-angguk diam sambil memerhatikan isteri yang disayanginya itu mengatur langkah menuju ke dapur.

Dalam pada itu Salleh terus menjalankan rancangan jahatnya untuk menguasai syarikat kepunyaan Encik Borhan. Memandangkan Rosli telah mengetahui rahsianya maka dia telah mempengaruhi Encik Borhan agar segera menyingkirkan Rosli. Sama seperti yang dilakukannya terhadap Azhar.

Tambahan pula Rosli telah membuat kesilapan. Sehingga membawa kepada kerugian yang amat besar kepada syarikat. Sedangkan kesilapan itu adalah berpunca daripada Salleh. Tapi yang menjadi mangsa adalah Rosli.

Nampaknya Rosli senasib dengan Azhar. Teraniaya. Akibat daripada perbuatan yang telah dilakukan oleh Salleh.

“Aku tak boleh berdiam diri! Salleh telah menganiaya aku. Aku mesti ajar dia!” katanya dengan rasa marah bercampur geram.

“Bawak bersabar, Li ….”

“Macam mana aku nak bersabar? Kerana dia aku menerima nasib yang sama macam kau. Hilang pekerjaan!”

“Betul! Kita hilang pekerjaan. Tapi Allah bersama-sama dengan kita.”

Terdiam seketika Rosli.

“Tiada gunanya kita melawan orang yang berhasad dengki. Kerana akan merugikan diri kita sendiri. Sebaliknya kita lawan dengan kesabaran. Itulah senjata yang sebaik-baiknya. Lama-kelamaan api akan membakar diri mereka sendiri. Itulah yang akan terjadi kepada orang yang berhasad dengki terhadap kita,” nasihat Azhar pula sebaliknya dengan penuh panjang lebar.

Dia benar-benar berasa terkesan dengan kata-kata Azhar itu.

“Memang benar kata kau, Azhar …!” angguknya lemah.

“Ya, Allah …! Kenapalah aku terlalu mengikutkan perasaan …!” dia berkata lagi.

Azhar sebaliknya lalu menarik nafas yang panjang. Dia kemudiannya lalu menepuk-nepuk lembut bahu Rosli.

“Syukurlah, Li. Kerana kau dapat memahami erti kesabaran. Tuhan sentiasa bersama-sama dengan orang yang sabar,” ujar Azhar pula.

+++++++

Pada satu petang ketika dia sedang duduk di ruang tamu rumah dengan tiba-tiba sahaja dia mendapat ilham untuk membuka perniagaan sendiri. Baginya semua ini datangnya daripada Allah SWT. Dia kemudiannya lalu mengatur perjumpaan di salah sebuah restoran yang terletak di Damansara.

“Ada apa kau panggil aku ni? Macam ada perkara mustahak aje nak bincang,” ucap Rosli.

Tak lama kemudian pelayan muncul sambil membawa dulang yang berisi makanan dan minuman. Azhar memesan mi goreng dan air sirap limau. Manakala Rosli pula memesan nasi goreng ayam dan air teh ais.

Perlahan-lahan pelayan yang berusia dalam lingkungan awal 20-an itu meletakkan di atas meja yang berbentuk empat segi. Dia kemudiannya lalu berlalu pergi sambil membawa dulang yang kosong.

Sebelum makan mereka membaca doa yang dipimpin oleh Azhar. Mereka kemudiannya lalu menjamu selera sambil berbual-bual.

“Begini, Li. Aku nak ajak kau bukak perniagaan.”

“Perniagaan?”

“Ya!”

“Perniagaan apa?”

“Macam syarikat tempat kita bekerja dulu.”

“Maksud kau pembinaan.”

“Ya! Lagipun kita dah ada pengalaman dalam bidang tu.”

Rosli lalu mengangguk-angguk diam. Dia kemudiannya lalu menyambung semula menikmati nasi goreng ayam yang menjadi makanan kegemarannya.

“Bagus jugak cadangan kau tu,” dia berkata.

“Kalau orang lain boleh buat kenapa kita tidak. Mereka juga macam kita. Manusia yang dikurniakan dengan akal dan fikiran. Kudrat dan tenaga. Bak kata pepatah di mana ada jalan di situ pasti ada kemahuan,” ujar Azhar pula sebaliknya.

“Ya! Inilah masanya untuk kita membuktikan kemampuan dan kemahiran yang ada pada diri kita. Bukannya mudah mengalah atau berputus asa apabila diuji dalam hidup ini,” sokong Rosli pula.

“Baguslah! Kerana kau mempunyai semangat yang sebegitu. Sama-samalah kita berdoa. Semoga perniagaan yang akan kita buka nanti berjaya dan mendatangkan rezeki yang berkat kepada isteri dan anak-anak,” dia membalas.

“Mudah-mudahan Allah SWT merahmati dan memberkati segala yang kita lakukan,” sambut Rosli.

+++++++

Sementara itu semakin ramai pekerja yang berhenti daripada bekerja dengan Encik Borhan. Silap sedikit sahaja akan dikenakan tindakan potong gaji. Sedangkan yang menjadi punca adalah Salleh. Apabila mereka memberikan penjelasan Encik Borhan langsung tidak mahu mendengarnya.

Ternyata Salleh sudah dapat mempengaruhi Encik Borhan. Ini memudahkan lagi cita-citanya untuk merampas syarikat daripada Encik Borhan pada satu hari nanti. Encik Borhan tidak menyedari langsung permainan yang sedang diatur dan dirancang oleh Salleh yang menjadi orang kanan dan orang kepercayaannya.

Dalam pada itu perniagaan yang dihasilkan secara perkongsian oleh Azhar dan Rosli dari sehari ke sehari semakin maju. Malahan pekerja yang berhenti bekerja dengan Encik Borhan juga telah diambil oleh mereka berdua untuk bekerja.

Ternyata mereka berasa begitu amat seronok sekali apabila bekerja dengan syarikat yang dimiliki secara bersama oleh Azhar dan Rosli. Tambahan pula mereka sudah kenal dan mengetahui latarbelakang Azhar dan Rosli yang pernah bekerja bersama-sama dengan mereka sebelum ini.

Apa yang menyeronokkan mereka selain daripada menikmati suasana bekerja yang penuh ceria dan gembira Azhar dan Rosli juga turut menjaga kebajikan para pekerja. Bekerja sebagai satu pasukan dan saling tolong-menolong itulah yang menjadi pegangan utama sehingga membawa kejayaan yang cemerlang kepada syarikat.

Sebarang bentuk yang membawa kepada keretakan dan perpecahan segera dihindarkan kerana ia ibarat penyakit merbahaya yang perlu dicegah lebih awal sebelum menjadi lebih parah lagi. Sekiranya terdapat masalah dan kerumitan diatasi secara bersama-sama. Azhar dan Rosli juga turut menerapkan ke dalam diri pekerja betapa pentingnya mempunyai keseimbangan antara ibadat sebagai tuntutan dunia serta akhirat dan bekerja sebagai ibadah yang perlu dilaksanakan demi Allah SWT.

Mereka dapat merasakan suasana yang berbeza antara bekerja di tempat yang baru dengan Encik Borhan. Keseronokan dan kepuasan bekerja juga turut ditekankan oleh Azhar dan Rosli ke dalam diri setiap pekerja.

Selain daripada itu, para pekerja juga menikmati bonus apabila syarikat berjaya mendapat keuntungan yang lumayan. Selain daripada itu, Azhar dan Rosli juga tidak lupa untuk mengeluarkan zakat perniagaan dan memberikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan terutamanya golongan asnaf dan anak-anak yatim.

Perniagaan mereka semakin maju dan sering menjadi buah mulut di samping menjadi contoh kepada kontraktor lain yang terlibat dalam bidang pembinaan. Walaupun sudah berjaya Azhar dan Rosli tetap merendah diri dan sentiasa bersyukur dengan apa yang telah dikurniakan oleh Allah SWT.

Mereka berdua hidup secara sederhana dan tidak bermewah-mewahan. Sebaliknya mereka hidup mengikut tuntutan dan ajaran agama. Bagi Azhar dan Rosli semua ini hanyalah sementara waktu sahaja. Tidak akan berkekalan buat selama-lamanya. Apabila tiba masanya nanti semua yang ada dan dimiliki akan ditinggalkan. Kerana pada ketika itu mata telah tertutup dan nafas telah pun berhenti. Dalam erti kata lain telah pulang ke negeri yang abadi.

+++++++

Sesungguhnya Tuhan Maha Berkuasa ke atas segala-galanya. Rancangan jahat Salleh akhirnya diketahui juga oleh Encik Borhan.

“Tak sangka saya. Selama ni awak yang menjadi orang kepercayaan dan orang kanan di syarikat ni rupa-rupanya musuh dalam selimut!” dia berkata dalam nada suara yang marah.

“Apa maksud Encik Borhan ni? Saya tak faham!” Salleh sebaliknya berpura-pura.

“Sudah! Awak jangan nak berdolak-dalik lagi. Saya ada cukup bukti!” tegasnya.

“Bukti? Bukti apa, Encik Borhan?” tanya Salleh pula.

“Awak ada niat rupanya nak mengambilalih syarikat ni!”

“Itu fitnah ….”

“Cukup! Saya tak nak tengok awak bekerja di syarikat ni!”

“Encik Borhan ….”

“Sudah! Pergi!”

Semenjak diberhentikan kerja hidup Salleh menjadi tidak tentu arah. Dia berasa amat kecewa. Cita-citanya untuk mengambilalih syarikat kepunyaan Encik Borhan tidak menjadi kenyataan. Akibat terlalu tertekan akhirnya dia menjadi gila. Mungkin inilah balasan Tuhan terhadap perbuatan yang dilakukannya selama ini.

Sementara itu Encik Borhan benar-benar merasa menyesal kerana terlalu terpengaruh dengan Salleh maka dia telah mengambil keputusan yang tidak sewajarnya. Dengan menyingkirkan Azhar dan Rosli daripada bekerja dengannya.

“Saya minta maaf. Saya benar-benar berasa malu dengan awak berdua …,” luahnya dalam nada suara yang penuh penyesalan.

“Sudahlah tu, Encik Borhan. Semoga apa yang telah berlaku ini akan menjadi teladan dan pengajaran kepada Encik Borhan pada masa yang akan datang. Supaya berhati-hati dan tidak mudah percaya dengan perkara yang tidak pasti sama ada benar atau tidak,” balas Azhar pula.

“Encik Borhan tak ada buat apa salah pun. Saya dan Azhar amat terhutang budi dengan Encik Borhan. Kerana bekerja dengan Encik Borhan maka saya dan Azhar dapat membuka perniagaan sendiri pada hari ini,” tambah Rosli.

“Ya, Encik Borhan!” angguk Azhar pula sebaliknya dengan pantas.

“Terima kasih. Kerana dapat belajar selok-belok perniagaan yang berkaitan dengan pembinaan,” sambungnya lagi.

“Tapi awak berdua telah teraniaya …,” ujar Encik Borhan perlahan.

“Saya dan Rosli menerima sesuatu yang berlaku itu sebagai ada hikmah dan perancangan Allah yang tersembunyi di sebaliknya,” ulas Azhar.

“Lupakanlah apa yang telah berlaku, Encik Borhan. Saya dan Azhar sedikit pun tidak menyimpan dendam dan marah pada Encik Borhan,” tambah Rosli.

“Saya pun begitu jugak, Encik Borhan!” angguk Azhar pula sebaliknya dengan pantas.

Dia kemudiannya lalu melihat jam di tangan.

“Hari pun dah tengah hari. Perut pun dah lapar. Marilah kita pergi makan. Sambil tu dapat jugak kita berbual-bual. Kalau ada projek yang boleh kita buat secara bersama,” ajak Azhar.

“Elok benarlah tu. Dunia sekarang kita tak boleh tumpu pada satu bisnes aje. Macam-macam kita kena buat. Barulah boleh maju depan,” sambut Encik Borhan.

“Hah! Kalau macam tu marilah kita pergi!” celah Rosli pula.

Mereka bertiga kemudiannya lalu mengatur langkah menuju ke kereta. Demikianlah berakhirnya kisah orang yang teraniaya. Semoga akan menjadi pengajaran yang amat berguna kepada kita semua. Melalui kisah yang diceritakan ini.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *