Cerpen “Kisah Si Peniaga Kedai Runcit”

Atas Rumah

Atas Rumah ( Pok Rie )

Angin pagi bertiup perlahan dan nyaman.
Matahari semakin meninggi di kaki langit. Sinaran cahayanya menerangi seluruh kampung yang permai dan indah.

Pohon-pohon yang menghijau kelihatan seperti menari-nari apabila ditiup angin. Sekejap beralih ke kanan dan sekejap beralih ke kiri mengikut rentak angin yang bertiup.

“Assalamualaikum!” Pak Shuib memberi salam.

“Waalaikumsalam!” jawab Rahmat.

“Hah! Pak Shuib. Apa khabar? Lama tak nampak,” katanya sambil bersalaman dengan Pak Shuib.

“Alhamdulillah! Baik!” dia membalas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Aku sibuk menguruskan ladang kelapa sawit aku kat Jempol tu,” sambungnya lagi.

“Patutlah Pak Shuib dah lama tak datang ke kedai saya ni,” ujar Rahmat.

“Ni aku datang la nak beli barang dapur daripada kau,” ucap Pak Shuib pula sebaliknya.

“Barang apa yang Pak Shuib nak?” tanya Rahmat.

Dia kemudian lalu mengeluarkan sehelai kertas daripada poket bajunya.

“Hah! Ni dia barang-barangnya, Mat,” katanya sambil menghulurkan kertas yang tertulis senarai barang dapur kepada Rahmat.

Kertas yang dihulurkan oleh Pak Shuib itu lalu disambut oleh Rahmat. Dia kemudian lalu meneliti dan membaca senarai barang dapur yang tertera dalam kertas tersebut.

“Baiklah!” angguknya dengan pantas setelah membaca senarai barang dapur yang hendak dibeli oleh Pak Shuib.

“Pak Shuib tunggu sini. Biar saya pergi ambil barang tu semua,” ujarnya lagi.

“Yalah!” balas Pak Shuib pula sambil mengangguk-anggukkan kepala.

Rahmat kemudian lalu beredar untuk mengambil barang dapur yang dipesan oleh Pak Shuib.

Tak lama kemudian kelihatan motosikal Pak Hashim berhenti di depan kedai Rahmat.

“Assalamualaikum,” dia memberi salam.

“Waalaikumsalam!” jawab Pak Shuib sambil menghulurkan tangan dan bersalaman dengan Pak Hashim.

Desiran angin yang tadinya bertiup nyaman dan perlahan lalu bertukar menjadi kencang dan menyusup masuk melalui atap zink kedai Rahmat. Pohon-pohon yang berhampiran dengan kedai Rahmat kelihatan seperti melenggang-lenggok apabila ditiup angin.

“Kau dari mana, Hashim?” soal Pak Shuib.

“Dari kebun,” dia menjawab.

“Aku tengok kau sibuk betul sekarang menguruskan ladang kelapa sawit kau kat Jempol tu,” sambungnya lagi.

“Dah rezeki aku kat situ,” Pak Shuib sebaliknya membalas.

“Alhamdulillah!” angguk Pak Hashim pula.

Tak lama kemudian Rahmat muncul sambil membawa barang dapur yang diminta oleh Pak Shuib.

“Hah! Pak Hashim. Dah lama sampai,” tegurnya dengan ramah.

“Baru aje, Mat,” ucapnya.

“Maaf la, Pak Hashim. Saya tak perasan tadi. Sebab tengah ambik barang yang Pak Shuib pesan,” balas Rahmat.

“Tak apalah, Mat. Dah adat orang berniaga. Kenalah layan pelanggan. Betul tak, Shuib,” kata Pak Hashim pula sambil menoleh ke arah Pak Shuib.

“Betul!” jawabnya sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Hati pelanggan kenalah jaga,” sambungnya lagi.

Rahmat sebaliknya lalu tersenyum kecil apabila mendengar apa yang dikatakan oleh Pak Shuib itu.

“Pak Shuib. Ini dia barang yang Pak Shuib pesan,” dia berkata sambil menghulurkan plastik yang berisi dengan barangan dapur kepada Pak Shuib.

“Terima kasih, Mat!” kata Pak Shuib sambil menyambut plastik yang dihulurkan oleh Rahmat itu.

“Sama-sama!” balas Rahmat pula dengan mengangguk-anggukkan kepala.

Cuaca kelihatan semakin cerah. Bahang panas sudah mula terasa. Sejak akhir-akhir ini cuaca tidak menentu. Kadangkala panas dan kadangkala hujan. Semalam hujan turun sejak daripada awal pagi lagi. Sehingga ke lewat petang baru hujan berhenti.

“Aku tengok perniagaan kau semakin maju, Mat,” ucap Pak Hashim pula.

“Alhamdulillah, Pak Hashim!” balasnya dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

Rezeki yang saya dapat ni datangnya daripada Allah SWT. Saya rasa syukur sangat-sangat,” dia menambah lagi.

“Aku pun tumpang gembira apabila melihat kau berjaya dalam perniagaan,” ujar Pak Hashim.

“Harga barang yang kau jual kat kedai kau ni berpatutan. Sebab itulah orang ramai datang ke kedai kau,” celah Pak Shuib pula sebaliknya.

“Saya tak ambil untung sangat, Pak Shuib. Saya jual dengan harga yang telah ditetapkan,” jelasnya.

“Baguslah kalau macam tu, Mat. Dalam berniaga ni memanglah kita nak dapat untung. Tapi taklah sampai menekan harga. Sehingga pembeli tak mampu nak membelinya,” kata Pak Shuib lagi.

“Sikap sedemikian tidak seharusnya berada dalam diri seorang peniaga. Bagi saya yang penting barang yang dijual baik dan dapat memuaskan hati pelanggan,” ulas Rahmat.

Pohon-pohon yang kelihatan seperti mengangguk-angguk apabila ditiup angin seolah-olah menyatakan sokongan dan persetujuan dengan apa yang dikatakan oleh Rahmat itu. Daun-daun pula kelihatan seperti terbuai-buai apabila disapu angin.

Daun-daun kering yang berguguran apabila ditiup angin kelihatan bertaburan dan menutupi permukaan tanah. Rasa nyaman angin yang bertiup walaupun dalam keadaan cuaca yang panas jelas terasa menyelubungi seluruh kampung.

“Pelanggan memang ada hak terhadap barang yang mereka beli. Sebab itu peniaga kena akur dengan kehendak mereka,” tambah Pak Shuib.

“Bagi saya kepuasan dalam berniaga ni bukan sahaja mendapat untung yang banyak. Malahan juga dapat memuaskan hati pelanggan,” kata Rahmat.

“Aku amat bersetuju sekali dengan kata-kata kau tu, Mat!” celah Pak Hashim pula sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Memuaskan hati pelanggan itu yang terbaik yang perlu dilakukan oleh seorang peniaga,” dia menyambung lagi.

“Dalam hal ini saya bersikap terbuka, Pak Hashim. Sekiranya pelanggan tidak berpuas hati dengan barang dan layanan yang saya berikan saya sedia menerimanya dengan hati yang penuh terbuka. Saya menganggap semua itu sebagai teguran yang membina. Untuk saya memperbaiki dan menjadikan perkhidmatan saya kepada pelanggan dengan lebih baik lagi,” ujar Rahmat pula sebaliknya dengan penuh panjang lebar.

Pohon nyiur di halaman rumah Pak Yassin kelihatan seperti melambai-lambai apabila ditiup angin. Pelepah yang bergeseran antara satu sama lain mengeluarkan irama yang sungguh merdu dan menghiburkan jiwa.

“Baguslah macam tu, Mat. Kau mempunyai sikap yang terbuka dengan pelanggan,” puji Pak Shuib.

“Arwah ayah yang mendidik saya supaya mempunyai sikap yang sedemikian. Kalau kita nak pelanggan kekal lama dengan kita, kita hendaklah banyak bersabar dan jangan bersikap kasar dengan mereka. Sentiasalah menunjukkan kemesraan dan tersenyum walaupun dalam kepenatan melayan ragam dan karenah mereka,” jelasnya lagi dengan penuh panjang lebar.

“Sejak daripada kecil lagi kau dah menunjukkan minat untuk berniaga. Kau rajin menolong arwah ayah kau di kedai ni,” kata Pak Hashim pula.

“Sebab itulah lepas bersara daripada berkhidmat dengan jabatan kerajaan saya lalu mengambil keputusan untuk pulang ke kampung ni dan mengusahakan kedai runcit yang ditinggalkan oleh arwah ayah. Lagipun ada jugak kerja yang nak dibuat selepas bersara. Tak ada lah duduk aje. Mengharapkan duit pencen masuk setiap bulan,” ulas Rahmat pula sebaliknya.

“Elok jugak kau teruskan perniagaan arwah ayah kau ni. Sekurang-kurangnya orang-orang kampung tak perlu ke Pekan Tanjong Ipoh untuk membeli barang keperluan dapur,” Pak Shuib membalas.

“Memang betul kata kau tu, Shuib!” angguk Pak Hashim dengan pantas.

“Bila ada kedai Rahmat ni kita pun tak payah nak pergi ke Pekan Tanjong Ipoh tu,” sambungnya lagi.

“Dah tua ni mana larat nak pergi ke pekan tu. Dulu lain la. Muda. Nak suruh berlari pun boleh. Sekarang nak hidupkan enjin motor pun kadang-kadang tak larat,” kata Pak Shuib.

“Kenalah kau cari ubat kuat. Barulah kau ada tenaga nak pergi ke pekan tu,” Pak Hashim berseloroh.

“Ai! Lain macam aje kau ni. Sampai suruh aku carik ubat kuat. Kau nak suruh aku jadi muda balik ke,” ujar Pak Shuib.

“Aku pun nak jadi muda balik!” balas Pak Hashim.
Mereka kemudian lalu ketawa. Rahmat hanya tersenyum sahaja.

“Aku doakan semoga perniagaan kau terus maju dan berjaya,” ucap Pak Shuib.

“Amin. Terima kasih atas doa Pak Shuib itu,” dia membalas.

“Kau berniaga dengan jujur dan bersih. Sepertimana yang dilakukan oleh arwah ayah kau dulu. Bak kata orang ke mana lagi tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi,” celah Pak Hashim pula.

“Saya sentiasa ingat pesan arwah ayah. Kalau hendak mendapat rezeki yang berkat maka kita hendaklah sentiasa jujur dan tidak menyimpang daripada apa yang telah diajarkan oleh agama,” katanya.

“Rezeki yang berkat akan menjadikan hidup kita sempurna dan bahagia,” Pak Shuib menambah.

“Mudah-mudahan kita tergolong dalam hamba yang dikurniakan rahmat dan keberkatan di dunia dan akhirat,” ujar Pak Hashim pula.

“Amin!” balas Rahmat.

Angin yang bertiup tidak menentu. Sekejap perlahan dan sekejap kencang. Awan putih yang menebal dan langit yang membiru kelihatan bersih. Tidak ada kelihatan tanda-tanda hujan akan turun. Matahari kelihatan semakin menengak di kaki langit. Hari dah nak masuk tengah hari.

“Asyik berbual aje tak sedar pulak hari dah nak tengah hari. Berapa harga semua barang ni, Mat?” soal Pak Shuib.

“RM 50.00 aje, Pak Shuib.”

“RM 50.00?”

“Ya, Pak Shuib!”

“Ini duitnya.”

“Terima kasih, Pak Shuib!”

“Aku mintak diri dululah. Assalamualaikum!” Pak Shuib memberi salam sambil bersalaman dengan Pak Hashim dan Rahmat.

“Waalaikumsalam!” jawab Pak Hashim dan Rahmat.

Pak Shuib kemudian lalu menghidupkan enjin motosikal dan beredar meninggalkan kedai runcit Rahmat.

Rahmat kemudian memandang Pak Hashim.

“Pak Hashim nak beli barang apa?” dia menyoal.

“Beras,” jawabnya pendek.

“Cap apa?” tanya Rahmat lagi.

“Rambutan,” balasnya.

“Baiklah, Pak Hashim. Saya ambikkan!” angguk Rahmat dan kemudian lalu beredar untuk mengambil beras yang diminta oleh Pak Hashim.

Demikianlah kisah seorang peniaga kedai runcit untuk sama-sama kita jadikan sebagai perkongsian.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *