Cerpen “Catatan Atuk”
Buku ( Himanshu )
Sinaran matahari di kaki langit biru
kelihatan menerangi seluruh kampung yang permai lagi indah.
Angin yang datang daripada arah bukit berhampiran dengan rumah atuk bertiup nyaman dan perlahan. Pohon-pohon yang merendang melenggang-lenggok apabila ditiup angin.
Atuk aku adalah seorang bekas guru sekolah menengah yang mengajar mata pelajaran sejarah. Berkelulusan daripada Universiti Malaya. Walaupun telah lama bersara atuk kuperhatikan tak pernah duduk diam. Lebih banyak menghabiskan masa dengan membaca buku-buku yang berkaitan dengan sejarah dan menulis dalam buku catatannya.
Selalunya atuk akan menulis apabila ada masa lapang. Tak tahulah apa yang ditulisnya dalam buku itu. Sebab aku tak pernah bertanya dan atuk pun tak beritahu aku. Cuma aku perhatikan sewaktu menulis atuk akan kelihatan seperti mengingatkan sesuatu.
Aku sebenarnya nak tahu sangat apa yang ditulisnya dalam bukunya itu. Tapi aku takut sebab nanti mengganggu atuk yang kelihatan begitu tekun dan teliti sekali ketika menulis. Jadi aku pendamkan sahaja hasratku itu. Sehinggalah pada satu hari aku bertanya pada atuk ketika dia sedang menulis dalam buku yang sentiasa setia berada bersama-sama dengannya itu.
“Amin tengok atuk selalu aje menulis. Apa yang atuk tulis tu?” tanyaku.
Dia sebaliknya lalu berhenti daripada menulis dan memandangku.
“Atuk sebenarnya sedang membuat catatan,” jawabnya.
“Catatan apa, tok?” soalku lagi dengan pantas.
“Tentang peristiwa dan apa yang berlaku sekarang,” balasnya.
Aku hanya mengangguk-angguk diam. Apabila mendengar jawapan daripada atuk itu. Barulah aku tahu sekarang. Atuknya rupanya mencatat peristiwa penting dalam bukunya itu. Mungkin ada sebab mengapa dia membuat dalam buku catatannya itu.
Rasa ingin tahu semakin kuat dalam hatiku. Jadi aku hendak bertanya pada atuk mengapa penting sangat dia menulis semua itu. Namun keinginanku itu terhenti seketika apabila nenek tiba-tiba muncul daripada dapur dan terus menyapaku.
“Hah! Min. Dah lama sampai?”
“Baru aje, nek.”
“Duduklah berbual dengan atuk, ya. Nenek nak keluar. Kalau Min nak minum buatlah air kat dapur tu.”
“Tak apalah, nek. Min baru aje lepas sarapan dengan ayah dan mak di rumah tadi.”
“Yalah! Nenek pergi dulu, Min. Bang saya pergi dulu. Assalamualaikum!”
“Waalaikumsalam!” aku dan atuk lalu menjawab salam sambil mengangguk-anggukkan kepala.
Aku dan atuk kemudiannya lalu memerhatikan nenek mengatur langkah meninggalkan rumah.
“Tuk …!” aku bersuara.
Atuk lalu memandangku.
“Kenapa atuk mencatat peristiwa yang berlaku pada setiap hari?” tanyaku.
Atuk sebaliknya lalu menarik nafas yang panjang. Di luar kedengaran suara angin yang bertiup kencang. Pohon nyiur di halaman rumah atuk kelihatan seperti melambai-lambai apabila ditiup. Pelepahnya yang bergeseran antara satu sama lain mengeluarkan irama yang sungguh merdu dan menghiburkan jiwa pabila didengar.
“Catatan yang atuk buat tu akan menjadi sejarah dan rujukan pada masa yang akan datang,” dia menjawab.
“Maksud tuk sama seperti peristiwa yang pernah terjadi pada zaman dahulu?” aku tak putus-putus menyoal sambil memandang wajah atuk yang dari sehari ke sehari semakin dimamah usia.
“Ya, Min!” atuk mengangguk-anggukkan kepala dengan pantas.
“Kalau tak ada yang mencatat pada ketika itu tak akan menjadi sejarah pada hari ini,” dia menyambung lagi.
Memang betul kata atuk. Sejarah adalah peristiwa yang benar-benar berlaku dan bukannya rekaan semata-mata. Setiap yang berlaku dan dianggap bersejarah perlu dicatat dan direkodkan. Kalau tak generasi seperti aku tidak tahu peristiwa yang telah menjadi sejarah pada satu ketika dahulu dan menjadi tatapan pada hari ini.
“Kadang-kadang kita tak ingat peristiwa yang penting dan dianggap bersejarah yang terjadi pada hari ini. Bila kita catat dalam buku sepertimana yang tuk buat sekurang-kurangnya kita tahu tarikh dan di mana ia berlaku,” tambahnya lagi.
“Patutlah Min tengok atuk selalu tengok televisyen dan membaca suratkhabar,” ujarku.
“Itu adalah salah satu daripada cara untuk kita mendapatkan maklumat dan mengetahui perkembangan semasa,” jelasnya.
Aku sebaliknya hanya mengangguk-angguk diam sahaja. Apabila mendengar apa yang dikatakan oleh atuk itu. Pohon-pohon menghijau yang mengangguk-angguk apabila ditiup angin seolah-olah menyatakan sokongan dan persetujuan serta sependapat dengan atuk.
Angin yang tadinya bertiup perlahan lalu bertukar menjadi kencang. Bunyi pelepah pisang di belakang rumah atuk yang berkelepak kelepuk ditiup angin jelas kedengaran. Pohon jambu air di halaman rumah atuk kelihatan seperti terbuai-buai apabila ditiup angin.
Daun-daun kering dan buah-buah yang berguguran ditiup angin kelihatan bertaburan di atas permukaan tanah yang kering. Rasa dingin angin yang bertiup jelas terasa menyusup masuk melalui celah-celah dinding papan rumah atuk.
“Tentu dah banyak yang atuk tulis. Boleh saya tengok buku catatan atuk tu,” pintaku.
Atuk kemudiannya lalu menghulurkan buku catatannya itu kepadaku. Aku pantas menyambutnya dan menyelak satu persatu. Macam-macam yang atuk tulis. Ada yang suka dan ada yang duka. Setiap peristiwa yang berlaku itu atuk tulis tarikh dan tempat ia terjadi.
“Menarik!” aku mengangguk-anggukkan kepala sambil menyerahkan semula buku catatan itu kepada atuk.
“Catatan atuk akan menjadi bahan bersejarah yang paling berharga dan tatapan untuk generasi seperti saya di masa yang akan datang,” sambung lagi.
“Memang itulah yang atuk harapkan, Min!” balasnya pula dengan mengangguk-anggukkan kepala.
“Itulah yang ingin atuk tinggalkan apabila atuk dah tiada lagi nanti. Sebagai khazanah yang sangat bernilai harganya buat Min dan kawan-kawan.” Demikianlah tingginya harapan atuk.
Semangatku lalu berkobar-kobar apabila mendengarkan kata-kata atuk itu. Siapa lagi yang akan menjaga dan memelihara sejarah peninggalan generasi terdahulu kalau bukan aku bersama-sama dengan rakan-rakan yang lain.
Bagi aku catatan atuk bukan sahaja mempunyai nilai sejarah yang tinggi malahan umpama permata. Kalau hilang maka sukar untuk dicari ganti. Jika ditemui semula tidak akan sama dengan catatan asal yang telah ditulis oleh atuk selama ini. Andainya tercicir maka sukar untuk dipungut kembali. Sekiranya dapat dikutip semula tidak akan sama dengan sepertimana yang terdapat dalam buku catatan atuk.
“Insya Allah, tuk. Min akan jaga dan pelihara catatan yang telah atuk buat,” janjiku.
Aku lalu membalas dengan senyuman.
“Alhamdulillah,” angguknya.
“Semoga Min akan menjadikan peristiwa bersejarah yang telah berlaku sebagai pengajaran dan teladan,” tambahnya lagi.
Sememangnya setiap yang berlaku itu bukan sahaja dilihat sebagai peristiwa dan sejarah malahan juga ada pengajaran yang membina dalam penghidupan kita sebagai seorang manusia. Walaupun sejarah tetap akan menjadi sejarah namun menjadikan kita belajar sesuatu supaya menjadi peringatan dan tidak berulang pada masa yang akan datang. Terutamanya peristiwa yang amat pahit dan menyayat hati.
“Min akan ingat segala pesan, tuk!” janjiku pada atuk.
Atuk sebaliknya hanya tersenyum dan mengangguk-angguk diam. Apabila mendengar kata-kata yang keluar daripada mulutku itu. Rasa kegembiraan jelas kelihatan di wajahnya. Aku menanamkan keazaman untuk memastikan apa yang telah dicatit oleh atuk pada hari ini akan menjadi panduan dan dibaca oleh generasi yang sezaman denganku.
Tanpa disedari hari telah pun masuk tengah hari. Aku lalu meminta diri daripada atuk untuk pulang ke rumah. Demikianlah kisah catatan atuk untuk aku jadikan sebagai perkongsian bersama-sama. Semoga kita akan menjadi bangsa yang sentiasa mempunyai semangat cintakan sejarah dan tamadun.
~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~