Cerpen “Kalau Dah Namanya Rezeki”

Matahari

Matahari ( Ssejjemba )

Nama aku Budiman.
Aku bekerja sebagai penolong pegawai
di salah sebuah jabatan di bawah pentadbiran
Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan. Insya Allah. Tak lama lagi aku akan dinaikkan pangkat sebagai pegawai kumpulan A. Sesungguhnya rezeki itu datang daripada Allah SWT.

Cuma lambat atau cepat sahaja. Sebelum ini aku dah minta macam-macam kerja. Termasuk kerajaan. Aku dipanggil temu duga. Tapi kerja tak dapat. Bagi aku itu namanya tak ada rezeki dan belum sampai lagi. Namun aku tetap bersabar dan tidak pernah putus asa.

Aku percaya. Kalau dah rezeki namanya tak akan ke mana. Teruslah berusaha dan berdoa. Lama juga aku menganggur sebab tak ada kerja. Tapi ini bukanlah bermakna aku duduk goyang kaki sahaja. Tambahan pulak aku belum berkahwin dan tidak ada beban untuk ditanggung.

Macam-macam kerja yang aku buat. Asalkan dapat duit untuk menanggung ibu dan adik-beradik aku yang seramai 6 orang yang masih lagi bersekolah. Sebagai anak sulung sudah menjadi tanggungjawab aku untuk menjadi ketua keluarga setelah ayah aku meninggal dunia.

“Bang, ada kerja tak?” tanyaku.

“Buat masa ni belum ada lagi,” jawab Abang Mat.

“Kalau ada kerja nanti beritahu, ya. Saya sekarang dah tak kerja lagi dengan Abang Jamil. Kontrak dia membersihkan bangunan Pejabat Daerah dan Tanah Seremban tu dah tamat,” kataku.

“Baiklah, Man!” balas Abang Mat sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Ada kerja nanti aku beritahu kau,” ujarnya lagi.

“Terima kasih, bang!” anggukku.

“Sama-sama!” jawabnya.

Duit hasil aku bekerja dengan Abang Jamil aku simpan. Dapat jugaklah untuk menampung perbelanjaan aku dan keluarga. Lebih-lebih lagi adik-adik aku yang masih bersekolah lagi. Aku membantu juga Azmi kawan aku menjual burger pada waktu malam.

“Kawan aku beritahu syarikat tempat dia bekerja tu nak cari pekerja baru. Sebab salah seorang yang bekerja di syarikat tu dah berhenti. Dapat kerja di Lembaga Muzium Negeri Sembilan,” ucapnya sambil menggoreng burger.

“Syarikat tu kat mana, Mi?” aku menyoal sambil membungkus burger.

“Kat Senawang,” dia menjawab.

“Syarikat tu buat apa, Mi?” tanyaku lagi.

“Percetakan!” dia menjawab pendek.

“Kalau kau minat aku beritahu kawan aku tu,” tambahnya.

“Bolehlah! Daripada tak ada kerja,” aku sebaliknya membalas dengan pantas.

“Baiklah! Nanti aku beritahu kawan aku tu,” ucap Azmi pula.

Aku berharap dapat sangatlah kerja tu. Dalam pada itu aku terus mencari kerja. Sebab tak boleh berharap sangat dengan syarikat tempat kawan Azmi bekerja tu. Sebenarnya aku tak gemar duduk di rumah. Menghabiskan masa dengan makan dan tidur sahaja.

Sekurang-kurangnya dengan bekerja dapat juga duit masuk. Ibu dan adik-adik sangat bergantung harap pada aku. Yalah! Kalau aku tak bekerja macam mana ibu dan adik-adik aku nak hidup. Ibu dah tua dan tak larat lagi nak bekerja.

Dengan tiba-tiba wajah arwah ayah menjelma di ruang mataku. Arwah ayah memang seorang yang kuat bekerja. Demi untuk kesenangan keluarga dia sanggup bekerja keras. Daripada pagi sampailah ke malam. Akibat tidak menjaga kesihatan maka dia telah jatuh sakit dan meninggal dunia.

Sungguh besar pengorbanan, ayah. Sekarang ayah dah tiada. Man akan pikul dan laksanakan segala tugas dan tanggungjawab yang telah ayah tinggalkan. Walaupun seberat batu yang besar, kata hati kecilku.

“Jauh kau mengelamun, Man. Apa yang kau fikirkan tu?” tegur ibu.

Aku kemudian lalu memandang wajah ibu yang semakin dimamah usia. Dahulu sewaktu aku masih kanak-kanak lagi ibu kelihatan muda. Lebih banyak menghabiskan masa sebagai seorang suri rumah tangga. Menyediakan makanan dan pakaian untuk kami sekeluarga.

Tapi sekarang telah berubah. Ibu telah tua. Demikianlah perjalanan hidup kita sebagai manusia di dunia ini. Ibarat sehelai daun hijau yang pada satu hari nanti akan bertukar warna menjadi keperangan dan kekeringan. Kemudian akan jatuh berguguran di atas tanah apabila ditiup angin yang kencang.

“Tak ada apalah, mak!” aku menggeleng-gelengkan kepala.

“Mak tahu!” angguknya.

“Kau tentu fikirkan pasal kerja, kan?” Dia seperti sudah dapat membaca apa yang sedang bersarang di fikiranku.

Itulah yang dikatakan sebagai naluri seorang ibu. Aku kemudian lalu menarik nafas yang panjang. Wajah insan yang paling aku sayang kerana telah melahirkan dan membesarkan aku di dunia ini lalu aku pandang dengan sedalam-dalamnya.

“Ya, mak …!” aku mengangguk-anggukkan kepala perlahan.

Dia sebaliknya memandangku sambil tersenyum.

“Sabarlah, Man. Ada la rezeki kau nanti. Mak sentiasa mendoakan yang terbaik buat kau,” dia berkata.

“Terima kasih, mak!” balasku dengan rasa gembira kerana telah mendapat suntikan semangat daripada ibu.

Doa seorang ibu pada anaknya pasti akan dimakbulkan oleh Allah SWT. Sesungguhnya syurga terletak di bawah telapak kaki ibu. Anak yang menderhaka terhadap ibunya akan mendapat balasan yang setimpal dengan perbuatan yang telah dilakukannya itu.

Aku berasa amat takut apabila mendengarnya. Selalu aku memunajatkan doa pada Allah SWT agar aku menjadi anak yang soleh dan sayang pada ibuku sentiasa. Tidak lupa juga aku berdoa agar Allah SWT mengurniakan kesejahteraan dan kesihatan baik yang berpanjangan kepada ibu yang aku kasihi.

Pada adik-adik aku juga ingatkan bahawa jangan sesekali menderhaka pada ibu. Jangan lupakan ibu apabila sudah berjaya dalam hidup. Aku juga sering mengingatkan mereka agar belajar bersungguh-sungguh. Dengan memiliki pelajaran yang tinggi bukan sahaja akan mendapat pekerjaan yang terbaik dan menjamin masa depan malahan juga dapat membela nasib keluarga.

“Dahlah, Man. Waktu asar dah pun masuk. Pergilah solat!” ujar ibu mematikan lamunanku yang jauh melayang.

“Baiklah, mak!” aku membalas dengan pantas.

Sebaik-baik sahaja selesai menunaikan solat Asar aku mendapat panggilan telefon daripada Abang Mat.

“Abang dapat tender membersihkan bangunan kerajaan di Port Dickson,” dia memberitahuku.

“Ya ke, bang. Alhamdulillah!” Aku juga tumpang berasa gembira apabila mendengarnya.

“Bulan depan dah mula. Abang akan ambik kau kerja,” katanya.

“Terima kasih, bang!” balasku pula sebaliknya dengan rasa penuh gembira dan syukur.

Aku lalu memberitahu ibu yang bulan depan aku akan mula bekerja dengan Abang Mat.

“Syukur alhamdulillah,” ucap ibu pula sebaliknya.

Sementara itu aku masih lagi membantu Azmi meniaga burger pada waktu malam. Setidak-tidaknya dapat jugak duit tambahan untuk menyara ibu dan adik-adik aku yang masih lagi bersekolah. Apabila dapat duit hasil daripada membantu Azmi menjual burger taklah kami sekeluarga hidup kesusahan.

“Bulan depan aku dah mula kerja dengan Abang Mat. Dia dapat tender membersihkan bangunan kerajaan di Port Dickson,” aku memberitahu Azmi ketika hendak menutup gerai menjual burger.

“Baguslah tu, Man!” jawabnya pula sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Aku dah beritahu kawan aku tu yang kau nak bekerja di syarikat tempat dia bekerja tu. Tapi dia senyap aje. Dah orang lain dapat agaknya,” katanya lagi.

“Tak apalah, Mi. Dah tertulis aku bekerja dengan Abang Mat,” aku membalas pula sebaliknya.

“Ni upah kau.” Dia menghulurkan duit kepada aku.

“Terima kasih, Mi!” ujarku sambil menyambutnya.

“Malam besok aku tak berniaga tau. Sebab ada hal,” ucap Azmi.

“Yalah!” anggukku.

“Jom kita balik!” ajaknya.

Bulan berikutnya aku pun mula bekerja dengan Abang Mat. Aku bernafas dengan amat lega sekali. Kerana telah mendapat pendapatan yang tetap. Dalam pada itu aku berfikir alangkah baiknya kalau aku belajar semula.

Sekurang-kurangnya dengan kelulusan yang ada dapatlah aku memohon kerja dengan kerajaan. Kerja dengan kerajaan ini bukan sahaja tetap dan mendapat gaji pada setiap bulan malahan juga terjamin masa depan kerana ada pencen apabila bersara nanti. Mungkin permohonan aku ditolak dan tidak berjaya dalam temu duga kerana tidak mempunyai kelulusan.

Lalu aku mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran di peringkat diploma. Aku terpaksa membahagikan masa antara waktu bekerja dan belajar. Pada mulanya menjadi kepayahan dan kesukaran juga buatku. Namun demi untuk mencapai cita-cita maka aku berikan komitmen yang sepenuhnya terhadap kedua-duanya.

Aku bersyukur. Kerana dapat mengimbangkan masa antara waktu kerja dan belajar. Berkat usaha rajin dan gigih akhirnya aku berjaya memperolehi diploma. Sebulan selepas itu keluar iklan mengenai kekosongan jawatan penolong pegawai di salah sebuah jabatan di pentadbiran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan.

Dengan kelulusan diploma yang aku perolehi aku lalu memohon jawatan tersebut. Permohonan aku telah diterima dan aku telah dipanggil untuk temu duga. Selepas itu aku dah tak fikir lagi dah. Sama ada dapat atau tidak jawatan itu.

Semuanya aku serahkan kepada Allah SWT. Sebagai manusia aku hanya mampu merancang sahaja. Sedangkan yang menentukan segala-galanya adalah Allah SWT. Sebaliknya aku meneruskan bekerja dengan Abang Mat.

Beberapa bulan kemudian aku telah menerima surat daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan. Aku telah berjaya dalam temu duga dan diminta untuk melaporkan diri. Aku kemudian lalu memberitahu ibu akan khabar gembira itu.

“Syukur, Man. Akhirnya Allah SWT berikan jugak kau rezeki,” kata ibu.

“Terima kasih, mak. Semua ini adalah berkat doa mak juga,” aku membalas sambil mencium tangannya.

Aku juga memberitahu Abang Mat yang aku dah dapat kerja sebagai penolong pegawai di salah sebuah jabatan di bawah pentadbiran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan. Seperti ibu dia juga berasa amat gembira apabila mendengarnya.

“Tahniah, Man. Kau dah dapat kerja yang boleh menjamin masa depan kau,” katanya.

“Saya juga berterima kasih pada Abang Mat. Kerana telah mengambil saya untuk bekerja dengan syarikat abang,” balasku pula.

“Abang tengok kau ni rajin, Man. Lebih-lebih lagi dalam membantu keluarga. Sebab itulah abang ambil kau bekerja,” tambah Abang Mat lagi.

Aku sebaliknya lalu menarik nafas yang panjang apabila mendengar kata-kata Abang Mat itu.

“Apabila ayah dah tiada tanggungjawab menyara keluarga terletak di atas bahu saya, Abang Mat …,” aku memberitahu dalam nada suara yang perlahan.

“Ya, Man!” Abang sebaliknya lalu membalas dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Itu sudah menjadi kewajipan dan tugas kau sebagai anak yang sulung dalam keluarga,” dia menyambung lagi.

Aku lalu mengangguk-angguk diam. Sebagai tanda bersetuju dan menyokong dengan apa yang dikatakan Abang Mat itu.

“Abang Mat dah anggap kau macam adik Abang Mat sendiri. Abang Mat rasa sangat gembira apabila kau dapat bekerja dengan kerajaan. Maklumlah orang berniaga macam Abang Mat ni tak menentu. Tender yang Abang Mat dapat ni belum tentu lepas ni akan dapat lagi. Terpulang kepada dia orang sama ada nak pilih lagi syarikat Abang Mat atau tak,” kata Abang Mat dengan penuh panjang lebar.

Aku sebaliknya hanya mendiamkan diri sahaja dan memandang wajah Abang Mat. Dari raut wajahnya jelas kelihatan bahawa dia sedang memikirkan untung nasib syarikatnya pada masa yang akan datang. Sama ada akan dapat terus bertahan ataupun sebaliknya. Jawapannya hanya ada pada Allah SWT.

Dalam hati kecilku berdoa. Semoga Allah SWT mengurniakan yang terbaik buat Abang Mat dan syarikatnya. Abang Mat seorang majikan yang baik. Sentiasa mengambil berat dan menjaga kebajikan para pekerja. Cukup sahaja bulan dia akan membayar gaji pekerja.

Dia kemudian lalu memandang wajahku dan menepuk-nepuk lembut bahuku.

“Abang harap kau bekerjalah dengan baik dan bersungguh-sungguh. Sepertimana yang kau tunjukkan semasa bekerja dengan Abang Mat,” ucapnya.

“Insya Allah, Abang Mat!” aku menjawab dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Saya akan ingat segala pesan Abang Mat,” tambahku lagi.

“Bagus!” angguknya pula sambil tersenyum memandangku.

“Dahlah! Perut pun dah lapar ni. Mari kita makan. Abang Mat belanja. Meraikan kejayaan kau dapat kerja baru,” ujarnya lagi.

“Tak payahlah, bang. Saya …,” kataku.

“Dah! Dah! Mari kita pergi makan!” dia memotong dengan pantas.

Aku lalu menurut sahaja pelawaannya itu. Tengah hari itu aku bersama-sama dengan Abang Mat dan kawan-kawan sekerja yang lain menjamu selera di salah sebuah restoran yang terletak di tepi pantai Port Dickson. Memang amat menyelerakan apabila menikmati hidangan yang enak sambil menghirup udara yang segar.

“Terima kasihlah, Abang Mat. Belanja kami semua. Semoga murah rezeki Abang Mat,” ucapku sebaik-baik sahaja selesai menikmati hidangan.

“Alah! Ada rezeki lebih Abang Mat belanjalah kau orang semua. Lagipun jamuan ni untuk meraikan perpisahan kau juga,” balasnya.

Selang beberapa bulan kemudian aku pun melaporkan diri di jabatan yang menerima aku untuk bertugas sebagai seorang penjawat awam.

“Sebelum ni awak kerja mana?” soal Encik Bakar, ketua jabatan yang telah berkhidmat hampir 30 tahun sebagai kakitangan kerajaan.

“Saya bekerja dengan syarikat yang membersihkan bangunan kerajaan. Malam pula saya tolong kawan jual burger,” aku menjawab dengan jujur.

“Oh, begitu!” dia sebaliknya lalu mengangguk-anggukkan kepala.

“Kerja dengan kerajaan ni ada peraturan dan undang-undang yang harus dipatuhi. Saya harap awak akan ikut semua undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan. Saya juga berharap awak akan bekerja dengan penuh amanah dan komited. Bukan sahaja untuk jabatan tetapi juga demi rakyat di negeri ini. Apa pun saya ucapkan selamat datang dan tahniah kepada awak. Kerana terpilih untuk bekerja dengan jabatan ini. Saya ucapkan selamat maju jaya kepada awak.” Itulah kata-kata Encik Bakar sewaktu hari pertama aku melaporkan diri.

“Terima kasih, tuan!” ujarku sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Saya akan ingat segala pesanan tuan itu. Saya juga berjanji akan bekerja dengan penuh komited dan bersungguh-sungguh,” ikrarku.

Encik Bakar yang memakai kot dan tali leher sambil duduk di atas kerusi pusing lalu tersenyum dan mengangguk-angguk apabila mendengar kata-kataku itu. Rasa kesejukan alat penghawa dingin terasa mengepung seluruh ruang biliknya.

Aku pun menjalankan tugas dan amanah yang telah diberikan dengan penuh dedikasi dan komited. Selang beberapa tahun kemudian aku pun telah mendapat pengesahan dalam jawatan. Setelah lulus dalam peperiksaan perkhidmatan awam dan mengikuti kursus induksi.

Syukur alhamdulillah. Itulah yang aku ucapkan. Aku juga telah mendirikan rumah tangga sebaik-baik sahaja mendapat pengesahan dalam jawatan. Memang aku telah menanamkan azam untuk berumahtangga apabila disahkan dalam jawatan.

Bila dah disahkan dalam jawatan maka terjaminlah kehidupan apabila sudah bergelar suami dan menjadi ketua keluarga. Gadis yang berjaya menambat hati aku bernama Mazlina. Pilihan ibu aku. Kami bahagia dengan jodoh pilihan keluarga. Isteri aku tak bekerja.

Alhamdulillah. Kami dikurniakan anak seramai 4 orang iaitu 2 lelaki dan 2 orang. Dalam pada itu aku sering menunjukkan prestasi yang cemerlang dan peningkatan sebagai seorang penolong pegawai. Atas dorongan dan galakan Encik Bakar maka aku menyambung semula pelajaran. Kali ini dalam bidang ijazah pula.

“Awak belajarlah lagi. Ambil ijazah. Akan datang ada kekosongan dalam jawatan pegawai. Awak ada potensi untuk memegang jawatan itu.” Demikianlah kata Encik Bakar padaku.

Maka aku pun menyambung semula pelajaran dalam bidang ijazah dan telah lulus dengan cemerlang. Tak lama kemudian aku pun dipanggil untuk temu duga dan telah berjaya. Sekali lagi aku melafazkan rasa kesyukuran yang tak terhingga ke hadrat Allah SWT.

Aku kini menunggu surat perlantikan sahaja daripada jabatan. Walaupun aku dah berjaya menjadi pegawai namun aku tidak lupa pada ibu, keluarga, Abang Mat dan Azmi. Tanpa mereka aku mungkin tidak akan sampai ke tahap yang tinggi seperti ini.

Demikianlah kisah yang ingin aku jadikan sebagai perkongsian bersama-sama dengan para pembaca. Kalau dah namanya rezeki dan tertulis buat kita maka tetap akan menjadi milik kita juga akhirnya. Asalkan kita sentiasa berusaha dan berdoa ke hadrat Allah SWT. Insya Allah. Sebelum mengundurkan diri aku ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada pembaca. Di atas kesudian dan meluangkan masa untuk membaca kisah yang kutulis ini.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *