Cerpen “Warung Pak Saad”

Burung-Burung

Burung ( DsMacinnes )

Angin pagi bertiup perlahan dan nyaman.

Pohon-pohon yang menghijau
kelihatan seperti menari-nari apabila ditiup angin.

Sekejap ke kanan dan sekejap ke kiri. Mengikut rentak angin yang bertiup. Daun-daun yang bergeseran antara satu sama lain kedengaran bernyanyi-nyanyi riang membelah suasana kampung yang indah dan permai.

“Rajin dan usaha itu tangga kejayaan,” kata Pak Seman.

“Betul kata kau tu, Man!” sokong Pak Tahir sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Bak kata pepatah kalau tak dipecahkan ruyungnya manakan dapat sagunya,” sambungnya lagi.

“Tiada jalan mudah untuk mencapai kejayaan. Melainkan usaha yang keras dan bersungguh-sungguh,” celah Pak Ismail pula.

Demikianlah rancaknya perbualan mereka bertiga sambil menikmati sarapan pagi di warung Pak Saad. Warung bekas tentera yang berpangkat sarjan itu memang menjadi tumpuan utama penduduk Kampung Sawah Lebar pada setiap pagi.

Nasi lemak dan pulut cicah dengan sambal tumis ikan bilis adalah hidangan yang memikat selera orang-orang kampung. Warung Pak Saad sentiasa dipenuhi oleh orang-orang kampung untuk bersarapan dan membeli makanan untuk dibawa pulang ke rumah.

“Dalam apa juga yang dilakukan kita perlu bersungguh-sungguh. Jangan hanya pandai bercakap saja. Tapi hasilnya tak ada,” ujar Pak Seman sambil menghirup perlahan-lahan air teh ‘o’ yang masih lagi panas itu.

Pak Ismail yang sedang berselera menikmati nasi lemak dengan telur mata kerbau lalu terhenti. Apabila mendengar kata-kata Pak Seman itu.

“Bak kata orang macam tin kosong. Harap bunyi aje lebih,” ucapnya.

“Orang sebegini tak ke mana perginya. Hanya pandai bercakap saja. Berbanding dengan orang yang kurang bercakap. Tapi apa yang dibuatnya kita nampak,” ulas Pak Tahir pula.

“Aku setuju sekali dengan apa yang kau katakan tu, Tahir. Biar kita tak banyak bercakap asalkan banyak bekerja,” tambah Pak Ismail pula sebaik-baik sahaja selesai menikmati pulut cicah dengan sambal tumis ikan bilis dan air Nescafe.

Sekali-sekala kedengaran suara angin yang bertiup dari arah bukit-bukau yang subur dan menghijau. Pohon-pohon yang tumbuh berhampiran dengan warung Pak Saad kelihatan mengangguk-angguk. Seolah-olah menyatakan persetujuan dengan apa yang dikatakan Pak Ismail itu.

“Dalam bekerja ni kita tak boleh buat seorang. Bak kata orang kalau kita duduk seorang jadinya sempit. Berbanding kalau kita duduk ramai. Kerja yang berat akan menjadi ringan. Bila kita bekerja dalam satu pasukan,” kata Pak Seman.

“Bukan itu sahaja, Man. Batu yang besar pun boleh kita pecahkan apabila kita mempunyai semangat kerja berpasukan,” sokong Pak Ismail pula sebaliknya.

“Semangat kerja berpasukan memang penting. Kalau tidak kerja yang kita buat tak akan menjadi,” tambah Pak Seman lagi.

“Muafakat membawa berkat,” sampuk Pak Tahir.

Matahari kelihatan perlahan-lahan meninggi di kaki langit. Sinar cahayanya yang terang-benderang kelihatan menerangi seluruh kampung. Angin bertiup lemah-gemalai. Daun-daun yang menghijau kelihatan terbuai-buai apabila ditiup angin.

“Memang betul kata kau tu, Tahir!” angguk Pak Ismail dengan pantas.

“Bila kita hidup bermuafakat dan sentiasa bersatu padu akan dapat menghindarkan daripada berlakunya persengketaan dan perpecahan,” dia menyambung lagi.

“Perpecahan tidak membawa keuntungan sebaliknya membawa kerugian kepada kita. Tambahan pulak kita sebagai umat Islam ditegah untuk bersengketa sesama sendiri,” ucap Pak Seman.

“Sebab itu sebarang bentuk yang membawa kepada perpecahan perlu kita cegah dengan segera. Perpecahan ini ibarat sejenis penyakit yang amat merbahaya. Perlu dirawat dengan lebih cepat sebelum menjadi lebih parah lagi,” ucap Pak Tahir.

Pak Ismail sebaliknya lalu mengangguk-anggukkan kepala apabila mendengar kata-kata Pak Tahir itu.

“Aku amat bersetuju sekali dengan apa yang kau katakan tu, Pak Tahir! Bila berlaku kepincangan kita perlu betulkan dengan segera. Seperti kata orang retak jangan ditunggu menjadi belah,” dia berkata.

“Syukur alhamdulillah. Kita di kampung ni hidup bersatu padu dan saling tolong-menolong antara satu sama lain,” celah Pak Seman.

“Sejak dari dahulu lagi kita telah dilatih agar hidup dalam suasana yang harmoni dan saling bekerjasama,” tambah Pak Tahir.

“Kita hidup di kampung memang muafakat menjadi keutamaan. Macam disebut dalam pepatah bagai aur dengan tebing saling sandar-menyandar dan perlu-memerlukan setiap waktu dan ketika,” ujar Pak Ismail.

Desiran angin yang berirama sepoi-sepoi bahasa jelas kedengaran membelah suasana. Rasa nyaman dan dingin angin yang bertiup terasa menyelubungi seluruh kampung. Pohon nyiur yang tumbuh di halaman Pak Karim kelihatan seperti melambai-lambai apabila ditiup angin. Seolah-olah mengajak anak muda yang mencari rezeki di kota agar pulang segera ke kampung untuk menaburkan khidmat dan bakti di tempat mereka dilahirkan dan dibesarkan.

“Hidup muafakat ini sama seperti bekerja dalam satu pasukan. Yang berat akan menjadi ringan dan yang susah akan menjadi senang. Tak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan dan tak ada kusut yang tak boleh dihuraikan. Asalkan kita bersama-sama dan bermuafakat untuk menghadapinya,” kata Pak Seman.

“Itulah indahnya hidup bermuafakat. Selain daripada bekerjasama dan bantu-membantu antara satu sama lain muafakat juga mengajar kita mengenal erti persaudaraan,” tambah Pak Ismail.

“Semangat persaudaraan terasa apabila kita dapat membantu meringankan beban dan penderitaan yang ditanggung oleh mereka yang tidak berkemampuan,” kata Pak Tahir pula.

“Itu sudah menjadi tanggungjawab kita. Membantu mereka yang tidak bernasib baik. Siapa lagi yang mereka harapkan kalau bukan kita,” ujar Pak Seman.

“Betul kata kau tu, Man!” angguk Pak Ismail pula sebaliknya dengan pantas.

“Hari ni hari mereka. Mana tahu entah esok atau lusa hari kita pulak,” sambungnya lagi.

“Sebab itu kita hidup ni tak boleh menongkat langit,” kata Pak Tahir.

“Kata orang bila memandang langit yang tinggi rumput di bawah jangan sesekali dilupakan. Samalah jugak bila dah berjaya dalam hidup. Jangan mudah lupa diri dan asal usul,” tambah Pak Ismail.

Angin yang bertiup kencang menyusup masuk melalui atap zink warung Pak Saad. Cuaca kelihatan begitu amat cerah sekali. Awan putih yang menebal dan langit yang membiru kelihatan amat bersih dan terang-benderang. Tidak kelihatan langsung tanda-tanda hujan akan turun.

Memang cuaca begitu amat terik sejak dua tiga bulan ini. Sudah lama hujan tidak turun. Dalam erti kata lain sekarang ini musim kemarau. Daun-daun dan rumput yang menghijau bertukar warna menjadi keperangan. Namun begitu penduduk kampung tidak mengalami gangguan bekalan air akibat daripada musim kemarau yang melanda.

“Itu sebab kita harus ingat dari mana kita datang. Ingat jugak segala susah payah dan pahit maung yang kita tempuhi sebelum berjaya dalam hidup ini,” tegas Pak Seman.

“Bak kata orang jangan jadi seperti si kudung mendapat cincin. Bila dah berjaya dan hidup senang lupa segala-galanya dan berlagak sombong dan angkuh,” kata Pak Ismail pula.

“Hidup ni tak ubah macam roda. Sekejap di atas dan sekejap di bawah. Hari ni kita ketawa dan gembira. Esok boleh jadi kita berduka dan hiba,” ingat Pak Tahir.

“Sebab tu kita perlu sentiasa bersyukur dengan apa yang ada. Sepertimana yang dijanjikan Allah kalau kita sentiasa bersyukur maka akan bertambah nikmat. Tapi kalau kita kufur maka nikmat yang kita miliki selama ini akan ditarik balik,” ucap Pak Ismail.

“Sama-samalah kita berdoa agar menjadi insan yang sentiasa bersyukur dengan nikmat kehidupan yang diberikan Allah SWT dalam hidup ini,” kata Pak Seman pula.

Demikianlah berakhirnya perbualan Pak Seman, Pak Tahir dan Pak Ismail di warung Pak Saad pada pagi itu.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *